WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
Empat tokoh profesional masuk PKR Posted: 24 May 2012 07:23 AM PDT KEADILAN dengan berbesar hati ingin mengumumkan penyertaan empat orang tokoh profesional sebagai anggota KEADILAN. Mereka adalah Koh King Kee, bekas Pengurus Kanan Am Jabatan Perniagaan Antarabangsa di Nam Fatt Corporation Berhad, Brigadier Jeneral (B) Abdul Hadi Abdul Khatcab, Praba Ganesan, bekas Pengarang laman portal berita internet The Malaysian Insider dan Dr.Abdul Aziz Bari (gambar bawah), bekas pensyarah undang-undang di Universiti Antabangsa Malaysia (UIAM). Koh King Kee yang merupakan graduan lepasan Universiti Malaya, pernah menjadi tahanan ISA pada Disember 1974 disebabkan beliau bergiat aktif memperjuangkan KEADILAN sosial. Beliau seorang tokoh korporat yang sentiasa mengikuti perkembangan politik tanah air walaupun pada ketika beliau menyambung pelajaran di University of Wisconsin dan berkhidmat di syarikat swasta di Beijing. Atas kepakaran dan pengalaman beliau, KEADILAN telah melantik beliau sebagai Penyelaras Penyelidikan bagi membantu usaha KEADILAN dan Pakatan Rakyat memenangi kerusi-kerusi dalam Pilihanraya Umum yang akan datang. Brigadier Jeneral (B) Abdul Hadi Abdul Khattab pula merupakan bekas pegawai tertinggi Tentera Udara Di-Raja Malaysia (TUDM) yang pernah memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia atas pemecatan yang tidak sah beliau berhubung kehilangan dua enjin jet pejuang F5E dari kem TUDM di Sungai Besi. KEADILAN dengan tanpa syak telah melantik beliau sebagai Pengerusi Perundingan Keselamatan KEADILAN. Manakala Praba Ganesan yang sangat berpengalaman dalam media baru telah dilantik sebagai Pengurus Strategi Media Parti KEADILAN Rakyat yang akan merancang dan melaksanakan strategi berkaitan media sosial Parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang bakal menjelang. Penyertaan Dr. Abdul Aziz Bari sangat membanggakan KEADILAN kerana kepakaran dan karismatik beliau begitu menguntungkan perjuangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam usaha me-"MERDEKA"-kan RAKYAT dari rejim UMNO dan Barisan Nasional. KEADILAN sangat mengalu-alukan penyertaan empat tokoh profesional ini dan membuka seluas-luas pintu kepada mana-mana tokoh atau individu yang ingin turut serta bersama KEADILAN dalam memperjuangkan agenda reformasi dan keadilan untuk masa depan Malaysia yang cerah. *Kenyataan media oleh Wan Azizah Wan Ismail (gambar kiri) selaku Presiden Parti KEADILAN Rakyat. |
Imperialisme dan penjajahan minda Posted: 24 May 2012 07:21 AM PDT Susulan pengumuman Menteri Pengajian Tinggi Malaysia bahawa para mahasiswa dan mahasiswi Malaysia perlu mementerai perjanjian "do's and don'ts", yang dipetik daripada akhbar harian The Star bertajuk "Public varsity students must sign do's and don'ts contract," telah menimbulkan beberapa persoalan dalam minda saya. Walau bagaimanapun saya hanya akan mengetengahkan beberapa persoalan utama bagi kupasan penulisan kali ini. Persoalan ini ingin saya sampaikan kepada semua warga Universiti dan juga masyarakat yang mendukungnya. 1. Apakah ini satu lagi mekanisme baru bagi menyekat dan membendung perkembangan minda siswa dan siswi Malaysia? 2. Beginikah budaya demokrasi dipupuk dalam insitutisi pengajian tinggi yang dikenali sebagai Menara Gading? 3. Bukankah tindakan dan perilaku sebegini hanya menuju ke arah pemikiran yang tertutup dan sekali gus menafikan proses berfikir itu sendiri sama sekali? 4. Bidang Kemanusian dan Sains Sosial semakin berkembang pesat di Malaysia, dalam konteks itu adakah langkah yang dipelopori ini sejajar dengan perkembangan ilmu-ilmu ini? 5. Apakah yang cuba dicapai melalui pementeraan perjanjian seperti ini? Udang jenis apa di sebalik Mee Segera ini? Ternyata, melalui cara sedemikian siswa-siswi secara halus semakin kehilangan hak bersuara, dan lebih parah lagi ialah keadaan yang mana hak untuk mempunyai pandangan serta pendapat juga disekat melalui permenteraan seperti ini. Malah tahap kepintaran, kecerdikan dan intelektual golongan mahasiswa juga diperlekeh serta diremehkan dengan pelaksanaan perkara sedemikan rupa. Pergerakan siswa dan siswi di Malaysia telah pun bertapak sebelum 1930-an lagi. Kebanyakan aktiviti pergerakan pada masa itu dipelopori oleh siswa dan siswi dari Sultan Idris Trainning Collage (SITC) yang kini dikenali sebagai UPSI yang mana mereka menentang dasar-dasar British dan ke arah mencapai kemerdekaan. Pada era 1950-an pula, Universiti Malaya (UM) yang pada ketika itu berpusat di Singapura melahirkan begitu ramai aktivis siswa dan siswi, wartawan, penulis, cendekiawan dan pengkritik sosial. Perlu dinyatakan di sini juga bahawa salah seorang yang vokal pada masa itu juga pernah diberi ruang menjadi Perdana Menteri ke-4 negara ini. Jadi suara dan pergerakan siswa dan siswi bukanlah sesuatu fenomena baru di tanahair tercinta ini, Malaysia. Yang menjadi teka-teki ialah mengapa kebebasan dan ruang dibenarkan ketika itu tetapi pada masa kini ia menjadi satu isu malah ia dikawal, diselia, dipantau, dikongkong dan juga diberi konotasi negatif? Dalam perangkaan logik itu, bukankah pergerakan-pergerakan siswa dan siswi kini perlu dipergiatkan lagi dan menuju ke arah fasa baru dalam era siber maklumat, penuh globalisasi ini? Terutamanya pada lanskap pendidikan tinggi kini, yang mana hampir setiap negeri di tanahair tercinta ini mempunyai sekurang-kurangnya sebuah insitusi pengajian tinggi. Pelik tetapi benar, ramai dalam kalangan pemimpin kita, mahupun politik, ekonomi dan sosial pernah bergiat aktif dalam pergerakan sedemikan, tetapi kini apabila mereka berada di kerusi kuasa, mereka cuba pula menafikan dan membendung mahasiswa generasi baru ini untuk melalui pengalaman yang sama! Mengapa begitu? Apakah sebabnya? Menjaga kepentingan tertentu! Komuniti mahasiswa adalah aset dan tunjang kepada masa depan negara, bukan sahaja dari segi pembangunan tetapi juga dari segi intelektual dan sahsiah masyarkat. Mereka berperanan sebagai peneraju negara. Jika begini cara mereka dibentuk dan dicorakkan, maka kembalilah kita ke era budaya feudalisme dan zaman gelap. Malah akan diselubungi dengan pelbagai imperialisme-imperialisme baru terutamanya dalam bentuk penjajahan minda dan pemikiran. Dasar-dasar, keputusan dan aktiviti ke atas para mahasiswa perlulah lebih rasional serta perlu dikaji terlebih dahulu secara ilmiah sebelum dipraktikkan supaya sejajar dengan kehendak zaman kini dan ke arah hadapan bukannya ke belakang. Isu penginsitusian para siswa dan siswi perlu diberi perhatian serius yang mana penginsitusian yang berlebihan terhadap golongan ini cuma akan merugikan negara. Daya kreativiti, pemikiran kritis dan rasional para Mahasiswa akan tenggelam bersama jika penginsitusian yang berlebihan seperti ini terus dipraktikkan. Kebebasan akademik, menyuarakan pendapat kritikal dan bernas harus dipupuk sentiasa, bukan sahaja dalam ruang pendidikan tinggi tetapi juga di bangku sekolah rendah lagi. Praktis sebegini perlu bagi melahirkan dan mengembangkan budaya tinggi, mahupun mencapai status negara maju. Kemajuan itu bukan sentiasa dalam manifestasi fizikal tetapi ia berlandaskan budaya dan masyarakat yang mendukung budaya mencintakan ilmu pada asasnya. Bagi merealisasikan budaya sedemikain, siswa-siswi perlu diberi lebih banyak ruang kebebasan untuk meluahkan pendapat, berdiskusi, pamerkan kreativiti dan mengkritik dasar-dasar atau isu-isu sosial negara harus dipupuk. Perkara sedemikan harus dilihat sebagai sesuatu yang sihat dan matang daripada golongan ini. Ianya harus diperhebatkan lagi dan bukanya diperkecilkan serta menafikan pergerakan mereka. Diharap tokoh-tokoh yang terlibat dalam industri pendidikan dapat memahami dinamika pergerakan Mahasiswa dan pentingnya pendapat serta pandangan mereka demi kesejahteraan tanah air tercinta ini. *Pradeeb Kumar ialah Acedemic felo, Universiti Sains Malaysia yang kini berada di Humboldt-Universität zu Berlin, Germany. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan