Sabtu, 31 Disember 2011

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Paksa Budak Pegang kemaluan, Mat Bangla Didakwa

Posted: 31 Dec 2011 04:14 AM PST


Saya petik:

[SH] TELUK INTAN - Gara-gara melakukan lucah melampau terhadap seorang kanak-kanak bawah umur, dua warga Bangladesh dalam proses pulang ke negara asal dihadapkan Mahkamah Majistret Teluk Intan, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Hakim Majistret Teluk Intan, Mohd Izham Ali menangguhkan sebutan kes pada 9 Februari tahun hadapan kerana tertuduh tidak memahami Bahasa Malaysia selain ketiadaan jurubahasa untuk kes itu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayah Ismail manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana pihak dan tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-duanya.

Selain itu, pihak Mahkamah Majistret turut tidak membenarkan kedua-dua tertuduh untuk diikat jamin.

Menurut fakta kes Tertuduh pertama, Mutimah, 39, berasal daripada Bangladesh, melakukan perbuatan lucah melampau terhadap seorang kanak-kanak warga tempatan berusia lapan tahun pada 12 Disember lalu kira-kira 3 petang di Ladang Sabrang, Teluk Intan.

Tertuduh melakukan perbuatan itu dengan menggosokkan alat kemaluan di belakang mangsa di dalam sebuah bilik premis di Ladang Sabrang dekat Teluk Intan.

Sementara itu, rakan senegaranya, Md Shidul Islam, 39, melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak warga tempatan berusia lapan tahun pada 19 Disember lalu, kira-kira 3 petang.

Tertuduh melakukan itu dengan memaksa mangsa memegang kemaluan tertuduh di dalam sebuah bilik di Ladang Sabrang, dekat Teluk Intan.

Kes di siasat di bawah seksyen 377 C iaitu melakukan kelucahan melampau ke atas seseorang dan jika disabitkan kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman lima tahun penjara serta sebatan.




Isu Wang Guaman: Jamil Khir Dakwa Guna Dana Khas MAWIWP, Ketua Audit Negara Sahkan Jamil Guna Wang Zakat, Siapa yang Berbohong?

Posted: 31 Dec 2011 03:00 AM PST


Saya petik:

[Bernama] SEPANG -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menegaskan laporan mendakwa beliau terbabit penyelewengan wang zakat adalah tidak benar.

Beliau berkata wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes libatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit ini lah," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat MAIWP bagi pembayaran kos guaman beliau, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dalam kes qazaf itu.

Sambil menyifatkan dakwaan itu dan laporan mengenai kos ubah suai rumahnya di ibu negara yang dikatakan tinggi dan mewah sebagai zalim dan kejam, Jamil Khir berkata berita seumpama itu sepatutnya diselidik terlebih dahulu sebelum disiarkan supaya tidak timbul fitnah dan salah faham rakyat terhadap pemimpin negara dan kerajaan.

Beliau berpendapat laporan itu bertujuan untuk melahirkan persepsi bahawa pihak menteri dan kerajaan selalu melakukan penyelewengan.

"Saya rasa amat tidak wajar seorang Muslim dan saya rasa yang bercakap ini pun banyak Muslim. Dia patut selidik dan kena rasa takut pada fitnah dan pembohongan yang bukan setakat habis di dunia tapi balasannya sampai di akhirat," katanya.

Menurutnya pembangkang banyak memainkan isu melibatkan kerajaan Barisan Nasional untuk dipolitikkan
supaya dapat mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu-isu pokok membabitkan pembangkang termasuk qazaf.

Mengulas mengenai isu rumahnya, Jamil Khir berkata pihak berkenaan boleh membuat semakan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan menjelaskan rumahnya itu dibeli sejak tahun 1994 sebelum beliau dilantik sebagai menteri dan pembayaran bulanan juga masih dibuat sehingga kini.

"Biasalah kalau ada sedikit penambahbaikan pada rumah itu. Saya dulu mejar jeneral, dua bintang dalam pegawai kerajaan...ada pencen penuh dan tak peliklah saya layak buat pinjaman (perumahan)," katanya.

Beliau juga berkata penjelasan beliau berkaitan dakwaan itu adalah muktamad dan berharap semua pihak
memahami keadaan sebenar.


P/s: Bagaimana Jamil Khir boleh  mendakwa wang itu ialah dana khas MAWIWP, sedangkan dalam Laporan Audit Negara 2010 dinyatakan sebagai wang zakat. Dalam surat Ketua Audit Negara jelas dinyatakan bahawa wang zakat digunakan untuk mendahulukan bayaran guaman tersebut sebelum digantikan dengan geran kerajaan.

Mengapa Jamil Khir mahu "spin" lagi hal ini kerana surat Ketua Audit Negara yang menjelaskan isu ini kepada PAC sudah disiarkan di blog dan portal berita?

Adakah Jamil tidak perasan bahawa surat di bawah ini menyatakan bahawa MAWIWP menggunakan wang zakat untuk mendahulukan bayaran guaman beliau sebelum wang itu digantikan dengan geran kerajaan?
Kredit: Ameno World

Mengapa Jamil Khir tidak menggunakan peguam kerajaan?
Mengapa Jamil Khir menggunakan peguam swasta?
Kroni????

Aduhai!!!


[AWAS] Mulai 1 Jan 2012, SAMAN Dikenakan Jika Tidak Pakai Tali Pinggang BELAKANG

Posted: 31 Dec 2011 02:00 AM PST


Saya petik: 

[HM] Kuala Lumpur: Bermula esok, tiada alasan boleh digunakan pemilik kenderaan di negara ini sekiranya didapati gagal menggunakan tali pinggang keledar depan atau belakang.

Ini kerana, tempoh pengecualian tiga tahun akan tamat bermula jam 12 tengah malam ini (1 Januari 2012).

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Hesdey Ahmad berkata, selepas tempoh itu, tindakan menyaman pemilik kenderaan akan diambil pihak berkuasa.

"Kita percaya, ramai pemilik kenderaan akan memberi pelbagai alasan termasuk tidak tahu ia sudah dikuatkuasakan.

"Berikutan itu, kita ingatkan bahawa penguatkuasaan terhadap penggunaan tali pinggang keledar belakang sudah bermula 1 Januari 2009 dan pengecualian tiga tahun itu hanya membabitkan kenderaan didaftarkan sebelum 1 Januari 2005 atau kenderaan tidak dilengkapi dengan kemudahan tali pinggang keledar.

"Justeru, bermula esok, tiada lagi kompromi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pemilik kenderaan yang gagal mematuhinya," katanya.

"Jadi, sekali lagi kita ingatkan orang ramai bahawa pihak berkuasa akan mengeluarkan saman jika mereka masih berdegil dan tidak mahu memasang tali pinggang mulai esok," katanya. 



Bersekedudukan Sehingga Lahir Anak Luar Nikah

Posted: 31 Dec 2011 12:21 AM PST


Saya petik:

[SH] LEDANG - Tindakan berani sepasang kekasih bersekedudukan selama setahun sehingga melahirkan seorang bayi perempuan mengundang padah apabila mereka dicekup berkhalwat oleh Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL), awal pagi semalam.

Kegiatan mereka itu terbongkar dalam serbuan oleh PPADL, kira-kira jam 12.30 pagi di sebuah rumah di Bukit Gambir di sini, selepas pihak berkuasa menerima aduan daripada orang ramai.

Bayi perempuan berkenaan kini berada dalam jagaan wanita itu yang dilahirkan pada 16 Oktober lalu dan telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Daerah Ledang.

Namun, lebih mengejutkan apabila ibu bapa lelaki berkenaan turut bersubahat dan hanya membiarkan anak lelakinya bersekedudukan dengan teman wanita dalam satu rumah yang turut didiami mereka.

Lelaki berkenaan berumur 30 tahun dan pasangannya, 34, ditahan untuk siasatan lanjut.

Malahan, wanita berasal dari Sagil dan tidak pernah berkahwin itu turut mendakwa menyewa rumah berkenaan sejak setahun lalu.

Manakala, lelaki berkenaan yang juga pengawal keselamatan, difahamkan telah berumah tangga dan memiliki empat anak yang kini dalam proses bercerai dengan isterinya.

"Saya sedar kesilapan saya dan kami ada merancang untuk bernikah sebaik menyedari teman wanita hamil.

"Tetapi kerana beberapa halangan termasuk masalah kewangan menyebabkan perancangan ini tergendala begitu sahaja," katanya ketika disoal penguat kuasa.

Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, serbuan di rumah berkenaan dijalankan sepasukan anggota PPADL yang diketuai Pegawai Penguat kuasa, Mohd Zainal Kadiran.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, bapa lelaki terbabit membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan meskipun terpaksa menunggu hampir 15 minit.

"Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita memakai baju-T dan berseluar sedang menidurkan bayi perempuan di ruang tamu.

"Manakala, lelaki berkenaan pula sedang tidur dalam bilik dengan hanya berseluar pendek," katanya.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Bukit Gambir untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing," katanya.

Menurutnya, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.


P/s: 1Malaysia rosak apabila pendekatan agama dipinggirkan, hukum agama dipersendakan!



Perogol Nyaris Dibakar di Indonesia

Posted: 30 Dec 2011 11:13 PM PST


Saya petik:

[SH] JAKARTA - Seorang peniaga yang cuba merogol seorang wanita berumur 20 tahun di sebuah pangsapuri di utara Jakarta, Indonesia, hampir dihukum mati tanpa dibicarakan apabila orang ramai yang marah cuba membakarnya, kelmarin.

Orang ramai memukul Mindu Wijaya, 30, serta mengugut untuk menyimbah petrol dan membakarnya hidup-hidup, namun lelaki itu sempat diselamatkan polis.

Kes serupa berlaku pada 2009 di timur Jawa, apabila seorang bekas guru, Muhammad Zarkasyi terbunuh selepas dibakar sekumpulan pelajar sekolah yang berang dan menuduhnya melakukan hubu-ngan seks dengan pelajar perempuan di sekolah mereka.

Versi lain boleh dibaca di sini.

Remaja 13 Tahun Nyaris Dirogol Polis Palsu, Apa Tindakan Bijak Mangsa?

Posted: 30 Dec 2011 10:00 PM PST


Saya petik:

[HM] KUALA LUMPUR: Tindakan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun menghubungi talian kecemasan 999 berjaya menyelamatkannya daripada dirogol seorang lelaki menyamar polis biarpun dia sudah dikurung hampir 30 minit dalam sebuah bilik hotel di ibu kota, kelmarin.

Tindakan berjaya membuatkan suspek dicekup pihak berkuasa di bilik hotel berkenaan.

Semuanya bermula kira-kira jam 9.30 malam, ketika mangsa menunggu bas di Jalan Raja Laut, di sini, tiba-tiba ditegur lelaki berusia 30-an.

Menurut sumber, suspek berpakaian biasa memperkenalkan diri sebagai pegawai polis yang sedang 
melakukan rondaan dan pemeriksaan di kawasan berkenaan.

"Suspek kemudian memaksa mangsa mengekorinya dan jika enggan, mangsa diugut akan ditahan kononnya melakukan sesuatu kesalahan.

"Bimbang dengan ugutan itu, mangsa mengekori suspek. Lelaki terbabit kemudian membawa mangsa ke kedai makan di sebuah pusat beli belah di kawasan itu," katanya.

Sumber berkata, selepas makan, suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah hotel di sekitar kawasan berkenaan menyebabkan pelajar terbabit mula bimbang dengan keselamatan dirinya.

"Ketika suspek mendaftar di kaunter pendaftaran hotel berkenaan, pelajar terbabit menghubungi talian kecemasan 999 bagi meminta bantuan.

"Mangsa kemudian dipaksa suspek untuk masuk ke dalam bilik hotel. Selepas itu, mangsa diarah menanggalkan pakaiannya dan memakai tuala sebelum disuruh mandi," katanya.

Difahamkan, sementara menunggu mangsa mandi, suspek menonton televisyen.

Sumber berkata, sebaik menerima laporan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berusaha mengesan suspek.

"Tindakan pantas pihak berkuasa membuahkan hasil apabila kedudukan mangsa dan lelaki terbabit dikesan. Satu serbuan disertai empat anggota menahan suspek sekali gus menyelamatkan mangsa," katanya.

Menurutnya, suspek dan mangsa dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa mengesahkan penahanan suspek dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 340 Kanun Keseksaan (KK) kerana kurungan salah.



Suspek Pembunuhan ROZANA Ditahan

Posted: 30 Dec 2011 07:30 PM PST


Saya petik:

[HM] GOMBAK: Seorang remaja berusia 19 tahun dipercayai teman lelaki kerani bank yang dibunuh kejam minggu lalu ditahan semalam bersama dua lagi rakan bagi membantu siasatan kes itu.

Polis turut menemui komputer riba milik Rozana Mohd Yusak, 35, yang ditikam 35 kali dalam kejadian di rumah sewanya di Jalan Puncak Desa, Kepong di sini pada 22 Disember lalu.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki terbabit berusia 19 dan 20 tahun itu menjual komputer riba berkenaan kepada wanita yang dikenali mereka dengan harga RM600.

Menurut sumber, perbuatan kejam mereka ini terbongkar apabila polis Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengadakan serbuan berasingan di Pantai Dalam dan Kampung Datuk Keramat, malam kelmarin.

"Polis yang menemui bukti baru pembabitan ketiga-tiga lelaki terbabit termasuk seorang daripadanya adalah teman lelaki mangsa selepas penemuan pisau yang digunakan menikam Rozana.

"Difahamkan, pisau itu ditemui di dalam longkang berhampiran kediaman mangsa kelmarin," katanya.

Sumber berkata, dalam serbuan pertama jam 8 malam, polis menahan teman lelaki mangsa berusia 19 tahun di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Dalam bersama seorang lagi suspek berusia 19 tahun.

"Hasil serbuan pertama itu polis mengesan seorang lagi suspek di rumah di Kampung Datuk Keramat kira-kira jam 1 pagi.

"Setakat ini, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan tidak menolak berkemungkinan akibat cemburu kerana ketika kejadian berlaku pertengkaran antara mangsa dengan teman lelakinya itu," katanya.

Menurutnya, suspek yang ditahan dibawa ke Mahkamah Selayang mendapatkan perintah tahanan reman. Semua suspek ditahan reman hingga 6 Januari ini bagi membantu siasatan.

Harian Metro pada 22 Disember lalu melaporkan, seorang kerani mengesot lima meter meminta pertolongan orang ramai menerusi tingkap rumah sewanya di Jalan Puncak Desa, meskipun ketika itu kesakitan selepas ditikam 35 kali di seluruh tubuh.


 Berita Berkaitan:

Kerani bank mati ditikam 15 kali

Rozana Mohd Yushak
Rozana
Mangsa merangkak ke arah tingkap jerit minta tolong sebelum rebah
[BH] GOMBAK: Seorang kerani bank wanita yang ditikam 15 kali di badan sempat merangkak ke arah tingkap dan menjerit meminta tolong sebelum rebah di rumahnya di tingkat satu rumah kedai di Desa Jaya di sini, awal pagi semalam.

Jeritan mangsa, Rozana Mohd Yushak, 35, disedari orang ramai yang berada di sebuah restoran di tingkat bawah sebelum menghantar mangsa ke Hospital Selayang, namun wanita berkenaan disahkan meninggal dunia tidak lama selepas diberikan rawatan kecemasan.

Siasatan awal polis menunjukkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 pagi itu bermotifkan cemburu dan mangsa yang masih bujang dan tinggal sendirian di rumah sewanya dipercayai dibunuh individu dikenali.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan, berkata pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati dia ditikam sebanyak 15 kali di seluruh badan termasuk perut, belakang badan, siku dan paha.

Beliau berkata, pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata, namun polis tidak menolak kemungkinan mangsa ditikam menggunakan pisau.

"Malah, keadaan rumah terbabit juga berselerak, dipercayai berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek. Berdasarkan kecederaannya, polis tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan cemburu," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Rosly berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. 



Selebriti Mengaku RASUL, Siapa?

Posted: 30 Dec 2011 06:20 PM PST


Saya petik:

[HM] KUALA LUMPUR: Mengaku dirinya rasul, mampu mengampunkan dosa pengikut, tsunami berlaku atas kuasanya dan menafikan kewajiban menunaikan solat serta puasa antara fahaman sesat yang kini didakwa disebarkan seorang selebriti terkenal tanah air.

Selebriti terbabit bukan saja menyebarkan fahaman yang ternyata melanggar hukum syarak, tetapi lebih mengejutkan apabila dia mengakui dirinya mampu memberikan syafaat kepada pengikutnya pada hari akhirat kelak.

Sumber yang juga bekas pengikutnya, hanya mahu dikenali sebagai Fatimah, 30, berkata, penyebaran dakyah menyimpang itu mula dilakukan selebriti terbabit lebih dua tahun lalu selepas mendakwa dirinya mendapat wahyu dan petunjuk daripada Allah.

"Dia juga memberitahu di akhirat kelak, dia bakal ditempatkan di barisan hadapan apabila semua manusia dihimpunkan di Padang Mahsyar," katanya kepada Harian Metro.

Selebriti lelaki yang terkenal dengan perwatakan warak itu sebelum ini jarang menimbulkan kontroversi sepanjang membabitkan diri dalam industri seni, justeru pendedahan dilakukan beberapa pengikutnya amat mengejutkan.



Tiada ulasan: