Kelab Greenboc |
- Polis Berbohong - PBB Tak Pernah Luluskan "Gas Pemedih Mata"
- Dalang Penculik Nayati Sudah Terbang Ke Eropah
- Khalid Ibrahim Masih Ahli UMNO Bukti Umno Tidak Kemaskini Rekod Keahlian
- Khalid Ismath Mahu Saman Akhbar Yang Menuduhnya Tendang Anggota Polis Trafik
- Pasca BERSIH 3.0: Jangan Hilang Fokus Terhadap 8 Tuntutan Bersihkan Pilihanraya
- Panel Siasatan BERSIH 3.0: Sekali Lagi, Rakyat Diperbodohkan
- Skandal Shafie-Zahida: Shafie Bakal Tersungkur, Zuraida Bawa Saksi Utama 15 Mei
- Apabila Najib Memaki Rakyatnya HARAM JADAH, Tanda Berakhirnya Beliau Sebagai PM
Polis Berbohong - PBB Tak Pernah Luluskan "Gas Pemedih Mata" Posted: 10 May 2012 12:44 AM PDT PBB selar, kata tak lulus 'gas pemedih mata' KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menafikan bahawa badan antarabangsa tersebut terlibat dalam 'meluluskan' senjata seperti gas pemedih mata sebagai reaksi kepada dakwaan kerajaan Malaysia bahawa gas pemedih mata yang digunakan dalam Bersih 3.0 adalah diluluskan PBB. "PBB tidak menetapkan piawai antarabangsa terhadap sebarang jenis bahan iritasi, atau meluluskan 'CS Gas' sebagai bahan pengawal rusuhan," kata Dr Lin Mui Kiang, penyelarasan pakar PBB bagi Malaysia. Beliau merujuk kepada satu laporan oleh akhbar milik MCA, The Star yang memetik Ketua Penolong Pengarah Jabatan Logistik (Persenjataan), ACP Syed Mustafa Raja Syed Nordin sebagai mempertahankan penggunaan gas pemedih mata, bom gas pemedih mata, kanister gas pemedih mata dan semburan lada di perhimpunan Bersih 3.0. "Kesemuanya diimport dari Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Switzerland serta mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Alat ini mengandungi 'gas CS' yang diluluskan oleh PBB sebagai ejen kawalan rusuhan. Kebanyakan negara mengesahkan penggunaan gas ini tidak membawa maut," beliau dipetik sebagai berkata. Mengutuk kekurangan profesionalisme oleh media perdana Malaysia dan pegawai awam, Lin turut melahirkan rasa kesal bahawa PBB tidak dirujuk terlebih dahulu sebelum The Star membuat laporan tersebut, yang disifatkan beliau jauh tersasar daripada ketepatan maklumat. Beliau mengingatkan walaupun dalam situasi di mana kekerasan dan senjata perlu digunakan, pihak berkuasa mestilah bertindak secara terkawal, minimakan kerosakan dan kecederaan, hormat dan lindungi nyawa. "Kita di PBB menyeru agar para wartawan untuk menyelidik dan melaporkan secara betul dan tepat atas segala maklumat dan prosedur yang melibatkan PBB. Kita percaya bahawa professionalisme sebegini perlu juga ada pada pegawai awam," kata Lin. Sebanyak lebih 250,000 peserta telah menbanjiri Kuala Lumpur pada April 28 yang lepas untuk menyatakan sokongan terhadap Bersih 3.0 untuk menuntut penambah-baikan segera pada sistem pilihanraya negara. Lebih 500 peserta telah ditahan, ramai yang tercedera termasuk polis dan wartawan. Kerajaan Barisan Nasional terdahulunya telah menolak tawaran seorang pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Frank William La Rue, untuk menyiasat Bersih secara objektif. Sebaliknya, kerajaan melantik bekas ketua polis negara Hanif Omar untuk mengetahui "panel penasihat bebas" untuk menyiasat insiden keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0. -HD CAUGHT LYING BY THE UN: From Utusan to NST to the Star, Najib shames M'sia |
Dalang Penculik Nayati Sudah Terbang Ke Eropah Posted: 09 May 2012 11:45 PM PDT Dalang disebalik insiden penculikan kanak-kanak berusia 12 tahun Nayati Shamelin Moodliar dipercayai telah melarikan diri ke luar negara sebaik sahaja kanak-kanak itu dibebaskan minggu lalu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin berkata polis sedang meminta bantuan Interpol bagi mengesan lelaki terbabit. Beliau hari ini mengesahkan lima suspek — empat lelaki, seorang wanita — setakat ini telah ditahan bagi menyiasat kes berkenaan. Kesemua suspek ditahan dalam operasi berasingan di Perak dan Selangor antara Ahad hingga awal hari ini. Turut difahamkan pihak polis turut berjaya menemui lebih dari RM100,000, dipercayai sebahagian daripada wang tebusan yang dibayar keluarga Nayati kepada penculik terbabit. Jumlah sebenar wang tebusan bagaimanapun masih tidak didedahkan. Pasukan khas dari Bukit Aman turut merampas satu laptop dan telefon bimbit yang digunakan penjenayah untuk berhubung dengan keluarga Nayati bagi berunding berkenaan tebusan kanak-kanak Belanda ini. Nayati diculik ketika sedang berjalan seorang diri berhampiran sekolahnya di Mont Kiara International School. Dia dibebaskan Khamis lalu di Hentian Rehat dan Rawat Sungai Buloh selepas keluarganya membayar wang tebusan. Kes ini telah mendapat perhatian umum dengan poster kanak-kanak terbabit diedarkan di sepanjang jalan. Nayati dikatakan telah ditarik dua lelaki ke dalam sebuah kereta bewarna hitam tidak jauh dari sekolahnya. Penculik berkenaan juga dipercayai berhubung dengan keluarga nayati untuk membincangkan berkenaan wang tebusan menggunakan laman sosial Facebook. |
Khalid Ibrahim Masih Ahli UMNO Bukti Umno Tidak Kemaskini Rekod Keahlian Posted: 09 May 2012 10:27 PM PDT Shah Alam: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan bahawa beliau masih merupakan ahli Umno di Pasir Tuntung seperti ditulis sebuah blog pro-Umno baru-baru ini. Beliau sebaliknya berkata, Umno mungkin tidak mengemaskini keahlian di kawasan terbabit. "Saya tidak tahu saya masih ahli. Pasir Tuntung itu alamat rumah mak saya. Boleh jadi Umno tidak kemaskini. "Sepatutnya macam Keadilan (PKR), jika orang itu tukar (parti) maka mereka batalkan keahlian," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini. Menyentuh mengenai teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu air, kerajaan negeri mendesak agar Kerajaan Persekutuan segera melaksanakan penstrukturan semula industri pembekalan air di negeri itu. Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri turut berharap agar Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui agar tidak berdolak dalih dan menggunakan kuasa untuk memastikan syarikat konsensi memberi persetujuan. Penstrukturan semula industri air Ujar beliau, penstrukturan itu diperuntukan oleh Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA) yang membolehkan kerajaan negeri mengambilalih pengurusan air. "Kita amat hargai pandangan Sultan Selangor yang mengambil berat perkembangan yang berlaku di negeri ini dan setiap teguran oleh Baginda akan dijadikan panduan untuk meningkatkan keberkesanan urus tadbir negeri. "Maka kita mendesak Kerajaan Persekutuan mengambil teguran Sultan dan laksanakan penstrukturan semula ini," katanya. Semalam, Baginda mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak mempolitikkan isu air demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri itu. Sebelum ini kerajaan negeri menawarkan penyelesaian arbitrasi antarabangsa untuk memberi keadilan kepada semua pihak dan sepatutnya syarikat konsesi tidak mempunyai masalah untuk terima tawaran kerana ia munasabah. Dalam pada itu, exco negeri Dr Xavier Jayakumar pula berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan perbelanjaan sehingga RM5 juta bagi mengatasi masalah banjir. Tiga kawasan tadahan air yang terjejas teruk itu ialah Sungai Teluk Gadong, Aur dan Puluh. -FMT |
Khalid Ismath Mahu Saman Akhbar Yang Menuduhnya Tendang Anggota Polis Trafik Posted: 09 May 2012 08:37 PM PDT Aktivis siswa mahu saman Utusan, Kosmo! Aktivis pelajar, Khalid Ismath, yang didakwa menendang seorang anggota polis trafik ketika perhimpunan BERSIH 3.0 akan menyaman akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! berhubung tuduhan tersebut. Pada sidang media petang ini, Khalid berkata, tindakan saman itu diambil berikutan berita yang dipaparkan kedua-dua akhbar itu tidak benar. "Saya kini sedang berbincang dengan peguam dan beberapa aktivis pelajar. Saya akan saman Utusan dan Kosmo! kerana memaparkan berita dan gambar saya. "Berita tersebut mencalarkan reputasi saya sebagai seorang mahasiswa dan mengaibkan nama keluarga saya yang sebelum ini dikenali dengan keluarga yang baik kerana mereka mengatakan saya ganas," katanya. Turut hadir pada sidang media itu Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang dan Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini. 'Menteri kata bukan saya' Khalid berkata, beliau rasa teraniaya apabila ditahan polis ekoran penyiaran gambar lelaki yang didakwa sebagai dirinya itu. "Saya tak pernah pakai style macam ini. Dan kalau orang yang waras, boleh tengok dengan jelas dari segi gaya rambut, warna kulit dan sebagainya berbeza dengan saya. "Saya rasa teraniaya bila polis tiba-tiba menahan saya sedangkan saya datang ke sana (balai polis) atas kerelaan untuk membantu polis. Nak buktikan yang saya bukan pelaku dalam gambar itu," katanya. Khalid juga memaklumkan bahawa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah sendiri memaklumkan di Twitter bahawa individu yang disiarkan dalam akhbar milik Umno itu bukan dirinya. "Dalam satu tweet , Saifuddin mengatakan, dia dapat info daripada seorang SB UiTM yang mengatakan imej gambar dalam akhbar itu bukan saya. "Kerana menurutnya, SB sentiasa ada bersama mengikut saya," katanya lagi. -mk Ulasan GB Di dalam beberapa blog pro-UMNO dikatakan juga gambar foto lelaki yang menendang polis trafik itu adalah Khalid Ismath. Daripada analisis ringkas GB, jika diperhatikan betul-betul, tiada apa yang boleh menyokong kesimpulan tersebut malah ia jauh berbeza. Perhatikan sahaja perbezaan stail rambut lelaki tersebut jelas menunjukkan ia bukan Khalid Ismath. Ia lebih mendekati wajah anggota polis yang menahan peserta BERSIH yang dilaporkan sebelum ini. |
Pasca BERSIH 3.0: Jangan Hilang Fokus Terhadap 8 Tuntutan Bersihkan Pilihanraya Posted: 09 May 2012 06:14 PM PDT Fokus 8 tuntutan Bersih, abai putar belit media KUALA LUMPUR, 8 Mei: 14 badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong Bersih 2.0 meminta semua pihak kembali fokus kepada lapan tuntutan Bersih dan tidak melayan putar belit media arus perdana. Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Nahar Md Nor berkata, media seharusnya membantu Bersih 3.0 memastikan lapan tuntutan dilaksana, bukan mengalihkan isu. "Jika ada keganasan polis atau ada peserta bertindak ganas, itu jelas perlu dilakukan siasatan bebas tapi isu yang kita nak bawa iaitu lapan tuntutan, tidak boleh hilang fokus. "Kita nak agar isu dan tuntutan Bersih ni balik kepada asal dan kita tak mahu isu-isu lain yang cuba dialih pihak media kerajaan daripada tuntutan sebenar Bersih," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur, hari ini. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas), Tan Jo Hann berkata, isu pokok yang dibawa Bersih diputar belit, dan menutup keganasan polis terhadap orang awam dan media. "Bersih wujud bukan disebabkan personaliti, menggulingkan kerajaan, komunis yang dimainkan oleh media arus perdana. "Bersih hanya mahukan tuntutan pilihan raya adil dan bersih. Ia melangkaui parti, agama dan kaum," katanya. Jo Hann yang berpengalaman sebagai jurufoto di Filipina juga menyifatkan keganasan polis pada perhimpunan Bersih 3.0 sebagai melampau. "Tujuh tahun jadi jurugambar di Filipina, tidak pernah saya lihat polis menyerang media, sedangkan saya juga pernah bertugas dan berdepan dengan demonstrasi yang melibatkan kematian. "Polis atau tentera jika lihat pas media, mereka akan lindungi kami," katanya. Turut serta ialah Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas), Sisters in Islam (SIS), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ). -HD |
Panel Siasatan BERSIH 3.0: Sekali Lagi, Rakyat Diperbodohkan Posted: 09 May 2012 04:45 PM PDT Bersih 3.0: Haniff tak sesuai ketuai panel bebas TEMERLOH, 9 Mei: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap pelantikan Tun Haniff Omar sebagai ketua panel siasatan bebas menangani perhimpunan Bersih 3.0 adalah tidak sesuai sama sekali. Katanya, ini disebabkan latar belakang Haniff sendiri sebagai bekas Ketua Polis Negara sedangkan penyiasatan menjurus kepada dakwaan insiden kekasaran oleh pihak polis ketika perhimpunan aman tersebut pada 28 April lalu. "Lagipun beliau sendiri sudah membuat kenyataan bias sebelum ini mengatakan perhimpunan Bersih mahu menggulingkan kerajaan dan disertai komunis 1970-an. "Jadi dengan kenyataan kontroversi yang sejak awal-awal lagi, mana mungkin mampu mendapatkan penyiasatan yang adil, telus dan berwibawa," tegasnya. Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein petang ini pelantikan enam ahli panel penasihat bebas yang diketuai Hanif untuk menyiasat dan melaporkan kejadian sebenar ketika perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini. Ahli-ahli lain ialah bekas Ketua Hakim Borneo, Tan Sri Steve Sim; Pengarah Urusan Kumpulan Akhbar Sinar Harian, Datuk Husammuddin Yaacub; Penasihat Undang-undang Akhbar Sin Chew, Liew Peng Chuan; Pengurus Besar Kanan Korporat Petronas, Datuk Medan Abdullah dan pakar psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Ruszmi Ismail. Kerajaan dipercayai terpaksa melantik panel tersebut dipercayai berikutan menerima tekanan pelbagai pihak yang menyaksikan keganasan polis menangani lebih 200,000 rakyat yang berhimpun menuntut keadilan. Namun demikian, perhimpunan menuntut 8 pembaikan dalam pilihan raya itu cuba dipusingkan dengan mengaitkannya sebagai perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan. Tuan Ibrahim berkata, seelok-eloknya dilantik bekas hakim atau bekas Peguam Negara atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sendiri sudah memadai dengan ditambah kuasa penyiasatan. "Jadi dengan pelantikan tersebut saya percaya masyarakat masih belum melihat ada panel yang betul-betul bebas bagi menyiasat keganasan polis pada hari tersebut terhadap rakyat yang menuntut pilihan raya yang adil," jelasnya. Beliau mengingatkan, ketika peristiwa mata lebam Anwar Ibrahim dulu juga dilantik panel penyiasat di kalangan polis untuk menyiasat polis tetapi tidak ditemui. Tetapi selepas dilantik Suruhanjaya Diraja barulah ditemui yang membelasah Anwar ialah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor. Mengenai durian runtuh yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Jengka 8 semalam, Tuan Ibrahim berkata jumlah yang 'runtuh' itu, iaitu RM5,000 diberi tunai dan RM10,000 dalam dua fasa lain tidaklah sehebat pada sangkaan awal. "Pada mulanya kita ingatkan peneroka betul-betul akan tersandar dan tertiarap kerana terkejut dengan pengumuman macam dari langit itu. Kalau setakat RM5,000 itu, sekali peneroka jual hasil sawit pun dapat banyak tu. "Lagipun wang peneroka sudah banyak yang tersangkut pada Felda antaranya penipuan kadar perahan gred (KPG), wang tabung tanam semula (TTS) yang belum dikembalikan, ses, isi rong dan banyak lagi. "Di sini juga PAS mahu kerajaan dan Felda turut mempertimbangkan agar bonus dua bulan setengah gaji yang diperolehi oleh kakitangan Felda seperti diumumkan, supaya turut diberi kepada bekas kakitangan yang kini berpencen kerana mereka juga telah berjasa besar," katanya. Tuan Ibrahim mengingatkan, jika tidak dengan tawaran Pakatan Rakyat dan perjuangan Persatuan Anak-Anak Peneroka (Anak) yang begitu gigih memperjuangkan nasib peneroka tidak mungkin Najib mengumumkan durian runtuh itu. Beliau juga mengingatkan masih banyak janji kerajaan di kalangan peneroka masih belum tertunai antaranya pembesaran jalan raya Kampung Awah ke Jengka dan menaik taraf loji air ketika janji semasa pilihan raya kecil (PRK) Kerdau dulu. -HD BERSIH: Haniff Omar ketuai panel siasatan Ulasan GB Jika awal-awal lagi sebelum dilantik anggota panel bebas, bekas KPN itu telah membuat kenyataan yang berpihak kepada polis), bagaimana boleh dikatakan panel itu panel bebas? Samalah seperti J/K Panel Khas Parlimen Mengenai Pilihanraya & Lynas, semuanya "wayang" Najib untuk menipu rakyat. Betul-betul rakyat cuba diperbodohkan lagi. |
Skandal Shafie-Zahida: Shafie Bakal Tersungkur, Zuraida Bawa Saksi Utama 15 Mei Posted: 09 May 2012 08:01 AM PDT Kuala Lumpur 9 Mei: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, saksi utama skandal Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan pelakon terkenal, Zahida Rafik akan dibawa kepada media, Selasa depan. "Kami (KEADILAN) akan tampilkan saksi utama, Noor Azman Azemi, 38, bekas pemandu peribadi Zahida kepada media minggu depan. "Selepas itu, laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat wang sejumlah RM1.5 juta yang diberi Shafie kepada beliau," katanya kepada Keadilan Daily. Ahli Parlimen Ampang itu berkata, bukti-bukti baru juga akan terus didedahkan, walaupun Zahida bertindak membawa kes itu ke mahkamah. "Saya ingin tegaskan, bukan Zahida yang menjadi sasaran, tetapi sumber RM1.5 juta dari Shafie yang dipersoalkan," tegasnya. 18 April lalu, Zuraida mendedahkan Shafie memberikan hampir RM1.5 juta kepada Zahida dalam tempoh empat bulan. Transaksi itu berlaku pada Oktober 2011 iaitu RM36,000 dan RM26,000, November 2011 (RM118,000), Disember (RM333,000) dan Januari 2012 (RM510,000) Beliau turut mendedahkan Zahida mempunyai sebuah kereta mewah jenis BMW 6 Series, Porshe, Toyota Harrier dan juga rumah bernilai RM4 juta. Pada 3 Mac lalu, akhbar melaporkan Zahida kerugian RM200,000 dilarikan pemandunya selepas diarah memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun banknya. Pelakon kacukan Melayu-Pakistan itu turut menjadi bahan bualan di laman blog beberapa tahun lalu apabila digosipkan berkahwin dengan Shafie di luar negara. -KD klik untuk baca |
Apabila Najib Memaki Rakyatnya HARAM JADAH, Tanda Berakhirnya Beliau Sebagai PM Posted: 09 May 2012 04:25 AM PDT Haram jadah'... Inikah bahasa perdana menteri? KUALA LUMPUR: Di kala ada yang kononnya 'tersandar' selepas mendengar pengumuman durian runtuh oleh Perdana Menteri, namun ada juga yang terkejut dengan 'bahasa kesat' yang digunakan Datuk Seri Najib dalam ucapannya semalam. Gambar: PM ketika menghamburkan kata 'haram jadah' kepada sesetengah peneroka semalam Najib dalam ucapannya di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, Pahang semalam dengan nada tegas dua kali mengulangi perkataan 'haram jadah'. Beliau dipercayai menujukan kata-kata itu kepada pihak yang menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia. Menurut Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, kenyataan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang bergelar perdana menteri. "Tak sangka perdana menteri yang dilihat bapa kepada rakyat, tetapi mengeluarkan kata-kata kesat kepada rakyat sendiri," katanya. Yang menjadi persoalan kata Mazlan, apa yang menyebabkan Najib begitu marah sehingga sanggup mengeluarkan perkataan seperti itu. "Perkataan ini jarang orang guna kecuali dalam keadaan terlalu marah. "Dengan pengumuman durian runtuh itu, perdana menteri sepatutnya gembira kerana bakal mendapat sokongan dari peneroka. Tapi kenapa sampai perlu menyumpah haram jadah," soalnya lagi. Mazlan berkata, sepanjang pemerhatiannya dalam media arus perdana dari malam tadi dan hari ini, tiada pun media yang melaporkan kenyataan yang dikeluarkan Najib itu. Bagaimanapun ujarnya, rakyat semalam dapat melihat dan mendengar dengan jelas ucapan Najib itu yang disiarkan secara langsung melalui televisyen. -HD Ulasan GB Apabila Najib memaki rakyatnya iaitu sesetengah peneroka yang tidak bersetuju dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia, itu tanda-tanda akan berakhirnya tempoh Najib sebagai PM Malaysia... Percayalah! Di dalam konteks masyarakat melayu ia dinamakan "buang tabiat". Gejala buang tabiat lazimnya berlaku di saat-saat akhir kehidupan seseorang. Najib telah gagal dengan ujian sepertimana seorang bapa memaki hamun lantaran gagal menghadapi rencamnya karenah anak-anak sendiri. Pendek umur ayah sedemikian kerana tidak berupaya menguruskan stress. |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan