Rabu, 20 Jun 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


ISA: Unit pengesan bom serbu, pintu rumah dipecah

Posted: 20 Jun 2012 06:06 AM PDT

Hazayani Zakaria,

KUALA LUMPUR: "Masa polis datang tangkap suami saya, mereka ketuk pintu dengan sangat kuat, tak ada seorang pun beri salam, terus pecahkan pintu," cerita isteri kepada tahanan Akta Keselamatan Dalam Isteri (ISA) Mustawan Ahbab.

Khairunizah Mohd Akhir, 36 menceritakan kembali detik-detik penangkapan suaminya pada sidang media bersama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di lobi Parlimen hari ini. Turut serta ialah Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau berkata, kira-kira 30 polis termasuk unit pengesan bom menyerbu dan menyelongkar barang-barang di rumah mereka pada 11 Ogos 2010 iaitu hari pertama Ramadhan.

"Mereka tangkap dan terus gari Mustawan dan telefon kami dirampas dan dimatikan.

"Tak ada waran tangkap, bila kami tanya kenapa tangkap mereka tak cakap salah apa tapi beritahu  suami saya ditahan dua minggu di Bukit Aman dan minta saya sediakan pakaian Mustawan untuk dua minggu.

"Polis kata saya boleh melawat Mustawan tiap-tiap hari tapi saya pergi tak dapat jumpa pun. Dah seminggu lebih barulah boleh jumpa," katanya.

Mustawan, 34, merupakan warga Indonesia dan sudah  lima tahun menetap di Malaysia.

Eksekutif pemasaran di sebuah syarikat penerbitan buku di Kuala Lumpur itu ditangkap kerana didakwa menganggotai Jamaah Anshorut Tauhid yang berpengkalan di Indonesia yang disifatkan sebagai pengganas antarabangsa.

Mustawan dituduh menjadi agen bagi mengumpulkan dana untuk pergerakan itu di Malaysia.

Sehingga hari ini, Mustawan masih ditahan di Kem Kamunting bersama 44 yang lain.

Sementara itu, bapa kepada seorang lagi tahanan, Fadzullah Abdul Razak kecewa anaknya dituduh melakukan tiga rompakan tetapi tidak dibawa ke mahkmah untuk dibicarakan.

Abdul Razak Mohd, 54 berkata, keluarganya sangat berharap kerajaan menunaikan janji untuk membebaskan anaknya dan kesemua tahanan ISA.

Fadzullah yang ditahan di bawah ISA sejak Julai 2010 merupakan salah seorang yang menyertai mogok lapar bulan lalu menuntut pembebasan dari Kemta.

"Jumpa dengan Fadzullah baru-baru ini, memang dia kata dia nak sangat bebas dari Kemta sebab tak tahu apa salah dia," katanya.

Turut hadir ibu Fadzullah, Hadijah CP Veeravu, 51.

Empat asset NFC disita bantu siasatan pecah amanah RM49.7 juta

Posted: 20 Jun 2012 06:04 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR– Empat aset milik Perbadanan Fidlot Nasional Sdn Bhd (NFCorp) melibatkan kes pecah amanah bernilai RM49.7 juta disita mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiyaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) Bukit Aman ACP Ramli Mohamed Yoosuf dalam kenyataan hari ini berkata bahagian Siasatan Pencegahan Wang Haram, Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman sedang menjalankan satu siasatan berkaitan syarikat NFCorp di bawah Seksyen 4(1) AMLATFA 2001 bersabit laporan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

"Hasil siasatan telah mengenal pasti empat harta tak alih telah menjadi 'subject matter' kepada kes," katanya.

Susulan itu beliau berkata Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis telah berpuas hati dan telah mengeluarkan perintah penyitaan terhadap kesemua harta tak alih berkenaan di bawah Seksyen 51(1) AMLATFA 2001, semalam.

Empat aset yang disita itu ialah dua unit 'One Menerung' kondominium di sini untuk unit B1-2 dan B1-1, dan dua unit tanah di lot 4 dan lot 5, Precint 10, Bandar Putrajaya.

"Bagi memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 51(1) AMLATFA 2001, adalah menjadi kewajipan supaya perintah penyitaan itu disiarkan di dua akhbar utama berbahasa kebangsaan dan bahasa inggeris sebelum 20 Jun ini," katanya.

Ramli berkata kegagalan mematuhi peruntukan itu adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 86 AMLATFA 2001.

Pada 12 Mac lepas, Pengerusi eksekutif NFCorp Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, 64, didakwa menyelewengkan RM9,758,140 dalam kapasitinya sebagai pengarah NFC, bagi membiayai pembelian dua unit kondominium di 'One Menerung' di Bangsar antara 1 dan 4 Dis 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd di Taman Tun Dr Ismail.

Tuduhan kedua melibatkan pemindahan RM40 juta ke dalam akaun National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, di mana Mohamad Salleh dan seorang daripada anaknya adalah pengarah, antara 6 Mei dan 16 Nov, 2009. – Bernama

Mahkamah beku sementara keahlian Isa dalam KPF

Posted: 20 Jun 2012 06:01 AM PDT

Koh Jun Lin
 


 
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah membekukan sementara pelantikan Tan Sri Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan keahliannya dalam koperasi tersebut.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim berkata terdapat merit untuk membenarkan empat peneroka Felda mencabar keahlian Isa dan sebagai pengerusi KPF.

Hakim Datuk Abang Iskandar juga menolak semua bantahan awal yang dibangkitkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, kata peguam peneroka berkenaan, Mohamed Hanipa Maidin kepada pemberita.

Oleh itu, keputusan dalam kamar hari ini membenarkan pembekuan sementara terhadap keahlian Isa dalam KPF dan kedudukannya sebagai pengerusi.

"Jadi ada mesyuarat esok dan Isa tak boleh hadir," kata Hanipa kepada pemberita selepas muncul dari kamar hakim. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, Hanipa Maidin mewakili pemohon Abdul Talib Ali, Abdul Mubin Abdul Rahman, Abdul Razak Mohammad dan Muhamad Noor Atan manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili responden iaitu Panel Pertikaian Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SKM, dan KPF.
   
Katanya, mahkamah juga membenarkan permohonan pemohon untuk mendapatkan perintah sementara bagi menggantung status keanggotaan dan pemilihan Mohd Isa dalam KPF di bawah Seksyen 36(1)(b) Undang-Undang Kecil KPF, bagi tujuan pengesahan mesyuarat agung perwakilan KPF yang akan diadakan pada 20 Jun ini dan juga sehingga keputusan penuh semakan kehakiman.

Hanipa berkata antara alasan yang dikemukakan Pejabat Peguam Negara itu ialah peneroka Felda bukanlah pihak yang terjejas dengan keputusan responden dan mereka juga tidak ada 'locus standi' untuk menfailkan saman itu dan isu itu bukan melibatkan undang-undang awam.
   
"Tarikh untuk pendengaran penuh semakan kehakiman belum ditetapkan oleh mahkamah," katanya.
   
Pada 12 Jun lepas, keempat-empat peneroka itu menfailkan permohonan itu bagi memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama dan kedua iaitu Panel Pertikaian SKM, SKM, bertarikh 23 Mei lepas, yang mengekalkan keanggotaan Mohd Isa adalah tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan.
     
Mereka juga memohon mahkamah membatalkan keputusan itu dan perintah 'mandamus' supaya KPF membatalkan keanggotaan Mohd Isa dalam KPF.

Mereka juga memohon perintah sementara bagi menggantung status keanggotaan dan pemilihan Mohd Isa dalam KPF.
     
Pemohon mendakwa berdasarkan Peraturan 11(1)(c) yang dibaca bersama Peraturan 2 Undang-Undang Kecil KPF, Mohd Isa tidak layak menganggotai KPF kerana beliau bukan kakitangan yang dilantik secara tetap oleh Felda.
   
Mereka berkata Mohd Isa adalah pengerusi Felda yang dilantik secara kontrak dan seorang Anggota Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Sultan Perak tak pernah keluar watikah 'ahli diraja'

Posted: 20 Jun 2012 05:54 AM PDT

MALAYSIA KINI
 
 
 
Pejabat Sultan Perak mengesahkan bahawa Sultan Azlan Shah tidak pernah mengeluarkan watikah atau surat kuasa kepada mana-mana pihak atau individu bagi membolehkan mereka memberi sijil keahlian 'Ahli Diraja'.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Puhat Mat Nayan berkata oleh yang demikian pengeluaran lencana menggunakan lambang negeri Perak dan keanggotaan Ahli Diraja seperti yang dilaporkan oleh akhbar pada 8 Jun lepas adalah satu perbuatan yang salah di sisi undang-undang dan melanggar Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) 1966.
  
"Adalah dengan ini ditegaskan bahawa pihak berkuasa negeri Perak tidak pernah pada bila-bila masa memberi sebarang kebenaran secara bertulis kepada mana-mana pihak atau individu untuk mengeluarkan sijil keahlian Ahli Diraja," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.
  
Katanya Enakmen itu secara jelas menggariskan kawal selia berkaitan jata, panji-panji, cap mohor rasmi Sultan Perak, cap mohor kerajaan negeri, jata kerajaan, darjah kebesaran, lambang, pingat dan lencana yang diperkenankan oleh Sultan Perak, tidak boleh digunakan oleh sesiapa kecuali diberikan kebenaran secara bertulis oleh pihak berkuasa negeri Perak.
  
Katanya orang awam dinasihatkan supaya tidak terpedaya untuk membeli atau memperoleh keahlian Ahli Diraja yang ditawarkan dan dijanjikan oleh mana-mana pihak sekalipun.
  
Orang awam yang telah terpedaya dengan perbuatan terbabit atau didampingi oleh mana-mana pihak dengan menawarkan mereka untuk menjadi Ahli Diraja supaya tampil  membuat laporan polis supaya siasatan berhubung perkara itu dapat dijalankan, katanya.
  
Abdul Puhat berkata pihaknya juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu pada 8 dan 9 Jun lepas.
  
Katanya laporan akhbar mendakwa kegiatan menjual lambang kereta itu turut disertakan dengan jaminan sesiapa yang memiliki watikah dan lambang berkenaan diberi jaminan  perlindungan atau imuniti daripada pihak penguatkuasa undang-undang jika melakukan kesalahan lalulintas serta diskaun caj penginapan hotel.
  
Beliau berkata berdasarkan laporan akhbar terdapat dua pihak yang
mengeluarkan keahlian Ahli Diraja berkenaan.
  
Pada 8 Jun lepas, akhbar melaporkan terdapat pihak yang didakwa menjual dan mengeluarkan lambang kereta mengandungi lambang negeri Perak dan keahlian Ahli Diraja kepada orang awam.- Bernama

Debatkini: PAS, MCA 'perang mulut' isu negara Islam

Posted: 20 Jun 2012 05:47 AM PDT

 
Zulaikha Zulkifli
 


 
Perdebatan mengenai masa depan demokrasi di Malaysia menjadi 'panas' apabila isu negara Islam dibahaskan oleh Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mujahid Yusuf Rawa.

NONEKetika pusingan kedua pada sesi menjawab soalan Debatkini, Gan (kanan) dilihat mengutarakan isu adakah PAS akan menukarkan perkara asas di dalam negara sekiranya menjadikan negara ini, negara Islam dan melaksanakan hudud.

Sehubungan itu, Mujahid yang juga merupakan ahli Parlimen Parit Buntar dengan lantang membidas kenyataan Gan dengan mengatakan bahawa, walaupun PAS menjadikan agama Islam sebagai asas, tetapi parti itu sentiasa membuka ruang untuk demokrasi.

Beliau juga percaya, agama Islam merupakan sebuah agama yang menghormati pilihan.

"Kita komited dengan proses demokrasi. Walaupun dasar PAS ialah Islam tetapi kami percaya, Islam itu sebagai panduan. Sebab itu kita boleh komited dengan situasi yang pelbagai kaum.

"Saya juga percaya, kita perlu membincangkan (isu murtad) dengan lebih intelektual. Ia adalah intipati dalam ajaran Islam. Ttapi ia juga adalah interpretasi.

"Berdasarkan pengetahuan saya, mereka yang meninggalkan agama ini tidak meninggalkan iman dan dalam konteks sejarah, mereka yang murtad, adalah kerana menentang sistem atau boleh dikatakan sebagai pengkhianat," katanya menjadikan murtad sebagai contoh dalam Debatkini anjuran Malaysiakini di ibu negara malam tadi.

Menjelaskan kenyataanya itu lagi, Mujahid berkata, seseorang yang murtad itu perlu memilih diantara iman dan hati naluri sendiri dan jika melakukannya kerana menghormati undang-undang, maka tiada isu mengenai murtad.

NONE"Isunya ialah, orang yang murtad dijadikan alat politik bagi mereka yang berfikiran sempit antara dua-dua belah pihak," katanya di hadapan kira-kira 300 hadirin.

Sementara itu,sebagai  membidas kenyataan Mujahid (kiri), Gan berkata, walaupun enakmen hudud tidak dilaksanakan, tetapi beliau mendakwa, PAS cuba menerapkan elemen tersebut di Kedah apabila penggubalan undang-undang bagi menghalang fatwa dicabar di mahkamah diluluskan.

"PAS kata undang-undang hudud tak boleh dilaksanakan kerana Umno takut dengan MCA. Saya amat mengambil berat tentang perkara ini. Bayangkan tekanana ke atas perdana menteri dan rakan-rakan dalam BN apabila mereka kata Umno tidak boleh laksanakan hudud.

"Saya percaya Islam itu ialah bersederhana dan tiada paksaan. Tetapi jika kami mahu ingin melaksanakan (hudud) sebagai cara hidup, maka, jauhkanlah," kata Gan.

Selain itu, Gan  yang juga merupakan seorang peguam menambah, beliau turut menganggap sistem perundangan Islam atau hudud akan menjadi 'mimpi ngeri' kerana. katanya, setiap hukuman yang dikenakan bergantung sama ada banduan tersebut beragama Islam atau tidak.

NONEJusteru, membidas kenyataan Gan, Mujahid dengan tegas berkata, tiada istilah 'Hudud PAS'.

Mujahid menjelaskan, PAS mempunyai aspirasi dengan melakukan sesuatu secara demokratik.

"Di Kelantan dan Terengganu, enakmen hudud dikenalkan secara demokratik dan kamu mungkin tidak suka tetapi dalam demokrasi, anda tidak mungkin akan membenci semuanya.

"Kita telah sampai ke peringkat di mana, kita melihat hubungan antara Islam dan negeri ini tidak secara formatif tetapi dengan cara substantif bagi menyuntik Islam kepada negara.

" Ini merupakan lonjakan terbesar PAS. Sama ada MCA atau Umno tidak suka, itu adalah masalah mereka. Kita progresif. Islam ialah meletakkan diri dalam demokrasi. Kita percaya tidak ada pemisah antara Islam dan demokrasi," kata Mujahid lagi.

Permohonan Uthayakumar mohon daftar HRP ditolak

Posted: 20 Jun 2012 05:34 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— P. Uthayakumar hari ini gagal mendapat kebenaran semakan kehakiman untuk mengetepikan keputusan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tidak meluluskan pendaftaran Human Rights Party (HRP) sebagai parti politik.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohana Yusof membuat keputusan menolak permohonan Uthayakumar (gambar) di dalam kamar dengan dihadiri Uthayakumar yang mewakili dirinya sendiri dan Peguam Kanan Persekutuan Aida Adhha Abu Bakar dan Muzila Mohamed Arsad.

Aida Adhha memberitahu pemberita bahawa Uthayakumar, yang merupakan pemimpin HRP, gagal membuat permohonan sama sebanyak tiga kali dan hakim membuat keputusan permohonan perintah mandamus mengarahkan Hishammuddin membenarkan HRP diluluskan dan didaftarkan dalam tempoh tujuh hari adalah tidak menepati Seksyen 44 Akta Relief Spesifik.

Menurut Aida Adhha, hakim juga berpendapat Hishammuddin telah memberi penjelasan yang cukup mengapa beliau menolak permohonan Uthayakumar menerusi afidavit sokongan.

Pada 4 Mei lepas, Uthayakumar mengemukakan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah certiorari mengetepikan keputusan Hishammuddin melalui surat bertarikh 23 Mac lepas yang menolak dan tidak meluluskan HRP didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan dan parti politik.

Beliau juga memohon perintah mandamus mengarahkan Hishammuddin memutuskan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah supaya membenarkan permohonannya. — Bernama

Abai isu tidak penting

Posted: 20 Jun 2012 05:31 AM PDT

RUWAIDA MD ZAIN

Abai isu tidak penting
Abdul Khalid selepas majlis Perjanjin Pelaburan dan Pemegang Saham Operator Telefon Bimbit Prabayar di sini semalam.
 
 
SHAH ALAM – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan dakwaan gerakan menjatuhkan Setiausaha Politik beliau, Faekah Husin yang dikaitkan dengan pemimpin tertinggi PKR sebagai tidak penting dan perlu  diabaikan.

"Ada gerakan juga untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN), (gerakan menjatuhkan individu) dalaman atau luaran parti pun serupa.

"Politik adalah 'dynamic games' tetapi ada juga yang banyak kenyataan itu ialah kenyataan spekulasi. Jadi kita tidak mengambil usaha itu sebagai satu usaha yang penting," katanya.

Dakwaan gerakan itu menjatuhkan Faekah itu bermula di laman sosial Twitter dengan menggunakan #Kami Sayang PKR dan #Pecat Faekah yang menggesa agar Faekah meletak jawatan.

Abdul Khalid yang sedia maklum perkara itu berkata, Pakatan Rakyat (PR) mempunyai objektif jelas di mana ketiga-tiga parti dalam PR bekerjasama dengan satu jiwa untuk membentuk dan menyediakan sebuah kerajaan  alternatif "Saya tahu tujuan ini, anda mesti tahu (perkara) ini dalam politik. Macam hal Datuk Seri Anwar Ibrahim, berapa banyak kes yang beliau lalui. Apa yang beliau lakukan, abaikannya.

"Bekerja keras adalah objektif terbaik. Jadi, saya ikut juga, abaikan semua itu kerana gangguan ini tidak akan memberikan nilai tambah kepada objektif anda," katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji Faekah ketika ditanya dakwaan setiausaha politiknya itu didakwa bersikap lebih sudu dari kuah ketika mengeluarkan sesetengah kenyataan media.

"Itu bermakna beliau melakukan tugasnya dengan baik. Tujuan utama kita adalah komunikasi, bermakna kita harus menyebarkan maklumat yang betul kepada masyarakat," katanya dalam sidang media selepas Perjanjian Pelaburan dan Pemegang Saham Operator Telefon Bimbit Prabayar di sini semalam.

Daftar sebelum akhir Jun layak jika PRU selepas Ogos

Posted: 20 Jun 2012 05:23 AM PDT

SINAR HARIAN

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
 
 
PUTRAJAYA - Kira-kira tiga juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih, masih berpeluang mengundi sekiranya mendaftar sebelum 30 Jun ini, andai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diadakan selepas Ogos.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Jun adalah detik paling sesuai untuk mereka mendaftar sebelum senarai pemilih diwartakan pada Ogos depan.

"Bulan ini adalah bulan terakhir suku tahun 2/2012 dan selepas itu nama-nama tersebut akan dipamerkan pada bulan berikutnya iaitu Julai selama dua minggu.

Jika tiada sebarang bantahan, senarai daftar pemilih berkenaan boleh diwartakan," katanya kepada Bernama di sini.

Dalam setahun ada empat suku tahun iaitu suku tahun pertama (Januari-Mac), suku kedua (April-Jun), suku ketiga (Julai-September) dan suku keempat (Oktober-Disember), kini SPR dalam proses menerima permohonan pendaftaran pemilih bagi suku tahun kedua.

Sehingga suku 1/2012, seramai 12.9 juta yang sudah mendaftar, daripada jumlah itu pengundi Melayu (6,782,990), Cina (3,871,277), India (938,946), Bumiputera Sabah (618,277), Bumiputera Sarawak (519,563), Orang Asli (69,510) dan lain-lain (11,2027).

Abdul Aziz berkata, selain pendaftaran baru, bulan Jun juga penting kepada mereka yang telah mendaftar membuat semakan.

"Ia bagi membolehkan pemilih mengetahui sekiranya terdapat perubahan lokaliti, tempat mengundi atau sebarang kesilapan dan ketidaktepatan maklumat, jika semakan dibuat selepas Jun mungkin sudah terlewat," katanya.

Beliau berkata, hanya pemilih sahaja boleh memohon menukar butir-butir mengenai diri masing-masing dalam Daftar Pemilih, SPR tidak dapat membetulkan apa-apa kesilapan yang berlaku tanpa pemilih itu sendiri memaklumkan kepada SPR mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan.

"Tidak boleh beranggapan disebabkan telah mengundi di tempat sama sebanyak tiga kali sebelum ini, maka kita pun ambil mudah tidak mahu membuat semakan, tidak boleh begitu adalah lebih baik buat semakan bukannya susah pun," katanya.

Bagi menggalakkan pemilih membuat semakan, kempen  bulan semakan  diadakan sejak 1 Jun lepas selama sebulan dan sehingga 11 Jun, hanya satu peratus sahaja iaitu kira-kira 138,216 pemilih telah berbuat demikian.

"Jumlah itu jika dibandingkan dengan jumlah pemilih berdaftar adalah terlalu kecil kerana jumlah pemilih berdaftar sehingga suku tahun 1/2012 adalah seramai 12.9 juta orang," katanya.

Abdul Aziz berkata diharapkan selepas ini lebih ramai yang akan mendaftar dan membuat semakan kerana pelbagai kaedah disediakan SPR untuk kemudahan orang ramai.

Semakan boleh dibuat melalui Call Centre di ibu pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-8885 6565 ataupun menelefon ke pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri mulai 8.00 pagi hingga 5.00 petang, Isnin hingga Ahad tujuh (7) hari seminggu sepanjang bulan berkenaan.

Boleh juga dibuat menerusi Laman Sesawang SPR di www.spr.gov.my dengan cara memasukkan nombor kad pengenalan dalam ruang semakan yang disediakan dan maklumat pendaftaran pemilih akan dipaparkan; Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.

Semakan di kaunter SPR boleh dibuat di Ibu Pejabat SPR Putrajaya, ataupun di pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri dan dibuka pada hari Sabtu dan Ahad dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang sepanjang bulan berkenaan. - Bernama

MB: Johor tak terima royalti dari projek Petronas di Pengerang

Posted: 20 Jun 2012 05:21 AM PDT

MALAYSIA KINI
 
 
 
Kerajaan negeri Johor tidak menerima sebarang royalti melalui Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Petronas di Pengerang sebagai sumber hasil negeri.
  
Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ini kerana ia merupakan satu projek pemprosesan minyak dan gas dari luar dan bukannya sumber itu datang dari perairan negeri Johor sendiri seperti Terengganu.

"Royalti tidak ada... ini satu pelaburan dalam perindustrian minyak dan gas. Kita hanya peroleh hasil melalui perubahan premium tanah dari tanah pertanian kepada tanah industri," katanya.
  
Katanya, keadaan itu berbeza dengan Terengganu yang bertuah memperoleh royalti daripada kerajaan pusat kerana sumber minyak dan gas ditemui di perairan Kertih, negeri itu.
  
Beliau berkata demikian sewaktu persidangan kelima Dewan Undangan Negeri Johor kali ke-12 di sini hari ini ketika menjawab soalan tambahan Jaafar Hashim (BN-Senggarang) yang mahukan penjelasan sama ada kerajaan negeri memperoleh sebarang royalti daripada projek berkenaan.
  
Sementara itu Ayub Jamil (BN-Rengit) dan Hamimah Mansor (BN- Penawar) turut bertanyakan tentang saiz pelaburan, tempoh masa dan kesan guna tenaga daripada projek berkenaan di Pengerang.
  
Abdul Ghani berkata keseluruhan projek penapisan minyak dan gas di situ menyumbang 33 peratus daripada Program Transformasi Ekonomi Negara (ETP) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini menggambarkan betapa pentingnya projek penapisan minyak dan gas di Pengerang dengan nilai RM17.7 bilion Keluaran Kasar Negara menjelang 2020.
  
"Ia menyediakan 850,000 peluang pekerjaan dalam bidang profesional dan 40,000 pekerjaan separa profesional dan separa mahir," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak pernah meminggirkan golongan nelayan di kawasan itu dan memberikan mereka pilihan sama ada untuk terus kekal menjadi nelayan ataupun menukar kerjaya mereka dengan menyertai sektor perindustrian.

Beliau berkata, untuk golongan nelayan yang ingin menceburi bidang perindustrian, kerajaan negeri menyediakan pelbagai pusat latihan untuk mereka mempelajari kemahiran baru dalam bidang minyak dan gas.

Katanya, ia termasuk di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Bandar Penawar yang akan menyediakan pelbagai program dalam bidang itu mulai Julai ini bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di Pengerang.

Pada masa yang sama, katanya institut latihan lain di negeri ini seperti kolej komuniti dan Kolej Yayasan Johor juga akan menyediakan kursus dalam bidang yang sama untuk membekalkan modal insan yang diperlukan.

Manakala bagi mereka yang memilih untuk terus kekal menjadi nelayan pula, kerajaan negeri akan membantu melengkapkan golongan ini dengan pelbagai kelengkapan untuk menjadi nelayan laut dalam untuk perbaiki taraf hidup mereka.

Malah, katanya kerajaan negeri juga akan membina satu pusat nelayan dengan peruntukan RM80 bilion.
- Bernama

Debat Sinar: Komen terpilih pengikut setia Sinar Harian Online

Posted: 20 Jun 2012 05:19 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

Debat Sinar alu-alukan soalan pembaca kepada pendebat
 
Debat Sinar II
 
BERIKUT komen dan pandangan pengikut setia Sinar Harian Online mengenai sesi Debat Sinar antara Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Apish Ajmie ☆ ‏@HafizAzmie
Berakhir #DebatSinar . Kedua-dua pendebat hebat sungguh berhujah . Semoga sesi perdebatan boleh berlaku sekali lagi.
 
 
Arif Fadzilah ‏@Ariffadzilah
Pembangkang hanya tahu demonstrasi sebagai suatu instrumen berguna dalam sistem demokrasi #DebatSinar
 
 
Azrul Baggio ‏@Azrul_Jabbar
Bukan main lagi Saifuddin ini. Last year bukan main lagi support Bersih2.0. Demo tak sepatutnya diadakan konon. #DebatSinar
 
 
azmyklanajaya ‏@azmyklanajaya
Din Pudu cakap Pakatan akan suburkan demonstrasi bila berkuasa, di Pulau Pinang sendiri bila NGO protes terus dikecam Guan Eng #debatsinar
 
 
Melayubuntu ‏@melayubuntu
Cara kukuhkan demokrasi ialah tweet kepada Najib suruh bersihkan daftar pemilih. Esok confirm SPR insaf. #debatsinar
 
 
Ainul Aizat A.Ishak ‏@ainulaizat
Sekarang Perang Badr juga adalah contoh demonstrasi jalanan, menurut Salahuddin Ayub. Pulak dah. Satu lagi contoh putar belit. #debatSinar
 
 
Shook ‏@shook1974
"@cikgushashi: Salahuddin bengap! Polis ambil tindakan akibat daripada tindak peserta bersih." #DebatSinar
 
 
GPB ‏@GPB2020
Din Puduraya hujah kerana tak dapat 'media coverage' sebab turun demo. Pulau Pinang tak benar BN guna dewan untuk ceramah itu apa ? @saifuddinabd #DebatSinar
 
 
s▲kin▲h zulkifli ‏@kinatralalala
Aku rasa pendapat Salahuddin tidak jelas dan rasa seperti berulang-ulang... #DebatSinar #fb
 
 
Arif Adenan ‏@arifadenan
Salahuddin Ayub minta dengan kerajaan tidak dapat, maka halalkan demo. Patutlah doa PR dengan Allah tidak dapat, patut Bersih demo di Makkah  #debatsinar
 
 
Shook ‏@shook1974
@zach1ZA @saifuddinabd #debatsinar tiga kali beb kena bidas sebab bodoh fakta..bravo Din Pudu kahkah
 
aaron aqip ‏@aaron_aqip
Serangan peribadi. Tidak baik. RT @SinarOnline: Saifuddin serang sambil dakwa Salahuddin banyak buat silap dalam debat malam ini. #DebatSinar
 
 
HamdanMd.Said ‏@hamdanmdsaid
Ahli Parlimen? RT @aretankz: Salahuddin banyak simpang cakap gagap-gagap isi kurang #debatDEMO #debatSINAR
 
 
Melayubuntu ‏@melayubuntu
Mengukuhkan demokrasi yang berfungsi? Demokrasi apa kat Malaysia ni? #debatsinar
 
 
Syawal Hafriz ‏@syawalhafriz
Perdebatan harus berkiblatkan demokrasi Malaysia. Adakah mekanisme lain tidak berkesan sehingga kita perlukan demonstari jalanan #DebatSinar
 
 
aaron aqip ‏@aaron_aqip
Kalau moderator 'happening' mungkin lebih panas. #DebatSinar
 
 
fadh_universoul ‏@CheguFadh
melihat jawapan @saifuddinabd tentang buku Mahasiswa Mengugat tidak jawab soalan tapi 'provoke' semula..dia tak nyatakan perincian ;) #DebatSinar
 
 
aaron aqip ‏@aaron_aqip
Bukan nk bias sgt. Tapi Yb Salahuddin memang 'in line' dengan 'topik so far'. #DebatSinar
 
 
Faizal Rahman ★★★ ‏@fullfilth
Lemau @saifuddinabd malam ni, sebab terpaksa 'tune' menjadi lebih kepada aspirasi kerajaan; tidak dia sebenar. #DebatSinar
 
 
Ainul Aizat A.Ishak ‏@ainulaizat
Datuk Saifuddin tonjolkan belang pembangkang. Keikhlasan dipertikai. suruh 'vote' ajak bincang keluar dewan. Demokrasi dikukuhkan? #DebatSinar
 
 
Muhammad Hafizan ‏@hafizan_hamid
Saya rasa sangat lemau debat malam ini kerana moderatornya.. Maaf, sekadar pendapat.. Tp, itulah yg saya rasa.. #DebatSinar
 

Muhammad Hafizan ‏@hafizan_hamid
YB Salahuddin lagi, pembangkang di Pulau Pinang dan Selangor boleh buat demonstrasi aman keran tiada 'water canon' dan bom asap yg mengganggu.. #DebatSinar
 
 
Asuad Sani ‏@asuads
Bukan dengan cara demonstrasi jalanan @saifuddinabd kita semua sama sahaja inginkan demokrasi #DebatSinar
 
 
Nadhir Ashafiq ‏@NadhirAshafiq
Saifuddin: Kita mahu demokrasi kita lebih matang dan aman, tapi ada caranya. #debatSA #debatDEMO #debatsinar
 
 
Mohd Najib ‏@ketapangman
#debatsinar minta maaf @saifuddinabd anda banyak menggunakan hujah-hujah yang boleh didapati di Utusan dan TV3, 'nothing new', 'not from your own mind'.
 
 
FN ‏@FaisalGlobal
Salahuddin Ayub berdebat seolah-olah hak berhimpun dinafikan langsung. Walhal alternatif diberikan taknak terima. #DebatSinar
 
 
 
fadh_universoul ‏@CheguFadh
Internet/akhbar yang keluar dua minggu sekali tak boleh dijadikan hujah ruang demokrasi itu luas... cuba kita hapuskan media harian sekarag #DebatSinar
 
 
Nazir JayJay ‏@nazirjay
Berakhir dengan aman? Ye ke? Sape yang muka sebenarnya ni? #keliru #debatsinar
 
 

Syawal Hafriz ‏@syawalhafriz
Persoalan yang tidak dijawab: demonstrasi jalanan mungkin tidak mengukuhkan tapi adakah ia meruntuhkan demokrasi? #DebatSinar


Wan Mohd Firdaus™ ‏@firdzwann
@saifuddinabd tanya teruk sangat ke kerajaan yang ada sekarag, siapa banding dengan firaun. Apa bezanya?? #debatsinar



Nooraisha Geoffrey ‏@aishageoffrey
Ayah saya cakap kan, kan best kalau setiap minggu ada 'show' macam #debatsinar ni. Cc. @NajibRazak
 
 
Nazir JayJay ‏@nazirjay
Ok. Salahuddin boleh terus jadi pembangkang. Dan PR juga boleh kekal kedudukan sebagai pembangkang sekali lagi. Sekian... #debatsinar

KES Anwar saman Nalla, Utusan dibicara 1 Nov

Posted: 20 Jun 2012 05:10 AM PDT


 
Bernama
 


 
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 1 November untuk perbicaraan kes saman fitnah berjumlah RM100 juta yang difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Presiden Parti India Malaysia Senator Datuk S Nallakaruppan dan dua lagi.
  
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh itu selepas peguam Mohd Afiq Mohd Noor yang mewakili Anwar memaklumkan bahawa pihaknya telah memfail afidavit jawapan terhadap pernyataan pembelaan Nallakaruppan.
  
Pada 26 Mac, Anwar memfail saman terhadap Nallakaruppan, Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan Ketua Pengarang Kumpulan akhbar berkenaan, Datuk Abdul Aziz Ishak, berhubung perkataan-perkataan beliau (Nallakaruppan) yang mencemar nama baiknya melalui kenyataan yang disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 Mac.
  
Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata perkataan fitnah yang terkandung dalam artikel akhbar berkenaan adalah palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat.
  
Anwar mendakwa beliau menghantar surat tuntutan menerusi peguamnya kepada defendan supaya menarik balik perkataan yang berbaur fitnah itu tetapi mereka gagal berbuat demikian.
  
Beliau menuntut gantirugi am berjumlah RM100 juta, selain gantirugi teruk, gantirugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - Bernama

BN boleh menang P Pinang 'dengan majoriti mudah '

Posted: 20 Jun 2012 04:34 AM PDT

 
Susan Loone
 


 
WAWANCARA Umno Pulau Pinang yakin BN boleh merampas  semula negeri itu dengan majoriti mudah jika parti komponen MCA dan Gerakan dapat menyumbangkan sekurang-kurangnya lapan kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.

NONESetiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim berkata
berdasarkan kiraan parti itu, BN mempunyai peluang untuk memenangi Pulau Pinang kerana pentadbiran kerajaan negeri itu yang diterajui DAP selama empat tahun, telah mendedahkan banyak kelemahan.

Azhar - ADUN Penaga dan Ketua Pembangkang DUN negeri - berkata BN kalah teruk dalam pilihan raya umum 2008, dengan Umno hanya memenangi 11 kerusi manakala parti komponen BN yang lain, kalah semua kerusi mereka.

Bercakap dalam wawancara dengan Malaysiakini, beliau berkata, BN percaya kali ini tidak akan seteruk 2008.

Azhar berkata, tinjauan Wanita Umno mendapati parti itu boleh mengekalkan 11 kerusi yang diwakilinya, serta memenangi sekurang-kurangnya dua atau tiga kerusi lagi.

Gerakan dan MCA telah mengakui bahawa calon-calon mereka mungkin tidak dapat memenangi semua kerusi yang ditandingi, tetapi merasakan mereka mempunyai peluang jika mereka mensasarkan kerusi seperti Jawi dan Machang Bubok di tanah besar.

Jawi sebelum ini diwakili oleh Ketua Wanita MCA negeri, Tan Cheng Liang, yang disifatkan oleh Azhar sebagai seorang pemimpin "yang baik dan rajin".

permatang pauh by election bn and pkrMachang Bubok, yang dahulunya diwakili exco Gerakan negeri Toh Kin
Woon, dan kini diwakili oleh Tan Hock Leong dari PKR, yang diserang angin ahmar.

Machang Bubok pula terletak dalam kawasan Parlimen Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, tetapi menurut Azhar, kehadiran Ketua Umno Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Kadir semakin dirasai di situ.

Umno memberi tumpuan kepada kerusi PKR di Batu Maung, yang diwakili Ahli Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim, dan Sungai Bakap, yang diwakili oleh Maktar Shapee.

Azhar mendakwa Pakatan Rakyat, khususnya PKR kini dalam "keadaan serabut" dan begitu juga dengan PAS, yang menurutnya, pemimpin parti itu mengeluarkan kenyataan yang berbeza untuk mengelirukan rakyat.

"Satu ketika ia (mengenai mewujudkan) negara Islam, kemudian mengambil pendekatan yang lebih lembut seperti negara kebajikan, tetapi kemudian mereka bercakap tentang hukum hudud. Rakyat (di kawasan luar bandar) sangat keliru," katanya.

"Jika pengerusi DAP Karpal Singh menentang undang-undang hudud, Mursyidul Am PAS hanya berkata ia pendapatnya sendiri. Itulah sebabnya kita katakan PAS jadi kuda tunggangan DAP."

Tujuan demo bukan mahu guling kerajaan, kata Salahuddin

Posted: 20 Jun 2012 04:24 AM PDT

Jamilah Hamzah
Tujuan demo bukan mahu guling kerajaan, kata Salahuddin
  Suasana di Auditorium Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam - tempat berlangsungnya Debat Sinar malam ini.
 
 
SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, demonstrasi anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangkang bukan bertujuan mahu menggulingkan kerajaan, sebaliknya bertujuan memperkukuhkan institusi yang mengamalkan prinsip demokrasi.

Sehubungan itu beliau berkata, Pakatan Rakyat (PR) akan terus menyuburkan demonstrasi sebagai salah satu cara untuk membentuk negara yang mangetengahkan suara-suara rakyat dalam memacu kerajaan.

"Demonstrasi yang diadakan kami (PR) melalui Bersih 3.0 terutamanya bukan untuk meruntuhkan (kerajaan semasa) tapi mengukuhkan kerajaan dan menuntut hak demokrasi yang diamalkan oleh negara.

"Jika negara menerima demonstrasi ia adalah pengukuhan untuk negara, tapi sekiranya tidak ia adalah keruntuhan bagi sesebuah negara," katanya pada Debat Sinar di sini, malam ini.

Salahuddin juga berkata, demonstrasi yang diadakan dengan niat yang betul adalah cara untuk membantu rakyat dan menjadi salah satu "tarikan pelancong" jika keadaan itu tidak dicemari oleh provokasi pihak tertentu.

"Kita masih belum sampai satu sistem yang sempurana tapi sedang menuju ke arah kesempurnaan dan sekiranya kita (PR) cukup ruang tidak akan ada demonstrasi jalanan ini lagi.

"Demonstrasi jadi salah satu cara untuk membantu rakyat dan tarikan pelancong jika tiada gas pemedih seperti perarakan perayaan Thaipusam oleh masyarakat India ke Batu Caves," katannya lagi.

Dalam pada itu, Salahuddin juga berkata, demonstrasi yang mengukuhkan kerajaan membuka ruang baru kepada demokrasi yang dibawa negara dan akan memberi peluang kepada semua untuk menyuarakan hak secara aman jika Putrajaya dikuasai PR nanti.

"Demonstrasi adalah ruang untuk rakyat suarakan pendapat dan pembangkang menutut hak. Jika PR dapat kuasai Putrajaya nanti, Barisan Nasional juga akan diberi hak yang sama tanpa sebarang provokasi yang berlaku terhadap kami," katanya.

PR beri BN ruang demo jika menang PRU13

Posted: 20 Jun 2012 04:10 AM PDT

Jamilah Hamzah

PR akan beri BN ruang demo jika menang PRU13
Debat Sinar yang dijayakan oleh Saifuddin Abdullah (kiri) dan Salahuddin Ayub. Ia berlangsung di Auditorium Kompleks Media Karangkraf malam tadi.
 
 
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) berjanji akan memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasioanal (BN) untuk mengadakan demonstrasi, dengan menyediakan garis panduan yang tidak menganiaya peserta demonstrasi, jika diberi peluang mentadbir Kerajaan Pusat.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, demonstrasi yang diadakan PR bukan langkah untuk gulingkan kerajaan tapi untuk memberi ruang kepada rakyat serta pembangkang dalam menuntut hak mereka daripada pemerintah.

"Kami akan bagi ruang pada BN nanti sekiranya kami kuasai Putrajaya.

"BN yang ketika itu sebagai parti pembangkang akan dibenarkan berhimpun atau melakukan demonstrasi secara aman tanpa ada sebarang kekecohan atau provokasi yang terjadi kepada perhimpunan yang disertai PR lalu," katanya dalam Debat Sinar malam tadi.

Beliau juga berkata, PR akan menghapuskan doktrin undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara sepenuhnya jika mereka diberi peluang untuk menerajui negara.

"Kalau PR ambil alaih Putrjaya malam ini, kami akan hapuskan terus doktrin undang-undang dan kebebasan suara dapat diberikan kepada rakyat spenuhnya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, demonstrasi yang diadakan PR telah dicemari provokasi oleh pihak tertentu dengan pelbagai insiden yang berlaku terutamanya Bersih 3.0 April lalu.

"Perhimpunan Bersih 3.0 lalu telah dicemari provokasi pihak tertentu yang nyata pesertanya hanya membawa botol dan garam dalam perhimpunan tersebut.

"Penguat kuasa telah melepaskan gas pemedih dan gunakan cota menyebabkan perhimpunan tersebut bertukar buruk," katanya.

Sementara itu, Salahuddin turut menyatakan PR akan memberi arahan prosedur operasi standard (SOP) yang betul kepada pasukan polis untuk menjaga demonstrasi yang di ketuai BN kelak katanya.

C: Kes Adam Adli tak wakili Upsi

Posted: 20 Jun 2012 04:07 AM PDT

HIDAYAH HAIROM

NC: Kes Adam Adli tak wakili Upsi
 Adam Adli ketika menyertai satu perhimpunan di Kuala Lumpur Januari lalu.


KUALA LUMPUR - Insiden yang melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Adam Adli Abdul Halim, yang digantung tiga semester, tidak seharusnya dijadikan kayu ukur dalam menilai imej pusat pengajian tinggi itu kerana ia tidak menggambarkan pendiriana dan majoriti pelajarnya.

Bagaimanapun Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa tidak dinafikan imej Upsi sejak kebelakangan ini sedikit tercalar berikutan kontroversi membabitkan Adam Adli.

Sehubungan itu tegas beliau, kes tersebut tidak mewakili Upsi dan para pelajarnya.

"Majoriti pelajar Upsi sangat cintakan keamanan dan pembelajaran. Janganlah disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga.

"Upsi kini sudah berusia 90 tahun dan telah melahirkan ramai pakar dalam pendidikan dan juga tokoh negara yang telah banyak menabur jasa kepada nusa dan bangsa tercinta," kata beliau pada Majlis Makan Malam Upsi Bersama Media, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Omar Abdul Kareem.

Awal Januari lalu, Adam Adli digantung tiga semester oleh Upsi selepas didapati bersalah menurunkan bendera tertera wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Umno.

Keputusan itu berkuat kuasa mulai hari ini.

Adam Adli berhadapan dengan tekanan ekoran tindakannya menurunkan bendera tertera wajah Najib di pekarangan Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, 17 Oktober lalu. Beliau juga dikaitkan dengan tindakannya terlibat alam demonstrasi di hadapan Upsi awal pagi 1 Januari lalu.

Sementara itu, turut disentuh dalam ucapan Naib Zakaria ialah perkembangan terbaru Upsi yang mana kini mempunya kampus baru yang mampu mempertingkatkan tahap pembelajaran yang lebih sempurna.

Zakaria berkata, kampus yang terletak lapan kilometer dari kampus sedia ada iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjung Malim, akan memberi impak pembangunan kepada kawasan sekitarnya yang bertempat di Proton City.

"Kampus ini baru dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia, Sultan Azlan Shah dan ia terletak berdekatan dengan Pusat Komersial Bandar Proton dan Kilang Proton, lengkap dengan kawasan berlatar belakangkan kehijauan Banjaran Titiwangsa.

"Keindahan sumber alam semula jadi ini akan memberikan satu persekitaran yang sempurna untuk menambah nilai dalam proses pembelajaran pelajar institusi ini," katanya.

Berundurlah Secara Terhormat

Posted: 20 Jun 2012 03:56 AM PDT

 

Ke hadapan Mat Isa Samad yang dihormati.... surat senja saya ini ringkas sahaja untuk menyatakan sesuatu kepada saudara demi parti saudara dan juga perdana menteri saudara yang juga perdana menteri kita semua Ha Najib Razak. Ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang membekukan sementara perlantikan saudara sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan keahliannya dalam koperasi tersebut swajarlah audara berfikir mengenai kedudukan saudara sebagai Pengerusi Felda.

Bagi pandangan saya saudara hendaklah berhenti serta menyerta daripada menjadi pengerusi Felda. Saudara harus faham keputusan mahkamah itu walaupun bersifat sementara tetapi ia memberi kesan moral yang tinggi terhadap saudara. Ia mempunyai simbolik tersirat bahawa kedudukan saudara sebagai tidak sah.
Makanya tindakan mahkamah itu sudah cukup untuk saudara menilai kedudukan saudara disitu telah menimbulkan masalah dan musibah. Saudara tidak dapat lagi mempertahankan kedudukan saudara itu dengan apa juga alasan termasuk perlantikan saudara itu atas kehendak dan bidang kuasa perdana menteri.

Saya tetap percaya dan yakin kalau Ha Najib dapat menduga awal perlantikan saudara memegang teraju lembaga tanah itu menimbul masalah besar beliau akan berfikir tujuh kali untuk berbuat demikian. Pasti juga Najib akan memberi jawatan atau kedudukan lain kepada saudara sebagai 'suaka' politik dirinya. Fahamkan maksud tentang ayat ini?

Berani saya mengatakan Najib tidak terfikir akan implikasi dengan perlantikan saudara itu. Sekali fikir untuk tidak menjadikan Felda huruhara dengan perlantikan saudara itu, beliau merelakan saudara untuk mendedahkan hal-hal peribadinya yang berada dalam pengetahuan saudara termasuk apa dinamakan skandal Najib dengan seorang artis.

Tetapi sayang Najib tidak mempunyai pembacaan yang tinggi terhadap kemampuan saudara dan tidak sangka yang pegawai tinggi Felda dan peneroka akan bertindak ke atas saudara. Mungkin Najib juga tidak terfikir para peneroka berani untuk bertindak kerana mereka sudah diberi makanan dan minuman yang cukup. Sebaliknya apa yang Najib harap itu terjadi sebaliknya.

Saudara hendaklah faham juga masalah yang timbul bukan menjejaskan wibawa saudara sebagai orang politik dan juga pengerusi Felda semata-mata tetapi ia turut sama mengheret parti saudara, Umno dan juga perdana menteri Ha Najib Razak. Tidak boleh disembunyikan lagi sejak saudara berada di dalam Felda ia menjejaskan banyak institusi berkenaan, memberi kesan buruk kepada Najib dan seluruh warga peneroka jadi bengong dan ada yang bergaduh sesama sendiri.

Kalau ada orang mengatakan Felda hari ini sudah hilang seri dan kedamaiannya ia bukan saja kerana pembangkang tetapi pangkalnya kerana saudara.

Apakah saudara tidak faham kekecohan atau pun gelora yang berlaku dalam Felda ke belakangan ini ia berpunca daripada saudara? Banyak tentangan dan bantahan dengan kehadiran saudara dalam warga Felda. Ibu pejabat Felda menjadi kelam kabut disebabkan saudara dan tindakan saudara. Felda yang sebelum ini tidak bergolak kini bergelumbang teruk gara-gara saudara. Melihat pergolakan dan keriuhan dalam Felda ia sekaan-akan boleh meruntuhkan menara baru dan menara lama Felda itu.

Mungkin saudara boleh mengatakan saudara layak menjadi Pengerusi Felda kerana saudara ada pengalaman sebagai Menteri Besar dan juga pernah menteri kabinet. Mungkin benar. Tetapi apakah maknanya kalau kehadiran saudara itu terus diperkatakan. Satu persepsi buruk yang meyelimuti diri saudara yang tidak mudah dilupakan warga Felda dan seluruh ahli parti saudara ialah mengenai hukuman yang pernah dijatuhkan ke atas diri saudara yang melakukan rasuah dalam pemilihan pucuk pimpinan parti saudara.

Hukuman itu sangat buruk untuk politik saudara dan reputasi siasah sudah juga terjejas. Pemaafan yang parti saudara berikan kepada saudara tidak akan menghilang rasa prejudis dan buruk terhadap saudara.

Di sini apa yang dapat difahami oleh saya apabila keahlian saudara dalam KFP dibekukan dan begitu juga kedudukan sebagai pengerusi dibekukan, bermakna kedudukan saudara mendatang masalah? Bahawa bukti dan tuduhan mengatakan kehadiran saudara di Felda itu haram ada kebenarannya. Iya jika saudara bertanggungjawab dan kesiankan Najib berundurlah dengan terhormat. Bersikaplah sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi.

Saya ingin memberi pandangan jangan saudara mengusutkan lagi keadaan dalam Felda yang kini sudah merebak ke luar di mana berpotensi untuk menyusahkan Ha Najib dalam pilihan raya umum akan datang. Walaupun busuk dalam Felda tidak boleh dinyahkan meskipun saudara telah meninggalkan institusi itu, tetapi sekurang-kurangnya kehanyiran Felda berkurangan sedikit bila sudara sudah meninggalkannya.

Saudara harus tanya kepada diri sendiri apakah saudara terus untuk membela diri sendiri atau pun membiarkan diri Felda terus 'berkucah' dan akhirnya akan menenggelamkan parti saudara dalam pilihan raya umum nanti. Renunglah sebagai mungkin surat senja saya ini kalau-kalau ada kebaikan dan manfaat di hujung titiknya.

Jambatan terpanjang di dunia, mampu menyerap gegaran gempa

Posted: 20 Jun 2012 03:50 AM PDT

SINAR HARIAN

Georgetown - Jambatan kedua Pulau Pinang akan menjadi yang terpanjang di dunia selain yang pertama menggunakan teknologi mampu menyerap gegaran gempa, kata Pengurus Bahagian Pembinaan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Zulkipli Nasri.

Beliau berkata produk penahan gempa tersebut dikenali sebagai Galas Getah Redaman Tinggi (HDRB) melalui penggunaan sistem pengasingan seismik yang berkesan berupaya melindungi struktur jambatan daripada kerosakan jika terjadi gempa bumi.

Bercakap kepada Bernama semasa sesi lawatan ke projek jambatan itu di sini hari ini, Zulkipli berkata HRDB itu adalah produk yang direkabentuk oleh Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) di United Kingdom, sebuah makmal milik Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Beliau berkata produk itu yang dihasilkan sepenuhnya di dalam negara dipasang pada setiap dek jambatan itu adalah peralatan inovatif melindungi bukan sahaja struktur tetapi juga isi kandungan dalam struktur.

"Kami percaya teknologi ini akan digunapakai dalam pembinaan jambatan lain di dalam dan luar negara," katanya.
  
Jambatan kedua tersebut berharga RM4.5 bilion sejauh 23.5 km dengan 16.9km struktur marin dibina bersama oleh UEM Builders Bhd dan CHEC Pembinaan (M) Sdn Bhd mulai tahun 2008 dijangka siap sepenuhnya pada September 2013.

Apabila siap nanti ia akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berlaku di negeri ini. Jambatan itu yang juga terpanjang di Asia Tenggara, menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dengan Batu Kawan di bahagian tanah besar.

Zulkipli berkata berdasarkan prestasi terkini, pihaknya menyasarkan pencapaian kemajuan keseluruhan projek melebihi 90 peratus pada akhir tahun ini.

Katanya, melihat pada kesungguhan pihak kontraktor melaksanakan pembinaan, jambatan mungkin dapat disiapkan dua bulan lebih awal daripada yang jadual.

"Kemajuan pembinaan sedikit sebanyak dipengaruhi faktor cuaca dan sekiranya keadaan mengizinkan, saya yakin projek akan siap lebih awal kerana setakat ini kemajuan telah 3.15 peratus mendahului jadual.
  
Beliau berkata sehingga ke hari ini kerja pembinaan jambatan telah 79.5 peratus siap dan pihaknya menyasarkan struktur jambatan dapat disiapkan pada akhir bulan Mac 2013.

Zulkipli berkata kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di kawasan  Batu Kawan akan mula dibina selepas jambatan kedua itu mula beroperasi pada 2014.

Beliau berkata kawasan R&R itu dibina di Batu Kawan dan tidak di atas jambatan seperti mulanya dirancang kerana ianya melibatkan kos yang tinggi, selain membabitkan ciri-ciri keselamatan pengguna.

"Banyak pihak terutamanya yang berkaitan keselamatan membantah pembinaan R&R di atas jambatan kerana selain isu keselamatan ia juga boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: