Jumaat, 9 Mac 2012

pemuda cheh

pemuda cheh


PRU 13,Hari kiamat bagi kerajaan Umno-BN!

Posted: 08 Mar 2012 10:52 PM PST



  SEAWAL bulan Ogos tahun lalu, sudah mula terdengar desas-desus yang didakwa daripada sumber dalaman kerajaan dan juga BN kononnya PRU13 bakal diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.Namun kini setelah tujuh bulan berlalu, ramalan pilihan raya umum menjadi seperti ramalan kononnya kiamat akan berlaku pada Mei 2003.



Tahun 2011 berlalu tanpa adanya pilihan raya sebagaimana berlalunya tahun 2003 tanpa berlakunya kiamat. Kini ramalan PRU13 diperbaharui. Ada yang mengatakan seminggu dua sebelum atau selepas perayaan Tahun Baru Cina 2012. Ada yang mengatakan mungkin bulan Mei sekitar cuti Hari Pekerja. Tidak kurang yang mengatakan PRU13 akan diadakan pada bulan Julai tahun ini serta tarikh-tarikh lain menurut andaian dan analisis masing-masing. Cuma belum ada lagi yang mengatakan PRU13 bakal diadakan pada 21 Disember 2012, ramalan hari kiamat yang baru sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak.
Apabila PRU13 diramalkan pada bulan Disember tahun lalu, sebagaimana mereka yang meramalkan hari kiamat pada Disember tahun ini, ia bukanlah dilakukan tanpa sebarang asas ataupun analisis.
Hari kiamat 21 Disember 2012 diramalkan kononnya berdasarkan kalendar peradaban purba Maya, di Amerika Selatan di mana tarikh inskripsinya terhenti pada tanggal tersebut dan menandakan tamatlah sudah kitaran panjang 5,125 tahun. Ramalan ini diperkukuhkan lagi dengan ramalan kononnya sebuah planet yang disebut sebagai Planet-X atau Nibiru sedang bergerak ke arah orbit Bumi dan akan mengakibatkan mala-petaka ke atas muka bumi ini pada skala yang tidak dapat diimaginasikan oleh sesiapa pun.
Namun sudah tentu para sarjana bertauliah peradaban Maya mempunyai interpretasi berbeza tentang tanggal 21 Disember 2012 yang tidak ada kena mengena dengan dunia kiamat. Dan Pentadbiran Aeronatik dan Angkasa Amerika (NASA) menafikan kemunculan Planet Nibiru. "Sekiranya Nibiru akan bergerak ke arah Bumi pada tarikh tersebut, ia kini sudah tentu dapat dilihat oleh mata kasar, sebagaimana kita dapat melihat planet lain yang lebih jauh," jelas NASA dalam laman web rasminya beberapa minggu lalu.
Begitu pun, apa sekalipun ramalannya, bagi umat Islam, hari kiamat hanyalah sesuatu ketentuan Allah yang sama sekali di luar pengetahuan manusia. Ia mungkin berlaku pada tarikh 21 Disember 2012, atau lebih awal daripada itu dan malah boleh juga berlaku di satu tarikh pada tahun 2020, 2062, 2099, 2120, 3743 dan seterusnya.
Firman Allah dalam Surah Al-A'raaf, ayat 187 bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhlukmakhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya.
Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."
Justeru, jelas tarikh hari kiamat adalah urusan Allah SWT dan kita sebagai manusia yang dicipta oleh-Nya tak perlu sibuk-sibuk tentang bila akan berlakunya hari tersebut. Sebaliknya apa yang perlu kita sibukkan buat ketika ini adalah tarikh PRU13, yang sesetengah mensinonimkannya dengan 'kiamat buat kerajaan BN.'
Namun meramalkan bila akan berlakunya PRU13 atau pilihan raya-pilihan raya umum Malaysia sebelumnya bukanlah kerja yang mudah. Ini disebabkan pemimpin kerajaan berlagak seperti tuhan dalam menyembunyikan tarikh tersebut.
Di masa-masa lalu memang terdapat ramalan-ramalan mengenai tarikh pilihan raya umum dan hampir semua ramalan tersebut tidak tepat kerana, seolah-olah meniru Tuhan, Perdana Menteri maha mengetahui dan lagi maha berkuasa dalam menentukan tarikhnya.
Begitu pun seperti ramalan tarikh kiamat 21 Disember 2012 yang didakwa oleh sesetengah pihak berdasarkan beberapa perkara, maka begitu juga dengan tarikh PRU13 yang ketika itu diramalkan oleh penganut dan para ulama politik Umno-BN dengan berdasarkan kemenangan parti tersebut dalam kebanyakan pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU12, tahun 2008 dan atas sebab kepercayaan kononnya Umno yang menjadi tonggak kepada BN sudah direformasikan sepenuhnya.
Ramalan bulan Disember atau selewat-lewat atau pada awal tahun 2012 diperkukuhkan lagi dengan Belanjawan 2012 yang meluluskan pemberian tunai itu dan ini kepada rakyat.
Tidak cukup dengan itu, malah sehingga hari ini Perdana Menteri mengambil peranan sebagai Santa Klaus dengan meluluskan itu dan ini kepada sesiapa atau pihak mana sahaja yang dirasakan akan dapat diterjemahkan sebagai undi kepada BN.
Hanya beberapa hari lalu Perdana Menteri meluluskan RM1.5 juta untuk projek sebuah sekolah di Sabak Bernam, Selangor. Yang menggelikan hati beliau sebelum itu telah meluluskan secara "sertamerta" dana sejumlah RM480,000 untuk memperbaiki berek polis pangkat rendah di Balai Polis Sungai Besar, Selangor.
Nampaknya sistem kewangan negara menurut peruntukan yang telah ditetapkan dalam sesuatu belanjawan tidak lagi terpakai sepenuhnya menjelang pilihan raya umum (yang tarikhnya menjadi ketentuan Perdana Menteri yang mahu berkuasa dan maha mengetahui) apabila Perdana Menteri boleh membawa berkarung-karung wang untuk diberikan kepada sesiapa sahaja.
Ramalan demi ramalan tentang tarikh PRU13 telah pun dibuat. Wang berkarung-karung, termasuk pemberian yang diluluskan menerusi Belanjawan 2012 juga telah laksanakan. Pelbagai strategi politik yang dicongak dapat menjejas atau merosakkan permuafakatan parti-parti dalam gabungan Pakatan Rakyat telah dilakukan.
Namun di sebalik semua ini, alamat dan petanda yang ditontoni umum dan juga sebagaimana yang ditontoni oleh pemimpin BN masih lagi menunjukkan apa juga tarikh PRU13 yang bakal diumumkan tetap membawa risiko kiamat bagi kerajaan Umno-BN.

Prof. Dr. Tejatat Tejasen Mengenal Islam Dari Kulit

Posted: 08 Mar 2012 03:07 PM PST


Prof. Dr. Tejatat Tejasen

Profesor Tejatat Tejasen mengucapkan kalimat syahadat di Persidangan Perubatan ke-5 yang diadakan di Riyadh, Saudi Arabia. Beliau adalah Ketua Jurusan Anatomi di Universiti Chiang Mai, Thailand. Sebelumnya memegang jawatan Dekan Fakulti Perubatan di Universiti yang sama.

Setelah ditunjukkan beberapa ayat al-Quran dan hadis Nabi kepada Profesor Tejasen yang sesuai dengan kepakarannya di dalam bidang anatomi. beliau memberi alasan bahawa mereka juga mempunyai kitab dalam agama Buddha yang menerangkan gambaran fasa perkembangan embrio yang sangat tepat. 
Setahun kemudian, Profesor Tejasen datang ke Universiti King Abdul Aziz sebagai penguji dari luar. Pada persidangan di sana, Prof Tejasen diingatkan tentang kenyataan yang dibuatnya setahun yang lalu. Prof Tejasen telah meminta maaf dan mengatakan bahawa pada ketika dia membuat kenyataan itu tanpa memahami apa yang dibincangkan ketika itu. Ketika beliau memeriksa kitab Tripitaka, beliau tidak dapat mencari jawapan ke atas persoalan yang dikemukakan kepadanya. Atas dasar ini, Prof Tejasen diberikan buku yang ditulis oleh Profesor Keith Moore tentang persamaan antara embriologi moden dibandingkan dengan apa yang tertulis di dalam al-Quran dan Sunnah. 
Kitab Tripitaka Yang dirujuk oleh Prof Tejasen. Malangnya beliau tidak menjumpai jawapannya
Profesor Moore merupakan tokoh yang diminati oleh Prof Tejasen disebabkan Profesor Moore adalah salah satu ilmuwan dunia yang terkenal dalam bidangnya.
Ketika Profesor Tejasen membaca, memahami dan mengkaji buku tulisan Prof Moore ini, beliau berasa hairan apabila membaca tentang penemuan terbaru dalam hal dermatologi tentang sifat-sifat kulit sebagai salah satu alat deria.

Dinyatakan kepada Profesor Tejasen, "anda akan tertarik untuk mengetahui isi kitab ini iaitu kitab al-Quran, sebagai rujukan pada 1400 tahun yang lalu yang menyentuh tentang persoalan hukuman bagi orang yang tidak beriman atau kafir, iaitu mereka akan masuk ke dalam neraka yang dipenuhi api. Dinyatakan juga bahawa ketika kulit mereka mengalami kerosakan dijilat api, Allah akan membuat kulit yang baru untuk mereka sehingga mereka terus merasakan hukuman sebagai balasan di dalam neraka itu. 

'Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kulit mereka hangus, Kami ganti mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.'

(QS. an-Nisaa: ​​56)

Sekumpulan muslim bertanyakan kepada Prof Tejasen di dalam persidangan itu, "Jadi anda bersetuju bahawa kandungan kitab 1400 tahun yang lalu ini mengatakan kepentingan urat saraf dalam merasai kesakitan?"

Profesor Tejasen menjawab, "Ya, saya setuju."

Pengetahuan tentang sifat kulit ini telah diketahui lama sebelumnya berdasarkan ayat di dalam al-quran yang menerangkan jika seseorang berbuat salah, kemudian dia akan dihukum dengan membakar kulitnya dan kemudian Allah akan menggantikannya dengan kulit baru yang menutupi mereka agar tahu bahawa dia diseksa kembali. Kulit mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap luka bakar. Oleh kerana itu, jika kulit terbakar oleh api seluruhannya, badan akan kehilangan kepekaan terhadap kesan sakit terbakar. Berdasar alasan inilah maka Allah akan menghukum orang-orang kafir di hari kiamat dengan mengembalikan kulit mereka kepada normal secara berulang-ulang, sebagaimana Allah Yang Maha Mulia berfirman dalam al-Qur'an surat an-Nisaa ayat 56.

Kami menanyakan kepada Profesor Tejasen, "Adakah ayat-ayat al-Quran ini datang dari Nabi Muhammad atau dari sumber manusia?"

Profesor Tejasen mengakui bahawa ayat-ayat al-Quran tidak mungkin dari manusia. Tetapi Profesor Tejasen masih bertanya tentang sumber dari manakah Nabi Muhammad menerima ayat-ayat itu.

Kami menjawab, "Dari Allah, Yang Maha Agung dan Maha Mulia."

Kemudian dia bertanya, "Siapakah Allah itu?"

Kami menjawab, "Dia adalah pencipta kepada semua yang wujud di alam semesta ini baik yang hidup ataupun tidak hidup. Dialah pencipta alam semesta, satu satunya Yang Maha Mengetahui. Jika kamu mendapati kesempurnaan ciptaanNya, inilah bukti bahawa Dialah Yang Maha Sempurna."

Profesor Tejasen bersetuju dengan apa yang mereka terangkan kepadanya. Selepas pertemuan dan perbincangan itu, beliau kembali ke negaranya di mana dia telah menyampaikan tentang penemuan baru di seminar-seminar tempatan mahupun antarabangsa.

Ketika Persidangan Perubatan ke-5 yang diadakan di Riyadh, Profesor Tejasen mengikuti siri seminar tentang tanda-tanda perubatan dalam al-Quran dan Sunnah. Profesor Tejasen menghabiskan masa selama empat hari bersama muslim dan bukan Islam di dalam seminar, membingcangkan tentang kandungan al-Quran dan Sunnah.

Pada sesi terakhir seminar antarabangsa yang dihadiri oleh tokoh-tokoh perubatan termuka, Profesor Tejasen berdiri dan berkata, "Sejak akhir-akhir ini, saya tertarik untuk mempelajari dan memahami al-Quran yang telah diberikan oleh Syeikh Abdul Majid az-Zindani. Tahun lalu, saya mengkaji tulisan Profesor Keith Moore dan terkini dari tulisan Syeikh. Dia meminta saya menterjemahkan ke dalam bahasa Thai dan memberikan sedikit kuliah kepada muslim di Thailand. Saya telah memenuhi permintaannya. Anda boleh melihatnya sendiri di dalam pita video yang saya berikan kepada Syeikh sebagai sebuah hadiah.

Dari penelitian saya dan apa yang saya pelajari secara keseluruhan dalam persidangan ini, saya percaya bahawa semuanya yang telah tertulis di dalam al-Quran pasti sebuah kebenaran, yang dapat dibuktikan dengan peralatan ilmiah. Sejak Nabi Muhammad yang tidak boleh membaca mahupun menulis, Muhammad pasti seorang utusan yang menyebarkan kebenaran yang diturunkan kepadanya sebagai seorang yang dipilih oleh Sang Pencipta. Pencipta ini pasti Allah atau Tuhan. Oleh kerana itu, saya berfikir inilah masanya untuk saya mengucapkan kalimat laa illaha illallah. Saya tidak hanya belajar dari pengetahuan ilmiah selama persidangan itu berlangsung, tetapi ini juga memebri kesempatan yang bagus kepada saya untuk bertemu dengan beberapa ilmuwan baru. Saat yang paling berharga sepanjang persidangan ini adalah ketika saya mengucapkan kalimat syahadat.


"Dan, orang-orang yang diberi ilmu berpendapat bahawa wahyu yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itulah yang benar dan menyuruh kepada jalan Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji." 
(QS. Saba: 6)

Tiada ulasan: