Kelab Greenboc |
- Mahathir Terlupa UMNO Berbai'ah Di Perhimpunan Yang Lalu
- Perjuangan Perkauman: Dr. Asri Bidas Panjang Hujjah Harussani
- Kes Simbah Asid Di Marang: Janda 24 Thn Terkilan Jika Beliau Jadi Penyebabnya
- Nik Aziz Tempelak UMNO Tergamak Jalinkan Hubungan Dagang Dengan Israel
- Gadis Hilang Pada Hari Kekasih Selepas Bercinta Dengan Pemuda Pakistan
- [Bergambar] Lagi Gambar-gambar Pelik, Aneh & Lucu Hanya Di Malaysia
- I Help You, You Help Me, Projek Lebuhraya KIDEX Untuk Hakim & Peguam UMNO
- [Video] Manjoi Dilanda Banjir Kilat Terburuk Dalam Tempoh 10 Tahun
Mahathir Terlupa UMNO Berbai'ah Di Perhimpunan Yang Lalu Posted: 22 Feb 2012 01:03 AM PST Tak perlu bai'ah, kata Tun Mahathir SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan langkah Pas yang mahu mewajibkan calonnya, yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13, mengambil sumpah bai'ah atas alasan ia seolah-olah menunjukkan ahli-ahlinya tunduk kepada pemimpin mereka. Bekas Perdana Menteri berkata, manusia sepatutnya hanya tunduk kepada ALLAH dan bukan kepada sesama manusia. Beliau yang juga bekas Presiden Umno memberitahu bahawa pemimpin-pemimpin Pas juga merupakan manusia biasa, bukannya Nabi atau raja. "Dia orang (pemimpin Pas) hanya manusia biasa. Bukan Nabi, bukan raja. Tak perlu bai'ah ini," katanya pada sidang media selepas memberi syarahan perdana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini. -SH Hadi: Calon PAS pada pilihan raya wajib berbai'ah Ulasan GB Kerana nak hentam PAS, Mahathir terlupa bahawa ahli-ahli UMNO di dalam Perhimpunan Agung Umno 2011 telah melakukan bai'ah - sesuatu amalan yang dilihat oleh banyak pihak, meniru kaedah PAS.
|
Perjuangan Perkauman: Dr. Asri Bidas Panjang Hujjah Harussani Posted: 21 Feb 2012 11:52 PM PST Apakah Islam galakkan perjuangan perkauman? Apakah Islam dan Nabi Islam Muhammad SAW menggalakkan perjuangan yang bersifat perkauman? Islam agama universal ini wajarkah dikaitkan dengan 'jihad perkauman' yang telah mencetuskan pelbagai perbalahan sepanjang sejarah? Wajarkah Islam dikaitkan dengan perjuangan perkauman? Sehingga semasa saya di Malaysia baru-baru ini, dalam seminar bersama para penulis maya, seorang tokoh agama berjawatan tinggi dalam forum melahirkan rasa tidak puas hati kerana di Tanah Melayu ini ada masjid India, Benggali dan Cina. Kelihatan, begitu sekali Islam itu diacuankan secara perkauman sehingga menafikan hak budaya muslim kaum lain. Untuk menjawab persoalan ini, saya ingin sebutkan beberapa noktah berikut; Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi Arab, atau Melayu, atau Inggeris atau India atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya) "dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15). Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi SAW: "Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas 'ajam (yang bukan arab), atau 'ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan" (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani). Jika hal ini tidak dihayati, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal 'I have a dream' menyebut: "I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character". Maka, berdasar dua asas di atas, apa-apa sahaja tindakan atau pembahagian ekonomi dan sosial yang berasaskan bangsa terdedah kepada unsur-unsur ketidakadilan disebabkan faktor di atas. Hakikatnya, menilai berdasarkan agama lebih luas dari berasaskan bangsa. Kemudian, menilai keperluan kehidupan berdasarkan latar ekonomi seseorang lebih luas dari penilaian berdasarkan agama atau bangsa. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya) "Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13). Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil "Wahai manusia!". Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafsirkan ayat ini: "Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu". (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq). Maka, apa-apa sahaja tindakan atau peraturan yang boleh membawa permusuhan kaum, atau permusuhan atas dasar bangsa dan etnik, maka ia menjurus kepada unsur ketidakadilan yang ditolak oleh prinsip asas Islam. Tiada kaum yang boleh menganggap mereka 'lebih tuan' dalam ertikata racial supremacy. Adapun hadis Nabi: "Para pemimpin dari Quraish" (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll) tidak boleh dijadikan hujah ketuanan sesuatu bangsa. Hadis ini bukan soal ketuanan, tetapi soalan kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam perlantikan pemimpin. Oleh kerana Quraish mempunyai pengaruh dan kemampuan politik dalam kalangan Arab ketika itu, maka mereka paling layak. Dalam masa yang sama Nabi bersabda:"Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah" (Riwayat Muslim). Hadis ini menafikan ketuanan kaum (racial supremacy) tertentu. Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: (maksudnya) "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali 'Imran ayat 103). Menolong seseorang berdasarkan agama memberikan ruang yang lebih terbuka daripada menolong seseorang berdasarkan bangsa. Ini kerana seseorang boleh memilih agamanya, tetapi tidak boleh memilih bangsanya. Menolong Kaum Dalam Islam Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: (maksudnya) "Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Rum, ayat 37) Nabi juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi: "Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Ertinya, walaupun Islam menentang 'asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum. Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanatik puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain. Sabda Nabi: "Sesiapa yang berperang di bawah rayah 'immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada 'asabiyyah atau marah kerana 'asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah". (Muslim). Rayah 'immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu 'asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi 'asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan 'asabiyyah. Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi boleh menjadi keperluan sementara yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy'ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa. Ertinya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji. Namun, berjihad menentang kaum lain atas nama bangsa, bukan ajaran Islam. -Mohd Asri Zainul Abidin Harussani: Nabi anjur pertahan Raja, kaum |
Kes Simbah Asid Di Marang: Janda 24 Thn Terkilan Jika Beliau Jadi Penyebabnya Posted: 21 Feb 2012 10:05 PM PST Marang: "Saya kesal kalau benar saya yang menjadi punca mereka bergaduh," kata janda berusia 24 tahun yang enggan dikenali dari Kampung Serating, Merchang, di sini, yang terkilan kerana dikatakan penyebab kejadian simbah asid di kampung terbabit, pagi Ahad lalu. Bagi mengelak prasangka buruk terhadapnya, ibu kepada dua anak itu menjelaskan salah seorang suspek dan mangsa adalah bekas teman lelakinya dari kampung sama. Menurutnya, mereka bersengketa apabila mengetahui seorang daripada mangsa iaitu Sharul Zaman Salim, 38, cuba melamarnya beberapa minggu lalu. "Memang dia (Sharul Zaman) melamar saya minggu lalu, tetapi saya menolak kerana beranggapan mereka hanya sebagai kawan saja. "Kejadian itu juga menyebabkan penduduk kampung memandang serong kepada saya selain tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja sebagai pembantu kedai makan dan sangat terkilan seandainya betul kejadian itu ada kaitan dengan saya," katanya. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, susulan tangkapan terhadap dua lelaki berusia 39 dan 32 tahun yang dipercayai terbabit mencederakan dua mangsa dalam kejadian di Kampung Padang, Merchang, di sini, Ahad lalu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun bagi membantu siasatan. "Lelaki terbabit seorang buruh binaan dari Kampung Padang, Merchang ditahan di premis mencuci kereta di kampung berkenaan kira-kira jam 4.30 petang semalam (kelmarin) dan penahanan terhadap lelaki terbabit dipercayai dapat membantu siasatan yang kini hampir selesai," katanya. -HM
klik untuk baca |
Nik Aziz Tempelak UMNO Tergamak Jalinkan Hubungan Dagang Dengan Israel Posted: 21 Feb 2012 07:51 PM PST Nik Aziz: Beza atau tak, PAS tetap tak iktiraf Israel Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini mengulangi pendirian parti Islam itu tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel, walaupun pandangannya mungkin berbeza dengan pihak lain. "Saya ingin mengulangi pendirian saya dah Majlis Syura serta pendirian PAS khususnya bahawa tidak sekali-kali mengiktiraf walaupun seinci pun hak Yahudi terhadap bumi Palestin yang dirampas pada hari ini. "Berbeza atau tidak dengan sesiapa, PAS tetap dengan pendirian ini," katanya yang juga menteri besar Kelantan. Nik Aziz pada 14 Februari lalu meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya yang didakwa menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti dilaporkan The Wall Street Journal atau menyaman media itu jika laporannya tidak benar. Berikutan itu, berlaku ketegangan seketika di kalangan penyokong Pakatan Rakyat. Namun, selepas pertemuan kedua-dua pemimpin utama pembangkang itu pagi tadi, Anwar berkata, mereka kini saling faham pendirian masing-masing, termasuk PAS yang tegas tentang Israel. Dalam kenyataan di Facebook merujuk perkara itu petang ini, Nik Aziz bagaimanapun tidak menyentuh langsung sama ada beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Anwar kepadanya hari ini. Nik Aziz sebaliknya mengambil peluang menempelak "pihak yang kelihatan sangat anti-Yahudi" tetapi tergamak menjalinkan hubungan dagang dengan Israel dan membenarkan pelabuhan negara disinggahi kapal Israel. "Pihak-pihak ini hakikatnya hanyalah ayam jantan yang berkokok gagah sedangkan ekornya bergelumang najis!" katanya merujuk dakwaan kapal Israel dikesan berlabuh di Pelabuhan Klang. NGO mesra PKR, JINGGA 13, semalam membekalkan "bukti" menunjukkan kapal-kapal yang dimiliki sebuah syarikat yang didakwa dikuasai oleh kerajaan Israel mempunyai akses bebas ke Westport, Pelabuhan Klang. Mendedahkan dokumen dari Jabatan Kastam, Wesport dan syarikat Zim Integrated Shipping Services Ltd, Jingga 13 mendakwa kapal Zim Atlantic yang berlabuh di Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu datang secara langsung dari pelabuhan Ashdod di Israel. Bagaimanapun, semalam Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata kerajaan tidak melarang perdagangan antara syarikat swasta negara ini dengan ahli-ahli perniagaan Israel. Justeru, katanya, kapal-kapal yang dimiliki oleh Israel juga dibenarkan berlabuh di pelabuhan di Malaysia untuk tujuan perdagangan tetapi dengan syarat bahawa anak kapal yang memegang pasport Israel dilarang daripada mendarat. -mk Ulasan GB Dimanakah suara-suara kumpulan agamawan di dalam UMNO seperti Menteri Agama dan para mufti? Dimanakah suara jaguh-jaguh UMNO yang sebelum ini mengkritik Anwar Ibrahim ekoran kenyataannya di Wall Street Journal? klik untuk baca |
Gadis Hilang Pada Hari Kekasih Selepas Bercinta Dengan Pemuda Pakistan Posted: 21 Feb 2012 05:52 PM PST Kuala Langat – Panahan asmara seorang lelaki Pakistan ke atas kekasihnya yang merupakan seorang pelajar tingkatan lima menyebabkan gadis itu bertindak membelakangkan keluarga apabila dia disyaki melarikan diri selepas cinta mereka mendapat tentangan. NURUL ZAKIAH yang hilang sejak 14 Februari lalu dirayu pulang oleh keluarganya. Nurul Zakiah Hidayah Azman, 17, dikatakan hilang pada Hari Kekasih 14 Februari lalu selepas tiga minggu berkenalan dan bercinta dengan lelaki dikenali sebagai Samer Khan, 20-an. Samer Khan digambarkan sebagai lelaki yang kacak tetapi keluarga Nurul Zakiah hanya mendengar cerita mengenai Samer daripada gadis itu dan tidak pernah menemuinya. Pertemuan yang tidak dirancang hingga melahirkan bibit-bibit cinta itu berlaku ketika Nurul Zakiah bekerja secara sambilan di sebuah pasar raya manakala Samer pula bekerja di sebuah kedai menjual barang-barang makanan di Pekan Banting di sini. Kedua-dua premis itu terletak berdekatan. Nurul Zakiah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini sebelum kejadian tinggal bersama ibu saudaranya, Norlaila Saad, 43, sejak 12 tahun lalu selepas kematian ibunya. Mengimbau semula kejadian itu, Norlaila memberitahu, dia menyedari kehilangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting dekat sini itu selepas anak saudaranya tidak pulang ke rumahnya di Jalan Masjid, Kanchong Darat setelah tamat waktu belajar. -kosmo |
[Bergambar] Lagi Gambar-gambar Pelik, Aneh & Lucu Hanya Di Malaysia Posted: 21 Feb 2012 03:59 PM PST Banyak lagi gambar-gambar pelik, aneh dan lucu untuk kita hilangkan tekanan setelah sehari suntuk mengikuti isu-isu berat yang berlaku sekeliling kita. Gambar-gambar ini bersepah ini internet, dikutip untuk paparan di blog GB ini untuk kita segarkan semula minda kita untuk menghadapi isu-isu baru selepas ini. Selamat menyaksikan dan selamat berhibur. Saksikan: klik untuk baca |
I Help You, You Help Me, Projek Lebuhraya KIDEX Untuk Hakim & Peguam UMNO Posted: 21 Feb 2012 07:23 AM PST Projek Lebuhraya KIDEX untuk Hakim dan Peguam UMNO: Nurul tuntut penjelasan PM Krisis perlembagaan Perak masih lagi segar di ingatan rakyat Malaysia, khususnya tuduhan bahawa permohonan Zambry Kadir dipercepatkan sementara menafikan permohonan lawan politiknya Nizar Jamaluddin pula. Watak utama kemelut ini merupakan Hafarizam Harun, penasihat undang-undang UMNO, mewakili Zambry ketika itu, dan bekas penasihat undang-undang UMNO dan Ketua Hakim Negara ketika itu, Ahmad Zaki. Justeru, kedua-dua individu ini mestilah berhadapan dengan perhatian umum berkenaan penglibatan mereka di dalam rampasan Perak oleh Barisan Nasional dan kontroversi terbaru melibatkan mereka di dalam pemberian konsesi RM2.2 bilion Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX). Hafarizam merupakan pengarah untuk kedua-dua belah syarikat yang menerima konsesi tersebut, iaitu Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd sementara isteri Zaki Azmi merupakan pengarah di dalam Emrail, sebuah syarikat yang tidak mempunyai rekod di dalam pembinaan lebuhraya. Kenyataan syarikat tersebut sendiri menyatakan mereka berhasrat menjadi "Syarikat Kejuruteraan Rel Utama di Malaysia dan Rantau ini." Mengambilkira kontroversi penganugerahan konsesi ini, Perdana Menteri mestilah respon segera berkenaan isu-isu ini: 1. Pendirian PM berkenaan Seksyen 9 Kod Etika Hakim 2009: "Seorang hakim akan, pada masa perlantikan atau mana-mana masa kemudiannya sekiranya diminta oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan membuat perisytiharan bertulis semua asetnya kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan." Merujuk kepada peruntukan ini, Ketua Hakim Negara pada masa ini, Ariffin Zakaria mestilah meminta Zaki Azmi membuat perisytiharan aset beliau dan keluarganya secara bertulis berikutan tuduhan-tuduhan ini. 2. Mendedahkan sebab dan kriteria pemberian tender kepada Zabima Engineering dan Emrail. Apakah syarikat-syarikat lain yang dipertimbangkan, dan adakah tender terbuka dibuat demi memastikan kepentingan orang ramai terpelihara? 3. Bagaimanakah pemberian konsesi dan pakej kontrak ini selari dengan dasar pentadbiran ini, khususnya Model Ekonomi Baru, Inisiatif Pembaharuan Strategik dan lain-lain lagi? 4. Apakah terma lengkap konsesi, kadar tol dan perkongsian keuntungan? Di dalam smsnya kepada Malaysian Insider, Hafarizam mendakwa bahawa syarikat-syarikatnya diserang memandangkan mereka merupakan antara bilangan kecil syarikat Bumiputera yang dianugerahkan projek ini. Malang sekali apabila sebuah isu tentang ketelusan dan kebertanggungjawaban yang akan memberi impak kepada semua rakyat sekali lagi dilihat dari perspektif kaum. Hakikatnya, sekiranya tuduhan ini terbukti benar, sekelompok kecil kroni akan sekali lagi mendapat durian runtuh sedangkan ramai rakyat Malaysia, termasuk majoriti masyarakat Bumiputera terpaksa menjadi mangsa projek ini. Terma perjanjian antara kerajaan dan syarikat-syarikat yang dipilih mesti didedahkan agar projek ini tidak menjadi satu lagi konsesi yang membebankan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia mempunyai harapan besar terhadap konsesi generasi kedua dan ketiga memandangkan piawai-piawai baru yang dijanjikan kerajaan. Usah kita lupa rekod buruk Kerajaan BN di dalam pemberian konsesi sebelum ini. Jawapan telus daripada Perdana Menteri mampu meyakinkan rakyat bahawa mereka tidak akan dibebani dengan lebih banyak "bail-out" dan penswastaan semula Rakyat khususnya bertanya, apa sudah jadi dengan janji Program Transformasi Kerajaan untuk mengurangkan ketirisan dan pembaziran wang rakyat untuk pembangunan negara dan perbelanjaan operasi dengan memastikan ketelusan di dalam pemberian kontrak? Jelas sekali, kerajaan harus membuktikan pemberian projek lebuhraya ini dibuat secara telus demi kepentingan rakyat. Jika tidak, rakyat akan terus menolak jaminan BN dalam isu transformasi ekonomi dan membuat keputusan mereka di dalam pilihan raya akan datang. *Kenyataan media oleh Nurul Izzah Anwar (gambar kiri) selaku Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat. Hafarizam: Kontrak bukan habuan tapi merit |
[Video] Manjoi Dilanda Banjir Kilat Terburuk Dalam Tempoh 10 Tahun Posted: 21 Feb 2012 04:37 AM PST Manjoi - "Habis rumah pusaka peninggalan keluarga dimasuki air Sungai Pari yang terletak berhampiran dengan rumah kami. "Sebelum ini, pernah juga kejadian banjir ini berlaku namun ia tidaklah seburuk yang berlaku pada hari ini (semalam)," luah Habsah Shariff, 56, salah seorang mangsa banjir yang tinggal di Jalan Raja, Kampung Manjoi. Beliau yang tinggal bersama suami dan dua anak itu menyedari air semakin naik sehingga ke paras lutut pada jam 8 pagi. "Kira-kira jam 3 pagi, hujan lebat melanda kawasan ini namun tidak menyangka air naik dengan cepat sehingga turut menjejaskan rumah lain yang terletak berhampiran. "Boleh dikatakan semua barangan di rumah ini tidak dapat diselamatkan akibat banjir kilat itu," katanya. Pasangan suami isteri, Mohd Daud Abas, 61, dan Zaleha Mat Lin, 50, berkata mereka menyedari paras air mula naik selepas solat Subuh. Mohd Daud yang juga orang kurang upaya (OKU) mendakwa mereka sekeluarga tidak mendengar siren amaran yang dipasang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). "Lazimnya, setiap kali paras aircapai tahap bahaya siren amaran pasti berbunyi namun pagi ini ia gagal berfungsi," katanya. Tinjauan Sinar Harian mendapati, lebih 500 penduduk di sekitar Gugusan Manjoi, Buntong, Silibin dan Batu Gajah terpaksa dipindahkan akibat hujan lebat yang berterusan bermula awal pagi semalam. Difahamkan, paras air turut naik antara 0.5 hingga satu meter dalam kejadian itu. Antara kawasan yang teruk terjejas termasuklah Kampung Manjoi Lama, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 3, Taman Muhibbah, Taman Lim, Kampung Sungai Pari dan Kampung Sungai Terap, dekat Batu Gajah. Bagi penduduk di Gugusan Manjoi semua mangsa yang terlibat ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Dewan Orang Ramai Manjoi dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Kampung Tengku Hussein. Dalam perkembangan sama, jambatan konkrit di Taman Wing Onn juga runtuh dan beberapa buah sekolah turut ditutup termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pari, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Puteri dan SK Seri Mutiara. SK dan SMK Tarcisian Convent serta SMK Dr Megat Khas turut dinaiki air namun keadaannya tidak serius dan persekolahan dijalankan seperti biasa. Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut kelihatan sibuk menjalankan kerja-kerja pembersihan sampah sarap yang tersangkut di jambatan Jalan Raja untuk memudahkan aliran air Sungai Pari bergerak lancar. Terburuk dalam tempoh 10 tahun Adun Manjoi, Datuk Nadzri Ismail yang melawat kawasan tersebut memberitahu kejadian banjir kilat itu adalah yang terburuk dalam tempoh 10 tahun. Katanya, sebelum ini pernah juga berlaku bencana sedemikian namun keadaannya tidak membimbangkan. "Hujan lebat luar biasa yang bermula sejak 2 pagi tadi (semalam) adalah di antara punca berlakunya banjir kilat itu. "Keadaan itu menyebabkan takungan air sungai tidak dapat menampung lebihan air sehingga mengakibatkan ia melimpah ke kawasan kampung berhampiran. "Justeru, satu jawatankuasa tindakan banjir daerah kecil Ipoh ditubuhkan bagi mengawasi bencana tersebut yang membabitkan beberapa agensi termasuklah MBI, JPS dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN). Menurutnya, melalui laporan awal yang diterima daripada Jabatan Meteorologi banjir itu ditanda sebagai kawasan jingga yang bermaksud kawasan berkenaan mempunyai risiko untuk dilanda banjir semula. "Oleh itu, secara keseluruhannya kawasan tersebut masih belum selamat untuk diduduki kerana hujan dijangka akan berlaku pada sebelah petang dan mereka diminta untuk lebih berwaspada," katanya. Nadzri berkata, sebelum ini, pihaknya pernah menawarkan penduduk yang terdedah dengan risiko banjir untuk pindah ke kawasan lebih selamat namun ada dalam kalangan mereka yang mempunyai alasan tersendiri untuk terus tinggal di kampung tersebut. "Mungkin mereka mempunyai nostalgia tersendiri dan sayang untuk meninggalkan kampung itu. "Bagaimanapun, kami akan cuba berbincang dengan keluarga yang berisiko tinggi untuk berdepan dengan banjir supaya mereka ditempatkan di kawasan lebih selamat," katanya. Beliau turut mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir tersebut. -SH |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan