Rabu, 15 Februari 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Umat Islam haram sertai urus niaga forex

Posted: 15 Feb 2012 05:25 AM PST


KOTA BHARU - Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan umat Islam haram mengamalkan sistem perniagaan pertukaran wang asing. Pengerusi Jawatankuasa itu, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin (gambar) berkata ini kerana perniagaan yang dilakukan melalui pertukaran wang asing seperti itu tidak menepati hukum syarak dan menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam.

"Hasil kajian Jawatankuasa ini, kita dapati perniagaan yang melibatkan pertukaran wang asing melibatkan spekulasi mata wang dan ini bercanggah dan berlawanan dengan hukum Islam."

"Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa umat Islam diharamkan daripada mengamalkan sistem perniagaan cara demikian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-98 di sini hari ini.

Abdul Shukor berkata banyak isu yang meragukan mengenai perniagaan pertukaran asing, oleh itu umat Islam tidak perlu menceburkan diri, tambahan pula kegiatan itu melibatkan penggunaan internet di kalangan individu, yang menyebabkan untung rugi tidak menentu.

"Lain-lain jenis perniagaan pertukaran wang asing, seperti melalui pengurup wang atau dari bank ke bank dibenarkan, kerana ia tidak menimbulkan spekulasi mata wang atau untung rugi yang tidak menentu," katanya.

Beliau berkata keputusan lain yang turut dicapai dalam mesyuarat itu ialah mengharuskan umat Islam membuat pelaburan atau membuat simpanan melalui Skim Sijil Simpanan Premium (SSPM) yang dikendalikan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Katanya keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa berkenaan berpuas hati dengan kaedah pelaksanaannya melalui taklimat yang disampaikan oleh pihak penal syariah Bank Negara pada muzakarah itu.

"Pada mulanya, kita meragui tentang kaedah pelaksaaan skim itu tetapi kita berpuas hati setelah sistem perniagaan melalui SSPN itu ditukar konsep Islam iaitu Mudharabah." - Bernama

Dr M nasihat Shahrizat jangan sayang jawatan

Posted: 15 Feb 2012 02:57 AM PST


SERDANG - Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dibelenggu isu Perbadanan Fidlot Nasional agar "jangan sayang kepada jawatan".

Bekas Perdana Menteri berkata Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Umno, harus mengambil tindakan sewajarnya demi kepentingan parti.

"Saya tak suruh dia meletak jawatan tetapi kita harus sentiasa fikir berkenaan masalah yang kita timbul kepada parti. Sebab itu, saya sendiri pun bila dah terlalu lama dan orang dah naik bosan, saya pun letak jawatan.

"Jadi, janganlah sayang jawatan sangat sampai tidak mahu langsung dipisahkan daripada jawatan. Satu hari kita kena pisah juga," katanya kepada pemberita pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata kepentingan parti harus diberi keutamaan ketika membuat sebarang keputusan.

"Kalau kita fikir ini baik bagi parti, kita patut ambil tindakan tetapi ini terpulang kepada dia untuk membuat apa-apa keputusan," katanya. - BERNAMA

Azmin: Pertemuan Anwar, Nik Aziz dijangka minggu ini

Posted: 15 Feb 2012 02:55 AM PST

Oleh: NOOR AZURA SAHRIL

SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebaik sahaja beliau pulang ke tanah air bagi menjelaskan kenyataan berhubung isu Israel-Palestin dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ).

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pertemuan itu yang dijangka selewatnya minggu ini perlu melihat kepada kelapangan masa Nik Aziz.

Katanya, pertemuan itu dijangka berlangsung dalam keadaan baik meskipun perkara ini sengaja diperbesarkan oleh media kerajaan.

"Kami telah meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama Pas dan menghormati pandangan mereka. Walaupun Anwar kini berada di luar negara, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz bagi menjawab isu tersebut setelah pulang ke tanah air.

"Namun bila dan di mana pertemuan itu berlangsung bergantung pada surat dari pejabat Menteri Besar," katanya mengulas gesaan Nik Aziz
yang mahu Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, menarik balik kenyataannya yang disiarkan dalam WSJ.

Laporan Sinar Harian hari ini memetik sumber dalaman PKR berkata, Anwar dijadual bertemu Nik Aziz dalam masa terdekat ini bagi
menjawab isu berkenaan.

Anwar dalam wawancaranya dengan WSJ dilaporkan berkata beliau menyokong usaha menjaga keselamatan Israel.

Pada masa yang sama, pada wawancara itu, Anwar turut menegaskan bahawa kepentingan sah rakyat Palestin juga mesti dilindungi.

Kenyataannya itu mengundang rasa tidak senang pelbagai pihak termasuk Majlis Syura Ulama Pas yang juga selari dengan pendirian parti itu
supaya tidak mengiktiraf negara Israel dan mahu Anwar menarik balik kenyataannya itu ataupun menyaman majalah itu jika laporan berkenaan
adalah tidak benar.

Isu Palestin: Malaysia berkiblatkan Amerika, Israel

Posted: 14 Feb 2012 08:00 PM PST

KUALA LUMPUR 15 Feb: Malaysia tidak pernah konsisten memberi sokongan terhadap perjuangan Palestin, sebaliknya dasar luar kerajaan Barisan Nasional berkiblatkan dasar Amerika Syarikat dan Israel, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution.

Beliau membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya Malaysia konsisten terhadap perjuangan Palestin dan menggelar Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap talam dua muka dalam isu itu.

"Apakah Najib perlu diingatkan bagaimana layanan kerajaan Malaysia terhadap pemimpin negara Palestin yang sah dipilih secara demokrasi pada pilihanraya 25 Jan 2006?" soalnya dalam satu kenyataan media, lewat malam tadi.

Saifuddin mengingatkan pada Mei 2006, Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM), namun membelakangkan kehadiran Menteri Luar yang sah, Dr Mahmoud Al Zahar yang dilantik perdana menteri ketika itu, Ismail Haniyeh.

Sebaliknya kerajaan mengiktiraf Farouk Qadummi iaitu Bekas Menteri Luar Palestin sewaktu pimpinan kerajaan Fatah. Malah Farouk, katanya, turut dijemput berucap sebagai wakil rasmi kerajaan Palestin.

"Hal ini tidak sukar difahami kerana PM Ismail Haniyeh dan Dr Mahmoud ALZahar adalah pemimpin Palestin yang mewakili HAMAS yang pada kacamata Amerika Syarikat dan Israel adalah satu kumpulan pengganas," ujarnya.

Menurut Saifuddin, hakikat bahawa HAMAS menang pilihanraya secara bebas dan demokratik tidak sama sekali mengubah pendirian Amerika Syarikat dan Israel terhadap HAMAS yang telah berjaya membentuk kerajaan Palestin yang sah.

"Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS. Adalah menjadi pengetahuan umum Amerika Syarikat dan Israel lebih bersikap lunak terhadap kumpulan FATAH yang tewas pilihanraya.

Kata Saifuddin, Dr Mahmoud AlZahar yang kecewa dengan layanan Malaysia kemudian memulau persidangan NAM tersebut.

"Beliau menemui pimpinan PAS termasuk Timbalan Presiden ketika itu Ustaz Nasaruddin Mat Isa.

"Dr Zahar turut mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menjemput Qaddoumi dan menganggap keputusan itu sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh kerajaan beliau. Malahan Ustaz Nasaruddin kemudian mengeluarkan kenyataan mengecam kerajaan Malaysia sebagai 'biadap'," jelas beliau.

Insiden tersebut memberikan bukti jelas bagaimana tidak konsistennya dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin, yang sebenarnya berkiblatkan dasar Amerika Syarikat dan Israel terhadap Palestin.

"Insiden ini mengesahkan Kerajaan Malaysia tidak dapat membezakan antara kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin dengan pemimpin Palestin yang ditolak dan tewas dalam pilihanraya.

"Hanya kerana Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS pada ketika itu maka Malaysia juga akur," ujarnya.

Kenyataan Anwar tak gugat Pakatan, kata Mat Sabu

Posted: 14 Feb 2012 07:15 PM PST

ARHIZA AHMAD & ROBIATULADAWIYAH ABD RASHID

SHAH ALAM – Terpulang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada mahu memohon maaf dan menarik balik sokongannya terhadap Israel meskipun Majlis Syura memutuskan beliau harus berbuat sedemikian, kata Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Justeru kata beliau, pendirian Ketua Pembangkang itu tidak akan menjejaskan kerjasama parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR).

Mohamad menambah, apa yang diperkatakan oleh Anwar kepada Wall Street Journal (WSJ) adalah pandangan peribadi dan dasar partinya, dan oleh itu, terpulang kepada beliau untuk memohon maaf atau sebaliknya.

"Pas tidak mempunyai halangan, terpulang kepada Anwar sendiri, persamaan dasar yang ada dalam Pakatan Rakyat (PR) adalah untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan menuju ke Putrajaya, sekiranya ada parti ddalam PR mempunyai dasar lain, ia akan diperbincangkan kemudian.

"Namun sekiranya PKR dan DAP mempunyai dasar partinya sendiri, Pas tidak mencampurinya. Terpulang kepada mereka, termasuk menyuarakan pandangan peribadi ataupun mewakili parti," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian berhubung tindakan Majlis Syura yang meminta Anwar menarik balik kenyataannya mengenai Israel. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Anwar itu satu tindakan yang tidak betul.

Nik Abdul Aziz menyarankan kepada Anwar sekiranya kenyataan itu telah diputar belit, beliau seharusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ.

Mohamad berkata, apa yang dilakukan oleh Anwar itu tidak menggugat hubungan antara parti yang ada dalam PR, malah Pas masih tetap bersama.

"Apa yang berlaku tidak akan menggugat hubungan kami dalam PR, kami mempunyai dasar perjuangan yang sama, dan saya yakin rakyat memahami perkara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, Anwar harus mengambil tindakan terhadap WSJ sekiranya beliau tidak membuat kenyataan sedemikian.

"Apa masalah? Jika benar tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian, Anwar harus bertindak terhadap WSJ, kenapa perlu bimbang tindakan itu boleh menyelesaikan masalah.

"Sekiranya Anwar enggan tarik balik atau menyaman WSJ. Apa boleh buat. Terpulang kepada beliau. Anwar bukan ahli Pas untuk diambil tindakan disiplin," katanya menerusi laman sosialnya.

Anwar akan jumpa Nik Aziz

Posted: 14 Feb 2012 07:08 PM PST

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam masa terdekat ini bagi menjawab isu beliau dikatakan menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti yang dilaporkan Wall Street Journal (WSJ), baru-baru ini.
Menurut sumber dalaman PKR, perjumpaan akan dilakukan selepas mesyuarat bersama kepimpinan PKR, hari ini.

"Esok kita akan adakan perbincangan bersama kepimpinan PKR, selepas itu baru tentukan bila Datuk Seri Anwar bertemu Tok Guru (Nik Aziz).

"Perbincangan yang mendalam akan diadakan bersama Tok Guru bagi menjelaskan isu ini," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian cuba mendapatkan komen pemimpin PKR, Setiausaha Agungnya, Datuk Saifudin Nasution yang dihubungi mengatakan PKR masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi perkara itu.

"Awak adalah wartawan ke-19 yang menghubungi saya hari ini… saya tiada kenyataan yang boleh saya keluarkan lagi setakat ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, beliau perlu mendapatkan maklumat yang mendalam sebelum membuat sebarang kenyataan.

Kelmarin, Pas menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim tarik balik kenyataannya menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel seperti yang disiarkan dalam WSJ, baru-baru ini.

Pas gesa Ahmad Said mohon maaf

Posted: 14 Feb 2012 07:02 PM PST

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Pas menggesa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memohon maaf dan menarik balik kenyataannya pada 8 Februari lalu bahawa Pas adalah parti ajaran sesat.
Ahmad enggan berbuat demikian walaupun diminta sebelum ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas kesal de­ngan kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Umno Tereng­ganu itu bahawa Pas adalah parti ajaran sesat.

"Tuduhan tersebut melampau. Keceluparan Ahmad kita serah kepada ALLAH SWT.

"Hingga ke saat ini parti tidak bercadang untuk mengambil tindakan perundangan terhadapnya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Ahmad dilaporkan enggan tunduk kepada desakan Pas menarik balik kenyataannya mendakwa parti itu sebagai ajaran sesat. Beliau diberikan tempoh selama tiga hari untuk berbuat demikian.

Ahmad dilaporkan berkata demikian pada majlis menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia di Kijal bahawa penyelewengan dan kesesatan yang dibawa Pas terhadap umat Islam bukanlah perkara baru, malah sudah lama diketahui rakyat.

Ahmad mendakwa bukti jelas dan nyata, adalah Amanat Haji Hadi dan Peristiwa Memali yang mencabar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa Negeri Kedah.

Tuan Ibrahim menegaskan, tindakan mahkamah akan difikirkan selepas ini dengan Pas Terengganu.

"Sekarang kita sibuk menumpukan perhatian membuat persediaan menghadapi pilihan raya akan datang. Kita tidak mahu fokus kita terganggu.

"Pas Terengganu diminta menumpukan kepelbagaian program di Dewan Un­dangan Negeri (Dun) Kijal yang diwakili Ahmad bagi memastikan beliau tewas dalam pilihan raya akan datang," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Pas akan serang habis-habisan di kawasan Dun Kijal dan juga akan mengadakan solat hajat untuk kemenangan Pas.

Tiada ulasan: