SIASAH |
'Raja-raja Melayu perlu nilai semula kedudukan' Posted: 22 May 2012 05:14 AM PDT Datuk Zaid Ibrahim, pengasas parti liberal Kita, muncul dengan buku terbaharu Ampun Tuanku: A Brief Guide to Constitutional Government, satu karya yang dijangka mencetus kontroversi ekoran penilaian kritikal terhadap institusi monarki. Zaid dalam bukunya itu menilai peranan dan kedudukan raja-raja Melayu dalam konteks hari ini, ketika perubahan politik semakin mencabar tradisi. Gambaran tentang ide-ide yang diwakili dalam buku itu telah disampaikan oleh Malik Imtiaz Sarwar, peguam dan aktivis hak asasi manusia yang merasmikan buku ketiga Zaid itu petang tadi. Menurut Malik dalam ucapan perasmiannya, perkembangan sejak kebelakangan ini menjadikan persoalan peranan raja-raja Melayu dalam pentadbiran negara semakin kritikal. "Dari segi sejarah, kita tahu kenapa raja-raja berada di kedudukan mereka itu. Tetapi persoalannya, apakah peranan mereka pada hari ini?" soal Malik. Katanya, pengalaman di Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang menyaksikan peranan raja dalam satu perubahan parti pemerintah menjadikan isu ini penting untuk dinilai. Menurut Malik lagi, rakyat Malaysia kini tidak lagi hanya membenarkan sahaja apa yang berlaku, merujuk kepada episod peralihan kuasa di Perak pada awal 2009 yang menyaksikan peranan sultan dicabar oleh peguam yang juga pemimpin DAP, Karpal Singh. Katanya lagi, berdasarkan kes Perak pada 2009 dan krisis pelantikan menteri besar di Terengganu pada 2008, persoalan yang besar timbul berhubung peranan monarki pada pilihan raya akan datang. Ekoran episod perubahan parti pemerintah di Perak, kontroversi tercetus hasil daripada tindakan pihak Pakatan Rakyat yang didakwa membelakangi perintah sultan. Di Terangganu, parti pemerintah Umno pula berdepan dengan tindakan sultan yang menolak menteri besar yang dipilih oleh parti tersebut. "Kita perlu memikirkan apa yang akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Apa yang boleh kita harap peranan yang akan dimainkan oleh raja-raja?" soal Malik. Malik walau bagaimanapun cuba melunakkan mesej yang disampaikan dengan menegaskan yang buku itu bukanlah sesuatu yang bersifat "antimonarki atau republikan," tetapi pada masa sama menegaskan bahawa raja-raja Melayu perlu "menilai semula kedudukan mereka agar dapat memimpin rakyat ke arah masa depan yang kita mahukan." Pelancaran buku oleh pemimpin parti Kita itu, dengan sokongan peguam-aktivis liberal memperlihatkan satu kesungguhan kelompok liberal memperjuang dan mempromosi ide mereka, dalam usaha memgambil tempat dalam lapangan politik yang semakin terbuka masa kini. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan