SIASAH |
Politik Malaysia 2011: 10 pemain dan isu utama Posted: 29 Dec 2011 11:42 PM PST Tahun 2011 mencatat sejarah sebagai tahun yang penuh drama, disebabkan sebahagian besarnya oleh Pilihan Raya Umum ke-13 yang dirasakan semakin hampir. Medan politik negara tidak pernah sunyi dengan peristiwa panas dan kontroversi. Berikut 10 pemain dan isu utama politik Malaysia sepanjang 2011 berdasarkan penilaian SiasahDaily. 1. Bersih 2.0 Gerakan yang paling mendapat perhatian di dalam dan luar negara selepas perhimpunan pada 9 Julai berjaya diadakan walaupun berdepan tekanan pemerintah. Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dapat dilihat tertekan ekoran kejayaan Bersih kedua, walaupun jauh sedikit berbanding penyertaan Bersih pertama pada 2007. 2. NFC dan Shahrizat Datuk Seri Shahrizat Jalil ditekan oleh pemimpin-pemimpin Umno sendiri ekoran terdedahnya kaitan suami beliau dengan National Feedlot Corporation. NFC mencetuskan kebimbangan Umno disebabkan tekanan kuat dicetuskan oleh skandal itu. Shahrizat berpotensi tersingkir daripada kedudukannya akibat terpalit skandal itu, ketika Najib mula bercakap dan menekankan keperluan Umno meletakkan winnable candidates dalam pilihan raya akan datang. 3. Penyebaran Kristian Kontroversi tercetus ekoran siasatan pihak berkuasa agama Selangor ke atas sebuah gereja Metodis di Petaling Jaya, dan menemui bukti-bukti jelas penyebaran agama Kristian ke atas orang Muslim. Kejadian di negeri Selangor yang dikuasai Pakatan Rakyat memberi implikasi negatif kepada gabungan itu terutama PAS. Tindakan Datuk Dr Hasan Ali, exco kerajaan daripada PAS mempertahankan tindakan siasatan itu mencetuskan reaksi negatif terhadapnya. 4. Bob Lokman Bob Lokman menyertai PAS di Kedah semasa perhimpunan pemuda parti itu, dan terus aktif berkempen untuk PAS. Terbaharu, beliau muncul dalam video pendek Oley! bersama beberapa pemimpin Pemuda PAS termasuk Ketua Pemuda Nasrudin Hassan. Turut mencetus kontroversi dengan pihak berkuasa agama Selangor kerana ceramah tanpa tauliah. Mengatasi Lisa Surihani yang menerima anugerah Pergerakan Puteri Umno dari segi liputan dan perhatian ramai. 5. Najib Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menjadi ahli politik paling berjaya memulihkan imej sepanjang 2011. Najib berusaha kelihatan cool dengan aktif dengan media sosial Facebook dan Twitter, bergambar dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, mengumumkan pemansuhan ISA dan membentangkan belanjawan yang memberi keyakinan kepada pemerintah untuk memenangi semula hati rakyat. 6. Pena, Interlok dan bahasa Melayu Isu novel Interlok yang ditolak oleh penentangnya kerana dianggap rasis menjadi senjata menyerang pemerintah dikuasai parti Melayu, Umno. Terbaharu, novel tersebut diganti dengan novel lain, pada masa sama Persatuan Penulis Nasional (Pena) menyambut ulang tahun ke-50 dan diberi habuan RM1 juta oleh kerajaan. PPSMI yang diperjuangkan Pena juga masih dikekalkan. 7. Himpun Gerakan masyarakat Muslim Himpun bergerak lebih aktif ekoran aktiviti penyebaran Kristian yang dilihat berleluasa, terutama ekoran peristiwa gereja Metodis di Selangor. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, PAS menjauhkan diri daripada gerakan itu, walaupun menerima sokongan moral beberapa pemimpin pemuda parti itu. Himpun dilihat berkemampuan untuk menjejaskan sokongan orang Melayu Muslim kepada PR yang kelihatan tidak membela kepentingan Islam. 8. Anwar Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berjuang untuk mengetuai Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya - yang gagal dilaksanakan pada 2008 - sepanjang 2011, tahun yang menyaksikan keyakinan terhadapnya semakin terhakis sehingga ada kalangan pemimpin PR menemui Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertindak sebagai pelan B. Anwar walau bagaimanapun tidak membenarkan perhatian beralih daripada dirinya, dan terus mendapat perhatian sepanjang 2011, tahun video seks dikaitkan dengannya disebarkan. 9. Seksualiti Merdeka Seksualiti Merdeka, gerakan perjuangan hak gay mengejutkan negara apabila secara terbuka mempromosikan aktiviti tahunan pada November lalu. Penglibatan Datuk Ambiga Sreneevasan menarik perhatian musuh politik pembangkang yang segera mengaitkan PAS dengan gaya hidup yang dilarang agama Islam itu. Perkembangan melibatkan gerakan ini menandakan peningkatan pengaruh dan kuasa politik golongan gay di negara ini, dibantu oleh iklim politik yang semakin liberal. 10. Papa Gomo Blog paling dikunjungi ini ialah blog pro-Umno yang mendepani usaha serangan ke atas pembangkang ekoran kekalahan teruk BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008. Antara blog terawal menyiarkan video seks didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dengan berani menegaskan bahawa pelakunya ialah Anwar. Papa Gomo menjadi pemblog paling dibenci oleh Pakatan Rakyat. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan