Kelab Greenboc |
- Wasatiah: Ustadz Idris Bidas Najib, Cakap Tak Serupa Bikin
- Isytihar Harta Menteri: Pendirian Nazri Timbulkan Tandatanya
- Video Seks Disebar Lagi, Kepada Ahli Majlis PBT Pula
- Izwan Pilus Meninggal Dunia, Ambillah Iktibar Daripadanya
- Anwar Mahu Dipenjarakan Juga, AG Hantar UMNO BN Ke Pusara
- Kota Bharu Sentral @ Tunjong - Bandar Pintar Islam Moden Di Kelantan
- Malaikatul Maut Sudah Berada Di Atas Bas Untuk Menjemputnya Pulang
- Tubuh J/K Parlimen Untuk Semak Beli Alat Tentera
Wasatiah: Ustadz Idris Bidas Najib, Cakap Tak Serupa Bikin Posted: 21 Jan 2012 12:30 AM PST Wasatiah: Najib diminta 'jangan cakap tidak serupa bikin' KUALA LUMPUR, 20 Jan: PAS meminta Datuk Seri Najib Razak agar jangan mencemarkan Islam dengan slogan sehingga merosakkan imej Islam di pandangan masyarakat bukan Islam di negara ini. "Kita mengharapkan Datuk Seri Najib biarlah bercakap serupa dengan bikin," kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Beliau mengulas dasar wasatiah yang diperkenalkan Najib. Bagi beliau, ia adalah lanjutan dasar pragmatis Umno untuk meraih sokongan di kalangan orang Melayu terutama musim pilihanraya. "Zaman Tunku Abdul Rahman memperkenalkan musabaqah al-Quran, zaman Tun Hussein Onn memperkenalkan Bulan Dakwah. "Tun Dr Mahathir Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Tun Abdullah Badwi Islam Hadhari. "Kita rasa sangsi dengan Islam Wasatiah yang diperkenalkan oleh Najib. "Apakah beliau memperkenalkan Islam Wasatiah kerana gerun melihat kebangkitan rakyat Arab yang menggulingkan pemerintah di negeri mereka dengan andaian ini ada tindakan ekstrim. "Kalau itu maksudnya maka ini adalah satu kesilapan untuk memahami pengertian Wasatiah," katanya. Menurut Idris, memang Islam ajarannya wasatiah, iaitu tidak melampau dan tidak kurang. Contoh wasatiah di dalam ibadah puasa, ia mesti buka, tidak boleh terus menerus berpuasa. Begitu juga dengan memakai pakaian yang menutup aurat ini adalah wasatiah, jika mendedahkan aurat maka ini bukan Islam wasatiah. -HD Ulasan GB Firmanullah s.w.t.: Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu. Dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu, melainkan untuk pengetahuan Kami tentang siapakah yang mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah. Dan sesungguhnya (peralihan kiblat) itu amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah. Dan tidaklah Allah akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang (yang beriman). Al-Baqarah:143 Ummatan wasatan - Mengikut kitab-kitab tafsir yang muktabar seperti Kitab Tafsir At-Tabari, Fi Zilal Al-Quran, Al-Munir, Al-Sayuthi dan Al-Qurthubi, "wasat" (akar kata wasatiah) ialah adil. Jika ada yang mentafsirkan dengan "pertengahan" atau "sederhana", ia menyimpang dari maana sebenar "wasatiyyah". Dan jika mahu juga diterima wasatiah itu sebagai pertengahan atau sederhana, maka Rasulullah itulah contoh tauladan wasatiyyah yang sebenar. Mengikut keseluruhan ajaran Islam itulah yang sebenarnya di katakan wasatiyyah. Justeru itu, wasatiah bukan bererti terimaajaran Islam separuh, tolak separuh supaya dapat dikatakan "sederhana". Wasatiah bukan bererti boleh mengizinkan pemimpin berlaku curang kepada rakyat. Bukan bererti boleh menekan rakyat dan berlaku zalim sesuka hati. Bukan bererti boleh membiarkan isteri membogelkan kepala tanpa bertudung, bukan bererti boleh menangkap orang memberi tazkirah ugama sesuka hati, bukan bererti mengutamakan bangsa sendiri dengan menekan bangsa lain. Yang menghairankan pemimpin yang bercakap tentang wasatiyyah sendiri bukanlah seorang pemimpin yang "sederhana" sepertimana yang dia maksudkan. GB tak perlu dedahkan keaibannya tetapi masing-masing sudah sedia maklum keidupan "kebangsawanan" sang perdana menteri yang kos penyelenggaraan Seri Perdana sahaja adalah RM1.89 juta setahun. Kita belum lagi bicarakan sikap terlampau Rosmah di dalam hal perbelanjaan. Kesemuanya wasatiah? |
Isytihar Harta Menteri: Pendirian Nazri Timbulkan Tandatanya Posted: 20 Jan 2012 11:58 PM PST Isytihar harta: Apa 'bahaya' disembunyikan Nazri? – Srikandi KUALA LUMPUR 20 Jan: Srikandi KEADILAN mempersoalkan mengapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz terlalu bimbang sekiranya aset menteri kabinet wajib diisytihar kepada umum. Ia ekoran kenyataan Nazri yang mempertikai keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menyifatkan tindakan itu 'mengundang bahaya'. "Apakah ia akan memperlihatkan jumlah sebenar kekayaan menteri Umno yang tidak sebanding dengan kesusahan Rakyat di bawah? "Apakah Nazri Aziz bimbang seandainya aset milik mereka dipersoal oleh rakyat, pemimpin Umno tidak lagi boleh memperolehi kekayaan yang banyak?," soal Ketua Srikandi, Siti Aishah Shaik Ismail. Menurutnya lagi, sekiranya Nazri Aziz merasakan beliau telus dalam pentadbiran, mendahulukan rakyat dan berkhidmat dengan "jujur", maka tiada istilah "bahaya" yang harus dibangkitkan. "Rakyat harus tahu sikap dan sifat pemimpin mereka, maka saya pasti rakyat akan menanti semua Menteri-Menteri kabinet mengistiharkan harta mereka dengan kadar segera. "Kita menanti dan sekiranya mereka "gagal" maka jelaslah, ada sesuatu "bahaya" yang sedang disembunyikan," kata Aishah. Menurutnya lagi, keputusan tidak timbul kerana kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan berani mengistiharkan aset milik exco kerajaan negeri itu termasuk Ketua Menteri sendiri. "Ini dilakukan atas dasar ketelusan dan kejujuran kerajaan pakatan rakyat yang yakin bahawa tiada apa yang harus disembunyikan dan "bahaya" untuk diketahui oleh umum," ujarnya. -KD Tak payah isytihar harta, hanya isytihar kepada PM sahaja: Nazri |
Video Seks Disebar Lagi, Kepada Ahli Majlis PBT Pula Posted: 20 Jan 2012 09:47 PM PST Petaling Jaya, 20 JAN : Pengedaran video aib yang memfitnah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ini disasarkan kepada ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor. Yang peliknya, VCD tersebut diposkan di dalam satu sampul bersama surat yang memaparkan ajaran Islam tentang dosa orang yang mengumpat. Terkini, dua laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya oleh dua orang ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Mahharul Ismail dan Halimey Abu Bakar. Mereka mendakwa menerima salinan VCD video aksi seks lelaki dikatakan mirip Anwar dengan seorang perempuan iras bangsa Cina dua hari lepas di alamat kediaman dan pejabat mereka. VCD tersebut diposkan di dalam sampul beserta surat itu. Antara kandungan surat tersebut adalah : "Islam mewajibkan umatnya menjaga lidah daripada berkata-kata perkara yang tidak baik antaranya ialah mengumpat. Mengumpat ialah menyebarkan keaiban atau memburukkan orang melalui lidah." "Kami membuat laporan ini supaya pihak polis dapat menyiasat siapa yang menghantarnya tanpa penama dan diharap dapat juga menyiasat motif penghantaran VCD ini. "VCD ini bukan sahaja diedarkan kepada ahli majlis MBPJ tetapi juga ahli-ahli majlis seluruh negeri Selangor ujar Halimey." Maharrul berkata laporan itu juga dibuat sebagai tanda kekesalan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab mengedarkan VCD lucah tersebut. "Ini juga merupakan satu kesalahan mengikut akta kesalahan jenayah atas kesalahan memiliki atau mengedar bahan lucah terutama diedarkan kepada penjawat awam," tegas Maharrul yang menerima salinan VCD itu di pejabatnya Rabu lalu. Kedua ahli majlis MBPJ tersebut turut menyatakan kemungkinan pengedaran VCD ini bermotifkan fitnah politik kerana ianya disasarkan kepada penjawat awam dan diedarkan selepas Anwar dibebaskan daripada tuduhan meliwat. "Fitnah ini semata-mata untuk menggambarkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat dan Ketua Pembangkang Malaysia ini tidak bermoral. Jadi kami berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana ini merupakan jenayah berat," kata Maharrul. -tvsnews Ulasan GB Yakinilah janji Allah s.w.t. di dalam surah-Fatir ayat 43 Rencana yang jahat itu tidak akan menimpa selain orang yang merencanakannya sendiri. |
Izwan Pilus Meninggal Dunia, Ambillah Iktibar Daripadanya Posted: 20 Jan 2012 07:40 PM PST Dunia hiburan pada Jumaat telah dikejutkan dengan kematian penyanyi popular Izwan Pilus, akibat jangkitan kuman dalam darah dan jangkitan kencing tikus yang serius. Izwan, 32, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini beberapa jam selepas dimasukkan ke wad. Pengurusnya, Shaiful Shazwan yang dihubungi mStar Online di sini mengesahkan berita sedih ini. Katanya, Izwan meninggal dunia kira-kira pukul 6.15 petang. Allahyarham yang popular dengan lagu Kembali Senyum telah dimasukkan ke hospital tersebut pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam Jumaat selepas mengadu sesak nafas dan keadaannya semakin kritikal menjelang petang. "Allahyarham sempat bercakap dengan saya pagi tadi (Jumaat) dan dia kata dia sihat. Tidak sangka pula lain yang berlaku. Saya amat sedih," kata Shaiful lagi. Jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke kampungnya di Jalan Taman Nyalas 2, Taman Nyalas Permai, Jasin, Melaka untuk dikebumikan pada pukul 11 pagi Sabtu. Pada awal Disember lalu, Allahyarham bersama adiknya, penyanyi Aril yang merupakan finalis Akademi Fantasia 7, pernah dimasukkan ke Hospital Pusrawi dekat sini akibat demam panas yang berpanjangan. Anak kedua daripada empat adik-beradik ini bagaimanapun dibenarkan keluar dari hospital sebelum sakit semula sejak dua minggu lalu. -mstar
Ulasan GB Semalam GB menulis: "Kematian" datang kepada kita apabila ajal sudah tiba. Datang pelbagai cara dan tak kira kita di mana. Apabila daun sudah gugur ia tidak tercepat atau terlambat walau sesaat jua. "Kematian" adalah guru paling utama. Ambillah iktibar daripadanya terutama kepada mereka yang berada di dalam dunia hiburan. GB hendak bertanya: Hidup di dunia ini berapa lama? Bukan tak boleh berhibur, tetapi setiap sesuatu ada had dan batasnya. Usah dilanggar batas-batas itu. Alfatihah untuk almarhum, semuga Allah mengampuni apa jua dosanya dan dimasukkan dia di kalangan para hambaNya. |
Anwar Mahu Dipenjarakan Juga, AG Hantar UMNO BN Ke Pusara Posted: 20 Jan 2012 04:58 PM PST Pejabat Peguam Negara Fail Rayuan Terhadap Pembebasan Anwar KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara, pada Jumaat memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan dan pelepasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Apabila dihubungi Bernama, Timbalan Pendaftar Halilah Suboh mengesahkan bahawa notis itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah pada kira-kira pukul 4.30 petang. Notis itu dikatakan ditandatangani Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun. Seorang lagi pegawai memberitahu Bernama bahawa mengikut Akta Mahkamah Keadilan 1964, hakim perbicaraan perlu mengemukakan penghakiman bertulis kepada pihak pendakwaan atau pembelaan dalam tempoh 14 hari bagi tujuan memfailkan notis rayuan. "Setelah meneliti penghakiman bertulis itu, mereka akan membuat keputusan sama ada hendak memfailkan petisyen atau rayuan," katanya. Hakim perbicaran Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang kini bercuti, dijangka kembali bertugas pada 25 Jan dan mengemukakan penghakiman bertulis beliau. Pada 9 Januari, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Anwar. Hakim Mohamad Zabidin berkata mahkamah tidak 100 peratus pasti bahawa integriti sampel DNA tidak diusik. Beliau juga berkata mahkamah keberatan mensabitkan kesalahan Anwar semata-mata berdasarkan kenyataan Mohd Saiful yang tidak disokong dengan bukti. Anwar, 64, dituduh meliwat Mohd Saiful, 26, di kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Beliau dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. Sementara itu, apabila dihubungi Bernama, bapa Mohd Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim, 58, berkata dia gembira kerana Pejabat Peguam Negara memafailkan rayuan itu. - BERNAMA Ulasan GB Pada awalnya GB menduga Peguam Negara tidak akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwat. Ini kerana menurut keputusan hakim, bahan bukti telah tercemar dan di dalam sebarang perbicaraan "bahan bukti" adalah kritikal - dan mahkamah tidak boleh bersandarkan penghakimannya ke atas keterangan semata-mata tanpa bukti yang sahih. Justeru itu tiada premis untuk pihak pendakwa membuat rayuan. Tetapi sepertimana GB nyatakan sebelum ini di Bahan DNA Tercemar. Harapan Saiful Merayu Tipis: Sekarang apabila bahan bukti utama telah tercemar dan ditolak, apa lagi yang hendak dirayukan? Apa evidences lain yang hendak dikemukakan? Dubur Saifulkah? Itupun disyaki telah dicemari. Perkataan yang GB tebalkan di atas menampakkan ia semacam satu kenyataan. Ada rencana untuk mensabitkan Anwar bersalah TANPA BUKTI. Kedua kita lihat permohonan Anwar untuk QAZAF telah dihalang di Mahkamah Syariah. Ketiga, tiba-tiba semalam juga Mahkamah Rayuan memerintahkan peguam Karpal Singh (peguam yang terlibat secara terus di dalam kes liwat) supaya membela diri terhadap pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada sidang akhbar pada 2009. Umum meelihat ia adalah untuk menghalang Karpal dari memberikan tumpuan terhadap kes Anwar. Justeru itu amat jelas dari hujjah di atas, ramai yang persoalkan apakah rayuan yang dikemukakan oleh Peguam Negara semalam hanya untuk memenuhi satu perancangan bagi bagi memenjarakan Anwar? Tetapi seperti GB kemukakan juga sebelum ini di Ku Li Yakin Anwar Bakal Dipenjarakan: Tetapi pada pandangan GB jika Anwar dipenjarakan, ia akan menyebabkan simpati dan kebangkitan rakyat, sepertimana yang berlaku di dalam PRU10 tahun 1999. Bererti UMNO akan habis jugak. Malah lebih dasyat jika Anwar tidak dipenjarakan. Tragedi rampasan kuasa oleh Najib/UMNO-BN Perak bakal diulangi. Malaysia akan terus jadi perhatian dunia semula dan sebenarnya tindakan Peguam Negara itu akan menghantar UMNO BN ke pusara di dalam pilihanraya yang datang ini. |
Kota Bharu Sentral @ Tunjong - Bandar Pintar Islam Moden Di Kelantan Posted: 20 Jan 2012 02:30 PM PST Kelmarin telah berlangsung Majlis Pengumuman Pembangunan Kota Bharu Sentral @ Tunjong bertempat di Hotel Renaissance, Kota Bharu. Majlis disemprunakan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pembangunan Kota Bharu Sentral yang akan dibina di tanah sawah seluas 16.99 hektar di Tunjong, Kota Bharu mulai Jun atau Julai ini bakal menjadi mercu tanda baru bandar pintar Islam moden untuk Kelantan. Projek usaha sama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Tunjong Development Corporation (TDC) dan Sara-Timur Urban Development Sdn Bhd (Sara Timur) itu membabitkan belanja antara RM500 juta hingga RM600 juta dan dijangka siap lima hingga enam tahun. Pengerusi Kumpulan Sara-Timur, Datuk Dr Zawawi Ismail berkata, pembinaan bandar pintar itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa dan akan dimulakan dengan pembinaan The Village Mall setinggi dua tingkat selain masjid, dewan konvensyen, kondominium, medan selera serta panggung wayang. "Sebanyak 1,200 parkir kereta dalam bangunan disediakan untuk memudahkan pengunjung ke bandar ini," katanya dalam taklimat dan pengumuman pembangunan Kota Bharu Sentral@Tunjong di Hotel Renaissance Kota Bharu, Kelantan. Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa dan Pengarah Urusan Sara-Timur, John Loi Hieng Yee. Zawawi berkata, reka bentuk pembangunan turut diterapkan dengan unsur Islam kontemporari yang akan dicampur dengan seni reka kebudayaan Kelantan. Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata, projek berkenaan mampu menyelesaikan masalah pembangunan tidak sekata dan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, banjir kilat dan pencemaran yang berpunca daripada pembangunan. Beliau turut berharap pembangunan itu seiring dengan pembangunan rohani yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk di dalam dan luar Kelantan. Petikan Ucapan ringkas YB Dato' Husam Musa Dalam Majlis Pemumuman Kota Bharu Sentral @ Tunjong Ulasan GB Sekalipun kerajaan Pusat yang dikuasai UMNO BN merompak hasil royalti Kelantan, dengan harapan negeri Kelantan yang dikuasai oleh PAS menderita tidak dapat melaksanakan pembangunan untuk mudah mereka menempelak kerajaan yang dipimpin oleh TG Nik Aziz, namun Allah Maha Kaya.... Kelantan tetap membangun bersama Islam. Malah petanda keruntuhan dan kehancuran UMNO BN sendiri di peringkat pusat telah menampakkan tanda-tandanya akibat dari KEZALIMAN yang berterusan dari seorang PM ke PM. Dan serentak dengan itu juga tak berapa lama lagi, Kelantan bakal bergelar AGONG! |
Malaikatul Maut Sudah Berada Di Atas Bas Untuk Menjemputnya Pulang Posted: 20 Jan 2012 06:30 AM PST Tragedi Genting Sempah BENTONG – Niat seorang penumpang bas ekspres berpindah tempat duduk dari belakang ke bahagian hadapan bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan petang semalam. Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Rizal Zaharon, 39 beralamat di Rumah Murah Peramu Jaya, Pekan menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Kuantan. Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 40.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak melibatkan sebuah bas ekspres dan lori treler membawa muatan kayu kira-kira jam 4 petang. Menurutnya, bas dinaiki oleh 39 penumpang termasuk mangsa bersama seorang pemandu. "Setibanya di tempat kejadian iaitu di kawasan menuruni bukit selepas terowong Genting Sempah, bas yang dipandu dipercayai terlanggar bahagian belakang lori treler itu. "Akibat perlanggaran itu, mangsa yang duduk di bahagian hadapan kiri tempat duduk penumpang tersepit," katanya kepada Sinar Harian. Mohd Yusri berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. Menurutnya, mangsa terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat sebelum dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat. "Selain mangsa, sembilan lagi penumpang dan pemandu dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan akibat kecederaan ringan dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil. "Kes kemalangan masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. -SH Setengah jam keluarkan mangsa Ulasan GB "Kematian" datang kepada kita apabila ajal sudah tiba. Datang pelbagai cara dan tak kira kita di mana. Apabila daun sudah gugur ia tidak tercepat atau terlambat walau sesaat jua. Siapa duga, dia beralih tempat duduk dari belakang ke depan, rupa-rupanya gilirannya sudah tiba. Justeru beringatlah kita sentiasa, sebelum malaikatul maut menjemput kita. Mungkin "dia" sudah ada dalam kereta yang kita naiki, dalam pejabat, atau di mana saja kita berada... entah esok entahkan lusa... Kepada almarhum.. alfatihah... kita sedekahkan pahala agar dicucuri rahmat ke atas rohnya. |
Tubuh J/K Parlimen Untuk Semak Beli Alat Tentera Posted: 20 Jan 2012 04:38 AM PST Tubuh JK Parlimen semak beli alat tentera KUALA LUMPUR, 19 Jan: Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini mencadangkan agar ditubuhkan Jawatankuasa Parlimen Komiti bagi melaksanakan peranan semak dan imbang terhadap pembelian peralatan ketenteraan di negara ini. Cadangan tersebut disuarakan oleh tiga ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada pertemuan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi di pejabatnya di Kementerian Petahanan, di sini. Ketiga-tiga ahli Parlimen terbabit terdiri daripada Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang juga AJK PAS Pusat bagi pihak PAS, Ahli Parlimen Machang yang juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak PKR dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara yang juga Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dari DAP. Pertemuan tersebut bermula jam 3.00 petang dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad, Panglima Tentera Darat, Laut dan Udara. Menurut Dr Dzulkefly Ahmad, cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut pada dasarnya telah dipersetujui oleh Zahid, Ketua Setiausaha kementerian dan ketiga-tiga panglima terbabit sekiranya ia diluluskan oleh Parlimen. "Ini merupakan satu perkembangan yang baik. Ini akan membolehkan rakyat mendapat manfaat lebih besar apabila pemimpin yang juga ahli-ahli Parlimen pembangkang turut berpeluang memainkan peranan penting bagi melaksanakan tugas semak dan imbang terhadap perbelanjaan kerajaan khususnya berhubung pembelian peralatan ketenteraan di negara ini," katanya. Bercakap pada sidang media bersamanya dengan Saifuddin dan Tony di hadapan bangunan Kementerian Pertahanan selepas pertemuan itu, beliau berkata, pertemuan tersebut diadakan bagi mendapatkan penjelasan daripada Zahid mengenai beberapa isu. "Antara isu utama yang dibincangkan adalah mengenai kos sebenar pembelian kapal patrol yang telah berubah harga sebanyak RM3 bilion selepas setahun iaitu dari RM6 bilion kepada RM9 bilion," jelasnya. Menerusi pertemuan itu, ketiga-tiga mereka telah dijelaskan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu bahawa perbezaan tersebut berlaku kerana perkara sebenar mengenainya tidak dijelaskan oleh Zahid pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini. Berdasarkan penjelasan Ketua Setiausaha kementerian itu didapati kos sebenar pembelian kapal tersebut sememangnya RM9 bilion, tetapi daripada jumlah itu hanya RM6 bilion sahaja yang dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), manakala RM3 bilion lagi dimasukkan dalam RMK-11. Pada sidang media yang sama, Saifuddin menjelaskan, penjelasan tersebut akan dikaji oleh pihak Pakatan Rakyat dan mereka akan memberikan respon mengenainya kemudian nanti. "Buat masa ini, kami memang menerima dulu segala penjelasan yang diberi, tetapi kami akan kaji pula selepas ini sama ada penjelasan itu boleh diterima oleh pihak Pakatan Rakyat atau tidak," katanya. Manakala Tony pula berkata, langkah Kementerian Pertahanan yang bersetuju mengadakan pertemuan dengan pihak pembangkang pada hari ini pasti akan memberikan kesan yang cukup baik bagi kepentingan negara. Beliau berharap agar langkah seperti itu akan turut diadakan oleh kementerian-kementerian lain termasuk Kementerian Pertanian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Jabatan Perdana Menteri (JPM). "Tidak rugi jika pihak kerajaan bersetuju mengadakan pertemuan seperti ini kerana ia akan membolehkan pihak pembangkang melakukan semak dan imbang terhadap segala tindakan dan perbelanjaan kerajaan bagi kepentingan rakyat dan negara," ujarnya. -HD |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan