Jumaat, 4 Mei 2012

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


'Belasah wartawan paling tragis sejak reformasi'

Posted: 03 May 2012 09:00 PM PDT

Tindakan polis membelasah petugas media yang membuat liputan sewaktu BERSIH 3.0 Sabtu lalu, peristiwa paling tragis sepanjang liputan pelbagai perhimpunan sejak 1998, kata Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar.

Beliau yang juga aktivis kebebasan media berkata belum ada "keganasan paling sistematik" terhadap wartawan dalam tempoh kira-kira sepuluh tahun ke belakang walaupun insiden seumpamanya bukan perkara baru.

"Inilah kali pertama, dalam tempoh itu, antara tahun 1998 sehingga 2012, kali pertama kita melihat tindakan keganasan paling sistematik terhadap semua jenis wartawan.


"Pada 1998,1999 dan 2000, betul, polis ambil mengambil rakaman, polis rosakkan kamera, polis cabut rakaman video agensi (berita) luar, pijak depan orang ramai. Polis belasah, rampas kamera wartawan NST dalam peristiwa perhimpunan KESAS pada 2000.

"Polis buat sekatan sepanjang lebuh raya... Tetapi belum ada peristiwa yang paling tragis terhadap wartawan sehinggalah Sabtu lalu," katanya dalam forum membincangkan keganasan polis dan pemadaman (blackout) berita di Kuala Lumpur malam tadi.

Fathi menyifatkan perbuatan tersebut "paling sistematik" kerana melibatkan semua orang termasuk wartawan dan peguam yang menjadi mangsa keganasan seperti yang dilaporkan.

"Ini yang kita dapat laporkan secara jelas. Tetapi saya percaya, ada berpuluh-puluh lagi petugas media yang verbally abuse pada hari kejadian.

"Mereka (polis) caci, maki, dan mengeluarkan kata-kata kesat bersifat perkauman, terhadap petugas media. Ini yang belum direkodkan," katanya.

Fathi juga memuji tindakan akhbar berbahasa Cina yang menunjukkan solidariti kepada wartawan yang menjadi mangsa keganasan polis dengan memakai baju berwarna hitam sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia semalam.

"Ini kita salut kepada mereka... Ini atas sikap solidariti bersama dengan mangsa kekasaran (dan), keganasan polis.

"Mereka menghitamputihkan halaman (akhbar) sejak petang semalam (Rabu) lagi dengan meletakkan riben kuning untuk edisi petang surat khabar mereka," katanya sambil menambah ia berterusan sehingga petang semalam (Khamis).

Malah, kata Fathi, akhbar Sin Chew Daily semalam turut mendesak Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memohon maaf kepada mereka.

"Bayangkan kalau Utusan atau Berita Harian buat benda yang sama," katanya sambil diiringi gelak ketawa para hadirin.

"Kita belum nampak, Utusan, Berita Harian, The Star buat macam tu... Saya nak beritahu satu titik perubahan dalam sejarah pergolakan revolusi dan kejatuhan rejim dunia ini, akan berlaku saatnya perubahan seperti Sin Chew Jit Poh," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Beliau menyamakan fenomena itu seperti "mobilisasi elit" di Indonesia melibatkan gedung perniagaan besar menjelang kejatuhan Suharto sebelum ini, yang menyaksikan belahan sokongan kumpulan itu.

http://www.malaysiakini.com/news/196914


Warkah Buat Saudaraku Anggota Polis

Posted: 03 May 2012 06:01 PM PDT

Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuhu,

Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja. Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.

Tugas Mulia

Saudaraku anggota polis,

Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas. Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.


Saudaraku anggota polis,

Tugas seorang anggota polis -sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu 'Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran'. Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu 'Mencegah Kemungkaran'. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum. Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya):

"Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

Nabi s.a.w pula bersabda:

"Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya" (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).

Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.

Bahaya Kuasa

Saudaraku anggota polis,

Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya. Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya. Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.

Saudaraku anggota polis,

Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara. Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri. Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.

Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan. Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi s.a.w:

"Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:

"Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya" (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam riwayat Ahmad yang lain:

"Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Allah Tidak Lupa

Saudaraku anggota polis,

Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu. Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa. Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya 'apakah salah saya?'. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.
Dunia Sementara

Saudaraku anggota polis,

Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan. Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya):

"Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)". (Surah Ibrahim 42-43).

Saudaraku anggota polis,

Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil. Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya. Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w:

"Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk" (Riwayat Muslim).

Sabda baginda juga :

"Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya" (Riwayat al-Bukhari).



Nasihati Hasan al-Basri

Saudaraku anggota polis,

Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan'atasan'. Maka, mungkin ada yang berkata 'kami hanya menjalankan tugas'. Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu 'Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik. Kata 'Umar bin Hubairah:

"Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi agama? Kata Hasan al-Basri:

"Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.

Wahai 'Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit. Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid.

Wahai 'Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat. Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai 'Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta". Maka menangislah Gabenor 'Umar bin Hubairah". (rujukan: Mir at al-Jinan wa 'Ibrah al-Yaqzan)

Saudaraku anggota polis,

Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat. Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.
Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: "Benar adalah amanah, bohong adalah khianat". Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.

Saudaraku anggota polis,

Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak. Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil. Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas!

Mohd Asri Zainul Abidin



http://ajijoi.blogspot.com/2012/05/warkah-buat-saudaraku-anggota-polis-dr.html

Pengalaman Aziz Bari Dimaki Polis

Posted: 03 May 2012 07:42 AM PDT

Saya ditahan sekitar jam 350 petang semalam dekat OCBC ketika hendak pergi basuh muka di paip di situ. |

Penguatkuasa DBKL dan polis ramai-ramai keroyok saya dan menjerit: "Ini baju kuning tangkap!".

Saya tak kenal atau ingat identiti mereka tetapi saya terus diseret dan dimaki hamun.

Mereka kelihatan hendak mengejar orang lain tetapi bila mereka gagal mereka terus cekup saya hanya kerana saya pakai baju kuning BERSIH! Aneh. Sejak bila pakai baju kuning satu jenayah di Malaysia?


Itu sudah cukup jelas untuk memberi kita isyarat tentang integriti polis dan agensi lain termasuk DBKL.

"Tua tak sedar diri, dah tua duduk rumah sajalah."

Itulah antara ejekan yang saya dengar sewaktu diheret oleh anggota polis untuk dikumpul di depan DBKL. Kemudian saya ada mendengar rungutan yang polis turut mengejek kami: "Ini semua anjing Anwar Ibrahim'"

Sewaktu diheret polis mengugut seorang petugas media yang cuba mengambil gambar saya ditangkap. Begitu juga ketika kami semua dikumpul dekat Kelab Diraja Selangor.

Macam samseng

Pelik, adakah undang-undang menyekat orang ambil gambar di negara ini? Seorang pelajar fotografi mengadu kameranya yang berharga ribuan ringgit dimusnahkan oleh seorang anggota polis.

Umumnya saya lihat polis bertindak ganas dan memihak kepada Umno-BN. Pada saya hari itu polis kelihatan macam samseng PERKASA. Mereka nampak jelas marah dengan Pakatan Rakyat.

Tetapi yang lucunya bila saya tinggikan suara dan tanya undang-undang apa yang mereka gunakan anggota polis tersipu-sipu dan cepat-cepat beredar. Ini berlaku ketika kami dihimpun macam pendatang asing dekat Kelab Diraja Selangor.

Itulah gelagat anggota polis berpangkat rendah yang mulanya cuba tunjuk garang dan samseng. Para pegawai mereka duduk jauh-jauh.

Pada satu peringkat saya jerit seorang pegawai supaya segera beri rawatan kepada seorang Orang Kena Tahan (OKT) yang terbaring kesakitan. Pegawai ini panik dan tak tahu buat apa-apa. Saya kata, "awak ada budi bicara dan kalau orang ini mati awak akan disoal."

Pegawai ini pucat tak terkata apa-apa.

Itu semua menunjukkan pasukan polis ini jahil dan keliru dan takut dengan kerajaan Umno-BN. Mereka hanya berani bila mereka bergerak dalam gerombolan. Mereka mungkin tak ada akses kepada Internet dan hanya dengar arahan bos mereka saja.

Sikap samseng dan mentaliti gerombolan pasukan polis ini kelihatan apabila ada tahanan baru sampai.

Tahanan ini akan dibawa melalui kumpulan anggota polis pangkat rendah dan ketika inilah anggota polis ini akan mengambil kesempatan mengejek dan memaki hamun tahanan yang sudah lemah longlai diheret itu.

Ada juga yang akan mengambil kesempatan menumbuk, menyepak dan menampar tahanan itu.

Pada satu tahap seorang anggota Unit Amal PAS yang sedia ditahan bersama kami diseret ke dalam gerombolan anggota polis itu. Riuh rendah kedengaran di sebalik van dan trak itu.

Apa yang kelihatan apabila anggota Unit Amal itu diseret kembali ke dalam kumpulan, beliau lembik; mungkin telah dipukul oleh anggota-anggota polis yang menyeringai macam singa dalam kandang menunggu mangsa itu.

Dalam garang dan samseng itu polis ini tidak tahu apa-apa. Ketika di Kelab Diraja Selangor, saya lihat pihak polis panik bila kami ramai-ramai tanya sama ada kami ini ditahan atau ditangkap. Maklumlah konstabel dan koperal apa tahu.

Pegawai pun tidak berani duduk dekat sebab ada OKT yang tanya soalan dalam bahasa orang putih. Lucu. Masa di DBKL seorang sarjan yang tadinya kasar dan sombong mula berlembut apabila makin ramai di kalangan tahanan yang panggil saya "profesor".

Gambaran kebodohan dan ketakutan

Sewaktu di Pulapol, Ketua CID Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin ada datang. Bukan main lagilah Cawangan Khas (SB) dan komando polis mengiringi dia. Begitu juga pegawai-pegawai lain yang datang bersama. Berdesup-desup mereka tabik dan hentak kaki.

Itulah agaknya gambaran kebodohan dan ketakutan mereka. Ikut perintah orang atas tak kira apa.

Di Pulapol peguam tak dibenarkan masuk langsung. Dan suasana dalam khemah kelam, di situ tak teratur. Pihak polis macam tak pasti apa yang perlu dibuat sedangkan ini bukan kali pertama mereka menangani demonstrasi BERSIH.

Ini jauh berbeza dengan imej tenteram yang cuba ditunjukkan oleh media milik Umno-BN termasuk RTM.

Satu lagi yang saya nampak ialah majoriti anggota polis yang bertugas ialah Melayu. Ada segelintir India dan Cina. Tapi yang bongkak, sombong dan ganas ialah Melayu dan India. Mereka inilah yang bongkak dan ganas. Anggota Cina amat tertib dan beradab.

Para pegawai meskipun ramai Melayu tidaklah sombong sangat. Mungkin kerana mereka mudah dikenali melalui uniform mereka.

Sewaktu di Pulapol saya dibawa ke meja Cawangan Khas (SB). Meskipun saya ditanya soalan-soalan yang saya kira aneh, ia tidak lama. Saya tidak tahu kenapa. Mungkin kerana mereka tidak mahu berdebat dengan saya.

Pesta pukul orang

Atau mungkin mereka simpati. Mereka ada bertanya sama ada saya disakiti. Saya kata saya cuma sakit hati. Saya sempat sebut pada mereka: "Wah hari ni polis berpesta pukul orang."

Saya sakit hati kerana polis tidak peduli hak asasi rakyat. Buktinya cukup banyak. Ada yang mengadu dicekup sewaktu sedang makan dalam dalam restoran. Ada yang ditangkap ketika di lobi hotel. Dan ada juga yang ditahan ketika dia hendak membeli tiket di stesen LRT.

Mereka berada jauh dari Dataran Merdeka yang diisytihar kawasan larangan. Mereka juga sudah bersurai. Mereka dipukul dan diheret oleh polis hanya kerana mereka pakai baju kuning. Malah ada yang tidak pakai baju kuning pun dicekup sama.

Ertinya hari itu polis geram dengan orang ramai. Polis sudah menjadi seolah-olah kaki pukul Umno-BN dan gerombolan anti-Bersih. Ini salah di sisi undang-undang. Apa lagi perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan utama negara.

Pasuka polis, sebagaimana cabang-cabang perkhidmatan awam yang lain termasuk angkatan tentera, perlu bersikap berkecuali dan menjaga undang-undang.

Tanggapan saya terhadap polis, khususnya selepas BERSIH 3.0, mereka jahil, keliru dan tertekan. Akhlak mereka juga rendah. Ini ternyata bila Suruhanjaya Dzaidin sendiri merakamkan bahawa pasukan polis antara agensi kerajaan yang paling korup di negara ini.

Sebab itu saya tidak hairan apabila polis gagal membezakan antara menjunjung undang-undang dengan mengampu atau mempertahankan Umno-BN.

Apa pun jika lihat gambar besar kita itu semua tidak memeranjatkan. Kalau para hakim dan anggota Suruhanjaya Pencegahan SPR yang dilindungi oleh perlembagaan secara jelas pun takut dengan Umno-BN siapalah anggota-anggota polis ini.


DR ABDUL AZIZ BARI pakar perlembagaan dan bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau antara yang ditahan semasa perhimpunan BERSIH Sabtu lalu. Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

http://www.malaysiakini.com/news/196784


PDRM rugi RM1.8j dalam perhimpunan Sabtu lalu

Posted: 03 May 2012 07:16 AM PDT

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalami kerugian RM1.828 juta akibat kerosakan harta benda dan aset ketika perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan di ibunegara Sabtu lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata selain mengalami kerugian fizikal, pihak polis juga terpaksa bersabar dengan maki hamun dan dicederakan oleh peserta perhimpunan tersebut.

"Kos kerugian ini sepatutnya boleh dielak dan digunakan untuk membiayai perkara-perkara yang lebih berfaedah sekiranya perhimpunan haram itu tidak berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sabtu lepas, peserta perhimpunan itu bertindak merempuh penghadang untuk memasuki Dataran Merdeka sekaligus melanggar perintah Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang melarang kehadiran orang awam di dataran itu mulai 28 April hingga 1 Mei.

Sehingga kini polis telah menahan 513 peserta perhimpunan kerana merusuh dalam perhimpunan itu dan memburu 49 lagi.

Mahmood berkata seramai 14,331 anggota dan pegawai PDRM dari pelbagai jabatan telah bertugas sepanjang perhimpunan itu.

Kementerian sangat prihatin di atas pengorbanan pihak polis dalam menjalankan tugas bagi menjamin keselamatan dan keamanan semasa perhimpunan tersebut, katanya.

- Bernama


Bob Kuman Meninggal Dunia.. Al-Fatihah..

Posted: 03 May 2012 03:08 AM PDT


Nik Abdul Aziz Nik Mat ·

Saya dimaklumkan dengan kematian artis Allahyarham Bob Kuman sebentar tadi. Takziah saya rakamkan kepada ahli keluarganya. Beliau baru sahaja mengadakan pertemuan dengan saya di ibukota baru-baru ini. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa- dosa beliau dan dimasukkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh.




PETALING JAYA, 3 Mei: Pelakon Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd Rawi meninggal dunia di rumahnya di Apartmen Salvia, Seksyen 11 Kota Damansara, jam 4.38 petang ini.

Menurut jirannya, Razali, buat masa ini jenazah allahyarham masih berada di rumah dan belum diputuskan tempat untuk dikebumikan.

Ketika dihubungi sebentar tadi, beliau memberitahu keluarga terdekat allahyarham akan membuat keputusan itu apabila tiba di rumah nanti.


Tiada ulasan: