Isnin, 7 Mei 2012

labun KulupSakah...

labun KulupSakah...


Pyanhabib - Suara suara suara!

Posted: 06 May 2012 09:01 AM PDT

Aku sudah kenal dia sejak sekolah rendah lagi. Biasa terlihat kolumnya di Mastika tahun-tahun 80an, mendengar cerita dia bacasajak di bawah tiang lampu di Masjid India dan Pasar Budaya. Sesekali ternampak dia di dalam tv, kalau tak silap aku drama berepisod Bujang Lapok yang dilakonkan oleh trio Kopratasa- Sani Sudin, Usop dan Siso. Aku ada dengar dia buat buku secara indie dan jual sendiri waktu itu. Aku hanya dengar saja dari kampung.

Kami di sekolah teruja dengan Osman Tikus- watak yang dibawanya dalam filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ) berganding dengan M.Nasir (Datuk) dan bagaikan sumpahan, watak ini terus dikaitkan dengan dia sehingga hari ini. Nampak juga dia dalam Rozana Cinta 87, menjadi second-hero filem arahan Aziz Sattar "Tak Kisahlah beb" bersama Faizal Hussein. Aku sendiri sampai boleh meniru gaya suara beliau bacasajak. Aku yang masih belum baligh terpinga-pinga sewaktu menonton Festival Filem Malaysia (lupa tahun bila) bilamana dia menolak award Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang dimenanginya sehingga penyampai award itu Jins Shamsuddin (Datuk) tersengih bingung. Kata dia, namanya dicalonkan untuk Kembara Seniman Jalanan tetapi menang atas tiket filem Tsu Feh Sofia arahan Rahim Razali (Datuk) yang tidak dicalonkan pun. Ah! Masa ini pun politik dah ada, sebab filem KSJ panas dengan sindiran.

Mohd Supyan bin Abdul Rahman ( aku harap ejaannya betul) sudah lama menulis sajak keras. Antaranya tentang skandal BMF dan lesapnya duit berbillion seperti yang dicontengkan Osman Tikus di dinding dalam filem (KSJ) tetapi waktu itu tidaklah dilabel pro pembangkang atau berhaluan kiri atau penyokong reformasi. Ya! Seniman harus tidak dilihat membodek mana-mana pihak. Karyanya berdiri ikut suka dia. Adakalanya bahasa tulisannya agak gila-gila, adakalanya serius, pendek-pendek tapi boleh dihuraikan panjang tiap-tiap satu perkataan yang digunakan.

Aku datang KL hujung 1990 dan agak terpesona dengan kumpulan Anak Alam dan nama-nama ahlinya cukup mengujakan. Johan Jaafar (Datuk), Nordin Kadri (Sintok) dan ramai lagi. Aku tonton filem Mat Som yang dia ada di dalamnya. Terpaksa aku balik jalan kaki dari panggung Coliseum jalan TAR ke seksyen 3 Wangsa Maju sebab tiada duit tambang. Sesekali aku tengok dia di pentas CM. Ada sekali lagi aku jalan kaki tengah malam dari dewan MCA Ampang ke Bandar Tun Razak untuk menonton konsert Gong Impian M.Nasir yang mana dia bacasajak sebagai pembuka persembahan. Tahun 1992 masa itu aku semester satu di kolej.

Lama kemudiannya tak nampak dia. Sekali aja tertonton dia di Anjung Seni di RTM bacasajak bagai orang beratib dan tubuhnya nampak berisi dari zaman kutu. Lepas tu tak dengar cerita sehinggalah era blog memblog baru aku jumpa dan tumpang komen situ. Kemudian nampak dia di demo Petrol naik kat Stadium Kelana Jaya dan malam perasmian PAKSI ( apa cerita Paksi sekarang ha?)

Sewaktu menonton teater Bilik Sulit arahan Hishamuddin Rais di Bar Council aku beranikan diri menegur dia dan dia kenal aku sebab perasan aku selalu komen dia. Terus tukar nombor telefon dan berhubungan sms. Sesekali kami berkongsi pentas buat persembahan. Aku ikut dia balik kampung waktu PRK Bukit Gantang jumpa mak abang Pyan yang menceritakan abang Pyan hilang pendengaran sejak sebelas tahun. Ada generasi sekarang yang tidak tahu dan menulis dia mengalami masalah pertuturan.

Pyanhabib kasar gurauannya. Silap-silap boleh kecil hati. Tapi boleh juga bergurau kasar dengan dia. Silap-silap dia kecil hati sampai setahun tak layan. Hahaha!

Pyanhabib bekerjasama dengan Seni Suri Jawi buat persembahan percuma untuk kutip dana anak aku Hope2Walk. Aku hutang yang ini. Pernah waktu arwah Annisa dan An-Nur masuk wad, dia dengan Kak Erin isterinya datang melawat tengah malam. Waktu pulang, dia telah mencuri nombor akaun Sham dan dihubunginya Isham Rais untuk siarkan di blog Tukar Tiub. Isham Rais tulis sajak ringkas pasal aku dan tak sampai 24 jam akaun Sham penuh RM3000 dan wang itu kami beli mesin sedut kahak. Aku hutang lagi!

Hari ini pelancaran buku Balada karya beliau. Aku masih di Beijing. Ini kejayaan peribadi, sekurang-kurangnya sajak tulisan beliau tak bersepah seperti yang disungut Kak Erin. Pyanhabib- kalau tidak suka minum teh tarik, bawak beg kopam, pakai kasut sempoi, bersila atas aspal, naik LRT- mungkin sudah dapat Datuk macam rakan seangkatannya yang aku letakkan Datuk di dalam kurungan di atas tadi.

Beli dan bacalah BALADA...

Salut untuk abang Long!


P/s: kejap aku guna 'dia' kejap 'beliau'...aku tulis dari sudut kawan dan satu sudut lagi mentor.




Tiada ulasan: