SIASAH |
Saifuddin, AUKU dan politik baharu Posted: 31 Dec 2011 05:49 AM PST Mahasiswa perlu dibenarkan terlibat dalam politik dan tidak disekat, supaya nanti tidak berlaku tindakan protes yang tidak dapat dikawal, dan memberi kesan negatif. Ini mesej yang disampaikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah di majlis wacana Dialog Orang Muda anjuran Persatuan Penulis Muda, Pena, siang tadi. Saifuddin juga menegaskan isu politik mesti boleh dibincangkan di universiti. "Kalau di universiti tidak boleh dibincangkan isu politik, di mana lagi?" soalnya yang kelihatan yakin dengan kematangan mahasiswa. Saifuddin turut menjelaskan pandangan yang mengaitkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti dengan peningkatan kualiti mahasiswa dan universiti. Jelasnya, beliau tidak pernah mengaitkan secara langsung pembebasan mahasiswa dengan kualiti, seperti yang dihujahkan oleh sesetengah pihak. Katanya, pemansuhan AUKU berkait dengan hak dan partisipasi. Kehadiran Saifuddin dan isu politik yang dibincangkan menarik kehadiran lebih ramai berbanding biasa, sehingga hampir tiga kali ganda. Daripada hala dan suasana perbincangan di Rumah Pena tadi, dua perkara paling jelas dapat diperhatikan ialah minat yang tinggi terhadap isu politik mahasiswa (atau mahasiswa berpolitik) dan sikap positif terhadap Saifuddin. Ahli Parlimen Umno dari Temerloh, Pahang yang rajin dan mudah mendekatkan diri dengan wacana seperti ini telah membina kelompok peminat tersendiri dalam kalangan anak muda termasuk daripada penyokong Pakatan Rakyat sendiri, sesuatu yang sukar dicapai oleh pemimpin Umno lain, malah juga oleh pemimpin-pemimpin PR. Pendirian Saifuddin ini menunjukkan bukti apa yang beliau sifatkan sebagai "politik baharu," iaitu politik yang lebih menghormati hak demokratik dan lebih matang. Walau bagaimanapun, sikapnya yang berbeza dengan sikap arus utama partinya tidak dapat dielakkan daripada dilihat sebagai satu strategi, yang boleh memperbaiki imej Umno yang dilihat sudah tidak punya harapan, malah strategi untuk menyelamatkan dirinya sendiri. Apa pun, Saifuddin telah berjaya merancakkan dunia wacana yang lebih bebas dan tidak terikat dengan pandangan dominan parti melalui pandangan-pandangannya yang meletakkan hak demokratik dan politik yang lebih matang sebagai asas penting. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan