Kelab Greenboc |
- Jenazah Dirang Selamat Dikebumikan
- Khairy Dikecam Persoal Wartawan Buat Liputan Keluarga Dirang
- Apa Kejadah Kos Majlis Pertunangan Hampir Setengah Juta, Wasatiyyah?
- Benarkah Dirang Dibunuh Pada Hari Hilang? Ada Hal Yang Meragukan!
- [Bergambar & Video] Papan Iklan Mydin USJ Terbakar
- [Bergambar] SMS Ugut Ibu Dirang & Lokasi Dirang Dibunuh Didedahkan
- Rafidah Belasah Shahrizat: "Apa Berundur? Memang Dah Tak Jadi Menteri Lagi 8 April!"
- [WASPADA] Ada Ulat Dalam Mi Kari
- [WASPADA] Lolipop Berpendafluor Mengandungi Racun
- [Bergambar] TG Nik Aziz Hadiri Majlis Perkahwinan Malek Nor & Dr Wan Asma
- Suspek Kes Bunuh Dirang Akan Didakwa
Jenazah Dirang Selamat Dikebumikan Posted: 14 Mar 2012 01:19 AM PDT Pasir Gudang -- Jenazah kanak-kanak mangsa bunuh dan bakar Nurul Nadhirah Abdullah, 5, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai kira-kira 1.30 tengah hari ini. Jenazah kanak-kanak malang yang juga dikenali sebagai Dirang itu dituntut oleh keluarganya di Hospital Sultanah Aminah kira-kira pukul 11.45 pagi selepas selesai urusan memandi dan mengkafan dilakukan oleh Majlis Agama Islam. Jenazah kemudian disembahyangkan di Masjid Al Muhajirin Masai sebelum dibawa menaiki van jenazah menuju ke tanah perkuburan berkenaan dengan diiringi oleh ibunya, Roselyn Alan, 25, dan datuknya Alan Alip, 49, serta beberapa orang jiran. -SH Bapa kandung Dirang dibawa ke rumah mayat HSA Seperti separuh nyawa disedut |
Khairy Dikecam Persoal Wartawan Buat Liputan Keluarga Dirang Posted: 13 Mar 2012 11:50 PM PDT Kelab Media kecam kenyataan Khairy SENAI – Kelab Media Johor mengecam kenyataan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam laman twitternya, yang seolah-olah tidak memahami tugas dan tanggungjawab pengamal media dalam melaporkan kisah kanak-kanak malang, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang ditemui, semalam. Presidennya, Mohamad Fauzi Ishak berkata, sudah menjadi tanggungjawab pengamal media untuk melaporkan pelbagai jenis berita yang mempunyai nilai yang tersendiri sekali gus membimbing khalayak ramai dijadikan pengajaran pada masa hadapan. Menurutnya, tujuan pengamal media melaporkan berita bukanlah sekadar untuk mengaibkan individu tertentu sebaliknya menyampaikan maklumat berguna demi kepentingan semua pihak seterusnya menyampaikan saluran maklumat yang berguna. "Kenapa sekarang nak timbul isu bahawa kami (pengamal media) sibuk melaporkan berita Dirang telah ditemui? Bahkan sebelum ini, banyak lagi kes lain yang pernah kami turut laporkan. Kesemuanya dilaksanakan demi tuntutan kerja kami atas tunjang menggalas amanah yang diberikan. "Banyak lagi kisah menyayat hati turut kami laporkan sebelumnya. Kesemuanya mempunyai nilai berita yang dikeluarkan dengan penulisan dan laporan yang beretika dan sebenarnya bertujuan menyampaikan maklumat kepada orang ramai. "Secara tidak langsung, kami (pengamal media) menjadi medium membantu menyelesaikan siasatan polis. Kami turut menyebar maklumat kepada orang awam agar mereka lebih peka kepada isu dan perkembangan semasa. Bagaimanapun cuba fikir perkara ini dari sudut positif pula," katanya kepada Sinar Harian. Khairy dalam laman twitternya mengeluarkan kenyataan "tak faham kenapa perlu ada media dan jurugambar yang merakam reaksi keluarga Nurul Nadirah bila diberitahu mayatnya dijumpa. Baru keluar berita" yang seolah-olah menidakkan tugas sebenar pengamal media. Mohamad Fauzi turut meluahkan perasaan sedihnya ke atas nasib kanak-kanak malang yang tidak berdosa itu apabila dijumpai dalam keadaan yang menyayat hati setelah usaha mencarinya dilakukan 11 hari. "Saya selaku wakil media Johor merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Dirang. Harap keluarnya dapat banyak-banyak bersabar dan saya percaya apa yang berlaku itu pasti ada hikmah yang tersendiri. "Saya turut mengingatkan ibu bapa yang lain agar lebih memberi perhatian kepada anak-anak masing," katanya yang memberitahu bahawa Kelab Media turut bakal menyalurkan bantuan berupa wang tunai kepada keluarga Dirang dalam masa terdekat ini sebagai meringankan beban mereka. -SH |
Apa Kejadah Kos Majlis Pertunangan Hampir Setengah Juta, Wasatiyyah? Posted: 13 Mar 2012 10:47 PM PDT .Kos bertunang: Inikah makna wasatiyyah Najib? - Mohd Azmi Abdul Hamid Teras Pengupayaan Melayu (Teras) amat terkejut dengan pendedahan isu PM , Datuk Seri Najib berbelanja mewah untuk majlis pertunangan anaknya baru-baru. Kini terdapat dua persoalan dalam isu pembiayaan majlis pertunangan anak PM baru-baru ini. Pertama, adakah benar PM telah mengguna wang rakyat untuk membiayai majlis pertunangan anaknya. Pihak Hotel mengatakan bil bernilai RM409,767 itu memang dicatat atas nama PMO (Prime Ministers Office). Walaupun telah dijelaskan bahawa keluarga PM yang membayar bil itu, pertanyaannya kenapa pula bil itu tidak ditulis atas nama peribadi beliau atau keluarga beliau dan dihantar kepada rumah rasmi PM, jika ini urusan peribadi? Kedua, inikah teladan seorang pemimpin yang beria-ia mengujudkan sebuah institusi bernama institut wasatiyyah untuk menyampaikan kempen kesederhanaan kepada seluruh dunia dalam semua aspek kehidupan, tetapi berbelanja super mewah mencecah RM409,767 hanya bagi sebuah majlis pertunangan seorang anaknya. Teras amat terkejut dengan pendedahan mengenai perbelanjaan yang begitu tinggi dikeluarkan oleh PM untuk majlis tersebut. Apakah mesej yang dapat dibaca oleh rakyat yang umumnya maseh bergelut mencari wang untuk menyekolahkan anak, membanting tulang menampung kos hidup yang semakin meningkat, nelayan yang menyabung nyawa mencari rezeki di tengah laut, pemandu teksi yang mengagah diri mengekang mata untuk mencari pendapatan sehingga lewat malam?. Apa erti semuanya ini kepada rakyat bagi PM yang dengan begitu mudah sanggup berbelanja dan mampu berbelanja sedemikian mewah? Inikah yang PM mahu tunjuk kepada rakyat maksud beliau dengan retorik bahwa "rakyat diutamakan"? Cukupkah dengan memancing rakyat dengan BR1M berjumlah RM500 dan rakyat tidak boleh mempersoalkan bagaimana PM boleh berbelanja mewah untuk majlis pertunangan anaknya? Sebagai pemimpin yang tahu benar keadaan kehidupan rakyat kini bukan dalam keadaan yang selesa, kenapa pula PM sanggup menunjukkan kemewahan dalam majlis sebegini, sungguhpun majlis itu dikatakan dibiayai secara peribadi oleh wang keluarganya? Soalnya inikah contoh pemimpin Islam yang hendak ditunjukkan kepada rakyat? Teras sema sekali tidak boleh menerima malah membantah pemimpin-pemimpin yang ghairah berbelanja mewah dalam kehidupan peribadi mereka. Bukan sahaja ini akan menimbulkan persoalan dikalangan rakyat, malah Islam sema sekali melarang berbelanja secara membazir dalam majlis-majlis peribadi mereka. Isunya bukan soal melibatkan wang peribadi semata-mata. Malah isu lebih besar kenapakah PM boleh berbelanja besar dari wang yang mahu tidak mahu akhirnya berpunca dari wang rakyat juga, yang membayar upah kepada beliau kerana bekerja sebagai PM. Di tingkat jawatan nombor 1 dalam negara, sudah pasti seorang PM tidak boleh hanya beralasan bahawa ini wang peribadinya, dan oleh itu beliau boleh hidup mewah dan menonjol-nonjolkan kemewahan keluarganya. Teras ingin mengingatkan, inilah antara punca kebangkitan rakyat di Asia Barat yang telah menjatuhkan pemimpin-pemimpin mereka akibat tidak lagi dapat menerima gaya hidup keluarga pemimpin yang serba mewah, sedangkan rakyat berkais-kais pagi, petang dan malam untuk hidup. Tidakkah terlintas dibenak PM dan konco-konco beliau yang mempertahankan hak beliau untuk mengeluarkan wang peribadinya berbelanja sedemikian mewah walhal rakyat akan memendam rasa yang sedikit demi sedikit akan akhirnya bakal meledak kerana ini jelas suatu kepincangan hidup antara pemimpin dan rakyat? Teras juga menarik perhatian bahawa, ketika mana PM berbelanja sakan hanya buat sebuah majlis pertunangan, jurang antara kelompok kaya miskin di negara ini direkodkan dengan gini indeks yang tinggi iaitu 0.4-0.5. Bermakna PM berbelanja mewah di tengah-tengah rakyat jelata berpendapat sederhana dan rendah berjuang untuk hidup sekedar memenuhi keperluan yang minima untuk hidup. Kami sangat kecewa dan kesal dengan kemewahan hidup pemimpin negara yang seolah-olah tidak sensitif dengan perasaan rakyat. Berbelanja mewah oleh PM itu tidak akan diterima sama sekali sebagai suatu kebanggan rakyat. Malah ia amat melukakan hati rakyat marhaen. Di tengah-tengah gejolak isu kepincangan projek penuh persoalan seperti isu NFC bernilai RM250 juta, isu penyenaraian aset Felda dalam pasaran saham yang penuh ketidaktentuan, isu kepincangan PKFZ yang melibatkan lebih RM4 bilion, tiba-tiba rakyat berputih mata menyaksikan PM bermewah-mewahan dalam majlis pertunangan anaknya. Bukankah ini suatu yang janggal dan memedihkan hati rakyat? Kemarahan rakyat Asia Barat telah menyaksikan satu demi satu kemewahan hidup ahli-ahli keluarga pemimpin didedahkan. Mungkin di peringkat awal tidak ada siapapun yang berani bangkit mempersoalkan kemewahan hidup pemimpin, akan tetapi bila kesabaran rakyat sudah sampai kemuncaknya, ledakan amarah rakyat telah menyaksikan satu demi satu pemimpin tumbang. Teras mengingatkan supaya pemimpin negara jangan terperangkap dengan keghairahan berbelanja mewah kerana tanda-tanda rakyat resah dan semakin marah sudahpun jelas. Rakyat faham betul kepincangan yang berlaku adalah gara-gara pemimpin-pemimpin yang tidak menghiraukan perasan rakyat yang cuba diperbodohkan dengan berita-berita serba muluk, padahal sakit dan tertekannya rakyat akan akhirnya dilampiaskan dalam bentuk kemarahan yang akan diterjemah persis gelombang kebangkitan yang tidak boleh dikekang lagi. Penulis ialah Presiden Teras. Majlis tunang anak: PM tetap salahguna kuasa, kata PKR klik untuk baca |
Benarkah Dirang Dibunuh Pada Hari Hilang? Ada Hal Yang Meragukan! Posted: 13 Mar 2012 09:00 PM PDT Dirang dibunuh pada hari hilang JOHOR BAHRU – Nyawa Nurul Nadirah Abdullah yang lebih mesra dipanggil Dirang, diragut secara kejam apabila mangsa dipercayai dicekik sampai mati sebelum mayat kanak-kanak malang itu dimasukkan ke dalam lubang dan dibakar di kawasan perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini. Milnah (baju putih) bersama ahli keluarga sedih melihat lubang tempat mayat Dirang (gambar kecil) dibakar di Nusa Damai, Masai, Johor Bahru semalam. Satu sumber berkata, seorang daripada empat suspek yang ditahan mengaku membunuh Dirang, 5, dengan cara mencekik mangsa sebaik sahaja kanak-kanak itu diculik ketika keluar dari rumah seorang diri di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini. Ketika itu mangsa hendak pergi ke kedai. Selepas mangsa sudah tidak bernyawa, mayat Dirang dibawa ke kawasan rumah terbengkalai kira-kira lima kilometer dari rumah mangsa dan dibakar. Sumber itu memberitahu, suspek yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa mendakwa dia bertindak demikian kerana dendam selepas pernah dihina dan dipandang rendah oleh nenek mangsa. "Dirang terus dibunuh dan dibakar pada hari dia hilang pada 1 Mac," kata sumber itu. Nik Aziz: 'Pihak bunuh Dirang lebih kejam dari binatang' Ulasan GB Ada beberapa persoalan yang timbul. Jika Dirang dikatakan dicekik dan dibakar pada hari beliau hilang, bagaimana pula wujud SMS yang datang dari Kota Bahru mengugut ibu Dirang menuntut sebanyak RM30,000? Dirang dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012, Khamis. Jika tarikh itu dikatakan Dirang dicekik dan dibakar, kenapa pula SMS itu menuntut bayaran supaya wang dihantar pada hari Ahad (4 Mac 2012)? Tak mungkin, SMS itu bermaksud Ahad sebelumnya (26 Februari 2012) kerana pada tarikh berkenaan Dirang belum hilang! Kebenaran itu masih tersembunyi. Marilah kita berdoa lagi serupa dengan doa-doa dahulu, semuga Allah mendedahkan kebenaranNya: 1) Allahumma arinal haqqa, haqqa, warzuqnattiba'ah, wa arinal bathila bathila, warzuqnajtinabah Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya. 2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathilu innal bathila kana zahuqan Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. Berdoa sedemikian lebih utama daripada mengikut persangkaan kita semata-mata. Muga Allah beri petunjuk yang sebenarnya kepada kita semua dan dihukum pembunuh kejam berkenaan tak kira apa motif dan siapa pelakunya. Terdahulu, Roselyn ketika ditemui tengah hari, berkata dia menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang wanita yang tidak dikenali mengugut akan membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sehingga RM30,000. klik untuk baca |
[Bergambar & Video] Papan Iklan Mydin USJ Terbakar Posted: 13 Mar 2012 07:00 PM PDT Petaling jaya — Kebakaran papan iklan di bahagian atas pasar raya besar Mydin USJ Subang Jaya dekat sini, awal malam ini menyebabkan kira-kira 3,000 pelanggan dan 600 kakitangan bergegas menyelamatkan diri dari premis tiga tingkat itu. Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu juga menyebabkan operasi pasar raya itu ditamatkan empat jam awal untuk memastikan tiada ancaman bahaya kepada orang ramai. Seorang juruwang pasar raya berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Mazlan berkata, semasa kebakaran beliau sedang melayan pelanggan sebelum terdengar orang ramai berteriak dan berlari keluar. "Saya dengar ramai pelanggan menjerit "api, api" sebelum mereka semua berlari keluar dan berkumpul di tempat letak kereta," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian. Beliau berkata kira-kira sejam kemudian, selepas api dipadamkan pihak Bomba dan Penyelamat, semua kakitangan dibenarkan masuk untuk menyelesaikan kerja masing-masing sebelum dibenarkan pulang. Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kebakaran itu hanya melibatkan tingkat atas premis berkenaan namun turut menyebabkan kerosakan pada tingkat dua dan tiga. "Tingkat dua dan tiga merupakan ruang pejabat dan kerugian dianggarkan bernilai RM5 juta termasuk kerosakan perabot dan permaidani yang basah dengan air," katanya ketika dihubungi malam ini. Jurucakap Balai Bomba Subang Jaya ketika dihubungi pula berkata, panggilan mengenai kebakaran itu diterima 7.12 malam sebelum ia dikawal pada 7.40 malam. Dua jentera dan 10 anggota bomba dari Balai Bomba Subang Jaya digegaskan ke tempat kejadian. — BERNAMA Pasar Raya Mydin Di Subang Jaya Ditutup Selepas Terbakar Sumber foto: Rencam. Terima kasih kepada semua pemilik asal foto-to berkenaan. |
[Bergambar] SMS Ugut Ibu Dirang & Lokasi Dirang Dibunuh Didedahkan Posted: 13 Mar 2012 04:38 PM PDT Polis mahu cekup wanita ugut ibu Dirang PASIR GUDANG - Polis Johor mahu mendapatkan kerjasama rakan mereka dari Kelantan untuk "mencekup" seorang wanita yang menghubungi ibu kanak-kanak Nurul Nadhirah Abdullah, yang diculik dan semalam disahkan dibakar, dengan menelefon dan menghantar SMS berbaur ugutan meminta wang tebusan. Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff di sini, hari ini. Ibu mangsa, Roselyn Alan, 25, dilaporkan menerima panggilan dan SMS daripada seorang wanita tidak dikenali dari Kelantan, semalam. Mohd Mokhtar berkata, pihaknya telah berhubung dengan polis negeri itu bagi membantu menyiasat kes tersebut. "Kita minta bantuan polis Kelantan untuk cekup individu itu, kesan dia dan bawak dia ke Johor," katanya. Roselyn sebelum ini dilaporkan menerima panggilan telefon dan SMS daripada seorang yang tidak dikenali mengugut untuk membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sebanyak RM30,000. Polis semalam mengesahkan mayat rentung yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai dekat sini pada Khamis lalu sebagai Nurul Nadhirah setelah mendapat keputusan hasil ujian asid Deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia. Nurul Nadhirah hilang pada 1 Mac lalu ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit di kawasan kediamannya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengunjungi keluarga Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam Pasir Gudang di sini hari ini. Sambil menyifatkan individu yang terlibat dalam kes bunuh dan bakar kanak-kanak itu sebagai penjenayah kejam, berhati binatang dan tidak berperikemanusian menyiksa insan kerdil yang tidak berdosa, beliau menegaskan suspek yang terlibat akan dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin. Katanya, tiga daripada empat suspek termasuk seorang wanita berumur 30 hingga 40 tahun itu didapati positif dadah jenis metamphetamine dan ice manakala dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan dadah dan curi. -SH
klik untuk baca |
Rafidah Belasah Shahrizat: "Apa Berundur? Memang Dah Tak Jadi Menteri Lagi 8 April!" Posted: 13 Mar 2012 08:36 AM PDT Rafidah: Shahrizat tak korban untuk Umno, negara Bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz membidas Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dengan mendakwa menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat itu tidak membuat sebarang pengorbanan sebenar dalam mengumumkan yang beliau akan 'meletakkan jawatan'. Bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa itu berkata tempoh jawatan menteri yang dipegang oleh Shahrizat akan luput pada hari lantikannya sebagai senator berakhir pada 8 April. Justeru, katanya pengumuman Shahrizat pada Ahad lalu langsung tidak membawa sebarang makna. "Berundur? Apa berundur...? Tidak timbul isu berundur atau meletakkan jawatan! Tidak ada apa-apa untuk berundur kerana secara sah beliau tidak lagi menjadi menteri pada 8 April... "Jadi, sebenarnya, tiada langsung pengorbanan kerana ia hanya satu urutan peristiwa," kata Rafidah yang dipetik akhbar Malay Mail hari ini. Semalam, pemimpin BN termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji pada Shahrizat kerana membuat pengorbanan besar "dengan mengumumkan bahawa beliau akan 'meletakkan jawatan' apabila tempohnya sebagai senator berakhir. Rafidah, antara pemimpin paling awal mendesak Shahrizat untuk berundur dari kabinet, berkata keengganan Shahrizat meletakkan jawatan semasa tempohnya sebagi senator masih sah telah mencemarkan nama baik Umno dan kerajaan. Menurutnya lagi, keputusan Shahrizat untuk terus memegang jawatan Ketua Wanita Umno akan turut menimbulkan masalah. -mk |
[WASPADA] Ada Ulat Dalam Mi Kari Posted: 13 Mar 2012 06:29 AM PDT Ipoh - Seorang ahli perniagaan yang sedang menikmati malam di sebuah restoran kopitiam di bandar raya ini tergamam selepas menemui seekor ulat di dalam hidangan yang dipesannya, malam kelmarin. Ziyad Solleh, 26, mendakwa kejadian itu berlaku semasa dia bersama rakan-rakan berkunjung ke restoran berkenaan kira-kira jam 7.30 malam. Beliau mendakwa selepas hampir selesai menikmati juadah mi kari kering itu, dia terlihat seekor ulat sepanjang 2.5 sentimeter di dalam pinggan hidangannya. "Selepas melihat ulat itu, tekak saya mula berasa loya dan hampir muntah kerana ia sangat menjijikkan," katanya yang menetap di Kuala Lumpur. Akibat tidak berpuas hati, Ziyad segera memanggil pengurus restoran untuk menyelesaikan masalah itu. "Malangnya, hanya penyelia restoran sahaja yang muncul dan menyatakan pengurus mereka sudah pulang ke rumah. Penyelianya pula hanya memohon maaf di atas kecuaian tersebut dan tanpa melakukan apa-apa tindakan," katanya yang kesal dengan perkhidmatan diberikan kakitangan restoran tersebut. Dalam keadaan tidak puas hati, beliau terus mendesak supaya pengurus restoran tampil memberi penjelasan. Akhirnya pengurus restoran terbabit datang semula dan selepas berbincang, mereka tidak mengenakan sebarang caj ke atas makanan yang di pesan Ziyad dan rakan-rakannya. "Bukan niat kami mahu mengaibkan mana-mana pihak, cuma berharap mereka dapat pengajaran dan ambil iktibar daripada insiden itu. Premis yang menjual makanan perlu mengekalkan tahap kebersihan dan keselamatan supaya kejadian seperti yang saya alami ini tidak berlaku lagi ," katanya. Untuk rekod, dua tahun lalu, seorang penuntut sebuah kolej memfailkan saman terhadap dua syarikat yang berkaitan dengan sebuah restoran kopitiam terkemuka di Bandar Bukit Tinggi, Klang selepas mendakwa menemui sepasang kaki katak dalam makanan yang dipesannya. |
[WASPADA] Lolipop Berpendafluor Mengandungi Racun Posted: 13 Mar 2012 05:29 AM PDT Kuala Lumpur - Kerajaan mengenakan larangan bagi kemasukan sejenis gula-gula lolipop kerana dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam. Gambar: S.M. MOHAMED menunjukkan lolipop yang disekat kemasukannya ke negara ini kerana dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya pendafluor di Pulau Pinang baru-baru ini. Beliau berkata, pihak kementerian telah pun meningkatkan kawalan di pintu masuk negara untuk menghalang kemasukan lolipop pendafluor itu. "Bahan itu kini diletakkan pada tahap 5 iaitu pengimportannya diletakkan di bawah syarat kebenaran sebelum diletakkan pada tahap 6 iaitu gula-gula berkenaan langsung tidak dibenarkan dibawa masuk," katanya selepas merasmikan Karnival Kesihatan Jom Sihat di Kolej Tunku Abdul Rahman di sini semalam. Beliau percaya lolipop itu dibawa masuk dari luar negara kerana serbuan pihak penguat kuasa di alamat pengeluar yang tertera pada pembungkus gula-gula tersebut didapati palsu. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini menggesa kerajaan mengharamkan penjualan gula-gula lolipop pendafluor kerana didakwa mengandungi bahan kimia berbahaya. Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, bahan kimia yang terkandung pada batang pendafluor itu sangat berbahaya tetapi ia menjadi kegilaan kanak-kanak. -kosmo |
[Bergambar] TG Nik Aziz Hadiri Majlis Perkahwinan Malek Nor & Dr Wan Asma Posted: 13 Mar 2012 04:34 AM PDT Mursyidul Am PAS, Tuanguru Nik Abdul Aziz berkesempatan memenuhi jemputan majlis kesyukuran perkahwinan Dr Wan Asma Wan Ismail bersama pasangannya Malek Nor di Hotel Renaissance, Kota Bharu semalam. TG Nik Aziz berharap semoga kedua-dua pasangan ini dikurniakan kebahagiaan yang berpanjangan dan diberkati oleh Allah SWT, demikian kenyataannya di dalam facebook. Bekas ahli bina badan negara Datuk Malek Noor, 56, dengan sekali lafaz selamat bergelar suami kepada Pakar Pediatrik, Dr Wan Asma Wan Ismail, 52. Dr Wan Asma mempunyai tujuh orang anak berusia 11 hingga 30 tahun serta empat orang cucu dan sudah tiga tahun hidup sebagai ibu tunggal manakala Malek memiliki seorang anak angkat iaitu Nik Nuramalin Aisyah Nik Mahmud berusia 2 tahun Kedua-dua pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Wan Ismail Wan Ahmad,87, di kondominium, Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini kira-kira pukul 11 pagi, Isnin. Dr. Wan Asma bertugas di Hospital KPJ Pakar Perdana, Kota Bharu manakala Malek atau nama sebenarnya Abdul Malek Mohamaed Noor kelihatan berseri-seri dengan pakaian sedondon berwarna putih gading. Malek melahirkan rasa syukur di atas ikatan yang terbina dan berharap ia adalah perkahwinan pertama dan terakhir baginya. "Ketika menunaikan umrah 12 Mac tahu lalu saya memohon kepada Allah agar mempertemukan jodoh dengan wanita yang solehah, dan alhamdulillah dimakbulkan. "Hari ini dipilih bersempena dengan tarikh tersebut," katanya selepas majlis akad nikah berkenaan yang diadakan kira-kira jam 11 pagi. Pada perkahwinan tersebut pengantin lelaki hanya menghadiahkan senaskhah al-Quran sebagai mas kahwin tanpa wang hantaran disertai lima dulang hantaran berbalas sembilan daripada pengantin perempuan. Tiada wang hantaran kerana Dr.Wan Asma kata, beliau tidak memerlukannya kerana dia sudah ada segalanya. Alhamdulillah. Semoga perkahwinan tersebut berkekalan hingga ke akhir hayat. Sumber foto: Pelbagai (google images) - terima kasih kepada pemiliknya. |
Suspek Kes Bunuh Dirang Akan Didakwa Posted: 13 Mar 2012 02:43 AM PDT Pasir Gudang - Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata polis sedang berusaha menyiapkan kertas siasatan kes bunuh dan bakar kanak-kanak malang Nurul Nadhirah Abdullah, 5, secepat mungkin bagi membolehkan suspek kes itu dihadapkan ke mahkamah dengan segera. Beliau berkata polis sedang menunggu beberapa lagi laporan daripada Jabatan Kimia untuk menyiapkan kertas siasatan itu sebelum dikemukakan kepada pihak Pendakwa Raya untuk tindakan. "Saya telahpun mengarahkan timbalan saya Datuk Ismail Yatim yang mempengerusikan pasukan khas bagi menyiasat kes ini untuk siapkan kertas siasatan secepat mungkin," katanya kepada pemberita ketika mengunjungi keluarga Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam Pasir Gudang di sini hari ini. Sambil menyifatkan individu yang terlibat dalam kes bunuh dan bakar kanak-kanak itu sebagai penjenayah kejam, berhati binatang dan tidak berperikemanusian menyiksa insan kerdil yang tidak berdosa, beliau menegaskan suspek yang terlibat akan dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin. Katanya tiga daripada empat suspek termasuk seorang wanita berumur 30 hingga 40 tahun itu didapati positif dadah jenis metamphetamine dan ice manakala dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan dadah dan curi. Dalam kunjungan yang turut disertai oleh isterinya, Datin Bibi Zakiah Meraslam itu, Mohd Mokhtar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian tragis dan menyayat hati itu. Beliau berkata kejadian itu harus dijadikan iktibar dan masyarakat digesa supaya mengawasi anak-anak supaya tidak terdedah kepada ancaman keselamatan. "Saya juga minta masyarakat berwaspada jika terlihat karektor mencurigakan," katanya. Mengenai panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang diterima oleh ibu mangsa, Roselyn Alan, 25 daripada seorang wanita tidak dikenali dari Kelantan semalam, Mohd Mokhtar berkata pihaknya telah berhubung dengan polis negeri itu bagi membantu menyiasat kes tersebut. "Kita minta bantuan polis Kelantan untuk cekup individu itu, kesan dia dan bawak dia ke Johor," katanya. Roselyn sebelum ini dilaporkan menerima panggilan telefon dan SMS daripada seorang yang tidak dikenali mengugut untuk membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sebanyak RM30,000. Polis semalam mengesahkan mayat rentung yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai dekat sini pada Khamis lalu sebagai Nurul Nadhirah setelah mendapat keputusan hasil ujian asid Deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia. Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang hilang pada 1 Mac lalu ketika keluar membeli mee segera dan telur di kedai runcit di kawasan kediamannya. - Bernama Ibu Dirang tidak akan maafkan pembunuh klik untuk baca |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan