Rabu, 21 Mac 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Tazkirah Terkini Dari TG Nik Aziz Dalam FB Beliau

Posted: 21 Mar 2012 03:05 PM PDT

Tanah rizab Melayu: Kelantan saman Utusan

Posted: 21 Mar 2012 04:55 AM PDT


Rizal Tahir

KOTA BHARU, 21 Mac: Kerajaan negeri Kelantan mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia yang memfitnah mereka berkaitan isu tanah.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

"Laporan itu kami sifatkan sebagai tidak berfakta, menghasut agar membenci kerajaan negeri dan fitnah," kata Dr Mohd Fadhli Hassan (gambar bawah), Exco kerajaan negeri Kelantan.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan muka depan kononnya rakyat Kelantan dianiaya ekoran dakwaan tindakan kerajaan negeri memajak tanah kepada syarikat bukan bumiputra.

Laporan itu memetik kenyataan Datuk Mustapha Mohamad, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar notis saman kepada Utusan ekoran laporan media itu yang mendakwa beliau seorang biseksual.

Anwar menuntut penarikan balik berita itu, permohonan maaf dan bayaran gantirugi RM100 juta.

Dr Fadzli, exco penerangan Kelantan dalam kenyataannya berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan tindakan itu dilaksanakan.

"Laporan itu berunsur fitnah dan ada niat politik untuk burukkan Kelantan," kata Dr Fadzli selepas menghadiri mesyuarat Exco pagi ini.

Beliau mempertikaikan, bagaimana akhbar itu boleh menyiarkan berita sebegitu sedangkan tanah rizab Melayu di negeri ini yang dikatakan dilelong dan sebagainya tidak berbangkit langsung kerana ia tidak dijual.

Murtad: Hasan Ali dakwa MB 'lepas tangan'

Posted: 21 Mar 2012 04:50 AM PDT



SHAH ALAM - Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini berkata kenyataan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu keluarga seseorang mangsa murtad itu menyelesaikan sendiri masalah terbabit menunjukkan sikap "lepas tangan" Menteri Besar Selangor itu dalam menangani isu berkenaan.

Beliau berkata kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sepatutnya serius menangani gejala itu daripada terus berleluasa dengan menambah bilangan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Dengan pertambahan bilangan penguatkuasa, kerajaan negeri juga boleh cadangkan menubuhkan satu unit khas untuk tangani bukan saja gejala murtad, tetapi juga zina, arak dan pelbagai isu moral lain," katanya pada sidang media selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penjelasan Abdul Khalid, yang juga Exco Hal Ehwal Islam negeri ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) pada sidang DUN mengenai isu murtad.

Abdul Khalid (PKR-Ijok) dalam sesi itu berkata kerajaan negeri menyerahkan kepada keluarga dan rakyat masing-masing di negeri ini untuk menangani gejala murtad.

Menteri Besar berkata sebanyak 130 kes murtad direkodkan dari 2004 hingga 2011, dengan 16 kes daripadanya sudah diselesaikan.

Terdahulu, ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sidang DUN berkenaan, Hasan turut mempersoalkan sikap lepas tangan kerajaan negeri dalam perbelanjaan berlebihan melibatkan anak syarikatnya.

Beliau mendakwa perbelanjaan itu didapati berlaku melibatkan seorang individu yang menjawat jawatan tertinggi pengurusan di tiga buah anak syarikat kerajaan negeri yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM130,000 dalam tahun yang sama.

Hasan mendakwa individu tersebut pergi ke Shanghai, China, Chiangmai (Thailand) dan Perth (Australia) membabitkan kos kira-kira RM130,000 dalam tahun yang sama.

"Saya hairan kenapa individu ini sering ke luar negara dan seolah-olah tiada kerja dalam negeri ini. Sebab itu, saya cadangkan kerajaan negeri hadkan bilangan untuk seseorang itu menjawat jawatan dalam anak syarikat kerajaan negeri".

Persidangan dewan bersambung esok. - Bernama

Apa dia reformasi, transformasi Najib?

Posted: 21 Mar 2012 02:33 AM PDT


Selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan badan bebas dan tidak diletakkan secara langsung di bawah kuasa Parlimen, selagi itu pilihan raya Malaysia tidak bebas.

Selagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan badan bebas dan tidak diletakkan secara langsung di bawah kuasa Parlimen, selagi itu usaha mencegah dan membasmi rasuah, khususnya di peringkat tinggi kerajaan, akan gagal.

Selagi Radio Televisyen Malaysia (RTM) bukan badan bebas yang diletakkan secara langsung di bawah kuasa Parlimen, selagi itu media massa Malaysia tidak bebas.

Selagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) tidak dimansuhkan sama sekali, selagi itu media massa Malaysia tidak bebas.

Selagi Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi tidak dihapuskan, atau dilonggarkan untuk menggalakkan kebebasan maklumat, selagi itu media massa Malaysia tidak bebas.

Selagi Akta Kebebasan Maklumat tidak dilaksanakan, selagi itu media massa Malaysia tidak bebas untuk melaporkan dengan berani dan benar.

Selagi lesen dan kebenaran stesen TV dan radio swasta dikawal oleh kerajaan, selagi itu tidak wujud media bebas di negara ini.

Selagi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dihapuskan tanpa perlu diganti sebarang akta lain, termasuk mana-mana undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa bicara, selagi itu rakyat Malaysia tidak akan bebas.

Selagi sistem kehakiman takut dan tunduk kepada eksekutif (pembuat keputusan = parti pemerintah = kerajaan), selagi itu keadilan tidak wujud; yang salah boleh bebas dengan wang, yang benar dizalimi kerana tiada wang.

Selagi sistem tender terbuka tidak diamalkan dengan telus dan mengikut undang-undang yang adil, selagi itu diskriminasi, pilih kasih, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah serta kronisme akan terus berleluasa.

Selagi warna kulit sahaja menjadi asas penentu dalam apa-apa bidang, selagi itu rakyat sentiasa curiga dan was-was antara satu sama lain, sama seperti yang telah berlaku sejak lebih 50 tahun lalu.

Selagi sistem politik Barisan Nasional yang berasaskan politik perkauman dan dominasi satu parti, selagi itu rakyat akan terbelenggu dan takut sehingga mencacatkan kreativiti minda, menjadi mandom, lembap dan 'lebih kurang' (mediocre).

Ini semua hanya sebahagian kecil daripada masalah yang rakyat hadapi sejak berpuluh tahun lalu. Tak nampak sebarang tanda pemulihan.

Jadi apakah yang Datuk Seri Najib Razak maksudkan dengan reformasi dan transformasi itu? – Roketkini.com

Speaker arah PAC henti siasat NFC

Posted: 21 Mar 2012 02:15 AM PDT


Oleh Shannon Teoh

KUALA LUMPUR, 21 Mac — Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah mengarahkan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) untuk menghentikan inkuiri terhadap penyalahgunaan RM250 juta dana awam oleh Pusat Fidlot Corporation (NFCorp).

The Malaysian Insider difahamkan panel sedang mengadakan mesyuarat tergempar untuk menolak arahan Speaker Dewan Rakyat sehari selepas keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, pemilik syarikat tersebut, enggan berhadapan dengan jawatankuasa berkenaan.

"Speaker mengarahkan untuk 'menghentikan' inkuiri terhadap NFC dan keputusan itu adalah sub judis," menurut sumber melalui pesanan ringkas.

Pandikar Amin minggu lalu tidak membenarkan usul tergempar untuk membincangkan kontroversi RM250 juta walaupun pada mulanya membenarkannya dengan alasan perkara itu sudah dibicarakan di mahkmah.

Pengerusi NFCorp Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail telah dituduh di mahkamah pada 21 Mac dengan dua tuduhan pecah amanah dan dua kesalahan pelanggaran Akta Syarikat. Saintis makanan itu merupakan suami kepada Ketua Wanita Umno.

"Pada mulanya saya membenarkan ia dibacakan tapi sekarang perkara itu sudah pun di bawa ke mahkamah. Jadi saya tidak boleh memberikan kebenaran," kata Speaker Dewan Rakyat itu.

"Ia tidak boleh dibincangkan kerana ia sudahpun di bawa ke muka pengadilan."

Tetapi keputusan Mahkamah Tinggi dilihat oleh The Malaysian Insider menunjukkan yang keputusan Pandikar Amin itu mempunyai kecacatan.

Mahkamah Tinggi dalam pertuduhan difailkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) terhadap peguam kerajaan Selangor dan akhbar PAS, Harakah tahun lalu, menunjukkan mahkamah harus berhati-hati memohon subjudis dan perlu mengambil kira peruntukan Perlembagaan terhadap kebebasan bersuara.

Hakim Ariff Jusoh, apabila menolak permohonan tersebut menegaskan undang-undang "common law" terhadap subjudis harus berdasarkan "peruntukan kebebasan bersuara".

"Mahkamah tidak percaya terhadap sensitiviti kebanyakan rakyat Malaysia boleh berbeza dan mahkamah cenderung untuk mengambilkira peruntukan kehakiman yang berbeza berkaitan dengan kebebasan bersuara di bawah undang-undang subjudis," katanya.

NFCorp turut berkata semalam pengarahnya tidak akan menghadap PAC memandangkan kes mahkamah yang tertangguh.

Mohamad Salleh didakwa di Mahkamah Sesyen atas kesalahan pecah amanah dan pelanggaran Akta Syarikat berhubung RM49 juta dana awam yang diberikan kepada syarikat tersebut.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah termasuk dua tuduhan di bawah Akta Syarikat dalam skandal yang mendedahkan Datuk Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) menerima tekanan memandangkan pilihan raya yang semakin hampir.

NFCorp menjadi tajuk bualan hangat selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 kerana gagal mencapai sasaran.

Polis telah mencadangkan kepada Peguam Negara supaya mendakwa pengarah NFCorp, tapi Peguam Negara mengarahkan pihak polis untuk menjalankan siasatan lengkap terhadap Mohamad Salleh.

Hasan Ali Perasan Dia Cerdik Sebab Kerja Pakar Motivasi?

Posted: 21 Mar 2012 02:09 AM PDT

Hasan Ali tikam lidah dengan ADUN PAS

Leven Woon
Ahli PAS yang dipecat Datuk Hasan Ali (Gombak Setia-Bebas) hari ini memulakan tugasnya sebagai wakil rakyat Bebas di dewan undangan negeri Selangor dengan membidas bekas rakan-rakan partinya semasa perbahasan titah diraja.

Sasaran pertama beliau adalah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Othman (Meru-PAS), yang semalam menyelar Hasan kerana tidak hadir pada Majlis Santapan Diraja, semalam.

Apabila Abdul Rani cuba mencelah dengan soalan yang berkaitan dengan kes murtad, Hasan cuba mengelakkan dirinya daripada menjawab.

Sebaliknya beliau menyelar Abdul Rani kerana menyerang peribadinya dengan mengatakan bahawa bidasan ke atas beliau itu tidak mencerminkan kebijaksanaan yang seharusnya dimiliki oleh seorang ADUN.

"Saya juga pernah jadi ahli parlimen. Kadang-kadang menteri tidak menghadiri sidang Parlimen kerana mempunyai beberapa perkara lain yang mendesak. Adakah itu bermakna mereka tidak menghormati Dewan Rakyat?"

"Meru hanya menyerang peribadi saya semata-mata kerana beliau tidak dilantik sebagai exco (Selangor) selepas saya telah digugurkan.

"Beliau harus berjumpa dengan seorang pakar psikologi untuk mengubati masalahnya," katanya sambil disambut dengan tepukan oleh ADUN BN.

Berang dengan kata-kata Hasan itu, Abdul Rani sekali lagi mencelah dan menuntut Hasan menarik balik kata-katanya.

"Saya seorang doktor profesional, awak bukan. Saya tahu saya tidak perlu seorang pakar psikologi," katanya.

Hasan membalasi: "Apa masalah awak? Jumpa psikologi bukan perkara yang tidak baikbagi semua orang."

Isu Karpal-Ramasamy sudah berakhir

Posted: 20 Mar 2012 11:01 PM PDT


KUALA LUMPUR, 21 MAC: Isu perbalahan di antara Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh dan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Dr P. Ramasamy sengaja dibesar-besarkan oleh media massa kawalan Barisan Nasional walau pun ia sudah berakhir.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, beliau bersama Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Penasihat DAP Dr Chen Man Hin telah bermesyuarat dengan Karpal semalam.

"Kita telah bersetuju bahawa episod terkini yang sedang dimainkan oleh media kawalan BN sudah pun berakhir.

"Saya menyeru agar semua ahli-ahli akan bersatu dan menumpukan perhatian kepada peluang bersejarah untuk membawa perubahan dan menyelamatkan Malaysia dalam pilihan raya umum yang akan datang," katanya.

Menurutnya, semua pemimpin parti dan ahli harus bersatu-padu supaya musuh politik DAP dan Pakatan rakyat tidak mempunyai sebab untuk mengeksploitasikan keadaan, termasuk dengan menganjurkan demonstrasi terhadap DAP atau mana-mana pemimpin DAP. – Roketkini.com

Pujian: Kelantan jangan berada di zon selesa

Posted: 20 Mar 2012 10:59 PM PDT


Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Jentera PAS Kelantan diingatkan agar tidak berasa 'berada di zon selesa' untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 ini biarpun parti itu sudah lima penggal mengusai kerajaan negeri iaitu sejak 1990.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Wan Nik Wan Yusoff berkata, jentera juga diminta tidak termakan dengan sebarang khabar indah atau telahan dari mana-mana pihak apatah lagi yang keluar dari mulut musuh, kononnya Kelantan akan terus kekal di bawah penguasaan PAS pada PRU 13 nanti.

Menurutnya, momokan sebegitu tidak ubah seperti 'jerangkap samar' musuh untuk memastikan jentera parti berada di zon selesa sekaligus mempengaruhi gerak kerja persiapan pilihan raya.

"Kita tidak boleh tengok ianya sebagai pujian, apatah lagi kalau keluar dari mulut musuh.

"Tetapi kita perlu lihat ianya sebagai satu cabaran untuk kita buat tindakan lebih terperinci, bukan ambil atas sifat selesa," katanya kepada Harakahdaily

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bekas Menteri Kewangan dan Bendahari Umno Tun Daim Zainuddin semalam yang meramalkan PAS akan tetap kekal menguasai Kelantan pada PRU ke 13 akan datang.

Selain Kelantan, beliau turut meramalkan DAP juga akan kekal memerintah Pulau Pinang untuk penggal kedua.

Bagi Daim, BN hanya akan selesa di tiga negeri sahaja iaitu Melaka, Johor dan Pahang.

Mengulas lanjut Wan Nik berkata, PAS Kelantan perlu berkerja lebih kuat dengan mengambil pengalaman apa yang berlaku pada keputusan PRU 2004.

Ketika itu ujarnya PAS hanya menang majoriti mudah dengan berkelebihan tiga kerusi iaitu 24 berbanding BN, 21.

Kedudukan PAS sekali lagi diuji apabila tewas pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada tahun sama sekaligus menjadikan kedudukan bertambah getir dengan PAS 23 dan BN 22.

"Kita perlu keluar dari zon selesa. Ukuran PRU 2008, lonjakan undi berlaku bukan kerana undi penyokong PAS bertambah, tapi sikap pengundi atas pagar yang hampir 30 peratus yang turut mengundi PAS.

"Sikap mereka ini boleh berubah dan kita perlu memberi perhatian khusus kepada golongan ini," katanya sambil menambah bahawa kemenangan dengan lonjakkan mendapat 38 kerusi pada PRU ke 12 itu turut disumbang beberapa isu nasional lain.

Sehubungan itu, beliau memperingatkan jentera agar mendekati golongan yang dikategorikan atas pagar tersebut secara 'sangat cermat' jika mahu melihat PAS terus menerajui kerajaan negeri Serambi Mekah itu.

SPM 2011: 559 dapat A+ semua subjek

Posted: 20 Mar 2012 10:56 PM PDT


Oleh: Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Seramai 559 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu memperoleh gred cemerlang tertinggi iaitu A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil berbanding 403 orang pada 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata, dàripada jumlah itu, seramai 506 adalah calon Sekolah Menengah Kebangsaan.

Terkini! Angkara Bodek, Huruf Alif Ditukar Dengan Huruf 1

Posted: 20 Mar 2012 08:56 PM PDT

Ucapan Khas TG Nik Aziz Kepada Calon SPM 11 Yang Menerima Keputusan Hari Ini

Posted: 20 Mar 2012 07:07 PM PDT

SBPA: 36 pegawai Premier setuju pulangkan kenaikan

Posted: 20 Mar 2012 05:37 PM PDT



PUTRAJAYA - Kesemua 36 pegawai atasan kakitangan awam dalam Kategori Perkhidmatan Utama yang menerima gaji baru di bawah Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dibatalkan, bersetuju untuk memulangkan 'kenaikan' yang diterima baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, ini berikutan pembatalan skim itu dan kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab, mereka telah bersetuju untuk memulangkan kenaikan itu (di bawah SBPA).

"Lebih daripada separuh telah kembalikan manakala yang lain tidak sempat kerana berada di seberang laut," katanya kepada pemberita selepas majlis syarahan "Chief Secretary Annual Lecture Series: The Fifth Estate - A space for
Academia?" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa 36 pegawai atasan kakitangan awam telah menerima kenaikan gaji antara RM35,000 hingga RM60,000, di bawah SBPA.

SBPA diperkenalkan awal tahun ini telah mengundang keresahan dan tidak puas hati di kalangan penjawat awam, dan kerajaan pada 12 Jan lalu memutuskan supaya skim itu dikaji semula.

Pada 8 Mac, Perdana Menteri mengumumkan pembatalan SBPA dan pengembalian kepada SSM yang ditambah baik.

Mengenai penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji penambahbaikan SSM, Mohd Sidek berkata, ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

"Saya akan bincang dengan pihak-pihak yang tertentu dan akan umumkan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: