BRIGED MP SEGAMBUT |
- HASSAN ALI NAMAKAN PARASIT DALAM PAS ITU KHALID SAMAD
- PEPERANGAN SELANJUTNYA AKAN BERMULA?
- Kepala babi ditemui di masjid di Rawang
- MAHADHIR TERPAKSA TERJUN KEDUNIA POLITIK SEMULA KARENA NAJIB DAN MUHYIDDIN LEMAH?
HASSAN ALI NAMAKAN PARASIT DALAM PAS ITU KHALID SAMAD Posted: 31 Jan 2012 08:00 AM PST SHAH ALAM: Bekas anggota PAS, Datuk Dr Hasan Ali akan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) dinamakan 'Jati' untuk meneruskan agendanya memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu. "Secara peribadi orang tanya saya nak sertai Umno atau PKR (Parti Keadilan Rakyat)...saya nak katakan, saya tidak akan sertai mana-mana parti politik, saya akan sertai NGO yang namanya Jati," katanya kepada pemberita di sini. Beliau yang ditemui selepas berceramah di Seksyen 17 malam Isnin,turut mengakui masih sayangkan PAS dan mahu membantu parti itu menghapuskan golongan 'parasit' yang cuba merosakkan perjuangan asal PAS. Sejak dipecat dari PAS pada 8 Januari lepas, spekulasi tersebar luas bahawa bekas anggota exco kerajaan negeri Selangor itu akan menyertai Umno. Mengulas mengenai Jati, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata NGO tersebut akan dilancarkan pada 21 Februari ini. Beliau turut mengajak NGO lain untuk bergabung dengan Jati bagi membentuk 'kuasa ketiga' yang diharapkan dapat mengimbangi kehadiran Barisan Nasional dan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum ke-13. Ditanya sama ada kuasa ketiga itu akan menyokong parti memerintah, Hasan berkata, perkara tersebut belum diputuskan. "Kita adalah kuasa ketiga kalau bertanding pun atas nama kuasa ketiga dan kita tak kisah sama ada kita bertanding bersama atau tidak bersama dengan mana-mana parti politik," katanya. - BERNAMA |
PEPERANGAN SELANJUTNYA AKAN BERMULA? Posted: 31 Jan 2012 06:30 AM PST Pengerusi eksekutif Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), Datuk Mohamad Salleh Ismail menafikan dakwaan bahawa beliau meminta ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail merasuah polis berhubung siasatan salah guna pinjaman mudah kerajaan oleh syarikat projek penternakan lembu itu. Salleh, dalam laporan New Straits Times hari ini, berkata syarikat itu tidak perlu merasuah polis yang disifatkannya sebagai adil dalam siasatan mereka. "Kami tidak ada masalah untuk menjawab soalan-soalan mereka ataupun untuk bekerjasama dengan mereka dalam siasatan, (jadi) kita tidak mempunyai sebab untuk merasuah mereka," kata beliau dipetik akhbar berkaitan Umno itu. Semalam, PKR mendedahkan bahawa laporan polis yang dibuat oleh Shamsubahrin mendakwa Salleh memaksanya untuk merasuah polis supaya skandal NFC ditutup apabila beliau dilantik sebagai penasihat korporat dan perunding. Bagaimanapun, Salleh berkata Shamsubahrin hanya diupah untuk berurusan dengan pihak media. "Kami hadapi tuduhan dalam akhbar dan 'serangan' dari pembangkang. Untuk sebab itu bahawa Shamsubahrin telah diupah," katanya kepada akhbar berkenaan lagi. Shamsubahrin didakwa pada 30 Dis tahun lalu dengan menipu Salleh sebanyak RM2 juta dalam yuran perundingan. Beliau ditangkap semula selepas diikat jamin pada 19 Jan lalu dan dikenakan dua lagi tuduhan menipu tambahan Jumaat lalu. Beliau kini merengkuk di penjara Sungai Buloh setelah tidak dibenarkan diikat jamin oleh polis. Salleh tegas mendakwa bahawa Shamsubahrin telah menipunya serta menafikan bahawa ahli perniagaan itu dijadikan kambing hitam. "Beliau tawarkan perkhidmatan beliau, dan kemudian menuntut bayaran dibuat dahulu walaupun belum melaksanakan sebarang tugas kerana perjanjian pelantikan beliau belum disediakan," kata Salleh dalam laporan itu. "Perjanjian perkhidmatan Shamsubahrin disediakan oleh kakitangan NFC tetapi beliau ditangkap sebelum boleh ditandatanganinya. Jika Shamsubahrin adalah kambing hitam, mengapa dia sentiasa menghantar bil dan menuntut kita membayarnya?" Sambil berkeras bahawa Shamsubahrin berbohong, Salleh berkata beliau mempunyai SMS untuk membuktikan bahawa ahli perniagaan itu mengenakan tekanan terhadapnya bagi menuntut pembayaran. |
Kepala babi ditemui di masjid di Rawang Posted: 30 Jan 2012 11:32 PM PST Satu kepala babi ditemui di pintu masuk Masjid Nurul Iman di Batu 18 Rawang, Selangor, awal pagi ini. Menurut ADUN Rawang Gan Pei Nei (dua dari kiri) kepala kepala itu ditemui pada jam lima pagi oleh ahli jawatankuasa masjid apabila mereka membuka pintu pagar utama. Pihak polis kemudiannya dihubungi dan tiba di lokasi pada jam 7.30 pagi. Setelah mengambil bahan bukti dan menyiasat di kawasan sekitar kira-kira dua jam, mereka kemudiannya meninggalkan masjid itu. Gan berkata anggota polis berkenaan adalah dari balai polis Rawang dan kes itu akan disiasat oleh jabatan siasatan jenayah. Beliau mengutuk tindakan itu sebagai perbuatan provokatif yang cuba menyinggung sensitiviti agama, sambil menambah bahawa ia mungkin bermotifkan politik memandangkan pilihan raya umum semakin hampir. Menurut Gan lagi, kejadian seumpama itu bukannya berlaku secara spontan kerana Masjid Nurul Iman telah bertapak di situ selama 48 tahun. "Pilihan raya umum semakin hampir dan ada orang cuba untuk timbulkan masalah," katanya. Gan menggesa pihak polis mempercepatkan siasatan dan membawa penjenayah ke muka pengadilan. Tindakan provokatif Exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu yang juga meninjau masjid berkenaan berkata bahawa Gan akan mewakili kerajaan negeri pada mesyuarat jawatankuasa masjid malam ini dan melaporkan kepada Menteri Besar untuk tindakan susulan. Liu juga mengecam tindakan itu yang dianggap sebagai provokatif tetapi bersyukur kerana semua pihak, khususnya jawatankuasa masjid berkenaan tidak bertindak sebarangan tetapi kekal tenang. Beliau juga enggan membuat sebarang spekulasi dan berkata adalah lebih baik bagi membiarkan pihak polis melakukan siasatan mereka. |
MAHADHIR TERPAKSA TERJUN KEDUNIA POLITIK SEMULA KARENA NAJIB DAN MUHYIDDIN LEMAH? Posted: 30 Jan 2012 04:51 PM PST Sedar tak sedar sudah hampir 14 tahun pertembungan politik di antara mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semenjak Dr Mahathir memecat Anwar pada tahun 1998 daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, pertarungan di antara dua gergasi politik ini masih belum lagi reda. Cuma ada turun naiknya. Pertembungan reda seketika sewaktu Tun Abdullah Badawi memimpin negara. Kedua-dua tokoh hebat. Seluruh negara diheret dalam pertembungan politik mereka. Dr Mahathir masih mampu menyeret seluruh jentera kerajaan untuk bersamanya melawan Anwar – walaupun beliau melepaskan jawatan pada tahun 2003 lalu. Anwar yang dulu anak didik kesayangan Dr Mahathir tidak kurang hebatnya, daripada seorang pemimpin nombor dua Umno, beliau mampu menyatukan parti politik pembangkang seperti PAS dan DAP serta menubuhkan PKR untuk bersamanya melawan Dr Mahathir. Mungkin oleh kerana Anwar banyak menerima ilmu politik dari Dr Mahathir, menyebabkan beliau masih lagi mampu bersilat sehingga hari ini dengan bekas bosnya itu. Igauan Dr M Dr Mahathir banyak belajar dari pemimpin negara jiran - juga sahabatnya. Beliau melihat bagaimana teman baiknya, Presiden Soeharto digulingkan di Indonesia. Soeharto sebagai seorang pemimpin yang kuat akhirnya tersungkur akibat demonstrasi rakyat. 12 tahun sebelum Soeharto tumbang, di Filipina berlaku kebangkitan rakyat menjatuhkan seorang pemimpin kuku besi Presiden Ferdinand Marcos. Marcos dihalau bukan sahaja dari kekuasaan akan tetapi terpaksa melarikan diri ke Amerika Syarikat. Sehingga akhir hayat Marcos tidak sempat pulang ke Filipina. Apabila Dr Mahathir memecat Anwar pada tahun 1998, beliau tidak menyangka akan berlaku kebangkitan rakyat. Hampir setiap minggu demonstrasi berlaku di ibukota walaupun tangkapan ISA berlaku terhadap orang-orang kanan Anwar. Pada ketika itu, penyokong gerakan Reformasi hanya berpayung dibawah sebuah NGO yang bernama ADIL. ADIL mendapat keahlian yang besar. Mahathir nampak akan bahaya gerakan seperti ini kerana tidak jelas hala tuju politiknya. Jika dibiarkan, tidak mustahil beliau akan senasib Marcos dan Soeharto. Maka Mahathir mencabar penyokong gerakan Reformasi untuk menubuhkan parti politik dan bertanding pada pilihan raya. Mahathir tahu, apabila tertubuhnya parti politik, fokus untuk menumbangkan regim akan berkurangan dengan adanya politiking dalaman parti. Sekurang-kurangnya, ia akan melambatkan proses kejatuhan regim pimpinannya. Tepat bacaan politik Dr Mahathir. Sehingga hari ini BN masih bertahan. Gerakan Reformasi pada ketika itu berjaya dilunakkan. Cabaran Dr Mahathir disahut, tertubuhlah Parti Keadilan Nasional (PKN) – kini PKR selepas bergabungnya PKN dan PRM. Pilihan raya 1999 menyaksikan bagaimana Umno kehilangan majoriti undi dari orang Melayu. Jika tidak ada sokongan dari kaum Cina, Umno dan BN sudah pasti akan masuk ke dalam tong sampah sejarah. Keputusan PRU 10 menjadi sebab utama Mahathir berundur. Beliau undur sebelum disepak keluar seperti Marcos dan Soeharto. Dari segi ini, Mahathir selamat. Akan tetapi, yang paling Mahathir takut kini adalah jika BN tumbang, beliau dan kroni-kroni yang berpayung di bawahnya akan diheret ke mahkamah. Sebab itu Dr Mahathir tidak akan duduk diam selagi hayat dikandung badan. Pertembungan berterusan Hari ini, Anwar masih lagi musuh nombor satu Dr Mahathir. Anwar merupakan satu-satunya musuh politik yang gagal dibunuh kariernya oleh Dr Mahathir. Lihat apa yang terjadi kepada tokoh hebat seperti Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam (kanan)? Kedua-dua tokoh itu hanya tinggal sejarah dan tidak lagi relevan dalam dunia politik hari ini. Untuk Anwar, Mahathir juga adalah penghalang utama untuk beliau ke puncak kekuasaan. Bukan Datuk Seri Najib Razak dan bukan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kedua-dua Najib dan Muhyiddin terlalu "kecil" untuk menjadi lawan Anwar. Jika Mahathir tiada, sudah pasti beberapa tauke-tauke besar yang masih bernaung di bawah bekas perdana menteri itu dijangka belot menyebelahi Anwar. Tauke-tauke ini juga tahu siapa yang kuat untuk menjaga kepentingan mereka. Apabila keadaan ini berlaku, maka tumbanglah BN. Dalam ertikata lain, selagi Dr Mahathir masih hidup, agak sukar untuk Anwar rapat ke Putrajaya. Secara realitinya, Anwar juga tahu, beliau bukan sahaja melawan Dr Mahathir, akan tetapi seluruh jentera kerajaan yang ada. Perlawanan ini tidak akan berjaya semudah pilihan raya. Tidak ada regim dalam dunia ini yang akan menyerah kepada rakyat semudah di medan pilihan raya. Barang siapa yang menyangka BN boleh ditumbangkan pada PRU 13 dengan mengambil kira keputusan PRU 12 lalu adalah terlalu naif kefahaman politiknya. Lihat saja di Mesir, apakah Presiden Hosni Mubarak dikalahkan pada pilihan raya? Persoalnnya, apakah Anwar percaya dengan pilihan jalanraya? Pertarungan pusingan akhir Kini pertarungan Mahathir-Anwar masuk ke pusingan akhir. Setakat ini, kedua-dua tokoh mempunyai stamina panjang. Tanpa boleh mengharapkan seratus peratus pada Najib, Mahathir sendiri terpaksa masuk kembali ke gelanggang. Apabila timbul isu kenyataan Anwar tentang isu Palestin – Israel, Mahathir mendapat peluru. Beliau terus menyerang Anwar. Kata Dr Mahathir, Anwar memang akrab dengan pemimpin Israel. Isu Israel ini akan dijadikan modal untuk terus menyerang Anwar selain isu video seks setelah kes liwat gagal menyebelahi Mahathir. Bagi yang ingin melihat pedebatan di antara BN dan Pakatan dalam bentuk polisi, ia tidak akan berlaku dalam jangkamasa terdekat. Pertarungan pusingan akhir ini akan menjadi lebih hebat lagi. Dari segi usia, Anwar mempunyai kelebihan kerana jauh lebih muda berbanding Mahathir. Pertarungan pusingan akhir akan menentukan sama ada Mahathir atau Anwar yang bakal menang dalam perlawanan yang panjang ini. Hanya masa yang menentukan. ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Memblog di http://www.aminiskandar.blogspot.com/dan berkicau di http://www.twitter.com/aminiskandar. |
You are subscribed to email updates from BRIGED MP SEGAMBUT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan