Rabu, 1 Februari 2012

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Isu KUIN: Penjelasan dari Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak

Posted: 01 Feb 2012 06:18 AM PST


Menurut Ustaz Azizan.. Tindakan yang dikenakan bukan mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 kerana Auku adalah bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sedangkan Kuin adalah IPT Swasta (IPTS).


Ini bermakna ada seorang Pengarah Komunikasi sebuah parti tu dah tembak membabi buta..

Ucapan aku buat dia.. lain kali kalau tak tahu tanya dulu.. jangan ikut perangai Ibrahim Ali.


MB: Pihak pertikai Kuin tak faham undang-undang
1 Februari 2012

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata pihak yang mempertikaikan keputusan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) menggantung lima pelajarnya, tidak memahami undang-undang yang digunakan universiti milik kerajaan negeri itu.

Azizan yang juga Pengerusi Kuin menjelaskan tindakan yang dikenakan bukan mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 kerana Auku adalah bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sedangkan Kuin adalah IPT Swasta (IPTS).

"Mereka yang tak faham...tembak tak betul menyebabkan semua orang keliru dan pening kepala. Saya dah beri jawapan (undang-undang) IPTS lain daripada IPTA," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata beliau telah menerangkan perkara itu kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan hari ini beliau mengarahkan setiausaha politiknya supaya ke Kuala Lumpur bersama dokumen berkenaan untuk menerangkannya lagi.

"(Pengurusan Kuin) sebagai satu badan bebas, apa keputusan dibuat selagi tak bercanggah dengan prinsip nyata biar mereka putuskan. Saya tak boleh campur tangan. Saya pun tak boleh cakap banyak kerana perkara ini telahpun dibawa ke mahkamah...bukan kami tetapi pelajar tu yang bawa ke mahkamah," katanya.

Katanya difahamkan Kuin telah melantik peguam Karpal Singh untuk mewakili mereka dalam kes itu.

Lima pelajar universiti itu digantung pada April lalu kerana memprotes tindakan universiti mengosongkan asrama mereka di kediaman Ar-Razi, di sini.

Bagaimanapun, empat daripada pelajar terbabit sudah dibenarkan menyambung semula pengajian baru-baru ini, manakala seorang lagi masih dalam penggantungan.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Abdul Aziz Bari meminta supaya pakatan pembangkang mengambil tindakan terhadap Azizan kerana mendakwa Menteri Besar itu menyokong kewujudan Auku, sedangkan manifesto Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga menjanjikan mereka akan menghapuskan akta
berkenaan.

Azizan berkata beliau bersetuju dengan Buku Jingga tetapi pelaksanaan Buku Jingga itu adalah selepas pakatan pembangkang membentuk kerajaan pusat.

"Ada yang boleh digunakan sekarang, ada yang tidak boleh. Setiap negeri ada masalah masing-masing. Ada yang sesuai yang dilaksanakan di Semenanjung tetapi tidak di Sabah dan Sarawak. Ada yang boleh di Kelantan tetapi tidak di Kedah.

"Bukan saya menentang. Buku Jingga tu bagus tetapi ada perkara kena tunggu suasana yang mengizinkan," katanya.

Mengenai kenyataan Abdul Hadi untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), Azizan berkata sebagai ketua parti, Abdul Hadi perlu bertanding.

"Saya tak tau apa sebab (Abdul Hadi buat kenyataan itu) sedangkan dia masih mampu. Dia asas kepada parti dan tidak ada buat kesalahan apa pun. Malah kalau ikut kesihatan, dia lagi sihat daripada saya," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding pada PRU-13, Azizan berkata semuanya bergantung kepada pucuk pimpinan parti. - Bernama

Rumah kedai hangus terbakar, Kitab Tafsir Al-Quran Langsung tidak terbakar

Posted: 01 Feb 2012 04:57 AM PST


Satu kebakaran melibatkan rumah kedai dilaporkan berlaku di No. 28, Jalan Adil 25/10, Taman Sri Muda, Shah Alam semalam.


Jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam kemudiannya dikejarkan ke tempat kejadian bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman api di lokasi yang dimaksudkan.

Namun sebaik saja operasi selesai, anggota bomba bertugas dikejutkan dengan penemuan senaskah kitab tafsir Al-Quran yang langsung tidak terjejas keadaan fizikalnya.


Walaupun rumah tersebut musnah akibat kebakaran, namun kitab itu tidak 'terusik' dek api dalam kejadian itu.

Naskah berkenaan juga tidak basah dan rosak walaupun pihak bomba menggunakan air dalam kuantiti yang agak banyak dalam operasi tersebut.
Ingatlah! Sesungguhnya mereka (yang kufur ingkar) sentiasa berada di dalam keadaan SYAK – RAGU-RAGU tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu. Fussilat 41:54
Inilah yang dikatakan kebesaran Allah.


Kami akan perlihatkan kepada mereka TANDA-TANDA KEKUASAAN KAMI DI MERATA-RATA TEMPAT (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? Fussilat 41:53

Semoga ia boleh memberi iktibar dan renungan kepada kita semua. Wallahualam


Oleh: SYAHRIL A. KADIR / Harian Metro Online
Gambar dari Facebook Jabatan Bomba Dan Penyelamat Shah Alam

Video: Debat Rafizi vs Khairy di London.. SAKSIKAN!!

Posted: 01 Feb 2012 12:48 AM PST

Video diakhir entry..


Ulasan dari seseorang yang turut berada di London semasa debat diadakan ..

Sebenarnya, ketika menulis, saya baru pulang ke hotel dari forum anjuran badan mahasiswa UK dan Ireland (UKEC)- Projek Amanat Negara Edisi kesembilan, dan saya merasakan seolah-olah berjaya mengintai masa depan Malaysia.


Walaupun Forum Ekonomi Dunia (WEF) merupakan pengalaman manis, Projek Amanat Negara jauh lebih menarik dan tidak akan saya lupakan sebagai seorang warganegara Malaysia.

Apa boleh saya katakan tentang pengalaman ini? Sebuah badan mahasiswa Malaysia di UK yang teratur dan bijak (penuh semangat dan kegigihan)- telah berusaha bagi menyatukan suara pintar dari Malaysia untuk bersama dalam satu pentas wacana minda cukup membuka mata.

Pendek kata, kejayaan anak-anak muda Malaysia di perantauan ini berjaya memalukan generasi lebih tua di Kuala Lumpur, mereka yang berfikiran sempit dan takut akan keterbukaan. Golongan ini berpendapat, Malaysia masih tidak bersedia untuk bergerak ke arah demokrasi dan debat terbuka.

Ini disangkal oleh UKEC. Mereka membuktikan Malaysia, terutama generasi muda sudah bersedia untuk berubah dan kita sudah mampu menerima dialog terbuka, jujur walau ia sering kala hangat.

Walaupun bukan pakar dalam sesi perbincangan saya (keagamaan…), saya bersyukur mampu memberikan kontribusi kepada PAN bersama-sama dengan ahli panel lain seperti: Dr Carool Kersten, Zainah Anwar dan ahli politik Pas, Dr Dzulkefly Ahmad.



Namun, sesi kami cuma sekadar pemanas badan. Sememangnya semua yang hadir ternanti-nanti debat tentang dasar kerajaan antara dua pemimpin muda Malaysia - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin.


Adakah sesi ini akan menjadi satu medan pertempuran sengit, dua pemimpin muda yang hebat? Kedua-dua mereka sememangnya diketahui umum sebagai "suara penyerang" parti masing-masing dan sering berbalas serangan di Twitterjaya. Tambah lagi, nama Rafizi kebelakangan ini sering meniti di bibir masyarakat berikutan serangan bertubi-tubi beliau terhadap kesongsangan dalam pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun, apa disajikan nyata meleset. Sesi tersebut jauh lebih baik, kedua-dua mereka berprestasi seperti negarawan ulung, berhujah dan berdebat, mematahkan serangan pihak lawan dengan akal, bukan tempikan.

Kedua-dua menjelaskan kedudukan politik mereka dalam beberapa isu dasar penting. Rafizi berjuang untuk perubahan politik manakala Khairy mempertahankan status quo (dengan reformasi). Tenang dan berbekal ketajaman minda, kedua-dua mereka memberi hujah-hujah bernas dalam menjelas dan mempertahankan pandangan akan isu-isu seperti akses kepada media, kebebasan berhimpun, hubungan antara kaum dan sistem percukaian.

Sepanjang 90 minit debat berlangsung, kedua-dua mengelak serangan peribadi, tidak kasar- hujah disampaikan secara bijak dan profesional. Dari cuba untuk memenangi markah politik yang mudah, dua ahli politik belia ini telah mengetepikan politik kepartian yang sempit.

Ternyata, pihak penganjur berfikir panjang dalam mengendalikan debat berformat ala debat pemilihan Presiden di Amerika Syarikat, untuk memperoleh impak maksima.

Sebagai seorang pemerhati politik, saya menyaksikan anjakan paradigma dalam politik Malaysia, di mana kedua-dua pemimpin itu berani tampil ke hadapan untuk menerangkan kedudukan politik mereka, berbincang tentang perbezaan pendapat secara terbuka- meninggalkan serangan politik remeh-temeh.

Melihat akaun Twitter sepintas lalu, ramai berkongsi pandangan saya- seperti telah saya tulis beberapa minggu lalu di ruangan ini- bagaimana ia adalah satu tragedi kepada Malaysia, bahawa debat seperti ini tidak boleh dianjurkan di Kuala Lumpur.

Ramai merasakan debat itu bukan sebahagian daripada budaya politik Malaysia- debat itu memecah-belah daripada menyatukan. Namun, debat antara Rafizi dan Khairy membuktikan mereka ternyata silap.

Ukec berjaya membuktikan orang muda mampu berkembang pesat jika tidak dibelenggu kawalan kepada kebebasan berfikir. Debat terbuka seperti di PAN akan menambah kepada kemajuan negara dan tidak akan membinasakan negara kita. Justeru, saya menyeru rakyat Malaysia untuk menonton rakaman debat ini menerusi akaun UKEC di Youtube.

Seperti dikatakan oleh Rafizi: "Tidak kisah pihak mana yang anda pilih. Apa lebih penting ialah anda kembali ke Malaysia- dan menyertai arus yang membawa perubahan."

Tinggi harapan generasi kami supaya anak-anak muda ini mengambil nasihat itu - Karim Raslan

UMNO Penang!! RM1.1Juta untuk 22 Keluarga Miskin dah hilang pi mana?

Posted: 31 Jan 2012 11:10 PM PST


Ketika Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengagihkan wang ehsan RM100 buat warga emas yang menjadi pengundi di negeri ini dulu, ada beberapa pemimpin UMNO yang telah menjalankan gerakan mengutip semula wang tersebut kerana menurut mereka wang tersebut adalah datangnya dari hasil judi..


Dalam gerakan mengutip tersebut mereka memperbodohkan ramai warga emas hinggakan dalam media tunggangan mereka iaitu TV3 ada ditunjukkan beberapa orang warga emas yang menangis kerana mengenangkan dosa yang ditanggung mereka akibat menggunakan wang tersebut.

Tindakan mereka itu telah menyebabkan Dr. Asri berkata "Sudahlah mereka miskin, kita persalahkan mereka. Saya nak sebut kepada rayat Pulau Pinang tak payah susah hati. (Umno) janganlah nak takutkan orang kampung, jangan kata doa tak makbul atau (fikiran) sudah benak sebab makan dari sumber haram.

Antara pemimpin-pemimpin UMNO yang telah mengumpulkan wang dari warga emas itu ialah.. Datuk Azhar telah mengumpulkan RM4000.00, Datuk Abdul Rahim Saibu pula RM7000.00 dan Datuk Musa Sheikh Fadzir pula RM4700.00..

Sehingga kini mereka dari UMNO ini masih belum menyerahkan wang ehsan yang dikutip dari warga emas yang diperdayakan mereka kepada kerajaan negeri Pulau Pinang secara rasmi..

Itu pasal wang ehsan RM100 yang disumbangkan oleh kerajaan negeri untuk warga emas Pulau Pinang. Segala laporan dan artikel berkaitan boleh dibaca di SINI.

Ini pula pasal RM1.1 Juta untuk 22 keluarga miskin tegar Pulau Pinang yang dah hilang…

Pada sekitar tahun 2009, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman telah membuat kenyataan yang disiarkan dalam laporan akhbar Berita Harian bertarikh 26 Februari 2009 bahawa kementeriannya iaitu Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KLKW) sedia mengambil alih masalah kemiskinan tegar berikutan kegagalan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Guan Eng gagal menunaikan janji membasmi miskin tegar di negeri Pulau Pinang.

Datuk Zainal Abidin Osman berkata kementeriannya akan membantu keluarga berkenaan menerusi Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang memperuntukkan dana RM1.1 juta untuk membantu 22 keluarga terbabit.

Jika niat mereka itu ikhlas apa salahnya.. bantulah mereka-mereka itu..

Tetapi yang menjadi persoalannya disini ialah setelah hampir tiga tahun.. 22 keluarga miskin tegar itu tetap miskin tegar..

Jadi kemana menghilangnya RM 1.1 juta yang diperuntukkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kepada 22 keluarga miskin tegar Pulau Pinang tersebut?

RM100 hangpa songlap.. RM1.1Juta pun hangpa nak songlap ka???


*******************************************

UMNO Pulau Pinang perlu menjawab ke mana peruntukan sebanyak RM1.1 juta

UMNO Pulau Pinang perlu menjawab ke mana hilangnya peruntukan sebanyak RM 1.1 juta yang diperuntukkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kepada 22 keluarga miskin tegar Pulau Pinang. Dengan kata lain, adakah benar setiap keluarga menerima RM50, 000?

Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KLKW) merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman telah membuat kenyataan yang disiarkan dalam laporan akhbar Berita Harian bertarikh 26 Februari 2009 bahawa kementeriannya sedia mengambil alih masalah kemiskinan tegar berikutan kegagalan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan saya gagal menunaikan janji membasmi miskin tegar di negeri Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya akan membantu keluarga berkenaan menerusi Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang memperuntukkan dana RM1.1 juta untuk membantu 22 keluarga terbabit.

EXCO Kesihatan, Kebajikan & Masyarakat Penyayang Negeri Pulau Pinang YB Phee Boon Poh telah menulis surat kepada Zainal pada 7 April dan 12 Mei tahun 2009 untuk mendapatkan maklumat 22 keluarga tersebut serta memohon status program- program khas yang dirancang tetapi tiada maklumbalas diterima. Malangnya tidak ada jawapan daripada Zainal Abidin ataupun maklumat tentang 22 keluarga miskin tegar mana yang menerima RM50, 000 setiap keluarga?

Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat pada 31 Julai 2009 oleh YB Phee bagi membolehkan satu siasatan dilakukan untuk mengetahui ke mana perginya RM1.1 juta yang sepatutnya disalurkan kepada keluarga berkenaan.

Selepas 3 tahun, demi memastikan wang kebajikan sampai ke tangan keluarga miskin adalah dikesali, Datuk Zainal Abidin Osman tidak berani memberi jawapan macam mana dan kepada siapa peruntukan tersebut telah disalurkan. Dan mengapa hanya 22 buah keluarga ini sahaja yang boleh menerima RM50, 000 setiap keluarga dan bukan keluarga miskin tegar yang lain.

Sejak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang memperkenalkan Dasar Pembasmian Kemiskinan Tegar pada Mac 2009 sehingga Disember 2011, sebanyak RM6.32 juta telah disalurkan kepada lebih kurang 700 buah keluarga setiap bulan. Ini sekaligus menghapuskan miskin tegar di Pulau Pinang, negeri pertama yang berjaya buat begitu di Pulau Pinang. Kini, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menambah wang pendapatan bulanan kepada minima RM600 sebulan untuk setiap keluarga. Dengan kata lain, Kerajaan Negeri akan menambah wang atau 'top- up' sehingga RM600 sebulan untuk keluarga yang menerima wang pendapatan kurang daripada RM600. Ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang untuk membasmi kemiskinan menjelang 2015.

Ingin ditegaskan di sini bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan meneruskan semua program kebajikan yang dilaksanakan dan akan menyalurkan lebihan belanjawan yang diperolehi untuk dikongsi bersama rakyat selaras dengan urustadbir CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus).

Saya mencabar Zainal Abidin untuk menyenaraikan 22 keluarga miskin tegar tersebut. Adakah RM1.1 juta telah masuk dalam poket pihak- pihak tertentu? UMNO dan Kerajaan Persekutuan perlu bertanggungjawab dan tampil memberi penjelasan bagi mengelakkan keraguan kepada semua pihak.

LIM GUAN ENG

*Dipetik dari Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng, Sempena Majlis Makan Malam Silver Jubilee Home,Bertempat Di Dewan Silver Jubilee Home pada 31 Januari 2012*

The Australian Jewish News pernah lapor Tun Mahathir bersahabat dengan Yahudi sejak dari Universiti lagi..

Posted: 31 Jan 2012 08:39 PM PST


Pada 30 Januari 2012 yang lalu, BERNAMA telah melaporkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beliau kecewa tetapi tidak berasa terkejut dengan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu melindungi keselamatan Israel.


Ini kerana menurut Tun, Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya mempunyai hubungan rapat dan akrab dengan pemimpin Yahudi sejak dahulu lagi.

"Memang dia (Anwar) dekat dengan Israel sebab dia suka kalau orang Barat puji dia. Dia nak ternampak sebagai seorang yang moden yang ikut trend, sebaliknya kita anggap dia sebagai lapuk," katanya.

Sebagai pemimpin yang telah lama mengenali perwatakan Anwar, Dr Mahathir berkata motif dan tujuan pemimpin pembangkang itu adalah untuk menonjol dan mempromosikan diri sendiri kononnya beliau adalah pemimpin moden dan liberal sekaligus mengharapkan pujian daripada negara Barat – laporan penuh sila baca di SINI

Kurang pasti pula aku 'Anwar hubungan rapat dan akrab dengan pemimpin Yahudi sejak dulu lagi' yang dimaksudkan oleh Tun itu sejak bila agaknya.. boleh jadi sejak Anwar dilahirkan kot..

Jika Anwar mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Yahudi sejak beliau dilahirkan barulah Tun boleh mengatakan Anwar sudah lama ada hubungan rapat dengan pemimpin Yahudi..

Yalah.. Tun dikatakan pernah berkawan dengan Yahudi sejak di Universiti lagi.. jadi kalau Anwar dah berkawan dengan Pemimpin Yahudi sejak dari dilahirkan barulah boleh dikatakan Anwar dah lama berkawan dengan Yahudi oleh Tun..

Menurut apa yang pernah disiarkan oleh The Australian Jewish News pada 17 Julai 2009, Tun Mahathir dikatakan bersahabat dengan seorang Yahudi Singapore bernama Yahya Cohen.

Yahya Cohen yang kemudiannya menjadi Pengerusi Persatuan Perubatan Singapura adalah rakan sekelas Dr Mahathir sewaktu beliau belajar di Universiti Malaya di Singapore.

Dan dalam artikel yang berjudul 'Life in Jewish Malaysia' itu Tun Mahathir juga dilaporkan sering berutus surat dengan Yitzak Rabin, bekas Perdana Menteri Israel.

Malah Tun juga didakwa pernah mengajurkan lawatan sambil belajar bagi kanak-kanak Yahudi dari Israel untuk bertemu kanak-kanak Islam di Malaysia.

Selain itu Tun juga dilaporkan telah membawa masuk seorang intellek Yahudi tersohor ke Malaysia untuk satu lawatan rasmi..


Betul ke nih Tun?.. Bertanya tak salahkannnn?


Info dari : TulangBesi @ Malaysia Waves
Artikel yang dimaksudkan iaitu 'Life in Jewish Malaysia' boleh dibaca di SINI

Hassan Ali 'Budak suruhan UMNO' kata Khalid Samad

Posted: 31 Jan 2012 07:41 PM PST


SHAH ALAM 31 Jan. - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad menganggap bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Hasan Ali tidak memahami maksud parasit sebenar apabila secara terang-terangan menamakan beliau sebagai pemimpin Pas yang dianggap 'parasit' dalam parti itu.


Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor yang pernah digugurkan daripada jawatan itu ketika Pas negeri diterajui oleh Hasan berkata, tuduhan tersebut tidak tepat kerana beliau adalah ahli dan pemimpin Pas yang berada dalam 'batang tubuh' parti sejak sekian lama sedangkan parasit adalah suatu benda asing yang hidup dengan cara menumpang pihak lain.

Sebaliknya kata beliau, pihak yang berada di luar Pas dan hanya boleh hidup dengan menumpang isu membabitkan parti itu sebenarnya adalah parasit.

"Parasit adalah jenis yang tinggal atas induk macam pokok asing tinggal atas pokok besar tetapi saya tidak boleh menjadi parasit kerana saya merupakan sebahagian daripada batang tubuh parti.

"Tidak seperti orang yang hidup dengan isu Pas tetapi dia adalah orang asing yang mana jika tidak ada isu Pas, dia tidak boleh hidup, dia menjadi popular atas isu Pas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Hasan yang menamakannya sebagai parasit dalam Pas ketika berceramah dalam program Bicara Memurnikan Akidah Ummah di Dewan Rukun Tetangga Seksyen 17 di sini malam semalam.

Hasan dipetik sebagai berkata, Ahli Parlimen Shah Alam itu sering kali dilihat menyebarkan fahaman yang tidak menyebelahi Islam selain merupakan individu paling lantang menentang usahanya untuk melarang penjualan minum keras di kedai-kedai runcit di kawasan penempatan majoriti orang Melayu.

Khalid juga didakwa adalah individu yang beria-ia mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika agensi agama itu menyerbu sebuah premis yang dikatakan sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) meskipun pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penganjuran satu majlis yang bermatlamat bagi menyelewengkan akidah umat Islam di negeri ini.

Khalid yang sudah lebih 30 tahun berada dalam Pas berkata, Hasan sebenarnya sudah menjadi alat UMNO apabila membuat kenyataan supaya para pengundi di Parlimen Shah Alam agar tidak mengundinya lagi pada pilihan raya umum akan datang.

"Kalau tidak beri undi kepada Khalid Samad, kepada siapa lagi? Sudah tentu kepada UMNO. Ini bukti Hasan sudah menjadi budak suruhan UMNO," katanya.

Malah katanya, dakwaan itu jugalah yang menjadi punca mengapa Hasan tidak dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas negeri dan terpaksa dikeluarkan daripada parti meskipun sebenarnya beliau tidak mempunyai harapan dalam UMNO.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, isu penjualan arak yang dibangkitkan oleh Hasan sebenarnya merupakan cadangan anggota Pas Shah Alam sendiri yang merupakan Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBA).

"Ahli kita yang bawa usul supaya kedai-kedai serbaneka yang beroperasi di kawasan majoriti orang Melayu tidak menjual arak. Kita gunakan kaedah lembut, pujuk rayu, adakan penerangan secara 'bil hikmah' dan bukannya buat cara samseng dengan merampas arak berkenaan.

"Bukannya buat dengan sesuka hati kerana ada peraturannya mengikut akta dari Pusat bahawa kedai-kedai seumpama itu tidak perlu memohon lesen khas," katanya.

Lidah Rasmi UMNO

Tiada ulasan: