Unggun Bersih 3.0 Sudah Mulai Nyala
Suasana himpunan
Bersih - Duduk dan Bantah kini mulai hangat. Wap dan petanda KL akan banjir dengan manusia sudah makin jelas. Kalau beberapa hari lalu Bersih seperti sejuk dan tidak ghairah, kini suhunya sudah berlainan. Di mana-mana orang sudah mulai bercakap fasal baju kuning dan Bersih. Dadah juga sudah mendidih dan bulu tengkok sudah merinding.
|
Mereka menyokong penuh Bersih. |
Hari ini saya beberapa orang teman Fb saya menghubungi atau bertanya saya di mana boleh dapatkan baju kuning bertulis Bersih 3.0. Ada yang yang oder sampai 100 helai. Panggilan datang dari dari Johor, Pahang, Melaka dan juga Kedah. Ini memberi gambaran warna kuningan sudah mulai menabiri mata orang ramai di seluruh negara.
Kehangatan ini ketara sejak dua hari lepas, apabila pihak DBKL mulai bertindak merampas khemah dan peralatan perkhemahan pelajar di Dataran Mereka.
Penangkapan beberapa pelajar juga menjadi perhatian umum secara tidak langsung mengingatkan orang ramai kepada bersih. Sebelum itu serangan samseng tahi minyak juga menimbulkan kemarahan. Setiap kali orang melihat muka pelajar bersembur dengan darah, maka ketika itu juga mereka ingat kepada Bersih. Bersih akan dijadikan medan untuk 'membalas' dendam.
Situasi itu ditambah pula oleh pertunjukan sarkas budak-budak atau politician hingusan, tibai gambar Anwar Ibrahim di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru. Sekumpulan manusia yang kurang berilmu beramai-ramai telah mengamuk dan menimbai gambar Anwar kerana marahkan kepada pemimpin itu yang tidak memenuhi kehendak mereka.
Acara di ketuai presiden Perkasa(am) yang terkenal dengan ketololan itu dianggap paling bodoh dan setaraf dengan aksi sekumpulan manusia yang memijak kepala lembu tidak lama dulu. Perbuatan itu bukan saja sia-sia tetapi mendedahkan kecetekan akal budi mereka dan kerendahan moral mereka. Bunyi khabar Umno berdukacita di atas kejadian itu.
Demikian juga dengan sikap mulut manis jubur masam Menteri Dalam Negeri dan Datuk Bandar DBKL yang berdolak dalih untuk menyekatkan himpunan itu menambahkan minat orang ramai untuk bangkit menyertai Bersih 28 April ini. Sikap dolak dalih dan cakap tak serupa bikin itu menjadikan orang ramai naik meluat dengan kedua institusi itu.
Hishamuddin mulanya mengatakan dia tidak ada apa-apa masalah dan membenarkan himpunan berkenaan, tetapi selepass tidak sampai setengah jam polis membuat kenyataan akan melarang himpunan itu kalau diadakan di Dataran Merdeka. Datuk Bandar Kuala Lumpur mempersendakan dan cuba menunjuk baik hati dengan menawarkan tempat lain untuk Bersih.
Pengerusi Bersih, Pak Samad namun tidak berganjak tetap mahukan Bersih diadakan di Dataran Merdeka juga. Apa hendak jadi, jadilah. Keberanian Pak Samad sebagai komandan kali ini seakan mencabar orang lain yang lebih kuat dan gagah dari untuk ramai-ramai hadir pada 28 April depan.
Dari beberapa maklumat kini para peserta dari seluruh negara sudah membuat persiapan rapi. Misalnya ada yang menempah tikit bas dan keretapi untuk ke Kuala Lumpur. Sesetengah syarikat bas ekspress dari Kelantan dan Terengganu sudah kehabisan tikit pada tarikh berkenaan. Yang lain pula akan turun dengan kereta sendiri atau menumpang kawan-kawan.
Sementara di Kuala Lumpur dalam tinjauan ringkas beberapa hotel budget di beberapa kawasan KL telah pun habis di tempah sejak beberapa hari ini. Ia memuncak dua tiga hari lepas selepas pihak berkuasa DBKL dan Polis mula bertindak ke atas perhimpunan mahasiswa. Sementara itu ramai yang telah menghubungi waris warah yang berada di Shah Alam, Kelang, Setapak, Cheras dan Gombak mula dihubungi untuk tumpang tidur.
Keadaan ini tambah disemarakkan lagi apabila parti politik terutamanya Pas membuat kerahan terbuka supaya ahlinya datang beramai-ramai. Mursyidul Amnya, Nik Abdul Aziz telah meminta ahli parti itu menghadiri ke himpunan itu. Katanya kehadiran adalah wajib. "Kita perlu hadir untuk menentang ketidak adailan," katanya. Seruan itu cukup untuk dijadikan fatwa kepada orang-orang Pas untuk membanjiri Dataran Merdeka.
Manakala presiden Abdul Hadi Awang siang-siang lagi menyatakan kesediaan untuk hadir ke himpunan berkenaan. Presiden Amanah Mereka, Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada himpunan Duduk dan Bantah itu telah membatalkan permergiannya ke Sabah yang dijadulakan pada tarikh sama. Maklumat dari Sabah memberi tahu program perlancaran Amanah Sabah ditunda ke tarikh lain kerana ia bertembung dengan Bersih 3.0.
Dipercayai penundaan itu ada kena mengena dengan kenyataan Tengku Razaleigh yang menyatakan sokongan terbuka kepda Bersih. Bagaimana pun sehingga saat ini belum dipastikan apakah Tengku Razaleigh akan ikut bersama dalam himpunan bersejarah Duduk dan Bantah itu.
Dalam perkembangan lain pihak DBKL katanya hari ini sudah mula memagarkan kawasan Dataran Merdeka tempat yang dijadikan tumpuan itu. Katanya DBKL akan meletakkan gelong kawat duri di sekeliling kawasan itu. Tindakan DBKL akan menyebabkan keghairahan orang ramai untuk membanjiri Ibu Kota 28 April ini semakin menjadi-jadi lagi.
Kawat, water cannon, blatan tidak akan mampu menghadang kuasa rakyat 28 April ini.
Pihak penganjur Bersih sepatutnya berterima kasih kepada DBKL, Polis dan juga kumpulan yang melakukan upcara menibai gambar Anwar di Kampung baru malam kelmarin kerana gara-gara aksi mereka yang tidak masuk akal dan bebal itulah menyebabkan unggun Bersih 2.0 kini sudah mulai berasap untuk membentuk api Bersih 3.0. Barang kali di sinilah hikmat di atas kejadian itu yang kita merasakan ianya tidak ada faedah sebaliknya membawa manfaat besar.
[wm.kl.4:44 pm 24/04/12]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan