Jumaat, 9 Mac 2012

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Pas Lancar Tabung Untuk Bantu Imam Hina Mahkamah

Posted: 08 Mar 2012 10:54 PM PST


Pemuda PAS mensasarkan RM20,000 kutipan derma bagi tabung membantu keluarga Hoslan Hussin, imam yang dihukum penjara setahun atas kesalahan menghina mahkamah berikutan tindakannya melemparkan selipar ke arah panel hakim.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, tabung bertujuan meringankan beban anggota keluarganya itu juga akan diedarkan ke seluruh negara.


"Sumbangan itu akan dibuat berterusan sehingga Hoslan dikeluarkan daripada penjara. Kita beri bantuan ini bukan kerana dia imam tetapi atas dasar kemanusiaan.

"Bantuan ini bagi menjaga kebajikan anak-anaknya. Dia mempunyai anak-anak yang ramai, masih kecil dan bersekolah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Riduan turut menyeru kepada semua Pemuda PAS agar dapat bersama membantu keluarga Hoslan bagi meringankan beban isterinya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Hoslan. Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin ketika menyampaikan hukuman berkata,
penjara setahun adalah hukuman setimpal bagi kes berkenaan.

Beliau sebelum itu berkata, tindakan membaling alas kaki itu boleh menggugat kuasa mahkamah dan menjatuhkan maruah mahkamah sekiranya tiada tindakan dilakukan untuk kesalahan seperti itu.

Hoslan diberi julukan 'iman BERSIH kerana mengangkat jubah dan menunjukkan baju-T BERSIH yang dipakainya ketika khutbah Jumaat melarang orang ramai turut serta dalam perhimpunan itu.


Harga Skim Rumah Pertamaku Najib ‘tidak munasabah’

Posted: 08 Mar 2012 07:44 PM PST

KUALA LUMPUR, 9 Mac — Persatuan pembeli rumah melabelkan skim Rumah Pertamaku sebagai dasar "tidak bijak" selepas dilaporkan pada minggu ini ia bukan permohonan pinjaman tunggal yang diluluskan di bawah Putrajaya untuk pemilikan rumah pekerja berpendapatan rendah.

Skim yang dilancarkan Datuk Seri Najib Razak tahun lalu berdepan dengan masalah kerana bank-bank enggan memberi 100 peratus pembiayaan hartanah mencecah RM400,000 kepada pemohon yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Setiausaha Kehormat bagi Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Chang Kim Loong memberitahu The Malaysian Insider penyediaan pembiayaan pinjaman RM400,000 di bawah skim itu untuk "perumahan mampu" adalah "tidak munasabah dan seseorang perlu memberitahu perdana menteri tentang fakta yang salah."


"Ia jelas perdana menteri kita tidak bijak dengan kepentingan diri kerana menyediakan harga setinggi RM400,000 untuk pekerja berpendapatan bawah RM3,000," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan dengan bank dan mendapati kebanyakan pemohon merupakan individu yang disenarai hitamkan atau tidak mempunyai bukti pendapatan sahih.

"Maklum balas mengatakan jika rakyat tidak mampu membelinya, maka jangan beli. Bagaimana anda boleh mengambil pinjaman 100 peratus pinjaman seperti itu tanpa komitmen?" katanya.

Chang berkata bagi 20-tahun pinjaman untuk RM400,000 mengikut standard industri dua peratus di bawah kadar pemberian pinjaman asas memerlukan satu ansuran bulanan RM2,552 atau 85 peratus daripada RM3,000.

Beliau menambah untuk 30-tahun perjanjian memerlukan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM2,051 atau 68 peratus daripada RM3,000.

Laman web skim itu juga mengatakan untuk layak menyertai program itu, pembayaran balik tidak boleh melebihi 55 peratus daripada pendapatan kasar pemohon.

"Ia tidak mengejutkan terdapat kelulusan sifar kerana peminjam-peminjam mampu hidup melebihi kemampuan mereka."

Beliau berkata berdasarkan garis panduan Bank Negara pembayaran balik pinjaman tidak boleh melebihi satu pertiga pendapatan, pinjaman bagi skim itu sepatutnya di antara RM150,000 hingga 180,000.

Perdana menteri mengumumkan pada Oktober lalu ketika membentangkan Belanjawan 2012 bahawa pinjaman permulaan skim itu akan dinaikkan sehingga RM400,000 sebagai harga hartanah.

Kerajaan terlebih dahulu berkata agensi pembiayaan dan gadai janji milik kerajaan negeri akan menyediakan deposit 10 peratus bagi membeli rumah.

Chang mencadangkan jika kerajaan serius tentang kemampuan perumahan, ia sepatutnya "memasuki satu usaha sama dengan pemaju bukan kroni" yang mahu harga mencecah RM400,000.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya menghapuskan kos tanah dengan "menyediakan lokasi strategik" seperti tanah di Sungai Besi dan Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh.

"Daripada mahu lot tanah ini menjadi 'nilai tinggi,' cuba dapatkan perumahan mampu milik," katanya.

Chang menambah pemohon yang berkelayakan mesti menetap di rumah yang dibeli sekurang-kurangnya 10 tahun dan hanya dibenarkan menjual balik kepada kerajaan jadi ia boleh diberikan semula kepada "generasi pembeli berikutnya yang memerlukan perumahan mampu milik."

Harga hartanah di kawasan bandar seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur meningkat sehingga 40 peratus pada 2010 dengan kadar faedah yang rendah dan pertambahan dalam pembelian spekulatif, walaupun harga meningkat lebih perlahan tahun lepas kerana langkah-langkah mengawal kelembapan sentimen seperti satu kenaikan cukai keuntungan harta.

Beberapa laporan juga menganggarkan harga hartanah akan meningkat dari 5.9 kali pendapatan pada 1989 kepada 10.9 kali pada 2010.

Kajian Demografi Rumah Mampu Milik Global menyifatkan harga pasaran, iaitu harga hartanah berada di 5.1 kali pendapatan kelas pertengahan atau lebih, sebagai "tidak mempunyai kemampuan."

HBA tahun lalu mengingatkan anak muda akan berdepan risiko dihalang memasuki pasaran hartanah disebabkan harga rumah yang terlalu tinggi.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/harga-skim-rumah-pertamaku-najib-tidak-munasabah-kata-kumpulan-pembeli-rumah/


Hukuman penjara imam Hoslan 'keterlaluan'

Posted: 08 Mar 2012 07:06 PM PST


Naib Presiden PKR, N Surendran menganggap hukuman setahun penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan bagi kesalahan menghina mahkamah ke atas imam yang membaling selipar itu, sebagai keterlaluan dan tidak sesuai.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Hoslan Hussin atas kesalahan menghina mahkamah berikutan tindakan imam itu melemparkan seliparnya ke arah panel hakim.


Dalam mempertahankan Hoslan, Surendran berkata dalam satu kenyataan bahawa Mahkamah Persekutuan tidak mengambilkira persekitaran yang timbul daripada kes itu dan telah gagal untuk mengimbangkan keadilan dengan belas kasihan.

Menurutnya, imam Hoslan tidak diwakili peguam dan sangat emosi ketika dia melakukan perbuatan tersebut.

Dia juga, tegas Surendran, adalah seorang bapa yang bergelut untuk membesarkan tujuh orang anaknya dan kesnya telah tertangguh sejak tahun 1999.

"Tegurankeras atau denda sudah mencukupi dalam kes ini," katanya.

Menurut Surendran yang merupakan seorang peguam, mahkamah perlu memelihara maruahnya dengan kekuatan autoriti moral, bukan dengan memenjarakan orang.

Beliau menggesa badan kehakiman melihat pada diri mereka ketika
keyakinan orang ramai merosot kerana persepsi bahawa hakim-hakim tidak bebas dan telah gagal melindungi hak asasi rakyat Malaysia.

"Kekurangan keyakinan dan rasa hormat ini boleh membawa kepada berulangnya kejadian seperti kes membaling selipar," katanya.


Tian Chua Dan Batu

Posted: 08 Mar 2012 04:26 PM PST

SEBAIK saya keluar dari tingkat bawah surau di Taman Melewar, Kuala Lumpur selepas menunaikan solat jenazah baru-baru ini, saya dapati Tian Chua, Anggota Parlimen Batu berdiri di luar pintu bersalam dengan orang-orang baru selesai solat jenazah itu.

Saya tanya Tian Chua, "Sudah lamakah tiba?"

"Semasa orang sedang solat tadi," jawabnya.

"Yang Berhormat tidak solat samakah?" saya berseloroh dengannya.

Dia ketawa saja.


Ramai orang ada di situ datang bersalam dan bercakap dengannya sambil menyaksikan jenazah itu dimasukkan ke van jenazah untuk dibawa ke kubur.

Selepas jenazah dibawa dari situ Tian Chua mengajak beberapa orang yang masih ada di situ pergi ke restoran yang berdekatan minum kopi. Saya kenal semua orang-orang itu, penduduk di situ, mereka bukanlah orang yang saya selalu lihat di Markaz Tarbiyah di taman itu.

Tetapi mereka nampaknya mesra dengan anggota Parlimen Pakatan Rakyat itu.

Dua bulan lalu sepulang dari solat Isyak saya diberitahu, seorang wartawan Harakah hendak disolat jenazahkan di Masjid Simpang Tiga Gombak, tidak jauh dari Taman Greenwood, Batu Caves. Saya diminta segera ke situ supaya sempat meraikan jenazah itu.

Ketika saya tiba di masjid itu jenazah belum dimandikan. Saya menjenguk jenazah di bilik pengurusan jenazah. Saya keluar dari bilik itu dan jenazah pun mula diuruskan.

Di luar bilik itu saya, Tian Chua datang untuk memberi penghormatan kepada jenazah. Dia tidak masuk ke bilik memandikan jenazah. Tetapi dia berbual dengan orang yang menziarahi menunggu jenazah itu disolatkan.

Lama juga menunggu pengurusan itu. Semuanya berkumpul di kawasan sekitar masjid. Saya menunggu bersama yang lain di serambi dewan yang digunakan untuk acara keraian lain yang bukan solat. Dewan solat di tingkat atas.

Ada yang berdiri kerana tiada banyak kerusi di situ. Ramainya duduk di lantai menunggu jenazah dikapankan. Tian Chua datang menghampiri mereka lalu duduk bersila bersama orang-orang yang menunggu yang ramai dikenalinya.

Lama juga menunggu. Dia terus berada di situ. Setengah dari yang datang itu pulang segera sebelum jenazah disolatkan kerana hal masing-masing. Tetapi Tian Chua masih di situ hinggalah jenazah sedia untuk disolatkan. Saya tidak sedar bila dia beredar dari situ.

Beberapa bulan lalu seorang ustaz aktivis penting PAS di Kampung Padang Balang meninggal dunia. Saya tidak segera ke rumahnya malam itu kerana saya solatnya di Masjid Padang Balang pagi esoknya. Penuh orang yang solat jenazahnya di masjid itu hampir menyamai solat Jumaat.

Tidak pula saya nampak Tian Chua di situ. Saya beberapa kali terserempaknya di majlis bukan solat di kawasan masjid itu.

Beberapa hari kemudian saya terjumpa Tian Chua. Saya tanya dia, saya tak nampak dia di sekitar masjid semasa ustaz itu meninggal.

Katanya, dia sudah ke rumah jenazah itu sebaik saja maklumat kematian itu diberitahu kepadanya. Dia ziarah jenazah di rumahnya. Nampaknya dia tiba dulu dari saya.

Saya sendiri tidaklah hadir ke semua kematian yang berdekatan dengan tempat tinggal saya itu. Saya hadir di tempat yang saya ada maklumat tentang kematian itu saja. Tetapi beberapa kali saya jumpa dia di tempat kematian itu. Mungkin juga selama dia menjadi wakil rakyat dia ziarah mayat yang saya tidak sempat menziarahinya.

Yang saya jumpa itu bukan di rumah kematian orang-orang PAS saja. Ke rumah UMNO mati pun saya pergi. Tidak terkejut jika dia ada.

Sejak berpuluh tahun kawasan Parlimen Batu tidak pernah berwakil rakyatkan orang Islam, melainkan diwakili Cina Barisan Nasional. Tetapi saya tidak ingat saya pernah bertemu dengan wakil rakyat di majlis-majlis sosial yang saya hadir di kawasan itu. Mungkin wakil rakyat itu datang pada masa saya tidak ada, tetapi saya pun tahu siapa wakil rakyat saya masa dulu.

Setelah tua tinggal di kawasan Parlimen Batu hanya dalam PRU 2008 baru pembangkang menang.

Akan Tian Chua ini sentiasa ada di rumah kematian dan perkahwinan.

Kalau orang Islam mati kita kadang-kadang terjumpa dengannya, tentulah dia juga selalu ke rumah orang Cina yang mati dan demikian juga agaknya kalau orang India mati.

Itulah Tian Chua.

Subky Latif


Noh Kanggaru Dicabar Berdebat

Posted: 08 Mar 2012 05:03 AM PST

SHAH ALAM, 8 MAC: Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei mencabar Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar ke gelanggang debat menjawab tuduhannya terhadap Pakatan Rakyat.

Shuhaimi kata beliau bersedia berhadapan dengan jeneral Umno Selangor itu di Tanjung Karang sekalipun, kubu kuat kepada menteri persekutuan itu.

"Saya cabar Dato Seri Noh Omar jika benar beliau bukan seperti ayam jantan hanya berkokok, jaguh berkokok. Kalau beliau betul-betul mempunyai bukti betul ada salah laku yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri berhubung dengan apa yang didakwanya di Yayasan Selangor, di Kumpulan Semesta. Dia sediakan gelanggang kita berdebat. Tak perlu panggil Menteri Besar, saya sahut cabaran. Saya sedia berdebat dengan Dato Seri Noh Omar untuk menjawab khususnya daripada segi isu pentadbiran kerajaan semasa di zaman Khir Toyo dan semasa zaman Tan Sri Khalid Ibrahim. Dia sediakan tempat saya hadir. Hantar di Tanjung Karang sekalipun saya akan pergi."


Noh Omar dibidas kerana takut menjawab soal-siasat Jawantakuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Ketanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT).

Noh Omar sebelum ini mencabar Tan Sri Khalid Ibrahim mendedahkan sumber simpanan tunai Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang mengejutkan semua pihak kerana mencapai rekod simpanan tunai tertinggi dibawah Pakatan Rakyat.

PKPS sebelum ini mencatatkan peningkatan jumlah simpanan tetap sebanyak 13 kali ganda daripada jumlah empat tahun lalu.

Sepanjang pentadbiran Pakatan Rakyat simpanan tetap PKPS itu meningkat ke RM114 juta pada tahun 2011 berbanding 8.3 juta pada tahun 2008.

"Noh Omar tidak berani datang ke SELCAT kerana bila beliau datang ke SELCAT dengan membawa bukti yang diberikan oleh bekas pekerja Kumpulan Semesta bermakna beliau mempunyai modus operandi ataupun beliau mempunyai satu matlamat hanya untuk memalukan Kumpulan Semesta dan Kerajaan Negeri. Dan jika beliau mempunyai bukti-bukti tersebut beliau sepatutnya hadir semasa pendengaran KSSB diadakan."

Suhaimi juga menambah beliau juga bersedia berdebat dengan Noh berhubung apa-apa isu berkaitan Selangor termasuk Yayasan Selangor.

Sebelum ini Ketua Audit negara melapurkan Kementerian Pertanian dan Asas Tani dibawah kelolaan Noh telah menghilangkan peruntukan RM110 juta dana kerajaan yang diperuntukan kepada para Pesawah.

Kesan dari itu para pesawah di Skinchan mengadakan tunjuk perasaan menggesa Noh meletak jawatan.


Ke jalan raya sebelum p'raya

Posted: 08 Mar 2012 03:52 AM PST

Minggu lalu saya telah menjadi saksi di mahkamah tinggi dekat Jalan Duta. Ini kes enam reformis menyaman ketua polis negara sebelum ini Norian Mai. Saya salah seorang dari enam reformis yang menyaman Norian Mai atas dakwaan memfitnah dan membuat onar terhadap para reformis.

Pada 10 April 2001, ketika Norian Mai berkuasa sebagai ketua polis negara, dia telah menangkap 10 orang reformis. Para reformis telah ditangkap dengan tuduhan merancang untuk menggulingkan kerajaan.

Keesokan hari, pada 11 April 2001, Norian Mai telah membuat sidang akhbar. Pada 12 April 2001, semua akhbar telah membuat laporan tentang sidang akhbar ketua polis negara ini. Para reformis telah dituduh memiliki rocket launcher, ball bearing dan bom molotov.


Tetapi bukan tentang ini yang ingin saya tulis. Apa yang saya lakarkan ialah politik di belakang penangkapan ini. Dan apa dia pencerahan realpolitik terhadap kes ini.

Untuk memulakan pencerahan, saya ingin memberitahu pembaca terutama anak-anak muda harus sedar dan faham bahawa bukan satu kesalahan untuk menggulingkan kerajaan. Jangan kita ditakut-takutkan apabila mendengar perkataan "ingin menggulingkan kerajaan".

Parti politik DAP, PKR atau PAS semua bertungkus lumus siang dan malam bekerja untuk menggulingkan kerajaan BN. Mahfuz Omar ingin menggulingkan kerajaan. Dr Zulkifli ingin menggulingkan kerajaan. Tian Chua ingin menggulingkan kerajaan. Tony Pua ingin menggulingkan kerajaan. Nurul Izzah ingin menggulingkan kerajaan.

Malah setiap malam mereka ke hulu ke hilir berceramah dan menghasut orang ramai dalam usaha untuk menggulingkan kerajaan.

Politik jalan raya

Nik Aziz telah berjaya menggulingkan kerajaan BN di Kelantan. Lim Guan Eng telah berjaya menggulingkan kerajaan di Pulau Pinang. Khalid Ibrahim telah berjaya menggulingkan kerajaan di Selangor. Nizar Jamaluddin telah berjaya menggulingkan kerajaan di Perak, tetapi dirampas kembali. Ini adalah bukti bahawa menggulingkan kerajaan bukan satu kesalahan.

Sekali lagi saya ingatkan, jangan sesekali kita ditakut-takutkan dengan perkataan 'menghasut'. Ceramah-ceramah yang disusun oleh Pakatan Rakyat bertujuan untuk memberi maklumat kepada orang ramai. Maklumat yang diberi itu bertujuan untuk menyedarkan orang ramai agar mereka menolak kerajaan United Malays National Organisation dan menggantikan dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Ini bermakna ceramah itu bertujuan untuk menghasut orang ramai agar bangun menggulingkan kerajaan United Malays National Organisation.

Jika kurang faham biar saya cerahkan lagi makna menghasut. Utusan Malaysia - akhbar milik United Malays National Organisation - setiap hari kerjanya menghasut. TV3 juga milik gerombolan United Malays National Organisation kerjanya setiap saat menghasut. Iklan kasut baru dan iklan coli ketat Minah Cun yang terpampang di tepi jalan di belakang Mid Valley itu juga bertujuan menghasut.

Utusan Malaysia dan TV3 menghasut rakyat untuk membenci dan menolak kerajaan Pakatan. Utusan dan TV3 menghasut rakyat untuk menyokong kezaliman yang dijalankan oleh United Malays National Organisation. Begitu juga dengan iklan kasut dan coli Minah Cun. Iklan-iklan ini juga bertujuan menghasut orang ramai untuk menjadi pembeli.

Justeru menghasut bukan juga satu kesalahan. Malah menghasut rakyat untuk bangun menggulingkan kerajaan adalah tugas suci setiap warga Malaysia yang memiliki akal dan fikiran.

Ketika saya ditangkap bawah ISA pada 10 April 2001 dahulu, alasan tuduhan ialah: saya menghasut rakyat untuk turun ke jalan raya. Atau dalam bahasa cool, saya berceramah untuk menghasut rakyat turun berdemo. Saya tidak pernah menafikan ini. Malah bukan sahaja dalam ceramah saya menghasut rakyat agar turun berdemo, saya juga membuat teater untuk menghasut orang ramai untuk membenci Mahathir Muhamad dan United Malays National Organisation.

Saya juga telah berkali-kali menulis untuk menerangkan kepada orang ramai tentang politik jalan raya. Tulisan saya telah melakar kembali persejarahan politik Filipina dan Jakarta di mana ditaktor Marcosdan ditaktor Haji Muhamad Suharto telah digulingkan oleh ombak rakyat turun ke jalan raya.

'Saya menghasut maka saya wujud'

Malah saya juga - ketika itu di Pakistan - terlibat sama berdemo untuk menjatuhkan kerajaan zalim Shah Reza Pahlavi di Tehran pada tahun 1978. Untuk saya, semua ini bukan kesalahan. Untuk saya ini satu tugas suci yang wajib saya lakukan sebagai manusia yang memiliki akal, fikrah dan keintelektualan.

Ahli falsafah Perancis yang bernama René Descartes (1596-1650) berkata: "Saya wujud kerana saya berfikir."

Justeru saya pula berkata: "Saya menghasut maka saya wujud."

Menghasut untuk menggulingkan kerajaan yang zalim adalah wujudiah saya. Saya wujud dan amat bangga kerana saya menghasut orang ramai untuk bangun menentang gerombolan United Malays National Organisation.

Untuk kerajaan dan rejim yang zalim, orang ramai turun ke jalan raya dilihat sebagai satu kesalahan. Di sini ingin saya jelaskan kepada warga Malaysia yang mungkin tidak sedar bahawa turun berkumpul ke jalan raya adalah hak kita sebagai warga negara ini. Hak ini ada tercatit dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Justeru berkumpul dan berdemo adalah hak asasi kita.

Mari kita lihat sejarah tunjuk perasaan yang membawa hasil kebaikan. Pada tahun 1998 dahulu satu gerakan ampuh ke jalan raya telah dimulakan oleh Gerakan Reformasi. Gerakan Reformasi ini ingin menghalau Mahathir dari terus menjadi perdana menteri. Tanpa tunjuk perasaan yang menghasut orang ramai untuk mengutuk dan memburukkan Mahathir pasti hari ini perdana Menteri malaysia masih lagi Mahathir Muhamad. Sahih demonstrasi yang dikatakan bukan budaya kita oleh Mahathir telah menumbangkan Mahathir Muhamad sendiri.

Bukti-bukti sahih di mana demonstrasi membawa hasil positif terus terkumpul sebagai ilmu pengetahuan. Ingati kembali para peguam yang turun berdemo di Putrajaya pada 27 September 2007. Ini dikuti dengan demo BERSIH yang pertama pada 10 November 2007. Beberapa minggu kemudian pada 25 November, Hindraf pula turun ke jalan raya.

Hasil mutlak dari semua tunjuk perasaan ini ialah kemenangan Pakatan dalam pilihan raya 8 Mac 2008. Tunjuk perasaan di jalan raya ialah tanda kemarahan rakyat. Apabila orang ramai turun ke jalan raya, para demonstran ini telah memperkasa diri mereka. Memperkasa diri ini akhirnya diterjemahkan sebagai undi untuk Pakatan. Sesiapa yang berani menolak hakikat bahawa demo jalan raya akan membawa kemenangan di peti undi wajib diperiksa keupayaan otak mereka.

Santau radioaktif

Contoh terbaru di mana politik jalan raya telah membawa hasil positif ialah apabila 20,000 penunjuk perasaan keluar di Kuantan pada pagi 26 Febuari 2012 yang lalu. Para demonstran telah menentang kewujudan kilang nadi bumi Lynas. Orang ramai telah diberi pencerahan tentang bahaya santau radioaktif yang akan dikeluarkan oleh kilang ini. Orang ramai juga telah dihasut oleh Himpunan Hijau untuk turun ke jalan raya.

Hasilnya, pada petang yang sama Najib Razak telah membuat kenyataan bahawa sisa-sisa santau radioaktif ini tidak akan disimpan di Gebeng. Kenyataan putar belit Najib ini bercanggah dengan kenyataan awal yang mengatakan bahawa sisa santau radio aktif ini selamat. Justeru - terbukti - jika orang ramai tidak turun ke jalan raya pasti Najib tidak akan bersuara. Tanpa demo penentangan pasti warga di Gebeng akan disantau oleh radioaktif.

Justeru, pencerahan yang ingin saya sebarkan ialah demonstrasi, tunjuk perasaan dan politik jalan raya menjamin akan membawa hasil yang positif. Berdemo adalah berbaloi. Apa yang saya ajukan ini bukan lagi teori. Ini bukan angan-angan. Ini adalah satu garis politik yang tepat. Ini pendekatan politik yang akan menghasilkan kemenangan untuk orang ramai.

Pada ketika setiap hari kerajaan Pakatan diserang. Pemimpin Pakatan diserang. Hanya politik jalan raya sahaja yang akan memastikan kerajaan Pakatan selamat. Politik jalan raya juga akan memastikan Pakatan berjaya merangkul kemenangan baru.

Saya mengajukan politik jalan raya ini kerana saya memiliki bukti yang sahih. Ketika saya disoal siasat selama 60 hari di 'bilik sulit' hingga ke Kamunting, pekara yang ditimbulkan berkali-kali oleh United Malays National Organisation ialah pandangan saya tentang demonstrasi. Untuk saya cukup senang, jika musuh saya tidak suka perkara yang saya lakukan, maka ini bermakna apa yang saya lakukan itu adalah tepat. Jika musuh saya tidak marah dan tidak menyerang saya maka ini bermakna saya dan musuh telah sebati. Hukum politik ini tidak akan berubah-ubah hingga hari kiamat.

Demonstrasi telah membawa banyak hasil yang positif. Ini telah dibuktikan dengan betapa gentarnya Mahathir bila berhadapan dengan rakyat yang bangun menunjuk perasaan. Najib Razak juga tahu dan sedar akan keupayaan politik jalan raya membawa perubahan. Justeru Najib dengan tergesa-gesa telah membuat akta baru sesudah tunjuk perasaan BERSIH 2.0. Akta baru ini adalah percubaan Najib untuk meneruskan kuasa United Malays National Organisation yang zalim.

Kalau dahulu saya menulis buku bertajuk: Pilihanraya atau Pilihan Jalan Raya, Kali ini saya mengajukan slogan "ke jalan raya sebelum ke pilihan raya".

Dipetik dari Malaysiakini


Tiada ulasan: