DIALOG RAKYAT |
- Lagi pusingan siswa dengan DBKL
- Jawapan menteri tidak faham kehendak anak muda
- Bersih 3.0 perlu dan mesti - Presiden PAS
- Menteri: Tahanan ISA mungkin dibicarakan
- Isu NC Unisel: ‘Kita ada alasan sendiri’
- Demo: Nik Aziz tidak layan tuntutan Orang Asli
- MB sedia hadap Agong jelas isu persenda
- SPR bincang 22 syor PSC esok
- Hadi dakwa Umno guna taktik PRU 2004 untuk tawan kembali Selangor
- PRU Ke-13 mungkin lebih mencabar bagi SPR: Abdul Aziz
- Ingat Zahid, apa kamu kata kepada Sultan Kelantan
- Perkasa mohon permit untuk adakan perhimpunan pada 22 April
- Dr Mahathir jalani pembedahan kecil
- Dapat geran kediaman selepas 14 tahun
- Hoslan gagal rayu ringankan hukuman penjara
- Siswa di Dataran terima sumbangan khemah
- PKR: Najib bertanggungjawab bentang PTPTN di Dewan Rakyat
- Desak Kerajaan Negeri mansuh pinjaman
- Senarai Calon MCA Telah Dikemas Kini - Liow Tiong Lai
- Umno mahu KPT semak status peserta demo
- SPR jamin daftar pemilih bersih
- Mansuh ISA, tidak perlu akta baru - GMI
- Anwar mahu PSC kaji akta ganti ISA
- PTPTN: SMM pertahan tindakan kalung bunga
- KWSP Sasar Melabur Sehingga 23 Peratus Di Pasaran Antarabangsa
Lagi pusingan siswa dengan DBKL Posted: 17 Apr 2012 07:56 AM PDT [GALERI FOTO] Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pagi ini mengarahkan mahasiswa yang terus berkumpul di Dataran Merdeka bagi menuntut penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN), supaya membongkar khemah mereka dan beredar daripada kawasan itu. Sebagai tindak balas kepada arahan 10 penguatkuasa itu, kumpulan mahasiswa mengalihkan kain rentang dan plakad di lantai supaya menghampiri tempat mereka berkumpul dan membongkar satu khemah. Mereka juga membawa bekalan ke arah tempat letak kenderaan berdekatan. "Mereka minta kami bongkar khemah, jadi kami bongkar satu. Tetapi kami tidak akan pergi ke mana-mana; kami akan tetap kekal di sini," kata akvitis Fahmi Reza yang terkenal dengan penganjuran program "Occupy Dataran". Pagi tadi kelihatan juga anggota Dewan Undangan Negeri Terai Jenice Lee melawat kumpulan itu sambil membawa makanan dan minuman di samping kata-kata semangat. Hari ini masuh hari keempat kumpulan mahasiswa berkhemah di dataran itu selepas perhimpunan melibatkan ratusan orang di ibu negara pada Sabtu lepas. | ||||||
Jawapan menteri tidak faham kehendak anak muda Posted: 17 Apr 2012 07:52 AM PDT
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mencabar supaya mahasiswa terlibat dengan himpunan tersebut memulangkan semula pinjaman PTPTN. Beliau menyebut "Saya ingat mereka semua anak jantan, jadi mereka patut pulangkan". Saya kira Menteri Pengajian Tinggi belum memahami tuntutan dan kehendak mahasiswa serta rakyat. Sudah berkali-kali badan politik, Ngo serta Mahasiswa sendiri bicara soal menghapuskan hutang PTPTN yang menjadi bebanan kepada Mahasiswa saban tahun sehingga ada yang di senarai hitamkan. Menteri Pengajian Tinggi perlu faham apa topik sebenar yang rakyat bincangkan sekarang ini. Isunya sekarang ialah, pembayaran semula PTPTN yang menjadi bebanan serta 'igauan' kepada penuntut yang sudah menamatkan pelajaran di universiti masing-masing. Polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan pada hari ini adalah, selepas 6 (enam) bulan bergraduasi, mereka wajib membayar semula pinjaman tersebut, sama ada sudah bekerja atau tidak. Dengan ditambah kos pentadbiran sebanyak 3% (dahulu), dan 1% (Ujrah), maka jumlah bayaran balik pinjaman akan meningkat, dan tidak berkurang. Jumlah ini yang menjadi 'hantu' kepada para pelajar hari ini. Mungkin bagi mahasiswa, mereka belum merasai lantaran masih berada di universiti dan sedang 'enak' berbelanja dengan wang saku mereka. Rakyat merasa pelik ketika mana kita sedang bicara soal bebanan hutang, tiba-tiba Menteri Pengajian Tinggi mencabar memulangkan pinjaman PTPTN semula. Seolah-olah ketingalan jauh isu yang sedang hangat di bincangkan. Sepatutnya kerajaan BN pada hari ini menyelesaikan kemelut anak muda ini. Iaitu bagaimana semua rakyat itu boleh mendapat pendidikan tanpa bebanan, kerana pendidikan merupakan tanggungjawab asasi yang perlu dimiliki oleh rakyat. Bicara soal anak jantan. Sepatutnya sebagai seorang Menteri perlu lebih berani turun bertemu mahasiswa mendengar pandangan serta idea mereka, bukan dengan menghantar wakil sahaja sebagaimana yang berlaku sebelum daripada ini. Mahasiswa dan anak muda sentiasa menunggu kehadiran Menteri Pengajian Tinggi di Dataran Merdeka. Rakyat perlu ingat, isu sebenarnya ialah wang dan harta negara ini banyak dibelanja secara salah dan tidak telus. Kebocoran di sana sini. Belanja yang melampau pada urusan yang tidak wajar, sedangkan para mahasiswa yang miskin ataupun kurang kemampuan dipaksa tanggung beban. Lihat sahaja Laporan Audit Negara 2009, sejumlah RM 28 bilion kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa. Perlu kita ingatkan kerajaan Umno Bn, rakyat pasti akan tuntut wang Negara yang hilang saban tahun suatu hari nanti. Penulis adalah Mantan Ketua Penerangan Gamis dan aktivis mahasiswa. | ||||||
Bersih 3.0 perlu dan mesti - Presiden PAS Posted: 17 Apr 2012 07:43 AM PDT Harakahdaily, KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, himpunan Bersih 3.0 sangat wajar diadakan ekoran kerajaan pada hari ini dilihat enggan melaksanakan penambahbaikan proses pilihan raya. Menurutnya, biarpun pelbagai bukti keraguan khususnya dalam daftar pemilih serta cadangan penambahbaikan diutarakan, namun ianya langsung tidak dilayan oleh kerajaan. Selain itu, tuntutan Bersih 2.0 lalu juga masih belum ditunaikan termasuk akses media berat sebelah sehingga rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil. "Himpunan Bersih 3.0 perlu diteruskan lagi sehingga tuntutan kita dilaksanakan. "Walaupun kerajaan menubuhkan jawatankuasa (PSC) task force parlimen, apa yang sangat mendukacitakan, pilihan raya boleh diumum bila-bila masa walaupun tuntutan (syor) yang dibuat belum ditunaikan," katanya ketika ditemui di parlimen. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sokongan PAS terhadap himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini anjuran Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) yang turut disokong 84 NGO. Himpunan tersebut akan diadakan bermula jam 2 petang bertempat di Dataran Merdeka. "Mereka juga tidak menghormati pandangan-pandangan yang berhujah dengan menggunakan pandangan majoriti tanpa hujah yang kuat. "Ini bukan cara demokrasi yang adil," kata presiden PAS itu. | ||||||
Menteri: Tahanan ISA mungkin dibicarakan Posted: 17 Apr 2012 07:28 AM PDT Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menerokai kemungkinan memberikan perbicaraan adil kepada pihak yang ditahan bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). Katanya, beliau sendiri akan meneliti semula fail kes bagi menentukan sama ada mereka boleh dibicarakan di mahkamah secepat mungkin. Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Hishammuddin berkata, tahanan ISA mesti dilihat semula berdasarkan semangat pemansuhannya. Menurut Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), kira-kira 50 orang masih ditahan bawah ISA. | ||||||
Isu NC Unisel: ‘Kita ada alasan sendiri’ Posted: 17 Apr 2012 07:25 AM PDT Perkembangan semasa itu menimbulkan persoalan adakah pentadbiran universiti milik Kerajaan Negeri itu sekali lagi akan bertukar tangan untuk kali ke empat sepanjang pemerintahan Pakatan Rakyat di negeri ini. Sinar Harian difahamkan, Dr Anuar sehingga kini masih belum menerima sebarang surat pengesahan jawatan oleh Kerajaan Negeri biarpun jawatan yang dipangku sejak enam bulan lalu telah disahkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika dirujuk menjelaskan, Kerajaan Negeri mempunyai alasan tersendiri melewatkan lantikan Naib Canselor Unisel itu meskipun KPT sudahpun menyerap masuk jawatan yang kini disandang Dr Anuar. Menurutnya, Kerajaan Negeri mempunyai prosedur tertentu bagi menetapkan setiap lantikan jawatan tertinggi dalam Unisel yang perlu mendapatkan persetujuan ahli lembaga pengarah. "Pelantikan Naib Canselor akan dibincangkan dan ditentukan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah Unisel kerana universiti milik penuh Kerajaan Negeri ini dikendalikan syarikat tidak seperti universiti lain. "Saya tidak mahu mempersoalkan tindakan KPT yang menyerap masuk jawatan Naib Canselor Unisel itu meskipun Kerajaan Negeri masih belum berbuat perkara yang sama," katanya. Mengulas lanjut isu pelantikan itu, Abdul Khalid turut menafikan dakwaan calon Naib Canselor Unisel itu bukan pilihan Kerajaan Negeri gara-gara melewatkan pelantikan jawatan itu. "Bagi pendapat saya, jika Dr Anuar bagus dan mampu menggalas jawatan dengan baik menguruskan Unisel, Kerajaan Negeri tiada halangan untuk beliau meneruskan jawatan itu. "Kerajaan Negeri tidak memilih sesiapa, asalkan calon yang dipilih itu layak dan bagus, tiada halangan," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas meninjau rumah pekerja ladang di Kompleks Perumahan dan Pengurusan Ladang Tennamaran, semalam. Prof Dr Anuar yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Presiden Unisel kini memegang kerusi naib canselor universiti itu selepas tindakan Datuk Dr Rosti Saruwono yang meletak jawatan dengan notis 24 jam berkuat kuasa 2 Ogos 2011. Sebelum Dr Rosti, jawatan itu dipegang Profesor Datuk Dr Razali Agus sebelum diberikan notis berhenti 24 jam oleh Kerajaan Negeri pada 26 Jun 2008 Sementara itu, KPT menjelaskan segala urusan berkaitan Unisel tidak ada kaitan dengan kementerian. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Unisel tidak mempunyai kaitan kerana universiti tersebut adalah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). "Unisel adalah IPTS, KPT tidak terlibat," katanya dalam satu kiriman khidmat persanan ringkas (SMS), semalam. | ||||||
Demo: Nik Aziz tidak layan tuntutan Orang Asli Posted: 17 Apr 2012 07:21 AM PDT Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebaliknya berkata tindakan masyarakat itu yang mengadakan tunjuk perasaan hanya berdasarkan kepada perasaan iri hati dengan kejayaan Kelantan yang selama ini melaksanakan tuntutan seperti yang diminta. "Ini (demonstrasi) dilakukan oleh Jaringan iaitu pihak luar yang bukannya di bawah Kelantan. Kita dah buat di Kelantan. "Ini semua kerana iri hati kerana penyelesaian yang telah dibuat di Kelantan. Nak jumpa buat apa. Kalau rakyat Kelantan saya jumpa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ijtimak Al-Malak Kelantan 2012 di sini, hari ini. Ahad lalu, lebih 400 penduduk Orang Asli dari Hulu Kelantan mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan pintu masuk pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, bagi menuntut janji yang dibuat kerajaan Pas Kelantan berkaitan tanah adat mereka. Kumpulan itu dari 26 pos penempatan sekitar jajahan Gua Musang, diketuai Pengerusi Jaringan Orang Asal Kelantan, Azmi Badol berhimpun kira-kira setengah jam sejak pukul 9 pagi, turut menuntut supaya kerajaan negeri mengembalikan tanah adat mereka seperti dijanjikan sebelum ini. Mengulas perkara itu lagi, Nik Abdul Aziz mendakwa mengetahui dalang sebenar di sebalik tunjuk perasaan itu tetapi enggan menjelaskan siapa dalang yang dimaksudkannya. "Kalau hak luar (mengadakan demonstrasi) pening kepala saya. Kalau (Orang Asli) rakyat Kelantan dia dah tarik balik pun tuntutan itu. Saya tak nak sebut (siapa dalang)," katanya. – Bernama | ||||||
MB sedia hadap Agong jelas isu persenda Posted: 17 Apr 2012 06:59 AM PDT SINAR HARIAN Abdul Khalid dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata isu yang dibangkitkan itu hanyalah isu remeh yang sengaja diperbesarkan bagi tujuan politik. "Ia tidak sepatutnya dibangkitkan tatkala rakyat sedang bergembira meraikan pertabalan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong yang baharu. "Justeru, jika ada keperluan, saya dengan hormat takzim menawarkan kesediaan untuk menghadap Seri Paduka Baginda bagi memperjelas kedudukan sebenar," katanya. – Bernama | ||||||
Posted: 17 Apr 2012 06:56 AM PDT Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, cadangan itu amat baik dalam memastikan pilihan raya di negara ini berjalan dengan baik. "Cadangan itu ada yang sesuai dilaksanakan bagi tempoh jangka pendek, ada bagi tempoh jangka pertengahan dan ada bagi tempoh jangka panjang. "Kita akan teliti cadangan ini sedalamnya," katanya kepada Bernama dan RTM di Wisma Radio, Angkasapuri di sini, hari ini. Pada 3 April lepas, Dewan Rakyat meluluskan kesemua 22 syor yang dikemukakan jawatankuasa itu tanpa dibahaskan. Laporan setebal 79 muka surat itu mengandungi 22 syor penambahbaikan proses pilihan raya yang dibentangkan oleh Pengerusi jawatankuasa berkenaan Datuk Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. "Perkara-perkara yang dilaporkan untuk diangkat sebagai pertimbangan Dewan adalah perkara yang dikenal pasti sebagai perkara pokok dan penting yang boleh dilaksanakan dalam jangka pendek dan jangka panjang oleh SPR dan badan-badan serta agensi yang berkaitan. "Selama jawatankuasa menjalankan tugas selama enam bulan, untuk makluman, sejumlah lebih 200 cadangan dan idea baik telah dikemukakan oleh pihak awam untuk dipertimbangkan oleh jawatankuasa sebagai penambahbaikan sistem dan proses pilihan raya negara," katanya ketika membentangkan laporan itu. Menurutnya laporan itu diperoleh setelah mendapat pandangan daripada sesi pendengaran awam, maklum balas daripada anggota jawatankuasa, rumusan hasil penelitian semua jawatankuasa kecil serta pemerhatian semasa lawatan kerja ke United Kingdom, Jerman dan Denmark. Daripada 22 syor itu, jawatankuasa yang dianggotai sembilan anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang itu, telah mepersetujui 18 syor yang dikemukakan manakala empat lagi dipersetujui secara undian belah bahagi. Syor-syor yang dipersetujui adalah memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara sama ada mengundi di Perwakilan Malaysia atau secara pos; pengundi luar kawasan; tarikh pembubaran Parlimen; kerajaan sementara; penguatkuasaan peraturan sedia ada berhubung kesalahan memberikan maklumat palsu dalam urusan pendaftaran; akses media yang bebas dan saksama. Selain itu ialah pembersihan daftar pemilih yang berterusan; penelitian daftar pemilih bagi alamat-alamat yang mempunyai ramai pemilih berdaftar; bantahan terhadap daftar pemilih yang telah diperakui melalui aduan atau maklum balas daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya; penggunaan alamat selain alamat mastautin pada kad pengenalan sebagai alamat pendaftaran untuk menentukan bahagian pilihan raya. Jawatankuasa itu turut bersetuju dengan syor memperkasakan kedudukan SPR; penstrukturan dan pengukuhan SPR; pengasingan fungsi utama SPR; pengagihan kerusi Dewan Rakyat bagi negeri Sabah dan Sarawak; persempadanan bahagian pilihan raya yang seimbang; peruntukan dana kepada parti politik dan sistem pilihan raya. Empat syor lain adalah memberi kemudahan mengundi secara pos kepada petugas SPR dan media; membenarkan prapendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemilih apabila mencapai umur 20 tahun; memanjangkan tempoh berkempen dan kajian ke arah pendaftaran secara automatik. | ||||||
Hadi dakwa Umno guna taktik PRU 2004 untuk tawan kembali Selangor Posted: 17 Apr 2012 06:53 AM PDT KUALA LUMPUR— Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Umno akan menggunakan taktik merampas Terengganu pada Pilihan Raya Umum 2004 untuk menawan Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 kali ini yang dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Menurut Ahli Parlimen Marang ini dipetik Harakah Online, ketika PRU 2004, Terengganu tewas bukan atas faktor rakyat, sebaliknya Umno mengangkut masuk pengundi luar untuk mengundi di Terengganu. "Di Terengganu, kita kalah dalam pilihan raya 2004 bukan kerana penolakan rakyat tetapi melalui pengundi yang diangkut masuk. "Mereka akan ulang cara ini di Selangor dalam pilihan raya akan datang ini," kata anggota Parlimen Marang itu memberikan amaran kepada petugas Pakatan Rakyat (PR) di Selangor. Ketika pilihan raya pada 1999, PAS telah memperolehi 28 dari 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri tersebut, namun ketika PRU 2004, parti Islam itu hanya berjaya mengekalkan empat daripada keseluruhan kerusi berkenaan. Jelas Hadi (gambar), "postmortem" yang dibuat PAS selepas pilihan raya umum 2004 mendapati beberapa kawasan di Terengganu berlakunya peningkatan sehingga 2 peratus undi kepada PAS. Terdapat juga di sesetengah kawasan penurunan undi untuk PAS sehingga 2 peratus. "Tetapi di negeri Kelantan, ada kawasan yang menurun undi PAS sehingga 6 peratus. Tetapi apa yang berlaku, kerajaan PAS di Terengganu jatuh tetapi kita bertahan di Kelantan," katanya. Tambahnya lagi, bagi Parlimen Kemaman, turut berlaku pertambahan undi berlipat kali ganda yang di luar dari kadar kelahiran manusia di kawasan itu. "Dianggarkan pertambahan pengundi di Kemaman adalah 17,000 pengundi baru (berbanding pilihan raya 1999). "Kawasan lain pun ada juga fenomena yang sama," kata beliau dalam wawancara khas itu. Jelasnya lagi, jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN) telah menggunakan jentera kerajaan untuk menghadapi pilihan raya. "Mereka kuat dengan jentera kerajaan. Sepatutnya tak berlaku macam itu kerana masa pilihan raya, ia hanya caretaker government (kerajaan sementara)," tegasnya. BN juga, jelasnya, menggunakan 100 peratus media yang ada dan menghalang parti lawan mereka menggunakan media sama yang bukannya milik BN. "Saya yakin, jika pilihan raya akan datang ini berjalan dengan bersih, kita akan tawan semula Terengganu," tambahnya lagi. | ||||||
PRU Ke-13 mungkin lebih mencabar bagi SPR: Abdul Aziz Posted: 17 Apr 2012 06:43 AM PDT MALAYSIA CHRONICLE KUALA LUMPUR:- Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 mungkin lebih mencabar bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguruskannya kerana pertembungan parti yang bertanding dijangka lebih sengit berbanding pilihan raya umum sebelumnya. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata untuk itu, SPR akan memastikan semua pegawai dan petugasnya memahami serta menguatkuasakan peraturan pilihan raya dengan sempurna bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku pada pilihan raya terbabit. "Kita mohon kepada semua parti berikan kerjasama sepenuhnya kepada SPR. Kita tidak boleh melakukannya sendirian. Kita perlu kerjasama mereka dalam memastikan pertembungan sengit dua pihak ini berlangsung dengan aman dan lancar. "SPR juga sudah dan sedang menyediakan kemudahan daripada segi logistik, peralatan dan fasiliti mengundi. Bila dewan (Parlimen) bubar kita sudah bersedia," katanya kepada Bernama dan RTM di Wisma Radio, Angkasapuri di sini, hari ini. Beliau sebelum itu menghadiri sesi temu bual khas lebih sejam bersama radio Klasik Nasional FM bagi membincangkan hal-hal berkenaan SPR dan PRU.- BERNAMA | ||||||
Ingat Zahid, apa kamu kata kepada Sultan Kelantan Posted: 17 Apr 2012 06:38 AM PDT MALAYSIA CHRONICLE KUALA LUMPUR- "Tiba-tiba meletup berita, ada ahli Parlimen Pakatan Rakyat hina Yang di-Pertuan Agong ketika hari pertabalan baginda di Istana Negara," kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Katanya, berita itu menjadi sensasi apabila media memainkannya dan ditambah pula oleh perasa tambahan daripada pemimpin Umno dan NGO yang sewaktu dengannya. "Jika benar berita ini, sila bertindak segera ke atas pelaku tersebut. Negara kita ada undang-undang. Isu ini tidak boleh diselesaikan melalui media," tegasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily sebagai mengulas Datuk Seri Zahid Hamidi, Naib Presiden Umno yang mendesak supaya menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat insiden di Istana Negara itu. Dalam isu menghina Raja, katanya Zahid jangan berlakon untuk hendak memburu siapa yang menghina Raja. "Bukankah Zahid Hamidi orang yang pernah keluar kenyataan yang biadab kepada bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra mengatakan baginda tidak layak menduduki takhta Sultan?" soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Katanya, kalau Zahid lupa, beliau boleh merujuk Berita Harian bertarikh 11 Februari 1993. "Siapa Zahid? Adakah beliau Ahli Majlis yang terlibat menentu seorang Raja? "Adakah Zahid keturunan Raja sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan demikian rupa?" tanya Idris lagi. Beliau berkata, Tan Sri Rahim Tambi Chik juga pernah menyatakan supaya amalan panggilan patik yang digunakan sewaktu berkomunikasi dengan sultan dihentikan, memadai dengan menyatakan "saya Tuanku" sebagaimana laporan Berita Harian pada 3 Februari 1993. "Isu ini sengaja dibangkitkan melalui media sebagai usaha untuk menunjukkan Pakatan Rakyat benci kepada institusi Raja manakala Umno pula dilihat pembela institusi Raja," ujarnya. Walaupun hakikatnya, kata Idris satu dunia tahu bahawa pemimpin Umno dan media Umno memperalatkan Islam, Raja dan Melayu untuk modal politik ketika parti itu tersepit. Faktanya, tambah beliau selama ini ketiga-tiga perkara itu Umnolah yang khianat. Menurutnya lagi, mereka akan berlakon sebagai hero dan pembela kepada tiga institusi itu ketika nyawa Umno berada di hujung halkum.-Harakahdaily | ||||||
Perkasa mohon permit untuk adakan perhimpunan pada 22 April Posted: 17 Apr 2012 06:12 AM PDT MALAYSIA CHRONICLE KUALA LUMPUR- Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini memohon untuk mendapatkan permit daripada polis bagi mengadakan perhimpunan 'Raja Berdaulat, Kasih Dijunjung' pada 29 April ini, sama ada di Padang Merbok atau Dataran Merdeka. Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar, berkata perhimpunan itu yang akan diadakan mulai jam 9.30 pagi untuk meraikan pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April lalu. "Kita hendak meraikan bahawa Yang di-Pertuan Agong kini sudah mencapai bilangan ke-14, dan pada masa yang sama untuk mempertahankan institusi diraja," katanya kepada pemberita selepas mengemukakan permohonan permit di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, hari ini. Katanya, perhimpunan itu dijangka disertai pelbagai kaum. Beliau turut membidas sikap anggota Parlimen pembangkang yang didakwa terbabit dalam mempersendakan Raja-Raja Melayu dan pemimpin negara semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, dengan berkata tindakan mereka menghina Raja-Raja Melayu di dalam istana adalah menderhaka. "Mereka sudah hilang kesetiaan kepada negara," katanya.- BERNAMA | ||||||
Dr Mahathir jalani pembedahan kecil Posted: 17 Apr 2012 05:39 AM PDT SINAR HARIAN Pasukan perubatan yang diketuai Prof Dr Abdullah Sani Mohamed (Perunding Pakar Bedah ENT (telinga, hidung dan tekak) PPUKM), Prof Datuk BS Gendeh (Perunding Pakar Bedah ENT PPUKM), Prof Joanna Ooi (Perunding Pakar Bius, PPUKM) dan Datuk Dr Hassan Mohamad Ariff (Perunding Pakar Bius, IJN) melakukan pembedahan selama sejam bermula 9.30 pagi. Bekas Perdana Menteri kini diletakkan di bawah pemantauan di wad biasa. Beliau dijangka akan berada di hospital untuk beberapa hari akan datang. Lawatan pada masa ini hanya dihadkan kepada anggota keluarga. - Bernama | ||||||
Dapat geran kediaman selepas 14 tahun Posted: 16 Apr 2012 05:09 PM PDT
SHAH ALAM: Penduduk Pangsapuri Kayangan kini mampu menarik nafas lega apabila penantian selama 14 tahun untuk memperolehi geran kediaman mereka akan berakhir tidak berapa lama lagi. Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A. Samad kejayaan tersebut adalah kejayaan penduduk Pangsapuri Kayangan, lapor Media Selangorku. "Saya nak ucapkan tahniah kepada penduduk kerana kerja ini adalah satu kerja yang rumit sebenarnya. "Tetapi dengan usaha penduduk, JMB (Badan Pengurusan Bersama) Pangsapuri Kayangan, kerajaan negeri dan Pejabat Tanah dan Galian telah membuahkan hasil hari ini," ujar beliau. Iskandar turut memberitahu, mana-mana pemaju di negeri Selangor yang engkar atau sengaja melengah-lengahkan permohonan geran kepada pembeli rumah akan dikenakan tindakan saman. "Pakatan Rakyat tidak memandang ringan terhadap isu ini, tindakan tegas akan diambil," ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Strata Roll Kepada Pemaju di Pangsapuri Kayangan, Taman Sri Subang. Menyentuh isu yang sama, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh pula memaklumkan penyerahan geran hakmilik kini telah sampai di peringkat akhir sebelum di serahkan kepada pemilik kediaman Pangsapuri. Menurutnya kejayaan ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang ada hari ini telah berusaha untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini. Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pula menyifatkan majlis hari ini merupakan satu program yang bersejarah kerana ianya merupakan langkah akhir sebelum penduduk boleh memiliki geran strata kediaman yang mereka beli. Penasihat JMB Pangsapuri Kayangan, Micheal Lim Giat Eng pula memberitahu, pihak pemaju telah sengaja menambah keluasan sebenar kawasan pangsapuri tersebut yang membolehkan pemaju terbabit memperolehi keuntungan atas kutipan cukai tanah dari pemilik hartanah. Micheal turut memberitahu dua laporan polis telah dibuat ke atas pemaju yang tidak disebutkan namanya. Sementara itu, penduduk pangsapuri terbabit, Sue Ann, 50 tahun menyatakan rasa gembira apabila geran strata akan diperolehi dalam jangkamasa terdekat. "Gembira, rasa tak boleh cakap sebab memang dah lama kita tunggu. Saya beli rumah di sini masa mula-mula buka dulu tetapi sudah tunggu sangat lama baru sekarang boleh dapat geran," katanya. Terdahulu dalam majlis yang sama, wakil dari Pejabat Tanah dan Galian telah menyerahkan Master Starata Roll kepada Iskandar. Dalam upacara yang sama, Iskandar turut menyerahkan Master Strata Roll tersebut kepada tiga wakil penduduk Pangsapuri Kayangan. Selain Iskandar, Gwo-Burne Loh dan Nik Nazmi turut hadir dalam upacara tersebut adalah Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Kelana Jaya, Syed Shahir Syed Mohamud. | ||||||
Hoslan gagal rayu ringankan hukuman penjara Posted: 16 Apr 2012 04:57 PM PDT Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan imam Hoslan Hussain untuk meringkankan hukuman penjara yang dijalaninya atas kesalahan menghina mahkamah berkenaan. Panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum memutuskan bahawa pemohon itu gagal melepasi tahap untuk mahkamah memutuskan bahawa kes tersebut luar biasa. Dalam penghakiman ringkasnya, Malanjum berkata panel berkenaan tiada pilihan selain menolak permohonan tersebut. Empat hakim lain dalam panel itu ialah para hakim Mahkamah Persekutuan: Tan Sri Abdull Hamid Embong, Datuk Ahmad Maarop, Datuk Zainun Ali danDatuk Sulong Matjeraie. Imam berusia 46 tahun itu diwakili peguam Karpal Singh. | ||||||
Siswa di Dataran terima sumbangan khemah Posted: 16 Apr 2012 04:53 PM PDT Pelajar yang menduduki kawasan Dataran Merdeka untuk menuntut pengajian tinggi percuma menerima khemah baru hari ini untuk menggantikan khemah yang didakwa dirosakkan oleh pegawai Majlis Bandaraya Kuala Lumpur. Selain itu, kumpulan pelajar berkenaan turut menerima sumbangan daripada orang ramai dalam perkhemahan yang masuk hari ketiga hari ini. Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Haziq Abdul Aziz berkata, kumpulan pelajar berkenaan menerima sekurang-kurangnya empat khemah pada Sabtu, yang didirikan selepas ratusan kumpulan pelajar berkenaan berhimpun dan berarak di pusat bandar Kuala Lumpur. Lima lagi khemah diterima pada malam tadi kata Haziq yang menambah, kumpulan pelajar itu juga menerima sumbangan makanan, minuman, dan wang tunai beberapa kali sehari. Malah, mereka menerima begitu banyak makanan sehingga terpaksa didermakan kepada golongan tidak berumah, katanya. Tiga khemah berkenaan, daripada sekurang-kurangnya 12 khemah yang dimiliki mereka kini didirikan di Dataran Merdeka. Khemah selebihnya kini disimpan, kata Haziq lagi yang ditemui selepas insiden yang dialami mereka pagi ini di mana salah satu daripada khemah itu didakwa diruntuhkan pegawai DBKL. | ||||||
PKR: Najib bertanggungjawab bentang PTPTN di Dewan Rakyat Posted: 16 Apr 2012 04:50 PM PDT KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat (PR) hari ini mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah individu yang bertanggungjawab membentangkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dewan Rakyat ketika beliau pada masa itu menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan. Dalam kenyataan yang dibuat di laman web milik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, parti itu mendakwa Rang Undang-undang PTPTN telah dibentangkan oleh Najib (gambar) untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada jam 9.06 malam pada 13 Mei 1997. "Jika merujuk kepada handsard Parlimen Kesembilan, Penggal Ketiga, Mesyuarat Pertama (Jilid III, Bil. 26) bertarikh 13 Mei 1997, Rang Undang-Undang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga oleh Datuk Seri Najib Razak (ketika itu Menteri Pendidikan) pada jam 9.06 malam. "Rang undang-undang ini kemudiannya telah diluluskan dan dimaktubkan menjadi Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 dan seterusnya PTPTN telah ditubuhkan di bawah akta ini yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997," jelas Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Najwa Halimi dalam kenyataan yang dimuatkan dalam blog milik Anwar. Tambah Najwa, kenyataan yang dibuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu adalah tepat, namun demikian, adalah mustahil bagi beliau untuk menafikan kenyataan bahawa ketika PTPTN ditubuhkan, beliau sendiri memegang jawatan Perdana Menteri dan Najib yang pada masa itu merupakan Menteri Pendidikan yang bertanggungjawab membentangkan Rang Undang-Undang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 di Dewan Rakyat pada ketika itu. "Kenyataan Tun Dr. Mahathir yang dilaporkan oleh media semalam tidak akan sekali-kali menafikan fakta bahawa inisiatif penubuhan PTPTN adalah dilaksanakan di bawah pentadbiran beliau yang ketika itu merupakan Perdana Menteri dan juga Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menjawat Menteri Pendidikan dan merupakan menteri yang bertanggungjawab membentangkan Rang Undang-Undang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional pada 1997," katanya. Dr Mahathir sebelum ini mendakwa skim pinjaman PTPTN diluluskan semasa Anwar memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, sambil menambah tidak ada bantahan terhadap skim itu pada masa itu. "Itulah Anwar ... dia sendiri tidak tahu apa yang dia fikir, dia pelupa," katanya dipetik Bernama. Pemimpin berpengaruh itu menegaskan Malaysia tidak mungkin akan memberikan pendidikan tinggi percuma sebagaimana cadangan "negara membangun lain". "Kita boleh mansuh PTPTN, hanya kepada mereka yang mahukannya. Biar mereka yang tidak mahu PTPTN dimansuhkan, kita (terus) beri mereka," katanya dalam satu majlis di Sintok. Dr Mahathir menegaskan kerajaan sentiasa komited terhadap mengukuhkan taraf pendidikan negara, dan dengan itu, lebih 25 peratus daripada belanjawan tahunan negara digunakan untuk sektor pendidikan. Pembangkang telah mempromosikan pendidikan percuma dan mendesak agar PTPTN dimansuhkan, sambil menegas bahawa kerajaan mampu membiayai pendidikan percuma menggunakan keuntungan jualan minyak serta melalui pengurangan kadar rasuah dan ketirisan dalam pentadbiran. Pakar strategi Pakatan Rakyat (PR) berkata kepada The Malaysian Insider bahawa mereka akan bertemu pada minggu hadapan untuk menyelaraskan polisi pendidikan percuma untuk pengajian tinggi dan berharap akan berjaya memenangi hati pengundi Melayu berumur lingkungan 20an, yang mana merupakan satu per enam daripada populasi pengundi. Pertemuan itu berlangsung sebelum perbahasan antara Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada 3 Mei sama ada PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) harus dihentikan. Ketua Umum PKR Anwar telah mengumumkan rancangan untuk memansuhkan PTPTN yang dikata telah membebankan mana ramai graduan dengan hutang walaupun belum lagi bekerja. Sekumpulan mahasiswa telah berhimpun di Dataran Merdeka sejak Sabtu lalu, dan mengadakan demonstrasi menuntut pemansuhan PTPTN dan mendesak kerajaan memberikan pendidikan percuma. Ketika demonstrasi tersebut yang turut dihadiri kira-kira 500 aktivis mahasiswa itu, turut kelihatan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Chua Tian Chang yang turut berhimpun menegaskan bahawa "pendidikan percuma hak semua". | ||||||
Desak Kerajaan Negeri mansuh pinjaman Posted: 16 Apr 2012 04:47 PM PDT KUALA LANGAT - Peminjam skim Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor mendesak Kerajaan Negeri Selangor supaya memansuhkan bayaran pinjaman berkenaan terlebih dahulu sebelum meminta kerajaan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). | ||||||
Senarai Calon MCA Telah Dikemas Kini - Liow Tiong Lai Posted: 16 Apr 2012 04:46 PM PDT MALAYSIA CHRONICLE TAPAH, -- Senarai calon MCA untuk pilihan raya umum ke-13 telah dikemas kini untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Timbalan Presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai. Bagaimanpun katanya senarai itu mungkin diteliti semula sebelum diserahkan kepada Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN). "Ini bagi memastikan calon yang ada adalah calon boleh menang dan menjamin kemenangan BN. Proses (penelitian) itu bukan statik, ia proses berterusan," katanya kepada pemberita, di sini. Liow yang juga Menteri Kesihatan ditanya mengenai senarai calon parti itu susulan kenyataan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam bahawa parti komponen BN diberi masa dua minggu untuk menyerahkan senarai tersebut selepas menerima surat arahan yang mula dihantar hari ini. Mengulas isu berkaitan, Liow berkata hasil jelajah parti itu di seluruh negara mendapati sokongan pengundi kaum Cina terhadap BN semakin baik. Liow berkata pengundi juga mendakwa jarang melihat wakil rakyat pembangkang yang menang di kawasan mereka turun memberikan perkhidmatan. "Rakyat ini tahu mereka ini (pembangkang) hanya suka main politik, hanya keluar kenyataan bukannya mahu memberi perkhidmatan di peringkat akar umbi," katanya.-- BERNAMA | ||||||
Umno mahu KPT semak status peserta demo Posted: 16 Apr 2012 04:43 PM PDT Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi (IPT), Syahrin Md. Jamaludin berkata, jika peserta demonstrasi ini benar bergelar mahasiswa, tindakan tatatertib harus dikenakan ke atas mereka dia atas tindakan yang mereka lakukan. Namun, katanya, jika mereka bukan berstatus mahasiswa, jelas sekali demonstrasi yang diadakan itu digunakan pihak pembangkang untuk menggunakan isu mahasiswa untuk meraih perhatian rakyat dengan politik populis. "Apa tujuan mereka berkumpul? Demonstrasi itu dilihat diadakan hanya untuk mencetuskan kemarahan masyarakat, walhal usaha mereka itu tidak memberikan apa-apa kesan pun. "Nasihat saya kepada mahasiswa lain di luar sana supaya memelihara imej diri supaya lebih dihormati oleh masyarakat dan jangan membiarkan diri dijadikan alat untuk politik murahan yang akhirnya akan merendahkan kualiti pemikiran anda," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini. Beliau mendakwa, tindakan kumpulan terbabit lebih menjurus untuk 'membina jambatan' sebelum perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini. Kelmarin, kumpulan terbabit turut bertindak mengalungkan bunga malai pada potret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di depan Kompleks Sogo di ibu negara. Mereka kemudiannya, berkhemah di Dataran Merdeka dan bertegas akan terus berada di kawasan tersebut sehingga pihak kerajaan memberi respons berhubung tuntutan memansuhkan pinjaman PTPTN. Ketika diminta mengulas mengenai cabaran debat isu PTPTN yang dikemukakan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Syahrin berkata, pihaknya melihat perkara itu satu perkembangan yang positif dan gembira ketua mereka menyahut cabaran itu. "Kami benar-benar bangga dan akan turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan tetapi saya berharap di pihak sana, biarlah mengemukakan hujah berdasarkan fakta yang praktikal," katanya lagi. "Hasil resolusi Meja Bulat Umno minggu lalu, selain berjaya menggariskan 11 cadangan, banayak isu dapat dibangkitkan malah saya lihat ramai yang lebih memahami tentang PTPTN," ujarnya lagi. | ||||||
SPR jamin daftar pemilih bersih Posted: 16 Apr 2012 04:40 PM PDT MALAYSIA CHRONICLE KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan Malaysia adalah negara yang mempunyai daftar pemilih yang bersih. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, tuduhan pihak-pihak tertentu yang mengatakan daftar pemilih di negara ini kotor adalah tidak adil kepada SPR. "Adakah kerana wujudnya 0.3 peratus pengundi ragu, daftar pemilih kita dianggap kotor sedangkan tidak wujud sebuah negara di dunia ini yang mempunyai 100 peratus daftar pemilih yang bersih," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan taklimat pertama bersama Ahli-ahli Parlimen berhubung pelbagai isu yang dibangkitkan baru-baru ini di Parlimen, di sini hari ini. Abdul Aziz juga mahu pihak terlibat supaya tidak 'berlebih-lebih' dalam memanipulasikan perkara tersebut sedangkan pada masa yang sama SPR telah melakukan yang terbaik dalam usaha membersih daftar pemilih.-Utusan | ||||||
Mansuh ISA, tidak perlu akta baru - GMI Posted: 16 Apr 2012 04:39 PM PDT MALAYSIA CHRONICLE KUALA LUMPUR,- Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tetap berpendirian Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) harus dimansuhkan terus tanpa diganti dengan akta baru. Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) tidak perlu kerana Parlimen Malaysia telah menambah undang-undang termasuk kesalahan berkaitan keganasan dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah pada 2006. Beliau berkata, akta baru ini sama dengan ISA yang terdedah kepada ruang penyalahgunaan oleh pihak berkuasa. "Walaupun tempoh masa penahanan oleh polis telah dipendekkan dari 60 hari di bawah ISA kepada 28 hari dan ia boleh dikaji semula setiap lima tahun serta tidak dipakai melainkan pelanjutannya diluluskan oleh Parlimen, namun terdapat beberapa masalah besar yang perlu ditimbulkan," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. Mengulas lanjut beliau berkata, tafsiran 'Kesalahan Keselamatan' itu terlalu luas dan samar. "Penahanan seseorang sehingga 28 hari tanpa dibawa ke mahkamah hanya atas dasar syak wasangka bahawa seseorang itu terlibat dalam kesalahan keselamatan akan membenarkan ruang penyalahgunaan kepada polis dan membawa kepada penahanan sewenang-wenangnya sebelum siasatan benar-benar dilakukan," katanya yang ditemani Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution. Tambahnya, hak kepada polis untuk menangguhkan akses kepada peguam sehingga tidak melebihi 48 jam juga membuka ruang penyalahgunaan kuasa. Selain itu katanya,penggunaan peralatan pengawasan elektronik walaupun seseorang telah dibebaskan adalah bercanggah dengan hak kebebasan bergerak dan privasi seseorang warganegara dan prinsip seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. GMI juga mengingatkan rakyat bahawa ISA masih belum dimansuhkan dan tertakluk kepada kelulusan rang undang-undang baru. "GMI amat berharap akta baru tersebut didebatkan dengan sewajarnya di Parlimen dengan mengambilkira pendirian GMI dan badan-badan hak asasi antarabangsa," katanya.-Harakahdaily | ||||||
Anwar mahu PSC kaji akta ganti ISA Posted: 16 Apr 2012 04:37 PM PDT KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) ditubuhkan untuk mengkaji semula rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana disifatkan masih terdapat ketidakadilan terhadap hak asasi manusia. Walaupun menyambut baik usaha kerajaan untuk memansuhkan ISA, Anwar sebaliknya mendakwa beberapa peruntukan yang terkandung dalam Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 itu dilihat 'lebih keras' berbanding ISA. "Kita sambut baik keputusan membatalkan ISA kerana ini memenuhi tuntutan kita selama ini. Tapi apa yang kita bantah ialah pengenalan peruntukan yang lebih keras daripada ISA seperti syarat baru iaitu mesti rujuk kepada mahkamah jika polis ingin menahan semula orang yang ditahan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini. Beliau mengulas pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi menggantikan ISA oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Antara lain, rang undang-undang itu menyebut "tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya." - Bernama | ||||||
PTPTN: SMM pertahan tindakan kalung bunga Posted: 16 Apr 2012 04:32 PM PDT Presidennya, Mohamad Safwan Anang berkata, tindakan tersebut dilakukan sebagai simbolik protes semata-mata bagi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Menurutnya, ia tidak membawa maksud atau kesan ke atas kepercayaan mana-mana agama. "Tindakan itu bukan melambangkan 'kematian' kedua-dua pemimpin berkenaan, sebaliknya apa yang disampaikan adalah mengenai hak mahasiswa yang 'mati' kerana pemimpin tidak memberikan komitmen terhadap tuntutan mahasiswa. "Jangan timbulkan sentimen agama dalam hal ini. Saya pelik kenapa batu nisan yang kami gunakan tidak pula dijadikan isu kerana ia juga melambangkan kematian bagi orang Islam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelbagai respons berhubung tindakan kumpulan mahasiswa yang terdiri daripada lebih 300 orang yang menyertai demonstrasi terbabit. Beberapa tokoh agama menyifatkan tindakan kumpulan mahasiswa itu bertentangan dengan tuntutan Islam. Setelah membuat kalungan bunga, kumpulan terbabit kemudiannya, berkhemah di Dataran Merdeka dan bertegas akan terus berada di kawasan tersebut sehingga pihak kerajaan memberi respons berhubung tuntutan memansuhkan pinjaman PTPTN. Bagaimanapun, pagi tadi pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan khemah-khemah yang didirikan dicabut dan mengosongkan kawasan itu. Pada awalnya hanya dua khemah dibuka manakala satu lagi dibiarkan dan keadaan itu menyebabkan kekecohan sambil beberapa mahasiswa yang berdiri di tepi jalan mula melaungkan "Hapus PTPTN". Beberapa minit kemudian khemah yang ketiga dicabut. Namun, kira-kira tiga jam selepas arahan dibuat, kumpulan berkenaan menaikkan balik khemah di kawasan tersebut. | ||||||
KWSP Sasar Melabur Sehingga 23 Peratus Di Pasaran Antarabangsa Posted: 16 Apr 2012 04:28 PM PDT MALAYSIA CHRONICLE KUALA LUMPUR -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menggiatkan pelaburan dalam ekuiti dan pendapatan tetap di luar negara sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagai pelaburan, selaras dengan mandat yang telah diberikan Kerajaan kepada KWSP untuk melabur sehingga 23 peratus daripada aset pelaburannya di pasaran antarabangsa. Berucap pada Majlis Anugerah Pengurus Portfolio KWSP 2011, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata prestasi ekuiti dan pendapatan tetap di luar negara berjaya menjana pendapatan yang baik untuk pencarum pada 2011 bagi membolehkan KWSP mengisytiharkan kadar dividen 6.00 peratus membabitkan bayaran dividen sebanyak RM24.47 bilion walaupun KWSP mengekalkan profil risiko pulangan konservatif. "KWSP merupakan tonggak kedua untuk persaraan hari tua bagi pekerja sektor swasta di Malaysia. Sebagai pemegang amanah simpanan persaraan kepada lebih 13 juta pencarum KWSP, tugas menguruskan hampir setengah trilion Ringgit simpanan persaraan ini merupakan satu tanggungjawab yang berat," katanya. Beliau berkata dengan memberikan tumpuan kepada pelaburan luar negara, ia akan melengkapkan pelan pelaburan jangka panjang KWSP dan memberikan kadar pulangan yang munasabah kepada simpanan pencarum. "KWSP menghadapi kekangan dalam pasaran domestik disebabkan produk pelaburan dan kecairan yang terhad untuk didagangkan dalam jumlah yang besar. Selain daripada mengurangkan risiko dalam pasaran domestik, pelaburan luar negara menawarkan peluang yang lebih tinggi untuk memperoleh keuntungan dalam jangka panjang," kata Samsudin. Pada 2011, tambahan sebanyak US$5.54 bilion nilai pelaburan dalam mandat pelaburan luar negara telah dibuat dan secara kumulatif, modal yang telah disuntik dalam pelaburan bukan Ringgit setakat akhir tahun 2011 berjumlah kira-kira US$17 bilion. Setakat 31 Disember 2011, jumlah pendedahan KWSP dalam aset pelaburan global (dari segi kos) ialah 13.37 peratus daripada jumlah aset.-- BERNAMA |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan