Ahad, 11 Disember 2011

Tempayan Retak

Tempayan Retak


Kita boleh sertai PR

Posted: 10 Dec 2011 09:09 PM PST

Oleh : MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN

SHAH ALAM - Walaupun pernah meninggalkan PKR sebelum memimpin parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Pakatan Rakyat tidak mempunyai masalah menerima parti yang dipimpin Datuk Zaid Ibrahim menjadi menjadi rakan dalam kumpulan itu.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Zaid hendaklah mengemukakan permohonan rasmi kepada Majlis Pimpinan PR kerana mereka yang akan membincangkan sebelum membuat keputusan.

"Tetapi sehingga kini, Kita belum membuat permohonan rasmi, sebaliknya hanya menyatakan sokongan kepada pembangkang dalam pilihan raya akan datang dan tidak akan meletakkan calon mereka.

"Memberikan sokongan daripada luar juga cukup baik walaupun tidak bersama rakan pakatan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Zaid sebelum ini adalah ahli Majlis Tertinggi PKR dan pernah mengumumkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti pada tahun lalu.

Meskipun pemilihan belum tamat, Zaid mengambil keputusan untuk meninggalkan PKR kononnya mendakwa pemilihan itu dicemari kecacatan dan tidak telus sehingga memaksa beliau melepaskan semua jawatan dalam parti dan mengumumkan menarik diri.

Akhirnya beliau menubuhkan parti Kita selepas menukarkan nama dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim).

Menurut Tuan Ibrahim, walaupun Zaid pernah menyaman Pas Kelantan kerana melaksanakan hudud semasa menjadi Ketua Umno Bahagian Kota Bahru, ianya tidak menjadi isu kerana beliau telah menarik semula saman berkenaan.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, PKR tidak mempunyai masalah untuk menerima Kita sebagai komponen, tetapi mestilah mengikut prosuder yang ditetapkan.

"Walaupun tidak bersama komponen, tidak bermasalah kerana Kita telah menyatakan keputusan menyokong kita, begitu juga beberapa pertubuhan bukan kerajaan lain.

"Mereka tidak menjadi ahli, tetapi sokongan yang diberikan adalah tidak berbelah bagi," katanya. - Sinar Harian

DAP intai kerusi Menteri Besar

Posted: 10 Dec 2011 09:05 PM PST

Oleh : MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN

SHAH ALAM - DAP dikatakan mempunyai cita-cita besar untuk menduduki kerusi Menteri Besar Selangor dan Perak selepas pilihan raya umum akan datang.

Berikutan itu, parti berkenaan didakwa mengatur strategi dengan meletakkan calon Melayu di beberapa kawasan di kedua-dua negeri itu.

Di Selangor, DAP dikatakan berhasrat mahu mengambil alih kawasan yang ditandingi Pas dan PKR, antaranya kerusi Paya Jaras, Pelabuhan Klang dan Sri Serdang.


Pada pilihan raya umum lalu, pakatan pembangkang diwakili calon Pas, Khairuddin Othman di Paya Jaras tetapi tewas kepada calon BN, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor. Manakala di Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang telah meng­isytiharkan diri sebagai Adun Bebas mewakili PKR, menewaskan calon BN dan Bebas.

Di Seri Serdang, calon Pas, Ahmad Idzam tewas kepada penyandang daripada BN, Datuk Muhammad Satim Diman.

Sumber Pakatan Rakyat (PR) memberitahu Sinar Harian, DAP sedang mengintai sekurang-kurangnya lapan kerusi lagi di Selangor, dan fokus mereka adalah kawasan yang ditandingi Pas dan PKR tetapi tewas.

Parti itu dikatakan kini semakin agresif untuk menonjolkan diri sebagai parti berbilang kaum, bukan semata-mata parti orang Cina atau India dalam usaha mereka untuk mengetuai kerajaan negeri apabila menang pilihan raya kelak.

"Mereka sedar ada undang-undang menetapkan bahawa hanya orang Melayu yang beragama Islam boleh jadi Menteri Besar. Dan itulah yang berlaku di Perak pada pilihan raya umum lalu. Walaupun DAP menang banyak kerusi tetapi ia masih tidak boleh jadi ketua kerajaan.

Jadi sekarang mereka sudah ambil pengajaran daripada Perak, dan mahu letak ramai calon Melayu untuk memastikan kerusi Menteri Besar tetap jadi hak mereka, bukan Pas atau PKR lagi," katanya.

Dalam pada itu, katanya, DAP juga semakin berani bertindak demikian atas alasan orang Melayu semakin hilang percaya kepada Pas dan PKR.

Menurut sumber itu lagi, DAP bagaimanapun berkeras untuk tidak menggugurkan calonnya yang menang pada pilihan raya umum lalu terutamanya wakil rakyat Cina kerana mahu mengekalkan sokongan.

"DAP amat berkeras dalam soal ini, mereka mahu kekalkan dominasi sokongan kaum Cina di samping cuba mengembangkan sokongan orang Melayu. Apa yang paling penting, DAP pasti mempu­nyai beberapa calon Melayu di Selangor dan beberapa negeri lain nanti," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pas Selangor, Khairuddin Othman menegaskan, tidak timbul isu DAP mahu mendapatkan kerusi daripada Pas mahupun PKR kerana pembahagian kerusi masih kekal mengikut pilihan raya umum 2008 lalu.

"Jika DAP mahu meletakkan calon Melayu, maka parti tersebut boleh letak berdasarkan pembahagian kerusi yang telah ditetapkan. Apa yang penting, kerusi masih kekal mengikut 2008, mereka tidak boleh mengambil kerusi Pas mahupun PKR semata-mata mahu meletakkan calon Melayu," katanya.

Khamis lalu, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Samad dalam satu kenyataan bertegas pihaknya tidak akan tunduk kepada tuntutan DAP kerana langkah tersebut bukan jaminan bahawa DAP akan beroleh kemenangan. - SinarHarian

Strategi PKR elak calon lompat parti

Posted: 10 Dec 2011 09:02 PM PST

Oleh : MOHD ZAILANI ABD RAHMAN

KOTA BHARU - PKR akan memastikan calon yang bertanding di Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13) memiliki kelayakan tinggi selain setia kepada perjuangan bagi mengelak senario lompat parti berulang.

Setiausaha Agungnya, Sai­fud­­din Nasution berkata, berbanding PRU 2008, pemilihan calon PKR pada kali ini dilihat lebih tersusun serta memiliki ramai yang berkelayakan dan berpontensi untuk diangkat sebagai wakil rakyat.
"Untuk calon kita melalui beberapa kriteria, antaranya kelayakan, penerimaan masyarakat terhadap kemungkinan menjadi calon dan ketaatan kepada parti, ini penting kerana PKR melalui episod yang tak berapa sedap sebelum ini, kita belajar melalui pengalaman," katanya di sini semalam.

Sebelum ini empat Ahli Parli­men PKR menjadi wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat manakala lima di peringkat Dun melibatkan Perak, Kedah dan Selangor.

Dalam pada itu Saifuddin berkata, pihaknya menerima sejumlah nama-nama calon yang dikemukakan dari saluran parti melalui peringkat Parlimen dan Dun manakala saluran kedua melibatkan penca­rian dan permohonan.

"Kita masuk pusingan terakhir menjelang pilihan raya, PKR tidak akan melalui seperti PRU 2008 yang mana tak ramai yang sedia menjadi calon, puas pujuk, orang tak bersedia, nak marah tak boleh pilihan raya terdahulu Barisan Nasional (BN) menang besar, contoh (Parlimen) Subang dengan dan Kelana Jaya majoritinya lebih 10,000," katanya.

Beliau berkata, peluang mem­baiki prestasi cerah memandangkan persiapan jauh lebih baik berbanding dua PRU sebelumnya kerana faktor penonjolan calon lebih awal, kerjasama gabungan Pakatan Rakyat dan tawaran dikemukakan kepada pengundi.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang bagaimana­pun enggan mengulas mengenai ura-ura mengatakan beliau akan bertanding di Lembah Klang bagi memberi peluang kepada calon tempatan bertanding di Kelantan. - SinarHarian

Tiada ulasan: