Rabu, 18 April 2012

SIASAH

SIASAH


PRU 13, Umno terus bimbang sabotaj ahli

Posted: 17 Apr 2012 11:11 PM PDT

Satu kebimbangan utama Umno yang memimpin Barisan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti ialah sabotaj ahli-ahli yang tidak berpuas hati.

Pemimpin-pemimpin Umno sejak sekurang-kurangnya setahun lalu telah berkali-kali mengingatkan ahli agar tidak mensabotaj calon parti dalam pilihan raya akan datang, yang kritikal kepada penerusan kedudukan Umno dan BN sebagai parti pemerintah.

Terbaharu, dilaporkan dalam Utusan Malaysia hari ini, ahli lembaga disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas memberi amaran kepada ahli Umno di 60 kawasan agar tidak mensabotaj calon yang dipilih.

Menurut Megat Najmuddin, 60 kawasan terbabit ialah kawasan yang Umno tewas atau menang tipis dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-12, rasa tidak puas hati yang berleluasa dalam kalangan ahli Umno dilihat sebagai menjadi salah satu punca sabotaj terhadap calon-calon pilihan parti, termasuk di Selangor yang menyaksikan Umno tewas dan kehilangan kepimpinan kerajaan negeri.

Tempoh menuju pilihan raya kini menampakkan lagi kebimbangan pemimpin parti pemerintah itu terhadap sabotaj.

Satu kenyataan paling jelas pemimpin tertinggi parti itu, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak diberikan pada Oktober tahun lalu, ketika mengulas mengenai rancangan memilih calon-calon boleh menang di Konvensyen Barisan Nasional 2011.

''Saya ingatkan sekali lagi jangan sabotaj calon kita. Beri mereka sokongan yang padu. Kerja bersungguh-sungguh, buat aku janji di dalam hati masing-masing bagi memastikan parti kita menang pada pilihan raya umum akan datang," katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Umno kini merancang untuk meletakkan calon-calon muka baharu dan lebih bersih dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, satu perubahan yang dijangka berdepan tentangan kepimpinan yang telah lama menguasai parti di peringkat bahagian dan akar umbi.

Kebimbangan ini turut disuarakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang telah beberapa kali melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kualiti ahli dan politik cantas-mencantas dalam Umno.

Hujung Mac lalu, Mahathir mencadangkan calon-calon berkelayakan dan bersih dari luar parti sebagai wakil BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Hujah beliau menampakkan kebimbangan terhadap calon yang terpalit rasuah dan imej yang buruk yang dibimbangi tidak akan diterima pengundi.

''Apa salahnya ambil orang luar yang ada bakat yang tidak tercemar dengan rasuah dan sebagainya seperti doktor atau guru-guru sekolah, ia sepatutnya dialu-alukan.

''Dulu guru-guru menjadi barisan hadapan Umno, tetapi sekarang ini terlalu ramai ahli perniagaan yang hendak menjadi calon kerana atas kepentingan diri," tegas Mahathir.

Isu sabotaj kini menjadi isu besar yang menghantui Umno di bawah pimpinan Najib dalam menghadapi pilihan raya akan datang, ketika kawasan selamat untuk parti itu kini semakin berkurangan.

Antara yang paling dibimbangi ialah Selangor, negeri yang mempunyai kepentingan besar kepada Umno dan BN yang ingin dirampas kembali daripada gabungan Pakatan Rakyat.

Pemilihan calon yang tidak disenangi pemimpin-pemimpin tertentu dijangka bakal mencetuskan sabotaj daripada kalangan ahli, terutama golongan lama yang berasa dipinggirkan.

Tiada ulasan: