Selasa, 14 Februari 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Ketua Pendakwa Syarie Perak Dipenjara & Denda Kerana 4 Tuduhan Rasuah

Posted: 14 Feb 2012 01:00 AM PST

Ketua Pendakwa Syarie negeri Perak dipenjara 8 tahun, denda RM55,000 atas kesalahan rasuah

KUALA LUMPUR, 13 Feb — Ketua Pendakwa Syarie Perak hari ini telah dijatuhkan hukuman penjara 8 tahun dan denda RM55,000 atas empat pertuduhan meminta dan memperoleh suapan sebagai dorongan untuk tidak meneruskan pertuduhan atas satu kes khalwat.

Shahrunnazri Abdul Samad, 40, didakwa melakukan kesalahan tersebut semasa beliau bertugas sebagai Ketua Pendakwa Syarie yang merupakan jawatan tertinggi Bahagian Pendakwaan Syariah di negeri Perak.

Beliau dituduh di bawah seksyen 10 (a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997 dan Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997.

Bagi pertuduhan pertama, Shahrunnazri secara rasuah meminta suapan wang tunai berjumlah RM5,000 daripada Mohamad Asri Bin A. Bakar sebagai dorongan supaya tidak meneruskan pertuduhan ke atasnya yang disyaki terlibat dalam satu kes khalwat.

Manakala pertuduhan kedua, tertuduh secara rasuah memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM1,000 melalui akaun simpanan Maybank supaya tidak diteruskan pertuduhan ke atasnya yang disyaki terlibat dalam satu kes khalwat.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh turut memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2,000 melalui akaun simpanan Maybank supaya tidak diteruskan pertuduhan ke atas individu sama yang disyaki terlibat dalam satu kes yang sama.

Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa telah memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2,000 melalui akaun simpanan Maybank untuk diri tertuduh sebagai dorongan untuk tidak meneruskan pertuduhan ke atas individu sama yang disyaki terlibat dalam satu kes khalwat yang sama.

Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM25,000 bagi pertuduhan pertama.

Manakala untuk ketiga-tiga pertuduhan berikutnya, hakim telah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan tersebut.

Pendakwaan telah dijalankan di hadapan Hakim Tan Hui Lim, SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Razak Musa manakala tertuduh diwakili oleh Abdul Roni Abd Rahman & Co.

Bagi kesalahan di atas jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan. -TMI

Ulasan GB

Inilah perwatakan yang mewarnai figura pendakwa syarie - menerima rasuah.

Itu baru kes-kes yang diketahui dan dapat dibuktikan, tidak termasuk kes-kes yang berlaku senyap-senyap yang "berkemungkinan" lebih banyak dari yang diketahui.

Pegkhianatan terhadap amanah berlaku apabila seseorang tidak takut dengan Allah yang Maha melihat dan Maha Tahu.

Akibat daripada rasuah, sistem kebenaran dan keadilan dilacurkan.

Guan Eng Libas Tiong Lai - Bumbung Stadium Juga Runtuh, Mahu Pantau Lynas?

Posted: 14 Feb 2012 12:26 AM PST

Bumbung stadium pun runtuh, macam mana nak pantau Lynas'

PETALING JAYA: Bolehkah kita mempercayai Pengerusi MCA Pahang dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk memantau keselamatan dan sekuriti pengendalian Loji Bahan-Bahan Maju Lynas (LAMP) di Kuantan?

Ketika menimbulkan persoalan ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, mengharapkan kredibiliti dan profesionalisme Liow untuk memantau projek Lynas sama seperti menaruh kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membina stadium di Kuala Terengganu yang lambat laun bumbungnya runtuh.

Guan Eng memberi komen demikian dalam satu kenyataan media hari ini berikutan MCA Pahang mengumumkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Liow untuk memantau operasi LAMP yang mendapat Lesen Kendali Sementara (TOL) selama dua tahun oleh kerajaan BN.

Menurutnya, Liow jelas memperlihatkan sikapnya yang tidak bertanggungjawab kerana menafikan tindakan pasukan polis menembak gas pemedih mata dan meriam air ke dalam perkarangan Hospital Bersalin Tung Shin semasa Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.

"Apabila dibuktikan bahawa polis memang telah menembak gas pemedih mata dan meriam air ke dalam kawasan hospital, barulah Liow terpaksa memohon maaf secara terbuka.
"Namun demikian, tidak ada tindakan yang telah diambil ke atas mereka yang cuba menutup isu ini dan memberi laporan palsu," jelas Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tidak bertanggungjawab

Beliau menegaskan bahawa pemberian TOL oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) Malaysia untuk loji pemprosesan nadir bumi yang terbesar di dunia adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

"Ini kerana projek Lynas membawa risiko kepada keselamatan, kesihatan dan juga nyawa rakyat di Kuantan, terutama sekali apabila dasar-dasar perlindungan antarabangsa masih lagi dipertikaikan,' tegas beliau.

Ujar beliau, dalam kata lain, AELB dan pihak pengawal selia sendiri tidak mempunyai cadangan pembuangan sisa radioaktif yang jelas daripada Lynas.

"Di bawah TOL, Lynas akan bertanggungjawab penuh atas pengurusan sisa termasuk mengembalikannya kepada sumber asal jika perlu.

"Tetapi Australia sudah menyatakan bahawa ia tidak akan mengambil balik apa-apa bahan sisa. Jika begitu, ke manakah sisa-sisa itu akan dikembalikan?

Berhubung masalah bahan sisa ini, Guan Eng menyoal "siapakah pakar dalam MCA Pahang yang akan memantau operasi Lynas dan mengenalpasti sama ada ianya selamat atau tidak?

"Adalah jelas bahawa MCA dan BN rela mengorbankan keselamatan rakyat demi keuntungan besar untuk syarikat tersebut dan juga pihak -pihak yang mempunyai kepentingan dengan membenarkan pengendalian loji nadir bumi Lynas di Kuantan," jelas beliau. -FMT

Rekod Tung Shin sebabkan jaminan Tiong Lai dipertikai

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Tragedi Penipuan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengenai tembakan gas pemedih ke Hospital Tung Shin membuatkan jaminan beliau untuk memantau keselamatan kilang Lynas terus dipertikai.

Bagi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ke Tung Shin telah menyebabkan jaminan Tiong Lai dipertikaikan.

"Bolehkah kita mempercayai Pengerusi MCA Pahang dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk memantau keselamatan dan sekuriti pengendalian Loji Bahan-Bahan Maju Lynas (LAMP) di Kuantan?" soalnya.

Padahal, katanya, beliau telah menunjukkan sikap tidak endah, tidak profesional dan tidak bertanggungjawab dengan menipu dan menafikan bahawa polis tidak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke dalam perkarangan Hospital Bersalin Tung Shin semasa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011?

Apabila dibuktikan bahawa polis memang telah menembak gas pemedih mata dan meriam air ke dalam kawasan hospital, barulah Liow terpaksa memohon maaf secara terbuka.

Namun demikian, tidak ada tindakan yang telah diambil ke atas mereka yang cuba menutup isu ini dan memberi laporan palsu.

Kini, MCA Pahang telah mengumumkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Liow untuk memantau operasi LAMP yang baru sahaja diberi Lesen Kendali Sementara (TOL) selama 2 tahun oleh Kerajaan Persekutuan BN.

Bagi Ketua Menteri Pulau Pinang itu, pemberian TOL oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) Malaysia untuk loji pemprosesan nadir bumi yang terbesar di dunia adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan membawa risiko kepada keselamatan, kesihatan dan juga nyawa rakyat di Kuantan, terutama sekali apabila dasar-dasar perlindungan antarabangsa masih lagi dipertikaikan.

Umum tidak mempunyai keyakinan terhadap keupayaan BN bukan sahaja untuk bercakap benar tetapi juga untuk memantau keselamatan secara profesional.

Daripada menangani isu-isu yang serius, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengambil keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa yang dipengerusikannya untuk memastikan pematuhan LAMP dalam syarat-syarat yang ditetapkan dalam TOL.

"Mengharapkan kredibiliti dan profesionalisme Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk memantau keselamatan LAMP adalah tidak berbeza dengan mempercayai pihak berkuasa Malaysia untuk mengendalikan loji nuklear dengan selamat apabila stadium di Kuala Terengganu pun tidak boleh dibina tanpa keruntuhan bumbung," tegas beliau.

Salah satu daripada lima syarat adalah supaya Lynas menyediakan pelan terperinci dan juga lokasi Fasiliti Pembuangan Sisa (PDF) kepada AELB dalam tempoh 10 bulan dari tarikh pemberian lesen.

Dalam kata lain, AELB dan pihak pengawal selia sendiri tidak mempunyai cadangan pembuangan sisa radioaktif yang jelas daripada Lynas.

Di bawah TOL, Lynas akan bertanggungjawab penuh atas pengurusan sisa termasuk mengembalikannya kepada sumber asal jika perlu.

Tetapi Australia sudah menyatakan bahawa ia tidak akan mengambil balik apa-apa bahan sisa.

"Jika begitu, ke manakah sisa-sisa itu akan dikembalikan?

"Siapakah pakar dalam MCA Pahang yang akan memantau operasi Lynas dan mengenalpasti sama ada ianya selamat atau tidak?" kata Lim Guan Eng dalam kenyataannya.

Adalah jelas, kata beliau, MCA dan BN rela mengorbankan keselamatan rakyat demi keuntungan besar untuk syarikat tersebut dan juga pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dengan membenarkan pengendalian loji nadir bumi Lynas di Kuantan.
-HD



Hilux Dirempuh Sehingga Masuk Kedai Petronas - Salah Siapa?

Posted: 13 Feb 2012 10:30 PM PST

Guru wanita hilang kawalan rempuh Hilux

PASIR PUTEH - Akibat hilang kawalan, kereta seorang guru wanita merempuh sebuah kereta 4x4 jenis Hilux sebaik sahaja selesai mengisi minyak di Stesen Minyak Petronas Pasir Puteh Dua, di sini.

Kejadian yang berlaku jam 6 petang kelmarin itu dipercayai berlaku apabila Azizah Mat Noor, 44, memandu kereta Cherry miliknya merempuh dengan laju Hilux yang diletakkan di hadapan Petronas sehingga memasuki kedai tersebut.

Pemilik Hilux, Sufian Abdullah, 21, berkata, semasa kejadian tersebut berlaku dia baru sahaja memasuki kedai Petronas tersebut tidak sampai tiga minit sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat.

"Semasa kejadian saya sedang berurusan di mesin wang di dalam kedai itu dan apa yang berlaku ini sangat mengejutkan," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian tersebut, kereta milik Azizah rosak teruk di bahagian hadapan akibat merempuh bahagian belakang kereta milik Sufian.

Azizah tidak mengalami sebarang kecederaan kerana semasa kejadian dia memakai tali pinggang keledar.

Sementara itu, Pengurus stesen minyak tersebut, Mohd Azli Abdullah berkata, sehingga sekarang pihaknya masih tidak dapat memberitahu berapa jumlah kerugian akibat kejadian tersebut.

"Ini kerana kami terpaksa menunggu wakil daripada pihak Petronas terlebih dahulu untuk datang menilai jumlah kerugian," katanya.

Menurutnya, kejadian tersebut merupakan yang pertama berlaku di stesen minyak tersebut dan dia bersyukur kerana ia tidak melibatkan orang ramai dan pekerja. -SH




Ulasan GB

Yang pemilik Hilux, Sufian Abdullah, (21 tahun) pergi letak kenderaannya melintang depan Petronas tu apa pasal? Bukankah ia boleh menghalang laluan?

Tidakkah sepatutnya dia meletakkan kenderaannya di sebelah tepi jika sekadar untuk membeli barang dan bukan untuk mengisi minyak?

Tubuh Suruhanjaya Siasat Daftar Pemilih Meragukan, S'ngor Tertinggi Pertambahan Pengundi

Posted: 13 Feb 2012 07:46 PM PST

Pakatan desak SPR batal daftar 42,000 pemilih ragu

PETALING JAYA, 13 Feb: Pakatan Rakyat mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membatalkan pendaftaran 42 ribu nama pemilih yang baharu kerana tidak didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu sidang media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR, di sini petang ini berkata, nama-nama tersebut telah menimbulkan keraguan apabila ia tiada maklumat di dalam JPN. Hadir sama ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Kita hari ini telah mengambil pendekatan berhubung status 42 ribu nama pendaftar baru yang telah dikenal pasti meragukan agar SPR menghapuskan segera nama-nama tersebut sebelum pilihan raya akan datang.

"Kebimbangan ini ditimbulkan kerana setelah pemeriksaan dilakukan di JPN kita dapati tiada maklumat diperolehi berhubung dengan nama-nama pemilih yang telah didaftarkan itu," jelasnya.

Tambahnya lagi, penambahan daftar pemilih secara mendadak berlaku di Selangor, malah di Wilayah Persekutuan juga terdapat enam ratus pemilih yang telah didaftarkan di alamat yang sama.

"Kita menggesa agar semua pihak diberi tanggungjawab meneliti senarai daftar pemilih baru kerana kita tidak mahu wujud penipuan dalam daftar pemilih demi untuk memberi kemenangan kepada Barisan Nasional.

"SPR perlu telus dalam melakukan sesuatu tugas dan mereka tidak perlu tunduk kepada pihak lain," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anwar turut memberitahu, Pakatan Rakyat juga bersetuju agar satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi meneliti kembali status kewarganegaraan yang telah diberikan kepada pendatang asing.

"Kita mahu suruhanjaya diwujudkan segera bagi meneliti kembali hak kewarganegaraan yang diberikan kepada pendatang asing bagi menilai sama ada ia layak ataupun tidak.

"Penubuhan ini perlu kerana kita dapati terlalu banyak nama-nama yang meragui dan dalam masa yang sama kita tidak mahu sebagai agenda politik kerajaan Barisan Nasional maka negara ini mudah tergadai melalui pemberian status warganegara," kata beliau lagi.

Ketua Umum PKR itu turut menekankan wakil Pakatan Rakyat di dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) akan terus mendesak PSC agar SPR lebih bersikap telus serta membatalkan senarai nama tersebut sebelum tibanya pilihan raya umum akan datang. -HD

Anwar: Pertambahan mendadak pengundi di Selangor mencurigakan

PETALING JAYA, 13 Feb — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapatnya kecurigaan dalam pertambahan mendadak bilangan pengundi di sesetengah kawasan di negeri ini sejak 2008. Penasihat PKR itu menjelaskan, antara kawasan yang mengalami kadar kenaikan ketara adalah di kawasan Subang, Kota Raja, dan Puchong.

"Berdasarkan kajian analisis terperinci Pakatan Rakyat (PR) terdapatnya pertambahan mendadak bilangan pengundi di sesetengah kawasan yang mencurigakan.

"Pengundi di Subang bertambah sebanyak 35 peratus, daripada sejumlah 84,000 ribu kepada 114,000, Kota Raja mengalami peningkatan 29.5 peratus, dan Puchong mengalami peningkatan sebanyak 25 peratus daripada tahun 2008," katanya, namun tidak mendedahkan butiran lanjut berkenaan peningkatan tersebut.

Sehubungan itu, Anwar turut menuntut SPR melaksanakan penyiasatan terperinci terhadap sejumlah 42,000 senarai nama yang meragukan di dalam senarai daftar pemilih yang tidak mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Sehingga Oktober 2011, sejumlah 42,000 senarai nama meragukan terdapat dalam senarai daftar pemilih dan kebanyakan mereka ini berumur antara 90 hingga seratus tahun dan tidak berdaftar dengan JPN.

"Sekiranya perkara itu tidak di atasi segera, Pakatan Rakyat mendesak SPR supaya tidak melaksanakan pilihan raya sehinggalah siasatan selesai," jelasnya lagi dan menambah, pembangkang turut mendesak SPR menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat warga asing yang diberi kerakyatan.

"Perkara itu bukan hanya isu di Sabah, bahkan masalah peringkat nasional. Sehubungan itu, PKR mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewujudkan suruhanjaya dan sahkan status mereka yang layak sebagai warganegara dan pengundi sebelum pilihan raya akan datang," tegasnya.

Menurut beliau, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, tiga pemimpin PR yang berada di dalam Jawatankuasa Khas Parlimen berkenaan penambah baikan pilihan raya (PSC) akan memainkan peranan mendesak SPR menjalankan semakan yang lebih telus dan pendaftaran secara automatik supaya data pengundi dapat disemak dengan lebih teliti.

"Azmin Ali, Anthony Loke, dan Dr Hatta Ramli akan bertanggungjawab mendesak SPR bagi memperbaiki perkara ini sebelum pilihan raya dilaksanakan," katanya lagi.
-TMI


Daftar Pemilih Diragui, SPR Wajar Batal Pilihanraya

PETALING JAYA 13 FEB: Pilihanraya Umum Ke-13 wajar dibatalkan sekirannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mengambil sebarang tindakan berhubung daftar pemilih yang dilihat semakin hari semakin meragukan.

Gesaan itu dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara yang bersikap berpeluk tubuh walaupun setahun perkara ini dibangkitkan, sekaligus menguatkan dakwaan wujudnya unsur 'khianat'.

Menurut Anwar sejak Oktober 2011, sejumlah 42,000 dalam daftar pemilih diragui tidak didaftarkan dengan JPN.

"Oleh itu, kami menggesa SPR harus batalkan pilihanraya ini, kebanyakannya yang didaftarkan itu berumur lebih 90 tahun dan 100 tahun," kata Anwar ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini hari ini.

Prihatin dengan perkembangan yang membimbangkan ini, Anwar memberi contoh analisis pertambahan pengundi di negeri Selangor.

"Di Selangor umpamanya, berdasarkan analisis terperinci, beberapa kawasan Parlimen, berlaku pertumbuhan (pengundi) mendadak, Subang umpamanya, pertumbuhan pemilih 35 peratus daripada 84,000 kepada 114,000.

"Kota Raja 29.5 peratus, penambahan 21,000, Puchong 25 peratus, soal daftar pemilih itu perlu dijelaskan, tapi ini keupayaan pembangkang meneliti kerana kecurigaan terhadap kebebasan integriti atau kewibawaan SPR," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Tegas beliau, sebagai badan bertanggungjawab, SPR dan JPN perlu teliti dengan urusan kerja mereka supaya tidak timbul isu berbangkit.

"Sebab itu perlu ada mekanisma yang lebih telus, pendaftaran lebih sistematik dan makluman awal diberikan kepada semua pihak supaya dapat disemak dengan teliti.

"Dibangkitkan juga perpindahan pengundi Wilayah Persekutuan yang salah di segi undang-undang iaitu 600 pemilih dipindahkan ke alamat yang sama, ada masalah di sini.

"Jawatankuasa Parlimen Terpilih (PSC), Azmin (Ali), Dr Hatta (Ramli) dan Anthony Loke akan terus hadir dan mendesak supaya hal ini dibaiki sebelum pilihanraya akan datang,"ujarnya.

Terdahulu, perkara tersebut dibangkit apabila daftar pemilih SPR mengandungi lebih 1000 senarai pengundi berusia lebih 100 tahun di Perak.
-tvsnews




Pejabat Apek (Penjaga Gol Kelantan) Disimbah Cat Hitam Kali Ketiga

Posted: 13 Feb 2012 05:53 PM PST

Kta Bahru - Setelah berdepan tohmahan yang menjadi punca putusnya pertunangan seorang gadis, penjaga gawang nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat (gambar kecil), 23, atau Apek dilanda dugaan lagi apabila pejabatnya, Khairul Fahmi Resources (KFR) Sdn. Bhd., di Jalan Seri Cemerlang di sini disimbah cat hitam.

Gambar: SEIYED AHMAD menunjukkan laporan polis yang dibuat ekoran kejadian simbahan cat berwarna hitam di pejabat KFR di Kota Bharu semalam.

Perbuatan khianat yang dipercayai dilakukan individu tidak bertanggungjawab itu merupakan yang ketiga sejak 5 Februari lalu sehingga mendorong Apek dan pihak pengurusannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini kelmarin.

Tindakan itu terpaksa diambil kerana mereka bimbangkan keselamatan diri masing-masing setelah keadaan sama berulang dua hari berturut-turut.

Menurut pengurus syarikat itu, Seiyed Ahmad Mohamad Yusoff, dalam kejadian pertama 5 Februari lalu, pintu depan pejabat itu disimbah cat hitam dan diikuti kejadian kedua pada Sabtu lalu yang menjadikan papan tanda dan pagar tempat simbahan cat tersebut, manakala dalam kejadian ketiga kelmarin bahagian lantai dan dinding luar pejabat sehingga ke bumbung pula menjadi 'mangsa'.

"Ketika kejadian pertama berlaku, Apek dan kami cuba berfikiran positif dengan menjangkakan ia cuma perbuatan nakal budak-budak tetapi apabila berlaku kejadian kedua dan ketiga, kami mula mengesyaki sesuatu yang tidak baik," katanya ketika ditemui di pejabat KFR di sini semalam. -kosmo

erulang kali disimbah cat

KOTA BHARU: Selepas dipalit kontroversi dan menjadi mangsa fitnah, penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (gambar), 23, atau Apek, berdepan pula ancaman pihak tertentu apabila bangunan pejabat syarikat miliknya, Khairul Fahmi Resources Sdn Bhd (KFR), di sini, disimbah cat hitam.

Pengurus KFR, Seiyed Ahmad Mohamad Yusoff berkata, bangunan terletak di Jalan Seri Cemerlang, Dusun Raja itu disimbah cat hitam tiga kali.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku antara 3 dan 4 Februari, diikuti kejadian kedua pada 9 Februari lalu dan terbaru Sabtu lalu.

Kejadian itu mendorong Seiyed Ahmad membuat laporan polis bersama Khairul Fahmi di Balai Polis Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 1.33 tengah hari, kelmarin dan berharap mereka yang bertanggungjawab akan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

"Ketika kejadian pertama antara 3 hingga 4 Februari lalu, saya menyangka ia (simbahan cat) perbuatan budak nakal, namun selepas kejadian sama berulang, saya terpaksa membuat laporan polis demi keselamatan Apek dan kakitangan.

"Kami tidak mahu menuduh sesiapa dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan. Kami tidak mahu berlembut lagi kerana kejadian ini menjejaskan reputasi syarikat dan mengancam keselamatan orang lain terutama Apek," katanya ketika ditemui di pejabat KFR di sini, semalam.

Menurut Seiyed Ahmad, satu bungkusan plastik mengandungi cat hitam turut ditemui di hadapan pintu masuk pejabat KFR pada Sabtu lalu dan bungkusan itu sudah diserahkan kepada polis sebagai bahan bukti.

Katanya, pihaknya akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) selain memantau sebarang pergerakan mencurigakan.

Dalam pada itu, Khairul Fahmi ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam, enggan mengulas dan menyerahkan kepada pengurusan KFR untuk membuat kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.
-HM


Syirik - Dosa Yang Tidak Diampunkan Allah

Posted: 13 Feb 2012 03:30 PM PST

PUM: Islam larang sertai upacara bertentangan aqidah

Semua pihak khususnya umat Islam diminta lebih prihatin dan mengambil perhatian berat dalam isu-isu pembabitan orang Islam dalam sambutan atau upacara keagamaan masyarkat bukan Islam kerana ia mempunyai hubungkait dengan aqidah, kata Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Menurut setiausaha agungnya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor, persatuan itu berpandangan isu berkaitan pembabitan orang Islam dalam sambutan perayaan agama bukan Islam sepatutnya selesai jika semua pihak merujuk dan mengikut Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-68 yang telah bersidang pada 12 April 2005.

"Antara kriteria yang ditetapkan ialah majlis tersebut mestilah tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan aqidah Islam.

"Adalah amat jelas jika upacara sambutan perayaan bukan Islam mempunyai acara ritual keagamaan bukan Islam, umat Islam tidak boleh menyertai acara tersebut kerana boleh menjejaskan aqidah Islam," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut Mohd Roslan panduan yang boleh diakses melalui laman web rasmi e-fatwa Jakim jelas menyatakan bahawa beberapa kriteria utama perlulah dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Walaupun tidak menyebut secara lansung, kenyataan PUM itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang menghadiri majlis sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves pada 7 Februari lalu.

Akur pandangan mufti

Beliau yang lengkap berpakaian kurta berwarna kuning muda sambil ditemani isterinya Datin Seri Rosmah Mansor terus mengundang pelbagai bidasan, termasuk dari Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan rasa terkilan dengan sikap perdana menteri yang didakwa "menggadai akidah".

Pada acara Thaipusam tahun ini, gambar perdana menteri juga didirikan setinggi patung berhala di Batu Caves dan pasangan itu dipakaikan kalungan bunga yang amat besar.

Menurut PUM, semua pihak yang berautoriti dan mempunyai bidang kuasa agama termasuklah eksekutif, institusi mufti, penasihat agama, agensi agama persekutuan dan negeri, perlulah menyalurkan nasihat dan pandangan yang betul kepada semua pemimpin di negara ini.

"Pada masa yang sama, seluruh pemimpin yang beragama Islam dinasihatkan supaya akur dengan pandangan ahli agama tersebut," kata Mohd Roslan.

Beliau juga menggesa para pemimpin dan masyakarat bukan Islam supaya turut sama memahami serta menghormati prinsip teras Islam ini yang menjadi pegangan umat Islam.


"Pendirian teras ini adalah sebahagian daripada kehendak ajaran agama Islam," katanya sambil menambah semua pihak termasuk para pemimpin serta masyarakat awam supaya lebih sensitif dengan apa jua isu agama khususnya melibatkan aqidah serta syariat Islam.

Sebelum ini, perdana menteri terdahulu, termasuk Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad masing-masing menghantar wakil ke sambutan Thaipusam. -mk

Ulasan GB

Inilah masalah yang berlaku di dalam negara kita apabila mempunyai pemimpin yang jahil terhadap agamanya, kemudian malas untuk membaca panduan dari Ilahi iaitu Al-Quran ditambah pula dengan melimpahnya ulamak us-suuq (ulamak jahat) yang gilakan pangkat, harta dan kuasa, enggan untuk menegur dan menasiahti pemimpin berkenaan.

Sedangkan gejala yang berlaku bukan perkara kecil. Ia adalah termasuk di dalam lingkungan boleh "menggadai akidah" iaitu SYIRIK.

Allah s.w.t telah berfirman bahawa Dia mengampun dosa-dosa yang lain tetapi tidak dosa syirik.


إِنَّ اللّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاءُ وَمَن يُشْرِكْ بِاللّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْماً عَظِيماً


"Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar." – (Surah an-Nisa', ayat 48)

Dalam surah yang sama, ayat 116, Allah mengulangi kembali dosa besar syirik melalui firman-Nya yang bermaksud: "Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya."

Dalam surah Luqman, Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar." – (Surah Luqman, ayat 13)



Satu Hari Ahmad Maslan Akan "Dibakulsampahkan"!

Posted: 13 Feb 2012 07:05 AM PST

Ahmad Maslan 'bakul sampahkan' Buku Jingga

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan hari ini mencampak Buku Jingga ke dalam tong sampah tanda tidak puas hati terhadap dasar bersama Pakatan Rakyat dalam isu Felda yang dipertikaikannya.

Menurutnya, beliau bertindak demikian dalam majlis perjumpaan bersama kepimpinan tanah rancangan itu di Kuala Lumpur hari ini kerana beberapa perkara yang diketengahkan pembangkang didakwa tidak berdasarkan maklumat tepat.

Tindakan simbolik itu dibuat di pentas ketika sesi penerangan lebih dua jam kepada pemimpin Felda daripada keseluruhan 317 tanah rancangannya berlangsung hari ini.

Malaysiakini dan portal berita Merdeka Review bagaimanapun tidak dibenarkan membuat liputan pada acara itu dan hanya dibenarkan menghadiri sidang media selepas majlis berkenaan.

Buku Jingga yang memuatkan tawaran 100 hari sekiranya berjaya menawan Putrajaya antaranya berjanji akan membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketika Felda.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Ahmad yang juga ketua penerangan Umno berkata tindakannya memasukkan Buku Jingga ke dalam tong sampah memang dimaksudkan kerana hujah pembangkang didakwa "amat salah".

Bantu keluarga miskin

"Pertama, mereka sebut tanah itu milik Felda Plantations. Felda Plantations tak ada tanah. Itu pun dah salah, belum lagi ulasan yang saya sebut (dalam sesi penerangan)," katanya.

"Itu sebabnya saya masukkan dalam tong sampah di depan peneroka, sebab mereka tak sudah-sudah pergi bagi borang tanah. Macam mereka ini DO (pegawai daerah). Nak faraid tanah, kononnya tanah Felda Plantations."

Sebaliknya, jelas Ahmad, Felda Plantations hanya mengurus dan pemilik sebenar tanah adalah "the big Felda" selepas kerajaan tidak lagi memberikan tanah kepada peneroka pada 1990 supaya ia dapat berdikari dan mendapat keuntungan.

"Dan itu sepatutnya bantu keluarga miskin lain. Jadi tanah itu tidak boleh nak serahkan pada anak peneroka. Dan kalau kita beri tanah pada anak peneroka, orang kampung yang ayah dia tak dapat tanah, Cina tak dapat tanah, India tak dapat tanah...

"Tiba-tiba nak lagi pada orang yang ada tanah tanah. Adil ke tu? Sebab itu saya campak buku tadi dalam tong sampah," soalnya lagi dengan sinis.

Ahmad juga berkata keuntungan Felda juga, antaranya melalui tindakan terbaru untuk menyenaraikannya di Bursa Malaysia pada Mei akan diserahkan kembali kepada rakyat.

"Itu jauh lebih baik daripada Buku Jingga dan 'Negara Berkebajikan' PAS yang juga sebut pasal Felda ini," katanya lagi.

Ulasan GB

Hari ini hari kau Ahmad Maslan. Kau boleh membakul-sampahkan "Buku Jingga" milik Pakatan Rakyat. Perbuatan membakulsampahkan adalah satu tindakan melampaui batas.

"Bakul sampah" dan "penyapu" adalah dua lambang kepada sesuatu yang tidak elok, dan setiap perlakuan yang mempermainkan kedua-dua peralatan tersebut, insyaAllah, bakal menerima "suweh"nya.

Dahulu GB pernah mengulas mengenai Khir Toyo yang menghadiahkan penyapu kepada PBT. Dan akhirnya, apa yang GB katakan itu menjadi kenyataan, Khir Toyo terkena suweh penyapu tak kunjung sudah. Begitu juga kelompok UG yang mengagungkan Hassan Ali, akhirnya apa berlaku? Hassan Ali dihumban keluar dari parti.

Petikan ulasan GB yang terdahulu:

Kumpulan UMNO yang dahulunya ber"kepala lembu" kini "bertopeng dan berpenyapu".

Penyapu dikatakan sebagai sesuatu simbol yang tidak baik. Di dalam adat bangsa Melayu yang dipercayai sebilangan besar ahli UMNO sendiri, ia pembawa suweh... maka dibawalah penyapu ke hari demonstrasi semalam.

Jangan lupa Khir Toyo yang dahulu menghadiahkan penyapu kepada PBT, tiba-tiba beliau yang ditimpa suweh sehingga sekarang tak habis-habis lagi.

Kerana apa? Mentaliti orang Melayu dah anggap penyapu itu pembawa suweh. "Kamu ialah apa yang kamu fikirkan"!


Maka yang akan ditimpa suweh nanti nampaknya bukan Khalid Ibrahim tetapi kepada penghadiah penyapu itu iaitu UMNO Selangor yang berselindung di sebalik nama NGO yang dikenali sebagai GEMPAK dan WARISAN.

Kalau geng kepala lembu sudah menerima habuannya, tak lama lagi geng penyapu dan mangkuk tandas ini bakal menerima apa yang mereka lakukan bersama-sama tokoh pujaan mereka Hassan Ali namanya.

Allah itu Maha Melihat dan Allah itu Maha Berkuasa. Sebenarnya Allah yang akan mengurniakan habuan pembalasan itu, bukan kerana suwehnya penyapu.

Dia juga yang akan menunjukkan siapa sebenarnya yang bertanduk. MB Selangor & Khalid Samadkah atau geng songkok tinggi bersama UG. Di dalam Islam, yang jahat akan terkena balik kejahatan yang mereka lakukan. Di dalam konteks demonstrasi semalam nampaknya UMNO Selangor yang diwakil oleh geng bersongkok tinggi bersama-sama tokoh pujaan mereka Hassan Ali & kumpulan UG bakal terkena "suweh penyapu" itu disertai dengan wartawan-wartawan & akhbar-akhbar yang menjulang tinggi tindakan mereka itu.

InsyaAllah, pemerhatian GB ini tidak silap.


Tidakkah apa yang GB utarakan di atas TELAH menjadi realiti?

Kepada Ahmad Maslan, kita peringatkan jangan angkuh, jangan sombong dan jangan takbur. Kamu sedang menunggu gilirannya!

Jangan main-main dengan Hukum kebenaran & Keadilan.

Skandal NFC: Dakwa Mereka, Bukan Sekadar Pulangkan RM250 Juta

Posted: 13 Feb 2012 05:39 AM PST

Pulangkan Wang Dana RM250 Juta Tak Semestinya Terlepas Dari Kesalahan - Zuraida

PETALING JAYA: Membayar balik wang pinjaman berjumlah RM250 juta tidak sama sekali bermakna melepaskan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) daripada dipertanggungjawabkan ke atas krisis yang melanda projek ternakan lembu fidlot itu.

Sebaliknya, mereka yang terbabit dengan kes tersebut perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman jika terbukti wujudnya sebarang bentuk penyelewengan ke atas dana yang diberikannya itu.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin berkata, adalah tidak wajar melepaskan mereka yang didapati bertanggungjawab ke atas projek itu hanya kerana mereka telah membayar balik pinjaman berkenaan.

"Bayar balik memang perlu tapi kalau kesalahan telah dilakukan kita tak boleh membebaskan pelaku-pelakunya," kata beliau.

Zuraida berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz berhubung isu Pusat Fidlot Nasional (PFN) itu.

Mohamed Nazri, pada Ahad, telah dipetik menyeru keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya membayar balik wang dana RM250 juta yang dipinjamkan oleh kerajaan untuk projek PFN.

Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang juga kurang bersetuju apabila Mohamed Nazri berkata bahawa Shahrizat tidak perlu meletakkan jawatan apabila telah mengembalikan wang kepada kerajaan.

"Saya tak setuju sepenuhnya. Satu 'bahagian' saja dia betul dan saya setuju - bahagian bayar balik RM250 juta," katanya Zuraida.

"(Kenyataan) Bayar balik duit seolah-olah membebaskan mereka yang terlibat dan menutup kesalahan," katanya.

Isu berkaitan PFN itu menjadi hangat ekoran daripada laporan audit negara mengenai status projek itu dan disusuli dengan dakwaan pembangkang bahawa berlakunya penyelewengan dana PFN yang disalurkan melalui penerajunya iaitu NFCorp dengan pembelian kondominium mewah di Lembah Klang dan juga Singapura. -mstar

Bayar balik untuk tutup skandal NFC

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang menasihati Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membayar balik RM250 juta yang dipinjamkan kepada syarikat milik keluarganya daripada peruntukan National Feedlot Corporation (NFC).

"Saya tidak nampak apa tujuan sebenar Nazri menasihat Shahrizat agar membayar balik peruntukan tersebut, ini bukannya cara untuk kita menutup skandal yang berlaku di dalam NFC.

"Sebagai seorang menteri yang menjaga undang-undang, beliau sepatutnya berfikir secara rasional dan merujuk kepada undang-undang, yang bersalah perlu dikenakan tindakan apatah lagi dalam isu penyelewengan wang rakyat," tegasnya.

Mahfuz menyatakan pembayaran balik wang tersebut adalah perlu kerana ia adalah duit rakyat tetapi kalau alasan untuk menutup skandal tersebut ia bukan jalan penyelesaian.

"Nazri perlu peka dan jangan jadikan perkara tersebut satu benda yang remeh kerana penyelewengan dalam NFC melibatkan jumlah yang besar, apatah lagi kelemahan telah berlaku dari peringkat jawatankuasa itu lagi.

"Malah tindakan Nazri itu adalah umpama ingin melindungi seseorang, yang mana pada waktu ini kita hanya ketahui Shahrizat sahaja yang terlibat dan saya yakin masih ramai lagi yang terlibat, perkara tersebut kita perlu dedahkan," sambungnya lagi.

Dalam kenyataannya, Nazri menasihatkan ahli keluarga rakan kabinetnya itu supaya membayar balik RM250 juta yang diberikan kepada syarikat keluarganya bagi menjalankan projek ternakan lembu itu.

Bercakap kepada wartawan di kawasan parlimennya di Padang Rengas, Nazri berkata tindakan itu adalah penyelesaian terbaik bagi masalah berkenaan tanpa perlu Shahrizat meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Beliau (Shahrizat) tak perlu letak jawatan. Apa yang paling utama, kembalikan semula wang itu kepada kerajaan," Sinar Harian memetik Nazri berkata.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mendesak agar minit mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan NFC bertarikh 23 November 2011 diserahkan kepada Ahli Parlimen sebelum sesi parlimen tahun ini ataupun didedahkan kepada umum.

Ini, katanya kerana di dalam minit mesyuarat tersebut terdapat laporan daripada kementerian terbabit berhubung NFC.

"Pertama sekali saya ingin meminta agar PAC menyerahkan laporan berhubung dengan skandal NFC kepada setiap Ahli Parlimen sebelum sesi 2012 ini bermula, yang mana kita tahu terlalu banyak kelemahan berlaku dalam projek tersebut.

"Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid perlu berani membuat pendedahan tersebut kerana melalui laporan awal beliau sebelum ini juga ada menyatakan bahawa perjanjian ditandatangani selepas peruntukan diberikan, ini hanyalah sebahagian dari kelemahan yang berlaku," ujarnya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini.

Jelasnya lagi, pendedahan laporan tersebut amat penting kerana rakyat juga ingin tahu apa sebenarnya berlaku dan setiap penyelewengan perlu diketahui walaupun melibatkan seorang menteri.

Malah beliau turut memberitahu, penyelewengan projek NFC itu bukan sahaja berlaku di peringkat perlaksanaan melalui syarikat yang dilantik tetapi ia telah bermula pada peringkat jawatankuasa lagi.

"Saya ingin beritahu untuk perlaksanaan projek NFC ini terdapat empat jawatankuasa yang melibatkan Kementerian Pertanian (MOA), Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kerajaan Negeri Sembilan dan juga pihak pengurusan NFC.

"Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi memantau setiap perjalanan projek tersebut malah peruntukan sebanyak RM250 juta itu juga perlu disalurkan mengikut peringkat projek bukannya secara terus iaitu RM250 juta.

"Tetapi sebaliknya berlaku yang mana peruntuk dibayar sepenuhnya dan apa peranan yang dilakukan oleh jawatankuasa tersebut kalau ia ditubuhkan untuk memantau perjalanan projek bagi tujuan menyalurkan peruntukan," kata Naib Presiden PAS itu lagi.

Mahfuz turut menyatakan isu NFC akan menjadi tajuk perbahasan pasa sesi parlimen kali ini dan desakan akan terus dilakukan sehinggalah kerajaan mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat dalam penyelewengan skandal NFC.
-HD



Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Lagi Kebakaran Misteri Berlaku

Posted: 13 Feb 2012 03:28 AM PST

Subang Mas - Tidak sampai tempoh lima hari insiden empat kereta dilaporkan terbakar di pangsapuri Seri Nipah, di sini penduduk di kawasan itu sekali lagi dikejutkan dengan kejadian sama, tetapi kali ini membabitkan sembilan motosikal.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, lima motosikal hangus, manakala empat lagi sempat diselamatkan orang ramai.

Misteri kebakaran itu berlaku masih belum dapat dipastikan, namun penduduk dihantui kebimbangan berhubung kejadian itu.

Salah seorang pemilik motosikal, Mohd Zulkarnain Yunus, 26, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terhidu kepulan asap yang memenuhi rumah didiaminya bersama beberapa rakan.

Menurutnya, dia kemudian menjenguk menerusi tingkap untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila menyedari api marak di tingkat bawah pangsapuri.

"Saya segera mengejutkan kawan-kawan serumah dan bingkas bergegas ke tingkat bawah untuk melihat apa yang berlaku.

"Memang tidak sangka, motosikal yang digunakan untuk ke tempat kerja setiap hari menjadi mangsa kebakaran sama," katanya.

Mohd Zulkarnain berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu, orang ramai membantu memadamkan kebakaran yang membabitkan deretan motosikal di tempat letak kenderaan berkenaan.

Suasana katanya, agak huru-hara apabila orang ramai cuba mengalihkan beberapa motosikal, bagaimanapun dia gagal menyelamatkan motosikalnya sendiri.

Mohd Zulkarnain berkata, dia yang mengetahui kes empat kereta terbakar awal pagi Rabu lalu, sama sekali tidak menyangka akan menerima nasib sama.

"Kejadian pagi tadi (semalam) berlaku lebih kurang lima meter dari lokasi empat kereta terbakar dahulu, saya tidak pasti apakah punca kejadian dahulu (Rabu lalu) dan juga kejadian pagi ini (semalam) kerana belum menerima maklumat mengenainya," katanya yang memaklumkan menga­lami kerugian RM4,000.

Seorang penduduk, Siti Nur Amalina Suadmaji, 19, berkata, jika kejadian sebelum ini kereta abangnya hampir musnah terbakar, kali ini motosikal kakaknya pula menjadi mangsa.

"Kakak saya terdengar jiran menjerit-jerit mengatakan motosikal terbakar, lantas dia mengajak saya turun ke tingkat bawah untuk melihat apa yang berlaku.

"Apabila tiba di lokasi, kami terkejut melihat motosikal sudah terkena percikan api yang marak, kami cuba mengalihkannya, tetapi bimbang ia meletup," katanya.

Siti berkata, atas keprihatinan­ penduduk lain, motosikal kakaknya dialihkan ke tempat selamat dan hanya mengalami kerosakan ringan.

"Insiden ini memang mengejutkan kerana baru sahaja beberapa hari kereta milik abang yang diletakkan di depan kedai runcit yang kami usahakan terbakar, kali ini hampir 10 motosikal termasuk milik kakak pula yang terbakar," katanya. -SH

Tiada ulasan: