Isnin, 16 April 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Laman dakwa peguam pegang US$30j untuk Musa Aman

Posted: 16 Apr 2012 04:26 AM PDT


MALAYSIA KINI

Laman web Sarawak Report hari ini mendedahkan lebih banyak dokumen, didakwa daripada badan anti rasuah Hong Kong Independent Commission Against Corruption (ICAC), yang mendakwa seorang peguam Sabah mempunyai akaun bank Switzerland yang memegang hampir US$30 juta sebagai amanah kepada ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Dalam laporan terbarunya, laman itu mendakwa bahawa bukti daripada pihak berkuasa Hong Kong menunjukkan bahawa akaun itu dibuka atas nama peguam berkenaan dengan bank Switzerland, UBS di Hong Kong.

Isu pemilih: SPR jawab soalan ahli Parlimen hari ini

Posted: 16 Apr 2012 04:18 AM PDT

G MANIMARAN

PRU13: 242,294 pengundi pos jadi 'pengundi awal'

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memberi penjelasan kepada ahli-ahli Parlimen tengah hari ini berkenaan kira-kira 10 perkara menyentuh daftar pemilih, yang dibangkitkan di Dewan Rakyat dua minggu lalu.

Perkara itu termasuk soal perubahan tempat mengundi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Ada sekitar 10 perkara yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen, jadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz telah mengaturkan satu pertemuan antara SPR dan ahli-ahli Parlimen," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

"Perkara-perkara ini, kebanyakannya berkaitan dengan daftar pemilih, ada lebih kurang 10 perkara yang dibangkitkan. SPR akan menjawab soalan-soalan ini, ahli-ahli Parlimen jika tidak jelas, boleh mengemukakan pertanyaan kepada SPR," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Katanya, berdasarkan rekod yang diterima dari Parlimen, kebanyakan perkara yang dibangkitkan berkaitan dengan daftar pemilih.

"Ini termasuk soalan YB Fuziah Salleh (PKR-Kuantan), dan mengenai perubahan kawasan mengundi Menteri Besar Selangor yang menjadi isu baru-baru ini. Bagaimanapun jika ada isu-isu lain yang hendak dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen, kami akan cuba menjawab. Jika tidak dapat jawab hari ini, akan diberikan penjelasan bertulis nanti," kata beliau lagi.

Selain Wan Ahmad, pertemuan hari ini akan turut dihadiri oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Awal bulan ini, Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa ahli-ahli Parlimen berpeluang untuk mengemukakan apa jua kemusykilan mereka berhubung perkara berbangkit mengenai proses pilihan raya terus kepada SPR pada pertemuan hari ini.

Pertemuan ini diadakan dua minggu selepas Parlimen meluluskan tanpa bahas laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya.

Nazri berkata, pertemuan itu antara lain akan dihadiri oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR bagi menjawab segala soalan yang berbangkit.

"Semua Ahli Parlimen boleh mengutarakan apa jua soalan mengenai pilihan raya termasuk PSC pada pukul 1 tengah hari hingga semua berpuas hati," katanya.

Pelajar dakwa cedera ringan selepas pergelutan di Dataran

Posted: 16 Apr 2012 04:15 AM PDT

GALERI FOTO


Empat orang siswa mendakwa mengalami cedera ringan dalam pergelutan dengan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ketika pegawai tersebut cuba merampas khemah mereka pagi ini.

Insiden berkenaan didakwa berlaku pada kira-kira jam 10.15 pagi, apabila pegawai dianggarkan seramai 30 orang itu bersemuka dengan pelajar terbabit dalam cubaan mereka untuk meruntuhkan satu khemah pelajar terbabit.

Empat pelajar berkenaan mendakwa cedera dalam pergelutan yang berlaku selepas itu.

NONEPengerusi kumpulan pelajar Malaysia Bangkit Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, salah seorang pelajar berkenaan mengalami calar manakala tiga yang lain didakwa telah ditumbuk.

Mohd Syahid mendakwa beliau sendiri ditumbuk di bahagian dadanya manakala seorang lagi, Alif Asyraf antara lain didakwa mengalami calar-calar setelah pelajar itu didakwa diheret dan ditendang.

Kumpulan pelajar itu merupakan saki-baki daripada ratusan pelajar yang berhimpun dan berarak di pusat bandar Kuala Lumpur pada Sabtu lalu untuk menuntut supaya pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dimansuhkan.

Mereka seterusnya mendirikan khemah di satu sudut Dataran Merdeka dan bertegas untuk terus berkhemah di situ sehingga perhimpunan 'duduk bantah' BERSIH 3.0 diadakan pada 28 April.

Pemuda PAS seru BN mengaku kalah isu PTPTN

Posted: 16 Apr 2012 04:11 AM PDT

MALAYSIA KINI

Ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor mencabar BN supaya menyerahkan pentadbiran negara kepada Pakatan Rakyat sekiranya tidak mampu mengurus pendidikan tinggi percuma tanpa pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Katanya Pakatan telah menawarkan formula bahawa hutang PTPTN itu boleh dihapuskan tanpa menjadikan negara muflis dan tanpa membebankan syarikat berkaitan kerajaan.

"Jika BN gagal menyaingi tawaran Pakatan, Pemuda PAS menyarankan supaya BN mengaku kalah serta serahkan sahaja pemerintahan negara ini kepada Pakatan," katanya.

Riduan juga mendakwa, Pemuda Umno gagal memenuhi hasrat anak muda berdasarkan resolusi yang dirumuskan dalam perbincangan meja bulat anjuran pergerakan itu minggu lalu.

Katanya, resolusi berkenaan tidak mampu menyelesaikan permasalahan graduan universiti yang menanggung pelbagai beban hidup ekoran kos pengajian serta hutang dengan PTPTN.

"Pemuda Umno gagal mencari suatu formula bagaimana PTPTN dapat dihapuskan dengan tidak menjejaskan negara.

"Kerana itulah mereka hanya berani mengemukakan cadangan menghapuskan faedah pinjaman, bukan menghapuskan sepenuhnya PTPTN," katanya.

Tambahnya, resolusi itu juga mungkin ditemui kerana "desakan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13" bagi menghadapi tuntutan Pakatan untuk menghapuskan hutang berkenaan.

"Jika tidak, usah bermimpi Pemuda Umno berusaha untuk mencari jalan membincangkan isu PTPTN," katanya.

Ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin telahpun menyahut cabaran pengarah strategi PKR Rafizi Ramli untuk berdebat pada 5 Mei berdasarkan pendirian dan juga hasil perbincangan masing-masing bersama pihak berkepentingan, Rabu lalu.

Resolusi rundingan Pemuda Umno antara lainnya menggariskan supaya tindakan penyenaraian hitam dan bayaran perkhidmatan satu peratus ke atas peminjam dimansuhkan.

Ia turut menuntut supaya bayaran pinjaman mula dibuat apabila peminjam telah berkhidmat melebihi enam bulan atau telah mempunyai pendapatan RM3,000 ke atas, bagi menjamin tempoh kelegaan peminjam.

Pakatan Rakyat pula melalui pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli membentangkan rancangan untuk menghapuskan langsung pinjaman melalui PTPTN denganmembuat pelaburan tetap hasil minyak yang dikawal Petronas sebanyak RM2 bilion setahun.

Pengarah strateginya Rafizi Ramli berkata, jika perkara itu dapat dilakukan, pinjaman sedia ada berjumlah RM24.7 bilion kepada mahasiswa dapat dilupuskan dalam tempoh 15 tahun.

Menurut Rafizi, pelaburan RM2 bilion setahun daripada hasil minyak tidak besar kerana sejak penubuhannya, Petronas membelanjakan RM431 bilion kepada kerajaan, yang sebahagian besar hasilnya selama ini disumbangkan ke bidang lain.

PKR: Najib bertanggungjawab bentang PTPTN di Dewan Rakyat

Posted: 16 Apr 2012 04:08 AM PDT


KUALA LUMPUR— Pakatan Rakyat (PR) hari ini mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah individu yang bertanggungjawab membentangkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dewan Rakyat ketika beliau pada masa itu menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Dalam kenyataan yang dibuat di laman web milik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, parti itu mendakwa Rang Undang-undang PTPTN telah dibentangkan oleh Najib (gambar) untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada jam 9.06 malam pada 13 Mei 1997.

"Jika merujuk kepada handsard Parlimen Kesembilan, Penggal Ketiga, Mesyuarat Pertama (Jilid III, Bil. 26) bertarikh 13 Mei 1997, Rang Undang-Undang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga oleh Datuk Seri Najib Razak (ketika itu Menteri Pendidikan) pada jam 9.06 malam.

"Rang undang-undang ini kemudiannya telah diluluskan dan dimaktubkan menjadi Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 dan seterusnya PTPTN telah ditubuhkan di bawah akta ini yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997," jelas Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Najwa Halimi dalam kenyataan yang dimuatkan dalam blog milik Anwar.

Tambah Najwa, kenyataan yang dibuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu adalah tepat, namun demikian, adalah mustahil bagi beliau untuk menafikan kenyataan bahawa ketika PTPTN ditubuhkan, beliau sendiri memegang jawatan Perdana Menteri dan Najib yang pada masa itu merupakan Menteri Pendidikan yang bertanggungjawab membentangkan Rang Undang-Undang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 di Dewan Rakyat pada ketika itu.

"Kenyataan Tun Dr. Mahathir yang dilaporkan oleh media semalam tidak akan sekali-kali menafikan fakta bahawa inisiatif penubuhan PTPTN adalah dilaksanakan di bawah pentadbiran beliau yang ketika itu merupakan Perdana Menteri dan juga Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menjawat Menteri Pendidikan dan merupakan menteri yang bertanggungjawab membentangkan Rang Undang-Undang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional pada 1997," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa skim pinjaman PTPTN diluluskan semasa Anwar memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, sambil menambah tidak ada bantahan terhadap skim itu pada masa itu.

"Itulah Anwar ... dia sendiri tidak tahu apa yang dia fikir, dia pelupa," katanya dipetik Bernama.

Pemimpin berpengaruh itu menegaskan Malaysia tidak mungkin akan memberikan pendidikan tinggi percuma sebagaimana cadangan "negara membangun lain".

"Kita boleh mansuh PTPTN, hanya kepada mereka yang mahukannya. Biar mereka yang tidak mahu PTPTN dimansuhkan, kita (terus) beri mereka," katanya dalam satu majlis di Sintok.

Dr Mahathir menegaskan kerajaan sentiasa komited terhadap mengukuhkan taraf pendidikan negara, dan dengan itu, lebih 25 peratus daripada belanjawan tahunan negara digunakan untuk sektor pendidikan.

Pembangkang telah mempromosikan pendidikan percuma dan mendesak agar PTPTN dimansuhkan, sambil menegas bahawa kerajaan mampu membiayai pendidikan percuma menggunakan keuntungan jualan minyak serta melalui pengurangan kadar rasuah dan ketirisan dalam pentadbiran.

Pakar strategi Pakatan Rakyat (PR) berkata kepada The Malaysian Insider bahawa mereka akan bertemu pada minggu hadapan untuk menyelaraskan polisi pendidikan percuma untuk pengajian tinggi dan berharap akan berjaya memenangi hati pengundi Melayu berumur lingkungan 20an, yang mana merupakan satu per enam daripada populasi pengundi.

Pertemuan itu berlangsung sebelum perbahasan antara Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada 3 Mei sama ada PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) harus dihentikan.

Ketua Umum PKR Anwar telah mengumumkan rancangan untuk memansuhkan PTPTN yang dikata telah membebankan mana ramai graduan dengan hutang walaupun belum lagi bekerja.

Sekumpulan mahasiswa telah berhimpun di Dataran Merdeka sejak Sabtu lalu, dan mengadakan demonstrasi menuntut pemansuhan PTPTN dan mendesak kerajaan memberikan pendidikan percuma.

Ketika demonstrasi tersebut yang turut dihadiri kira-kira 500 aktivis mahasiswa itu, turut kelihatan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Chua Tian Chang yang turut berhimpun menegaskan bahawa "pendidikan percuma hak semua".

Bersih 3.0 diteruskan walau parlimen dibubar

Posted: 16 Apr 2012 04:04 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR,- Himpunan Bersih 3.0 mesti diteruskan walaupun kerajaan cuba membatalkannya dengan membubarkan Parlimen, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar .

"Ada kemungkinan Perdana Menteri akan mengadap Yang di-Pertuan Agong ke arah membubarkan Parlimen sebelum atau pada tarikh perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April dengan tujuan untuk membatalkan parhimpunan itu apabila sepenuh tumpuan dialihkan untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Bagaimanapun saya berharap apa pun terjadi, perhimpunan aman Bersih 3.0 mesti diadakan kerana hanya itulah sahaja salah satu cara terbaik untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan dengan adil dan bersih," katanya.

Ketika para mahasiswa yang tabah dan berani mendirikan khemah di satu sudut Dataran Merdeka dan bertegas untuk terus berkhemah di situ sehingga perhimpunan 'duduk bantah' Bersih 3.0 diadakan, Mahfuz yakin pembatalan perhimpunan itu sewajibnya tidak berbangkit sama sekali.

"Pembubaran Parlimen bukan bermakna perhimpunan aman Bersih 3.0 mesti dibatalkan," tegas beliau.

Menurut Mahfuz, dalam keadaan Umno dan Barisan Nasional (BN) bergantung hampir sepenuhnya kepada sokongan orang-orang Melayu sahaja, secara umum ramai yang percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih cenderung mengadakan pilihan raya sebelum atau selepas sebahagian umat Islam di negara ini mengerjakan haji di Mekah.

Mengambilkira perkara tersebut, katanya, tidak mungkin pilihan raya akan diadakan dari 10 hari terakhir bulan Ogos hinggalah kepada penghujung Oktober.

"Sebab itulah ramai yang menjangka pilihan raya diadakan antara bulan Mei hingga bulan Julai ini," katanya.

Mengambilkira perkara itulah, Mahfuz tidak menolak kemungkinan Najib bertindak nekad membubarkan Parlimen sebelum 28 April ini supaya tumpuan diberikan sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya dan perhimpunan Bersih terpaksa dibatalkan.

"Kalau terjadi begitu, perhimpunan Bersih tetap tidak boleh dibatalkan sebab masih ada banyak pilihan.

"Pertama, kita mesti meneruskan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

"Kedua, menjadikan hari penamaan calon sebagai medan perhimpunan Bersih 3.0 malah setiap hari dalam tempoh berkempen boleh dijadikan perhimpunan Bersih," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz melihat keadaan menjadi lebih mudah jika setiap rakyat yang mahukan pilihan raya yang adil dan bersih memakai baju Bersih ketika menghadiri kempen-kempen pilihan raya.

"Sambil mengibarkan bendera mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat yang disokong, pakai baju Bersih untuk membuktikan solidariti dengan tuntutan supaya pilihan raya yang adil dan bersih diadakan di negara ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa pilihan raya umum ke-13 wajar diadakan dalam masa terdekat.

"Saya fikir takkan lama lagi dah sebab dah tak ada masa, cuma setakat pertengahan tahun depan saja. Kalau rakyat beri sokongan yang baik, masa itu adalah pilihan raya.

"Bila kita nampak boleh menang, bolehlah diadakan pilihan raya. Kita ikut sistem British, dalam sistem British bila parlimen tamat, pilihan raya diadakan," katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Pengasasan Ke-28 Universiti Utara Malaysia (UUM), di Sintok, semalam.

Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada April tahun depan.

Dr Mahathir sebelum ini berkali-kali menyatakan adalah sukar bagi BN untuk mendapat majoriti dua pertiga.-Harakahdaily

PTPTN: Mahasiswa prodemonstrasi 'khemah' semula di Dataran Merdeka

Posted: 16 Apr 2012 04:00 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

khemah

KUALA LUMPUR - Sekumpulan mahasiswa menaikkan semula khemah kecil mereka - kira-kira tiga jam selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengarahkan khemah-khemah yang didirikan di Dataran Merdeka kelmarin dicabut dan mengosongkan kawasan itu.

Mereka berbuat demikian menjelang satu sidang media diatur untuk diadakan kira-kira jam 2 petang ini oleh penganjur demonstrasi mendesak dimansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Di sisi dua khemah kecil itu diletakkan sepanduk-sepanduk meminta pinjaman PTPTN dimansuhkan.

Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini berkata, "mahasiswa hanya berkhemah secara aman tanpa melakukan sebarang perkara yang boleh mengganggu ketenteraman awam."

"Himpunan secara aman ini juga dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan rakyat berhimpun secara aman," ujarnya pada sidang media mereka di Dataran Merdeka.

Mereka berasa amat kecewa dengan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengambil sikap "acuh tidak acuh" dan respons Kerajaan Malaysia yang bersifat negatif terhadap tuntutan ini.

Mereka juga ingin semua masyarakat mendengar 'isi hati' generasi muda kini berkenaan dengan isu ini.

Bersempena dengan Konsert Diraja yang akan berlangsung bermula 17 April hingga 21 April di Dataran Merdeka, mahasiswa mengambil inisiatif untuk mengajukan permasalahan yang sedang dihadapi ini kepada Yang di-Pertuan Agong agar perkara ini mendapat perhatian yang sewajarnya.

Mahasiswa akan terus berkampung di Dataran Merdeka dan menanti keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan memorandum tuntutan pendidikan percuma dan pemansuhan pinjaman PTPTN.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, yang juga Naib Presiden PKR, menyokong usaha mahasiswa itu.

Beliau turut menyatakan ucapan tahniah kepada aktivis-aktivis kerana keadaan demontrasi tersebut dalam keadaan terkawal.

"Mahasiswa yang berhimpun tidak melibatkan mana-mana parti yang akan bertanding. Isu yang dibangkitkan daripada mahasiswa perlu diambil kira oleh semua pihak termasuklah masyarakat di luar sana," katanya.

Jika anak jantan, patut pulang duit PTPTN

Posted: 16 Apr 2012 03:59 AM PDT

SINAR HARIAN

mahasiswa

KUALA LUMPUR - Pelajar yang terlibat dalam demonstrasi mendesak kerajaan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di sini dicabar supaya memulangkan semula pinjaman itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kumpulan pelajar terbabit perlu berbuat demikian untuk membuktikan bahawa mereka sememangnya enggan pembiayaan pendidikan itu diteruskan.

"Saya ingat mereka semua anak jantan, jadi mereka patut pulangkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) di sini, hari ini.

Khaled berkata Universiti Selangor (Unisel) milik kerajaan negeri Selangor yang turut memperjuangkan supaya PTPTN dimansuhkan juga patut menyatakan pendirian mereka dengan tegas mengenai isu berkenaan.

"Mereka (Unisel) nak atau tak nak pelajar mereka mendapat PTPTN? Kalau betul nak mansuhkan PTPTN jangan buat iklan dalam akhbar siapa yang masuk Unisel boleh dapat PTPTN," katanya.

Mengulas mengenai APEL, Khaled berkata ia akan memberi lebih ruang dan peluang kepada individu yang berkerjaya yang sebelum ini tidak berpeluang mengikuti pembelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk berbuat demikian.

Beliau berkata menerusi APEL, individu yang mempunyai pengalaman kerja akan melalui satu proses penilaian khusus bagi menentukan tahap kompetensi mereka yang dilakukan oleh Pusat APEL, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Wawasan Malaysia.

"Setelah penilaian dibuat, mereka yang layak akan diberi sijil bagi membolehkan individu terbabit mengenal pasti peluang pengajian tinggi yang bersesuaian di mana-mana IPT.

"Ini adalah satu lagi ruang asas bagi kemasukan ke IPT, kalau dahulu matrikulasi, tingkatan enam, A-Level tapi sekarang APEL," katanya.

Khaled berkata buat permulaan, kemasukan pelajar melalui APEL di semua IPT dihadkan kepada lima peratus sahaja daripada keseluruhan jumlah pelajar semasa.

Beliau berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan pihak IPT memberi perhatian yang sewajarnya dalam menyediakan khidmat sokongan yang khusus untuk pelajar berkenaan.

Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata pengenalan sistem APEL itu juga diharap dapat mengimbangi jumlah pelajar lelaki dengan pelajar perempuan di IPT.

"Apabila ada APEL ia beri peluang kepada golongan lelaki yang tidak dapat masuk IPT secara formal, dapat masuk melalui cara ini kerana pengalaman yang ada itu akan bolehkan mereka masuk," katanya. – Bernama

Pendedahan Samy mengelirukan rakyat

Posted: 16 Apr 2012 03:57 AM PDT

V Sivakumar,


Datuk Seri Samy Vellu tiba-tiba membuat kenyataan media bahawa kekalahan beliau di Sungai Siput dalam PRU12 adalah kerana anti kempen yang disusun oleh Tun Mahathir. Pertama sekali, kenapakah perkara ini tidak dipampang oleh Datuk Seri Samy Vellu sebaik sahaja beliau kalah dalam pilihanraya itu? Kedua, kenapakah beliau membuat kenyataan ini selepas 4 tahun selepas PRU 12? Ada sesuatu yang tidak kena dengan kenyataan pacul yang dibuat oleh beliau. Saya rasa cukup yakin bahawa Datuk Seri Samy Vellu sedar bahawa 'bermain air basah, bermain api letup'. Oleh yang demikian, kenyataan beliau itu pasti dibuat selepas berfikir masak-masak akan akibatnya.

Walau bagaimanapun kenyataan media yang dibuat oleh Datuk Seri Samy Vellu telah membuka mata seluruh rakyat Malaysia. Datuk Seri Samy Vellu menuduh Tun Mahathir sebagai orang yang bertanggungjawab bagi kekalahannya dalam PRU12. Kenapakah Tun Mahathir mahu Datuk Seri Samy Vellu kalah? Tun Mahathir dan Datuk Seri Samy Vellu dilihat begitu sahabat akrab dan rakan kongsi utama dalam komponen Barisan Nasional. Perkara ini diketahui dan terpahat dalam minda seluruh rakyat Malaysia. Apa pula yang menyebabkan Tun Mahathir membenci Datuk Seri Samy Vellu sehingga mahu melihat beliau tumbang dalam pilihanraya. Mesti ada sesuatu sebab yang masih belum diketahui oleh rakyat Malaysia.

Oleh yang demikian, Datuk Seri Samy Vellu harus mendedahkan semua perkara-perkara yang disimpan dalam hatinya sebagai rahsia setakat ini. Datuk Seri Samy Vellu telah berani tampil ke hadapan untuk menuduh Tun Mahathir yang menamatkan 'riwayat' politiknya. Tetapi, pendedahan itu tidak cukup kerana tidak ada bukti yang kukuh untuk kenyataan yang dibuat oleh beliau. Datuk Seri Samy Vellu harus membongkarkan sebab-sebab Tun Mahathir mahu memalitkan dan menumbangkan beliau. Apakah keuntungan bagi Tun Mahathir jika Datuk Seri samy Vellu kalah dalam pilihanraya.

Datuk Seri Samy Vellu juga perlu mendedahkan kaedah-kaedah yang digunakan oleh Tun Mahathir untuk menumbangkan beliau dalam pilihanraya umum. Ini adalah penting untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa orang yang menghancurkan riwayat politik seorang Presiden MIC yang paling berpengaruh ialah Tun Mahathir. Datuk Seri Samy Vellu mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan segala-galanya mengenai orang yang menumbangkan beliau dalam PRU12.

Kenyataan media Datuk Seri Samy Vellu hanya mengelirukan rakyat dan tidak mempunyai asas yang kukuh. Maka, beliau perlu menjernih air yang dikeruhkan olehnya beberapa hari yang lalu. Rakyat Malaysia juga berhak mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku dalam percaturan politik negara kita sebelum dan semasa PRU12.

V Sivakumar ialah ADUN Tronoh

Dengar rayuan Altantuya sebelum PRU: Bukti baru dari ayah ada implikasi kuat

Posted: 16 Apr 2012 03:55 AM PDT

N Surendran


Saya merujuk kepada rayuan yang ditangguh oleh Mahkamah Rayuan berkenaan kes Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Omar terhadap sabitan pembunuhan warganegara Mongolia Alatantuya Shaaribu.

Azilah dan Sirul telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada April 2009 yang lalu. Kelewatan dalam rayuan kes yang melibatkan kepentingan awam lebih daripada 3 tahun adalah luar biasa dan tidak boleh diterima.

Rayuan itu kini hanya akan didengar pada 27 Ogos 2012. Ini adalah sangat kejam dan tidak adil untuk menunda untuk tempoh yang lama dalam rayuan kes hukum bunuh. Si tertuduh mesti dikekalkan dengan hukuman mati, dibayangi tali gantung, sehingga rayuan itu dilupuskan.

Bukti baru dari Bapa Altantuya

Ini merupakan kes yang paling diberi perhatian awam. Sirul dan Azilah adalah pengawal peribadi Perdana Menteri pada masa pelakuan kesalahan itu dan Najib sendiri telah dibabitkan dalam kes Altantuya-Scorpene.

Rakan rapat PM, Abdul Razak Baginda juga telah didakwa kerana membunuh, tetapi kemudiannya dibebaskan. Telah muncul pula bukti yang memberi implikasi untuk rayuan yang belum selesai.

Bapa Altantuya berkata di Malaysia pada minggu ini bahawa dia telah melihat gambar Najib dengan Altantuya di Paris. Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib telah menolak secara terbuka pernah bertemu Altantuya.

Rakyat berhak mengetahui dan membuat keputusan tentang pemimpin mereka

Misterinya adalah Azilah dan Sirul seperti tidak mempunyai motif untuk membunuh Altantuya. Jika ya, siapa yang mengarahkan pembunuhan itu?

Ia penting bagi rakyat supaya rayuan ini didengar segera, sebaik-baiknya sebelum PRU ke-13; rakyat berhak mendapat jawapan sebelum membuat keputusan di peti undi.

Orang ramai juga berhak untuk mengetahui apakah sebab-sebabnya untuk melengahkan dan tak rayuan itu.

N Surendran ialah timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat

Surat terbuka kepada pejuang Melayu - Hadi

Posted: 16 Apr 2012 03:51 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


Ramai kalangan individu dan kumpulan yang mengisytiharkan menjadi pejuang Melayu, secara laungan lisan yang bersuara dan tulisan yang dicatit di dada akhabar, majalah dan sepanduk yang direntang, semuanya penuh bersemangat yang berkobar-kobar, sehingga sanggup melakukan apa sahaja. Bagi penganut Islam, yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu juga, wajiblah benar-benar ikhlas kerana Allah dan kepada Allah kembalinya, hendaklah menjadikan Islam itu satu-satunya petunjuk yang diyakini benarnya menyelamatkan manusia seluruhnya, termasuklah bangsa Melayu.

Saya ulangi kenyataan saya, bahawa tidak menjadi salah, kecintaan seseorang itu, atau kumpulannya atau bangsanya terhadap bangsanya, kerana inilah sifat semula jadi manusia yang disebut fitrah atau naluri, tetapi sifat fitrah juga adanya dalam alam dunia ini berbagai bangsa, suku kaum, berkeluarga yang hidup secara bermasyarakat, sehingga tidak mungkin bersendirian. Inilah ketetapan Allah pencipta alam yang dipuji setiap rakaat sembahyang. Allah berfirman (maksudnya): Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al-Hujurat: 13)

Kita tidak dapat menghapuskan sifat fitrah kecintaan kepada bangsa, samalah juga tidak boleh menghapuskan wujudnya berbagai bangsa, serta tidak dapat menghapuskan wajibnya hidup bermasyarakat, sehingga Ibnu Khaldun, seorang tokoh ilmuan sedunia menegaskan ;"Manusia itu bersifat masyarakat madani secara tabiinya".

Nabi Muhammad s.a.w yang dilantik menjadi Rasul kepada seluruh manusia juga sayangkan bangsa dan tanah air, tetapi kesayangan dan kecintaan itu diatur dengan petunjuk Islam, tanpa merosakkan hubungan kemanusiaan di kalangan berbagai bangsa dan suku kaum serta berbagai agama yang wajib hidup bermasyarakat, walaupun menegaskan hanya Islam yang diakui benarnya. Namun tidak boleh memaksa sesama manusia, kerana keperluan manusia seluruhnya dalam kehidupan dunia, sebelum berpijak ke alam akhirat, tidak boleh dihasilkan secara individu sahaja dan satu bangsa sahaja dan satu suku kaum sahaja.

Sempadannya ialah menegakkan Islam yang adil untuk semua. Sempadannya haram berlaku zalim terhadap sesiapa sahaja, sehingga zalim itu diharamkan terhadap kaum lain dan diharamkan juga membela kezaliman kaum dan bangsanya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w:

Ù„َÙŠْسَ Ù…ِÙ†َّا Ù…َÙ†ْ دَعَا Ø¥ِÙ„َÙ‰ عَصَبِÙŠَّØ©ٍ ÙˆَÙ„َÙŠْسَ Ù…ِÙ†َّا Ù…َÙ†ْ Ù‚َاتَÙ„َ عَÙ„َÙ‰ عَصَبِÙŠَّØ©ٍ ÙˆَÙ„َÙŠْسَ Ù…ِÙ†َّا Ù…َÙ†ْ Ù…َاتَ عَÙ„َÙ‰ عَصَبِÙŠَّØ©ٍ

سنن أبي داود - (ج 13 / ص 325)

Maksudnya: (Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiyyah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang di atas tujuan asabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati di atas perjuangan asobiyyah).

Asabiyyah itu ialah fanatik terhadap kaum bangsa sendiri kerana kasih tanpa dasar yang benar dan adil sehingga menzalimi terhadap kaum dan bangsa lain dalam semua urusan cara hidup dan beragama.

Maka Islam telah berjaya menyelamatkan bangsa Arab dengan Islam, sehingga menghapuskan asabiyyah kabilah suku kaum sesama bangsa Arab yang berperang sejak ribuan tahun dan permusuhan bangsa Arab terhadap bangsa lain, sehingga bangsa Arab setelah menganut Islam berjaya menjadi kuasa besar dunia yang mengambil alih pengaruh dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom di zamannya.

Bangsa Arab yang memimpin negara kuasa besar Islam akhirnya berjaya menerima masyarakat majmuk kalangan berbagai bangsa dan berbagai agama yang berlainan dengan Islam. Walaupun penganut Islam diwajibkan berdakwah mengajak manusia kepada Islam, tetapi diharamkan memaksa terhadap penganut agama lain, diharamkan zalim, serta diwajibkan berlaku adil terhadap semua manusia, binatang dan alam seluruhnya. Akhirnya Islam berjaya mengumpulkan daripada masyarakat majmuk itu, ilmu duniawi yang memberi manfaat dari segi kemanusiaan daripada berbagai bangsa dan penganut agama, sehingga berjaya melahirkan tamadun majmuk yang menyumbang kepada dunia seluruhnya sehingga hari ini.

Kejatuhan dua kuasa besar dunia berlaku di zaman khalifah kedua Umar bin al- Khattab r.a. Apabila khalifah dijemput datang oleh paderi besar Bait al-Maqdis yang sangat gembira dengan kejatuhan kuasa besar Rom yang zalim terhadap mereka sejak beberapa abad. Khalifah disambut oleh para pemimpin kalangan para sahabat yang berbangsa Arab menyampaikan ucapannya yang masyhur, antara lain menegaskan:

"Kita adalah kaum bangsa yang diberi kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari yang lain daripada Islam untuk mencapai kemuliaan kononnya, nescaya kita ditimpa hukuman menjadi kaum bangsa yang hina".

Kenyataan ini berasaskan firman Allah: Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri, dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang sangat berhajat kepada pertolongan Allah; dan jika kamu berpaling daripada menegakkan agama Allah (Islam) nescaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini. (Surah Muhammad: 38)

Firman Allah dan ucapan ini menjadi kenyataan, apabila bangsa Arab yang memimpin umat Islam tidak lagi berpegang kepada Islam kerana leka dengan kuasa yang dijadikan peluang mengumpul harta kekayaan dan kemewahan. Maka Allah menukarkan kepimpinan kepada kalangan kaum bangsa bukan Arab, penganut Islam yang berpegang dengan Islam yang sempurna secara silih berganti di kalangan berbagai bangsa yang menganut Islam dan beramal dengannya dalam seluruh cara hidup. Apabila seluruh bangsa umat Islam bersemangat bangsa masing-masing dan berpuak, Islamnya menjadi sampingan amalan peribadi masing-masing, sehingga urusan politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain dipisahkan daripada Islam, maka umat Islam dan tanah air bumi Islam dijajah oleh kuasa asing yang menindas mereka dengan hina.

Walaupun penjajah terpaksa memberi kemerdekaan pada akhirnya, tetapi mereka berjaya mengekalkan kemerdekaan di atas semangat bangsa mengatasi petunjuk Islam. Maka kemerdekaannya tidak sampai kepada matlamat yang sebenar, kerana jasad dan tanah sahaja ditinggalkan oleh penjajah, sedangkan akal fikran dan kefahaman masih dijajah, termasuk bangsa Arab sendiri yang kaya-raya dengan hasil semula jadi yang luasnya laksana laut. Apabila semangat kebangsaan Arabnya mengatasi petunjuk Islam, menjadikan mereka terus lemah dan dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar yang berebut dan berlumba-lumba mengambil kesempatan daripada bumi Arab, sehingga Arab boleh dilagakan sesama satu bangsa dan satu agama.

Inilah juga pendekatan semangat kebangsaan Melayu yang dibawa oleh UMNO sejak lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan. Islam hanyalah satu religion atau agama, bukan al-Din yang dinyatakan oleh al-Quran. UMNO tidak mampu menempatkan dan melahirkan pemimpin yang perkasa dengan ilmu dan sakhsiah Islam, UMNO hanya berjaya melahirkan ramai pemimpin yang dicantas kerana kesalahan rasuah sesama sendiri, atau salah laku sesama sendiri dalam perebutan pertandingan kepimpinan negara apabila berjaya memimpin parti. Maka kepimpinan dianggap peluang untuk diri, keluarga dan rakan keliling, bukannya menunaikan amanah memperkasakan bangsa bersama Islam yang sempurna, dengan iman, ilmu dan akhlak dan mampu menguasai berbagai kaum dengan menegakkan Islam adil untuk semua, yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna. Islam mengikut pendekatan UMNO, dilaksanakan secara terpilih bagi kepentingan duniawinya, bukannya memperhambakan diri menunaikan amanah daripada Allah yang menjadikan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam.

Agama Islam yang diterima oleh penganut agama lain menjadi agama persekutuan, kerana penganutnya adalah bangsa Melayu yang diakui oleh semua kaum kerana majoritinya, tiba-tiba tidak berjaya memuliakan bangsa Melayu sendiri dengan iman, ilmu dan akhlak, selagi pemimpin UMNO diberi amanah memimpin negara di atas nama Melayunya sahaja dengan pendekatan Islam terpilih mengikut para pemimpin UMNO. Walaupun orang Melayu diapikan semangat kebangsaannya yang bertopengkan Islam, sedangkan isi kandungan menipu umat, dengan media upahan dan media abdi kepadanya. Akhirnya bangsa Melayu bukan sahaja tidak boleh bertahan dengan UMNO, bahkan jatuh terhumban bersamanya.

PAS berulang kali mengajak UMNO bermuzakarah, bukan berdebat menentukan menang dan kalah, tetapi UMNO sepanjang masa tidak bersedia. Debat bukannya kerana di musim pilihanraya dan ketika terdesak, bahkan diajak sejak berpuluh tahun. Kalau UMNO ada Biro Agamanya, ilmuan agamanya, para mufti yang berada di bawah kerajaannya yang mampu merojak sumber Islam dengan bahasa al-Quran, bukannya yang berwajah ulama dalam UMNO tetapi buta bahasa al-Quran atau terlalu lemah bahasa al-Qurannya yang ramai dipergunakan. PAS juga ada Majlis Syura Ulama dan ahli Dewan Ulama yang terlalu ramai.

Tibalah masanya, para pejuang Melayu menyedari dan memahami bahawa slogan yang benar bukannya, pertahankan Melayu dahulu, Islam di belakangnya. Percayalah bahawa Melayu tidak selamat dengan diri mereka sendiri tanpa petunjuk Islam, sebagaimana Arab bangsa Rasulullah s.a.w porak-peranda sekarang, kerana kebangsaan Arabnya mengatasi Islamnya, tetapi yang sebenarnya ialah tegakkan Islam dan selamatkan bangsa dengan Islam, tunjukkan Islam yang sempurna, maka Melayu selamat dan semua kaum, bangsa dan penganut berbagai agama diselamatkan.

Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadith itu tidak menolak kasih kepada bangsa masing-masing, tetapi melarang zalim terhadap bangsa selain bangsa kita. Islam tidak menghapuskan hak sesuatu bangsa secara tabii, seperti bahasa ibunda masing-masing dan budaya kaum masing-masing, tetapi melarang menjadi jahil dan keruntuhan akhlak dan Islam melarang paksaan dalam anutan agama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua. Islam membetulkan cara hidup seluruhnya. Di sinilah perbezaan PAS dan UMNO.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,

Presiden PAS

Umno mahu KPT semak status peserta demo

Posted: 16 Apr 2012 03:48 AM PDT

RUZY ADILA IDRIS

Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi (IPT), Syahrin Md. Jamaludin
SHAH ALAM – Pemuda Umno menggesa Kementerian Pengajian Tinggi menyemak latar belakang kumpulan mahasiswa yang berdemonstrasi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sama ada mereka benar-benar masih berstatus mahasiswa atau sebaliknya.

Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi (IPT), Syahrin Md. Jamaludin berkata, jika peserta demonstrasi ini benar bergelar mahasiswa, tindakan tatatertib harus dikenakan ke atas mereka dia atas tindakan yang mereka lakukan.

Namun, katanya, jika mereka bukan berstatus mahasiswa, jelas sekali demonstrasi yang diadakan itu digunakan pihak pembangkang untuk menggunakan isu mahasiswa untuk meraih perhatian rakyat dengan politik populis.

"Apa tujuan mereka berkumpul? Demonstrasi itu dilihat diadakan hanya untuk mencetuskan kemarahan masyarakat, walhal usaha mereka itu tidak memberikan apa-apa kesan pun.

"Nasihat saya kepada mahasiswa lain di luar sana supaya memelihara imej diri supaya lebih dihormati oleh masyarakat dan jangan membiarkan diri dijadikan alat untuk politik murahan yang akhirnya akan merendahkan kualiti pemikiran anda," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau mendakwa, tindakan kumpulan terbabit lebih menjurus untuk 'membina jambatan' sebelum perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Kelmarin, kumpulan terbabit turut bertindak mengalungkan bunga malai pada potret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di depan Kompleks Sogo di ibu negara.

Mereka kemudiannya, berkhemah di Dataran Merdeka dan bertegas akan terus berada di kawasan tersebut sehingga pihak kerajaan memberi respons berhubung tuntutan memansuhkan pinjaman PTPTN.

Ketika diminta mengulas mengenai cabaran debat isu PTPTN yang dikemukakan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin,

Syahrin berkata, pihaknya melihat perkara itu satu perkembangan yang positif dan gembira ketua mereka menyahut cabaran itu.

"Kami benar-benar bangga dan akan turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan tetapi saya berharap di pihak sana, biarlah mengemukakan hujah berdasarkan fakta yang praktikal," katanya lagi.

"Hasil resolusi Meja Bulat Umno minggu lalu, selain berjaya menggariskan 11 cadangan, banayak isu dapat dibangkitkan malah saya lihat ramai yang lebih memahami tentang PTPTN," ujarnya lagi.

Akta ganti ISA lebih keras - Anwar

Posted: 16 Apr 2012 03:46 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR, - Pakatan Rakyat menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) namun membantah pindaan Rang Undang-undang (RUU) yang disifatkan sebagai lebih keras.

Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa perkara dalam RUU Keselamatan 2012 bercanggah dengan prinsip menghormati demokrasi.

Beliau merujuk kepada fasal 4 RUU tersebut yang menyentuh tentang kuasa penangkapan dan penahanan.

Ia ada menyebut bahawa mereka yang ditangkap bebas untuk membuat permohonan habeas corpus di mahkamah dan boleh mencabar alasan tahanan dan tatacara tahanan.

Kuasa semakan kehakiman dikembalikan sepenuhnya kepada mahkamah bukan seperti peruntukan dalam ISA yang menghalang kuasa semakan kehakiman kecuali dalam tatacara tahanan.

"Apa yang kita bantah ialah cadangan pindaan peruntukan yang memperkenalkan peruntukan yang lebih keras daripada sebelum ini.

"Sekarang (RUU baru) kita rujuk ke mahkamah tapi semua mandatori. Pendakwa hanya bangun dan katakan tahanan perlu ditahan semula. Hakim tidak ada pilihan.

"Apa beza dengan ISA? ISA guna Jabatan Peguam Negara dan polis untuk tahan orang tetapi sekarang guna mahkamah tapi mahkamah tak ada peranan seperti mahkamah," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum itu, sewaktu berbahas di dalam dewan, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa RUU itu kepada Jawatankuasa Khas Parlimen sebelum dibahaskan.

Katanya, masa sehari yang diperuntukkan untuk membahaskan RUU tersebut tidak mencukupi kerana banyak isu-isu yang berbangkit.

"Saya mengusulkan Perdana Menteri menimbangkan secara serius dalam jawatankuasa khas sebelum kita luluskan dalam waktu yang cukup terbatas.

"Kalau ada semangat nak memperjuangkan demokrasi apa salahnya dirujuk supaya diteliti dan tidak diserahkan hanya kepada kerajaan dan peguam negara untuk diptuskan dan diluluskan dalam masa sehari," katanya.

Terdahulu, RUU Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 dibacakan kali kedua oleh Perdana Menteri.-Harakahdaily

Muflis: Speaker sah Syed Sobri hilang kerusi Adun

Posted: 16 Apr 2012 03:41 AM PDT

ROSLINDA HASHIM

Datuk Syed Sobri Syed Hashim

ALOR SETAR - Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Dr Abd Isa Ismail mengesahkan Adun Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat ekoran laporan Jabatan Insolvensi membuktikan beliau sudah muflis sejak 7 April 2010.

Katanya, berdasarkan laporan rasmi itu, secara automatik Syed Sobri tidak boleh hadir Sidang Dun Kedah, bermula hari ini.

"Saya sudah maklumkan pada beliau melalui surat rasmi yang dihantar Ahad lalu bahawa beliau tidak boleh hadir sidang Dun sebab sudah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat," katanya.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Insolvensi minggu lalu dan daripada laparon itu, Syed Sobri sudah pun diisytiharkan muflis sejak 2010.

Mengulas mengenai kekosongan kerusi Dun Kuala Nerang sejurus pengesahan itu, Dr Abd Isa berkata, ia perlu diisytiharkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Sama ada kerusi Kuala Nerang perlu dikosongkan atau sebaliknya, bukan bawah bidang kuasa saya. Itu hak SPR untuk umumkan. Saya bercadang menghantar salinan dokumen berkaitan kepada SPR hari ini (semalam)," katanya.

Muslimat PAS cabar Najib tangguh penyenaraian FGVP hingga selesai PRU 13

Posted: 15 Apr 2012 09:48 PM PDT

Aiman Athirah al Jundi


Setelah telah mengikuti perkembangan isu-isu FELDA khususnya agenda Penyenaraian Felda Global Ventures Holding atau kini ditukar sebagai Felda Global Ventures Plantation (dalam usaha mjayakan agenda penyenaraian) di Bursa Malaysia, saya ingin mencabar Perdana Menteri Malaysia yang katanya mendahulukan rakyat ini:

1. Segera menjelaskan kepada rakyat apakah benar kerajaan akan memperolehi RM21 bilion tunai selepas penyenaraian ini?

2. Apakah benar bahawa aset keseluruhan FELDA bernilai RM21 billion, dan umum menilai usaha penyenaraian ini sama maksud dengan tindakan menjual FELDA kepada pihak yang akan "membayar RM21 bilion" kepada kerajaan?

3. Pihak luar manakah yang sangat berminat untuk memperolehi saham FELDA selepas ia disenaraikan?

4. Umum tahu bahawa bila bercakap soal FELDA ia langsung terkait dengan isu tanah dan pemilikan sejumlah besar tanah negara ini yang boleh dikategorikan sebagai tanah pertanian yang subur, maka apakah negara di bawah pentadbiran Najib langsung tidak peka dan tidak ambil kisah akan hal ini yang sewajarnya diragui akan mendedahkan Malaysia kepada campur tangan asing melalui strategi yang sangat halus?

5. Apakah Najib, Ahmad Maslan dan Isa Samad mahu menjadi proksi atau agen asing kepada "penjualan" sejumlah kepentingan FELDA kepada kuasa asing yang berselindung di sebalik topeng syarikat konglomerat dan korporat besar dan dengan menjaja semboyan atas nama kemajuan dan pengupayaan FELDA ke peringkat antarabangsa kononnya?

6. Isu penyenaraian FGVP kini bukan lagi sekitar isu peneroka dan tanah perladangan tetapi ia mesti dilihat sebagai isu kedaulatan dan keselamatan negara!

7. Umum melihat Barisan Nasional di bawah Pentadbiran Najib kini sangat terdesak untuk mendapatkan sejumlah wang RM21 bilion tadi (yang akan diperolehi selepas "menjual FELDA") untuk kegunaan kempen PRU13 BN yang umum tahu sebagai PRU yang menentukan "hidup mati UMNO-BN".

Maka saya dengan ini MENGGESA dan MENCABAR Pentadbiran Najib sebagai bukti kejujuran dan keikhlasan slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" untuk SEGERA MENANGGUHKAN agenda Penyenaraian FGVP sehingga selesai PRU13 untuk BN terlebih dahulu usaha mendapatkan mandat besar rakyat melalui PRU13. Jika tidak, rakyat Malaysia seluruhnya akan berhadapan dengan PRU13 dgn SATU kepercayaan bahawa PRU13 ini bukan lagi satu PRU "biasa" yang berkait soal pengundian parti-parti tertentu sahaja tetapi perjuangan kita semua bagi membebaskan Malaysia daripada "penjajahan BN" yang kini terdesak sehingga sanggup "menjual" sejumlah kepentingan negara bagi mendapatkan wang untuk membolehkan BN mempertahankan survivalnya yang kini semakin diragui dan tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat Malaysia!

*Kenyataan media oleh Aiman Athirah al Jundi (gambar kiri), selaku Ketua Penerangan Muslimat Malaysia.

Perkembangan PAS Cukup Dahsyat Di Johor

Posted: 15 Apr 2012 09:43 PM PDT

Blog mtd-benut.blogspot.com

PONTIAN – "Johor perkembangannya cukup dahsyat. Markas bercambah macam cendawan lepas hujan. Ini merupakan satu lagi kejayaan," kata Ustaz Ramli Abu Bakar al-Hafiz, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Negeri Sembilan.

Beliau berkata demikian sewaktu merujuk kepada pembinaan Markas Baru PAS Cawangan Parit Tengah, Benut, dekat sini, baru-baru ini.

Katanya lagi, kejayaan demi kejayaan telah diperlihatkan Allah kerana mendapat pertolongan dan bantuanNya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa kejayaan yang paling besar adalah terlepas dari azab api nerakaNya.

"Kejayaan di dunia bagi Allah cukup qolil (kecil). Dapat Ph d, pangkat dan harta benda.

"Namun perkembangan PAS sepertilah di Turki. 100 tahun dulu telah diperintah rejim sekular Atartuk. Azan dan baca quran kena berbahasa Turki. Pakai tudung, simpan janggut tidak boleh dan tidak dijumpai. Boleh masuk ISA.

"Bilamana bangkit ulamak yang belajar dari Timur Tengah. Mereka balik buka pusat pengajian hasilnya bangkit kesedaran boleh tumbangkan rejim sekular.

"Dalam pada itu, bunga-bunga kejayaan diperlihatkan Tuhan. Contoh, kemunculan Ustaz Azhar Idrus di Shah Alam. 70,000 hadir terdiri anak muda. Dia ceramah melimpah ruah manusia.

"Hal ini telah bagi semangat supaya bekerja. Tidak boleh ambil mudah, ia kena bekerja. Dalam Islam kerja adalah sukarela. Tiada imbuhan yang diberikan," ujarnya lagi.

PRU 13!!! BN bakal terlepas 14 kerusi Parlimen di Sabah?

Posted: 15 Apr 2012 09:32 PM PDT


PASPB


Dalam kunjungannya ke Kota Kinabalu, 31 Mac lalu, di sebuah restoran di bawah Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sabah, wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN sempat berbicara dengan penganalisis politik Sabah, Musli Oli, 52, yang juga Penolong Ketua Penerangan KeADILan, Sabah. Lulusan ekonomi yang banyak menulis buku-buku politik ini merupakan bekas Presiden Mahasiswa Sabah Universiti Malaya, awal tahun 80-an.


WARTAWAN: Bagaimana saudara melihat situasi politik Sabah?

MUSLI OLI: Dalam pilihan raya 2008, BN menang 24 daripada 25 kerusi Parlimen. Hanya kerusi Kota Kinabalu dikuasai DAP.

Sebenarnya ada empat atau lima kerusi parlimen boleh dimenangi parti pembangkang jika "satu lawan satu". Daripada 60 kerusi Dun, hanya satu dimenangi DAP, iaitu Sri Tanjung.

Waktu itu, Sabah dan Sarawak tidak mendapat isyarat yang jelas daripada negeri-negeri lain di Semenanjung. Justeru, rakyat play safe dan terus beri sokongan kepada BN.

Situasi hari ini jauh berbeza. Ramai secara terbuka menyatakan perasaan tidak puas hati dengan isu-isu yang menyelubungi rakyat terutama isu pendatang tanpa izin, isu kemiskinan dan banyak lagi, yang gagal ditangani kerajaan BN.

Daripada urutan sejarah politik, pemimpin Kadazandusun (KDM) seawal Tun Stephens amat berpengaruh dan mendapat sokongan daripada kaum mereka kerana sentimen tidak bersetuju dengan dasar kerajaan Pusat kepada Sabah.

Atas faktor sentimen marahkan dasar BN di peringkat Persekutuan itu, Sabah bertukar kerajaan beberapa kali dengan kebangkitan semangat KDM. Ia bermula pada 1976 bila USNO tumbang kepada Berjaya pimpinan Stephens.

Diikuti kebangkitan PBS di bawah pimpinan Joseph Pairin Kitingan pada pilihan raya 1985.

Berjaya yang mendapat sokongan sink and swim dari Dr Mahathir Mohamad hanya tinggal enam daripada 48 kerusi Dun!

Kerana taktik "pecah dan perintah" Kuala Lumpur, KDM dipecahbelahkan kepada beberapa parti politik selepas pilihan raya negeri 1994. PBS, UPKO dan PBRS adalah partiparti politik utama pimpinan KDM, di samping jumlah yang signifikan menyertai Umno.

Setelah PBS menyertai semula BN pada 2001 dan persempadanan semula kawasan pilihan raya (daripada 48 kerusi kepada 60), jumlah kerusi majoriti pengundi KDM, yang asalnya 20 menjadi 17 sahaja.

Dengan dua faktor itu sokongan KDM tidak lagi menjadi penentu politik Sabah.

Keadaan terkini pengundi KDM macam mana, ya?

Daripada 25 kerusi Parlimen Sabah, lapan kerusi majoriti KDM berada dalam situasi "tidak menentu" berikutan isu-isu politik mutakhir terutama janji Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga yang begitu dekat dengan hati kaum KDM.

Antara isu-isu yang mendapat sokongan KDM ialah: Pertama, memulihkan Perjanjian 20 Perkara. Kedua, menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963. Ketiga, menaikkan royalti minyak daripada 5 peratus kepada 20 peratus. Keempat, menubuhkan siasatan diraja mengenai pendatang tanpa izin.

Kelima, memansuhkan dasar kabotaj yang menjadi punca harga barang keperluan di Sabah lebih mahal secara relatif dengan Semenanjung. Dan keenam, melaksanakan sepenuhnya dasar Borneonisasi.

Jika tidak ada perpecahan undi dan tercapai persetujuan "satu lawan satu parti" sesama pembangkang, lima kerusi Parlimen KDM boleh ditawan Pakatan pada PRU13.

Janji Pakatan ini secara umum bukan sahaja menarik sokongan KDM yang terkenal dengan keberanian mereka menukar kerajaan tetapi juga mempengaruhi sokongan kaum Bumiputera Islam yang masih dibelenggu kemiskinan.

Dengan kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia, di samping kadar pengangguran di Sabah yang teratas sekali, golongan muda mula secara terang menunjukkan protes terbuka terhadap BN dan Umno.

Jangkaan saudara ...

Saya meramalkan daripada 14 kerusi Parlimen diwakili Umno, lima hingga tujuh boleh dimenangi Pakatan, antaranya Kota Belud, Kudat dan Kimanis.

Kerusi Parlimen yang sebelum ini diwakili LDP (1), SAPP (2) akan ditawan Pakatan di samping mengekalkan Kota Kinabalu.

Keseluruhannya, lima kawasan KDM, lima kerusi Melayu dan empat kerusi Cina, semuanya 14 akan jatuh kepada Pakatan. Namun, saya kira BN masih mampu mempertahankan kerajaan negeri kerana fokus rakyat Sabah lebih kepada menawan Putrajaya.

Dalam PRU13 nanti, Umno- BN cukup mengharapkan Sabah dan Sarawak menjadi benteng terakhirnya. Tetapi dari tanggapan saudara itu, maknanya, Sabah bukan lagi "simpanan tetap" BN?

Istilah "simpanan tetap" adalah istilah Dato' Seri Najib Razak sewaktu berucap di Tuaran, Sabah pada 2008, beberapa bulan selepas PRU12.

Rakyat Sabah hari ini mempersenda istilah itu dengan kata-kata seperti "jika ada bank yang tawarkan interest 20 peratus, buat apa simpan di bank yang bayar interest lima peratus"!

Lanskap politik Sabah berubah setelah PRU12, apatah lagi selepas melihat keputusan rakyat Sarawak pada pilihan raya negeri Sarawak, April 2011.

Apa sebenarnya isu-isu kritikal yang dihadapi rakyat Sabah?

Isu pokok ialah Perkara 20 dan Perjanjian Malaysia 1963 yang tidak dihormati kerajaan Persekutuan yang diterajui Umno-BN! Begitu juga isu tanah adat dan tanah warisan. Di Sabah setakat ini 485 kes pending di mahkamah berhubung tindakan syarikat-syarikat yang merampas tanah rakyat.

Begitu juga isu royalti minyak.

Dua pemimpin Sabah terkorban kerana isu ini. Seorang korban jawatan, Tun Mustapha yang ditentang Tun Razak kerana meminta royalti lebih daripada 5 peratus dan Tun Fuad terkorban nyawa pada 6 Jun 1976 kerana enggan tanda tangan perjanjian dengan Petronas yang beri 5 peratus royalti.

Isu lain ialah kebanjiran pendatang tanpa izin dari Filipina dan Indonesia. Janji KLmemujuk rakyat Sabah menyertai gagasan Malaysia ialah melindungi Sabah daripada Filipina dan Indonesia ternyata tidak benar. Sebaliknya KL membiarkan Sabah dimasuki secara bebas dan Umno terlibat memberi kad pengenalan dan kerakyatan kepada mereka.

Selain itu, isu kemiskinan dan kemudahan infrastruktur yang daif. Pada tahun lalu, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kebajikan Persekutuan, Asri Aziz dalam majlis "sedetik dengan media" menyatakan 68 peratus rakyat Sabah masih hidup di bawah paras garis kemiskinan.

Jika di Sarawak, Ketua Menteri, Taib Mahmud yang mentadbir lebih 30 tahun dianggap membebankan BN di negeri itu, bagaimana pula dengan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman? Sepanjang saya berada di sini, ramai bercakap tentang banyak projek pembangunan dikaitkan dengannya.

Seperti Harris Salleh yang tumbang dengan Berjaya pada 1985, Musa Aman tidak mewakili kaum majoriti pribumi Sabah iaitu kaum KDM dan kaum Bajau. Musa terlalu fokus untuk memperkaya kaum keluarga dan kroninya.

Isu pengambilan tanah rakyat didalangi Musa Aman kerana kuasa meluluskan tanah adalah hak mutlak Ketua Menteri Sabah.

Suasana atau lingkungan politik nampaknya memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat, tetapi sejarah di Sabah menunjukkan pembangkang juga sering berdepan masalah sesama sendiri ...

Masalah pokok ialah untuk mencapai persetujuan dan kerjasama dengan partiparti bukan Pakatan Rakyat seperti SAPP dan STAR. Jika gagal dicapai persetujuan "satu lawan satu" agak sukar untuk menggugat kedudukan BN yang mungkin menjadi dalang di belakang parti-parti pembangkang ini.

Begitu juga dengan masalah kewangan dan logistik yang masih menjadi halangan besar kepada pembangkang kerana keadaan dan geografi di Sabah.

Rumah pusaka P.Ramlee disita DBKL

Posted: 15 Apr 2012 09:25 PM PDT

KL TODAY



Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi tempoh seminggu kepada waris Allahyarham Tan Sri P Ramlee supaya membayar tunggakan cukai taksiran berjumlah RM10,000 bagi mengelak rumah pusaka Seniman Agung itu di Taman Setapak di sini, disita.Arahan itu berdasarkan notis yang ditampal kakitangan DBKL di hadapan rumah berkenaan, Rabu lalu.Rumah yang dibeli Allahyarham pada lewat 60-an dan pernah menjadi lokasi penggambaran filem arahannya, Gerimis (1968), kini didiami menantunya, Suria Bakar, 43, bersama dua cucunya.

Suria, isteri anak Allahyarham, Nasir Ramlee yang meninggal dunia empat tahun lalu, terkejut apabila menerima notis berkenaan Rabu lalu yang dilekatkan di hadapan rumahnya.

"Saya terkejut dan tidak pernah berniat untuk melarikan diri daripada membayar tunggakan cukai taksiran berkenaan.

"Sebenarnya saya tidak mampu hendak bayar. Selepas kematian suami, saya bersama dua anak lelaki yang masing-masing masih belajar di institusi pengajian tinggi hidup dalam kesempitan memandangkan kami tidak bekerja," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Beliau mengakui hujung tahun lalu, anaknya pernah ke DBKL untuk menyelesaikan masalah ini dan diberikan kelonggaran membayar ansuran RM200 sebulan.

Bagaimanapun, katanya mereka tiga beranak yang kini hidup dengan hasil bantuan Baitulmal RM400 sebulan, tidak mampu untuk membayar ansuran bulanan yang ditetapkan DBKL itu.

"Saya amat tertekan dengan situasi ini, bukan niat untuk meraih simpati sesiapa, tetapi kami amat sedih kerana akan kehilangan satu-satunya rumah pusaka tempat kami tiga beranak berteduh," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap DBKL dapat mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan itu daripada RM200 kepada lebih rendah.

Setelah 50 Tahun Menunggu, SJK(T) Ladang Midlands Kini Berwajah Baru

Posted: 15 Apr 2012 09:22 PM PDT



SHAH ALAM: Setelah sekitar 50 tahun murid-murid sebuah sekolah Tamil di sini belajar di dalam bilik darjah dinding papan dan lantai simen, mereka akhirnya mendapat bangunan dan dewan baru.

Bangunan dan kemudahan baru seperti makmal komputer dan perpustakaan yang tidak pernah dirasai murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midlands itu sebelum ini, dibina dengan lebih RM4.7 juta.

Sebanyak RM 3 juta disumbangkan Kerajaan Selangor, manakala RM 1.7 juta dikumpulkan oleh jawatankuasa PIBG.

Pembinaan sekolah tersebut tidak menggunakan satu sen pun dari Kerajaan Pusat.

Bangunan sekolah baru itu boleh menempatkan kira-kira 2,000 murid-murid, sementara bangunan lama di kawasan bersebelahan akan dirobohkan untuk dijadikan padang bagi aktiviti kokurikulum.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya berkata, pembinaan bangunan sekolah serba moden bernilai lebih RM3 juta itu merupakan hadiah buat rakyat menerusi perolehan hasil kekayaan negeri.

Menurutnya, pembinaan sekolah dan dewan serbaguna itu adalah bukti kesungguhan dan ketelusan kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat (PR) dalam membantu nasib rakyat tidak kira bangsa dan agama untuk merasai pembangunan negeri.

"Pembinaan bangunan sekolah dan dewan ini merupakan satu penterjemahan daripada hasil negeri yang kita beri kepada rakyat dan pertama kali dalam sejarah.

"Polisi kerajaan PR, kalau hendak beri bantuan, sediakan dahulu baru cakap.

"Di bawah Belanjawan Selangor, kita memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk pembangunan sekolah Tamil dan kita akan teruskan pemberian hasil negeri ini sekiranya diberi mandat untuk memerintah Selangor lagi, " katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri upacara perasmian bangunan SJK(T) Ladang Midlands dan Midlands Concention Centre di sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, MP Shah Alam, Khalid Samad, MP Subang, R.Sivarasa, MP Gombak Azmin Ali, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Sekolah yang didirikan atas tanah seluas empat ekar itu memiliki 24 buah kelas, dewan perhimpunan, bilik mesyuarat, bilik komputer, perpustakaan, kantin dan bilik guru.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menyelar kegagalan kerajaan Umno-BN untuk memberi pembelajaran selesa kepada pelajar khususnya anak-anak ladang sehingga mengakibatkan mereka tercicir dari aspek pendidikan.

Ujarnya, peruntukan pendidikan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat juga gagal diurus dengan baik sehingga hari ini.

"Kerajaan pusat menjanjikan tanah untuk pembinaan sekolah, tetapi mereka tidak buat malah peruntukan yang sepatutnya ada untuk pendidikan juga tidak sampai kepada rakyat.

"Kerajaan pusat mengutip cukai daripada rakyat untuk membuat kemajuan di negara ini, tetapi ke mana hasil itu pergi?

"Walaupun kerajaan Selangor berbelanja besar untuk diberikan kepada rakyat, tetapi simpanan tunai kita tetap meningkat," jelasnya.

DBKL Bersetuju Beri Kelonggaran Pada Perkhemahan Mahasiswa di Dataran Merdeka

Posted: 15 Apr 2012 09:19 PM PDT

Gambar oleh Shuaib Ayob


SHAH ALAM : Situasi di perkhemahan gerakan mahasiswa di Dataran Merdeka dilaporkan tenang setelah beberapa rundingan diadakan pemimpin tempatan bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menerusi rundingan yang dilakukan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub bersama penguatkuasa DBKL petang tadi, mereka bersetuju untuk memberi kelonggaran selain tidak berkasar terhadap mahasiswa berkenaan.

Salahuddin ketika dihubungi TV Selangor turut mengesahkan beliau akan membawa isu perjuangan mahasiswa berhubung pemansuhan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke Parlimen esok.

Beliau turut menasihati aktivis yang menyertai perkhemahan tersebut untuk menjaga keselamatan diri supaya tiada mana-mana pihak mengganggu atau mengasari mereka.

"Mereka hanya berada di situ (Dataran Merdeka) untuk menyatakan hak dan suara mereka. Sebagai tanda sokongan kepada mahasiswa ini, saya telah memberi komitmen untuk membawa perkara ini ke perbahasan Parlimen.

"Satu sidang media khas berhubung isu berkenaan juga akan diadakan tengah hari esok," katanya.

Salahuddin berjaya berunding dengan DBKL selepas satu pasukan penguatkuasa agensi itu merobohkan dan merampas beberapa khemah pada kira jam 2 petang.

Namun, selepas beberapa minit tegang di mana pegawai DBKL dan aktivis bertikam lidah, agensi itu beredar dan membenarkan aktivis tersebut mendirikan khemah mereka semula.

Perkhemahan tersebut didirikan petang semalam sebagai lanjutan himpunan aktivis pelajar di Kuala Lumpur semalam yang menuntutkan agar PTPTN dimansuhkan.

Perkhemahan yang didirikan sejurus selesai perarakan demontrasi tersebut telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak semalam lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara yang melawat lokasi perkhemahan semalam adalah Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, ahli-ahli dari Majlis Peguam, masyarakat tempatan dan pelancong asing.

Sementara itu, Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, sejak awal pagi tadi pelbagai provikasi dilakukan pihak DBKL untuk mengusi mahasiswa dari tempat berkenaan.

Setakat ini, daripada sepuluh buah khemah yang didirikan, hanya empat daripadanya yang masih bertahan, manakala selebihnya telah rosak dan dirampas.

Syahid turut mengesahkan tiada kekasaran yang dilakukan pihak DBKL setakat ini.

UMNO Diam Hal Task Force IC Warga Asing, Khuatir Lebih Banyak Rahsia Terburai

Posted: 15 Apr 2012 09:14 PM PDT

KELAB GREENBOC

Task Force: Umno diam kukuhkan hujah


KUALA LUMPUR: Sikap mendiamkan diri Umno terhadap dakwaan wujudnya 'task force' bagi memberi taraf kerakyatan kepada warga asing memperkukuhkan lagi hujah dan alasan yang diberikan sebelum ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang mendedahkan konspirasi itu minggu lalu percaya Umno mengambil langkah tidak melayan dakwaannya itu dibimbangi 'memakan diri mereka sendiri'.

"Saya percaya jika kerajaan Umno BN layan dakwaan saya, ia akan menjadi malapetaka besar kepada Umno BN dan akan menjadi 'api membakar diri mereka sendiri'," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, sikap membisu kerajaan itu sekali gus mewajarkan Yang DiPertuan Agong perlu membentuk Suruhanjaya Diraja dengan segera bagi meneliti dakwaannya itu.

"Sikap diam diri ini juga memperkukuhkan cadangan yang telah dibuat oleh PSC dalam laporan awal di mana mencadangkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kes yang sama di peringkat negeri Sabah.

"Sekarang ini bukan lagi menjadi isu yang terpencil di Sabah tetapi isu nasional," katanya.

Pendedahan wujudnya 'task force' oleh Ahli Parlimen Pokok Sena itu seharusnya dipandang serius oleh kerajaan.

Namun, selepas seminggu ianya didedahkan, sehingga kini kerajaan belum memberi sebarang respons terhadap dakwaan Mahfuz itu.

Mahfuz juga, bersedia mendedahkan butiran terperinci dakwaannya itu kepada Suruhanjaya Diraja yang akan dibentuk nanti.

Bagaimanapun sehari selepas Mahfuz membuat pendedahan, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar menafikan sekeras-kerasnya, bahawa beliau terlibat dalam 'task force' dan menyifatkannya sebagai satu perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab oleh Mahfuz.

Begitu juga, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab juga menafikan beliau terlibat dan menyifatkan dakwaan Mahfuz adalah tidak benar. -HD

Ulasan GB

GB pernah ulas,

Sudah dijangka, Timbalan Pengerusi SPR menafikan. Begitu juga dengan nama-nama lain yang disebutkan oleh mahfuz. Malah pagi ini GB kata, Najib pun akan menafikan.

Tetapi mengikut hukum kebenaran dan keadilan, penafian seseorang tidak semestinya tertegaknya sebuah kebenaran.

Sama seperti kes Teoh Beng Hock dahulu. SPRM yang terlibat secara terus di dalam kes berkenaan menafikan anggotanya bertindak kasar sehingga menyebabkan Teoh terbunuh. Malah sejak hari kejadian, belum sebarang siasatan dimulakan, direka cerita Teoh terjun bunuh diri dari bangunan! Sehinggalah Suruhanjaya Diraja dibentuk akhirnya pekung SPRM sendiri terdedah satu demi satu.

Dalam kes lembu NFC pula. Suami Sharizat panggil sidang media menafikan. Pada peringkat awalnya, semua pemimpin UMNO termasuk Najib sendiri menafikan. NFC pula mengugut membawa pihak yang mendedahkan kes itu disaman di mahkamah. Namun apabila hukum kebenaran dan keadilan berjalan, Shahrizat letak jawatan dan suaminya diheret ke muka pengadilan.

Kini di dalam kes Unit Tindakan Khas pemberian IC kepada warga asing. Wan Ahmad menafikannya. Sama macam Sahahrizat, apabila pekung kes lembu terdedah, dihelahkan dengan berkata Pakatan hendak menyerang Wanita UMNO. Di dalam kes pemberian IC ini, Wan Ahmad berhelah dengan menyatakan ia hendak merosak integriti dan kredibiliti SPE sebagai badan bebas dan berkecuali di bawah Perlembagaan.

Kita yakin jika Wan Ahmad berani untuk membawa kes ini ke mahkamah, lagi banyak salahlaku dan penyelewengannya di dalam SPR bakal terdedah. Itu hukum kebenaran dan keadilan.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca


Empat remaja Direman Rogol Gadis Bawah Umur Bergilir-gilir

Posted: 15 Apr 2012 09:12 PM PDT

KELAB GREENBOC





B
aling - Ketika golongan seusia mereka sibuk mengejar cita-cita untuk masa depan, lain pula berlaku terhadap empat remaja berusia antara 13 sehingga 18 tahun, di sini yang direman tujuh hari setelah dipercayai merogol seorang gadis 15 tahun di Pasar Awam Kuala Ketil kira-kira 2.30 pagi, pada 11 April lalu.

Difahamkan mangsa dirogol lebih daripada lima orang secara bergilir-gilir mengakibatkannya terpaksa dihantar ke Hospital untuk rawatan lanjut.

Terdapat dua suspek yang masih bebas dan salah seorangnya daripadanya dipercayai tinggal di Sungai Petani.

Menurut sumber, gadis berusia 15 tahun itu dibawa oleh salah seorang rakan mereka dari Sungai Petani sebelum dia dirogol beramai-ramai.

Seorang daripada suspek telah dibuang sekolah dan terlibat dalam pengawasan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah. -SH

Bekas ketua penerangan Umno sindir menteri besar, bekas menteri

Posted: 15 Apr 2012 09:03 PM PDT

Dengan nada sinis, Hashim berkata, "kerana mereka pemimpin dan wakil rakyat terbaik dan terhebat, pucuk pimpinan perlu mengekalkan mereka sampai bila-bila."



KANGAR: Bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh memberi amaran Umno negeri yang dikuasai pemimpin veteran bakal ditolak dalam pilihan raya umum ke 13.

Katanya, berdasarkan pilihan raya 2008 dan perkembangan terbaru, pengundi muda tidak berminat dengan pemimpin-pemimpin veteran.

Hashim juga mendakwa pemimpin-pemimpin ini tidak memperdulikan mengenai pengundi muda yang begitu ramai di Perlis.

"Mereka tidak berminat bercakap mengenai aspirasi orang muda tetapi dalam pilihan raya 2008, orang muda menolak orang tua.

"Mereka mungkin tidak sedar perkara ini?" katanya.

`Terbaik dan terhebat'

Dengan nada sinis Hashim berkata, "kerana mereka pemimpin dan wakil rakyat terbaik dan terhebat, pucuk pimpinan perlu mengekalkan mereka sampai bila-bila."

Beliau menyebut antara mereka ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Isa Sabu, dua bekas menteri kabinet iaitu ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Seri Azmi Khalid yang juga ahli Parlimen Padang Besar serta Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Menteri Besar Perlis.

Katanya, selagi pemimpin veteran ini menjadi wakil rakyat, orang muda tidak akan mendapat tempat.

"Parti (Umno) hendak diremajakan tetapi para pemimpinnya sudah tua," tambah Hashim.

Menteri Luar Kazakhstan Lawat Malaysia

Posted: 15 Apr 2012 09:01 PM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR, -- Menteri Luar Kazakhstan Yerzhan Kazykhanov akan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia mulai Isnin.

Dalam lawatan pertamanya ke negara ini, Kazykhanov dijadual bertemu dengan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa, menurut kenyataan Wisma Putra.

Kedua-dua Menteri Luar itu dijangka membincangkan lawatan negara dua hari oleh Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev yang dijadual tiba di sini pada Selasa ini.

"Malaysia menyambut baik lawatan Kazykhanov yang dilihat sebagai mencerminkan hubungan akrab yang sedia wujud antara Malaysia dan Kazakhstan," menurut kenyataan itu. BERNAMA

Selangor Kini, Harakah ‘ceroboh’ Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia

Posted: 15 Apr 2012 08:59 PM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


SEJAK kebelakangan ini, Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia menjadi sasaran pihak-pihak tertentu memasukkan lidah rasmi Pas, Harakah dan Selangor Kini terbitan kerajaan Selangor sebagai sisipan untuk diedarkan kepada pembaca.

Pihak Utusan Melayu (Malaysia) Berhad ingin menjelaskan bahawa kami tidak bertanggugjawab terhadap pengedaran akhbar berkenaan melalui Utusan Malaysia atau Mingguan Malaysia.

Kami kesal dengan tindakan yang dianggap sebagai sabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini bagi menjatuhkan imej akhbar arus perdana ini.

Sebagai akhbar yang diharamkan penjualannya di semua premis jabatan atau agensi kerajaan pakatan pembangkang di Selangor dan Pulau Pinang, Utusan tidak akan membenarkan sama sekali akhbar yang didokong oleh DAP, Pas, PKR itu menjadi 'sisipan' Utusan Malaysia atau Mingguan Malaysia.

Untuk makluman pembaca, tindakan tidak bertanggungjawab ini pernah berlaku tahun lalu tetapi Jabatan Pemasaran telah memberi amaran kepada semua pengedar akhbar yang disyaki terlibat.

Bagaimanapun akhir-akhir ini, perkara yang sama berulang terutama di sekitar Lembah Klang termasuklah Hulu Langat, Wangsa Maju, Shah Alam dan Chow Kit.

Jabatan Pemasaran Utusan akan terus memantau keadaan ini dan akan mengambil tindakan lebih tegas termasuk membuat laporan polis. Utusan juga akan menamatkan urusniaga dengan mana-mana agen atau pengedar yang terlibat dalam tindakan yang tidak beretika ini.

Kepada mereka yang mempunyai maklumat berkaitan 'pencerobohan' terhadap akhbar ini bolehlah menghubungi Jabatan Pemasaran di Bangi atau Pengurus Pemasaran Wilayah, Rosman Zulkifli melalui telefon 0177771443.

- Pengarang

Tiada ulasan: