Selasa, 1 Mei 2012

PERAKITE

PERAKITE


Polis lebih ganas pada BERSIH 3.0

Posted: 01 May 2012 05:06 AM PDT


Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata tindakan pihak polis ke atas peserta perhimpunan BERSIH 3.0 diperhatikan "lebih ganas" berbanding ketika menangani perhimpunan sebelum ini.
Perkara itu merupakan antara yang dimuatkan dalam laporan awal badan itu, berdasarkan pemerhatian ke atas perjalanan perhimpunan tersebut.

Laporan awal itu disusun daripada laporan oleh seramai 78 orang sukarelawannya yang membuat pemerhatian di enam lokasi semasa perhimpunan tersebut.

"Pemerhati kami menyaksikan lebih banyak keganasan polis (tahun ini), lebih banyak penggunaan meriam air dan gas pemedih mata sesuka hati, dan lebih banyak kepungan terhadap peserta himpunan," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau mempertikaikan tindakan polis yang menembak gas pemedih mata terus ke arah peserta himpunan dan tidak memberikan ruang kepada kumpulan itu untuk bersurai.

"Kami memerhatikan beberapa amalan kepolisan yang sangat buruk kali ini. Mereka tidak seharusnya menembak terus gas pemedih mata ke arah peserta apabila peserta berhimpit-himpit dan berasak sesama mereka.

"Kita bernasib baik tiada sesiapa dipijak. Polis seharusnya memberi ruang untuk orang ramai bersurai dan beredar," katanya.

NIZAR MAHU PM SAHKAN ..

Posted: 01 May 2012 05:03 AM PDT

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak berniat mengheret Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke kancah politik melalui dakwaan konon perdana menteri mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan pasukan itu berhubung pilihan raya.

Jelasnya, beliau membangkitkan perkara itu dalam ceramahnya supaya Datuk Seri Najib Razak sendiri mengesahkan atau menafikan perkara itu supaya ia tidak menjadi khabar angin semata-mata.

"Saya tidak mengheret ATM ke politik kepartian tetapi sekadar memuliakan ATM agar berpegang kepada Perlembagaan dan bersifat profesional.

"Adalah dalam konteks ini saya bertanya agar perkhabaran mengenai ATM dan PM mesti dijelaskan," kata timbalan pesuruhjaya PAS Perak itu.

Mengulas lanjut, Nizar berkata beliau juga mahu ATM lebih berwaspada agar tidak sama terlibat dalam kancah politik kepartian seperti yang didakwanya pernah berlaku di negeri Perak.

Ahli parlimen Bukit Gantang itu dalam satu ceramahnya pada 22 April lalu mendakwa Najib menemui pegawai tertinggi ATM dan meminta mereka berbuat sesuatu jika BN tewas dalam pilihan raya akan datang.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Angkatan Tentera Malaysia yang bertegas mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Mohammad Nizar kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap pasukan keselamatan.

Susulan dakwaan itu, Nizar kini disiasat mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan selepas enam laporan polis dibuat terhadap beliau.

Tiada ulasan: