Kelab Greenboc |
- Surendran: Hukuman Terhadap Imam Hoslan Tidak Wajar
- Van, Kereta Bertembung, 10 cedera
- Siapa Si Tanggang Tinggalkan Ibunya Di Hotel Bajet?
- [Bergambar & Video] Hujan Berterusan 4 Jam 45 Minit Banjirkan KL
- Ini Buktinya NFC Ada Urusniaga Di Kazakhstan - Najib Sendiri Saksi MOU Dimeterai
- Negeri Dikuasai Pakatan Terima Pelaburan Paling Tinggi, Kedah Tempat Ke 5
- Lagi Kes Kereta Meletup & Terbakar
- Bantu Cari Adik Nurul Nadirah, 5 Tahun Yang Hilang
Surendran: Hukuman Terhadap Imam Hoslan Tidak Wajar Posted: 08 Mar 2012 11:40 PM PST SSaya merujuk kepada hukuman satu tahun penjara yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan terhadap Hoslan Hussain hari ini. Hukuman tersebut tidak wajar dan bersifat zalim. Kes ini sewajarnya ditangani dengan keadilan yang berteraskan prinsip belas kasihan dan Mahkamah Persekutuan gagal melaksanakannya. Tambahan lagi, Hoslan dinafikan hak membela diri. Beliau tidak diwakili peguam dan merasa sangat sedih dengan perbuatannya melontar kasut dalam mahkamah tempoh hari. Hoslan merupakan bapa kepada tujuh orang anak dan kes beliau ini telah tertangguh sejak tahun 1999. Sewajarnya beliau dihukum dengan amaran keras atau denda. Pihak kehakiman seharusnya mempertahankan nama baik mereka berdasarkan teras moral dan bukan dengan memenjarakan rakyat. Pihak kehakiman juga wajar merenung kembali kelemahan mereka. Keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman masih berada pada tahap membimbangkan dan pihak kehakiman perlu bertanggungjawab terhadap perkara ini. Rakyat menganggap pihak kehakiman tidak bebas dan telah gagal melindungi hak asasi rakyat. Kurangnya keyakinan ini bakal mengundang peristiwa sama seumpama insiden melontar kasut baru-baru ini. Institusi kehakiman telah dicemari dengan campurtangan pentadbiran BN. Adalah menjadi hasrat Pakatan Rakyat untuk melindungi dan mempertahankan integiriti dan kebebasan institusi kehakiman negara. *Kenyataan media oleh N Surendran selaku Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat. Pemuda PAS simpati nasib Imam Hoslan |
Van, Kereta Bertembung, 10 cedera Posted: 08 Mar 2012 10:20 PM PST Jeli – Seramai 10 cedera apabila van dan kereta jenis Honda bertembung dekat Kilometer 2 Jalan Jeli Dabong, dalam kejadian jam 8.30 pagi kelmarin. Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar berkata, kejadian berlaku apabila van yang datang dari arah Dabong hendak membelok masuk untuk mengisi minyak dekat stesen berdekatan. "Pemandu van tidak menyedari ada sebuah kereta jenis Honda dari arah pekan Jeli menuju ke Belahat ketika sedang membelok, menyebabkan dua kenderaan tersebut bertembung. "Kesan pelanggaran itu menyebabkan 10 mangsa yang berada dalam van tersebut cedera parah di mana penumpang dan pemandunya tersepit, manakala pemandu kereta Honda Mohd Farizi Mohd Shakri ,19, cedera parah di kepala," katanya. Antara yang cedera, pemandu van Abdul Majid Awang, 55, penumpang, Faridah Said. 50, Fatimah Yusof, 82, Esah Salleh, 67, Che Som Ab Rahman, 77, Dalila Diana Nik Shamsuddin, 20, Hasiah Husin, 52, Mek Yah Samad, 68, Jah Awang, 83, Rafiah Ab Rahman,70. Sheik Azhar berkata, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Krai dan Tanah Merah untuk menerima rawatan lanjut. "Difahamkan ketika cuba membelok untuk mengisi minyak, pemandu van tersebut tidak menyedari ada sebuah kereta sedang meluncur laju dari arah bertentangan. "Saya minta supaya semua pengguna jalan raya berhati-hati ketika memandu dan sentiasa peka dengan keadaan lalu lintas di sekitar," katanya . Tambahnya, kes itu disiasat di bawah seksyen 43 (1) akta pengangkutan jalan 1987. |
Siapa Si Tanggang Tinggalkan Ibunya Di Hotel Bajet? Posted: 08 Mar 2012 07:50 PM PST Buang ibu di hotel bajet KUALA LUMPUR: Menitis air mata seorang ibu yang lumpuh apabila menyedari dirinya ditinggal terbiar oleh anak tunggalnya di sebuah hotel bajet di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini, sejak empat hari lalu. Dia kini dijaga kakitangan hotel berkenaan yang membantunya menguruskan diri termasuk mandi dan mengganti lampin pakai buang selepas anaknya gagal dikesan. Warga emas itu mulanya tinggal bersendirian di kampungnya di Johor, tetapi sejak sebulan lalu anaknya yang masih bujang membawanya ke ibu kota. Faridah Maulud, 66, yang keseorangan ditemui pekerja hotel dalam keadaan meniarap di lantai ketika memeriksa bilik disewa anaknya selepas lelaki berusia 27 tahun itu gagal menjelaskan bayaran empat hari hingga menimbul tanda tanya kepada pengurusan hotel. Ketika ditemui Harian Metro semalam, warga emas itu kelihatan lemah dan tidak bermaya serta berkali-kali memaklumkan dia ingin ke rumah kebajikan kerana tidak mahu menyusahkan staf hotel yang membantunya. -hm |
[Bergambar & Video] Hujan Berterusan 4 Jam 45 Minit Banjirkan KL Posted: 08 Mar 2012 05:51 PM PST Kuala Lumpur: Banjir kilat di sekitar ibu negara kelmarin berpunca daripada jumlah hujan yang tinggi berikutan hujan turun selama empat jam 45 minit mulai jam 6.45 petang, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Beliau berkata, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan hujan berterusan sehingga 11.30 malam itu menyebabkan paras air di beberapa kawasan di sepanjang Sungai Klang mencecah paras amaran. "Kesan hujan lebat itu mengakibatkan 15 kawasan dilanda banjir kilat apabila dinaiki air antara 0.3m dan 1.2m, kecuali di Kampung Periuk, Kampung Baru yang mencatat paras air sehingga 2.1m," katanya dalam kenyataan semalam. Antara kawasan terbabit ialah Lorong Rhu Pertama dan Persiaran Madge di Ampang Hilir; Projek Perumahan Rakyat Hiliran Ampang, Lorong Kiri 14 dan 15 serta Jalan Keramat 1 dan 2 di Datuk Keramat; Jalan Limau Kasturi, Bangsar; Jalan Liew Weng Chee Off Jalan Yap Kwan Seng; Jalan Melaka; dan Kampung Pasir Baru, Jalan Klang Lama. Kawasan lain yang terjejas ialah Jalan Travers, Brickfields, Jalan Bandar, Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Salahuddin dan Jalan Munshi Abdullah. Raja Nong Chik berkata, hanya satu kawasan membabitkan pemindahan sementara iaitu di Kampung Periuk, Kampung Baru yang dinaiki air sedalam 2.1 meter, dengan 784 penduduk membabitkan 174 keluarga dipindahkan ke dewan Kelab Sultan Sulaiman. Mereka dibenar pulang pada jam 12.30 tengah malam selepas banjir mulai surut. "Tinjauan dan bancian petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati lebih 16 kenderaan terperangkap dan rosak akibat banjir kilat berkenaan," katanya. - Bernama Banjir: 400 mangsa dipindah ke surau Sumber foto: NST, HD, HM |
Ini Buktinya NFC Ada Urusniaga Di Kazakhstan - Najib Sendiri Saksi MOU Dimeterai Posted: 08 Mar 2012 03:43 PM PST NFC salah guna pinjaman beli apartmen di Kazakhstan' Pembelian sebuah apartmen di Kazakhstan oleh National Feedlot Corporation (NFC) adalah bukti penyalahgunaan dan pembaziran dana awam, kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini. Ini, kerana menurut Pua dalam satu kenyataan akhbarnya, pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada NFC bertujuan meningkatkan penternakan lembu bagi memenuhi permintaan daging domestik dan bukannya untuk pelaburan luar negara. "Berdasarkan perjanjian pinjaman, NFC pastinya tidak bermaksud untuk menternak lembu atau cuba mendapatkan daging dari Kazakhstan, apatah lagi membeli sebuah apartmen di sana," katanya. Lebih mencurigakan, katanya, beliau difahamkan bahawa urusniaga itu adalah pembelian tunai semata-mata. Pua, yang memiliki sesalinan perjanjian pinjaman itu dari sumbernya, juga mempersoalkan jika NFC mendapat kelulusan dari kementerian kewangan untuk pembelian berkenaan. Katanya, NFC mesti tampil mendedahkan tujuan pembelian apartmen itu dan menjelaskan sama ada harta itu didaftarkan di bawah nama NFC atau nama pengarah individu tertentu. Pada Jun 2011, akhbar The Star melaporkan bahawa satu memorandum persefahaman telah ditandatangani antara pihak berkuasa daerah Jambul di Kazakhstan dan NFC berhubung penternakan lembu di sana. Akhbar berbahasa Inggeris itu juga melaporkan lembu-lembu di Jambul itu akan dibawa ke Malaysia untuk kegunaan tempatan serta dieksport ke negara-negara jiran. -mk Video MOU Malaysia-Kazakhstan NFC beli apartmen di Kazakhstan, tetap pecah amanah- Rafizi Ulasan GB Patutlah Najib tidak lansung melayani sebarang aduan mengenai NFC. Rupanya beliau turut sama terlibat. Anehnya, bagaimana NFC boleh menyatakan ia hanya sekadar membuka pejabat operasi sedangkan berita dari akhbar the Star seperti tertera di atas itu jelas melaporkan "perjanjian ditadatangani untuk menternak lembu di sana"? A memorandum of understanding was also signed Monday between the Jambul district of Kazakhstan and National Feedlot Corp Sdn Bhd providing for cattle rearing here and enabling the produce to be brought to Malaysia for local consumption as well as export to neighbouring countries. Perosalan kini: Apakah ladang di Malaysia tidak cukup untuk menternak lembu sehingga perlu membuka di Kazakhstan dan apakah nak berurusniaga di sana sehingga terpaksa membeli apartment dengan nilai jutaan ringgit? Najib sendiri saksikan MOU itu ditandatangani, ertinya Najib terlibat memperakui salahlaku tersebut. Patutlah Najib pernah mempertegaskan bahawa tidak semestinya aduan-aduan NFC berakhir dengan pendakwaan. "Kita tidak boleh anggap bahawa semua siasatan akan berkesudahan dengan pendakwaan. Pendakwaan itu mesti mengambil kira peruntukan tertentu dalam perlembagaan. -malaysiakini Feb 26, 2012 Peruntukan perlembagaan Pasal ke berapakah yang digunakan Najib untuk menutup perbuatan salahlaku dan kepincangan NFC tersebut? Apa yang berlaku, pendedahan demi pendedahan membuktikan kebenaran ulasan GB sebelum ini, bahawa: Sharizat akan terus dibogelkan! klik untuk baca |
Negeri Dikuasai Pakatan Terima Pelaburan Paling Tinggi, Kedah Tempat Ke 5 Posted: 08 Mar 2012 07:12 AM PST Alor Setar – Bagi tahun 2011, Kedah menduduki tempat kelima di kalangan negeri-negeri di Malaysia menerima kemasukan pelaburan di sektor perkilangan. Jumlah pelaburan yang diterima hingga Disember 2011 adalah sebanyak RM6.14 bilion yang melibatkan 42 projek yang diluluskan. Prestasi ini menunjukkan peningkatan yang memberansangkan, berbanding bagi tahun 2010 yang hanya mencatat nilai pelaburan sebanyak RM1.96 bilion. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga, Industri dan Pelaburan, YB Dato' Ir Amiruddin Hamzah berkata, daripada jumlah projek tersebut, 23 adalah projek baru dan 19 adalah projek pembesaran. Bagi projek baru, ia berjumlah RM4.7 bilion dan projek yang diperbesarkan sebanyak RM1.44 bilion. "Kita menduduki tempat kelima di Malaysia dengan jumlah pelaburan adalah sebanyak RM6.14 bilion, 42 projek. "23 adalah projek baru, iaitu mereka yang baru melabur dengan Kedah, 19 adalah projek pembesaran operasi yang sedia ada. "Tempat pertama adalah Pulau Pinang dengan jumlah pelaburan RM9.106 bilion, diikuti Selangor dengan jumlah RM8.741 bilion, Sarawak dengan jumlah RM8.453 bilion dan tempat keempat adalah Johor dengan jumlah RM6.584 bilion," ujar beliau. Tambah beliau, berikutan perkembangan pesat pembangunan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan sambutan yang amat menggalakkan daripada pelabur, kerajaan telah bersedia dengan kelengkapan zon industri dan infrastuktur. "Di KHTP, kita telah tambah kepada zon industri fasa empat kepada pelabur yang berminat. "Kita dah beri maklumat kepada pengarah-pengarah MIDA di seluruh dunia bahawa kita ada lebihan tanah untuk pelabur, jadi jika mereka hendak ke sini, kita telah ada tanah, yang jadi masalah kepada pelabur, mereka dah minat, tapi dia kena tunggu dulu untuk penyediaan tanah," ujar beliau. -kedahla KEDAH: Lagi pelaburan masuk sebanyak RM1.84 billion |
Lagi Kes Kereta Meletup & Terbakar Posted: 08 Mar 2012 05:19 AM PST Meletup sebaik berhenti MELAKA: "Sebaik kereta diberhentikan dan kami keluar, saya terhidu bau hangit sebelum melihat enjin berasap disusuli letupan kecil," kata Jelita Rupuri, 43, yang nyaris rentung bersama rakannya, Regina Abdullah, 35, apabila kereta dinaiki mereka tiba-tiba terbakar di Jalan Melaka Sentral, di sini, malam kelmarin. Dalam kejadian jam 8 malam itu, kereta Mazda Capella milik Regina yang dipandu Jelita terbakar sejurus selepas diberhentikan di tepi jalan. Kebakaran itu menyebabkan kereta berkenaan hangus dan beberapa barangan berharga termasuk dokumen penting milik Regina gagal diselamatkan. "Walaupun terkejut dengan letupan itu, kami memberanikan diri menyelamatkan barangan berharga sambil dibantu pemandu teksi dan pekerja pasar raya berhampiran," kata Jelita yang ditemui di tempat kejadian. Menurutnya, ketika insiden mereka dalam perjalanan dari Duyong ke Bachang dan singgah di sebuah kedai berhampiran sebuah pasar raya berhampiran lokasi kejadian bagi mengambil kasut miliknya yang dibaiki. Katanya, sejurus keluar daripada kereta dia terkejut melihat bahagian enjin berasap dan berlaku letupan kecil. -hm |
Bantu Cari Adik Nurul Nadirah, 5 Tahun Yang Hilang Posted: 08 Mar 2012 03:30 AM PST Ibu kanak-kanak hilang yakin anak disembunyikan di kawasan berhampiran PASIR GUDANG: Selepas lapan hari berlalu, keluarga Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang lebih manja dengan panggilan Dirang, masih menaruh harapan tinggi supaya anak kecil itu ditemui segera dalam keadaan selamat. Harapan itu disandarkan mereka selepas mengadakan solat hajat serta doa selamat, selain pandangan lima pengamal perubatan tradisional dan Islam yang membantu keluarga Dirang. Ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, berkata sejak hari pertama anaknya dilaporkan hilang, beliau dan suaminya, Lima Medeng, 25, berusaha mencari anak kesayangan mereka di sekitar daerah ini kerana yakin Dirang masih berada di kawasan berdekatan. "Saya sekeluarga hanya mampu berterima kasih kepada sumbangan semua pihak, termasuk bomoh dan ustaz yang membantu dengan ikhlas tanpa meminta sebarang bayaran daripada kami yang sememangnya tidak berkemampuan kerana suami masih mencari pekerjaan. "Bomoh dan ustaz yang kami temui sekitar Pasir Gudang, Seri Alam dan Masai mendakwa Dirang selamat tetapi dalam kawalan seseorang. Mereka menasihatkan kami mencarinya di kawasan rumah kosong di sini kerana percaya Dirang dikurung di situ," katanya. Roselyn berkata, setakat ini, pencarian yang dilakukan mereka belum berhasil dan tiada sebarang petunjuk Dirang disembunyikan di kawasan berkenaan. "Saya dan suami tidak akan berputus asa, selagi terdaya kami tetap akan berusaha mencari Dirang selain mengusahakan majlis doa selamat dengan menjemput jiran bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Dirang. "Poster Dirang akan ditampal bagi memudahkan pencarian anak kedua kami itu," katanya. Sementara itu, kumpulan perbankan RHB akan memasang poster gambar Dirang yang dilaporkan hilang sejak lapan hari lalu pada lebih 1,800 mesin pengeluaran wang (ATM) miliknya di seluruh negara dalam usaha membantu menjejaki kehilangan kanak-kanak terbabit. Pengarah Perkhidmatan Korporat RHB, Norazzah Sulaiman, berkata pihaknya juga akan memaparkan gambar Dirang pada laman web bank berkenaan bagi membolehkan orang ramai yang menggunakan khidmat dalam talian mereka membantu mengesan anak kedua daripada tiga beradik itu. Beliau berkata, RHB juga akan bekerjasama dengan beberapa media tempatan untuk mengiklankan gambar kanak-kanak terbabit. Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar, berkata pihaknya akan menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga kanak-kanak terbabit. -BH |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan