Kelab Greenboc |
- WASPADA: 5 Jam Sehari Di Depan Komputer Atau Laptop Boleh Merosakkan Jantung
- Isu NFC: Rafizi Tempelak Ibrahim Ali Pertikai Laporan Audit
- Lagi Kes Remaja Lari Ikut Teman lelaki
- Pantai Teluk Bidara Dungun Ragut Nyawa Pelajar
- Lelaki Bogel Itu Sudah Buat Kecoh Di Pasar Sebelum Drama Tebusan Ugut Bunuh Fifi
- Kalau Jadi Mangsa Kenapa Tak Saman Akhbar Australia Tersebut?
- [Bergambar] Inilah Wajah Budak 10 Tahun Yang Diselamatkan, Lelaki Bogel Ditembak Mati
- Isytihar Harta: Beranikah Najib & Menteri UMNO Ikut Sikap Nik Aziz?
- Kanak2 Perempuan 10 Thn Dibebaskan Setelah 5 Jam Jadi Tebusan Lelaki Bogel
WASPADA: 5 Jam Sehari Di Depan Komputer Atau Laptop Boleh Merosakkan Jantung Posted: 24 Jan 2012 12:30 AM PST MMenurut kajian, menghabiskan waktu lebih dari 5 jam sehari di depan komputer boleh merosakan jantung dan menjurus ke kematian lebih cepat. Penyebabnya adalah posisi duduk, terutama duduk bersandar, yang merupakan posisi umum ketika orang bekerja dengan komputer, bermain game, ataupun menonton televisyen. Penelitian tersebut dilakukan oleh Emmanuel Stamatakis, peneliti dari University College London. Ia melakukan penelitian terhadap lebih dari 4,500 orang berusia ke atas 35 tahun dan hasilnya dikeluarkan di Journal of the American College of Cardiology. Penemuan ini menambah bukti-bukti yang terus terkumpul berhubung bahayanya duduk lama-lama . Padahal, kecenderungan yang terjadi saat ini adalah orang semakin banyak yang duduk di depan komputer saat bekerja. "Orang yang menghabiskan waktu lebih dari 4 jam berturut-turut per hari di depan komputer memiliki peluang 125 % lebih tinggi akan mengalami kematian berkait dengan penyakit jantung berbanding mereka yang hanya menghabiskan waktu kurang dari 2 jam di depan layar," kata Stamatakis, seperti diambil dari Examiner. Stamatakis menyebutkan, dari penelitian, mereka juga menemukan bahwa 48% orang yang menghabiskan waktu 4 jam di depan komputer berturut-turut juga berpeluang mengalami kematian lebih cepat akibat faktor lain di luar jantung. Lebih lanjut, mereka yang menghabiskan lebih dari 5 jam di depan komputer se hari, risiko mati lebih cepatnya naik secara signifikan. Sebelumnya, dijangkakan bahawa mereka yang menghabiskan waktu terlalu banyak di depan komputer, atau juga di depan televisyen, merupakan orang yang malas bersenam dan menyebabkan munculnya penyakit. Namun, dari data yang didapati, tidak demikian. "Orang yang bersenam secara tetap di waktu lapang mereka juga memiliki peluang untuk mati lebih cepat," kata Stamatakis. Pengkaji meyakini bahawa penyebabnya memang adalah duduk yang terlalu lama. Posisi tersebut diketahui menyebabkan penurunan 90 % lipoprotein lipase dan enzim jantung yang sihat. Pembengkakan dan masalah metabolisme yang disebabkan oleh ketidakatifan dalam waktu panjang juga menjadi sumber masalah. Akan tetapi, ada penyelesaian bagi mereka yang terpaksa bekerja di depan komputer sepanjang hari. "Anda harus bangun setiap 20 minit dan berjalan kaki sejenak," kata Stamatakis. "Itu akan menurunkan masalah-masalah tersebut dan mungkin akan meningkatkan peluang Anda untuk hidup lebih lama," ucapnya. -redah |
Isu NFC: Rafizi Tempelak Ibrahim Ali Pertikai Laporan Audit Posted: 23 Jan 2012 10:58 PM PST Isu NFC: Rafizi terkejut kenyataan Presiden Perkasa SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyelar kenyataan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali sambil menyifatkan beliau cuba 'berlagak pandai' dalam isu projek kontroversi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC). Beliau menegaskan, Ibrahim seolah-olah cuba mengugut Ketua Audit Negara dengan memaksa memberin kenyataan rasmi bahawa tidak wujud masalah dalam projek berkenaan. "Saya terkejut dia (Ibrahim Ali) berani kata Ketua Audit tak buat kerja, buat laporan pun salah. Sedangkan dia tu siapa? Seorang yang tidak ada pengalaman langsung dalam bidang tu. "Tekanan yang diberikannya adalah satu intimidasi yang serius kepada Ketua Audit, dia tak ada hak nak campur tangan sebab memang terbukti dia tiada kepakaran dan tidak tahu hujung pangkal siasatan. Dia tak ada hak nak tentukan apa yang patut Ketua Audit buat," katanya kepada Sinar Harian Online. Kelmarin, Ibrahim berkata, "kami mendesak beliau membuat kenyataan rasmi mengenainya dan berlaku adil kepada semua pihak supaya seseorang itu dibela atau dihukum atas sebab yang sah faktanya, bukan kerana persepsi politik." Ibrahim berkata demikian selepas bertemu dengan Pengerusi Eksekutif Fidlot Nasinal Corporation (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail. Menurut Rafizi, tindakan presiden Perkasa itu perlu diambil perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana bimbang boleh mengganggu siasatan ke atas NFCorp. Beliau berkata, penglibatan Perkasa dalam hal ini menampakkan kepada dimensi baru skandal yang mungkin cuba digunakan NFCorp melalui politik untuk membersihkan nama syarikatnya "Tindakan ini memburukkan keadaan, sudah empat tahun kebelakangan ini, kedudukan Audit Negara dilihat sangat penting dalam membongkar kes rasuah, melalui siasatan mereka kita sebagai rakyat dapat siasat balik. Sementara itu, Rafizi turut menempelak dakwaan Ibrahim yang mengatakan beliau membeli maklumat daripada bekas pekerja NFCorp atas tujuan untuk membantu pekerja terbabit untuk membalas dendam. "Saya nafikan sekeras-kerasnya dakwaan dia kononnya saya membeli maklumat secara sulit. Apa tujuan dia nak cakap macam itu," katanya. -SH PKR: NFC Perlu Beri Penjelasan bukan Upah NGO |
Lagi Kes Remaja Lari Ikut Teman lelaki Posted: 23 Jan 2012 09:25 PM PST Remaja hilang ikut teman lelaki KULAIJAYA – Seorang ibu dari Kampung Melayu Sengkang, di sini merayu agar anak gadisnya pulang ke pangkuan keluarga selepas empat hari didapati hilang tanpa sebarang khabar berita. Tukinah Mahmood, 49 berkata, anaknya, Nurul Shafiqa Abu Amin, 16, tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lalu selepas dia dikatakan mahu bermalam di rumah rakan baiknya di Taman Manis, Kelapa Sawit, di sini. "Jumaat lalu dia pulang ke rumah seperti biasa selepas balik dari sekolah, tetapi kemudian kira-kira jam 2.30 petang, dia keluar menaiki bas sekolah yang sering dinaiki dan turun di Pekan Kulai. "Sudah puas kami menghubungi telefon bimbitnya namun gagal, malah rakannya yang berada di Taman Manis memberitahu Shafiqa tiada di rumahnya," katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam. Tukinah berkata, salah seorang rakan Shafiqa yang tinggal berhampiran, menceritakan bahawa anak bongsunya itu ada memberitahu mahu lari dari rumah sambil menangis teresak-esak pada hari kejadian, sebelum dia menghilangkan diri. "Sebelum ini dia berkelakuan seperti biasa, malah tidak pernah merungut atau menceritakan sebarang masalah yang dihadapi," katanya. Katanya, akibat resah dengan kehilangan anaknya itu, dia dan suami bergegas ke rumah salah seorang buruh ladang warga Indonesia di kawasan berhampiran yang dikatakan mempunyai hubungan dengan anaknya. "Saya diberitahu, Shafiqa ada berkawan dengan buruh Indonesia bernama Mahsup yang bekerja di ladang berhampiran dan segera mencarinya di rumah buruh berkenaan. "Namun setibanya di sana, kami dapati Mahsup sudah keluar dari rumah berkenaan dengan membawa semua pakaian dan telefon bimbitnya," katanya. Tukinah berkata, susulan kejadian itu beliau mengesyaki anaknya mungkin keluar dari rumah bersama lelaki berkenaan dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Kulaijaya pada 21 Januari lalu. Dia berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya agar segera menghubunginya di talian 019-7364955. |
Pantai Teluk Bidara Dungun Ragut Nyawa Pelajar Posted: 23 Jan 2012 07:41 PM PST Dungun, 23 JAN : Kegembiraan empat sahabat menghabiskan cuti sempena Tahun Baru Cina dengan mandi manda di pantai berakhir dengan tragedi setelah seorang daripada mereka lemas di Pantai Teluk Bidara, di sini, petang semalam. Mangsa Mohd Alif Asyari Norhanuddin,16, dipercayai terjerlus ke dalam pasir sebelum terkapai-kapai meminta pertolongan daripada rakannya di situ kira-kira pukul 1.30 petang. Ketika kejadian, pelajar Sekolah Menengah Pulau Serai, di sini, itu dikatakan bersama tiga sahabatnya, Mohd Arif Aizat Azman,16, Abd Halim Zakaria,16 serta Amirul Abd Jalil,16 mengunjungi pantai berkenaan untuk mandi di pantai itu, sejam sebelum kejadian. Sebaik melihat mangsa terkapai-kapai, rakannya, Mohd Arif Aizat dikatakan berenang ke arah mangsa sebelum berusaha menariknya namun gagal berikutan arus yang agak deras. Mohd Arif Aizat menjerit meminta bantuan daripada dua lagi rakannya sebelum mereka berusaha menarik dan berjaya menaikkan mangsa ke daratan. Mangsa ketika itu masih bernafas dalam keadaan mulutnya berbuih dan beliau sempat diajar mengucap oleh Mohd Arif Aizat manakala dua lagi rakannya meminta bantuan penduduk kampung di situ. Mohd Alif Asyari kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2 petang ketika dalam perjalanan ke hospital. Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. Beliau turut menasihati ibu bapa supaya tidak membiarkan anak mereka mandi di pantai memandangkan keadaan musim tengkujuh masih belum berakhir.- BERNAMA Teluk Bidara ragut nyawa |
Lelaki Bogel Itu Sudah Buat Kecoh Di Pasar Sebelum Drama Tebusan Ugut Bunuh Fifi Posted: 23 Jan 2012 06:00 PM PST Buat kecoh di pasar sebelum 'drama tebusan' KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang menjadikan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun sebagai tebusan di rumahnya di Kampung Baru di sini semalam, membuat kecoh di pasar berdekatan sebelum insiden itu. Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli berkata, dia yakin lelaki berkenaan bukan penduduk Kampung Baru kerana kelibat suspek tidak pernah dilihat sebelum ini. Katanya, dia mungkin datang dari kawasan lain sebelum masuk ke rumah itu dan menjadikan kanak-kanak perempuan 10 tahun tersebut sebagai tebusan. Laporan Bernama memetik seorang lagi penduduk tempatan, Suhardi Osman, 45, berkata, lelaki itu membuat kecoh di sebuah pasar berdekatan. "Saya dapat tahu dia terlebih dahulu telah membuat kecoh di pasar pada waktu pagi sebelum dihalau oleh orang ramai, dan ini mungkin punca mengapa dia menjadikan kanak-kanak tersebut sebagai tebusan," katanya. Sebelum kejadian, lelaki berkenaan dipercayai merayau-rayau di sekitar sitem transit aliran ringan LRT Kampung Baru dalam keadaan tidak berpakaian. Seorang lagi saksi, Azhar Osman, 47, berkata, dia ketika itu baru sahaja habis bersarapan di sebuah gerai berdekatan dan terlihat lelaki tidak berpakaian. Menurutnya, orang ramai yang berada di lokasi ketika itu memarahi lelaki berkenaan agar memakai pakaian yang dibawanya, namun dia yang dipercayai kurang siuman itu memberi maklum balas yang tidak diketahui butir katanya. "Ketika itu dia berbogel dan memegang besi yang mana baju dan seluar yang dibawa membalut besi tersebut. "Apabila orang ramai memarahinya agar memakai pakaian, dia mula mengeluarkan kata-kata yang tidak difahami dan mula mengamuk dengan menghayun-hayunkan besi yang dipegang," katanya. Katanya, dia hanya mengetahui lelaki berkenaan telah menjadikan mangsa sebagai tebusan apabila menerima pangilan daripada anaknya. "Apabila mendapat tahu perkara tersebut, saya agak suspek adalah orang yang sama yang ditemui sebelum itu dengan tidak berpakaian dan dia bukan individu yang biasa dilihat di sekitar kawasan ini kerana ini kali pertama saya melihatnya. Dalam pada itu, kejadian tersebut nyata menggemparkan penduduk Kampung Baru apabila kira-kira 300 penduduk tidak berganjak daripada kawasan kejadian untuk mengetahui perkara yang berlaku. Salah seorang penduduk, Abdul Ghani Mohd Noor, 48, berkata, ia peristiwa yang pertama kali berlaku di situ dan sememangnya memberi kejutan kepada penduduk lebih-lebih lagi ia berlaku pada masa cuti umum. Menurutnya, difahamkan lelaki berkenaan berada di bawah pengaruh dadah dan dia juga orang luar, disebabkan itu dia boleh melakukan hal demikian. "Kejadian yang berakhir dengan empat das tembakan ini memang menggemparkan semua penduduk. Hari ini memang hari cuti dan ramai penduduk yang berada di rumah dan berita ini cepat tersebar," katanya. Polis bertindak melepaskan empat das tembakan ke arah lelaki terbabit setelah berunding selama enam jam bagi membebaskan mangsa. Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata, langkah itu terpaksa diambil setelah lelaki terbabit, yang berumur 34 tahun, bertindak agresif ketika proses rundingan. Dalam kejadian 10 pagi itu, polis menjalankan rundingan dengan turut memanggil pakar psikiatri HKL dan seorang rakan lelaki berkenaan untuk memujuknya, namun dia bertindak lebih agresif. -SH 'Dia ugut mahu bunuh Fifi saya' klik untuk baca |
Kalau Jadi Mangsa Kenapa Tak Saman Akhbar Australia Tersebut? Posted: 23 Jan 2012 03:44 PM PST Rosmah dakwa jadi mangsa sudah dijangka KUALA LUMPUR, 23 Jan: "Dah agak dah," itulah jawapan spontan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar apabila Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa beliau "menjadi mangsa". Sabtu lalu, akhbar Australia Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan isteri Perdana Menteri itu berbelanja sehingga A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney dua minggu lalu. Ketika ditemui dalam sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA hari ini, Malaysiakini memetik isteri Perdana Menteri itu berkata: "Semua itu karut, dibesar-besarkan secara liar dan tidak benar". "Saya selalu menjadi mangsa," dakwa Rosmah ketika ditanya tentang laporan SMH tentang tabiat berbelanjanya. Bagaikan mengundang simpati, Rosmah yang mengiringi suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak ke majlis sambutan itu berkata, beliau berkali-kali menghadapi tuduhan sedemikian. Ketika terus ditanya adakah laporan mengenai perbelanjaan sehingga RM325,000 itu benar, Rosmah berkata: "Saya tidak ada masa untuk melayan semua ini". Mengulas lanjut penafian Rosmah, Mahfuz mengulangi gesaan agar Najib dan Rosmah mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut. "Heret akhbar tersebut ke muka pengadilan di Australia dan kemukakan tuntutan hukuman dan ganti rugi paling maksimum ke atas SMH jika benar laporan itu karut, dibesar-besarkan secara liar dan tidak benar," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu. Mengulangi lagi ingatannya, Mahfuz berkata, jika Rosmah dan Najib enggan berbuat demikian, ia memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa apa yang dilaporkan itu betul seperti yang berlaku dalam keengganan Najib mengambil tindakan undang-undang terhadap begitu banyak akhbar di serata dunia yang mendakwa tentang kaitan beliau dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu. "Kalau benar tidak bersalah, takut apa mengheret akhbar tersebut ke mahkamah di Australia? "Tengku Razaleigh Hamzah pernah menyaman akhbar luar negara di negara akhbar itu sendiri dan oleh kerana beliau tidak bersalah, beliau menang kes tersebut dan mendapat ganti rugi yang lumayan pula," katanya. Sambil bergurau, Mahfuz berkata, kalau Rosmah mendapat ganti rugi yang lumayan hasil tindakan undang-undang ke atas SMH itu, rakyat tidak marah kalau beliau berbelanja besar-besaran dengan wang ganti rugi itu. "Kalau dapat ganti rugi RM24 juta, rakyat tidak marah kalau isteri Perdana Menteri itu mahu membeli cincin berlian semahal ganti rugi yang diperolehi itu. "Kalau dapat ganti rugi lumayan dari SMH, rakyat juga tidak marah kalau Rosmah mahu memborong di semua butik terkemuka di seluruh dunia, beli beg tangan Birkin banyak-banyak, semuanya rakyat tak marah. "Rakyat lebih suka lagi kalau Rosmah menderma, maklumlah sebelum ini beliau menderma sehingga RM1.5 juta kepada Tabung Gaza. Mana dia dapat duit, kita tak tau," kata Mahfuz. Dalam seksyen 'Private Sydney' SMH, kolumnis Andrew Hornery menggelar Rosmah sebagai first lady of shopping (wanita pertama membeli belah), kerana didakwa membelanjakan A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney. Rosmah dan Najib juga didakwa menginap di penthouse bernilai A$20,000 (RM65,100) semalam, meminta "parkir valet untuk limousinnya" dan menerbangkan pereka fesyen negara itu ke Malaysia untuk mengenakan pakaian yang ditempahnya. -HD Rosmah sangkal dakwaan berbelanja mewah Ulasan GB Kalau jadi mangsa fitnah, kenapa tak saman saja akhbar Australia berkenaan? Bak kata Mahfuz pun: "Kalau dapat ganti rugi RM24 juta, rakyat tidak marah kalau isteri Perdana Menteri itu mahu membeli cincin berlian semahal ganti rugi yang diperolehi itu. "Kalau dapat ganti rugi lumayan dari SMH, rakyat juga tidak marah kalau Rosmah mahu memborong di semua butik terkemuka di seluruh dunia, beli beg tangan Birkin banyak-banyak, semuanya rakyat tak marah. klik untuk baca |
[Bergambar] Inilah Wajah Budak 10 Tahun Yang Diselamatkan, Lelaki Bogel Ditembak Mati Posted: 23 Jan 2012 07:25 AM PST Lelaki bogel ditembak, kanak-kanak jadi tebusan bebas KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Kampung Baru di sini, yang dijadikan tebusan oleh lelaki bogel lebih lima jam dengan memasuki rumahnya, berjaya diselamatkan kira-kira jam 4.09 petang tadi. Mangsa dapat diselamatkan setelah polis melepaskan tembakan mengenai lelaki itu. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis terpaksa melepaskan empat das tembakan, yang mengenai rusuk kiri lelaki berkenaan untuk menyelamatkan mangsa. "Kami terpaksa mengambil tindakan itu kerana lelaki itu bertindak agresif, mangsa selamat dan dihantar ke HKL (Hospital Kuala Lumpur) untuk rawatan lanjut," katanya. Beliau berkata, polis berhadapan dengan sitiuasi sukar apabila lelaki itu berada dengan mangsa di dalam bilik serta bersenjatakan pisau. "Lelaki berusia 34 tahun itu tidak menuntut wang tetapi mahu dadah dan jaminan dia selamat. Pakar psikiatri turut membantu dalam kejadian ini, lelaki itu tiada rekod masalah mental," katanya. Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi tadi, suspek masuk ke dalam rumah mangsa lalu bertindak mengambil sebilah pisau dari bahagian dapur lalu meletakkannya di leher mangsa dan mengugut ahli keluarganya supaya tidak melawan. Rumah mangsa yang terletak di Jalan Raja Mahmud mempunyai tiga bilik. Dia kemudian membawa kanak-kanak itu masuk ke dalam bilik utama. Sehingga jam 3 petang tadi, pasukan keselamatan mendapatkan bantuan beberapa pakar dari HKL untuk memujuk lelaki berkenaan. Kanak-kanak perempuan itu dijadikan tebusan oleh lelaki berkenaan yang menyerbu masuk ke rumahnya ketika dia bersama sekeluarganya sedang menonton televisyen. Pasukan keselamatan turut membawa teman wanita lelaki berkenaan ke lokasi kejadian untuk memujuk dan membebaskan mangsa. Menurut bapa mangsa, Syafrudin, 47, yang juga seorang OKU, ketika kejadian dia berada dalam bilik dan lima ahli keluarga lain berada di ruang tamu. Katanya, dia terkejut apabila suspek tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menarik salah seorang anaknya. "Isteri, seorang lagi anak dan anak buah saya sempat berlari keluar. "Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan saya dan suspek ketika itu sudah mengacukan pisau di leher anak saya serta mengugut akan mencederakan anak saya jika kami datang dekat," katanya. Dia bagaimanapun dibawa keluar oleh anggota polis dan suspek ketika itu sudah membawa mangsa ke dalam bilik. Menurut polis, lelaki itu dipercayai bukan penduduk di sini, tetapi berasal dari Sabah serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun dan pernah ditangkap sebelum ini. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3A Akta Culik 1961. -SH Hostage drama: Girl rescued; man shot, dies later Polis berkejar dan berusaha selamatkan kanak-kanak perempuan 10 tahun setelah ia dijadikan tebusan di Kampung Baru. Santi Ngdiono, ibu Fifi Ramadani,10, masih trauma selepas polis berjaya selamatkan anaknya yang ditahan sebagai tebusan selama 5 jam di Lorong Raja Muda Musa 6, Kampung Baru Kuala Lumpur. Suspek dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur setelah cedera ditembak Pandangan lokasi kejadian |
Isytihar Harta: Beranikah Najib & Menteri UMNO Ikut Sikap Nik Aziz? Posted: 23 Jan 2012 04:24 AM PST Nik Aziz: Saya tiada masalah isytihar harta KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedia mengisytiharkan hartanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika peraturan meminta berbuat demikian. Mursyidul Am Pas itu berkata, isu pengisytiharan harta sudah lama dibangkitkan, namun ia tidak pernah menjadi kenyataan sebaliknya rasuah terus berlaku. "Berapa puluh tahun dah saya dengan isu ini, tapi rasuah terus berlaku, kalau wajib isytihar, saya isytihar tapi yang utamanya ialah kita yang menumpang di bumi ALLAH SWT ini, mesti bertakwa kepadanya. "Takwa adalah kunci untuk manusia bergerak mengikut kehendak ALLAH, kalau hakim atau polis tidak bertakwa contohnya, maka terlibatlah dengan rasuah. "Tapi saya tak ada harta, isytihar apa yang ada sajalah, ada tanah sekeping dua peninggalan orang tua dulu," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Penghulu Negeri Kelantan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) dekat sini, hari ini. Sebelum ini, Naib Presiden Pertubuhan Angkatan Generasi Muda Melayu Kelantan (Agenda), Arif Hakimi Zulkifli yang mendesak Nik Aziz dan keluarganya, supaya mengisytiharkan aset mereka kepada SPRM bagi memastikan mereka benar-benar telus dan bersih daripada kegiatan rasuah. Minggu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Exconya dilaporkan mengisytiharkan harta bagi menunjukkan ketelusan dalam pentadbirannya. Sementara itu, Presiden Ransparency International Malaysia (TI-M) Datuk Paul Low juga dilaporkan berkata, selain hakim, semua kakitangan awam sama ada kerajaan, pembangkang atau bebas perlu mengisytiharkan harta masing-masing. Nik Aziz berkata, sekiranya pengisytiharan harta wajib berlandaskan undang-undang, beliau juga akan meminta semua Exco Kerajaan Negeri berbuat demikian. Nik Aziz sedia isytihar harta, Najib bagaimana Ulasan GB GB ingin memetik tulisa Sdra Aspan Alias berhubung dengan hal periytiharan harta ini. Katanya: Keengganan Nazri dan yang lain-lain dalam Kerajaan Persekutuan untuk mengisytiharkan harta secara terbuka menunjukkan yang kumpulan pemimpin dalam BN ini mempunyai banyak perkara yang hendak dilindungi dari pengetahuan umum. klik untuk baca |
Kanak2 Perempuan 10 Thn Dibebaskan Setelah 5 Jam Jadi Tebusan Lelaki Bogel Posted: 23 Jan 2012 01:40 AM PST Mangsa bebas selepas 5 jam jadi tebusan KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Kampung Baru di sini, yang dijadikan tebusan oleh lelaki bogel lebih lima jam dengan memasuki rumahnya, berjaya diselamatkan. Gambar: Keadaan kawasan dimana penculikan berlaku NST Pix Mangsa diselamatkan kira-kira jam 4.05 petang tadi. Terdahulu, bapa mangsa dengan bantuan pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) memujuk lelaki berkenaan agar membebaskan anak perempuannya yang dijadikan tebusan sejak jam 10.30 pagi tadi. Wartawan Sinar Harian yang berada di lokasi kejadian melaporkan, kanak-kanak perempuan itu dijadikan tebusan oleh lelaki berkenaan yang menyerbu masuk ke rumahnya ketika dia bersama sekeluarganya sedang menonton televisyen. Pasukan keselamatan mendapatkan bantuan beberapa pakar dari HKL untuk memujuk lelaki berkenaan. Malah, pemerhatian mendapati pasukan keselamatan turut membawa teman wanita lelaki berkenaan ke lokasi kejadian untuk memujuk dan membebaskan mangsa. Menurut anggota keluarga, mangsa anak sulung dilarikan suspek dan kini berada dalam salah sebuah bilik di rumah mereka. Rumah itu mempunyai tiga bilik. Lain-lain anggota keluarga mangsa kini berada di luar rumah mereka yang terletak di Jalan Raja Muda Musa 6. Menurut bapa mangsa, Syafrudin, 47, yang juga seorang OKU, ketika kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, dia berada di dalam bilik dan lima ahli keluarga lain berada di ruang tamu. Katanya, dia terkejut apabila suspek tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menarik salah seorang anaknya. "Ahli keluarga lain iaitu isteri, seorang lagi anak dan anak buah saya sempat berlari keluar. "Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan saya dan suspek ketika itu sudah mengacukan pisau di leher anak saya serta mengugut akan mencederakan anak saya jika kami datang dekat," katanya. Dia bagaimanapun dibawa keluar oleh anggota polis dan suspek ketika itu sudah membawa mangsa ke dalam bilik. -SH Kg Baru hostage situation: Girl rescued by police, man held |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan