Jumaat, 4 Mei 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


PAS Persoal Keperluan Panel Bebas: Kerajaan Cuba Ketepikan Suhakam?

Posted: 04 May 2012 12:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Kerajaan sengaja mengenepikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) apabila hendak menubuhkan panel siasatan bebas yang lain untuk menyiasat perhimpunan Bersih 3.0, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Itu kerja Suhakam. Kenapa ketepikan Suhakam dan tubuh pula kononnya panel siasatan bebas untuk siasat kejadian yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0 itu?

"Apa perlu panel siasatan itu sedangkan Suhakam telah membuktikan ia menjalankan kerjanya dengan professional," beliau mempersoalkan.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyifatkan tindakan itu sebagai bukti nyata bahawa kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) bukan sahaja tidak menghargai kewujudan Suhakam malah terangan-terangan menunjukkan rasa tidak percaya kepada suruhanjaya tersebut.

"Mengapa kerajaan terang-terang menunjukkan rasa tidak percaya kepada Suhakam?

"Adakah (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan kerajaannya marah dan sakit hati sangat kerana merasakan pendengaran Suhakam sebelum ini tidak menyebelahi pihak mereka," soal Mahfuz lagi.

Tindakan kerajaan yang menunjukkan rasa tidak percaya kepada Suhakam itu seolah-olah sengaja mahu mendorong masyarakat antarabangsa khususnya meragui kemampuan suruhanjaya itu, katanya.

"Kerajaan nampaknya tidak mahu mengiktiraf peranan Suhakam sebagai pelindung hak asasi semua pihak termasuk pihak polis sendiri," katanya.

Beliau juga bimbang kerajaan sengaja menolak peranan yang sepatutnya dimainkan oleh Suhakam untuk menyiasat kejadian yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0 itu kerana mahu mencari pihak yang boleh melindungi jenayah yang dilakukan terhadap mereka yang menyertai perhimpunan itu.

"Adakah kerajaan sengaja hendak mencari orang yang boleh berkerjasama untuk melindungi apa yang dilihat umum sebagai jenayah kerajaan Umno dan sebahagian anggota polis yang bertindak kejam dan ganas terutama yang mengarahkan tindakan sedemikian terhadap mereka yang menyertai perhimpunan Bersih 3.0 itu?" tanya Mahfuz.

Beliau menyifatkan tindakan mengetepikan Suhakam itu menambahkan lagi keyakinan masyarakat termasuk masyarakat antarabangsa bahawa kerajaan cuba melindungi keganasannya dari disiasat secara bebas, bersih dan adil.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam menegaskan bahawa penggunaan kekasaran yang tidak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali.

Suruhanjaya itu juga, tegasnya, terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media yang mempunyai tanggungjawab untuk merekod, mendokumen dan melaporkan peristiwa yang menarik minat orang ramai secara professional dan beretika. -HD

'Najib takut guna Suhakam siasat kekejaman polis'

DAP menyelar perdana menteri kerana mengenepikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dengan membentuk sebuah panel baru untuk menyiasat laporan keganasan polis semasa BERSIH 3.0.

"Adakah ia kerana kabinet bimbang penemuan Suhakam akan menjejaskan pasukan polis dan kerajaan, dan dengan itu, Najib cuba menubuhkan sebuah panel baru yang akan lebih 'bersimpati' kepada kerajaan?" tanya Ahli Parlimen DAP, Tony Pua.

Pua (kanan) berkata, pengumuman kerajaan adalah "aneh" kerana ia
telahpun menubuhkan Suhakam di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 untuk mengendalikan perkara pelanggaran hak asasi manusia.

Oleh itu, tegasnya, mengapa Suhakam diketepikan apabila ia membabitkan penyiasatan penyalahgunaan hak asasi manusia oleh pasukan polis.

"Adakah pesuruhjaya yang sedia ada tidak cukup baik?" tanya ahli parlimen PJ Utara itu satu kenyataan hari ini.
-mk


Dicekup Khalwat: Yang Halal Ditinggalkan, Bergelumang Dengan Yang Tak Halal...

Posted: 03 May 2012 11:16 PM PDT

Rakan sekerja dicekup khalwat

AMPANG- Seorang lelaki yang dipercayai tidak pulang sejak tiga bulan lalu ditangkap khalwat bersama kekasihnya dalam serbuan di Taman Chempaka, di sini, awal pagi semalam.

Pegawai penguat kuasa menyoal pasangan yang dicekup khalwat.

Serbuan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor dan Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah kira-kira 1 pagi berjaya menahan lelaki berusia 27 tahun dan seorang perempuan, 22 tahun yang dipercayai tinggal bersama di rumah sewa berkenaan.

Ketika ditahan, perempuan itu memberi alasan tiada pilihan untuk tinggal di tempat lain menyebabkan dia tinggal bersama rakan sekerja yang berkhidmat dengan sebuah syarikat swasta itu.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, pihaknya menerima aduan mengenai lelaki dan wanita berkenaan tinggal serumah sehingga menimbulkan keraguan penduduk.

"Pemeriksaan lanjut menemui seorang perempuan berpakaian lengkap di dalam bilik," katanya.

Ahmad Nawi berkata, lelaki berkenaan sudah berkahwin dan tidak pulang ke rumah isterinya sejak tiga bulan lalu, manakala pasangannya masih bujang.

"Difahamkan lelaki berkenaan mengenali teman wanitanya itu sejak setahun yang lalu. Dia juga dipercayai tidak memberi nafkah kepada isterinya.

"Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995 dan jika disabit kesalahan kedua-duanya boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. -SH

Semua Pihak Kecam Keganasan Polis - Bunga Diberi, Gas Pemedih Mata Dibalasnya

Posted: 03 May 2012 07:08 PM PDT

Suhakam: Tindakan polis tak boleh diterima sama sekali

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan bahawa penggunaan kekasaran yang tidak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali.

"... di mana mereka (polis) mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara professional lebih-lebih lagi sekiranya diperlukan untuk mengendali dan memudahkan perhimpunan awam," kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam.

Suruhanjaya itu juga, tegasnya, terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media yang mempunyai tanggungjawab untuk merekod, mendokumen dan melaporkan peristiwa yang menarik minat orang ramai secara professional dan beretika.

"Sesetengah daripada mereka dikasari sementara dua wartawan dilaporkan ditahan, di samping peralatan mereka dimusnah dan dirampas oleh pihak penguatkuasa," tambahnya.

Berikut adalah kenyataan penuh pengerusi Suhakam yang bertajuk 'Kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun secara aman mesti dilindungi dan dihormati'.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) amat kecewa dan bimbang dengan pelbagai insiden yang dilaporkan berlaku semasa perhimpunan awam pada 28 April 2012, termasuk laporan pasukan pemantaunya, khususnya dakwaan pengendalian yang terlalu kasar dan secara sembarangan oleh pihak polis dalam menyuraikan orang ramai.

Suruhanjaya juga terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media yang mempunyai tanggungjawab untuk merekod, mendokumen dan melaporkan peristiwa yang menarik minat orang ramai secara professional dan beretika; sesetengah daripada mereka dikasari sementara dua wartawan dilaporkan ditahan, di samping peralatan mereka dimusnah dan dirampas oleh pihak penguatkuasa.

Suruhanjaya juga mengambil maklum dengan penuh kebimbangan keadaan di mana kelakuan dan tingkah laku peserta perhimpunan yang tidak dapat dikawal dan menjadi huru-hara.

Namun begitu, penggunaan kekasaran yang tak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali di mana mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara professional lebih-lebih lagi sekiranya diperlukan untuk mengendali dan memudahkan perhimpunan awam.

Suruhanjaya, dalam Laporan Tahunan serta laporan Siasatan Awam berkenaan penggunaan kekerasan yang melampau oleh pihak polis semasa perhimpunan awam, telah berulang kali menyeru pihak berkuasa, agar menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ianya perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan.

Tambahan pula, Prinsip Asas Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pegawai Penguatkuasaan Undang-undang juga menyediakan bahawa pegawai penguatkuasa undang-undang haruslah, seboleh mungkin, menggunakan cara yang tanpa kekerasan sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan kekasaran.

Walaupun Suruhanjaya telah beberapa kesempatan menawarkan diri sebagai mediator antara polis dan penganjur perhimpunan agar satu persetujuan secara konsensus antara dua pihak sebelum perhimpunan dapat dicapai, namun, tawaran tersebut telah ditolak. Suruhanjaya juga telah beberapa kali menyeru pihak berkuasa untuk membenar dan memudahkan orang ramai untuk berhimpun secara aman.

Ia juga telah menggesa agar polis memudahkan orang ramai untuk melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan tanpa membahayakan hak orang lain untuk menjalankan kehidupan dan hal ehwal harian dengan gangguan minima.

Peserta di perhimpunan yang seumpama di beberapa tempat lain seperti Georgetown, Kuantan, Johor Bahru, Ipoh, Kuching dan Kota Kinabalu telah dibenarkan untuk berhimpun dan bersurai secara aman, teratur dan bertanggungjawab tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku merupakan satu testimoni kepada kebolehlaksanaan langkah-langkah tersebut.

Suruhanjaya ingin mengulangi pendiriannya bahawa ia mengakui keamanan dan kestabilan adalah yang paling utama dan bahawa ketenteraman awam perlu dikekalkan pada setiap masa, namun ianya juga berpendapat bahawa perhimpunan awam menyediakan ruang untuk orang ramai melahirkan perasaan mereka mengenai isu yang menjadi kebimbangan.

Hak-hak tersebut adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 20(1) Perisytiharan hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta Akta Perhimpunan Aman 2011 dan juga Perkara 19 UDHR mengenai kebebasan mengeluarkan pendapat.

Walau bagaimanapun, dalam usaha ke arah demokrasi yang berfungsi sepenuhnya, Suruhanjaya telah berulangkali menggesa semua pihak untuk melaksanakan hak mereka secara bertanggungjawab dalam memastikan keamanan dan keselamatan semua yang terlibat dilindungi dan yang lebih penting hak orang lain yang terlibat secara tidak langsung juga mesti dihormati dan dilindungi.

Buat ketika ini, Suruhanjaya menyeru orang ramai, pihak media serta pihak berkuasa yang berkaitan yang telah menyaksikan sebarang pelakuan atau insiden mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa perhimpunan 28 April 2012 untuk mengemukakan maklumat, dokumen lain dan bukti yang berkaitan kepada Suruhanjaya untuk siasatan.

Sementara itu, Suruhanjaya akan membincangkan perkara ini, menganalisa bukti yang terkumpul dan mengkaji laporan pemantuan perhimpunan tersebut secara terperinci dalam mesyuaratnya yang akan datang bagi mempertimbangkan tindakan selanjutnya.
-mk








Majlis Peguam: Tindakan polis 'sangat buruk'

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata tindakan pihak polis ke atas peserta perhimpunan BERSIH 3.0 diperhatikan "lebih ganas" berbanding ketika menangani perhimpunan sebelum ini.

Perkara itu merupakan antara yang dimuatkan dalam laporan awal badan itu, berdasarkan pemerhatian ke atas perjalanan perhimpunan tersebut.

Laporan awal itu disusun daripada laporan oleh seramai 78 orang sukarelawannya yang membuat pemerhatian di enam lokasi semasa perhimpunan tersebut.

"Pemerhati kami menyaksikan lebih banyak keganasan polis (tahun ini), lebih banyak penggunaan meriam air dan gas pemedih mata sesuka hati, dan lebih banyak kepungan terhadap peserta himpunan," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau mempertikaikan tindakan polis yang menembak gas pemedih mata terus ke arah peserta himpunan dan tidak memberikan ruang kepada kumpulan itu untuk bersurai.

"Kami memerhatikan beberapa amalan kepolisan yang sangat buruk kali ini. Mereka tidak seharusnya menembak terus gas pemedih mata ke arah peserta apabila peserta berhimpit-himpit dan berasak sesama mereka.

"Kita bernasib baik tiada sesiapa dipijak. Polis seharusnya memberikan ruang untuk orang ramai bersurai dan beredar," katanya.

Serang selepas tangkap

Turut bercakap dalam sidang media di bangunan Majlis Peguam itu ialah timbalan presiden badan tersebut, Christopher Leong yang kesal dengan serangan polis terhadap peserta perhimpunan dan petugas media.

"Apa perlunya menyerang peserta yang sudah ditangkap? Apa perlunya media dihalang daripada membuat kerja mereka?" katanya.

Menurutnya lagi, polis sewajarnya mempertimbangkan keputusan untuk membiarkan peserta memasuki kawasan Dataran Merdeka apabila hadangan dirobohkan.

Katanya, polis mempunyai pilihan untuk berbuat demikian, berbanding tindakan menyerang peserta perhimpunan dengan gas pemedih mata dan meriam air.

"Apakah akibatnya apabila khalayak memecahkan halangan pada hari itu? Apakah akibat paling buruk apabila khalayak merempuh halangan polis pada hari itu?

"Akibatnya cuma 100,000 orang duduk di Dataran Merdeka dan berkumpul di sana selama sejam lagi. Mereka bukannya mahu merosakkan kemudahan awam atau bangunan ketenteraan yang sensitif.

"Jadi di manakah keseimbangannya di antara keselamatan nasional dan hak asasi manusia?" kata Christopher.

Perhimpunan disertai sehingga 100,000 peserta menuntut pilihan raya bebas dan adil di ibu kota 28 April lalu berakhir dengan aman pada jam 2.30 petang apabila penganjur mengarahkan peserta bersurai.

Bagaimanapun sebahagian peserta bertindak menceroboh pengadang dan memasuki kawasan Dataran Merdeka – menyebabkan polis menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah mereka. -mk




Majlis Peguam timbang tindakan undang-undang

Majlis Peguam mempertimbangkan untuk mewakili peserta perhimpunan BERSIH 3.0 untuk mengambil tindakan undang-undang atas dakwaan keganasan yang dilakukan ke atas mereka.

Presidennya Lim Chee Wee tidak memperincikan bila tindakan itu akan diambil namun menegaskan bahawa ia akan dibuat secepat mungkin selepas Majlis Peguam menyiapkan laporan pemerhatiannya dalam isu keganasan ke atas peserta berkenaan.

"Saya perlu merujuk ahli (Majlis Peguam dahulu), kumpulkan ahli secukupnya untuk menemubual semua mangsa pencabulan hak asasi manusia, memohon inkuiri Suhakam dan mungkin mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Menurutnya, tindakan undang-undang itu adalah sebahagian daripada tiga pilihan yang akan diambil Majlis Peguam berkenaan isu keganasan terhadap peserta BERSIH 3.0

"Kami tentunya mahu berbincang dengan polis dan sampaikan perkara yang pemerhati kami lihat dan rasa berlaku pada hari itu," kata Lim.

Lim menegaskan bahawa dakwaan keganasan yang dilakukan polis itu membuktikan bahawa kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Tahanan dinafikan peguam

Menurutnya, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak langkah itu perlu dilakukan sekiranya kerajaan benar-benar serius untuk melakukan transformasi.

"Najib mungkin berniat mahu mentransformasikan negara tetapi institusi (kepolisan) tidak sehaluan dengan niat beliau," katanya.

Dalam sidang media sama, seorang lagi ahli jawatankuasa Majlis Peguam, Syahredzan Johan berkata polis menafikan akses peguam kepada tahanan BERSIH yang ditempatkan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) pada 28 April lalu.

"Sehingga semua mereka dibebaskan pada jam 5 pagi, kami (peguam) tidak dibenarkan menemui mereka," katanya yang sampai ke PULAPOL semenjak jam 5.40 petang lagi.

Beliau juga mendakwa ketua polis negara "berbohong" apabila menyatakan bahawa peguam bebas untuk bertemu tahanan pada hari itu.

"Ini bertentangan dengan Seksyen 28(a) Kanun Keseksaan dan juga Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

"Ia amat ironis apabila polis mengingatkan peserta BERSIH agar mematuhi undang-undang namun apabila tiba giliran mereka, ia diabaikan tanpa sebarang rasa bersalah," katanya.
-mk





Seorang Kerabat Diraja Negeri Sembilan Gesa Hishamuddin Hussein Letak Jawatan

Posted: 03 May 2012 05:31 PM PDT

Seremban: Seorang ahli kerabat diraja Negeri Sembilan menggesa Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein meletakkan jawatannya, dengan menyatakan bahawa beliau perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keganasan polis yang berlaku pada perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu.

Bercakap di majlis ceramah "Jelajah Jom Ubah Demi Rakyat Negeri Sembilan" malam tadi di Seremban, Tunku Harmy Tunku Hannan berkata polis tiada alasan apa pun untuk melakukan keganasan.

Beliau berkata beliau berada di perhimpunan BERSIH 3.0 tersebut dari tengahari hingga 11 malam.

"Keadaan pada awalnya seperti kita pergi picnic di Port Dickson," ujarnya di majlis itu. "Terdapat warga emas dan juga kanak-kanak. Saya tidak lihat sebarang niat yang serong di kalangan peserta perhimpunan.

"Pihak polis yang sepatutnya melindungi para peserta perhimpunan, sebaliknya mereka menjadi agresif dan memukul para peserta perhimpunan laksana segerombolan serigala.

"Anehnya ada di antara yang memakai baju Bersih tetapi pakai kasut boot. Ini menimbulkan kecurigaan di hati saya.

"Saya tidak dapat memikirkan teori lain selain dari (keganasan itu) telah dirancang rapi.


Hishammuddin perlu dipertanggungjawabkan terhadap kekacauan dan perlu meletakkan jawatannya dengan segera."

Tunku Harmy juga menyifatkan Hishammuddin sebagai pengkhianat, mendakwa beliau yang bertanggungjawab memberikan IC kepada warga asing.

"Tak kisah samada MyKad itu tulen atau palsu. Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara, beliau mesti dipertanggungjawabkan kerana membiarkan keadaan terlepas dari kawalan. IC diberikan kepada warga asing untuk (membantu BN) menang di dalam pilihanraya," tambahnya.

"Pergi dan semak di Chow Kit, Selayang dan lain-lain tempat di Kuala Lumpur. Terdapat jumlah warga asing yang ramai berniaga memiliki MyKad."

Lain-lain penceramah malam semalam termasuklah pengerusi DAP Negeri Sembilan Loke Siew Fook, Pesuruhjaya PAS Negeri Mohd Taufek Abdul Ghani dan Ketua PKR Rembau PKR Badrul Hisham Shaharin.

Namun penceramah utama malam tadi ialah bekas Menteri Penerangan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir.




Waran Tangkap Jika Tolak Sepina - Tamparan Keras Ke Muka Zahid Hamidi

Posted: 03 May 2012 08:37 AM PDT

Waran tangkap antarabangsa boleh dikeluarkan oleh hakim Perancis jika saksi enggan membantu sesuatu siasatan selepas sepina dikeluarkan, demikian dilaporkan oleh malaysiakini.

Menurut peguam Perancis, Joseph Breham, yang mewakili NGO Suaram dalam aduan awam berhubung dakwaan membabitkan sogokan jutaan ringgit dalam urusniaga pembelian senjata, "amaran merah" boleh dihantar kepada Interpol sebagai langkah terakhir.

"Jika saksi itu enggan mematuhi sepina tersebut, mahkamah boleh mengeluarkan notis mandat d'amener, memaksa saksi hadir di mahkamah.

"Jika saksi (masih) tidak mahu mematuhinya, maka waran tangkap boleh dikeluarkan.

"Waran tangkap berkenaan berkuatkuasa dalam wilayah Perancis, dan mungkin diantarabangsakan, jika hakim merasakannya perlu," katanya.

Bulan lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau atau sesiapa sahaja dari kementeriannya, tidak akan membantu siasatan di Perancis itu.

Zahid dinamakan dalam senarai tujuh orang saksi yang dicadangkan oleh Suaram, yang telah diterima oleh hakim siasatan Perancis, Roger Le Loire.

Menteri enggan hadir ke mahkamah Perancis

Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi tidak akan hadir atau menghantar wakil ke perbicaraan di mahkamah Perancis berhubung kes bayaran komisen tidak sah kepada pegawai tertinggi Malaysia dalam penjualan kapal selam pada 2002.

Katanya, tiada sebab untuk beliau hadir kerana bukan menjadi saksi dan beliau tidak akan menggunakan wang kerajaan atau duit poket sendiri bagi membiayai kehadiran ke sana, lapor Sin Chew.

"Mereka boleh buat perbicaraan, tetapi Kementerian Pertahanan tidak akan hantar wakil ke Perancis, tetapi saya percaya duta Malaysia di sana akan mengikuti kes ini," beliau dipetik sebagai berkata kepada harian berbahasa Cina itu.

Ditanya tentang Najib yang disenaraikan sebagai saksi, Zahid berkata, terpulang kepada Suaram jika mereka ingin menjadikan perundangan di Perancis untuk tujuan peribadi mereka.

NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) semalam berjaya dalam hujahnya di depan hakim Roger Le Loire di tribunal Grande Instance Paris supaya kenyataan saksinya diterima.

Anggota sekretariat Suaram Cynthia Gabriel memberitahu Malaysiakini, hakim menerima cadangan senarai saksi berpotensi yang dikemukakan mereka, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Zahid.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam, Zahid juga mendakwa Suaram tidak bertindak untuk tujuan undang-undang tetapi mempunyai agenda politik untuk memburukkan kerajaan Malaysia.

"Kementerian sentiasa telus dan mengikuti undang-undang, kita sudah beri jawapan, tetapi mereka masih mencipta isu. Jika kita hendak memuaskan hari semua orang, takkan ada penghujungnya," katanya.

Suaram pada 2010 memfailkan kes terhadap gergasi pertahanan Perancis DCNS atas dakwaan membayar komisen secara tidak sah kepada pegawai tertinggi Malaysia dalam penjualan dua kapal semalam Scorpene kepada kerajaan Malaysia sepuluh tahun lalu.
-malaysiakini (21/ April 2012)


Bob Kuman Kembali Ke Rahmatullah - Allah Lebih Menyayanginya...

Posted: 03 May 2012 05:55 AM PDT

Petaling Jaya, 3 Mei: Pelakon Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd Rawi meninggal dunia di rumahnya di Apartmen Salvia, Seksyen 11 Kota Damansara, jam 4.38 petang ini.

Menurut jirannya, Razali, buat masa ini jenazah allahyarham masih berada di rumah dan belum diputuskan tempat untuk dikebumikan.

Ketika dihubungi sebentar tadi, beliau memberitahu keluarga terdekat allahyarham akan membuat keputusan itu apabila tiba di rumah nanti.

Kesihatan Bob Kuman mula terganggu selepas terjatuh ketika menjalani penggambaran drama Jangan Pandang Belakang Congkak akhir 2010, yang menyebabkan dia mengalami masalah sesak nafas.

Pada 18 April lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan rombongan termasuk Nazir Masjid Kota Damansara menziarahi Bob selepas menyampaikan kuliah Maghrib di masjid berkenaan.

Tuan Guru Presiden Ziarah Bob Kuman


PETALING JAYA, 18 April: "Dapat juga saya jumpa Tok Guru," kata Bob Kuman tatkala menerima kunjungan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di rumahnya di Seksyen 11, Kota Damansara, malam tadi.

Tuan Guru Abdul Hadi dan rombongan termasuk Nazir Masjid Kota Damansara menziarahi Bob selepas menyampaikan kuliah Maghrib di masjid berkenaan.

"Rupa Tok Guru macam arwah ayah saya," kata Bob sayu sewaktu Tuan Guru memasuki biliknya di apartmen Salvia.

Bob atau nama sebenarnya, Husni Mohd Rawi memberithau arwah ayahnya telah mewakafkan sebuah rumah untuk dijadikan markas PAS di kampung di Negeri Sembilan. Beliau menunjukkan gambar arwah ayahnya kepada Tuan Guru yang disimpan di dalam laptopnya. (Gambar atas)

"Saya tak minta," kata Bob sewaktu Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menghulurkan sumbangan daripada ahli jemaah dan pihak masjid (kanan).

Walaupun kunjungan itu hanya seketika sahaja, namun Bob Kuman yang teruja dengan kehadiran Presiden PAS meminta supaya mendoakan agar kesihatannya bertambah baik. Ustaz Abdul Hadi menasihatkan Bob Kuman supaya banyak bersabar dengan musibah yang dihadapi itu.

Menurutnya, setiap musibah yang merupakan ujian daripada Allah itu akan menghapuskan dosa dan diberikan pahala di atas kesabaran menghadapinya. Harakahdaily dalam laporan sebelum ini memetik tulisan dalam blog Mazidul Akmal Sidek, personaliti TV3 mengenai Bob Kuman.

Menurut blog itu, Bob kini amat memerlukan mesin dilengkapi tangki oksigen namun setakat ini tidak mampu untuk menyewa keperluan itu.

"Bang, sekarang ini saya hanya ada RM36 dalam akaun simpanan," bisiknya kepada penulis blog itu.

Bob kini sedang berada dalam keadaan lemah, tidak mampu bergerak, apatah lagi untuk keluar dari rumah.
-HD (18 Apr 2012)




Tiada ulasan: