Sabtu, 10 Disember 2011

Tempayan Retak

Tempayan Retak


Dr. M akan tulis sambungan buku Dilema Melayu

Posted: 09 Dec 2011 03:57 PM PST

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membayangkan akan menulis sambungan buku Dilema Melayu, karyanya yang pernah menjadi kontroversi sekitar 1970.
Beliau sedang melihat semula kandungan buku pertama yang ditulisnya itu, sama ada ia masih relevan atau tidak ekoran banyak perkara khasnya membabitkan orang Melayu telah berubah.
Katanya, tempoh masa lapan tahun mungkin diperlukan berdasarkan pengalamannya menulis buku bertajuk A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini.

''Saya tidak akan menjelaskan dengan lebih lanjut kerana akan hilang kejutannya," katanya pada majlis pelancaran buku versi elektronik, A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad di Mid Valley Megamall di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif MPH Group, Datuk Ng Tieh Chuan yang bertanyakan mengenai projek terbaru yang sedang dirancang Dr. Mahathir.

Buku Dilema Melayu yang mendedah dan menganalisis perwatakan orang Melayu telah diharamkan pada 1970 dan hanya ditarik balik selepas Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Dalam soalan berasingan, mengenai dakwaan pengharaman buku bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Mahathir menyifatkan Kuan Yew boleh bercakap apa yang beliau suka.

Katanya, beliau sendiri juga boleh berkata mengenai Kuan Yew namun, baginya ia tidak bermanfaat.
''Setiap manusia mempunyai pendapat yang berbeza dan setiap Muslim juga mempunyai idea yang berbeza mengenai perkara yang memberi kesan kepada orang Islam," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai visi beliau selepas 2020, Dr Mahathir berkata, beliau mahu Malaysia terus menjadi negara aman dan makmur di mana rakyatnya saling mengenali dan menghormati satu sama lain walaupun mungkin beliau sudah tidak ada lagi pada ketika itu.

Zaid saman fitnah Sayuti, Norzah, Buletin Rakyat

Posted: 09 Dec 2011 03:51 PM PST

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim memfailkan saman RM30 juta terhadap penulis politik, Mohd. Sayuti Omar dan dua lagi kerana didakwa menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadapnya dalam akhbar Buletin Rakyat pada bulan lalu.
Zaid mendakwa artikel bertajuk 'Zaid terus hanyut dalam keegoannya' yang ditulis oleh Mohd. Sayuti dan disiarkan di muka surat 16 akhbar dwi-mingguan itu pada 1 November lalu telah menjejaskan reputasinya dengan teruk.

Selain Mohd. Sayuti selaku defendan pertama, Zaid, 60, sebagai plaintif menamakan pengarang akhbar tersebut, Norzah Kepol dan penerbitnya, Kantung Network Sdn. Bhd. sebagai defendan kedua dan defendan ketiga.

Writ saman tersebut difailkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melalui firma guaman, Tetuan Bashir & Co. di Mahkamah Tinggi di sini pada 21 November lalu.

Beserta saman berkenaan, Zaid turut mengemukakan permohonan injunksi interim (sementara) bagi menghalang pihak defendan atau pekerja-pekerja atau ejen-ejennya daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kata-kata yang didakwa fitnah itu atau perkataan yang sama makna dalam akhbar, Internet atau medium-medium lain.

Beliau juga memohon perintah interim agar pihak defendan menarik balik atau memadamkan kata-kata tersebut sama ada yang terkandung dalam suratkhabar terbabit atau Internet atau medium-medium lain sehingga pelupusan permohonan berkenaan.

Pada prosiding di hadapan Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof hari ini, mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk mengetahui sama ada pihak defendan telah melantik peguam masing-masing atau penyelesaian permohonan tersebut.

Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, kata-kata tersebut antara lain bermaksud atau secara kiasan beliau memiliki moral politik yang rendah, ego, bersikap autokratik dan tidak menghormati orang lain.

Dakwa plaintif, peguam caranya telah menyerahkan notis pada 2 November lalu kepada pihak defendan supaya menarik balik dan memadamkan kata-kata tersebut selain mengemukakan permohonan maaf kepadanya tetapi mereka enggan berbuat demikian.

Berikutan itu, Zaid menuntut ganti rugi am RM10 juta daripada setiap defendan selain ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah dan kos.

Plaintif juga menuntut perintah muktamad berhubung permohonan injunksi dan penarikan balik kata-kata yang didakwa memfitnah tersebut selain menyiarkan penarikan balik serta permohonan maaf di akhbar tersebut.

Tiada ulasan: