Khamis, 10 Mei 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Video Gelagat Ustaz Azhar Di Perhimpunan BERSIH 3.0

Posted: 10 May 2012 07:48 AM PDT

Surat Terbuka TAMRIN TUN GHAFAR Kepada YAB PERDANA MENTERI

Posted: 10 May 2012 04:56 AM PDT

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi-6QHdl-Nxk0JBZHH8HO1ZSAAytWdT8jZPwnWX6Llc6FrTfyfdM0bDqDdOTXjreJZJWbGmw0y7G0PunUh0QA2I__gUPXAcfSiTZBMbEK41Hj6OV4WgSl97iExykCt-roIOAOmXI_wL_hQ/s400/tamrin+abdul+ghafar+baba.jpg

23hb April 2012

YAB DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK

PERDANA MENTERI MALAYSIA

BANGUNAN PERDANA PUTRA

62502 PUTRAJAYA, MALAYSIA.


Assalamualaikum wbt YAB Dato' Sri,


PERKARA-PERKARA YANG HARUS DILAKUKAN UNTUK MEMENANGI PILIHANRAYA

Semoga YAB Dato' Sri senantiasa berada dalam perlindungan Allah di dalam memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri demi agama, bangsa dan negara.

Saya memilih untuk mengutus surat ini pada hari ini, Isnin 23hb April 2012 kerana pada tarikh ini enam tahun lalu kembalinya ayahanda saya, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba ke Rahmatullah. Sebelum menutup mata buat kali terakhirnya, beliau telah mengalirkan air mata kepada beberapa orang sahabatnya termasuk Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam yang menziarahinya di hospital. Beliau meluahkan keresahannya tentang masa depan UMNO, orang-orang Melayu dan negara.

Kedua-dua ayahanda kita (Tun Ghafar dan Tun Razak) adalah rakan seperjuangan yang amat rapat berjuang tanpa mengira penat lelah untuk bangsa dan negara.

YAB Dato' Sri dan saya pula pernah bersama-sama berada dalam Exco Pergerakan Pemuda UMNO di zaman Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Walaupun Tun Ghafar Baba diiktiraf sebagai seorang wira negara, tetapi yang sedihnya pembinaan Memorial Tun Ghafar Baba di Peringgit, Melaka sebagaimana yang dijanji dan diluluskan peruntukannya sebanyak RM12 juta oleh kerajaan sejak beberapa tahun lepas, masih belum ditunaikan sehingga ini. Alasan yang diberikan ialah ketiadaan peruntukan sedangkan jika dilihat setiap kali pilihanraya kecil diadakan, begitu banyak peruntukan diberikan kepada sekolah-sekolah venakular Cina dan sebagainya dengan tujuan untuk meraih undi. Bukanlah saya menentang pemberian itu tetapi mengabaikan penghormatan kepada seorang wira negara seperti ayahanda saya dan mengutamakan perkara lain amatlah tidak berpatutan.

Saya juga mengalu-alukan beberapa langkah pembaharuan dan transformasi yang cuba dilakukan oleh YAB Dato' Sri sejak menjadi Perdana Menteri lebih tiga tahun lalu. Namun demikian, disebabkan dalam masa yang sama wujud juga pelbagai isu dalam negara yang menghantui rakyat, ia telah menyebabkan segala transformasi yang cuba dilaksanakan itu dipertikaikan dan tidak dapat diterima dengan baik.

Menjelang PRU 13 yang dijangka berlangsung pada Jun ini yang mana ia dikatakan ibu segala pilihanraya dan pilihanraya yang akan menentukan sama ada UMNO/BN mampu terus bertahan atau sebaliknya, hari demi hari didapati sokongan dan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN semakin merudum disebabkan begitu banyak sekali isu-isu serius yang berlaku dan tidak berjaya ditangani.

Atas dasar keprihatinan terhadap UMNO dan ingin terus melihat parti ini mampu bertahan di hati rakyat dan memenangi pilihanraya, saya mempunyai beberapa pandangan yang dirasakan mampu mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO dan BN, seterusnya mampu menghasilkan keputusan yang cemerlang dalam pilihanraya umum nanti.



1. ISU LEMBU NFC

Sejak isu lembu NFC yang dikaitkan dengan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil muncul, ia didapati begitu menjejaskan sokongan rakyat kepada UMNO. Ia bukan sekadar suatu skandal yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet, menggunakan duit lembu untuk membeli pelbagai hartanah di Malaysia, Singapura dan Kazashtan, pecah amanah dan sebagainya sebagaimana yang sudah banyak didedahkan tetapi turut menjadi persoalan ialah siapakah yang melulus dan mempunyai kepentingan di sebalik projek berimpak tinggi itu.

Isu NFC tidak dilihat selesai di mata rakyat dengan sekadar Shahrizat "meletakkan jawatan" ( tamat tempoh Senator pada 8/4/12) dan mendakwa suaminya di mahkamah. Oleh kerana RM250 juta itu adalah wang rakyat, maka rakyat sebenarnya berhak untuk mengetahui secara terperinci perkara-perkara seperti berikut:

1) Atas dasar apa pinjaman RM250 juta itu diberikan sedangkan syarikat dan Ahli Lembaga Pengarah langsung TIDAK mempunyai sebarang pengetahuan dan kepakaran dalam bidang penternakan lembu;

2) Berapakah jumlah modal berbayar syarikat semasa pinjaman diluluskan (mesti mempunyai tidak kurang daripada 10% daripada jumlah pinjaman);

3) Siapakah yang bertanggungjawab merekomen dan akhirnya meluluskan pinjaman itu – ini penting kerana berbagai tuduhan mengatakan mereka yang terlibat antaranya ialah YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Noh Omar dan termasuk juga YAB Dato' Sri sendiri;

4) Apakah terma-terma perjanjian di antara kerajaan dengan syarikat NFC ini sehingga mereka boleh membelanjakan pinjaman tersebut sesuka hati seperti membeli hartanah mewah di Malaysia, Singapura dan Kazashtan.

5) Betulkah kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi PAC, Datuk Azmi Khalid bahawa pinjaman tersebut dikeluarkan SEBELUM perjanjian ditandatangani.

Berdasarkan kepada konsep ketelusan dan keterbukaan YAB Dato' Sri sendiri, saya berpendapat wajar YAB Dato' Sri membuktikan konsep tersebut dengan bersetuju terhadap permintaan Pakatan Rakyat untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dan merungkai keseluruhan kemelut skandal tersebut memandangkan sudah begitu banyak cakap-cakap dan dakwaan dilemparkan berkaitan isu ini.

Bak kata Saudara Aspan Alias dalam blognya Aspan Alias @ blogspot.com, jika isteri Datuk Salleh hanya seorang bidan kampung atau guru sekolah, mungkinkah syarikat mereka begitu mudah mendapat pinjaman sebanyak RM250 juta selama 20 tahun tanpa perlu membayar semula sehingga di tahun kelima. Faedah yang dikenakan pula hanya 2% saja jika dibandingkan dengan pinjaman perumahan dan kenderaan kakitangan awam sebanyak 4%, sehingga ada yang mengatakan secara sinis, nilai lembu lebih tinggi daripada kakitangan awam.

Tidak kurang juga rasa hampa sebahagian besar ahli-ahli perniagaan dan anak-anak muda yang baru melangkah ke dunia perniagaan, mereka amat susah mendapat pinjaman walaupun setakat RM50 ribu sama ada dari bank-bank mahupun dari agensi kerajaan. Berbagai syarat seperti cagaran dan penjamin mesti disediakan. Biasanya mereka terpaksa menunggu berbulan-bulan lamanya hanya untuk mendapat keputusan. Faedah yang dikekakan pula tidak kurang 10%. Tanya mereka, "di manakah keadilan sebenarnya."

Dalam masa yang sama, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim sendiri berpendapat isu ini amat menyukarkan Wanita UMNO peringkat akar umbi menjalankan kerja bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Seperti kata Kamilia, "kami Wanita UMNO dianggap sebagai lembu ke mana-mana kami pergi". Malangnya atas sebab-sebab perhubungan silam dengan Datuk Seri Shahrizat yang hanya YAB Dato' Sri sendiri saja tahu telah menyebabkan YAB Dato' Sri mengambil pendekatan di mana hubungan peribadi mengatasi kepentingan parti.

Hanya dengan penubuhan sebuah Suruhanjaya Diraja yang bebas dan adil saja yang berupaya mengembalikan keyakinan rakyat. Malahan saya percaya selepas Suruhanjaya Diraja ini menjalankan tugasnya dan disusuli dengan tindakan yang bersesuaian oleh pihak berkuasa, tiada sebab lagi untuk rakyat terus meragui UMNO dan kerajaan yang ada sekarang.



2. ISU CINCIN US24 JUTA DAN PERBELANJAAN MEWAH

YAB Dato' Sri,

Melalui jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz di Parlimen yang mengesahkan kewujudan cincin bernilai US24 juta yang begitu diheboh-hebohkan suatu ketika dahulu. Berbagai kenyataan berhubung isu cincin berlian itu diberikan, menambahkan lagi kesangsian rakyat:-

1. Kenyataan Pertama

Ekoran terpaparnya di kaca-kaca internet borang deklarasi kastam KLIA yang menunjukkan cincin bernilai US24 juta itu adalah kepunyaan isteri YAB Dato' Sri dan apabila dicabar supaya mengambil tindakan undang-undang, kenyataannya ialah tidak perlu membuang masa.

2. Kenyataan Kedua

Cincin tersebut dibawa masuk ke Malaysia adalah untuk menyertai Pameran Barang-Barang Kemas di Kuala Lumpur.

3. Kenyataan Ketiga

Pengesahan Menteri di Parlimen bahawa cincin tersebut telah dipulangkan kepada Jacob & Co yang berpusat di New York.

Begitu juga dengan dan pembelian pelbagai jenis barangan mewah sebagaimana yang dilaporkan di media yang dikaitkan dengan isteri dan keluarga YAB Dato' Sri, ia sekaligus menebalkan lagi kesangsian rakyat terhadap kekayaan peribadi YAB Dato' Sri sekeluarga. Baru-baru ini timbul pula berita YAB Dato' Sri membelanjakan wang rakyat lebih RM400 ribu untuk jamuan majlis pertunangan anak perempuan dan hampir RM80 ribu untuk sambutan hari jadi YAB Dato' Sri sendiri.

Sudah timbul cakap-cakap di warung dan kedai kopi bahawa hanya dalam tempoh 3 tahun saja kekayaan keluarga YAB Dato' Sri telah melebihi kekayaan Imelda Marcos.

Persoalan yang bermain di hati rakyat ialah bagaimanakah kekayaan itu diperolehi. Dalam hal ini YAB Dato' Sri tidak seharusnya hanya berdiam diri atau sekadar meminta pihak lain membuat penafian tanpa sebarang fakta dan angka. Selain keperluan bersuara sendiri dan mengemukakan bukti untuk menangkis segala dakwaan yang ditimbulkan itu, ada yang menyarankan agar YAB Dato' Sri berani bersumpah di mana-mana masjid bahawa segala perbelanjaan dan kemewahan yang dimiliki adalah diperolehi secara halal, milik yang sah dan tidak ada satu sen pun hasil dari pengambilan wang rakyat.

Dalam hal ini, saya tidak mahu memberi komen, terserahlah kepada YAB Dato' Sri sendiri. Tetapi jika ini dapat dilakukan, sudah tentu keyakinan rakyat dapat dipulihkan dan memberi kelebihan untuk YAB Dato' Sri dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.



3. ISYTIHAR HARTA

Sesuai dengan semangat keterbukaan yang menjadi teras kepada mana-mana kerajaan di kebanyakan negara sekarang ini, saya juga ingin mencadangkan agar YAB Dato' Sri, menteri kabinet dan pegawai tinggi kerajaan mengisytiharkan harta dan kekayaan masing-masing untuk pengetahuan rakyat.

Di Amerika Syarikat, malah di Indonesia pun, calon-calon Presiden dikehendaki mengisytiharkan harta dan kekayaan masing-masing serta keluarga sebelum mereka menawarkan diri menyertai pilihanraya. Sekiranya perkara yang sama dapat dilakukan oleh YAB Dato' Sri sebelum pilihanraya ini, ia tentunya suatu berita gembira bagi rakyat dan mereka akan dapat menilai sama ada seseorang pemimpin itu terlibat dengan rasuah atau sebaliknya.

Dalam hal ini, saya amat berkeyakinan jika amalan mengisytiharkan harta dan kekayaan oleh anggota kabinet dan pegawai tinggi kerajaan termasuk keluarga mereka untuk pengetahuan rakyat dapat dijadikan teras pentadbiran YAB Dato' Sri, ia akan mampu melonjakkan sokongan rakyat dalam menghadapi pilihanraya umum ini serta boleh dijadikan garis panduan bagi pemimpin akan datang sama ada di peringkat pusat mahu pun negeri.



4. SEMANGAT MELAYU DAN DASAR EKONOMI

Kebimbangan utama orang Melayu dan rakyat beragama Islam terhadap UMNO sekarang ialah perjuangannya yang dilihat semakin menipis terhadap kepentingan Melayu, Islam dan seperti sudah melupakan semangat Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dahulu. Melalui dasar 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato' Sri, rata-rata berpendapat bahawa ia tidak seharusnya terlalu dikompromikan terutamanya dalam pengagihan kek ekonomi, pemberian biasiswa, perlaksanaan kouta Bumiputera dan sebagainya.

Sejak DEB diperkenalkan pada sekitar tahun 1970-an oleh Tun Abdul Razak, BN terus mendapat sokongan kuat daripada rakyat dalam pilihanraya demi pilihanraya sehinggalah tahun 2004. Walaupun Tun Razak tidak mempunyai slogan seperti 1Malaysia tetapi rakyat berbilang kaum hidup berharmoni dan hormat menghormati antara satu sama lain. Hak-hak istimewa orang Melayu seperti kouta dalam perniagaan dan biasiswa tidak terjejas, di samping hak rakyat asing yang lain terus berkembang dengan pesat. Agama rasmi negara iaitu Islam tidak dihina dan dimomok seperti yang dilakukan sekarang oleh rakan kongsi BN sendiri iaitu MCA.

Ramai yang berpendapat Allahyarham Tun Razak, ayahanda YAB Dato' Sri telah memberi harapan kepada rakyat khususnya orang-orang Melayu tetapi harapan itu dihancurkan oleh anaknya sendiri iaitu YAB Dato' Sri sendiri. Kata Datuk Ariff Sabri dalam blognya Sakmongkol AK47, NAJIB BUKAN TUN RAZAK… ini membawa makna yang amat jauh dan dalam.

Hanya pada tahun 2008 BN kehilangan 4 negeri selain Kelantan dan juga hilang majoriti 2/3. Ini berlaku kerana seperti kata Tun Mahathir, pimpinan BN pada ketika itu amat lemah dan lalai, ditambah pula wujudnya sikap rakus "budak-budak tingkat 4".

Malangnya, sejak setahun dua ini rata-rata rakyat, termasuk ahli-ahli UMNO dan BN sendiri mengkritik kepimpinan hari ini yang disifatkan lebih teruk dari yang baru lepas. Ini tidak termasuk perbincangan hangat orang ramai mengenai perilaku isteri YAB Dato' Sri sendiri yang dikatakan lebih teruk dari "budak-budak tingkat 4". Pendek kata, rakyat rata-rata mengikuti perkembangan semasa.

Isu terbaru yang diperkatakan kebelakangan ini ialah bagaimana Tabung Haji boleh menjual ladang kelapa sawitnya di Indonesia seluas 83,000 hektar dengan anggaran pendapatan RM3 juta sehari kepada sebuah syarikat bukan Melayu. Perkara ini perlu dijelaskan terutama siapakah yang memberi kelulusan penjualan itu kerana jika benar, ia merupakan pengkhianatan kepada orang-orang Melayu khususnya pencarum-pencarum Tabung Haji.

Saya penuh yakin bahawa kedudukan Melayu dan Bumiputera di negara ini telah difahami oleh semua pihak dan tidak akan menimbulkan apa-apa masalah jika ia diuruskan dengan ketegasan serta kebijaksanaan.



Dalam hal ini, YAB Dato' Sri bukan saja harus kembali kepada jati diri sebagai orang Melayu dan penganut Islam tetapi sebagai Presiden UMNO, YAB Dato' Sri juga tidak harus lupa Fasal 3 Perlembagaan UMNO yang menuntut antara perjuangan UMNO ialah berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.



5. PINJAMAN PTPTN

Saya cukup tertarik dengan tawaran Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan hutang pinjaman PTPTN kepada para pelajar pusat pengajian tinggi dan ingin memberi pendidikan percuma kepada rakyat. Bagi saya, tawaran Pakatan Rakyat itu amat baik dan relevan demi kepentingan rakyat, generasi muda dan kepentingan melahirkan lebih ramai modal insan yang berkualiti untuk negara.

Demi kepentingan rakyat dan untuk mendapatkan kembali sokongan generasi muda dalam pilihanraya umum ini, saya ingin menyarankan agar YAB Dato' Sri segera bertindak pantas menghapuskan pinjaman PTPTN ini kerana ia didapati begitu membebankan pelajar dan menyebabkan mereka dibelenggu dengan hutang sebelum pun memasuki dunia pekerjaan.

Pinjaman PTPTN ini ternyata amat membebankan generasi muda dan tidak adil jika dilihat daripada kesediaan kerajaan memberikan pinjaman RM250 juta dengan kadar faedah hanya 2% serta diberikan tempoh membayar balik selepas lima tahun yang diberikan kepada projek lembu NFC.

Lagi pun, jika hutang Tan Sri Tajuddin Ramli berjumlah RM589 juta terhadap kerajaan pun dapat dilupuskan, tentulah tiada masalah bagi pihak kerajaan menghapuskan hutang PTPTN ini demi kepentingan modal insan negara.

Saya bersetuju dengan pandangan Tengku Razaleigh melalui hasil minyak negara sebanyak antara RM80 hingga RM90 bilion setahun, ianya tidak menjadi masalah kepada pihak kerajaan untuk memperuntukkan sebahagian kecil daripadanya untuk membiayai pelajaran anak-anak muda kerana mereka inilah harta negara sebenarnya yang perlu diberi perhatian serta tumpuan.

Mengapakah kerajaan terlalu berkira sangat dalam soal hutang PTPTN ini kerana jika mengikut laporan di mana hutangnya hanya tinggal RM24 billion dan andainya pembayaran balik dilakukan dalam tempoh 10 atau 15 tahun, kerajaan hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan yang kecil sahaja sedangkan inilah pelaburan terbaik untuk masa depan negara.

Oleh kerana cadangan ini datangnya dari Pakatan Rakyat, kerajaan menolaknya dengan alasan yang susah diterima akal yang waras iaitu negara akan bankrap jika sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan. Amat cetek sekali pemikiran dan pendekatan kerajaan dalam menangani isu PTPTN ini.

Yang sedih dan memilukan apabila sekumpulan "askar-askar upahan" mencederakan anak-anak muda (penuntut) yang berpiket secara aman di Dataran Merdeka. Saya diberitahu, anggota polis yang berhampiran mengambil masa agak lama sebelum bertindak seolah-olah mengizinkan insiden tersebut. Begitu juga tindakan kasar Penguatkuasa DBKL. Sekarang ini mereka menyalahkan anak-anak muda ini pula dengan mengheretnya ke mahkamah – Ialah mereka yang berkuasa!!



6. CAMPURTANGAN SISTEM KEHAKIMAN

Baru-baru ini telah didedahkan minit mesyuarat pengurusan Felda yang dipengerusikan oleh YAB Dato' Sri sendiri di mana di dapati wujud usaha campurtangan untuk mempengaruhi hakim-hakim dalam kes-kes mahkamah yang melibatkan antara para peneroka dengan Felda. Pendedahan ini begitu mengejutkan kerana ia didapati campurtangan yang tidak wajar dilakukan oleh seorang Perdana Menteri yang saban hari melaungkan perjuangan mengutamakan rakyat, termasuk peneroka. Kata mereka mungkin banyak lagi kes-kes yang membabitkan campurtangan YAB Dato' Sri dalam sistem kehakiman ini.

Adalah penting untuk YAB Dato' Sri membersihkan nama dalam hal ini dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana ianya boleh berlaku. Pandangan rakyat dalam hal ini amat mudah, jika ianya tidak benar mustahil ia boleh dimasukkan dalam minit mesyuarat pengurusan Felda yang dipengerusikan oleh YAB Dato' Sri sendiri. Sudah mula kedengaran cakap-cakap, dulu Mahathir sekarang Najib pula!



7. ISU PENGUNDI HANTU DAN HIMPUNAN BERSIH 3.0

Mengikut laporan-laporan yang didedahkan dalam media, isu pengundi hantu dan berleluasanya amalan menjadikan warga asing sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi amat menakutkan sekali. Warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Kemboja didapati begitu ramai dijadikan sebagai pengundi.

Dalam masa yang sama, pengundi hantu di beberapa kawasan dan negeri juga didapati bertambah dengan mendadak. Selain Selangor yang didapati berlaku pertambahan jumlah pengundi yang besar, dilaporkan di kawasan Parlimen Pekan sendiri, jumlah pengundi baru bertambah sebanyak lebih 18 ribu. Ini tentunya merupakan suatu pertambahan yang meragukan.

Mengikut mereka, pertambahan jumlah pengundi di Pekan dilakukan selepas YAB Dato' Sri menang tipis cuma 241 undi pada 1999 di mana pengimportan pengundi warganegara asing daripada Kemboja dan Myanmar berjumlah beberapa ribu orang bermula.

Oleh kerana media cetak dan elektronik utama dikuasai kerajaan, maka pelbagai pendedahan telah dibuat melalui akhbar Harakah dan Suara Keadilan. Rata-rata rakyat amat sedih melihat bagaimana kerajaan sanggup memberi kerakyatan kepada berpuluh ribu orang asing sebegitu mudah semata-mata untuk menang dalam pilihanraya ini.

Proses membersihkan senarai pengundi amatlah penting dilakukan supaya pilihanraya berjalan dengan adil dan bersih. Adalah tidak berguna memenangi pilihanraya jika kemenangan itu hanya disumbangkan oleh undi daripada rakyat Bangladesh, Indonesia, Myanmar serta Kemboja dan ia tidak lebih umpama kata pepatah "menang sorak kampung tergadai" atau "menang pilihanraya negara tergadai". Nauzubillah!

Oleh kerana kebanjiran begitu ramai rakyat negara asing dianugerahkan kad pengenalan biru untuk dijadikan pengundi terutama di Selangor dan beberapa kawasan tertentu, sudah ada ejekan iaitu UMNO bukan lagi United Malay National Organisation tetapi berubah kepada United Myanmar Nepalese Organisation. You have to prove them wrong.



YAB Dato' Sri,

Rakyat sebenarnya mahukan pilihanraya yang bersih, bersih dari segala jenis penipuan dan SPR yang benar-benar bebas tetapi jelas terbukti kerajaan seperti tidak mahu melayani permintaan-permintaan tersebut dan SPR pula bersubahat dengan kerajaan. Kerajaan yang bersih sepatutnya menerima dengan hati terbuka kehendak rakyat yang mahukan pilihanraya yang bersih.

Untuk maksud tersebut, YAB Dato' Sri mestilah serta-merta melantik Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR yang baru, ini ekoran pendedahan kedua-dua mereka iaitu Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah ahli UMNO. Patutlah kedua-dua mereka ini dilihat tidak bersikap bebas dan bersih melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan seperti yang dituntut oleh Perlembagaan dan undang-undang.

Tidak salah kakitangan awam menjadi ahli mana-mana parti tetapi masyarakat mengharapkan penjawat jawatan tinggi seperti Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR mestilah bebas dari hubungan dengan mana-mana parti politik.

Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR yang baru WAJIB bertindak serta-merta membersihkan daftar pengundi dengan sebaik mungkin dan menolak kewujudan pengundi hantu yang tidak masuk akal seperti wujudnya nama 100 pengundi yang menggunakan satu alamat rumah.

Kewujudkan warga asing sebagai pengundi juga mesti dibersihkan demi maruah dan keselamatan negara. Justeru atas permintaan BERSIH, YAB Dato' Sri perlu menubuhkan segera sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes-kes pemberian kad pengenalan dan mendaftarkan warga asing sebagai pengundi. Jika di Sabah Suruhanjaya Diraja boleh ditubuhkan walaupun belum dilaksanakan, untuk menyiasat isu kebanjiran beratus ribu warga asing di sana dan betapa mudahnya mereka memperolehi kad pengenalan, saya tidak nampak ia tidak boleh dilakukan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Shafie Afdal baru-baru ini menyelar parti-parti politik yang kononnya akan menerima bantuan asing dan menyifatkan ianya amat merbahaya terhadap kedaulatan negara tetapi saya ingin memberitahu, perbuatan memberi kerakyatan kepada warga asing untuk menjadi pengundi adalah jauh lebih merbahaya daripada itu.

Sehubungan itu, selain saya menyokong Himpunan Bersih 3.0 28 April ini, saya juga berpendapat bahawa UMNO dan kerajaan tidak mempunyai alasan untuk tidak membenarkan perhimpunan tersebut diadakan secara aman di Dataran Merdeka seperti yang dicadangkan. Dataran Merdeka adalah HAK rakyat juga asalkan mereka tidak merosakkannya.

Oleh kerana yang dituntut hanyalah proses pilihanraya yang bersih, jika YAB Dato' Sri menentang dan menunjukkan sikap keras terhadap tuntutan rakyat sebagaimana Bersih 1.0 dan 2.0, ia hanya menyerlahkan YAB Dato' Sri berada di pihak yang "kotor". Diharap polis dan samseng-samseng tidak akan digunakan untuk membelasah dan menangkap mereka yang akan mengambil bahagian pada 28 April ini dan kemudiannya akan menyalahkan mereka yang dizalimi.

Dalam hal ini YAB Dato' Sri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Aziz Yusof (SPR) dan Datuk Noh Omar serta Datuk Zambry Abdul Kadir sebagai umat Islam perlu berani menjunjung al Quran bersumpah di mana-mana masjid bahawa YAB Dato' Sri dan mereka TIDAK tahu-menahu langsung berkenaan skim penipuan mendaftarkan warganegara asing sebagai pengundi, menempatkan berpuluh ribu rakyat warga asing yang telah diberi kad pengenalan biru di Sabah dan sebagai pengundi di Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Pahang dan juga Wilayah Persekutuan.

Mengikut Perlembagaan Negara dan undang-undang, perbuatan keji seperti ini adalah merupakan PENGKHIANATAN (TREASON) KEPADA NEGARA dan hukumannya ialah gantung sampai mati seperti mana kes Al Maunah suatu ketika dahulu.

Begitu juga dengan tindakan SPR memindahkan pengundi dari tempat asal ke tempat lain TANPA mendapat izin tuan punya diri dan penggunaan jentera kerajaan secara berleluasa termasuk propaganda akhbar dan juga stesen radio serta tv mesti dihentikan serta-merta.

Mengikut hukum Islam pun, matlamat tidak menghalalkan cara dan matlamat yang benar mesti dicapai melalui kaedah yang benar jua.

Saya penuh yakin kiranya tindakan-tindakan yang konkrit ke arah memastikan perjalanan pilihanraya umum akan datang yang benar-benar bersih daripada tipu helah sebagaimana dikehendaki rakyat dapat dilakukan, ia mampu melonjakkan keyakinan rakyat dan YAB Dato' Sri sendiri akan dikenang sebagai Perdana Menteri yang berani, telus dan penuh wibawa. Malah masyarakat antarabangsa pun akan menghormati YAB Dato' Sri.



8. HUBUNGAN DENGAN ISRAEL

Mengenai hubungan dengan Israel ini, saya melihat persepsi rakyat amat keliru kerana sementara Datuk Seri Anwar cuba dikaitkan dengan sokongan terhadap Israel, hakikat yang terbentang di depan mata ialah wujudnya hubungan dagang yang berterusan antara Malaysia dan Israel seperti pengakuan di Parlimen serta tindakan YAB Dato' Sri melantik sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Israel iaitu Apco sebagai perunding media kepada kerajaan dengan bayaran RM77 juta setahun. Ini menjadikan apa pun penjelasan yang cuba diberi oleh pihak kerajaan sentiasa menimbulkan kesangsian serta tanda tanya.

Sebenarnya hubungan dengan Israel bermula dalam sekitar 1980an semasa zaman Tun Mahathir lagi apabila beliau secara senyap-senyap menghantar Tengku Abdullah (Melewar) ke Tel Aviv. Saya masih menyimpan ucapan saya di Parlimen di mana saya menegur tindakan kerajaan berhubung perkara itu.

Amat menghairankan lagi apabila usul yang cuba dikemukakan oleh wakil pembangkang berhubung isu ini di Parlimen baru-baru ini agar kerajaan menghentikan sama-sekali perdagangan dengan Israel dan dalam masa yang sana meningkatkan jumlah bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza, telah juga ditolak oleh Speaker.

Jika benar-benar ikhlas, YAB Dato' Sri sepatutnya tidak merasa takut untuk mengarahkan Speaker agar menerima usul tersebut untuk dibahas dan diundi dan bukan sebaliknya. Sekarang rakyat khasnya masyarakat Islam sudah mulai nampak siapakah (antara YAB Dato' Sri dan Datuk Seri Anwar) yang menyokong Israel.



9. PEMILIHAN CALON PILIHANRAYA

Untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya, selain keyakinan rakyat terhadap UMNO dikembalikan, pemilihan calon yang sesuai dan diterima rakyat juga amat penting. Sementara YAB Dato' Sri meletakkan kriteria "winnable" sebagai prasyarat terhadap calon dalam pilihanraya, rakyat juga sebenarnya ingin melihat YAB Dato' Sri tidak begitu terkongkong dengan faktor jawatan seseorang dalam UMNO bagi pemilihan calon pilihanraya.

Sebagaimana pandangan Tun Dr Mahathir bahawa kebanyakan calon BN kini membawa imej rasuah dan agar UMNO perlu memilih calon yang lebih berkelayakan walaupun orang luar dalam pilihanraya akan datang jika ingin menang. Saya amat bersetuju dengan pandangan tersebut dan ingin menarik perhatian YAB Dato' Sri sebagai contoh wakil-wakil rakyat Pas terutamanya di Kedah mereka terdiri daripada kalangan professional, berkelayakan serta berhemah berbanding wakil-wakil rakyat UMNO dan BN di sana yang majoritinya tidak pun lulus SPM.



10. PENINGKATAN KOS SARA HIDUP

Kerajaan pimpinan YAB Dato' Sri dilaporkan mahu melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan atau GST sebagai suatu kaedah percukaian dan menambah kantung perbendaharaan negara selepas pilihanraya ini. Melihat kepada beban hidup rakyat sedia ada, saya bersetuju dengan bantahan pihak pembangkang agar GST ini tidak dilaksanakan pada bila-bila masa kerana ia hanya akan menambahkan lagi kesengsaraan hidup rakyat.

Pada pandangan saya, kaedah cukai sedia ada di samping harga barang yang semakin mahal sudah cukup membebankan rakyat.



11. DAKWAAN BIADAP WAKIL-WAKIL RAKYAT PAKATAN

Baru-baru ini, saya berbual dengan beberapa orang surau di Ampang dan reaksi mereka terhadap laporan kononnya wakil-wakil rakyat Pakatan tidak menghormati Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu pada majlis pertabalan baru-baru ini adalah satu lagi taktik kotor dan 'desperado' UMNO dan BN kerana apabila dicabar menama dan membuktikan tuduhan tersebut, Menteri Penerangan dan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang turut bersuara, gagal berbuat demikian.

Mereka mengingatkan saya bagaimana pada awal tahun 1980an, pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir telah mencaci dan menghina Raja-Raja Melayu semasa meminda Perlembagaan Negara dahulu di mana kuasa Raja-Raja ditarik balik.

Semasa itu rapat-rapat umum diadakan secara besar-besaran di seluruh negara. Kakitangan kerajaan diarah turut serta manakala akhbar, khususnya Utusan dan Berita Harian termasuk stesen tv kerajaan dan swasta (TV3) diarah mengorek dan mendedahkan cara hidup mewah dan kelemahan Raja-Raja Melayu sehinggakan kos membiayai berpuluh ekor kuda Sultan Pahang pun disiarkan berulang kali.

Dengan ingatan mereka itu, saya teringat bagaimana saya sendiri telah diminta oleh UMNO mengepalai Pergerakan Pemuda UMNO ketika itu untuk menyerang Sultan Selangor Almarhum Sultan Sallahuddin Abdul Aziz atas campurtangan Baginda dalam urusan pentadbiran Negeri Selangor serta Sultan Perak berhubung kos pertabalan Baginda ketika itu. Saya dipilih di kalangan Exco Pemuda UMNO ketika itu kerana saya berasal dari Melaka, negeri yang tidak mempunyai Raja, justeru saya bebas untuk bercakap.

Menurut mereka lagi, kini UMNO dan BN melalui akhbar dan tv cuba menutup pekung lama mereka dengan mencipta isu dan membesar-besarkannya dengan niat dan harapan agar rakyat khususnya pengundi Melayu benci kepada parti pembangkang dalam pilihanraya ini.

Mereka meminta saya menyampaikan kepada YAB Dato' Sri agar memulangkan semula kuasa Raja-Raja yang dirampas dahulu sebagai bukti UMNO dan BN hari ini benar-benar mencintai dan menghormati Raja-Raja Melayu. Mereka amat kecewa dan jijik dengan permainan pemimpin-pemimpin UMNO yang selalu berpura-pura dan menganggap rakyat khususnya orang Melayu mudah lupa serta boleh diperbodoh-bodohkan.

Kepada mereka, tindakan UMNO ini tidak ubah seperti orang sedang dalam kelemasan yang akan melakukan apa saja cara untuk menyelamatkan diri. Terserahlah kepada YAB Dato' Sri untuk memikirkan pandangan ini sama ada mahu menerima atau menolaknya.

Dalam isu ini, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein mengatakan Suruhanjaya Siasatan Diraja patut diadakan segera untuk menyiasat mereka yang memomok dan menghina Yang Dipertuan Agong. Kiranya suruhanjaya itu ditubuhkan, ia sepatutnya juga menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin-pemimpin UMNO, termasuk akhbar dan tv yang lebih dulu menghina dan memaki hamun Raja-Raja Melayu.



12. KONSEP 1MALAYSIA

Sementara YAB Dato' Sri melaungkan konsep 1Malaysia, terdapat cakap-cakap kedai kopi bahawa ia bertentangan sama sekali dengan amalan UMNO itu sendiri yang tidak pernah meletakkan calon bukan Melayu bertanding dalam pilihanraya berbanding DAP yang dituduh rasis, sebaliknya sudah sekian lama menerima calon Melayu bertanding atas tiketnya. Pas yang dituduh mengamalkan fahaman Islam sempit juga pernah meletakkan bukan Islam sebagai calonnya.

Selain UMNO yang tidak pernah memilih bukan Melayu sebagai calonnya, parti MCA dan MIC yang turut mendokong konsep 1Malaysia juga tidak pernah meletakkan orang Melayu sebagai calon mereka. Kata mereka lagi, sepatutnya UMNO, MCA dan MIC mencontohi PAS dan DAP.

Dalam hal ini, siapakah yang rasis sebenarnya? Malahan pemimpin DAP, Lim Guan Eng yang dituduh rasis itu juga pernah merengkok sekian lama dalam penjara kerana membela nasib seorang gadis Melayu bawah umur yang diperkosa sehingga melahirkan anak di sebuah pusat tahanan wanita di suatu ketika dahulu.

Dalam debat terbuka antara Lim Guan Eng dengan Chua Soi Lek baru-baru ini, jelas terbukti kepada kita bahawa DAP lebih menghormati agama Islam berbanding MCA yang tidak mahu bertolak ansur dalam perkara-perkara tertentu yang melibatkan Islam. Seperti hujah Chua Soi Lek, Presiden MCA itu, "Kita, MCA berani memberi kata dua kepada pemimpin UMNO" (We, MCA dare to tell off UMNO leaders) dalam perkara hudud (Islam) tetapi Lim Guan Eng dengan tegas memaklumkan bahawa DAP menghormati Islam dan Pas pun tidak mempersendakan agama dan kefahaman bukan Islam.

Saya sendiri hairan dan amat sedih dengan sikap berdiam diri YAB Dato' Sri yang sanggup membiarkan pemimpin-pemimpin MCA menghina agama suci kita semata-mata hendak meraih undi masyarakat bukan Islam.

Tanya seorang ustaz, tidakkah PM Najib takut akan hukum Allah? Sila lihat Surah Al-Mae'idah ayat 44 yang bermaksud, "Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu, dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia semata-mata) dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir."

Untuk memenangi pilihanraya dan menunjukkan YAB Dato' Sri benar-benar "cakap serupa bikin" dalam perlaksanaan konsep 1Malaysia ini, sudah sewajarnya ia benar-benar diterjemahkan kepada rakyat agar masing-masing dapat menilai kejujuran serta keikhlasan YAB Dato' Sri dalam hal ini.



13. BANTUAN RAKYAT

Selepas YAB Dato' Sri memberi bantuan RM500 kepada rakyat berpendapatan dibawah RM3000 sebulan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), (di kalangan muda-mudi ada yang mentafsirkan pula BR1M itu ialah Beli Rakyat 1 Malaysia), RM200 dalam bentuk baucer buku kepada pelajar universiti dan RM100 untuk pelajar sekolah, ada yang menyarankan agar program ini diteruskan lagi setiap bulan dan bukannya dibuat menjelang pilihanraya saja. Kerajaan juga disaran memberi wang tunai RM3,000 pula kepada setiap rakyat Islam menjelang sambutan bulan puasa dan Hari Raya pada tahun ini.

Kepada para imam serta jawatankuasa masjid dan surau pula, imbuhan khas sebanyak RM3,000 juga wajar diberikan kepada mereka atas peranan mengimarah serta meninggikan syiar Islam sepanjang bulan Ramadan dan menyambut ketibaan Syawal.

Jika program bantuan rakyat yang dicadangkan ini dapat dilaksanakan dengan menangguhkan pilihanraya umum sehingga selepas Hari Raya, saya percaya kemenangan akan lebih mudah untuk diperolehi.



14. ROYALTI MINYAK

YAB Dato' Sri,

Dalam isu royalti minyak untuk rakyat Kelantan, saya amat kagum dengan ketegasan Tengku Razaleigh Hamzah yang menegaskan rakyat Kelantan berhak memperolehi royalti minyak itu sebagaimana yang telah dinikmati oleh Sabah dan Sarawak.

Tindakan YAB Dato' Sri enggan memberikan royalti minyak sebagaimana yang termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan menggantikannya dengan wang ihsan, bukan sahaja menunjukkan sikap pilih bulu terhadap rakyat Kelantan tetapi juga menganiaya mereka yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Adalah sesuatu yang amat menghairankan jika peruntukan dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang ditandatangani oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa yang lain semasa Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri yang memperuntukkan royalti minyak sebanyak 5 peratus diberikan kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak seperti Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan tidak dihormati.

Bukankah rakyat Kelantan juga adalah rakyat negara ini? Apakah rakyat Kelantan tidak dikenakan membayar cukai seperti orang lain? Mengapakah mereka dianak-tirikan semata-mata kerana faktor politik?

Baru-baru ini saya ke Kota Bharu bersama Tengku Razaleigh Hamzah. Saya amat hairan mengapa pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan termasuk Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Hussain serta pemimpin UMNO Bahagian-bahagian bermati-matian menentang Pas yang berjuang bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan royalti minyak bagi rakyat Kelantan. Di manakah perjuangan UMNO untuk rakyat sebenarnya?

Mereka sepatutnya berasa malu mengaku berjuang untuk rakyat Kelantan, termasuk berkempen rumah ke rumah sedangkan apa yang sebenarnya mereka lakukan bukannya untuk rakyat, sebaliknya lebih kepada kepentingan peribadi.

Bermula dengan Terengganu apabila UMNO/BN dibawah pimpinan Tun Mahathir tidak dapat menerima kekalahan di sana, maka royalti minyak telah diberhentikan dan digantikan dengan 'wang ihsan' sehingga ke hari ini. Ini kerana kerajaan Pas dibawah pimpinan Tuan Guru Haji Hadi Awang ketika itu telah membawa kes tersebut ke mahkamah dan seperti biasa, mahkamah atas sebab-sebab yang kita semua ketahui telah melengah-lengahkan kes perbicaraan tersebut sehingga kini.

Kini trend yang sama diguna pakai oleh YAB Dato' Sri. Sepatutnya YAB Dato' Sri TIDAK mengikuti jejak langkah Tun Mahathir yang rata-rata rakyat di sana mengatakan tidak mempunyai perasaan dan hati perut. Mereka mempersoalkan di mana sumpah janji YAB Dato' Sri "rakyat didahulukan" melainkan YAB Dato' Sri, Dato' Mustapa Mohamed, Datuk Awang Adek Hussain, Datuk Fatmi Che Salleh dan pemimpin-pemimpin lain menganggap negeri Kelantan bukan sebahagian dari negara ini.

Jika wang ihsan ini lebih menguntungkan rakyat dari royalti minyak, mengapa tidak diselaraskan saja wang ihsan ini termasuk untuk Sabah dan Sarawak?

Dato' Mustapa Mohamed hanya bernasib baik di Jeli kerana terdapat kem tentera (undi pos) yang telah memberi kemenangan kepada beliau.

Semasa Tengku Razaleigh Hamzah selaku Presiden Petronas menandatangani Akta Kemajuan Petroleum 1974 dengan negeri-negeri, YAB Dato' Sri hanya seorang junior officer yang ditempatkan di pejabat Presiden Petronas ketika itu.

Jika YAB Dato' Sri sanggup meminta maaf kepada rakyat Kelantan dan memulangkan HAK mereka sebagaimana yang diperjuangkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat dan Tengku Razaleigh sendiri, saya percaya negeri Kelantan juga akan dapat dibangunkan dengan lebih maju lagi seperti negeri-negeri lain. Perkara ini boleh YAB Dato' Sri lakukan semasa lawatan rasmi ke Gua Musang pada 04hb Mei depan.

Mengikut pengalaman, pasti selepas saja YAB Dato' Sri membuat pengumuman seperti yang dicadangkan ini pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di semua peringkat terutamanya di Kelantan akan mendabik dada mengataka perjuangan mereka selama ini telah berhasil. Akhbar-akhbar khasnya Utusan dan Berita Harian serta stesen radia dan TV akan memberi headline sensasi seperti "Najib Pemimpin Rakyat Sebenarnya" dan lain-lain tajuk lagi.



15. DEBAT DENGAN DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

YAB Dato' Sri,

Sekarang ini di mana-mana orang mempertikaikan kewibawaan YAB Dato' Sri berikutan keengganan untuk menyahut cadangan Merdeka Centre berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pengurusan ekonomi negara. Dalam perkembangan tamadun manusia, debat sebenarnya sudah diterima sebagai salah satu kaedah untuk menguji kebijaksanaan seseorang. Sebab itulah di beberapa negara maju seperti AS misalnya, kaedah debat dalam pemilihan Presiden negara itu begitu popular dan dinanti-nantikan bukan saja oleh rakyat Amerika, malahan di seluruh dunia.

Di sekolah dan pusat pengajian tinggi juga debat sudah menjadi acara tahunan yang dipertandingkan sejak sekian lama untuk menguji kehebatan dan kecerdikan seseorang.

Dalam isu debat antara YAB Dato' Sri dengan Datuk Seri Anwar, ia bukan saja medan untuk menguji kewibawaan, kecerdikan dan kepetahan masing-masing dalam melontarkan idea dan perancangan untuk kepentingan negara tetapi ia juga akan memberi peluang kepada rakyat untuk menilai secara objektif dan matang tawaran-tawaran manakah yang lebih baik untuk kepentingan rakyat dan negara.

Debat sama-sekali tidak bermaksud untuk melihat siapa yang kalah dan siapa yang menang tetapi melalui lontaran idea yang dicurahkan, ia mampu memberi ruang yang lebih baik untuk rakyat membuat pilihan serta pertimbangan dalam PRU 13 nanti.

Selain Amerika Syarikat, Great Britain dan Negara-Negara Eropah – Indonesia dan Thailand pun mengamalkan debat. Di Malaysia pula, rakyat begitu mengalu-alukan debat antara MCA dengan DAP serta Khairy Jamaluddin dengan Rafizi Ramli yang diadakan baru-baru ini dan debat antara Datuk Seri Anwar dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek tidak berapa lama dulu. Rakyat juga tentunya tidak lupa debat yang pernah berlangsung antara Tun Dr Mahathir dengan Allahyarham Fadzil Noor suatu ketika dahulu.

Dalam isu debat ini, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor sendiri pernah menyatakan kesediaan untuk mengaturkan debat itu.

Malahan Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz, bekas wakil rakyat Pulau Manis dan Ketua Penerangan UMNO Pekan dalam blognya Sakmongkol AK47, mempersoalkan jika tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, mengapa YAB Dato' Sri selaku ketua kerajaan sering berdolak-dalik untuk menghadapi debat ini.

Lupakah apa yang YAB Dato' Sri pernah kata tidak berapa lama dulu iaitu jika debat ini diadakan ia akan pasti memalukan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana selaku Perdana Menteri, YAB Dato' Sri mempunyai banyak dokumen dan sekian ramai pegawai yang akan membantu YAB Dato' Sri.

Yang anehnya, dalam masa yang sama YAB Dato' Sri terus mengelak walaupun Datuk Seri Anwar telah menerima tawaran Merdeka Centre itu malah sanggup memberi "extra time" kepada YAB Dato' Sri sewaktu debat nanti.

Walaupun sudah meninggalkan UMNO, namun beliau tidak mahu YAB Dato' Sri dilabel dalam sejarah sebagai seorang Perdana Menteri yang amat penakut dan pengecut.

Lagi pula, berdasarkan kajian Merdeka Centre, didapati 76 peratus generasi muda mahukan debat itu diadakan. Ini tentunya memberi maksud bahawa sekiranya YAB Dato' Sri dapat menunjukkan keberanian menyahut cabaran debat itu, saya percaya undi dan sokongan generasi muda secara majoritinya akan tertumpah kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang ini.


PENUTUP

YAB Dato' Sri,

Kemarahan rakyat, terutamanya generasi muda ialah kerana UMNO dan para pemimpinnya didapati sudah menyimpang jauh daripada landasan perjuangan asal sehingga amalan rasuah, skandal, boros dan berbelanja mewah menjadi darah daging. Sebagai orang UMNO, saya amat malu mendengar label baru terhadap parti kita iaitu "UMNO itu rasuah dan rasuah itu UMNO" umpama aur dan tebing serta lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan.

Oleh kerana marah yang teramat sangat, ada pula yang mengatakan "mengundi UMNO dan BN serupalah memberi talian hayat untuk pemimpin-pemimpinnya terus merompak kekayaan negara.

UMNO adalah umpama sebuah bantera yang di suatu ketika dahulu banyak berjasa. Nakhoda demi nakhoda dan anak-anak kapal pula ketika itu telah berjaya mengemudikan bahtera tersebut ke destinasi yang dirancang dengan selamat. Malangnya oleh kerana dek telan zaman, bahtera tersebut mulai reput, bocor dan kain layarnya pun mulai koyak dan berlubang-lubang. Anai-anai pula bermaharajalela. Tambah pula nakhoda dan anak-anak kapalnya pula tak ubah seperti cerita "The Pirates of the Carribbean". Makin hari makin teruk keadaannya, tak ubah seperti warga emas yang menghidap seribu satu macam penyakit yang tidak mampu lagi diubati dan menunggu masa saja untuk ditalkinkan.

Terharu benar rasanya melihat bahtera yang dibina begitu indah dan gagah oleh pejuang-pejuang yang telah pergi sedang melalui proses putaran alam yang serupa. Inilah keadaan UMNO/BN hari ini.

Ada yang berhujah mengapa tidak kita ahli-ahli UMNO membantu menyelamatkan kapal (UMNO) yang hampir tenggelam ini.


YAB Dato' Sri,

Sebagai contoh, beberapa kali apabila Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk membantu menyelamatkan UMNO, usaha murni beliau itu telah disekat dengan pelbagai cara dan helah; dengan 'nasihat' dari Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada pemimpin-pemimpin bahagian UMNO, dengan menabur pelbagai janji dan akhirnya dengan membeli mereka. Akhbar-akhbar pula begitu bermurah hati memberi ruang yang seluas-luasnya menghina beliau dengan kata-kata kesat dan sinis seolah-olah beliau adalah pengkhianat bangsa. Pemimpin UMNO Kelantan pula begitu lantang mengatakan beliau adalah pemimpin 'has been', tidak relevan dan berbagai lagi.

Tetapi apabila menghadapi pilihanraya keil Galas, akhbar-akhbar yang sama menyiarkan di muka hadapan puji-pujian pemimpin UMNO khasnya pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan yang pernah mengkritik beliau di satu ketika dahulu. Kata mereka, Tengku Razaleigh ialah pemimpin berkaliber yang paling layak mengetuai jentera pilihanraya UMNO/BN di sana sehingga ada pula yang mencadangkan beliau dinamakan sebagai calon. Pendek kata kuli tangan Tengku Razaleigh menjadi haus kerana ciuman ahli-ahli UMNO ketika itu. Begitu melangitnya pujian sehingga beliau sendiri merasa 'syok'.

Menang saja pilihanraya kecil itu tidak ada sepatah pun ucapan terima kasih kepada beliau dari pemimpin-pemimpi UMNO. Sekali lagi beliau dipinggirkan. Apabila beliau melancarkan AMANAH, Timbalan Perdana Menteri terus mempersoalkan tindakan itu.

Sekarang oleh kerana nak merampas semula Kelantan dari Pas, sekali lagi Tengku Razaleigh akan digunakan. Tiba-tiba saja Perdana Menteri akan memberi penghormatan kepada beliau dengan melawat Gua Musang pada 4hb Mei ini.

Tidak hairanlah jika sekiranya berbagai jenis projek dan bantuan segera akan dihulurkan di sana seperti membaikpulih atau membina sekolah-sekolah, pembinaan Lebuhraya Gua Musang-Bentong dan lain-lain lagi. Sudah ada cakap-cakap sekeping replika cek bernilai RM5 juta akan disampaikan untuk membina semua sebuah masjid. Memang segala bantuan dan projek-projek baik untuk rakyat, hanya mereka mempersoalkan mengapa ketika hampir pilihanraya baru nak diberi. Mengapa tidak dilakukan setahun dua dulu.

Tidak mustahil juga jika sekiranya Perdana Menteri pada pada hari lawatan itu (4hb Mei) akan mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh dipilih semula sebagai calon BN Gua Musang.

Begitu juga nasib Tun Mahathir tidak berapa lama dulu. Walaupun pernah memimpin UMNO dan negara selama lebih 22 tahun, apabila saja tidak berjawatan UMNO tidak pedulikan beliau lagi. Nak jadi wakil Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO pun tak dapat. Yang sedihnya bak kata Tun Mahathir, beliau dikalahkan dengan hanya RM200 saja yang diberi kepada setiap perwakilan, ditambah pula dengan sabotaj dari pemimpin UMNO Pusat, Negeri dan Bahagian. Sekali lagi media cetak dan elektronik tlah digunakan untuk membelasah Tun Mahathir. "Itulah UMNO!!!" kata mereka yang bersimpati dengan beliau.

Nasib yang sama juga pernah dilalui oleh Tan Sri Isa Samad. Dengan komplot yang didalangi oleh beberapa pemimpin UMNO Pusat dan Negeri, beliau akhirnya diaibkan oleh 'mahkamah' UMNO; dipecat bukan sahaja sebagai Naib Presiden UMNO bahkan juga sebagai Menteri Kabinet.

Oleh kerana mahukan kemenangan selepas UMNO/BN kalah di beberapa pilihanraya kecil sebelum itu, UMNO TERPAKSA 'menjilat ludahnya' sendiri dengan memilih beliau sebagai calon pilihanraya kecil Bagan Pinang. Bayangkan kedudukan beliau kini jika tidak ada pilihanraya kecil itu.

Begitulah juga dengan keadaan arwah ayahanda saya Tun Ghafar. Menunggu selama hampir 3 bulan nak berjumpa seorang Menteri Besar UMNO yang kebetulan pernah bertugas dibawahnya sebelum itu. Selepas gagal, beliau membuat temujanji berjumpa dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu. Hanya dalam tempoh 2 hari saja mereka dapat bertemu di pejabat Tuan Guru. Bukan itu saja, Tuan Guru menawarkan kereta kerajaan kepada beliau walaupun beliau tidak lagi berada dalam kerajaan, tambah pula mereka berlainan parti. Itulah beza pemimpin UMNO dengan Pas.

Selepas keluat kabinet tidak ada sesiapa pun pemimpin UMNO yang ambil kisah tentang beliau sama ada kesihatan mahupun masalah kewangannya yang sehingga kini beberapa orang ahli keluarga terpaksa menanggung beban yang ditinggalkan. Itulah hadiah UMNO kepada seorang pahlawan yang pernah disanjung.

Itulah juga sikap (attitude) sebahagian besar ahli-ahli khasnya pemimpin-pemimpin UMNO. Justeru, bagaimanakah UMNO hendak diselamatkan?

Pandangan dan teguran orang-orang lama dipandang sepi malah ada diantaranya dianggap musuh parti. Akibatnya ada yang dipecat dan ada pula yang dinasihatkan keluar parti seperti Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir tanpa mengambil peduli sumbangan mereka yang begitu banyak kepada UMNO. Tidak hairanlah ramai pengasas dan pejuang UMNO sepertu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein Onn (bapa Datuk Hishammuddin) mati di luar UMNO. Malah Tun Mahathir sendiri pernah keluar UMNO.

Sebenarnya UMNO tidak salah, yang salah ialah pemimpin-pemimpinnya.

"Jika UMNO tidak berubah UMNO akan diubah" – itulah kata-kata YAB Dato' Sri yang juga merupakan doanya di Perhimpunan Agung UMNO tidak lama dulu.

Ramai berpendapat pemimpin-pemimpin hari ini hanya pintar dengan slogan dan retorik. Mereka mula turun padang mendekatkan diri dengan rakyat ketika memerlukan sokongan rakyat sahaja. Rakyat didendangkan dengan janji-janji manis seolah-olah merekalah pejuang rakyat sebenar. Cara mereka memujuk rakyat tak ubah seperti ayah memujuk anaknya dengan memberi gula-gula. Tiba-tiba rakyat diberi saguhati RM500, penuntut diberi RM200 dan RM100.

Tetapi sebahagian besar rakyat masih terus dalam keadaan susah oleh kerana kos sara hidup (cost of living) terus meningkat setiap hari. Kadar jenayah dan rasuah semakin buruk tetapi dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin dan juak-juaknya tidak segan-segan merompak khazanah negara. Mereka tidak peduli undang-undang kerana itu semua adalah dibawah cengkaman mereka. Tambahan pula mereka yakin sebahagian besar rakyat terutama orang-orang Melayu khususnya di luar bandar mudah dipengaruhi dengan propaganda yang dipasak bertubi-tubi melalui akhbar dan stesen radio serta tv.

Saya mengaku di zaman Pemuda dahulu, saya juga terlibat dengan jayanya menanam perasaan takut orang-orang Melayu bahawa tanpa UMNO Melayu akan hilang kuasa dan tanpa kuasa masa depan orang-orang Melayu akan gelap-gelita. PAS pula digambarkan sehingga kini parti yang hanya bercakap tentang akhirat semata-mata dan tidak berjuang membangunkan ummah. Sehingga hari ini propaganda kononnya DAP akan menghapuskan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Raja-Raja terus dibisik-bisikkan. Tanya mereka, siapakah hari ini yang bertanggungjawab mengenepikan hak-hak istimewa Bumiputera dan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, jika bukan UMNO. Begitu juga bukankah pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri yang memberi lesen kepada rakan kongsinya, MCA acapkali menghina agama suci kita dengan mengatakan pelabur-pelabur akan lari dan rakyat akan menderita jika Pas memerintah negara ini berlandaskan hukum Islam. MasyaAllah! PKR pula digambarkan dengan berbagai skandal seolah-olah pemimpin UMNO/BN adalah "maksum" – tidak tercemar dengan sebarang maksiat dan skandal.

Masa berlalu, zaman pun berubah namun UMNO/BN tetap dengan propaganda yang usang itu. Rakyat kini terutama golongan muda sedar dengan helah itu semua.

Sekiranya kepercayaan dan keyakinan rakyat dapat dikembalikan yang mana sebahagian besarnya adalah melalui apa yang saya sarankan melalui surat ini, saya penuh yakin UMNO dan BN masih mampu mencipta detik gemilangnya.

Sebelum terlupa, ada juga kawan-kawan lama kita berdoa dan berharap agar perbicaraan kes rasuah "Kapal Selam Scorpene" milik negara di Mahkamah Perancis tidak akan membabitkan YAB Dato' Sri atau mana-mana ahli keluarga. Ia juga diharap tidak ada kaitan dengan kes pembunuhan Altantuya yang masih diperkatakan.

Meskipun surat ini untuk tatapan YAB Dato' Sri tetapi sekiranya selepas 14 hari daripada surat ini dihantar dan didapati tiada respon daripada YAB Dato' Sri untuk memulihkan keadaan dan memperbaiki kerosakan dalam negara sebagaimana yang disebutkan diatas, saya merasakan tidak mempunyai pilihan lain selain menyerahkan kepada rakyat untuk menilai dan menghakiminya dengan memberi ruang kepada seramai mungkin rakyat turut sama membaca surat ini.

Dengan rakyat turut sama membaca surat ini setelah ianya tidak mendapat respon daripada pihak YAB Dato' Sri, saya beranggapan saya sudah menunaikan tanggungjawab sebagai ahli UMNO dan rakyat Malaysia. Selebihnya saya serahkan kepada rakyat untuk menentukan sama ada mereka mahu terus menyokong kepimpinan YAB Dato' Sri dan UMNO atau sebaliknya.

Saya tidak akan terperanjat jika sesudah surat ini tersebar luas, ramai 'hero-hero' UMNO terutama di kalangan mereka yang sedang menyiapkan diri untuk dipilih atau dipilih semula sebagai calon, akan "menyerang" saya.

Tidak kurang juga "mualaf-mualaf" UMNO/BN iaitu mereka yang baru "bertaubat" setelah memaki hamun UMNO/BN bertahun-tahun lamanya dianugerahkan pangkat dan kemewahan dan masih menunggu lebih banyak lagi "durian runtuh" akan bertindak sebagai "askar upahan" memaki hamun saya pula seperti apa yang mereka lakukan terhadap rakan seperjuangan mereka di suatu ketika dahulu.

Saya yakin ada diantara askar upahan ini akan mendesak pemecatan saya daripada UMNO. Umum tahu askar upahan dan mualaf politik ini tidak lebih seperti "harimau sarkas" yang sentiasa lapar menunggu diberi habuan. Harimau sarkas ini terpaksa disuap kerana mereka tidak pandai mencari makan sendiri. Sekiranya habuan tidak diberi dengan cukup dan memuaskan, mereka juga akan membaham tuannya sendiri. Nasihat saya kepada YAB Dato' Sri agar berwaspada dengan specis harimau sarkas ini.

Terserahlah kepada YAB Dato' Sri sama ada mahu menerima tekanan daripada mereka itu tetapi saya membuat keputusan menulis surat ini dan berucap di khalayak ramai adalah kerana saya tidak mahu dituduh seperti "lembu" yang boleh dicucuk hidung.

Ada kawan-kawan mengingatkan tidakkah saya takut tindak balas (reaction) dari pemimpin-pemimpin UMNO terhadap saya dan ahli keluarga. Kata mereka lagi, pemimpin-pemimpin UMNO boleh menyekat rezeki, mengaibkan di muka pengadilan, membankrapkan dan malah dengan kuasa yang diberi oleh rakyat, mereka boleh buat apa saja.

Kepada Allah saya berserah; Dialah Yang Maha Adil lagi Maha Berkuasa. Dari Dia kita datang dan kepada Dialah kita semua akan kembali. Allahu Akbar!!!

Adalah menjadi harapan saya agar YAB Dato' Sri dapat meluangkan masa membaca dan meneliti surat ini demi survival UMNO dan BN di bumi Malaysia yang tercinta ini.

Sekian, terima kasih.

TAMRIN TUN GHAFAR

Sultan Johor murka dengan kejadian di Pulau Rawa

Posted: 10 May 2012 04:08 AM PDT


JOHOR BAHARU - Sultan Johor Sultan Ibrahim melahirkan rasa murka, namun telahpun memaafkan empat warga asing yang terlibat dalam pergaduhan dengan pengawal peribadi rombongan diraja Johor di sebuah pusat peranginan di Pulau Rawa pada malam Jumaat minggu lepas.

"Saya marah, sepatutnya insiden ini tak berlaku. Mereka dalam keadaan mabuk dan membuat kacau mengganggu pengunjung lain di pulau tersebut," titah baginda kepada pemberita di Istana Pasir Pelangi di sini, hari ini.

Baginda bertitah demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai kejadian pergaduhan di Pulau Rawa minggu lepas yang melibatkan empat pelancong warga asing dengan pengawal peribadi rombongan Diraja Johor.

Baginda difahamkan empat pelancong asing yang bekerja di Singapura itu tiba di sebuah pusat peranginan pulau berkenaan kira-kira 11 malam sebelum mabuk dan mengganggu tetamu diraja yang mengadakan satu majlis dan menginap di pusat
peranginan bersebelahan.

Ada di antara pelancong terbabit turut bersikap biadap dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada keluarga dan tetamu diraja sehingga mencetuskan ketegangan sehingga terjadi pergaduhan.

Salah seorang daripada mereka juga dilaporkan telah berenang dan menceroboh bot milik Sultan Johor yang ketika itu sedang berlabuh di jeti sebelum bertindak agresif mencekik krew kapal yang cuba menghalang perbuatan itu.

Keadaan itu menyebabkan mangsa terpaksa meminta tolong daripada pengawal Istana dan melihat keadaan itu, warga asing itu telah terjun ke laut dan terpijak batu karang menyebabkan dia cedera, titah baginda.

Dia kemudian dirawat oleh doktor peribadi baginda sendiri.

"Saya dimaklumkan kejadian itu kira-kira 7.30 pagi dan merasa sedih dengan kejadian seumpama itu....(tetapi) saya dah lupakan kisah ni, saya maafkan mereka.

"Saya maafkan mereka, tiada masalah, sila datang kembali sebagai tetamu saya," titah baginda.

Dalam masa yang sama menurut Sultan Johor, beberapa pihak termasuk pemilik pusat peranginan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan baginda menyerahkan kes itu untuk disiasat polis.

"Biar polis menjalankan tugas mereka, saya tak boleh kata apa saya mungkin berat sebelah dan memihak kepada satu pihak. Jadi biar polis siasat apa yang terjadi," titah baginda.

Baginda juga menyifatkan kes itu diperbesar-besarkan oleh akhbar Singapura dengan mengeluarkan laporan yang tidak tepat.

"Jangan besar-besarkan cerita yang kecil, kalau saya nak besar-besarkan, orang tu dah kena tangkap hari itu sebab menceroboh dan memanjat bot saya dan berkasar dengan krew saya," titah baginda.

Dalam masa yang sama baginda mengalu-alukan kehadiran pelancong di pulau-pulau peranginan di negeri ini yang sememangnya terkenal dengan keindahan dan keunikannya yang tersendiri.

Namun nasihat baginda kepada pelancong asing ini "berseronoklah, relaks dan jaga kelakuan." - Bernama

Ustaz Azhar Idrus Bidas Ustaz Muda Persenda Zikir Imam Syafie..

Posted: 10 May 2012 12:20 AM PDT

Isu Penyenaraian Felda Dan Durian Runtuh: Dokumen Misteri Mula Terbongkar

Posted: 09 May 2012 10:52 PM PDT









Klik pada gambar untuk besarkan

Khalid Ibrahim Masih Lagi Ahli Umno?

Posted: 09 May 2012 10:43 PM PDT

http://www.humanrightspartymalaysia.com/wp-content/uploads/2010/01/khalid22.jpg

Khalid Ibrahim Masih Ahli UMNO Bukti Umno Tidak Kemaskini Rekod Keahlian


Shah Alam: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan bahawa beliau masih merupakan ahli Umno di Pasir Tuntung seperti ditulis sebuah blog pro-Umno baru-baru ini.

Beliau sebaliknya berkata, Umno mungkin tidak mengemaskini keahlian di kawasan terbabit.

"Saya tidak tahu saya masih ahli. Pasir Tuntung itu alamat rumah mak saya. Boleh jadi Umno tidak kemaskini.

"Sepatutnya macam Keadilan (PKR), jika orang itu tukar (parti) maka mereka batalkan keahlian," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.

Menyentuh mengenai teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu air, kerajaan negeri mendesak agar Kerajaan Persekutuan segera melaksanakan penstrukturan semula industri pembekalan air di negeri itu.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri turut berharap agar Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui agar tidak berdolak dalih dan menggunakan kuasa untuk memastikan syarikat konsensi memberi persetujuan.

Lagi Umno Tanjong Karang Jual Lima Bidang Tanah Anugerah Kerajaan Negeri

Posted: 09 May 2012 09:05 PM PDT

http://www.selangorku.com/wp-content/uploads/2012/05/tanah-yang-didakwa-dijual-crop1.jpg

Nazli Ibrahim

SHAH ALAM, 8 MEI: Umno Tanjong Karang didakwa menjual lima lagi bidang tanah di Tanjong Karang yang telah dianugerahkan kepadanya oleh Kerajaan Selangor Umno-BN yang dulu.

Pendedahan terbaru ini sekaligus menjadikan sebanyak tujuh bidang tanah yang telah dianugerahkan kepada Umno Tanjong Karang oleh kerajaan negeri Umno-BN terdahulu.

Tanah-tanah ini kemudiannya dijual kembali bagi membolehkan parti itu memperolehi keuntungan mudah.

Demikian beritahu Naib Yang DiPertua PAS Tanjong Karang, Misran Serman kepada TVS hari ini.

Menurut Misran, tanah tersebut sebelum ini merupakan kawasan hutan simpan pemampan hakisan pantai yang terdiri dari hutan paya bakau.

"Lima bidang tanah yang saya sebutkan ini sebenarnya hutan simpan paya bakau iaitu kawasan pemampan hakisan pantai.

"Malangnya, kerajaan negeri dahulu dah anugerahkan tanah-tanah ini kepada Umno Tanjong Karang.

"Pindah milik bagi lot nombor 25862 dibuat pada 1996 dan empat lagi bernombor lot 26429, 26431, 26430 dan 26428 pula dipindah milik pada 2001.

"Semakan saya di Pejabat Tanah Dan Galian mendapati Nombor hak milik tanah-tanah ini adalah PN 11222, PN 80339, PN80345, PN 80346 dan PN 80348.

"Lepas itu Umno Tanjong Karang jualkan kepada syarikat-syarikat dengan harga yang tidak diketahui sekaligus sekali lagi jadi jalan mudah Umno Tanjong Karang buat duit," beritahu Misran.

Dari hasil carian yang diperolehi di Pejabat Tanah dan Galian Shah Alam dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, mendapati tanah bernombor lot 25862 dengan keluasan 28.3 hektar telah dijual kepada Prestige Sdn Bhd.

Manakala Lot 26429 dengan keluasan 12.5 hektar pula telah dijual kepada Camaroe Aquaculture Sdn Bhd.

Natural Adept Sdn Bhd pula membeli dua bidang tanah bernombor lot 26431 dan 26430 dengan keluasan masing-masing 4.048 dan 4.049 hektar.

QQ Sea Food Sdn Bhd turut membeli sebidang tanah bernombor lot 26428 dengan keluasan 4.038 hektar.

Menurut Misran, pada masa ini syarikat-syarikat terbabit terlibat menjalankan penternakan udang di atas tanah-tanah yang dibelinya itu.

Misran turut mempersoalkan dakwaan Umno sebelum ini yang mengaku kononnya mempertahankan hak dan kedudukan orang-orang Melayu.

"Umno kata mereka pertahankan hak Melayu, tapi dalam kes ini kita dapat lihat kebolehan Umno menjual tanah yang diberi kerajaan negeri kepada bukan Melayu.

"Sudahlah tanah itu dianugerahkan oleh kerajaan negeri,lepas itu senang-senang mereka jualkan untuk dapat untung atas angin, tindakan mereka langsung tak menguntungkan orang Melayu," kata beliau lagi.

Misran juga memberitahu, perkara ini akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam masa terdekat.

Dalam pendedahan sebelum ini, dua bidang tanah di Pekan Tanjong Karang dan Jalan Sungai Kajang yang diberi milik kepada Umno Tanjong Karang turut dijual parti politik terbabit kepada syarikat swasta.

Sidang Media Isu Air Kelantan Oleh Exco Kelantan

Posted: 09 May 2012 08:56 PM PDT

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.42600.1335239182!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_400/image.jpg


Video Penuh Sidang Media oleh YB. Dato' Mejar (B) Md. Anizam Abd Rahman, Exco Jawatankuasa Perumahan, Kerjaya, Utiliti dan Alam Sekitar mengenai Isu AKSB.

Tolak PBB, lantik Hanif serlahkan Umno kerajaan diktator

Posted: 09 May 2012 07:02 PM PDT



(Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR 10 Mei: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang menolak tawaran pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Frank William La Rue.

Penyelaras badan bukan kerajaan (NGO) itu, Nalini E, berkata ia membuktikan kerajaan Malaysia tidak ikhlas menganggotai PBB sebaliknya sekadar mencari populariti.

"Ini tanggungjawab sebagai anggota PBB. Kita mesti benarkan. Mereka sudah pasti pakar dalam bidang tersendiri. Jadi Malaysia tidak perlu takut.

"Kita mahu siasatan sewajarnya dijalankan PBB sebab pandangannya bebas dan seimbang," katanya selepas sidang media NGO Bersih di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur di sini semalam.

Sebelum ini, La Rue, seorang peguam dari Guatemala menawar diri bagi menjalankan siasatan bebas, mengkaji dan menilai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Beliau yang pernah dicalon sebagai penerima Anugerah Keamanan Nobel dianggap paling sesuai kerana dapat memberi penilaian tanpa terikat kepada mana-mana pihak.

Mengulas lanjut kepada Keadilan Daily, Nalini menyifatkan keengganan kerajaan itu hanya menyerlahkan kezaliman pentadbiran diktator Umno BN.

"Apa salahnya? Tapi kerajaan Malaysia tidak mahu ambil tanggungjawab untuk memastikan situasi hak asasi manusia dalam keadaan baik.

"Bermakna Malaysia tiada kesungguhan untuk pulihkan demokrasi. Kerajaan mahu mengekalkan undang-undang yang tidak menghormati hak asasi," katanya.

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Anifah Aman menyatakan tiada keperluan untuk orang luar menyiasat Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Sebaliknya, kerajaan melantik bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar mengetuai panel 'bebas' bagi menyiasat keganasan polis yang pernah diterajuinya.

Menang sorak kampung tergadai, Memiliki Tanah Peneroka Dengan RM15 Ribu Jer..

Posted: 09 May 2012 04:32 PM PDT

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgMjIBwotyjDb38uAM8pN9d8AHsz9W4atOe2Ms8Pf0G3T1P9WGLqhFDY-hskxI9pTlka8yw_fe7E4dyTDv5sVMRvN05mVikDRGMWy20iKvrgAvaTFY7iGk5CCNak6vV-UGtPQpMaZsGnpE/s1600/Surat_Peneroka_tanggung_kerugian.jpg

Adakah berbaloi gula-gula one off seperti ini? Berapa lama lagi BN nak bermain politik dengan taktik lama untuk mendodoikan rakyat agar terus menyokong mereka?

Atau ini dilakukan untuk 'menutup mulut' peneroka agar jangan mempersoalkan keghairahan Kerajaan menyenaraikan Felda Global Venture di Bursa Malaysia? Penipuan mereka melalui 7 buah Bank iaitu CIMB,BIMB,Maybank, OCBC, Am Islamic Bank, Muamalat dan Affin Bank yang diperalat membiayai pinjaman tawaran saham FGVH sangat ketara. Borang pinjaman yang dikosongkan jumlah pinjaman, interest 5 peratus, borang dalam bahasa Inggeris, tidak ditaklimatkan isi kandungannya dan tidak dinyatakan risiko kerugian seperti 'Surat Tanggung Kerugian' adalah antara penipuan dan pengkhianatan kepada para peneroka!

125 peneroka Felda adalah sebahagian daripada ribuan lagi peneroka yang telah tertipu kerana menandatangani Borang Perjanjian Pinjaman yang mereka tidak tahu apa-apa. Mereka tidak dapat membezakan antara 'durian runtuh' dengan pinjaman saham FGVH. Mereka memfailkan Injunksi di Mahkamah Tinggi Seremban semalam kerana teramat bimbang daripada risiko pinjaman yang boleh sahaja TERGADAI aset mereka.

Perdana Menteri beri jaminan tanah peneroka tidak akan tergadai. Adakah PM tidak membaca hampir 70 mukasurat dalam Borang Pinjaman FGVH yang secara jelas dinyatakan dengan terperinci nasib peneroka jika harga saham merudum dan segala risiko di tanggung Peneroka?

Adakah PM tidak mengambil iktibar nasib Felda Cahaya Baru, Felda Sg Buaya, Felda Labu Johnson dan Sendayan yang hilang tanah mereka dan hidup menderita seperti pepatah 'menang sorak kampung tergadai'?

Mana pergi pemimpin BN tatkala Amanah Saham Negeri-negeri gulung tikar hingga menyebabkan rakyat hilang harta dan diisytiharkan muflis kerana meminjam bank untuk melabur?

Amanah Saham Johor adalah bukti yang amat jelas. Adakah PM, Ahmad Maslan dan Isa Samad boleh beri jaminan bertulis yang saham FGVH tidak rugi sepertimana nasib pelabur Amanah Saham Negeri-negeri dan juga saham-saham lain seperti KUB, BERNAS dsbnya?

PM tidak perlu sebut ' haram jadah' yang di ulang dua kali dalam ucapannya tadi kalau dia rasional. Datuk Ahmad Maslan tidak perlu hentam dan cabar saya seperti diungkapkannya tadi. Kenapa terlalu marah hingga tega memaki hamun di hadapan khalayak ribuan warga Felda. Sebagai pemimpin biarlah ada wawasan. Peneroka Felda sudah ada tanah dan rumah. Untuk survive, telah memadai. Daripada 1.6 juta warga Felda, 65 peratus adalah generasi kedua. Ini tempoh peralihan yang sangat kritikal untuk mereka.

Media Umno guna isu sensasi untuk tenggelamkan 8 tuntutan Bersih

Posted: 09 May 2012 04:31 PM PDT



(Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR 9 Mei: Sekurang-kurangnya 14 badan bukan kerajaan (NGO) kecewa berikutan media arus perdana yang dikawal Umno BN, mereka-reka berita sensasi bagi menenggelamkan lapan tuntutan membaiki sistem pilihan raya di negara ini.

Semua NGO itu – Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas), Sisters in Islam (SIS), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), bergabung dalam Bersih.

Wakil Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas), Tan Jo Hann, berkata isu pokok yang dibawa Bersih diputar belit, sebaliknya keganasan polis terhadap orang awam dan media tidak pula dibincang.

"Bersih wujud bukan disebabkan personaliti, menggulingkan kerajaan, komunis yang dimainkan oleh media arus perdana.

"Bersih hanya mahukan tuntutan pilihan raya adil dan bersih. Ia melangkaui parti, agama dan kaum," katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menekankan kepentingan lapan tuntutan Bersih yang hingga kini, belum diselesaikan kerajaan, Jo Hann yang berpengalaman sebagai jurufoto di Filipina, menyifatkan keganasan polis, melampau.

"Tujuh tahun jadi jurugambar di Filipina, tidak pernah saya lihat polis menyerang media, sedangkan saya juga pernah bertugas dan berdepan dengan demonstrasi yang melibatkan kematian.

"Polis atau tentera jika lihat pas media, mereka akan lindungi kami," katanya.

Mengapa politikkan Fatwa?

Posted: 09 May 2012 04:29 PM PDT



KEADILAN berpendapat perkara berkaitan hukum hakam agama hendaklah dibahaskan di kalangan mereka yang berkeahlian dalam bidang berkaitan untuk mengelakkan salah faham kepada masyarakat umum.

Oleh sebab itu, ulama yang jujur kepada hukum agama dan yang memelihara kemurnian hukum Islam serta menjaga martabat dan maruah umat akan memberikan pendapat tanpa takut ancaman pada diri atau mengambil kira kepentingan mana-mana kelompok.

Bagi menentukan sesuatu hukum atau fatwa, terdapat beberapa kaedah dan caranya. Mungkin pendapat atau pandangan itu berbeza, mengikut keadaan semasa dan persekitaran. Hukum boleh berubah dengan peredaran zaman.

Biasanya sesuatu fatwa yang diberikan mesti mendapat pandangan dari pelbagai pihak, pakar dalam sesuatu perkara serta membuat rujukan dari pelbagai sumber yang sahih lagi tidak dipertikaikan. Contohnya, untuk mengeluarkan fatwa dalam bidang perubatan, pakar perubatan dalam bidang berkaitan mesti tampil memberikan keterangan dan pandangan dalam mesyuarat J/kuasa Fatwa tersebut, walaupun dia adalah bukan muslim.

Dalam konteks masyarakat Islam sekarang ini, fatwa sangat diperlukan dan penting bagi mengetahui satu-satu hukum syarak dengan tepat dan benar. Hukum fatwa mengikut pandangan kebanyakan ulama adalah fardhu kifayah. Hal ini kerana fatwa termasuk sebahagian daripada keperluan agama yang sepatutnya dan semestinya wujud demi maslahah dan manfaat umum.

Dengan adanya fatwa, masyarakat dapat menyelesaikan banyak masalah dan kemusykilan hidup yang berkaitan dengan agama.

Apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hari ini memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara. Fatwa ini menimbulkan pelbagai reaksi serta komentar dari pelbagai lapisan masyarakat:

i) Adakah Majlis Fatwa Kebangsaan mengambil pandangan dari pelbagai pihak yang terlibat dalam himpunan aman Duduk & Bantah pada 28 April lalu. Antara yang perlu memberikan keterangan dalam mesyuarat J/Kuasa Fatwa ini adalah:-

a) Menteri dalam negeri yang menyatakan himpunan ini tidak mengancam keselamatan negara.
b) Polis Diraja Malaysia.
c) Peguam yang terlibat atau Majlis Peguam.
d) Penganjur.
e) Media yang membuat laporan.
f) Parti-parti politik yang terlibat mengarahkan ahli berhimpun.
g) Badan-badan bukan kerajaan.
h) Individu-individu tertentu.
i) Suhakam (dalam konteks kebebasan hak asasi manusia).

ii) Mengapakah fatwa ini dikeluarkan dalam keadaan yang tergopoh gapah dan menyatakan pandangan dari sebelah pihak sahaja, seolah-olah untuk menyokong pandangan pihak tertentu dan mencela pihak yang satu lagi.

iii) Membandingkan fatwa yang diberikan oleh Prof Dr Yusof Al-Qaradawy mengenai himpunan di Dataran Tahrir, Kaherah, Mesir yang mewajibkan semua rakyat turun. Serta berlaku pelbagai kegananan, kerosakan harta benda , kerugian perniagaan dan kematian. Namun menjatuhkan kezaliman pemerintah yang diktator, rasuah, rakus dengan kuasa, bersifat menindas, ketidakadilan lebih diutamakan daripada mengharamkan demonstrasi itu sendiri.

Sesuatu fatwa yang dikeluarkan boleh dibatal dengan fatwa yang terbaharu setelah mendapat pandangan atau maklumat yang terkini, bukannya mahkamah yang membatalkan pandangan fatwa tersebut, seperti yang dibentangkan dalam enakmen bagi menghalang mahkamah daripada merubah keputusan Jawatankuasa Fatwa negeri yang telah diwartakan dalam DUN Kedah baru-baru ini. Hanya Majlis Fatwa yang boleh merubah fatwa yang telah dikeluarkan.

Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) (Pindaan) 2012 itu dibentangkan dalam sidang DUN Kedah bagi menggantikan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 10) dengan memasukkan Fasal 22A yang berbunyi 'Walau apapun undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan, fatwa yang telah diputuskan oleh mufti atau

Jawatankuasa Fatwa samada diwartakan atau tidak hendaklah dipatuhi dan tidak boleh dicabar, dirayu disemak dinafikan atau dipersoal dalam mana-mana mahkamah sivil atau syariah.

Memandangkan pentingnya kedudukan fatwa dalam Islam, maka para ulama membincangkan persiapan yang perlu ada pada orang yang ingin berijtihad dan memberi fatwa. Daripada huraian yang dibuat oleh imam-imam mujtahid seperti Syafiei, Malik, Ahmad dan lain-lain, Prof Dr Yusof Qaradawi merumuskan seperti berikut: Tidak harus memberi fatwa bagi mereka yang tidak mahir dalam ilmu Usul Fiqh; tentang qias dan illatnya, dan bila qias boleh digunakan. Begitu juga tidak harus memberi fatwa mereka yang tidak mengkaji pendapat-pendapat ulama dalam kitab-kitab mereka, dalil-dalil yang digunakan serta masalah-masalah yang terhadap persepakatan dan perbezaan pandangan mereka (Dr Yusof al-Qaradawi, al-Fatwa).

Inilah di antara beberapa persoalan yang masih berlegar dalam isu pengharaman himpunan aman Bersih 3.0 lalu. Oleh itu, fatwa yang diberikan biarlah bebas dari pengaruh mana-mana pihak , supaya mempunyai nilai dan integriti serta kekuatan yang tersendiri, maka saya mencadangfkan supaya Majlis fatwa kebangsaan bersidang semula dengan memanggil pihak-pihak yang terlibat dalam himpunan aman Bersih 3.0 memberikan pandangan mereka secara lebih jujur dan telus.

Ahmad Kasim
Ahli Parlimen Kuala Kedah merangkap Pengerusi Biro Pemahaman & Pemantapan Agama KEADILAN

Tiada ulasan: