Khamis, 24 Mei 2012

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Surat terbuka Dr Maszlee kepada Hassan Jati

Posted: 24 May 2012 09:34 PM PDT


Selepas debat PTPTN antara Rafizi dan Khairi, populariti moderator debat iaitu Dr. Maszlee Malik naik mendadak. Mungkin sebelum ini masyarakat umum ramai tidak mengenalinya tetapi selepas ini ramai yang menyebut-nyebut namanya sebagai seorang moderator yang berkaliber dan terus terang.


Akibat cabaran yang di lontarkan kepada najib dan Anwar sebagai penutup tirai debat tersebut, ramai pencacai United Malays National Organisation (Umno) tidak berpuas hati. Ini surat terbuka Dr. Maszlee Malik kepada Dr. Hassan Ali yang beliau tulis dalam blognya.. 
Assalamualaykom w.b.t.

YB Dato' Dr Hasan Ali yang saya hormati,

Saya kira tidak perlulah saya perkenalkan diri saya memandangkan Dato merupakan tokoh dan sahabat yang saya kagumi. Saya kira, Dato' juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Dato' sekeluarga. Secara ikhlas, saya mula mengkagumi Dato' sebagai motivator semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Dato' menceburkan diri ke dalam bidang politik. Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Dato' mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan. Kesedaran bahawa apa yang telah Dato' lemparkan kepada mantan parti Dato' sendiri, iaitu PAS, di dalam kenyataan-kenyataan Dato' di media dan juga lewat ceramah-ceramah Dato' yang bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk menulis surat terbuka ini.

Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Dato' untuk menilai beberapa kenyataan Dato' dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya. Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah sebagai tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang saya pikul dan bukannya sebagai ahli politik. Saya bukanlah ahli parti PAS, yang tampil untuk membela PAS dari serangan Dato'. Maka saya bertegas menyatakan apa yang saya tulis ini hanyalah semata-mata pendangan orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Dato' mahupun kepada parti PAS yang telah memecat Dato'.

Saya kira Dato' mungkin telah maklum dengan pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat (Arab Spring). Kemenangan kesemua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti yang telah dianalisis oleh pakar politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga perkara utama: 'Wacana Islam moderat yang segar'; Kesediaan 'perkongsian kuasa' (power sharing); dan juga 'pengaruh di kalangan rakyat' melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.

Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat yang segar ialah kemampuan gerakan-gerakan tersebut untuk menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyat dan apa yang diperlukan oleh sesebuah Negara di dalam pendekatan mereka. Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti. Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik 'Dawlah Islamiyyah' (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya. Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah Islam 'secara paksaan' seperti yang pernah dilakukan oleh Taleban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka. Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator. Perkara ini telah membuatkan ramai dari kalangan pengkaji di barat telah mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).

Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah prinsip. Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian. Apa yang berlaku ialah proses kematangan gerakan-gerakan terlibat untuk melihat Islam dalam kerangkanya yang lebih luas dan komprehensif. Kejayaan beberapa individu berlatarbelakangkan Islamis di Turki melalui agenda neutral AKP, telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan tersebut. Wacana ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS yang Dato pernah sertai dahulu. Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh model Iran yang pernah mendominasi wacana gerakan-gerakan Islam sedunia dengan melaungkan pembinaan sebuah republik Islam dan juga pemerintahan mutlak golongan agama (Wilayatul Faqih).

Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa perubahan. Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan. Menurut kajian saya ke atas wacana baru PAS, terutamanya melalui konsep 'Negara Berkebajikan', PAS juga tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Dato' merasakan pendekatan baru PAS ini bermakna PAS telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Dato' tersilap. Perubahan pada PAS bukanlah kerja parasit sepertimana yang Dato' dakwa, tetapi ianya merupakan satu dinamisme tabi'i bagi sebuah gerakan Islam yang matang. Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada PAS, maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit. Timbul dilemma di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideolog gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti parasit? Apakah mungkin Dato ingin mengatakan bahawa Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?

Yakinlah Dato', sepertimana gerakan-gerakan tersebut telah berjaya mendapatkan majoriti undi di dalam pilihanraya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, PAS juga sedang meniti langkah tersebut. Inilah yang ditakuti oleh UMNO dan kerajaan BN. Pihak lawan tidak mahukan PAS mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak Lebai dan Pak Haji. Pihak lawan juga tidak mahu PAS bangkit sebagai parti milik semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa PAS dikenali sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang. Malang sekali apabila Dato' pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang perubahan pada PAS. Lebih malang lagi kini Dato' menjadi suara pihak lawan untuk memaksa PAS kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang telah dilelong oleh pihak UMNO dan BN.

Saya yakin, di dalam PAS masih terdapat segelintir yang termakan umpan Dato' lantas mempercayai kewujudan parasit. Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar sahaja. Ada di antara mereka juga yang berkepentingan, lantas menggunakan hujah Dato' untuk kekal berpengaruh, tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya. Melalui pengamatan saya, PAS akan terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka mereka. Seperkara yang perlu Dato' ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa'ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Dato' tidak dapat bersama lagi dengan realiti baru ini.

Apabila melihat kepada isu 'Negara Berkebajikan' pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen 'Negara Berkebajikan' PAS dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati PAS ternyata senada dengan mereka yang telah Berjaya di negara masing-masing. Saya berkeyakinan gagasan 'Negara Berkebajikan' merupakan satu langkah drastik PAS di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada. Prinsip-prinsip konsepsual 'Negara Berkebajikan' yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti PAS. Jelas sekali PAS sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut positif oleh Dato', malah dipandang sinis.

Melihat kepada isu hudud yang Dato' anggap telah ditinggalkan oleh PAS, saya kira itu juga agak kurang tepat. Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat PAS dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud. Apa yang menarik ialah pendekatan PAS yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai. Apa yang saya dapati melalui metod obervasi ke atas ruang 'discursive' PAS selama ini, PAS tidak memilih untuk memaksakan hudud ke atas orang lain secara kekerasan. Malah di dalam banyak kenyataan PAS, mereka bersedia untuk mendengar suara majoriti di dalam melaksanakan hukum jenayah Syariah itu. Pendekatan diplomasi PAS ini harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme PAS dan keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten PAS inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui 'Kelab Penyokong PAS'.

Akhirkata, jika Dato' benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Dato' lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Dato'. Sebagai seorang motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai waktunya Dato' untuk turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Dato' miliki. Mungkin juga Dato' boleh menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran. Jika dulu mungkin Dato' sibuk dengan tugas exco, kini Dato' lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Dato' yang ingin menjaga aqidah itu. Saya kira Dato' juga boleh berdakwah di Hard Rock Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja murni Dato' itu. Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Dato' untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Dato' kerahkan dari seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyela
matkan aqidah umat Islam secara praktikal. Saya amat meyakini, jika Dato' berdakwah seperti itu, Dato' akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai 'pejuang aqidah yang sebenar!'.

Dr Maszlee Malik
Ahli Akademik Politik Warga
UIAM

Kes Khalid Samad saman Utusan : Keputusan berpihak kepada Khalid

Posted: 24 May 2012 05:25 PM PDT

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad membayar RM60,000 sebagai ganti rugi kepada Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad kerana menerbitkan artikel bersifat memfitnah di akhbar itu dua tahun lepas.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus, Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Abdul Wahab Patail sebulat suara menolak rayuan
Utusan Melayu selepas memutuskan notis rayuan syarikat itu tidak kukuh.

Mahkamah membenarkan  permohonan Khalid untuk membatalkan notis rayuan Utusan Melayu dengan alasan ia tidak kukuh kerana gagal mematuhi Seksyen
68(1)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Seksyen itu menyatakan rayuan untuk tuntutan kurang daripada RM250,000, kebenaran mesti diperoleh daripada mahkamah untuk mengemukakan rayuan.
Utusan mengambil pendirian bahawa ia tidak memerlukan kebenaran untuk merayu berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2011 dalam kes Harcharan Singh, Sohan Singh melawan Ranjit Kaur S.Gean Singh.

Hishamuddin juga memerintahkan Utusan Melayu membayar kos RM10,000.
Pada 14 Oktober 2011, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas membuat taksiran kerosakan yang dialami, memberi award itu kepada Khalid.
Pada 30 Septemner tahun yang sama mahkamah membenarkan tuntutan saman Khalid dan memutuskan Khalid dapat membuktikan kesnya bahawa beliau telah difitnah dan dimalukan oleh defendan dalam artikel bertajuk 'Zulkifli bidas Pak Janggut'.
Ahli Parlimen Pas itu menamakan Ketua Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, Datuk Aziz Ishak serta penerbit Utusan Malaysia dan Mingguan
Malaysia, Utusan Melayu, sebagai pihak defendan.

Beliau mendakwa pada 11 September 2009, Aziz dengan niat jahat, membenarkan penyiaran dan pencetakan perkataan berbaur fitnah terhadapnya di muka depan Utusan Malaysia.
Defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menyatakan penyiaran artikel berkenaan dibuat berdasarkan komentar Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkfli Noordin dalam blognya pada 9 September 2009.
Khalid diwakili peguam Azhana Mohd Khairudin manakala Utusan Melayu diwakili Mohana Kumar. - Bernama

[Video] Selepas BERSIH 4 kini muncul pula HALAU 1.0 depan rumah Ambiga petang tadi ... hahaha

Posted: 24 May 2012 09:20 AM PDT

Ceramah PKR Lembah Pantai dibaling batu, telor. Bekalan eletrik dipotong

Posted: 24 May 2012 08:30 AM PDT

KUALA LUMPUR 24 Mei : Ceramah PKR di perkarangan flat di Lembah Pantai di sini menjadi kecoh apabila beberapa individu membaling batu, telur dan botol air ke arah hadirin yang berkumpul untuk mendengar ucapan daripada pemimpin kanan parti itu.
Seorang penonton ceramah tersebut yang diadakan di dalam perkarangan flat Pantai Permai cedera selepas terkena batu yang dilemparkan daripada arah yang tidak diketahui.
Beberapa penonton lain terkena telur sejurus selepas Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar memulakan ucapannya pada kira-kira pukul 10.30 malam.
Serangan telur tersebut bermula sejurus bekalan elektrik kepada pentas ceramah itu dipotong dan keadaan menjadi gelap.
Peralatan Krew TVSelangor yang berada dilokasi tersebut untuk tujuan siaran langsung juga terkena serpihan telur yang dilemparkan.
Suasana dikatakan tegang dari pukul 8 malam ekoran sebuah lagi ceramah Umno-BN yang telah diadakan berhampiran tapak ceramah PKR.
Wartawan TVSelangor berkata beberapa kumpulan mat rempit yang berkeliaran di jalan ke flat tersebut bertindak membunyikan enjin motosikal mereka dengan kuat untuk menganggu ucapan.
Setelah beberapa minit, bekalan elektrik ceramah itu dapat disambung semula.
Bagi menenangkan keadaan, Nurul Izzah di dalam ucapannya berkata provokasi tersebut diadakan kerana Umno-BN takut akan kehadiran Pakatan. - Media Selangorku

TERKINI : Prof Aziz Bari sertai Keadilan

Posted: 24 May 2012 06:54 AM PDT

KUALA LUMPUR 24 Mei: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan empat muka baru yang menyertai parti itu bakal menerajui bersama-sama kepimpinan sedia ada.
Mereka adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari, Pakar Perlembagaan dan bekas tokoh akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); bekas Pengurus Kanan Am Jabatan Perniagaan Antarabangsa di Nam Fatt Corporation Berhad, Koh King Kee; bekas Pegawai Tertinggi Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM), Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khattab dan bekas pengarang laman portal online The Malaysian Insider, Praba Ganesan.
Menurut Azizah, kesemua tokoh terbabit merupakan kebanggaan parti kerana penyertaan mereka dalam KEADILAN memberikan gambaran bahawa perjuangan Pakatan Rakyat (PR) bukan angan-angan kosong tetapi komited dalam memperjuangkan keadilan demi rakyat.

Beliau yang mengalu-alukan penyertaan empat tokoh itu bagaimanapun turut membuka pintu kepada mana-mana tokoh lain jika mahu menyertai parti itu.
"Abdul Hadi merupakan individu yang memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia dan Panglima Angkatan Tentera atas pemecatan yang tidak sah beliau berhubung kehilangan dua enijn jet pejuang FSE dari kem TUDM di Sungai Besi.
"KEADILAN dengan tanpa syak telah melantik beliau sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Keselamatan KEADILAN," katanya pada kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ganesan pula dilantik Pengurus Strategi Media Sosial KEADILAN.
"Manakala bekas Pengarang laman portal online The Malaysian Insider, Praba Ganesan yang sangat berpengalaman dalam media baru dilantik sebagai Pengurus Strategi Media Sosial KEADILAN yang akan merancang dan melaksanakan strategi berkaitan media sosial parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal menjelang.
"Penyertaan Dr Abdul Aziz Bari pula sangat membanggakan KEADILAN kerana kepakaran dan karismatik beliau menguntungkan perjuangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam usaha 'Merdeka Rakyat' dari rejim Umno dan Barisan Nasional (BN)," kata Wan Azizah lagi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=30814

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

lorazepam drug ativan and alcohol death - ativan generic name classification