:: @ AL-BAKISTANI @ :: |
Posted: 21 Jun 2012 09:35 AM PDT Lagu awan nano menang dalam AJL baru-baru ini. sejak menang lagu itu, ramai yang tidak mengetahui maksud lagu tersebut. Lebih-lebih lagi, penulis lirik lagu itu sendiri tidak pernah bersedia hendak menerangkan maksud lagu tersebut. Jika kita seorang peminat seni dan sastera, kandungan lagu itu amat menarik untuk difikir dan dikaji. Ini kerana, ia mengandungi sastera yang menarik, disamping mempunyai unsur kesufian. Bagi menerangkan tentang kandungan lagi tersebut, dikupas seperti berikut; PERTAMA : TASYA'UR Sesuatu cerita yang diceritakan oleh seseorang kepada kita, pasti akan memberi kesan yang besar pada diri kita, jika kita menjadikan diri pencerita itu ke dalam hati kita. Kita merasakan diri pencerita itu adalah diri kita sendiri. Dalam istilah komunikasi disebut sebagai empati, sedangkan dalam istilah sastera arab disebut sebagai tasya'ur ( تشاعر). Dalam hadis Qudsi, banyak perkataan Nabi SAW itu terhasil dari empati nabi SAW terhadap beberapa perkataan tuhan. Ekoran itu, hadis qudsi itu sifatnya adalah perkataan yang dituturkan oleh Nabi SAW, tetapi maksudnya adalah dari Allah SWT. Keadaan ini berbeda dengan al-Quran yang mana, ungkapan dan maknanya adalah dari Allah SWT. Di zaman dahulu, ada seorang sufi bernama Hallaj yang mengungkap "ana al-Haq" yang bermaksud "aku adalah tuhan yang benar". Ramai menganggap bahawa dia mengaku sebagai tuhan. Jika kita perhatikan, takkan begitu bodoh sekali Hallaj bermaksud bahawa dia adalah tuhan, sedangkan dalam kehidupannya penuh dengan peribadatan yang cukup mendalam. Tetapi, jika difahami secara tasya'ur, kita akan fahami itu adalah satu perasaan yang cukup tinggi nilai yang telah diungkapkan oleh Hallaj dalam merasakan kebenaran Allah SWT. Begitulah keberadaan pada lagu awan Nano. Ia mengandungi unsure Tasya'ur ini, iaitu apabila diungkapkan "Aku", ia melahirkan perasaan yang cukup memberi kesan pada diri kita, apabila "Aku" iaitu "Allah" dalam lagu itu memberikan berbagai-bagai kebaikan-Nya kepada kita tanpa kita mampu "mencapainya" dengan jari sekalipun. Walaupun tuhan itu tidak dapat dilihat, tidak dapat dipegang, tidak dapat dicapai dengan jejari, tetapi kasih sayang-Nya berikan kepada kita amat hebat sehinggakan tanpa kita sedari, kita sedang merindui-Nya. KEDUA : TASYBIH Dalam sastera arab, ada satu tajuk disebut sebagai tasybih. Ia seperti seseorang itu berkata, "Ahmad itu seperti harimau dari sudut garangnya". Dari sudut maksud, ahmad itu bukan harimau, tetapi sifat-sifat garang itu wujud, makanya disebut Ahmad itu seperti harimau. Jika didalami lagi, dalam perbincangan tasybih ini ada satu tajuk disebut sebagai tasybih baligh, iaitu apabila alat tasybih iaitu kalimah "seperti" telah dibuang, dan sifat juga dibuang, iaitu kalimah "garang". Makanya jadilah ayat, "Ahmad adalah harimau". Ia bukan bermaksud ahmad itu adalah harimau, tetapi garang yang ada pada ahmad itu 'seiras-iras' harimau, makanya ahmad pun disinonimkan dengan harimau. Dalam lagu awan nano, kasih sayang tuhan itu diungkapkan dalam bentuk makhluk yang memberi sayang. Ia memberi ingatan kepada kita bahawa, jika awan sudah dianggap memberikan sayangnya kepada kita dengan memayungkan kita ketika kita kepanasan, makanya Allah SWT itu memberikan kasih sayang-Nya kepada kita melebihi dari apa yang kita anggap yang awan berikan kepada kita. KETIGA : TAJALLI Allah SWT berfirman; Maksudnya; "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal," (Surah al-Imran, ayat 190) Juga dalam hadis yang ulama hadis berselisih menentukan taraf hadis, bahawa Nabi SAW ada bersabda; تَفَكَّرُوا فِي كُلِّ شَيْءٍ وَلا تَفَكَّرُوا فِي اللَّهِ Maksudnya; "berfikirlah pada semua perkara, tetapi jangan berfikir tentang Allah" Dari ini, dikalangan para ahli tasawwuf, mereka menimbulkan satu perbincangan yang disebut sebagai "tajalli". Iaitu, Allah SWT mempamerkan tentang sifat-sifat-Nya dalam bentuk makhluk yang diciptakannya. Ia bukan zat Allah, tetapi ia adalah pameran agar manusia dapat mengenangkan sifat-sifat Allah SWT. Ia seperti seseorang melihat langit yang luas, maka dia mengenangkan sifat pengampun Allah yang diberikan tuhan melepasi keluasan langit yang dilihat; seperti degupan jantung, mengenangkan kepada betapa pemurahnya Allah SWT dalam memberikan kasih sayang-Nya kepada manusia yang mempunyai jantung yang sentiasa berdegup tanpa henti selama manusia hidup. Unsur ini wujud dalam lagu awan nano. Iaitu, mempamerkan betapa kasih sayang awan yang memayungi manusia di kala kepanasan sehingga mengores pipi dan bibir, maka kasih sayang tuhan itu melebihi dari kasih sayang awan tersebut. lirik awan nano : Lihat ke arah sana Serakan warna dan berarakan Awan Pabila terik panas Segera hadirnya memayungi diri Pabila kau dahaga Sesegera turun hujan melimpahkan kasihnya Pabila kau katakan Akulah awan itu yang kau mahu Begitulah awan nano Setia melindungi diri Tika panas mencuba menggores pipi Dan bibirmu Begitulah awan nano Sering saja tak terduga hadir Dan tak akan tercapai jejarimu Kasihnya Kasih tiada banding Setia tiada tara Bagaimanapun jua Awan kekasih sebenarmu sayang Walaupun tak akan tercapai jejarimu Lihat diriku ini Yang sesekali pernah kau bagaikan awan Sehingga tak mungkin terlupa Berikan belas sedari dulu Sehingga tak mungkin termampu saksi Setitis pun air matamu kasihku Sehingga kau katakan Akulah awan itu yang kau rindu Akulah awanmu yang sedia Melindungi dirimu tika panas mencuba menggores pipi Dan bibirmu Akulah awanmu yang sering kau rindu Dan tak terduga hadirmu walau tak tercapai jejarimu Kasihku Kasih tiada banding setia tiada tara Bagaimanapun jua Aku pelindung dirimu sayang Walaupun tak akan tercapai jejarimu Begitulah awan nano Setia melindungi diri tika panas mencuba menggores pipi Dan bibirmu Begitulah awan nano Sering saja tak terduga hadir Dan tak akan tercapai jejarimu Kasihku Kasih tiada banding setia tiada tara Bagaimanapun jua Aku pelindung dirimu sayang Walaupun tak akan tercapai jejarimu Wallahu 'Alam. |
You are subscribed to email updates from :: @ AL-BAKISTANI @ :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan