Jumaat, 6 Januari 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


JAKIM Ketinggalan Halang 901 Melalui Khutbah Jumaat, Polis Sudah Benarkan

Posted: 06 Jan 2012 01:01 AM PST

Khutbah ingatkan umat Islam tak sertai himpunan 901

Umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan hari ini diberi amaran supaya tidak melakukan "kesilapan besar" dengan menghadiri demonstrasi jalanan.

Menurut khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), mereka yang bersekongkol dengan penganjur demonstrasi jalanan melakukan kesalahan besar dan menzalimi umat Islam.

Amaran itu dikeluarkan menjelang perhimpunan yang dirancang oleh penyokong-penyokong ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Kuala Lumpur pada hari keputusan perbicaraan kes liwat membabitkan dirinya dan pembantu peribadinya diumumkan pada 9 Januari ini.

"Kita sedar hari ini sekali lagi pelbagai cara dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan perpaduan umat Islam dan keamanan negara di antaranya melalui pembohongan fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun perpaduan samada melalui media massa dan alam siber, melanggari undang-undang negara.

"Mereka juga cuba meruntuhkan keamanan yang dikecapi selama ini dengan mengadakan pelbagai helah dan cara termasuklah mencetuskan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan.

"Mereka menghasut rakyat dengan menyemai perasaan tidak puas hati dan benci kepada pemerintah dengan melaungkan slogan tertentu yang digambarkan sebagai gelombang rakyat yang membantah," petik khutbah yang dibacakan itu.

haze in kuala lumpur mosqueMenurut khutbah itu lagi, penganjur perhimpunan itu yang bertopengkan atas dasar menuntut keadilan dan ketulusan sebenarnya mahu mengheret rakyat ke jalanan supaya dapat dijadikan sebagai perisai.

"Tetapi hakikatnya mempunyai agenda tersendiri untuk menghuru-hara negara, melemahkan pemerintah dan perpaduan rakyat yang akhirnya membawa tanggapan di mata dunia bahawa negara ini tidak lagi berada dalam keamanan.

"Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan umat Islam sekalian bahawa sesiapa yang terlibat dan bersekongkol dengan golongan ini sebenarnya telah melakukan kesalahan yang besar dan menzalimi umat Islam serta keamanan negara," petik khutbah itu lagi. -mk

Polis Benarkan Penyokong Anwar Berhimpun Di Tempat Letak Kereta Mahkamah

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Polis Kuala Lumpur membenarkan penyokong ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan di tempat letak kereta di luar perkarangan Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, di sini pada Isnin depan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata persetujuan itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

"Penganjur mesti memastikan perhimpunan itu dijalankan secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu di sini hari ini.

Azmin bertemu dengan Mohmad pada 10 pagi ini.

Azmin dalam sidang media bersama Mohamad itu memberi jaminan perhimpunan itu akan berjalan secara aman dan teratur.

Beliau turut berterima kasih dan menghargai polis kerana menjemputnya http://www.blogger.com/img/blank.gifbagi membincangkan berkenaan perhimpunan tersebut.

"Perbincangan agak panjang dan saya setuju perhimpunan akan dijalankan dengan teratur dan aman selaras dengan kerjasama yang diberikan polis dan Kementerian Dalam Negeri," katanya. -- BERNAMA


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Isu Jamil Khir Salahguna Wang Zakat: NGO Serah Surat Kepada Ketua Jabatan Audit Negara

Posted: 05 Jan 2012 11:28 PM PST

Ssebuah NGO, Jingga 13 semalam menyerahkan surat kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Dato Setia Haji Ambrin Bin Buang berhubung Penyelewengan dan Salahguna kuasa menggunakan wang zakat terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengarah MAIWP Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Encik Shamsuddin Hussain.

Jingga 13 diketuai oleh Ketua Koordinator, Fariz Musa telah hadir ke Jabatan Audit Negara di Presint 2, ditemani oleh 10 orang ahli-ahlinya pada pukul 2.00 petang.

Ketibaan NGO tersebut disambut Pegawai Khas, Jamilah Binti Jais yang menerima surat bagi pihak Ambrin yang sedang bermesyuarat.

Pertemuan selama 15 minit tersebut berlangsung secara baik.

Pada 21 November lalu, Ambrin mengesahkan bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010.

Namun sekalipun menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun lalu, pembayaran semula kepada wang zakat hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses 'pelarasan semula'.

Khir bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain didakwa melakukan penyelewengan wang zakat yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini terdapat kes amil zakat di Johor, Redzuan Mohd Said yang menyalahgunakan RM19,510 dan memulangkannya tetapi dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan tahun ini.

Pada 30 Disember lalu, Jingga 13 hari ini mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi individu Datuk Che Mat Che Ali serta Shamsuddin Hussain memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam kepada seluruh umat Islam berhubung isu penggunaan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). -tvsnews


Berikut adalah isi kandungan surat yang dihantar kepada Ketua Audit Negara semalam

Y.Bhg. Tan Sri Dato' Setia Haji Amrin bin Buang,

Ketua Audit Negara,
No. 15, Aras 4, Persiaran Perdana,
Persint 2,
62518 Putrajaya.

Y.Bhg. Tan Sri Dato' Setia,

MOHON PENJELASAN TERHADAP ISU PENYELEWENGAN DAN PENYALAHGUNAAN WANG ZAKAT MAIWP OLEH YB SENATOR MENTERI JABATAN PERDANA MENTERI DATO' SERI JAMIL KHIR BAHAROM, PENGARAH JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KETUA PENDAKWA SYARIE WILAYAH PERSEKUTUAN

Adalah dengan segala hormat perkara di atas adalah dirujuk.

2. Untuk makluman Y.Bhg. Tan Sri Dato' Setia bahawa kami Jingga 13 telah membuat laporan dan aduan rasmi di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 30 Disember 2011 berkaitan isu penyelewengan dan salahguna kuasa menggunakan wang zakat terhadap YB Senator Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Jamil Khir Baharom, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pandakwa Syarie Wilayah Persekutuan En. Shamsuddin Hussain.

3. Berdasarkan laporan pemeriksaan audit telah dijalankan di MAIWP terhadap pembelanjaan bagi kos guaman RM63,650 bersabit kes tuntutan qazaf YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Permatang Pauh seperti mana laporan yang dihantar kepada YB. Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, rujuk Fail : AUDIT/BBP/147/379/15(12) bertarikh 21 November 2011 oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato' Setia menyatakan :

3.2 YBhg. Datuk Haji Che Mat bin Che Ali telah meluluskan bayaran interem berjumlah RM 31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 januari 2010. Bayaran ini diluluskan pada 9 Februari 2010 melalui baucar no. 2010B01304 menggunakan peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran. Kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

3.3 Pada 29 April 2010, MAIWP telah membuat pembayaran baki kos guaman berjumlah RM 32,150 ( termasuk perbelanjaan pelbagai berjumlah RM650) menggunakan peruntukan sumber zakat terlebih dahulu. Bayaran ini dibuat apabila menerima laporan penuh perbicaraan daripada Tetuan Zainul Rijal Talha Dan Amir setelah kes selesai.

3.4 MAIWP telah menerima geran Kerajaan berjumlah RM700,000 pada 22 Jun 2010 untuk peruntukan sumber am. Pada bulan Disember 2010, MAIWP telah menyelaraskan perbelanjaan peruntukan wang zakat yang telah dibayar untuk kos guaman berjumlah RM63,650 kepada peruntukan sumber am melalui jurnal pelaras. Dengan pelarasan ini, wang zakat berjumlah RM63,650 telah dikembalikan kepada sumber zakat dan kos guaman dikenakan kepada peruntukan sumber.

4. Kenyataan YB Senator DatO' Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pada 31 Disember 2011 sepertimana dilaporan oleh Bernama, bertajuk "Jamil Khir Perjelas Dakwaan Seleweng Wang Zakat" ternyata menyimpang daripada laporan tersebut dan cuba memutarbelitkannya malah memperlekehkan laporan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak jabatan yang diketuai oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato' Setia selaku Ketua Audit Negara.

5. Kami tidak menafikan bahawa berlaku pembayaran balik wang zakat tersebut oleh MAIWP pada bulan Disember 2010 sepertimana dijelaskan oleh laporan pihak Y.Bhg Tan Sri Dato' Setia sepertimana di bawah :

6. Isu pembayaran balik oleh MAIWP adalah tidak timbul namun laporan tersebut telah mengesahkan bahawa wujud penyelewengan dan salahguna kuasa terhadap wang zakat selama hampir sebelas (11) bulan ( Februari – Disember ) yang cuba dinafikan oleh YB Senator Menteri yang mengurustadbir Hal-Ehwal Agama Islam malah kini memutarbelitkan kenyataan dan fakta.

7. Pada 21 Jun 2011, Timbalan Menteri Jabatan perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim telah mengakui bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan wang zakat ketika menjawab soalan YB Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Machang dalam perbahasan Perbekalan Tambahan 2011 di Parlimen.

8. YB Senator Dato' Seri Jamil Khir juga secara nyata dan jelas telah MEMPERLEKEHKAN INTEGRITI DAN KREDEBILITI laporan daripada jabatan yang dipimpin oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato' Setia dan BERBOHONG kepada seluruh rakyat Malaysia.

9. Sehubungan dengan itu, kami memohon jasa baik Y.Bhg. Tan Sri Dato' Setia menjelaskan kepada umum berkaitan percanggahan fakta yang telah di buat oleh YB Senator Dato' Seri Jamil Khir Baharom yang menyangkal bahawa penggunaan wang zakat oleh beliau dan dua yang lain.

Sekian, terima kasih.

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

Saya yang menjalankan tugas,
( FARIZ MUSA )
Ketua Koordinator Jingga 13






Lagi Dibiarkan, Hassan Ali Semakin Melampau

Posted: 05 Jan 2012 07:30 PM PST

Hasan bantah pendirian PAS Selangor sokong perhimpunan haram

SHAH ALAM: Tokoh kontroversi PAS, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang juga EXCO Kerajaan Selangor membantah pendirian PAS Selangor menyokong perhimpunan haram yang dirancang Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, di ibu negara Isnin ini.

Hasan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, sebaliknya berkata parti itu sudah membazirkan masa lebih tiga tahun hanya kerana seorang pemimpin, sedangkan banyak kerja lain lebih berfaedah untuk negara boleh dilakukan dalam tempoh berkenaan.

Sehubungan itu, beliau tidak akan menghadiri perhimpunan berkenaan dan mempersoalkan tindakan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Abdul Rani Osman mendahului kepemimpinan PAS pusat dalam membuat pendirian berhubung isu berkenaan.

Katanya, PAS Selangor juga dilihat begitu proaktif dan taksub terhadap perkara yang salah, manakala perkara lain yang lebih penting iaitu membabitkan agama Islam dipinggirkan.

"Jemputan kepada ahli PAS untuk sertai perhimpunan itu adalah pendapat peribadi dan bukan suara ahli PAS negeri. PAS Selangor kena betul. Kenapa Himpunan Sejuta Umat sebelum ini Dr Rani larang sertai, tetapi apabila hal yang membabitkan peribadi seorang individu dia begitu bersungguh-sungguh," katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Agama Islam (JAIS), di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu juga berkata rakyat, terutama mahasiswa perlu merenung semula cadangan perhimpunan berkenaan kerana ia boleh menimbulkan suasana anarki dan bahana terhadap negara.

"Saya tidak rela pakatan pembangkang dapat kuasa dan selepas itu timbul kekecohan. Saya tidak reda dengan isu ini. Orang muda perlu belajar bersungguh-sungguh dan takluk semua universiti ternama dunia, barulah dikira hebat. Mahkamah sudah beri ruang yang banyak untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 60 kali penangguhan. Kita habis berpuluh-puluh ribu jam hanya untuk isu ini.

"Kalau di negara lain seperti Korea, mereka tidak ada masa untuk fikir soal peribadi kerana mereka fikir bagaimana untuk menjalin hubungan dengan negara lain dan memajukan negara," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip bahawa semua pemimpin parti perlu menyertai perhimpunan itu kerana ia arahan kepemimpinan pusat, Hasan berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

"Saya salah seorang pemimpin di peringkat pusat dan setahu saya belum ada arahan untuk semua ahli PAS turun kecuali ia arahan daripada Pesuruhjaya PAS Selangor itu sendiri," katanya.

Beliau juga berkata, seorang pemimpin perlu bebas daripada masalah moral dan berpendapat hanya Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang layak digelar pemimpin.

Katanya, apabila memilih seseorang pemimpin, selain rekod prestasi dalam kerajaan dan peringkat antarabangsa, latar belakang keluarga mereka juga perlu diberi perhatian. -sumber: BH


Hadi, Kit Siang sertai kempen 901

PETALING JAYA - Pemimpin-pemimpin tertinggi Pas dan DAP akan menyertai kempen Bebas Anwar 901 bagi menyatakan sokongan ke atas Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengetahui keputusan kes liwatnya, Isnin depan.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah bersetuju untuk turut serta dalam perhimpunan itu.

Menurutnya, sokongan itu bukan sekadar menunjukkan sokongan kepada Anwar, malah sepakat bahawa sistem sedia ada perlu diubah termasuk sistem politik, ekonomi, kehakiman dan pendidikan.

"Kita jamin tiada insiden yang tidak baik berlaku pada 9 Januari nanti, melainkan ada pihak tidak bertangggungjawab yang sengaja memprovokasi.

"Perhimpunan besar-besaran itu bagi memastikan rakyat sentiasa bersama-sama PR pada pilihan raya umun akan datang," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pimpinan PR di sini.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, sekiranya mahukan sistem pemerintahan yang adil, perubahan besar perlu digerakkan dengan bersungguh-sungguh.

"Kalau ia tidak berlaku, tidak akan wujud pilihan raya umun yang bersih dan adil yang mengikut amalan demokrasi yang telah diamalkan oleh negara-negara lain," katanya.

Dalam pada itu, Kit Siang pula mencadangkan supaya pelajar universiti diberi kuasa bagi menyatakan sebarang pandangan dan cadangan bagi menambahbaiki sistem pentadbiran negara.

"Sistem sedia ada mengekang pergerakan pelajar dan perlu diubah. Kita tidak mahu mereka menjadi mangsa keadaan.

"Jadi, bagi merealisasikan perubahan ini, DAP akan bersama-sama dan menyokong sebarang usaha termasuklah kempen untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin depan," katanya. -SH


Ulasan GB

Sehari demi sehari, kebenaran terdedah siapa itu Hassan Ali.

Setelah beliau "meludah" muka TG Nik Aziz dengan penafian memohon maaf di Kelantan sebelum ini, kini beliau meludah pula Presiden PAS sendiri.

Beliau lansung tidak layak untuk berada di dalam jemaah PAS.

Itu sebab GB katakan semakin dia dibiarkan, Hassan Ali semakin melampau.

Perhimpunan 901 Dibenarkan. Ayuh Jom Turun

Posted: 05 Jan 2012 06:00 PM PST

Polis benar penyokong Anwar berhimpun di tempat lain

Polis membenarkan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan Isnin ini, tetapi ia hendaklah diadakan di lokasi lain dan bukan di hadapan Kompleks Mahkamah, di Jalan Duta demi menjaga ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihak penganjur perlu bertemu dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh bagi membincangkan lokasi yang bersesuaian untuk mengadakan perhimpunan itu.

"Kami boleh benarkan perhimpunan itu dijalankan tetapi bukan di mahkamah. Mereka boleh berhimpun di tempat yang tidak mengganggu ketenteraman awam dan
kelancaran trafik.

"Walaupun undang-undang Akta Perhimpunan Aman 2011 belum digazetkan, kami sedia membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan itu dengan syarat mereka membatalkan perhimpunan di hadapan mahkamah itu bagi menjaga kepentingan umum," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata jika nasihat untuk membatalkan perhimpunan itu tidak diendahkan,pihaknya bersedia untuk mengawal keadaan serta mengambil tindakan bersesuaian supaya tidak terjadi kekacauan dan juga tekanan kepada mahkamah.

Jika keadaan demonstrasi di luar kawalan, Ismail berkata polis akan menggunakan elemen penyuraian seperti penggunakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), 'water cannon' dan gas pemedih mata sekiranya perhimpunan itu mengancam keselamatan awam.

"Saya menyeru orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan di hadapan mahkamah itu kerana dikhuatiri kedatangan mereka itu hanya akan mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan negara dan mendatangkan ancaman kepada orang lain," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang awam agar matang dan menghormati keputusan mahkamah dan sebarang tindakan yang menentang atau melawan keputusan mahkamah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Ismail berkata dalang-dalang perhimpunan itu kini dipantau dan polis sentiasa memantau keadaan terkini melalui laman siber dan media.

Beliau berkata pihak penganjur juga tidak sepatutnya menggunakan slogan 'Bebaskan Anwar' kerana ia seolah-olah membelakangkan mahkamah dan tidak menghormati sistem keadilan negara kerana keputusan belum dikeluarkan.

"Hormati keputusan mahkamah. Saluran rayuan sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan mahkamah dan bertindaklah dengan kematangan, bukan emosi seiring dengan amalan demokrasi dan budaya masyarakat Malaysia," katanya.

Sehingga hari ini, polis menerima 535 laporan daripada pelbagai pihak di seluruh negara kerana membantah perhimpunan itu yang dirancang diadakan Isnin ini. - Bernama


Pakatan Rakyat Selangor Akan Turun Beramai-ramai pada Jan 9

SHAH ALAM, 4 JAN : Pakatan Rakyat Selangor hari ini berikrar akan menggerakkan sebanyak mungkin anggota parti bagi perhimpunan Bebaskan Anwar 901 yang diadakan di hadapan kompleks mahkamah Jalan Duta minggu hadapan.

Perkara ini dinyatakan oleh ketiga-tiga ketua penerangan parti komponen Pakatan Rakyat, iaitu Shuhaimi Shafie (PKR), Jenice Lee (DAP) dan Saari Sungib (Pas) di dalam satu sidang media di sini hari ini.

"iIni adalah menjadi tanggungjawab PR dan pencinta keadilan untuk bersama-sama hadir bagi mendengar keputusan yang pastinya akan mengubah lanskap politik negara ini," ujar Shuhaimi.

Saari Sungib turut memberitahu bahawa PAS akan menggerakkan semaksimum mungkin ahli-ahli PAS untuk sama-sama berhimpun pada 9 Januari ini menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bagi kami perkara ini merupakan hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman yang dibenarkan oleh perlembagaan negara dan ini merupakan perkara biasa bagi mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi.

"Perkara ini juga merupakan kesinambungan kepada usaha-usaha yang telah dilakukan oleh rakyat negara ini yang telah dilakukan pada tahun 1998 lagi pada peringkat pertama reformasi," ulas Saari.

Mahkamah akan menentukan samada Anwar bersalah atau dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 9 Januari.

Jenice pula berpendapat keadaan akan menjadi terkawal seandainya polis menjalankan tanggungjawab sebagai anggota keselamatan.

Mengikut pengalaman sebelum ini seperti Bersih 2.0 pada 9 Julai, jelas kekecohan tidak dicetuskan oleh orang awam sebaliknya dilakukan oleh pihak tertentu, Jenice berkata. -tvsnews




Ulasan GB

GB pernah menyatakan begini:

Kita perlu membela "keadilan" untuk Anwar, bukan membela "Anwar" untuk keadilan.

Itu dua perkara yang berbeza.

Membela keadilan untuk Anwar ialah perjuangan kita untuk membetulkan sistem kehakiman negara yang pincang, melepaskan institusi kehikman daripada diperalat dan diperkudakan pihak berkuasa.

Masihkah Kau Ingat Kisah Sufiah Yusof?

Posted: 05 Jan 2012 04:13 PM PST

Kuala Lumpur - Wanita genius matematik yang juga bekas pelajar Universiti Oxford, Sufiah Yusof, 23, menyesal dengan tindakannya terbabit pelacuran. Perkara itu didedahkan Pengarah Perancangan dan Strategi Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam (Pisang), Hanafi Abdul Malek yang dihubungi Harian Metro, semalam. Untuk mengesahkan perkara itu, Hanafi berkata, pihaknya menghubungi pengurusan yang pernah menjadi ejen wanita itu menjual tubuh yang turut mengakui dia tidak lagi terbabit dengan kegiatan itu.

"Dia dah tak buat lagi kerja tu dan kini hanya aktif melakukan kerja amal. Melalui e-mel yang dihantar kepada saya kira-kira seminggu selepas Aidilfitri lalu, Sufiah kata dia betul-betul menyesal dengan perbuatan itu.

"Kami juga ada menghubungi agensi teman sosial yang menguruskan Sufiah dan mengesahkan mereka tidak dapat menghubunginya serta tidak tahu di mana dia berada," katanya.

Kisah kehidupan Sufiah disiarkan akhbar News of the World keluaran 31 Mac lalu yang mendedahkan wanita yang dianugerah kepintaran semula jadi itu menawarkan khidmat seks melalui Internet dengan bayaran 130 paun Sterling (RM845) bagi satu sesi.

Wanita itu bertemu wakil akhbar terbabit yang menyamar sebagai pelanggan di laluan masuk ke fletnya dengan hanya memakai skirt pendek, but kulit dan baju-T.

Apabila wartawan itu berbual dengannya, Sufiah menyatakan dia masih belajar untuk mendapatkan ijazah sarjana dalam bidang ekonomi menerusi kursus separuh masa selama dua tahun di London.

Sufiah yang ibunya berasal dari Malaysia dan bapa dari Pakistan dilaporkan terpaksa menawarkan khidmat seks kerana kesempitan hidup. Dia dikatakan menjalani kehidupan di flet terbabit dengan menjual tubuhnya untuk membayar sewa.

Pembabitan wanita itu dalam pelacuran di Salford, Manchester, adalah tragedi hitam yang menimpa hidupnya sejak zaman kegemilangannya ketika dia bergambar dengan topi graduan di depan wartawan di luar Kolej St Hilda yang begitu berprestij.

Pendedahan akhbar itu berlaku serentak ketika bapanya, Farooq yang berasal dari Pakistan mula menjalani hukuman penjara kerana mencabul dua gadis berusia 15 tahun ketika memberi mereka tuisyen matematik.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata, Sufiah kini lebih tenang selain senang dan gembira dengan rakyat negara ini yang mengambil berat mengenai dirinya. "Bagaimanapun melalui e-mel sama, dia jelaskan belum bersedia untuk bertemu keluarga, terutama ibunya (Halimaton Yusof).

"Sungguhpun begitu, saya gembira dengan perkembangan positif ditunjukkan Sufiah dan menasihatkannya supaya sentiasa ingat serta memohon pertolongan kepada Allah," katanya. Kata Hanafi, rancangan untuk merawat Sufiah menggunakan kaedah Islam mungkin dapat dilaksanakan sekitar bulan depan. Ini kerana dia akan ke Belanda atas urusan kerja sebelum ke England untuk bertemu Sufiah. ~hm(3/12/2008)


LAPORAN SEBELUMNYA

Sufiah tak kesal jadi pelacur

LONDON: Seminggu selepas kisah hidupnya sebagai pelacur terbongkar, wanita pintar matematik, Sufiah Yusof, membuat satu lagi kejutan apabila mengakui tindakannya menjual tubuh memberinya kehidupan jauh lebih seronok dan glamor, berbanding kejayaannya memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun.

Malah, Sufiah membuat pengakuan berani sebagai 'wanita penuh berahi' yang suka membaca kisah hidup dan watak pelacur dalam drama televisyen serta mampu menerima bayaran £1,000 (RM7,000) bagi setiap sesi perkhidmatannya atau pendapatan tahunan kira-kira £60,000 (RM420,000).

Anak ketiga daripada lima beradik itu juga mengakui masih trauma dan terus dihantui pengalaman peritnya ketika zaman kanak-kanak apabila didera bapanya, Farrooq Yusof, termasuk sehari suntuk belajar matematik di dalam bilik amat sejuk atas alasan dapat menambah daya ingatannya.

Sufiah, janda berusia 23 tahun, mendakwa hubungannya dengan keluarga kini semakin renggang.

"Saya tergamam dengan apa yang berlaku kepada ibu. Ya, saya ada menghubungi mereka, tetapi saya tidak mahu mengandaikan pandangan mereka terhadap kehidupan baru ini. Saya tidak rasa kesal langsung. Saya lebih yakin dengan tubuh ini serta pekerjaan saya," katanya dalam temubual dengan wartawan tabloid, News of The World.

Sufiah memutuskan untuk membuat pengakuan itu selepas tabloid berkenaan sebelum ini mendedahkan kisah hidupnya yang melacur dengan mendapat bayaran kira-kira £130 (RM910) sejam.

Pendedahan tabloid berkenaan minggu lalu, menjadi perkembangan penuh tragik bagi Sufiah yang sebelum ini melalui kehidupan yang dipenuhi banyak peluang cerah, tetapi bertukar sebaliknya selepas melarikan diri dari universiti dan keluarga pada usia 15 tahun kerana tidak tahan dengan sikap buli bapanya.

Ibu Sufiah, Halimaton Yusof berasal dari Muar, Johor, bapanya, Farooq dari Pakistan. Bapanya kini menjalani hukuman penjara 18 bulan selepas didapati bersalah mencabul dua pelajar perempuan berusia 15 tahun ketika mengajar matematik di rumah mangsa.

Farooq juga pernah dipenjara tiga tahun pada 1992 kerana didapati bersalah dalam kes pemalsuan pembiayaan sewa beli. Halimaton kini dalam proses menuntut cerai dengan Farooq selepas berkongsi hidup lebih 30 tahun.

Kakak Sufiah, Aisha, 25, pula sudah berkahwin dan tinggal berasingan, manakala abangnya, Abraham, 26, serta dua adik, Iskander, 21, dan Zuleika, 14, tinggal dengan Halimaton.

Mengimbau detik pertamanya bertukar daripada pelajar pintar kepada pelacur, Sufiah berkata dia bekerja sebagai pembantu pentadbiran dengan pendapatan kira-kira £16,000 (RM112,000) setahun di Manchester, apabila dihampiri ketua agensi teman sosial yang menyebabkannya terjerumus ke kancah pelacuran.

Ketika itu, dia dihimpit hutang termasuk bebanan kad kredit kira-kira £3,500 (RM24,500).

Namun, Sufiah tanpa segan silu atau rasa kesal, yakin statusnya sebagai pekerja seks memberi jawapan kepada semua permasalahannya.

"Saya menjadikan pelanggan tidak keruan dengan membacakan formula matematik ketika kami berasmara. Pelanggan saya sukakan kemampuan saya kerana dapat merangsang minda dan badan mereka secara serentak.

"Saya tidak berasakan semua pendidikan yang diterima selama ini sia-sia. Malah, saya lazimnya membawa kertas tugasan yang perlu diselesaikan sebelum temu janji dengan pelanggan," katanya.

Lapan tahun selepas mencipta nama sebagai pelajar pintar, Sufiah, dakwa tabloid itu, tidak menunjukkan sebarang kekesalan apabila memandang tinggi karier barunya sebagai pelacur.

"Ramai yang memandang rendah tugas sebagai teman sosial ini, tetapi saya tidak menganggapnya sedemikian. Lagi pun saya sememangnya mempunyai nafsu seks yang tinggi.

"Kini saya memperoleh semua seks yang saya ingini. Lelaki juga jauh lebih baik di ranjang dengan teman sosial berbanding teman wanita sendiri.

"Saya mempunyai pelanggan yang terpesona dengan keupayaan matematik saya. Malah, ada seorang pelanggan yang meminta saya membacakan kaedah matematik termasuk algebra ketika kami berasmara. Ia terbukti menjadikannya lebih seronok," katanya.

Sufiah juga mendakwa pendapatannya tidak kurang hebat kerana memberinya wang yang lumayan.

"Ya, saya menikmati kehidupan yang baik dan mampu mengawalnya. Saya bencikan pandangan masyarakat yang stereotaip mengenai tugas sebagai teman sosial. Ia jauh berbeza daripada tanggapan salah mereka.

"Pelanggan saya juga tidak kurang hebatnya dan melayan saya seperti puteri. Ada seorang lelaki yang sering saya temui di London membelikan saya pakaian Gucci berharga £700 (RM4,900) dan membawa saya ke Selfridges untuk memilih apa juga beg tangan yang saya mahukan.

"Pada sebelah malam, kami makan malam bersama dan dia membawa saya pulang ke hotel. Saya berasa seperti (aktres) Julia Roberts dalam Pretty Woman." -Agensi/BH (7/4/2008)


Ulasan GB

Sudah lama benar kita tidak mendengar khabar berita mengenai Sufiah Yusof dan GB paparkan kembali kisah tersebut sebagai renungan kita bersama.

Pendedahan hangat kisah pelajar cemerlang yang mengejutkan mutakhir ini melalui blog-blog (termasuk blog GB) ini bukanlah bertujuan untuk mengaibkan sesiapa terutamanya ahli keluarga pelajar berkenaan, tetapi kita tidak mahu perulangan kes Sufiah. Kita wajar mengambil iktibar dari kes itu sebelum Allah menurunkan "peringatan" kepada kita di dalam bentuk murkaNya.

GB nyatakan kekhuatiran itu kerana ia bakal mengundang kemurkaan Allah tersebut kerana apabila sesuatu kemungkaran itu berlaku maka bala Allah akan turun, tak mengira siapa yang akan terkena.

Kemurkaan Allah swt datang dengan pelbagai bentuk.

Firmanullah s.w.t.


Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
[Ar-Rum : 41]

Ummu Salamah Radiallahu `anha berkata: aku mendengar Rasulullah Salallahu `alaihi wa sallam bersabda:

"Apabila maksiat sudah merajalela di kalangan umatku, Allah akan menurunkan siksa dari sisi-Nya kepada mereka secara merata…" -HR. Ahmad dll. Hadith Sahih

SECARA MERATA bermaksud "yang tak berdosa" pun akan ditimpa bencana akibat perbuatan orang berdosa, kerana kelalaian dan keengganan orang yang tidak berdosa mencegah kemungkaran orang yang berbuat dosa.

Mengapa SPR Takut Syor PSC Lantik MIMOS Bersihkan Daftar Pemilih?

Posted: 05 Jan 2012 07:39 AM PST

PKR: SPR tolak syor PSC lantik Mimos bersih senarai pemilih

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mendakwa Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) menolak cadangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Penambahbaikan Pilihan raya (PSC) supaya melantik Mimos Berhad bagi membersihkan dan mengesahkan senarai daftar pemilih.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu sewaktu pertemuannya bersama beberapa pemimpin PKR dengan pengarah pilihan raya SPR Wilayah Persekutuan, Shafie Taib pagi ini.

Ahli parlimen Lembah Pantai itu mendakwa perkara itu berdasarkan minit mesyuarat yang dihadiri Shafie dengan SPR pusat, tanpa dijelaskan alasan penolakan cadangan PSC itu atau syarikat yang menggantikan Mimos.

Nurul Izzah (kanan sekali) menyuarakan kebimbangannya berhubung pangkalan data pusat SPR dan sistem yang menghubungkan antara sistem Jabatan Pendaftaran Negara dan SPR yang didakwanya "tidak terkini dan terdapat beberapa kelemahan yang perlu dirungkaikan".

"Kami dimaklumkan dalam pertemuan SPR yang terbaru, (mereka) memutuskan Mimos tidak akan digunapakai sebagai syarikat yang akan mengesahkan daftar pemilih.

"Ini amat membimbangkan. Cadangan PSC ditolak setakat ini oleh SPR, supaya Mimos sebagai badan pengesahan (senarai nama pemilih)," katanya dalam sidang media selepas pertemuan tersebut di pejabat SPR Wilayah Persekutuan pagi ini.

Dalam cadangan PSC, jawatankuasa itu mengesyorkan supaya SPR melantik Mimor Berhad untuk membuat verifikasi terhadap isu-isu yang berkaitan daftar pemilih dan melaporkan balik penemuan kepada jawatankuasa berkenaan.

Ia membabitkan isu dua orang pemilih dengan satu kad pengenalan yang sama, pengundi yang meninggal dunia masih ada dalam daftar pemilih, pengundi yang berumur 90 tahun ke atas, pemilih bukan warga tempatan, ramai pemilih dalam satu alamat, dan pengundi hilang kelayakan.

Turut menghadiri pertemuan tersebut ialah naib presiden PKR Tian Chua, pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Dr Idris Ahmad dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Dr Tan Kee Kwong.

Ulasan GB

Tidak ada apa yang dapat menjelaskan kegusaran SPR di dalam menolak syor PSC supaya SPR melantik Mimor Berhad untuk membuat verifikasi terhadap isu-isu yang berkaitan daftar pemilih dan melaporkan balik penemuan kepada jawatankuasa berkenaan selain daripada cubaan SPR untuk menutup "konspirasi" mengotorkan daftar pemilih dengan pemasukan data-data palsu dan mencurigakan.

Sepatutnya sebarang cadang PSC perlu dipatuhi, bukan untuk dipilih hendak dilaksanakan atau tidak, kerana PSC adalah mewakili parlimen, suara rakyat.

Malah Pengerusi dan Timbalan pengerusi SPR tidak berhak untuk membantah syor PSC bernaan.

Jika tidak ada apa-apa, masakan tempua bersarang rendah!

Lagi Kesalahan BN : 20 Tahun Membanting Tulang Orang Lain Raih Untung

Posted: 05 Jan 2012 04:24 AM PST

Klang : Usaha gigih sekumpulan penduduk kampung di sini tidak ke mana apabila tanah yang mereka teroka dan bercucuk tanam selama 20 tahun akhirnya dipercayai diseleweng dan diberi kepada orang lain semasa pentadbiran Barisan Nasional(BN) Selangor yang lalu.

Tanah seluas 157 ekar berhampiran Batu Tujuh, Jalan Kebun itu diusahakan 63 orang penduduk Kampung Jalan Kebun sejak tahun 1984.

Akan tetapi geran milik tanah tersebut diberikan kepada individu-individu yang tidak kenali pada tahun 2002. Ini berlaku walaupun penduduk kampung telah memohon hak milik tanah itu 18 tahun dulu.

Wakil kumpulan peneroka itu, Abdul Aziz Rashid mendakwa lesen hak milik sementara (TOL) telah diberikan kepada individu yang bukan penduduk kampung malahan bukan orang yang mengusahakan tanah itu.

Tindakan tersebut menunjukkan bagaimana pemimpin BN dengan sewenang-wenangnya mengurniakan tanah percuma kepada kroni-kroni mereka, dakwanya.

Ketika ditemui seorang dari peneroka tanah itu, Haripin Tauhid, 49, menceritakan latarbelakang kawasan tersebut.

"Tanah ini dulu hutan terbakar dan belukar. Kita pun tidak ada akitiviti dan kawasan ini tak maju, jalan ini pun jalan mati. Sambil mengisi masa lapang, kita bercucuk tanam dan kalau boleh, masa itu kita nak mohon supaya tanah ini diberikan hak milik pada kita," ceritanya.

Sementara itu, seorang lagi peneroka, Manaf Pamar memberitahu mereka meneroka tanah ini di awal tahun 1980an sehingga tahun 2000.

"Asal usul tanah ini memang hutan terbakar jadi ramai-ramai penduduk mengerjakannya. Seorang satu ekar. Tetapi akhirnya musnah, tak apa benda yang kita dapat," kata Manaf yang berharap dapat memperjuangkan kawasan yang diteroka dahulu.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pada tahun 1984, bekas Adun mereka Datuk T M Thurai berjanji kepada peneroka untuk memohon dan mendapatkan milik tanah itu.

Apabila usaha itu menemui jalan buntu, penduduk kemudianya berjumpa dengan bekas Ahli Parlimen Shah Alam, Datuk Salamon Selamat pada 1995 untuk meminta pertolongan tetapi tiada kata putus.

Akhirnya, peneroka mengambil keputusan berjumpa dengan bekas Menteri Besar Dr Mohamad Khir Toyo pada tahun 2000.

"Saya pergi ke rumah Khir Toyo dan tunggu hampir tiga jam dan akhirnya saya dapat berjumpa dengan Khir Toyo di rumah beliau dan saya memberi surat yang sama.

"Dia berjanji dan beritahu pada saya dan rakan-rakan lain, Aziz sekiranya tanah ini tidak dimiliki mungkin akan diluluskan kepada peneroka. Tetapi kalau ada pihak pihak lain mendakwa dia mempunyai milik dia tidak akan meluluskan kepada individu.

"Kalau ada permohonan dia akan ambil tanah tersebut untuk dimajukan untuk buat perumahan.

"Bermakna seorang akan mendapat rumah pada harga yang berpatutan," Abdul Aziz berkata.

Tetapi, permohonan mereka senyap dengan begitu sahaja hingga dua tahun kemudian apabila Abdul Aziz didatangi seorang individu yang bukan daripada kampung itu dan bukan seorang peneroka.

"Saya terkejut. Macam mana orang yang tidak meneroka tanah yang tidak tahu lokasi tanah boleh dapat geran tanah dengan pelan.

"Di sini saya nampak ada satu penyelewengan dan pemberian hak milik tanah. Itu saya nak kata. Di mana kejujuran kepimpinan dahulu, kepimpinan barisan nasional khususnya yang sepatutnya membela nasib rakyat," Abdul Aziz berkata.

Menurut Abdul Aziz, pada masa sekarang sebahagian daripada tanah tersebut telah di wartakan sebagai tanah pertanian revolusi hijau bagi kawasan Johan Setia.

Difahamkan pemegang TOL yang bukan dari kumpulan peneroka tersebut telah menjual lesen mereka kepada pihak lain.

Abdul Aziz berharap pentadbiran Pakatan Rakyat dapat mengambil perhatian terhadap masalah mereka. Beliau berkata kumpulan peneroka itu sedang meneliti kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang. -tvsnews



Kemukakan Bukti, Usah Main Tuduh Sembarangan - TS Khalid Kepada RPK

Posted: 05 Jan 2012 03:00 AM PST

Shah Alam: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dakwaan blogger pro Umno Raja Petra Kamaruddin (RPK) bahawa terdapat amalan rasuah dan pemberian duit 'bawah meja' dalam pentadbirannya hanya fitnah kerana tiada sebarang bukti dikemukakan.

"Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk memerangi rasuah dan memastikan mereka yang terlibat dengan rasuah ditangkap dan didakwa.

"Ini penting kerana hendak tentukan tujuan tercapai dan kita mahu kurangkan fitnah sebab orang cakap ada rasuah tapi tidak dapat buktikan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung dakwaan RPK bahawa kerajaan Pakatan Rakyat gagal membawa perubahan di Selangor.

Pada masa sama ketika ditanya sama ada beliau akan menemui sendiri RPK bagi meminta penjelasan mengenai dakwaan tersebut, Abdul Khalid menjelaskan perkara itu tidak perlu dilakukan.

Pada Ahad lalu, RPK berkata maklum balas daripada ahli perniagaan mendakwa tahap rasuah di Selangor masih sama selain masih ada yang membayar duit 'bawah meja'.
RPK turut menyifatkan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.

Imbuhan

Sementara itu, Abdul Khalid percaya wujud elemen khianat dalam isu pengutipan sampah untuk menggambarkan seolah-olah pihak berkuasa tempatan (PBT) gagal melaksanakan tugas yang sebelum ini dilaksanakan oleh Alam Flora Sdn Bhd.

"Kami mencadangkan kepada PBT untuk memberi imbuhan kepada pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pihak tidak bertanggungjawab ini.

"Kita juga ada pelan kecemasan dengan menggunakan khidmat syarikat Hebat Abadi yang dimiliki oleh Kumpulan Darul Ehsan jika timbulnya masalah membabitkan kontraktor.
"Ada empat PBT yang berdepan masalah ini iaitu Shah Alam, Klang, Petaling Jaya dan Subang Jaya. Kita juga sudah minta Datuk Bandar

Shah Alam keluarkan tender Jumaat ini dan panggil mereka yang hendak sertai dan keputusan akan dibuat dalam tempoh dua bulan," jelas beliau.

Ujarnya, kerajaan negeri turut mengwujudkan talian bebas tol yang beroperasi selama 24 jam bagi membolehkan aduan tersebut dibuat. -FMT

MB : Tanpa Bukti Dakwaan RPK Hanya Fitnah

SHAH ALAM, 4 DIS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyangkal dakwaan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin (RPK) berkenaan rasuah yang melibatkan usahawan Cina di Selangor sambil menyifatkannya sebagai fitnah yang tiada bukti.

Abdul Khalid berkata RPK seharusnya memberikan maklumat berhubung dakwaannya memandangkan Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM15 juta untuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Selangor.

"Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk memerangi rasuah dan memastikan mereka yang terlibat dengan rasuah ditangkap dan diberkas.

Tujuannya adalah untuk menentukan hasrat kita tercapai dalam usaha mengurangkan gejala rasuah selain mengurangkan fitnah yang mengatakan Selangor mengamalkan rasuah tetapi tidak mempunyai bukti yang jelas," jelasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan RPK sebelum ini bahawa kerajaan Pakatan Rakyat gagal membawa perubahan di Selangor.

Pada Ahad lalu, RPK berkata maklum balas daripada ahli perniagaan mendakwa tahap rasuah di Selangor masih sama selain masih ada yang membayar duit 'bawah meja'.

RPK turut menyifatkan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan tugas dengan berkesan. -tvsnews





Tiada ulasan: