Jumaat, 9 Mac 2012

SIASAH

SIASAH


Kebangkitan Syria dan pengajaran kepada umat Muslim Malaysia

Posted: 08 Mar 2012 08:12 PM PST

Syria kini sedang menyaksikan persaingan kuasa serantau dan antara proksi kuasa-kuasa serantau di dunia Arab.

Walaupun isu tuntutan rakyat dan demokrasi tidak dapat dinafikan sebagai satu isu penting, kepentingan rakyat Syria kini dikaburi dengan kuat oleh permainan antara kuasa-kuasa berkepentingan.

Isu utama yang dapat diperhatikan dalam persaingan kuasa ialah usaha meleraikan paksi Iran, Syria dan gerakan Islam di Palestin dan Lubnan.

Beberapa kuasa utama rantau Asia Barat berkepentingan dalam menjejaskan rejim Bashar al-Assad, terutama Arab Saudi, Qatar, dan Israel.

Saudi ialah pesaing utama Syria di Lubnan. Saudi dan sekutu Baratnya menyokong penguasaan Rafik dan Saad al-Hariri dan aliansi 14 Mac, manakala Syria menyokong Hizbullah, Amal dan gerakan anti-14 Mac.

Saudi juga ialah musuh tradisi Iran, dan berusaha memastikan kedudukannya sebagai sebuah negara yang menguasai rantau Arab dipelihara.

Qatar bersatu dengan Saudi dalam hal ini, dalam kerjasama yang dapat diperhatikan bermula sejak kebangkitan rakyat di dunia Arab tercetus dan sampai ke negara-negara Majlis Kerjasama Teluk, GCC, terutama Bahrain.

Qatar juga berkepentingan untuk melonjakkan dirinya dalam politik serantau dan meningkatkan hubungan dengan kuasa-kuasa Barat.

Kedua-dua negara juga bersatu dari segi aliran agama dalam menangani aliansi Syria-Iran.

Isu aliran Islam Syiah dan Alawi menjadi salah satu isu yang dijadikan tumpuan dalam propaganda anti-Syria, malah dicetuskan dalam banyak isu lain termasuk kebangkitan di Bahrain dan timur Saudi.

Banyak isu seperti kebangkitan di Bahrain dipermudahkan sebagai "ancaman asing" yang bermaksud Iran dan Syiah.

Satu peristiwa yang memberi gambaran aliansi Saudi-Qatar ini ialah penamaan sebuah masjid utama di Doha dengan nama Imam Muhammad Abdul Wahhab, satu perkembangan yang mencerminkan peningkatan hubungan Doha-Riyadh.

Israel, musuh utama Iran, Syria dan gerakan Islam di Syam mempunyai kepentingan yang paling jelas tetapi paling kurang mendapat perhatian media.

Israel secara sedar tidak mahu kelihatan secara terang berperanan di Syria, dan sebolehnya mahu isu Syria ditangani oleh kuasa Arab supaya isu tersebut tidak menjadi pertembungan antara Arab dengan Israel.

Paling utama, Zionis mahu melihat paksi Iran-Syria dan gerakan Islam Syam terjejas. Ini dapat dilihat daripada kenyataan beberapa orang tokoh Israel.

Dan Meridor, menteri perisikan Israel dilapor berkata oleh akhbar New York Times: "Iran berusaha keras untuk menyelamatkan rejim Assad. Sekiranya pakatan antara Iran, Syria dan Hizbullah boleh diputuskan, ia sesuatu yang sangat positif."

Bekas pengarah Mossad, Efraim Halevy pula dalam satu tulisannya di akhbar sama menegaskan: "Memastikan Iran dihalau daripada hab serantaunya di Damsyik akan memotong aksesnya kepada proksi (Hizbullah di Lubnan dan Hamas di Gaza) dan secara terbuka akan menjejaskan prestij Iran di peringkat dalam negara dan antarabangsa, dan mungkin memaksa rejim yang lemah di Tehran menghentikan program nuklearnya."

Kuasa serantau paling berprofil tinggi dalam persaingan ini ialah Qatar, yang bersama sekutunya dalam GCC, Arab Saudi, kini menguasai Liga Arab.

Qatar kini mengulangi peranannya dalam menjatuhkan Muammar Gaddafi di Libya dengan pelbagai usaha menekan rejim Bashar di Syria.

Secara agresif, Qatar bersama Saudi menyokong pemberontak Majlis Nasional Syria, SNC termasuk secara terbuka menyokong pembekalan senjata kepada Tentera Bebas Syria, FSA, rakan SNC dalam usaha menjatuhkan rejim Damsyik.

SNC, gabungan yang memonopoli suara pembangkang dalam kalangan media antarabangsa dan kuasa tertentu itu sendiri mempunyai banyak isu yang perlu dipersoalkan dari segi kredibilitinya.

Satu isu yang kini semakin mendapat perhatian ialah peranan al-Jazeera milik Qatar dalam melaporkan perkembangan di Syria.

Al-Jazeera ialah pemain media utama dalam kebangkitan di Asia Barat dan Afrika Utara sejak lebih setahun lalu, dan terlibat secara mendalam dalam perang media kuasa-kuasa serantau.

Satu isu terkini yang menjejaskan al-Jazeera ialah pendedahan tentang bias stesen itu dalam melaporkan kebangkitan di Syria, sehingga dilaporkan menyebabkan wartawannya meletak jawatan sebagai protes.

Pandangan kritikal terhadap liputan dan rakaman krisis di Syria telah dikemukakan banyak pihak, termasuk terhadap rakaman-rakaman persendirian yang dipersoalkan kesahihan dan agendanya.

Kecondongan laporan dan komentar kepada sebelah pihak ini dijadikan hujah pihak berkepentingan untuk menuntut campur tangan asing dan bantuan senjata.

Kes di Syria – dan sebelum itu Libya – menyediakan banyak pengajaran dalam isu propaganda dan permainan politik kuasa-kuasa tertentu yang mengambil kesempatan daripada kebangkitan rakyat menuntut demokrasi.

Kempen propaganda yang menjadikan isu agama sebagai asas rujukan dilihat mudah untuk menarik ramai pihak memberikan sokongan untuk kepentingan yang sebenarnya mewakili agenda sempit kuasa-kuasa tertentu.

Sebahagian umat Muslim di Malaysia yang turut termakan kempen propaganda terhadap Iran dan Syria, menerima bulat-bulat kempen propaganda yang kelihatan dicetuskan oleh musuh politik negara tersebut.

Sentimen mazhab kelihatan terlalu mudah dipergunakan dan mudah memancing sentimen yang menjurus kepada perpecahan.

Satu kempen di Facebook dilihat dibuat semata-mata atas sentimen anti-Syria dan tanpa sebarang rujukan lain yang lebih bebas.

Kenaifan yang diperhatikan ini mencetuskan persoalan tentang kemampuan mereka yang terlibat itu dalam menangani isu-isu yang menguji itu sekiranya berlaku di negara ini, yang wacana politiknya semakin dikuasai emosi dan sentimen.

Tiada ulasan: