Selasa, 31 Januari 2012

Tempayan Retak

Tempayan Retak


Haron Din tanding PRU13, ketuai Pas Perlis

Posted: 30 Jan 2012 04:08 PM PST

Oleh KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

KANGAR - Pas Perlis mengesahkan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din akan bertanding pada pilihan raya umum ketiga berturut-turut sekali gus mengetuai Pas negeri itu dalam usaha menawan Perlis dari tangan Barisan Nasional (BN).

Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin berkata, pengesahan itu dibuat bagi menutup desas-desus pelbagai pihak mendakwa Haron Din tidak akan bertanding lagi pada pilihan raya umum (PRU) kali ini disebabkan masalah kesihatan.

Menurutnya, Pas Perlis sudah mengemukakan tawaran bertanding PRU kepada tokoh pengamal perubatan Islam itu sejak setahun lalu dan baru menerima jawapan positif beberapa minggu lalu.


"Haron Din bersedia bertanding buat kali ketiga walaupun dua kali tertewas dalam PRU terdahulu dan Pas bersedia menyerahkan mana-mana kerusi yang dirasakan sesuai untuknya.

"Bagaimanapun, saya yakin beliau akan menawarkan diri untuk bertanding di Parlimen sahaja dan mampu menang pada kali ini berdasarkan sokongan padu ditunjukkan rakyat Perlis," katanya pada sidang media di Kompleks Pas Perlis semalam.

Hashim berkata, Pas menaruh keyakinan penuh mampu menawan Perlis kali ini berdasarkan trend sokongan padu ditonjolkan rakyat sehingga ramai pihak yang berebut-rebut menyampaikan sumbangan kepada parti bagi persiapan PRU.

Menurutnya, trend itu merupakan sesuatu yang tidak pernah dijangka apabila boleh dikatakan setiap hari ada sahaja yang datang berjumpa dengan pemimpin Pas negeri untuk menyampaikan sumbangan sehingga kadang-kadang mencecah ribuan ringgit.

Hashim turut menyifatkan Pas dan Pakatan Rakyat (PR) kini mendapat jaminan padu rakyat bukan Islam Perlis untuk bersama-sama mereka setelah bosan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri sedia ada. - SH

Azizan: Kalau pelajar buat kacau, kena halang

Posted: 30 Jan 2012 04:01 PM PST

Oleh ROSLINDA HASHIM

ALOR SETAR - Lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dikenakan tindakan tata tertib termasuk digantung pengajian mengikut peruntukan Akta IPTS 1996, bukannya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) seperti yang diuar-uarkan pihak luar.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, oleh itu beliau menasihatkan pihak luar supaya tidak mencampuri isu dalaman kolej universiti itu kerana tidak mahu menimbulkan kekeliruan.

"Kedua-duanya berbeza, walaupun hampir sama. Saya harap selepas ini jangan lagi ada pihak yang pertikai keputusan yang dibuat," kata beliau yang juga Pengerusi Kuin kepada Sinar Harian.


Kenyataan Azizan ini sekali gus menyangkal dakwaan banyak pihak yang menuduhnya tidak sefahaman dengan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang berikrar akan menghapuskan Auku jika dapat menawan Putrajaya.

Azizan berkata, apa yang diperjuangkan oleh pemimpin PR dalam Buku Jingga merangkumi dua perkara dalam Auku iaitu hak untuk berpolitik dan hak untuk berpersatuan.

"Itu yang kita perjuangkan dalam Buku Jingga, namun jika ada pelajar membuat kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam, kita perlu halang. Tindakan seperti itu termasuk demonstrasi tiada dalam perjuangan PR, hanya dua perkara kita perjuangkan," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang melahirkan kebimbangan terhadap reputasi Azizan berhubung isu Kuin seolah-olah serangan yang dilemparkan mahu menjatuhkan karier Menteri Besar Kedah itu, Azizan menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam politik.

"Biasalah… dalam politik ada musuh ada kawan. Pasti ada cubaan untuk jatuhkan mana-mana pemimpin. Saya tidak kisah berdepan dengan situasi seperti itu," katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan: