Khamis, 22 Mac 2012

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


[Video] Bangkai Ikan Duyung di Pesisir Pantai Pulau Balambangan, Sabah?

Posted: 22 Mar 2012 05:09 AM PDT




Dakwaan video bahawa bangkai ikan duyung di atas ditemukan di Pulau Balambangan dinafikan oleh Ketua Polis Kudat Timb Supt Dawi Ossen. Kata beliau "Palsu. Seseorang cuba mempermain-mainkan masyarakat."

Katanya lagi, pihak polis juga ada mendengar khabar angin itu dan menyiasatnya dengan penduduk di Pulau Balambangan.

"Tiada apa-apa yang berlaku. Tiada bangkai yang tersadai di pantai," sambil menjelaskan video klip itu tidak menggambarkan pulau itu seperti didakwa. -DCM


P/s: Memang palsu. Anda boleh melihat imej yang sama dalam beberapa klip video di Youtube. Ada klip yang mendakwa bangkai duyung itu ialah arca Juan Cabanas.



Hutang Negara Didakwa Melebihi 53% KDNK

Posted: 22 Mar 2012 12:08 AM PDT



[KD] KUALA LUMPUR 21 Mac: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail menyifatkan, kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin berkenaan hutang negara di paras 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah tidak tepat.

"Peratusan itu diambil dari tahun lepas. Sekiranya kita mengambil kira hutang perbelanjaan terbaru, termasuk anggaran Belanjawan 2012, hutang negara pasti melebihi had ditetapkan.

"Malah, ia belum mengambil kira peruntukan luar jangka dan projek-projek yang didanai melalui pinjaman yang dijamin kerajaan, yang tidak dimasukkan dalam belanjawan," ujar Azan.

Beliau turut menjelaskan, paras 55 peratus sebenarnya terlalu tinggi untuk dijadikan had siling hutang negara.

Beliau merujuk jawapan Awang Adek kepada soalan dari Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat hari ini, berkenaan tindakan kerajaan untuk mengawal hutang negara yang semakin meningkat.

Merujuk laman Malaysiakini, Awang Adek melalui jawapannya mengatakan, hutang negara belum mencapai tahap kritikal kerana kurang 2 peratus dari had pinjaman yang dibenarkan perlembagaan, iaitu 55 peratus daripada KDNK.

17 Februari lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengatakan kerajaan memanipulasi belanjawan dengan tidak memasukkan beberapa projek mega dalam belanjawan, sebaliknya menjadi penjamin kepada syarikat yang membuat pinjaman.

Tony Pua juga mengatakan kerajaan juga secara sewenang-wenangnya meminda undang-undang untuk menaikkan had hutang negara, dari 40 peratus pada tahun 2003 hingga 55 peratus pada masa kini.

Bercakap lanjut Azan berkata, kerajaan turut mengheret rakyat untuk sama-sama menanggung hutang, sehingga hutang isi rumah negara mencecah RM600 bilion, antara tertinggi di dunia.

"Sebenarnya ini isu yang perlu dititikberatkan. Kerajaan Umno BN melalui polisi seperti kadar bunga dan caj bank, melahirkan rakyat yang terbeban dengan hutang yang cukup besar," ujar Azan.
 
 
 
 

[PANAS] Anwar Sedia DEBAT dengan Raja Petra dan Najib di Pentas Antarabangsa Anjuran Julian Assange

Posted: 21 Mar 2012 11:25 PM PDT


[KD] KUALA LUMPUR 22 Mac: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia berdebat dengan blogger kontroversi, Raja Petra Kamaruddin dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak anjuran pengasas Wikileaks Julian Assange.

Beliau berkata, Assange telah menghubunginya melalui twitter untuk menganjurkan debat antara Raja Petra dan Najib yang akan dianjurkan sendiri oleh Wikileaks.

"Saya berkata saya bersetuju dengan debat yang ingin dianjurkan itu. Sebelum ini saya diwawancara Julian Assange tetapi Raja Petra mahu menumpang. Saya kata kepada Julian saya hanya bersetuju dengan permintaan asal sahaja.

"Oleh kerana Julian Assange melihat Raja Petra dan Najib seolah-olah berminat, beliau ingin menganjurkan debat antara kami bertiga,"
katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Sebelum ini Anwar diwawancara Julian Assange dalam Forum di Kent, England bagi membincangkan senario politik global.

Selepas Anwar bersetuju dengan wawancara itu, beliau diberitahu blogger Raja Petra mahu menumpang dalam wawancara itu.

Anwar kemudiaanya menyatakan persetujuan untuk permintaan asal iaitu wawancara antara beliau dengan Julian Assange.

Isu mula timbul apabila Raja Petra mendakwa Anwar takut berhadapan dengannya dalam forum tersebut.

Raja Petra turut disokong oleh Najib dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan mendakwa Anwar tidak konsisten dan penakut kerana didakwa enggan berdebat dengan bloger itu.

Anwar berkata, debat yang akan dianjurkan oleh Wikileaks itu akan diadakan secara terbuka dan akan disiarkan secara langsung seluruh dunia.

Bagaimanapun beliau berkata, tarikh untuk program debat itu masih belum ditetapkan kerana Julian Assange perlu mendapatkan maklum balas daripada Najib dan Raja Petra terlebih dahulu.

"Kalau kedua-dua mereka bersetuju saya bersedia berdebat pada bila-bila masa," kata Anwar.



P/s: Debat akan disiarkan secara langsung di seluruh dunia. Beranikah Najib menerima pelawaan Julian Assange, sedangkan cabaran debat di dalam negara pun tidak berani disahutnya? Adakah dia akan demam berminggu-minggu untuk mengelakkan diri untuk menjawab pelawaan tersebut?



[PANAS] Adakah Lembu Fidlot Benar-benar Akan "Dikorbankan"?

Posted: 21 Mar 2012 10:35 PM PDT



Shahrizat Perlu Letak Jawatan Sebagai Ketua Wanita Umno - Kamilia


[Mstar] Kuala Lumpur: Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim menggesa sekali lagi agar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatan beliau (sebagai Ketua Umno) bagi mengekalkan "kredibiliti parti, sayap, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan."

Beliau berkata, perletakan jawatan Shahrizat sebagai menteri setelah tempoh senatornya tamat pada 8 April adalah tidak mencukupi, perlu juga sekali dengan kepimpinannya dalam Wanita Umno dan Wanita BN, terutama menjelangnya pilihan raya umum akan datang.

Beliau menambah, ia mengenai tanggapan masyarakat bahawa terdapat sesuatu "yang salah dari segi moral dan politik" berdasarkan cara Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp), yang diuruskan oleh suami dan anak-anak Sharizat menggunakan pinjaman kerajaan.

"Apabila ia melibatkan dana awam, ia melibatkan rakyat. Masyarakat melihat ia sebagai isu negara yang telah mencemarkan imej Kerajaan. Masyarakat mempersoalkan bagaimana NFCorp boleh mendapat pinjaman yang besar dengan kadar faedah hanya 2 peratus dan diberikan tempoh lima tahun sebelum pembayaran balik sedangkan begitu sukar bagi rakyat biasa mendapatkan pinjaman.

"Dan mereka bertanya bagaimana NFCorp boleh membeli kereta dan unit-unit kondominium dengan pinjaman yang dimaksudkan untuk (membeli) lembu," katanya dalam satu temu bual.

"Kredibiliti kami dipertaruhkan. Saya telah pergi ke peringkat akar umbi dan ini secara umumnya apa yang mereka kata. Mereka mendapati sukar untuk bertemu dengan rakyat kerana imej pemimpin mereka (Shahrizat) tercemar.

"Masyarakat 'mempermainkan' Wanita dan memanggil kami 'lembu'. Akar umbi Wanita mengatakan mereka susah nak kerja (sukar untuk bekerja dengan isu yang sedang berlaku ke atas ketua mereka). Dan pembangkang pula memberitahu kami bahawa kami tidak perlu berbuat apa-apa kerana ia akan membuat kerja mereka (untuk pilihan raya umum) lebih mudah.

"Sebagai seorang pemimpin, kita perlu mendengar apa yang akar umbi berkata."

Kamilia mengulas perkara berkenaan dua hari sebelum Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan untuk bertemu dengan pergerakan Wanita.

Beliau berkata, Najib telah menjelaskan bahawa beliau tidak mahu Shahrizat untuk terus menjadi menteri dan kini terpulang kepada Wanita untuk memutuskan sama ada masih boleh menerima beliau sebagai pemimpin yang diingini.

"Sebagai naib ketua, saya perlu melakukan apa yang terbaik untuk parti dan negara. Saya mungkin tidak popular tetapi saya bersedia untuk menerimanya kerana ia adalah sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab saya. Demi kepentingan parti dan Wanita, dia harus pergi," katanya.

Beliau menjelaskan, adalah sesuatu yang pelik bagi Shahrizat berkempen untuk sebuah kerajaan yang bersih, adil dan baik.

"Kami akan serahkan kepada kebijaksanaan beliau terlebih dahulu. Sebagai seorang pemimpin, dia sepatutnya dapat menilai sendiri. Takkan kita nak beritahu (jangan katakan yang kami perlu beritahu apa yang anda perlu lakukan)."


P/s: Takziah!



Berkaitan:

'PM seru Wanita bersama Shahrizat'

[MK] Wanita Umno Selangor menolak gesaan supaya ketuanya Datuk Seri Shahrizat Jalil berundur daripada memimpin pergerakan itu kerana ia bertentangan dengan seruan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang mahu mereka berdiri teguh di belakangnya.

Ketuanya, Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah mendedahkan bahawa seruan itu dibuat oleh presiden Umno itu dalam pertemuan bersama exco Wanita Umno di Putrajaya Jumaat lalu.

"Jumaat lalu, exco wanita ke pejabat perdana menteri. Pada pertemuan itu perdana menteri meminta agar Shahrizat terus menerajui Wanita Umno kerana beliau (Shahrizat) seorang yang disenangi dalam jentera parti.

"Malah pelbagai pendekatan yang telah dia lakukan bersama Wanita Umno seperti menubuhkan Skuad Sayang dan sebagainya," kata Raja Ropiaah dalam sidang media di Hotel Bluewave, di Shah Alam hari ini....sambung di sini.


P Pinang Mahu Shahrizat Kekal Ketua Wanita UMNO

[SH] GEORGETOWN - Perkhidmatan cemerlang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam Pergerakan Wanita Umno perlu dikekalkan demi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Justeru, Ketua Wanita Umno itu wajar meneruskan kepimpinan dalam pergerakan itu dan BN kerana terbukti berjaya melakukan perubahan yang amat memberangsangkan sejak mengambil alih kepimpinan pada 2009.

Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Zabariah Wahab berkata, Shahrizat mempunyai karisme sebagai seorang pemimpin wanita yang amat disegani oleh kawan dan lawan selama ini, terutama ketika turun padang mengadakan program atau kempen pilihan raya.

Menurutnya, kepimpinan Shahrizat berjaya memberi suntikan baru kepada sayap Umno itu yang kini lebih proaktif dan bermaya dengan pelbagai program yang berjaya mendekatkan rakyat dengan kerajaan dan pemimpin parti.

"Saya sudah melihat semangat dan kepimpinannya yang berjuang untuk menyelami hati dan naluri rakyat dengan mengenepikan kepentingan peribadi.

"Oleh itu, semua pemimpin Wanita Umno perlu terus memberi sokongan padu kepada Shahrizat menerajui pergerakan itu dan tidak mengambil kesempatan untuk memporak-poranda perpaduan yang wujud selama ini semata-mata demi menjayakan agenda peribadi pemimpin tertentu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini..sambung di sini.


 

Mati KELAPARAN Kerana Malas Bekerja

Posted: 21 Mar 2012 09:22 PM PDT



Chang Jiang Times menyiarkan berita tentang seorang penganggur yang ditemukan mati di rumahnya di China. Wang Xiaolin, 42, yang tidak bekerja secara konsisten sejak lulus daripada institusi pengajian tinggi lebih 10 tahun yang lalu dipercayai mati kerana kelaparan.

Kali terakhir Wang dilihat adalah pada 5 Mac oleh seorang bekas guru sekolah rendah di kampungnya di Shiyan,  wilayah Hubei.

"Saya berjalan melintasi kawasan rumahnya dan memberinya sebatang rokok. Tubuhnya sangat kurus," kata Liu.

Seminggu kemudian, jiran mengesyaki sesuatu terjadi kerana tidak melihat kelibat Wang. Liu  memeriksa rumahnya dan mendapati Wang sudah mati di atas katilnya.

"Dia tidak makan apa-apa selama beberapa hari dan berkemungkinan besar dia mati kerana kelaparan," kata seorang penduduk kampung.

Xionghou Liu berkata, Wang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah menengah selepas menamatkan pengajian di sebuah universiti pada tahun 1995, tetapi tidak lama selepas itu dia berhenti.

"Dia tidak pernah membantu ibunya di ladang atau di rumah. Kira-kira 14 tahun lalu, dia telah memukul ibunya sehingga menyebabkan ibunya mengalami patah tulang. Mereka bertengkar berkaitan dengan kerja-kerja yang perlu dilakukan setiap hari.

"Ibunya yang kecewa dengan sikap Wang mengambil keputusan untuk tinggal bersama-sama dengan anak perempuannya, meninggalkan Wang seorang diri di rumah."

Menurut Liu, Wang terlalu malas untuk berbuat apa-apa dan hanya merayau di sekitar kampung itu setiap hari.

"Apabila dia lapar, dia memetik sayur-sayuran, jagung atau kacang tanah dari ladang kami dan memakannya secara mentah. Jika dia terlalu lapar, dia makan buah-buahan yang belum masak yang dipetik dari pokok.

"Kadang-kadang, saudara perempuannya membeli makanan untuk dia atau kami akan memberinya wang untuk membeli mi segera."

Wang juga dipercayai terlalu malas untuk menukar cadar. Oleh sebab itu, dia tidur di atas katil kayu atau di dalam almari semasa musim sejuk.

Mengimbas kembali zaman lalu, Liu berkata bahawa Wang adalah seorang pelajar yang pintar dan merupakan ketua kelas dari tahun satu hingga enam.

"Dia memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Matematik wilayah," kata Liu.

"Saya sangat sedih atas kematiannya. Dalam kehidupannya yang lain, saya berharap dia menjadi orang yang rajin." -DCM






Susulan Kes Pelajar Didakwa Diculik Tetapi Lari Dari Rumah: Remaja Hanya Main SANDIWARA

Posted: 21 Mar 2012 06:19 PM PDT


[HM] KUANTAN: "Tindakan remaja perempuan itu bergelut dan diseret masuk ke dalam kereta hanya sandiwara bagi mengaburi dua adiknya yang ketika itu berada bersamanya di tempat kejadian," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T Narenasagaran berhubung kejadian Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, kononnya diculik ketika pulang membeli kad prabayar di kedai, 100 meter dari rumahnya di Taman Tas, di sini, Ahad lalu.

Siasatan polis mendapati tertekan kerana menganggap dikongkong keluarga, menyebabkan Nur Fatihah melarikan diri bersembunyi di rumah teman lelakinya di Kampung Merchong, Pekan, yang juga seorang anggota polis bertugas di Kedah.

Polis berjaya merungkai drama penculikan lakonan remaja itu oleh dua rakan lelaki dan seorang wanita dipercayai ibu saudaranya apabila Nur Fatihah dikesan berada di rumah lelaki berusia 26 tahun yang baru enam bulan berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu.

Nur Fatihah ditemui selamat di rumah teman lelakinya yang dipercayai dikenali sejak lebih setahun lalu dan kini bercuti, kira-kira jam 8 malam kelmarin, sebelum dibawa pulang ke bandar ini.

Narenasagaran menegaskan kejadian itu bukan kes culik seperti didakwa keluarga remaja berkenaan, sebaliknya anak sulung daripada tiga beradik terbabit keluar rumah secara sukarela untuk bersama teman lelakinya.

Katanya, ketika kejadian, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan di sini, menghubungi dua rakan dikenali sebagai Zaidi dan Hafiz serta ibu saudaranya meminta tolong menjemput sebelum menghantarnya ke rumah teman lelaki.

"Malah maklumat diperoleh daripada rakan karibnya dikenali sebagai Aimi, Nur Fatihah beberapa kali menyatakan niat lari dari rumah," katanya dalam sidang media di sini, semalam. Narenasagaran berkata, hasil siasatan, remaja itu menjelaskan dia tidak mahu pulang kepada keluarganya dan kini ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah (RKKTAF), Alor Akar di sini, di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Polis percaya tindakannya melarikan diri disebabkan tertekan akibat rasa terkongkong hidup bersama keluarga.

"Sejak tingkatan satu dia tinggal di asrama Sekolah Menengah Agama Kota Gelanggi 3, Jerantut, sebelum berpindah ke SMK Pandan, awal tahun ini. Ketika di asrama mungkin dia rasa bebas dan berasa janggal apabila kebebasannya itu hilang kerana tinggal bersama keluarga.

"Teguran ibu bapa yang mungkin tidak dapat diterimanya menyebabkan dia memilih mencari ketenangan dengan menemui teman lelakinya," katanya.

Menurutnya, polis merekodkan keterangan teman lelakinya namun menolak kemungkinan menahan anggota polis itu berikutan kejadian berlaku secara sukarela dan tidak membabitkan unsur paksaan.

Polis juga mengenalpasti dua lelaki dan wanita dipercayai ibu saudaranya untuk diambil keterangan.

"Kami tidak faham kenapa ibu bapanya menghebohkan kejadian ini kepada media kerana ia berlaku akibat masalah keluarga," katanya.

Sementara itu, ibu gadis terbabit, Nor Mala Mohd Lazin, 33, berkata, dia terkejut dengan apa yang berlaku tetapi menafikan mengongkong Nur Fatihah.

"Saya juga tidak tahu yang dia ada teman lelaki dan tidak faham mengapa dikata mengongkong Nur Fatihah sedangkan kebebasan diberi jika wajar.

"Sesekali memarahinya memang ada, anda sendiri tahu bagaimana marah ibu kepada anak, begitulah juga apa yang saya lakukan sebagai tanda sayang," katanya.

Menurutnya, keputusan memindahkan anak sulungnya itu ke SMK Pandan atas kerelaannya sendiri selepas tidak lagi mendapat tempat di asrama sekolah berkenaan.

"Saya bingung dan tidak tahu hendak cakap apa lagi," katanya.




Tiada ulasan: