Krisis Exco: AJK Pas Pusat turun Kedah esok Posted: 01 Mar 2012 02:45 PM PST Oleh: NURUL NADIA KAMARUZAMAN
KUALA LUMPUR - Kesemua ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat akan mengadakan pertemuan khas dengan pemimpin-pemimpin parti peringkat Kedah malam esok bagi menyelesaikan 'krisis Exco' yang dilihat boleh menggugat kerajaan negeri Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 jika gagal ditangani segera.
Pertemuan itu juga akan membabitkan perbincangan bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Mesyuarat khas malam tadi gagal mencari penyelesaian, sebaliknya memerlukan satu lagi pertemuan dengan barisan Badan Perhubungan Negeri Kedah.
Mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat kira-kira tiga jam di ibu negara tengah malam tadi, Naib Presiden Salahuddin Ayub berkata, kesemua ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terlibat sama dalam pertemuan esok.
"Perjumpaan akan diadakan pada Sabtu, malam Ahad di Kedah... tempat akan diberitahu kelak," katanya pada sidang media sebentar tadi.
Salahuddin berkata, mesyuarat khas yang diadakan ini sebulat suara memutuskan untuk berjumpa dengan ahli Jawatankuasa Kerja Pas Kedah termasuk Menteri Besar.
"Perjumpaan itu akan melibatkan semua ahli tertinggi Pas termasuk Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Perjumpaan di Kedah nanti akan membincangkan dengan lebih meluas tentang permasalahan krisis di sana." katanya pada sidang media.
Jawatankuasa Kerja Pas Pusat mengadakan mesyuarat khas bermula 9 malam tadi bagi mencari penyelesaian ke atas 'krisis' kepimpinan parti peringkat Kedah, yang ketara selepas dua Exco Kerajaan Negeri menolak tawaran untuk dilantik semula ke jawatan itu.
Mesyuarat khas itu berlangsung di ibu pejabat parti di ibu negara dengan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Mohamed Sabu.
Mesyuarat khas itu diadakan dua hari selepas Salahuddin mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dan salah seorang Exco Kerajaan Negeri terbabit.
Kelmarin, Salahuddin berkata, beliau ada beberapa formula untuk dibentangkan pada mesyuarat malam ini.
Katanya, mesyuarat ini diadakan khusus bagi membincangkan kemelut yang melanda kepimpinan Pas Kedah.
Dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian yang disiarkan kelmarin, Salahuddin menyifatkan pertemuan beliau dengan dua pemimpin Pas Kedah kelmarin membuahkan hasil positif dan dijangka boleh membantu menyelesaikan kemelut pelantikan semula sebagai Exco.
Salahuddin berkata, beliau sudah bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Azizan dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi di rumah masing-masing.
Beliau berharap isu itu dapat segera diselesaikan dengan baik bagi melancarkan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Kehadiran Salahuddin di Kedah bertujuan menjadi perantara bagi menyelesaikan kemelut itu setelah Pas Pusat memutuskan untuk campur tangan agar tidak berlarutan.
Lapan daripada 10 Exco semasa menerima tawaran dikekalkan jawatan. Majlis angkat sumpah berlangsung, Selasa lalu.
|
Kenyataan Terkini YB Zul, Penjelasan Polemik Wacana Sinar Harian Posted: 01 Mar 2012 05:39 AM PST Wacana "Mengapa Undi Melayu Pecah" anjuran Sinar Harian (SH) dari Kumpulan Karangkraf berlangsung pada 28 hb Februari lalu. Rata-ratanya ia ditanggapi sebagai hangat, tegang tetapi lancar dan terkawal. Mereka yang gagal untuk hadir dalam dewan menonton melalui internet @SinarOnline dan @Mobtv.my. Liputannya dibuat dalam dua keluaran SH dan secara verbatim esok mengikut maklumat pihak pengurusan SH.
Dalam hampir 3 jam perbahasan bersekali dengan sidang akhbarnya yang menghuraikan pelbagai isu di sekitar tajuk wacana, amat malang sekali, ada pihak yang memanipulasi laporan wacana ini dengan sengaja mengenengah dan kini 'memporakperandakan' minda rakyat yang tampaknya bermotifkan politik.
Paling mutakhir seorang mantan PM juga tumpang semangkuk sekaligus dengan lebih jelas membuktikan bagaimana pihak media yang andainya tidak cermat atau juga punyai agenda tertentu akan terpalit untuk memenangkan sesuatu tumpuan umum dalam memobilisasi pandangan awam (public opinion). Lebih malang lagi bila saya kesani ada segelintir kecil pihak PAS sendiri yang terpengaroh meminta saya tarik balik kenyataan saya. Kenyataan apa, kalau boleh saya tanya.
Nyata bahawa Wacana 'Mengapa Undi Melayu Pecah' yang saya kira sihat dan informatif, kini telah diheret pihak tertentu secara sengaja atau tidak bagi menonjolkan isu 'PAS bersedia di pimpin bukan-Islam'. Bukan tajuk wacana samasekali, tetapi itulah nasib panelis, yang mesti menjadi peringatan yang bakal bersetuju menjadi panelis. Satu perkara atau isu, yang awalnya ditanggapi isu sampingan atau 'side-dish' menjadi habuan utama atau 'main meal' bagi lawan politik atau pihak tertentu.
Saya diingatkan supaya tulis penjelasan ini ringkas tetapi jelas. Biar orang kampong semua boleh faham. Saya cuba insyaAllah. Untuk tujuann tersebut saya mendengar rakaman verbatim dalam @Mobtv.my beberapa kali dan telah pun meminta pegawai saya menyalinnya. Justeru yang tidak hadir dan tidak dengar perbahasan 3 jam itu tetapi mahu membuat kenyataan rasmi seperti Tun termasuk ramai dalam media sosial lain, tolong beri perhatian yang serius.
Soalan dari Moderator Dr Maszlee adalah 'Apakah PAS bersedia untuk melantik Timbalan Presiden dari kalangan bukan-Islam seperti Ikhwan Muslimin baru-baru ini'..tekuni jawaban saya..
Perkara seperti ini bukan perkara-perkara prinsip yang tetap. Dalam (Syariat) Islam ada 2 perkara-kategori (hukum). Satu, perkara2 ' Tetap' yang tidak boleh ubah dikatakan 'Al-Thawabit'. (Tetapi) Ini perkara2 dalam ruang lingkup Ijtihad dan yang dikatakan sebagai 'Al-Mutaghiyyaraat' . 2 perkara ini kita mesti bezakan atas apa susun atur politik itu semua perkara-perkara yang boleh berubah…..
Pada perkara yang boleh berubah kita ubah pada waktu dan tuntutannya. Ini perkara ………. PAS berani berubah! Ada perkara yg tetap tapi ada perkara yang tertakluk kpd perubahan…….. Jadi kita boleh bersedia untuk menerima perubahan & pindaan seperti itu.
Pada persoalan: Jangka masa? Bila? Jawab saya: Ha! Jangka waktu itu segalanya tertakluk kepada needs atau keperluan. Ya! Terima kasih.
Ketika saya di asak soalan tambahan: " keadaan sekarang needs tu dah..?"
Jawab saya : Mungkin belum ada needsnya (keperluannya) tapi kalau dah diutarakan kita akan bincang dan di Muktamar kita putuskan bersama..
Pada soalan: "Belum dibawa?"
Jawapan saya: "Belum lagi"… Ini Dr Mazlee pertama kali dengar ini. Tapi kalau perkara itu dah menekan, sebab apa… Sebab itu mengikut katanya peredaran…peredaran zaman ya… dan Islam itu mampu menangani peredaran zaman. Itu yang dimaksudkan… Its able to withstand the challenges of time dan realities. Ini perkara2 yg tentunya mendatang kita akan hadapi pada waktunya dan kemaslahatan kepentingannya.
Nah itulah jawapan saya yang telah mencetuskan kontroversi .
Persoalan besar yang ramai menunggu penjelasan ialah mengapa saya berpendirian sedemikian. Ini hujjah saya secara ringkasan sahaja bersandarkan hujjah yang dikemukakan oleh Imam Al-Mawardi dalam Kitabnya Al-Ahkam Al-Sultaniyyah (Beirut).
Al-Mawardi membezakan jawatan dalam kerajaan (dan ada Ulama yang qiyaskan dalam parti-jamaah Islam)..kedudukan nombor satu yang disebutkan sebagai 'Wazir Tafwidh' tidak boleh diberikan kepada bukan-Islam tetapi pada kedudukan 'Wazir Tanfidz' (Menteri-menteri Kabinet yang lain atau jawatan lain dalam organisasi), maka ianya boleh sahaja dilantik dan diserah kepada orang bukan-Islam.
(Wa yajuzu an yakunu hadhal wazir min ahlil dhimmah wa in lam yajuz an yakunu wazir al-tafwidh min hum)…Al-Ahkam Al-Sultaniyyah
Bila saya menjawab dengan positif pada soalan moderator saya cukup jelas landasan dan sandaran saya. Kedudukan nombor satu Presiden atau Perdana Menteri adalah bersamaan dengan kedudukan 'Wilayatul Tafwidh' tetapi pimpinan yang lain Timbalan2 bahkan Naib2nnya juga boleh sahaja di banyakkan jumlahnya dan disusun-atur mengikut kepentingan fasa (fatrah) perjuangan. Ini perkara Ijtihadiyyah dan jelas tertakluk kepada 'penilaian berterusan'.
Di sini kita tidak perlu jumud dan beku kerana saya bercakap dengan rangka masa depan. Dulu kita tidak ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) tetapi kini sudah ada. Saya boleh bayangkan satu hari nanti kalau ia membesar sehingga akan berlaku pindaan perlembagaan PAS yang mencadangkan supaya Ketua Dewan dijadikan salah seorang Naib Presiden, satu unjuran yang amat menasabah. Mungkin makan satu atau dua dekad lagi, Wa AlLahu'Alam.
Saya cukup jelas dengan kedudukan Majlis Syura Ulama dan Muktamar yang sentiasa menjaga landasan parti supaya tidak tergelincir. Tetapi parti mempunyai ruang yang cukup luas dalam pentadbiran, organisasi dan pendekatan (strategi) perjuangan, yang semestinya sentiasa mengalami 'pembaharuan' dan 'renewal' (tajdid) namun dibuat melalui saluran dan kaedahnya.
Pokoknya saya tidak kira wajar mengelak berulang situasi di mana kita tolak dan kita sempitkan apa yang sebenarnya luas dan boleh sahaja dilakukan, tetapi atas dakwaaan menjaga 'jatidiri' atau 'keaslian', ada yang kurang senang bekerjasama dengan kelompok dan parti yang tidak berteraskan Islam. Namun apabila PAS mahu wujudkan 'Tahaaluf' atau 'Muafakat Politik' ahli dan umum, tampak di kacamata golongan ini bahawa kita semacam berbolak-balik.Sebenarnya tidak demikian, sebab itu penting membuat penjelasan awal dan jangan takut menyatakan kebenaran secara berani. Ini sebab kita tidak terangkan bahawa ia boleh sahaja berubah atas tuntutan maslahah fasa perjuangan dalam rangka Ijtihad parti oleh kepimpinan tertinggi dan Majlis Syura Ulama.
Saya tidak hairan Tun Mahathir memutarbelitkan kenyataan saya secara cukup tidak sopan ketika mencadangkan YB Lim Kit Siang supaya menjadi Presiden PAS, sekiranya Al-Quran pun Tun boleh putar-belit dengan mengatakan bahawa dalam Al-Quran pun tidak ada Hukum Hudud dan Hukum Hudud tidak adil. (Konvensyen Kebangsaan Politik dan Patriotisme, K2P, 26 Feb, 2012, di UNIMAS)
Saya cadangkan Tun tumpukan menjelaskan dakwaan bahawa dalam era pemerintahannya sebnyak USD100 (RM330bilion) hangus kerana ketirisan dan rasuah dalam pengurusan kewangan yang tempang.
Dr Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat- MP KS. |
Fitnah media BN tak pernah berubah Posted: 01 Mar 2012 05:18 AM PST (Oleh: Wira Rakyat)
Mar 1 2012 / Keadilan Daily
Tidak banyak perbezaan media massa di negara ini mengendalikan maklumat sejak merdeka pada 1957. Hanya peralatan bekerja yang berubah. Daripada zaman mesin taip dan kamera analog kepada perkakasan multimedia serba canggih.
Wartawan penyiaran era sebelum merdeka tidak mungkin mampu mengoperasikan setiap sesuatu yang dimiliki di studio stesen televisyen moden. Manakala wartawan akhbar generasi Pak Sako tidak berupaya menulis berita sekiranya masuk ke bilik berita suratkhabar masakini yang serba canggih.
Kelayakan wartawan juga berubah. Jika pada 1950an, kewartawanan dianggap tidak boleh dilatih sebaliknya bakat semula jadi. Kini wartawan datang dari universiti terbaik dalam dan luar negara. Tidak menghairankan jika wartawan dan editor di Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan sebagainya pulang dari Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia. Negara yang terkenal dengan kebebasan media.
Berat sebelah
Namun begitu, mengapakah wujud berita berat sebelah yang amat menyakitkan hati warganegara Malaysia? Di Kelantan berita paling kerap disiarkan stesen televisyen ialah perampasan tanah. Kononnya rampasan berlaku di banyak daerah, terutama di Gua Musang. Anak syarikat kerajaan negeri mengambil alih tanah-tanah milik rakyat yang telah ditanam kelapa sawit, getah serta pohon buah-buahan untuk dijadikan ladang komersial.
Setiap bulan rakyat Kelantan menunjuk perasaan membantah perampasan itu. Kaum wanita menangis meminta simpati. Sekiranya rakyat menekuni slot Berita Perdana TV1, sejak Kelantan diperintah PAS pada 1990 maka telah berlaku perampasan tanah seluas ribuan hektar. Cuma yang menjadi tanda tanya, mengapakah tidak ada satu pun kes rampasan tersebut difailkan di mahkamah?
Hakikatnya, hampir mustahil untuk menyaman kerajaan negeri kerana tanah-tanah yang diambil itu hanya memiliki lesen menduduki sementara (TOL) malah sesetengahnya tidak langsung memiliki apa-apa dokumen. Dalam undang-undang, tanah tanpa geran hak milik kekal adalah milik kerajaan. Rakyat boleh bercucuk tanam selagi mana kerajaan tidak menggunakannya. Justeru itu, untuk apakah stesen tv memperbesarkan isu rampasan tanah jika mereka menjunjung etika kewartawanan?
Di Selangor, berita yang paling banyak dilaporkan ialah rasuah di kalangan Exco, Adun dan Ahli Majlis Tempatan. Setiap bulan ada sahaja berita yang dikaitkan dengan penyelewengan pentadbiran kerajaan negeri. Bahkan, bahan buangan seperti sampah pun cuba dikaitkan dengan gejala rasuah. Apatah lagi perniagaan perlombongan pasir.
Isu skandal pasir yang didedahkan oleh Raja Petra Kamarudin dimainkan berminggu-minggu lamanya. Kononnya skandal itu melibatkan pembunuhan. Mereka terlupa pembunuhan hanya berlaku sekiranya BN terlibat. Pemimpin PR tidak sinonim dengan kaedah penyelesaian mengambil nyawa orang lain. Skandal BMF membabitkan kroni Umno menatijahkan pembunuhan pegawai penyiasat Malaysia di Hong Kong, skandal kapal selam Scopene menyebabkan Altantuya Sharibuu dibom di Shah Alam.
Faktanya, syarikat yang dituduh berniaga pasir itu menjalankan operasi perladangan kelapa sawit. Mengapakah wartawan tidak melakukan penyelidikan sebelum mendedahkan berita?
Wartawan alternatif
Hal inilah yang menimbulkan kecemburuan di kalangan wartawan media alternatif; laman web bebas mahu pun akhbar parti pembangkang. Wartawan di sana terpaksa bekerja keras menyelidiki fakta. Editor akan memaki hamun seadainya maklumat yang disiar tidak berasas, apatah lagi direka-reka.
Sedangkan wartawan media arus perdana yang kualiti kelayakan akademik mereka jauh lebih tinggi tidak perlu berpegang kepada disiplin serupa. Editor pula dibenar mengubahsuai berita secara bebas. 'Tak rela diliwat lagi' tajuk depan sebuah akhbar proUmno suatu ketika dahulu. Selepas Anwar dibebaskan pada 9 Januari mereka membina tajuk, Anwar ingin menghapuskan undang-undang anti homoseksual.
Wartawan dan editor media alternatif tidak dibenar menyiarkan perkataan seumpama itu. Malah ketika pengawal peribadi Anwar, Fayyad Afiq Albakqry ditembak kanister gas pemedih mata dan gambar pipinya yang remuk disiarkan oleh Suara Keadilan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memanggil jurugambar akhbar itu untuk disiasat atas tuduhan memalsukan gambar. Kononnya Fayad tidak cedera. Gambar tersebut diubahsuai.
Tulisan mendakwa kanister pemedih mata yang digunakan polis dalam menyuraikan peserta Bersih 2.0 sama seperti digunakan polis Israel menyebabkan wartawan disiasat di bawah Akta Hasutan. Wartawan yang berbekalkan fakta paling tepat sewenang-wenangnya dipersalahkan. Namun hal itu tidak berlaku ke atas media arus perdana.
Tidak menjadi kesalahan sekiranya mereka menggesa orang Melayu mengangkat parang mempertahankan hak daripada dirampas etnik Cina. Paling kuat, kerajaan mengeluarkan surat amaran. Oleh itu, wartawan tidak takut dengan sebarang akta, asalkan berita tersebut menguntungkan BN maka ia kebal daripada tindakan undang-undang.
Tindakan lain yang boleh dilakukan ke atas mereka adalah saman malu oleh individu yang dirugikan. Namun saman sekiranya bersalah bukan dibayar oleh wartawan, sebaliknya syarikat media. Syarikat media arus perdana beberapa kali hampir gulung tikar pada hujung 1990an dan awal 2000. Mereka diselamatkan mengunakan dana dari parti politik yang menjadi pemilik saham terbesar. Maka, rakyat sedia maklum dari sumber manakah media ini membayar saman bernilai jutaan ringgit.
Rasuah media
Wartawan media arus perdana juga sering didampingi pemimpin politik. Sekiranya pemimpin tertentu ingin bertanding jawatan parti atau ketika menghadapi pilihanraya, waktu itulah lubuk emas bagi para wartawan politik. Mereka akan dijamu makan dan diberi hadiah sewaktu membuat liputan. Wang saku beberapa ratus ringgit adalah perkara biasa. Malah ada yang dihantar bercuti keluar negara.
Sedangkan wartawan media alternatif tidak diperlakukan sedemikian. Pemimpin Pakatan Rakyat tidak digalakkan mempunyai hubungan rapat dengan wartawan. Hanya 10 peratus wartawan media alternatif dikenali oleh pemimpin parti. Bukan perkara lucu jika mereka tersalah sangka wartawan media parti adalah wartawan arus perdana. Juga perkara biasa pemimpin enggan menjawab soalan kerana tidak kenal seseorang wartawan. Dengan itu rasuah mustahil terjadi.
Akibat keterlaluan terdedah dengan gejala rasuah, maka timbul satu sindrom di kalangan para wartawan dan editor media arus perdana mengampu untuk mendapat sebanyak mungkin habuan. Pada ketikanya mereka 'membunuh?musuh politik lebih kejam daripada para pemimpin BN sendiri.
Sebab itu media di Malaysia mengalami keruntuhan etika yang parah. Wartawan di negara ini mungkin setaraf rakan sejawatan di negara komunis yang terkongkong. Demokrasi media hanya dibenar dipraktikkan di dalam rancangan gosip artis. Hanya program gosip membenarkan kedua-dua belah pihak berdebat dikaca tv secara telus.
Sedarlah para wartawan, setiap perkara yang dilaporkan akan menjadi beban fikiran kepada generasi akan datang. Sekiranya remaja dibekalkan berita lucah dan fitnah maka mereka akan membesar menjadi penzina dan pendusta.
Jangan jadikan pemimpin BN sebagai contoh, mereka meluluskan kelab hiburan yang dijadikan sarang aktiviti gay di Bukit Bintang kemudian menuduh PR mahu merubah undang-undang seksualiti. Pihak yang meluluskan lebih mulia daripada pihak yang menegur. Kelihatannya, 'nilai gila? inilah yang cuba disemai oleh para editor media arus perdana. |
Lantik Soi Lek jadi 'Presiden Umno', Mahathir dicabar Posted: 01 Mar 2012 03:02 AM PST Oleh: Wartawan Sinar Harian
SHAH ALAM – Penasihat DAP, Lim Kit Siang (gambar) mahu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang disifatkannya sebagai "lidah bercadang" agar menamakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai Presiden Umno.
"Ada dicadangkan agar respons kepada cadangan Tun Dr Mahathir bahawa saya sepatutnya dijadikan Presiden Pas, adalah sama ada Mahathir akan mengesyorkan agar Datuk Seri Chua Soi Lek menjadi Presiden Umno," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir ekoran Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang bersetuju jawatan Timbalan Presiden Pas dipegang oleh bukan Islam jika ada tuntutan dan keperluan.
"Apapun, kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan semua 'Tun serta anak dan cucu' mereka perlu disiasat ekoran dakwaan negara kehilangan RM100 bilion sepanjang 22 tahun pemerintahannya lebih menarik perhatian saya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen veteran ini berkata, semua Tun dari zaman Dr Mahathir seharusnya bersuara sama ada mereka bersedia menyokong penyiasatan penuh kehilangan wang ini sepanjang pemerintahan Perdana Menteri ke empat.
"Biarlah (bekas Perdana Menteri) Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa Hitam, Tun Daim Zainuddin, Tun Ling Liong Sik dan Tun Lim Keng Yaik bersuara sama ada menyokong atau tidak (penyiasatan ini)," katanya.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur turut mempersoalkan kenyataan Dr Mahathir sama ada ia melibatkan semua bekas Perdana Menteri termasuk anak mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan sekarang.
"Biarlah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercakap dan menjelaskan perkara ini, mereka berdua anak Perdana Menteri kedua dan ketiga," katanya.
|
Tumpu PRU13, jangan terperangkap titik bengik Posted: 01 Mar 2012 02:49 AM PST Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 1 Mac: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul soal perlantikan pimpinan dari kalangan bukan Islam dalam parti.
Ini, katanya kerana perlembagaan parti jelas memperuntukkan Islam sebagai syarat utama dengan menjadikan al-Quran, hadis, ijmak ulamak dan qias sebagai rujukan.
"Tidak mungkin seseorang yang tidak yakin dengan sumber rujukan parti akan dipilih sebagai pimpinan," ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap laporan media mengenai pandangan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad kelmarin, bahawa PAS bersedia menerima bukan Islam sebagai pemimpin barisan kedua parti sekiranya ia satu keperluan.
Namun kata Dr. Dzulkefly, perkara itu tidak timbul sekarang ini, dan jika sekalipun akan dilaksanakan, perkara itu perlu diputuskan dalam muktamar parti.
Justeru, Tuan Ibrahim menambah, PAS menyeru seluruh ahli memberikan fokus kepada persiapan Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) yang semangkin hampir.
"Jangan terperangkap dengan plot yang dirancang oleh musuh, tanpa kita sedari. Kerana terlalu banyak masa, tenaga dan tumpuan kepada titik bengik dalaman parti, sedikit sebanyak akan menjejaskan tumpuan Pilihan raya Umum," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.
|
Terjunamnya MAS dengan kerugian RM2.52 bilion Posted: 01 Mar 2012 02:40 AM PST KUALA LUMPUR, 1 MAC: Kerugian mengejutkan sebanyak RM2.52 bilion yang dialami oleh syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines (MAS) untuk tahun 2011 menjadi bukti salah urus dan model bisnes yang gagal.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, MAS sudah pun mula menjunam sejak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala meninggalkannya pada 2009, di mana keuntungan bersihnya telah merudum dari tahun ke tahun.
Katanya, MAS mencatatkan keuntungan RM490 juta pada tahun 2009 tetapi turun kepada RM234 juta pada 2010 tetapi rugi teruk RM2.52 bilion untuk tahun lalu.
"Kerugian yang dialami ini jauh berbeza dengan prestasi beberapa tahun lalu apabila Datuk Seri Idris Jala telah dilantik untuk memulihkan MAS sebagai CEO. Beliau dilantik pada tahun 2005 dan telah berjaya mencatatkan keuntungan RM850 juta pada tahun 2007 berbanding dengan kerugian RM1.3 bilion hanya 2 tahun sebelum itu.
"Datuk Seri Idris telah memulihkan MAS tetapi semua usahanya sudah sia-sia sekarang. Adakah kita memerlukan Datuk Seri Idris Jala untuk kembali menerajui kokpit MAS untuk menyelamatkannya?" tanya beliau.
Di samping kerugian yang teruk itu, simpanan tunai MAS telah dikurangkan menjadi separuh kepada RM1 bilion pada akhir tahun lepas daripada RM2.1 bilion pada akhir tahun 2010, sementara aset bersih telah menurun daripada RM3.5 bilion kepada RM1.1 bilion.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, MAS sudah tidak lagi terbang dengan bahan api tetapi hanya terbang dengan asap.
"Inilah warisan "piratisation" atau perompakan yang menyamar sebagai penswastaan dan kemudian pengambilalihan semula oleh kerajaan secara tidak keruan.
"Malah tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menyelamatkan MAS pada tahun 2001 dengan membayar dua kali ganda harga pasaran tidak dapat membantu. Kerajaan Persekutuan telah membayar RM1.8 bilion atau pun RM8 setiap saham kepada Tan Sri Tajudin Ramli walau pun harga pasaran pada masa itu hanya RM3.68 sesaham," tambah beliau.
Katanya, MAS tidak boleh menyalahkan keadaan ekonomi global yang kurang sihat kerana Singapore Airlines telah mencatatkan keuntungan untuk tahun lepas.
"Malah, jelasnya, kerajaan atau MAS tidak perlu mencari helah kerana syarikat penerbangan bajet tempatan Air Asia pun telah mengalahkan MAS dalam pelbagai segi.
"Kita hanya perlu melihat permodalan pasaran Air Asia yang bernilai RM10.1 bilion, berbanding MAS yang hanya bernilai RM4.8 bilion. Meski pun Air Asia hanya berumur satu dekad dan jauh lebih kecil dari segi operasi, ia bernilai lebih dua kali ganda dalam permodalan pasaran," ulasnya lagi.
Guan Eng turut menyoal, bagaimana syarikat penerbangan bajet yang mengenakan caj yang lebih rendah boleh lebih berjaya dan untung berbanding syarikat penerbangan yang mengenakan caj yang tinggi.
"Adakah ianya satu masalah model bisnes yang gagal atau pengurusan yang gagal, ataupun kedua-duanya?" tanya beliau lagi.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, adalah jelas bahawa cara untuk mengelakkan aset kebangsaan negara daripada terjunam dan mungkin terhempas adalah untuk menggunakan model bisnes baru.
Model baru itu perlu berdasarkan kepada prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus yang telah membawa kejayaan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang, tambahnya.
"Bukan sahaja kita berjaya meyakinkan dan menarik pelabur dan menjadi destinasi pelaburan pembuatan nombor satu di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut pada tahun 2010 dan 2011, Pulau Pinang juga telah mencatatkan lebihan bajet pada setiap tahun sejak 2008 dan telah mengurangkan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 95% daripada RM630 juta kepada RM30 juta," kata beliau.
Menurutnya, jika MAS terus menggunakan kaedah perancangan pusat dan membenarkan campur tangan politik yang membiakkan rasuah dan ketidak cekapan, syarikat penerbangan kebangsaan negara itu akan gagal lebih teruk lagi.
"Soalan yang ingin ditanya oleh rakyat Malaysia adalah siapakah yang akan bertanggungjawab untuk kerugian yang besar ini?
"Sudah tentu kerugian RM2.52 bilion oleh syarikat penerbangan kebangsaan kita ini tidak boleh diterima semua, terutamanya apabila sebab utama ia diselamatkan oleh kerajaan adalah untuk menyelamatkannya daripada masalah-masalah salah urus dan model bisnes yang lemah.
"Kerajaan mestilah mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab untuk kerugian yang besar ini dan mengambil tindakan ke atas mereka kerana itulah yang diharapkan oleh rakyat Malaysia," katanya. – Roketkini.com |
Hapuskan tol tidak akan jadikan Malaysia bankrap, kata Guan Eng Posted: 01 Mar 2012 02:38 AM PST BUTTERWORTH, 1 MAC: Malaysia tidak akan bankrap jika Pakatan Rakyat memansuhkan tol Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) dan Jambatan Pulau Pinang, malah rakyat akan menikmati kesan pengurangan beban ekonomi keluarga.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, yang akan menjadikan Malaysia bankrap adalah amalan rasuah yang berleluasa, selain penyalahgunaan kuasa dan kronisme yang melampau dalam kerajaan yang sepatutnya bertindak sebagai pengurus yang bijak.
Jelasnya, penghapusan tol NSE dan Jambatan Pulau Pinang oleh Pakatan Rakyat apabila memerintah nanti adalah perkara yang baik dan benar dari segi etika dan moral.
"Yang tidak berhati perut dan tidak adil kepada rakyat adalah hakikat bahawa syarikat-syarikat pengendali tol sedang mengaut keuntungan yang sangat tinggi walau pun kos pelaburan asal untuk pembinaan sudah habis dikutip," katanya dalam satu ucapan di Dewan Besar Sungai Dua, Teluk Air Tawar dekat sini semalam.
Ucapan itu adalah hujahnya untuk bagi acara debat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang telah dijemput datang tetapi gagal hadir.
Jelas Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, kos maksimum untuk memansuhkan tol NSE dan Jambatan Pulau Pinang adalah RM50 bilion di mana RM40 bilion untuk NSE dan lebihannya untuk Jambatan Pulau Pinang.
Sehubungan itu, katanya, dengan kos RM50 bilion itu, ia tidak akan menjadikan Malaysia bankrap.
"Malaysia mampu membayar RM50 bilion untuk memansuhkan tol Jambatan Pulau Pinang dan NSE tetapi tidak mampu menanggung rasuah yang berjumlah 100 bilion dolar Amerika (RM350 bilion).
"Laporan Global Financial Integriti telah menunjukkan bahawa sejumlah RM1,077 bilion wang haram telah dibawa keluar dari Malaysia dalam dekad yang hilang dek korupsi dari tahun 2000-2009," katanya.
Guan Eng berkata, melalui jawapan bertulis Parlimen kepadanya menunjukkan syarikat pengendali tol NSE telah mencatat lebihan kewangan sebanyak RM18,321 juta setakat 31 Disember 2010, iaitu lebih daripada pelaburan asal mereka, RM5945 juta.
"Adakah perlu lagi untuk syarikat tersebut untuk mengutip lagi banyak tol daripada rakyat apatah lagi untuk menaikkan kadar tol?
"Sepatutnya, dan jika diambil kira kepentingan rakyat, kutipan tol bagi NSE patut dihentikan serta merta memandangkan hasil kutipannya yang berjumlah RM18.3 bilion sudah pun tiga kali ganda pelaburan asal iaitu RM6 bilion," katanya.
Tambah Guan Eng lagi, rakyat Pulau Pinang tidak sepatutnya sentiasa dibebani tol sehingga tahun 2038, malah tol bagi jambatan Pulau Pinang dan BKE juga harus dihentikan serta merta.
Jelasnya Guan Eng, Nor Mohamed sebagai Menteri yang bertanggungjawab perlu menjelaskan bagaimana semakan semula dan pelanjutan konsesi tol Jambatan Pulau Pinang dari tahun 2021 hingga 2038 betul-betul boleh memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang.
"Semakan semula dan pelanjutan tempoh konsesi tol sehingga 2038 sebagai balasan pengecualian pampasan kerajaan sebanyak RM6.5 bilion telah dilakukan tanpa rundingan dengan rakyat dan hanya menguntungkan syarikat-syarikat pengendali tol sementara yang ruginya rakyat Pulau Pinang dan Malaysia," katanya. – Roketkini.com |
Skandal kehilangan RM100 bilion, siasat Mahathir- AMK Posted: 01 Mar 2012 02:36 AM PST Mar 1 2012 / Keadilan Daily (Oleh: Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR, 1 Mac: Angkatan Muda KEADILAN menggesa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang dikaitkan dengan skandal kehilangan wang pembayar cukai semasa pentadbiran beliau.
Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon merujuk pendedahan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa pembayar cukai kehilangan RM100 bilion selama selama 22 tahun pentadbiran Mahathir.
"SPRM perlu meminta kerjasama Tun Mahathir untuk memberi maklumat berkenaan dengan gejala rasuah yang berlaku semasa pentadbiran beliau untuk memastikan matlamat pembasmian rasuah tercapai," katanya dalam satu kenyataan.
Susulan kenyataan Kit Siang, Mahathir secara sinis mencadang kerajaan mengadakan audit penuh kepada penerima gelaran Tun semasa pentadbirannnya.
Mengulas lanjut, Khai Loon berkata, SPRM perlu bertindak lebih tegas terhadap pemerintah dan penjawat awam berpangkat tinggi supaya rasuah tidak berlaku dengan sewenang-wenangnya.
"Kita tidak mahu SPRM hanya berani mengambil tindakan ke atas ikan bilis dan membiarkan ikan jerung bermaharajarela," ujarnya.
|
Pendedahan Surat Dr.Mahathir Kepada Israel Posted: 01 Mar 2012 01:18 AM PST Pendedahan surat-surat yang ditulis Tun Dr Mahathir Mohammad kepada 3 Perdana Menteri Israel – Yitzhak Rabin, Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak mengesakan kebenaran dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membuktikan sikap kepura-puraan Dr Mahathir selama ini.
Ketika beliau sering tampil dengan imej luaran yang mengambil sikap keras dengan Israel dan memfitnah Anwar sebagai 'pro-Yahudi', secara senyap-senyap beliau mengambil pendekatan berbeza dengan pemimpin Zionis.
Kenyataan Anwar yang diserang oleh media UMNO-BN dibuat apabila disoal akhbar antarabangsa Wall Street Journalberkaitan dasar luar negara dan isu Palestin. Beliau menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi. Kemahuan ini merangkumi Baitul Muqaddis sebagai ibu negara Palestin, kepulangan pelarian Palestin, penghentian penerokaan tanah dan pengiktirafan negara Palestin yang merdeka oleh Israel.
Beliau juga mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati. Namun Anwar juga menolak hubungan diplomatik dengan Israel di dalam wawancara tersebut.
Mahathir pula bertemu dan berhubungan dengan PM-PM Israel dan menegaskan berulang kali keinginannya mengadakan hubungan antara Malaysia dengan Israel. Malah hasrat ini dilahirkan menerusi tulisan tangan di dalam suratnya kepada Yitzhak Rabin.
Sikap ini diteruskan oleh Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang melantik APCO sebagai perunding mereka. Antara penasihat APCO merupakan Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel.
Kerajaan Malaysia juga selama ini mengambil sikap berat sebelah di dalam isu Palestin dengan hanya mengiktiraf Fatah, tanpa mengambilkira Hamas yang telah dipilih rakyat Palestin. Ini membuktikan kerajaan UMNO-BN tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat dan Israel.
Pendedahan ini telah mengesahkan apa yang dikatakan KEADILAN selama ini. Mahathir dan Najib harus menghentikan kepuraan ini. KEADILAN akan terus menyokong usaha mencapai kedamaian berkekalan di Timur Tengah dan keadilan buat rakyat Palestin.
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL SETIAUSAHA AGUNG PARTI KEADILAN RAKYAT
|
Sultan Kelantan: ‘Jangan undang bencana’ Posted: 01 Mar 2012 01:08 AM PST KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak memainkan sentimen agama yang bakal mengundang bahaya kepada negara.
Titah baginda, polemik tentang agama harus diurus dengan cermat dan berhemah serta bijaksana kerana isu-isu berkaitan agama mampu membakar perasaan semua pihak.
"Jangan menyuarakan pendapat yang boleh membakar perasaan penganut agama lain yang akan mengundang perpecahan, perbalahan, permusuhan malah peperangan. Namun perkembangan mutakhir membimbangkan beta.
"Keharmonian di kalangan penganut agama yang berbeza semacam sedikit tercalar. Ini berlaku kerana ada pihak-pihak yang berkepentingan menangguk di air yang keruh," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kelantan Ke-12 Tahun 2012 di Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Baginda bertitah memang benar Islam adalah agama rahmat kepada seluruh manusia dan dasar pemerintahan Islam tidak sama sekali menolak kepentingan penganut agama lain.
"Beta ingin mengingatkan kepada semua pihak sama ada di kalangan umat Islam atau kalangan bukan Islam, dalam sebuah negara seperti Malaysia yang penduduknya berbilang kaum, berbilang anutan agama, setiap perkara itu perlu diambil kira agar tidak mengundang bencana," titah baginda.
Sultan Muhammad V turut menyentuh mengenai isu air dengan meminta kerajaan negeri Kelantan memberi perhatian terhadap usaha membangunkan strategi jangka panjang bagi pengurusan sumber air di negeri itu untuk memastikan bekalan air yang terjamin kepada seluruh rakyat.
Titah baginda, pelaksanaan projek-projek oleh Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd kini telah melibatkan kerja-kerja menaik taraf 11 buah loji rawatan air danpemasangan paip utama sepanjang 500 kilometer yang dijangka siap pada akhirtahun ini.
"Beta mendapat maklum bahawa jumlah penduduk yang menerima bekalan air bersih di negeri Kelantan telah bertambah hampir tujuh peratus pada 2011 berbanding pada tahun sebelumnya," titah baginda.
Baginda juga turut berharap agar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dapat dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa dalam tempoh masa terdekat.
"Pergerakan penumpang pada 2011 di lapangan terbang ini telah meningkat kepada kira-kira 1.13 juta penumpang.Jumlah pergerakan penumpang ini adalahyang tertinggi di antara lapangan terbang di Pantai Timur. Jumlah ini melibatkan penerbangan tiba dan berlepas secara puratanya adalah sebanyak 40 kali sehari," titah baginda.
Selain itu baginda juga berharap kemasukan pelaburan yang akan diterima Kelantan pada tahun ini akan meningkat dengan adanya kemudahan pangkalan bekalan di Tok Bali, Pasir Puteh yang dijangka siap tidak lama lagi.
Mengenai Tahun Melawat Kelantan pada tahun ini, baginda berharap Pusat Penerangan Pelancongan Negeri meneruskan promosi pelancongan sama ada di dalam dan luar negara."Komitmen pelbagai agensi kerajaan terutamanya pihak berkuasa tempatan amat diperlukan bagi mencapai sasaran kejayaan program pelancongan ini.
"Antara peranan penting yang boleh dimainkan pihak berkuasa tempatan itu ialah mewujudkan persekitaran yang bersih dan indah," titah baginda.
Persidangan Dewan Undangan Negeri ditetapkan selama dua hari bermula Ahad ini. – Bernama |
MP Sabak Bernam dipenjara 6 tahun, denda RM400,000 Posted: 29 Feb 2012 09:48 PM PST Oleh: NORAWAZNI YUSOF
SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen hari ini mengarahkan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri dan pembantu tadbirnya, Rosli Busro membayar denda RM400,000 setiap seorang bagi lapan pertuduhan yang disabitkan terhadap mereka.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh juga mengarahkan kedua-dua tertuduh dipenjarakan selama enam tahun bagi setiap kesalahan dan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh hukuman.
Beliau turut mengarahkan kedua-dua mereka menjalani hukuman penjara selama setahun bagi setiap hukuman denda sekiranya gagal membayar jumlah denda berkenaan. |
Masalah Azizan, demokrasi subur dalam PAS — Subky Latif Posted: 29 Feb 2012 09:27 PM PST 1 MAC — Syukur Datuk Seri Azizan Razak sebagai Menteri Besar menangguhkan angkat sumpah dua Exco Kedah yang belum bersedia menyambung khidmatnya setahun lagi. Beliau menangguhnya seminggu lagi sama ada kedua Exco itu sedia menyambung khidmat atau berundur.
Beliau tidak segera menggantikan dengan orang lain.
Tentunya Ustaz Azizan menggunakan demokrasi yang ada dalam partinya mendengar pandangan dan nasihat pihak lain antaranya PAS Pusat bagi menangani perkembangan demokrasi PAS di Kedah.
Apa pun perkembangan itu mengejutkan semua pihak apabila berlaku di saat PRU 13 sudah di ambang — mungkin esok atau lusa atau tahun depan. Tentulah semuanya bertanya apakah ia satu krisis atau sekadar memenuhi kehendak dan amalan demokrasi.
Dalam demokrasi semua orang menerima perlantikan, boleh menolak, boleh berundur, bersedia ditamatkan perkhidmatan, setuju disambung perkhidmatan, boleh menyatakan tidak setuju pada kerajaan dan boleh tidak bersetuju dengan Menteri Besar.
Sejak menjadi Menteri Besar tahun 2008 tidak pernah menangguh angkat sumpah mana-mana Exco dan tidak ada yang minta tangguh perlantikan perkhidmatannya. Exco yang ditangguhkan angkat sumpahnya itu baru beberapa bulan diangkat atau diangkat semula sudah jadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah oleh Ustaz Azizan.
Bukan Ustaz Hadi Awang atau Mursyidul Am minta mereka dijadikan Exco dan Timbalan Pesuruhjaya PAS. Azizan menggunakan demokrasi melantik mereka.
Orang tidak mahu mendengar jika perkembangan itu benda biasa dan bukan satu krisis dalam bentuk apa jua. Umno tentunya syok walau pun ia terkejut kerana Azizan dapat mengawal parti sejak menggantikan Ustaz Fadzil Noor sebagai Pesuruhjaya hingga dapat membentuk kerajaan dan dapat mengawal kerajaan dengan baik.
Penyokong Pakatan Rakyat dari jauh tentu cemas dengan kejadian itu, kerana kalau ia krisis, ia boleh mengurangkan peluang untuk menyambung kemenangan.
Umum berpendapat dengan gaya pimpinan dan pentadbiran Azizan, PAS dan Pakatan payah dikalahkan oleh Umno, tetapi boleh jatuh oleh masalah PAS sendiri. Jika kerajaannya tumbang bukan kerana Umno kuat dan berada pada jalan yang betul, tetapi kerana kejutan amalan demokrasi yang terbuka bebas dalam PAS.
Demokrasi yang ada dalam Umno menyebabkan ahli Umno takut kepada Umno dan takut kepada pemimpin Umno. Sekali pun mereka cah keting pemimpin-pemimpin mereka, tetapi ia dibaut diam-diam di belakang. Mereka tidak berani mengata Umno dan pemimpin di kedai kopi atau berterangan.
Mungkin kerana takut dicantas dan amat malang bagi ahli Umno kalau tidak termasuk dalam senarai orang-orang pemimpin parti.
Orang PAS tidak takut pada PAS dan tidak takut pada pemimpin. Mereka takut pada Allah saja. Tetapi mereka hormat parti dan hormat pemimpin. Demokrasi yang mereka faham disesuaikan dengan ajaran syura mereka digalakkan menegur apa yang dirasakan tidak tepat, dan membisu terhadap ketempangan adalah satu sikap salah dan tidak jujur.
Dalam suasana keterbukaan dan amalan demokrasi yang bebas itu orang PAS merasa bebas untuk memberi pandangan kedua tentang pentadbiran dan kepimpinan pemimpinnya. Orang kecil bebas bercakap tentang kerajaan, parti dan pimpinan sesuai dengan kedudukannya di kedai kopi dan sesama mereka.
Yang besar seperti Timbalan Pesuruhjaya di samping ada pandangannya yang tersendiri tentang perkara-perkara tentu bebas memutuskan untuk tidak menyambung perkhidmatan dalam kerajaan seperti yang dibenarkan oleh demokrasi dan politik terbuka.
Dua anggota Exco itu bertindak mengikut apa yang dibenarkan semangat perlembagaan dan oleh demokrasi. Cuma pimpinan pusat merasa perlu campur tangan. Apa jua keputusan seperti berundur dari Exco boleh ditimbang semula dan apa juga perbezaan pandangan sesama sendiri dibenarkan oleh demokrasi untuk diselesaikan secara perbincangan.
Azizan bersetuju menangguhkan angkat sumpah semula dua Exco itu kerana dia mahu semua ahli Exco berkhidmat hingga penggal sekarang tamat iaitu apabila DUN dibubarkan bagi pilihan raya baru. Seluruh ahli PAS Kedah yang susah payah menegakkan kerajaannya sekarang dan yang pertama baginya tidak mahu kejadian itu menyebabkan ia tidak dapat menyambung kemenangan.
Sejak jadi Menteri Besar inilah ujian besar baginya. Dia diperhatikan bagaimana dia dapat menggunakan kebijaksanaannya menggagalkan Umno mendapat manfaat atas isu itu. — harakahdaily.net |
'Mana-mana Muslim soleh boleh pimpin Pas' Posted: 29 Feb 2012 08:37 PM PST Oleh: Wartawan Sinar Harian
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan sesiapa sahaja yang "beragama Islam yang soleh" boleh memimpin Pas, tidak kira kaum atau bangsa.
"Saya ingin mengulangi penegasan saya bahawa sesiapa sahaja yang merupakan Muslim yang soleh boleh memimpin Pas sekalipun bukan berbangsa Melayu kerana bangsa tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi ALLAH SWT," kata beliau menerusi Facebook hari ini.
Sehubungan itu kata beliau, untuk apa berbangsa Melayu jika masih mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan kejahilan terhadap undang-undang ALLAH SWT?
Tanpa merujuk kepada nama, Menteri Besar Kelantan berkata, beliau juga bersimpati dengan salah seorang bekas pemimpin negara yang "rupanya masih meraba-raba."
Dalam ulasannya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kesediaan Pas untuk melantik Timbalan Presiden daripada kalangan bukan Islam sebagai 'langkah terbaik'.
Justeru beliau menyindir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sepatutnya dilantik menjadi Presiden Pas.
"Dulu Pas kata kita kafir, sekarang mereka nak terima orang bukan Islam sebagai pemimpinnya.
"Dulu Pas kata kita kerjasama dengan kafir. Setakat mana pemimpin bukan Islam dalam Pas? Sepatutnya, Lim Kit Siang menjadi Presiden Pas kerana beliau rakyat Malaysia yang mengutamakan Islam," katanya merujuk kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad kelmarin, berpendapat bahawa Pas bersedia menerima seorang Timbalan Presiden daripada kalangan bukan Islam sekiranya ia satu keperluan dan ada tuntutan seperti yang dilakukan parti Ikhwanul Muslimin di Mesir.
Dzulkefly berkata, dalam Islam terdapat dua perkara iaitu perkara tetap dan perkara yang boleh berubah. Contoh perkara yang boleh berubah ialah perkara politik. |
Panas! Umno Semakin Tertekan Di Kelantan. Guru-Guru Daerah Tumpat Di Paksa Ke Majlis Najib! Posted: 29 Feb 2012 06:00 PM PST apa nak jadi? bukti sudah nyata yang Parti Umno BN memaksa guru-guru hadir ke Majlis Najib.
sampai bila nak jadi balaci?
kempen sampai bendera parti masuk dalam sekolah?
dengan tanpa rasa bersalah!
gambar ini diambil di salah sebuah sekolah dalam Daerah Tumpat |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan