DUNIACACAMARBA |
- Kanak-kanak Dipaksa Berlari Hingga Mati
- Cinta Itu BUTA, Satu daripada Contohnya, di sini...
- [Video] Imam Hoslan: Mengapa Saya Baling Kasut (ke arah Hakim)?
- [Wajib Baca] Dr Asri: Bila Pula Sultan Jadi Bayangan Allah?
- Pernah Ditangkap Khalwat Pun Tidak Serik Lagi?
- Wagra Pakistan yang Didakwa Melarikan Nurul Zakiah
Kanak-kanak Dipaksa Berlari Hingga Mati Posted: 24 Feb 2012 04:16 AM PST The Sun yang memetik sumber media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Alabama, AS meninggal dunia selepas dia didakwa telah dipaksa "lari hingga mati" sebagai hukuman kerana makan coklat. Susulan kematian tragis itu, ibu tiri dan nenek kanak-kanak itu telah ditahan atas tuduhan melakukan pembunuhan . Kanak-kanak itu, Savannah Hardin yang mempunyai masalah pundi kencing telah dipaksa berlari mengelilingi rumah selama TIGA jam. Dia meninggal dunia di hospital tengah hari pada hari Isnin, dan laporan awal menunjukkan dia kehilangan cecair tubuh. Lewat malam kejadian, ibu tiri Savannah, Jessica Hardin, 27, menghubungi 911 apabila kanak-kanak malang itu mengalami sawan. Dia telah dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia. Bapa Savannah yang bekerja di luar negara telah bergegas pulang sebaik mendengar anak perempuannya dimasukkan ke hospital dan tiba di hospital beberapa jam selepas anaknya diisytiharkan meninggal dunia. P/s: Kejam gila! |
Cinta Itu BUTA, Satu daripada Contohnya, di sini... Posted: 24 Feb 2012 02:57 AM PST Saya petik: Saya tetap Cinta Walau Dia Jahat [SH] Dungun – "Biarpun dia jadi buruan polis dan seorang pengedar dadah, saya tetap menyintainya malah sanggup jadi isteri jika dia sudi terima saya." Demikian luah seorang penuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA), di sini ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun. Lebih mengejutkan apabila penuntut tahun pertama jurusan teknologi maklumat itu sanggup kahwin lari sekiranya ibu bapanya menghalang. "Buat masa ini ibu bapa saya tidak mengetahui mengenai hubungan kami, namun saya akan maklumkan kepada mereka apabila tiba masanya kelak," katanya. Kata penuntut yang hanya mahu dikenal sebagai Dila ini, dia tidak kesal menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki terbabit biarpun tahu jenayah yang dilakukan. Gadis berasal dari Temerloh, Pahang itu juga mengakui, sebelum ini dia tidak tahu bahawa teman lelakinya seorang kaki dadah sehinggalah dihubungi polis kerana komputer riba miliknya berada dalam simpanan lelaki berkenaan. Dila memberitahu, dia dihubungi polis setelah teman lelakinya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan di sebuah rumah dekat Jalan Bunga Raya. "Saya kenal dia dua bulan lalu, kami berkenalan di sebuah kedai makan dan mula bertukar nombor telefon. "Sejak itu kami makin rapat dan sering bertemu," katanya yang hadir di balai polis untuk menuntut komputer riba miliknya, Dila berkata, biarpun tahu teman lelaki itu bakal dihadapkan ke mahkamah, cintanya tetap tidak berubah. "Biarpun baru tahu jenayah yang dilakukan tetapi saya tetap tidak dapat melupakannya," katanya. Demi cinta, dia sanggup menunggup teman lelakinya itu menjalani hukuman asalkan dapat menjadi suri dalam hidup suspek. Buat masa ini, kata Dila, dia merahsiakan hubungan mereka kerana dia masih belum habis belajar manakala teman lelakinya tidak mempunyai pekerjaan tetap. Suspek, 21, ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik setelah mendapati remaja yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu disyaki menjadi dalang utama membekalkan dadah jenis pil kuda kepada penagih tempatan. Penemuan 10 biji pil kemerahan disyaki dadah jenis methamphethamine dalam poket seluar suspek menguatkan dakwaan dia terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah. Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut selain turut menasihati golongan remaja agar lebih berhati-hati jika ada hubungan cinta dengan lelaki tidak dikenali untuk mengelakkan diri terbabit dengan perkara menyalahi undang-undang. |
[Video] Imam Hoslan: Mengapa Saya Baling Kasut (ke arah Hakim)? Posted: 23 Feb 2012 11:26 PM PST Saya petik: Imam: Baling kasut tanda 'kehakiman rosak' [MK] Bekas imam sebuah masjid yang melontarkan kasut ke arah hakim ketika sesi Mahkamah Persekutuan Rabu lalu berkata, beliau berbuat demikian sebagai satu tanda bahawa "kehakiman negara sudah rosak." Hoslan Hussin, 46, berkata beliau juga bertindak melontar kasutnya ke arah hakim memandangkan keadilan tidak memihak kepadanya. "Tidak tahulah, siapa yang kena itu rezekilah," katanya sambil tersenyum ketika ditemui di satu sudut di Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan di Kuala Lumpur, semalam. Hoslan memilih sudut berkenaan untuk mengadakan temubual – 'port' istimewanya di masjid itu yang digunakannya untuk bersembahyang sunat dan juga untuk mengajar kanak-kanak membaca al-Quran. Berbeza dengan sudut lain di masjid berkenaan, sebahagian daripada dinding sudut berkenaan diwarnakan dengan warna hijau. Bekas pengikut al-Arqam itu lagi turut mengakui bahawa beliau merupakan seorang penyokong PAS – parti yang disifatkannya sebagai gerakan yang mendukung kebenaran. Beliau menerima elaun sebanyak RM450 semenjak bertugas sebagai imam rawatib di masjid tersebut, sehinggalah perkhidmatannya ditamatkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2008. Keputusan itu juga memaksa beliau untuk mengosongkan kuarters imam yang dihuni bersama tujuh orang anaknya itu sejak 2002. Beliau yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu semalam membuat laporan polis ke atas panel tiga orang hakim tersebut – Tan Sri Datuk Zulkifli Ahmad Makinuddin, Datuk Suriadi Halim Omar dan Datin Zaleha Zahari. "Keputusan hakim tidak menepati keadilan mengakibatkan saya melemparkan sepatu saya kepada hakim, bukan bertujuan menghina mahkamah. "Keputusan itu menyokong orang-orang dan pentadbir masjid yang menyelewengkan beratus ribu duit Masjid Ar-Rahimah sebagaimana laporan yang telah dihantar kepada ketua polis negara," katanya dalam laporan polisnya. 'Saya hanya seorang imam' Ketika ditemui, Hoslan menimbulkan semula dakwaan tersebut, yang turut dikemukakannya ke mahkamah Rabu lalu. Mahkamah Persekutuan bagaimanapun menolak dokumen tersebut setelah dibantah oleh peguam yang mewakili MAIWP dengan alasan, dokumen tersebut tidak difailkan mengikut tertib. "Saya hanya seorang imam sahaja. Saya tidak tahu undang-undang ini (prosedur mahkamah) semua," kata Hoslan ketika mengulas mengenai keputusan mahkamah yang menolak permohonan rayuannya semalam. Hoslan berkata beliau juga telah menghantar laporan berhubung dakwaan tersebut ke pejabat menteri wilayah persekutuan dan juga ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Dakwaan Hoslan itu pernah mendapat perhatian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang mengadakan pertemuan dengan kesemua anggota jawatankuasa masjid berkenaan pada 22 Mei 2006. Hoslan mendakwa, kesemua anggota jawatankuasa berkenaan telah dipecat dan satu jawatankuasa baru dibentuk. Bagaimanapun, ahli jawatankuasa itu masih tidak berpuas hati dengannya apabila beliau terus menimbulkan dakwaan penyelewengan melibatkan jawatankuasa berkenaan, dakwanya. Pihak pentadbiran masjid berkenaan juga telah mengadakan perjumpaan untuk memberi teguran kepadanya dan mendapatkan penjelasan daripada beliau pada 16 Mei 2008. Susulan daripada pertemuan itu, pentadbiran masjid tersebut kemudiannya mencadangkan supaya perkhidmatan beliau sebagai imam ratib ditamatkan. Tidak berpakaian rasmi "Keputusan tersebut diambil berdasarkan pemerhatian dan penilaian terhadap beliau bagi memelihara kemuliaan jawatan imam di mata masyarakat dan menjaga nama baik masjid Ar-Rahimah," laporan itu dipetik. Laporan JAWI ke atasnya antara lainnya mendakwa Hoslan sering tidak memakai pakaian rasmi lengkap imam dan tidak berkerjasama dengan pihak masjid dalam program yang dijalankan. Malah, beliau juga didakwa telah memakai pakaian yang melambangkan imej parti politik dalam satu bengkel pada Mei 2008, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Hoslan juga didakwa sering "berebut" dengan imam dan juga khatib jemputan untuk menjalankan tugas berkenaan – satu tindakan yang menimbulkan rasa malu di kalangan pentadbiran masjid, menurut laporan itu lagi. Selain itu, Hoslan juga didakwa menduduki kuarters masjid tanpa kebenaran walaupun telah diberikan unit perumahan di salah satu pangsapuri Projek Perumahan Rakyat Termiskin. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kemudiannya menamatkan perkhidmatan Hoslan pada 2008 dan mengeluarkan notis ke atasnya supaya mengosongkan kuarters yang didudukinya itu. Hoslan bagaimanapun tetap berkeras untuk tinggal di kuarters berkenaan, menyebabkan MAIWP mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang beliau daripada terus tinggal di situ. Perintah Mahkamah Tinggi pada Jun 2011 itu bagaimanapun dirayu oleh Hoslan di Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan itu semalam. Hoslan tampil mewakili dirinya sendiri di mahkamah semalam dan bertindak membaling kasut berkenaan apabila mendengar keputusan tersebut yang menjadikan beliau seorang penceroboh sekiranya terus tinggal di kuarters masjid. Hoslan yang kini tinggal di PPRT Cochrane, Kuala Lumpur berkata, apa yang diharapkannya hanyalah untuk mendapatkan kebenaran demi membuktikan bahawa beliau tidak bersalah atas tuduhan yang dihadapinya sebelum ini. Beliau juga percaya bahawa tindakan yang dikenakan ke atasnya setakat ini, termasuk dihalau keluar daripada kuarters imam, adalah ekoran daripada pendedahannya berhubung dakwaan penyelewengan yang berlaku di masjid itu. Ketua imam masjid itu, Zakaria Mohamed ketika dihubungi hari ini bagaimanapun enggan mengulas dakwaan yang ditimbulkan Hoslan. "Tidak boleh tanya saya... Kena tanya MAIWP sebab semuanya itu urusan MAIWP," katanya lagi. Berkaitan: Badan kehakiman Buat Laporan terhadap Imam [Bernama] PUTRAJAYA - Badan Kehakiman telah membuat laporan polis terhadap seorang imam yang membaling kasut ke arah panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan Rabu lalu semasa prosiding mahkamah berjalan. Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Jumirah Marjuki telah membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya semalam, menurut Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mohd Aizuddin Zolkeply dalam satu kenyataan media di sini hari ini. Beliau berkata badan kehakiman memandang serius terhadap perkara-perkara yang boleh mencemarkan imej institusi kehakiman itu, sama ada melalui sebarang tindakan secara langsung atau tidak, termasuk komen atau kenyataan yang boleh menjatuhkan kredibiliti dan imej institusi itu. "Pejabat ini (Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan) menyangkal semua tuduhan dibuat oleh seorang imam iaitu Hoslan Hussin, termasuklah dakwaan beliau telah dinafikan hak untuk didengar dengan seadilnya," kata Aizuddin dengan menambah, tuduhan berkenaan adalah tidak berasas. Beliau berkata pejabat pendaftar mempunyai rakaman setiap pendengaran yang dijalankan di Mahkamah Persekutuan. Menurut beberapa laporan media, Hoslan telah membaling kasut ke arah panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin selepas panel itu menolak permohonannya untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi memperolehi perintah pengusiran terhadap Hoslan yang enggan keluar dari kuarters yang didiaminya di premis masjid. MAIWP memohon perintah pengusiran itu terhadap Hoslan, yang merupakan bekas imam ratib Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan di ibu negara sejak 2008, kerana masalah disiplin.... |
[Wajib Baca] Dr Asri: Bila Pula Sultan Jadi Bayangan Allah? Posted: 23 Feb 2012 07:29 PM PST Saya petik: [MK] Minggu ini saya kembali ke Oxford, United Kingdom setelah beberapa minggu berada di Malaysia. Di samping menyambut kedatangan 'puteri baru', banyak juga aktiviti yang sempat saya sertai. Bahang pilihan raya semakin kuat sehingga segala perkara berbau politik. Semasa seminar Islam dan Eropah di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), baru-baru ini, pengarahnya Dr Farhan Nizami bersembang dengan kami. Beliau memberi pandangannya tentang Malaysia. Katanya, betapa beliau tidak menyangka bahawa bangsa Melayu yang kelihatan sopan santun itu apabila tiba kepada bab politik, mereka berpolitik habis-habisan. Saya senyum sahaja mendengar ulasannya. Berkaitan fenomena pilihan raya juga, beberapa hari lalu saya menerima begitu banyak soalan berhubung dengan kenyataan "Raja adalah bayangan Allah di bumi". Hadis ini katanya telah diwar-warkan oleh pihak tertentu dalam menjustifikasikan perjuangan tertentu. Saya dengar ada yang lebih lantang lagi dengan menyebut lafaz asal hadis itu – "al-Sultan adalah bayangan Allah di bumi – bagi merujuk sultan pilihannya. Ada pula yang seakan ingin menyuburkan feudalisme Melayu dengan hadis tersebut. Saya bergurau dengan sesetengah pihak yang berminat menggunakan hadis itu dengan berkata: "Raja yang menjadi bayangan Allah itu Raja Jordan ke, atau Raja Saudi? Atau Raja Moroko? Oleh kerana terlalu umum, apakah boleh juga digunakan oleh Raja Siam? Sebenarnya, perkataan yang digunakan dalam hadis 'al-Sultan, bukan al-Malik (Raja). Jika ia difaham secara bahasa Melayu, mungkin para sultan seperti Sultan Qabos di Oman atau Sultan Brunei tergambar semasa membaca hadis ini. 'Negara Pasir Berdengung' Sudah pasti bukan Sultan Damsyik Jani dari 'Negara Pasir Berdengung' dalam filem Do Re Mi arahan allahyarham Tan Sri P Ramlee. Sebenarnya hadis tersebut mempunyai banyak riwayat. Ada yang palsu, ada yang sangat daif (daif jiddan), ada yang daif dan ada yang hasan, ataupun mungkin boleh mendekati sahih. Antara lafaz yang palsu atau sekurang-kurang teramat daif (bermaksud): "Al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika mereka berbuat baik bagi mereka pahala dan wajib ke atas kamu syukur. Jika mereka jahat, mereka mendapat dosa, wajib ke atas kamu sabar. Janganlah kejahatannya itu menyebabkan kamu keluar dari ketaatan. Ini kerana, sesungguhnya kehinaan dalam mentaati Allah (dengan mentaati sultan yang jahat) lebih baik dari kekal dalam neraka (kerana menentang sultan). Jika tidak kerana mereka, manusia tidak akan aman". (Hadis ini dihukum oleh al-Albani sebagai 'terlalu daif' dalam Silsilah al-Daifah/ no 1664.) Namun secara kesimpulan penilaian hadis, setakat lafaz "al-Sultan bayangan Allah di bumi" adalah sahih disebabkan pelbagai riwayat. Adapun tambahan selepas lafaz tersebut ada yang hasan, daif, sangat daif dan palsu. Ada juga riwayat dalam al-Jami' al-Saghir oleh al-Sayuti (meninggal 911H) yang menyebut (bermaksud): "Al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika seseorang kamu memasuki sesuatu negeri yang tiada sultan padanya, janganlah dia tinggal dalamnya." Saya bimbang menjelang musim berkempen ini akan ada yang menggunakan riwayat yang daif ini untuk melarang orang tinggal di negeri-negeri yang tiada sultan seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Kemudian, di negara Arab, hanyalah negara Oman yang boleh tinggal dalamnya sebab masih ada Sultan Qabos. Selainnya sudah tiada sultan. Indonesia pun tidak boleh tinggal dalamnya kerana sudah tiada sultan. Hanya Brunei yang sesuai. Jangan sampai begitu pula tafsiran kita. Apakah maksud al-Sultan? Perkataan al-Sultan bukanlah bermaksud pemerintah yang memakai gelaran 'sultan'. Jika tidak sudah pasti al-Khulafa al-Rasyidin menggunakan gelaran sultan. Sultan bermaksud pihak yang berkuasa. Ertinya ia merangkumi semua mereka yang mempunyai kuasa pemerintahan tanpa mengira apa pun gelarannya. Abu Bakr al-Siddiq naik memerintah selepas Rasulullah memakai gelaran 'Khalifah Rasulillah'. Kemudian pada zaman 'Umar mula diperkenalkan gelaran 'Amir al-Mukminin. Selepas itu beberapa dinasti seperti Ayyubiah, Mamalik dan 'Uthamaniyyah memakai gelaran sultan. Mereka itu kebanyakannya bukan arab. Ada juga yang memakai al-Malik iaitu 'raja' dan sebagainya. Maka hendaklah jelas, perkataan sultan dalam hadis merujuk kepada ulul amri iaitu mereka yang berkuasa memerintah. Jangan putarkan hadis untuk pemainan politik. Ertinya, secara literal dalam konteks Malaysia, perdana menteri juga zhillu Allah ataupun bayangan Allah di bumi. Demikian Presiden Mesir, Libya dan sebagainya. Kini kita wajar bertanya apakah maksud bayangan Allah? Apakah kita memahami seperti golongan literalis yang akan melihat sultan atau raja atau penguasa atau presiden sebagai benar-benar bayangan Allah yang kemudian mungkin dijustifikasikan segala tindakannya. Jika mereka itu berjudi di London ini sehingga tergadai balak dan minyak di negara mereka, apakah itu bayangan Allah? Jika mereka kejam seperti Assad di Syria, atau mereka rasuah dan bermewahan dengan harta rakyat jelata, apakah mereka tetap dimuliakan sebab mereka bayangan Allah? Bayangan Allah Jika kita faham makna khalifah, ia bermaksud pengganti ataupun wakil. Apabila kita menyebut manusia khalifah Allah bermaksud manusia mengganti Allah di bumi. Ketika mentafsirkan Surah al-Baqarah ayat 30 berhubung manusia sebagai khalifah Allah di bumi, al-Imam al-Baidawi berkata: "Khalifah itu dari bermaksud (segi bahasa) sesiapa yang menggantikan tempat pihak yang lain atau menjadi penggantinya. Yang dimaksudkan dengan khalifah dalam ayat ini adalah Adam AS kerana beliau merupakan khalifah Allah di bumiNya. "Demikian sekelian nabi yang Allah utuskan mereka sebagai pengganti (khalifah) bagi memakmurkan bumi, menguruskan manusia, menyempurnakan keperluan mereka dan melaksanakan perintah Allah ke atas mereka." (Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/64). Makna yang sama merujuk kepada sultan ataupun penguasa itu bayangan Allah di bumi. Bukan bermaksud kesucian penguasa sehingga tidak boleh dibahas dan dipertikaikan. Sama sekali tidak! Sebab betapa ramai manusia ini yang Allah tabalkan menjadi khalifah telah melakukan kerja yang sebaliknya. Apakah kita tetap mempertahankannya atas nama khalifah Allah? Justeru al-Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir ketika menafsir maksud: "al-Sultan bayangan Allah di bumi", beliau berkata: "Kerana dia memelihara manusia dari keburukan seperti bayang memelihara dari panas matahari". Ya! Demikianlah tugasan penguasa! Kepentingan politik Dalam masa yang sama kita hendaklah sedar, bahawa berlebihan dalam menggunakan agama untuk kepentingan politik telah mengorbankan agama itu sendiri. Inilah yang berlaku di Barat yang diistilahkan sebagai secularism ataupun lebih mudah difahami sebagai a movement towards the separation of religion and government. Walaupun secularism itu mempunyai akar yang lama sejak zaman Greek dan Roman tetapi di Eropah ia subur dan diperjuangkan pada era Enlightenment akibat dari kesedaran rakyat tentang betapa buruk peranan agama dalam politik. Saya akan bahaskan nanti. Islam memandu politik supaya harmoni dan kudus. Islam bukan alat politik tetapi cahaya yang menerangi jalan politik yang dibina atas maslahah rakyat. Sultan ataupun penguasa bayangan Tuhan boleh disalahtafsirkan seperti yang berlaku dalam sejarah politik pelbagai bangsa. Akibatnya, kerakusan penguasa mencengkam rakyat dan dihalalkan atas nama Tuhan. Jika hendak memahami maksud penguasa bayangan Tuhan dalam Islam, fahamilah ucapan Abu Bakr al-Siddiq apabila menjadi khalifah: "Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. "Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. "Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku." (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361). Inilah insan yang paling faham maksud sultan itu bayangan Allah di bumi. Jangan kita gadaikan Islam untuk suatu pentafsiran nas yang akhirnya akan menimbulkan syak manusia terhadap Allah dan Rasul-Nya. Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis. Beliau kini bertugas sebagai zamil di Universiti Oxford. Artikel ini bermungkinan adalah respons untuk berita ini. |
Pernah Ditangkap Khalwat Pun Tidak Serik Lagi? Posted: 23 Feb 2012 05:30 PM PST Saya petik: [SH] BATU PAHAT – Sepasang kekasih yang pernah dicekup berkhalwat di daerah ini Januari lalu, dicekup buat kali kedua di sebuah hotel murah di sini, petang semalam. Pasangan masing-masing berusia 40-an itu dicekup sepasukan penguat kuasa Agama Daerah Batu Pahat yang melakukan serbuan di hotel berkenaan kira-kira jam 2 pagi. Timbalan Ketua Penguat Kuasa Agama Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika serbuan, pasangan terbabit sedang tidur dan terdapat seorang bayi tidur bersebelahan mereka. "Ketika disoal penguat kuasa, mereka mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan suami isteri atau hubungan mahram. "Hasil siasatan mendapati bayi tersebut yang berusia dua minggu itu dipercayai adalah bayi hasil hubungan terlarang pasangan terbabit yang dibawa untuk mengaburi mata pihak berkuasa yang akan menyangka mereka ini adalah suami isteri," katanya. Menurutnya, wanita terbabit yang sebelum ini sarat mengandung langsung tidak dapat dihidu keluarganya yang hanya mengetahui perkara tersebut selepas mereka diberkas. "Berdasarkan rekod, ini adalah tangkapan kedua membabitkan pasangan itu di mana serbuan menyasarkan hotel bajet di sini. "Ketika ditahan pertama kali, wanita terbabit sedang sarat mengandung dipercayai hasil hubungan terlarang mereka," katanya. Saiful Ariffin berkata, difahamkan lelaki terbabit sudah berkahwin dan mempunyai seorang isteri, namun kini dalam proses penceraian berikutan ingin mengahwini kekasih hatinya itu. "Pasangan terbabit yang merupakan warga tempatan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut. "Mereka disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan kedua mereka bakal berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya. |
Wagra Pakistan yang Didakwa Melarikan Nurul Zakiah Posted: 23 Feb 2012 04:40 PM PST Saya petik: Nurul Zakiah telefon keluarga [Kosmo] KUALA LUMPUR - Remaja hilang yang didakwa terkena ilmu pengasih Pakistan, Nurul Zakiah Hidayah Azman, 17, telah menghubungi keluarganya kelmarin untuk menegaskan bahawa dia melarikan diri kerana ingin hidup berdikari. Perkara itu disahkan oleh bapanya, Azman Saad, 51, yang turut memberitahu, Nurul Zakiah telah menghubunginya kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin untuk menyatakan perkara tersebut kepadanya. Selain itu, dia memberitahu, anaknya itu turut merayu agar dia menarik semula laporan polis yang telah dibuat berkenaan kehilangannya sejak 14 Februari lalu. "Dia menceritakan bahawa dia tidak lagi bersama dengan kekasihnya itu dan dia kini berhasrat untuk bekerja dan hidup sendiri," katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam. Kosmo! kelmarin melaporkan tentang ahli keluarga Nurul Zakiah yang merayu agar dia pulang selepas disyaki lari dari rumah kerana mengikut Samer Khan atau nama sebenarnya, Arsad Mohd., 20-an apabila cinta mereka mendapat tentangan keluarga. Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting, Kuala Langat itu dikatakan telah terkena ilmu pengasih lelaki Pakistan tersebut hingga menyebabkan dia mula berbohong dan melawan cakap orang tua. Mengulas lanjut, menurut Azman, walaupun hanya berbual selama seminit, dia berjaya mendapatkan nombor telefon bimbit baharu anaknya. |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan