SIASAH |
Game changer, PRU 13 dan masa depan Umno Posted: 02 Dec 2011 08:01 AM PST Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak telah memberikan isyarat paling jelas untuk parti utama pemerintah pusat itu bersedia hadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Ucapan Najib dalam perhimpunan agung Umno itu mengandungi banyak peringatan dan dorongan, yang berkait rapat dengan penerusan hidup Umno selepas menghadapi pilihan raya umum nanti. Selepas Mac 2008, Umno menjadi parti yang paling banyak berada dalam keadaan defensif ekoran serangan agresif dan konsisten pakatan pembangkang, walaupun masih menjadi parti pemerintah. Ideologi dan segala pegangan serta amalan Umno dikecam hebat sebagai perkara yang paling rosak dan buruk. Umno disinonimkan dengan korupsi, rasisme dan segala elemen jahat. Menjelang 16 September, 2008, Umno kelihatan tergugat dan cemas berdepan ancaman pembangkang mengambil alih pemerintahan negara. Ucapan dasar Najib sebagai presiden Umno menampakkan kesedaran terhadap ancaman-ancaman dihadapi Umno sejak 2008, yang berterusan hingga Umno kelihatan tidak sempat mencari ruang bernafas. Peringatan bersedia menghadapi elemen yang mencetus perubahan dramatik permainan politik (game changer) yang diucapkan Najib mendedahkan kebimbangan parti pemerintah itu terhadap realiti semasa seperti bahasa baharu politik dan peranan media sosial yang semakin berpengaruh. Setakat ini Umno nampaknya masih mampu menangani serangan media internet (walaupun dengan belanja yang besar) dan usaha Najib memulihkan imej dirinya dan parti kelihatan menampakkan hasil positif. Walau bagaimanapun, pemulihan itu hanya satu aspek daripada banyak hal yang menyentuh pengundi, dan menjadi faktor diambil kira dalam memberikan undi. Perubahan melibatkan penyebaran maklumat dan sentimen terhadap pemerintah sememangnya menjadi faktor yang mengubah permainan politik negara. Pembangkang dan segala elemen penentang establishment di negara ini berjaya membawa dan menyebarkan bahasa baharu yang menjejaskan Umno dengan teruk, ketika Umno sebahagian besarnya masih bercakap dalam bahasa lama dan kurang sedar dengan realiti pasaran bebas ide. Ucapan Najib menampakkan kesedaran itu, dan peringatan yang diberikan (yang bukan pertama kali ditujukan kepada "orang Umno") menampakkan kesungguhan. Tetapi kedudukan Umno yang lama di tampuk kuasa telah membina satu budaya dan pandangan yang menyumbang kepada berleluasanya sentimen negatif terhadap parti itu, dan memerlukan masa yang panjang untuk diuruskan. Najib ada mengingatkan ahli supaya tidak bersikap sombong dan angkuh. Malangnya, wacana sebagai pihak yang mempunyai kuasa sejak merdeka menjadikan sifat itu sebagai sesuatu yang kuat dalam Umno. Budaya berwacana, menangani pelbagai isu dengan rasional masih sukar diterima oleh Umno, terutama di peringkat bawah yang lebih banyak berdepan dengan rakyat biasa. Dua contoh mudah ialah isu seperti melibatkan projek ternakan lembu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan tindakan beberapa orang selebriti menyertai atau menunjukkan sokongan kepada pembangkang. Reaksi dominan dalam Umno ialah membalas kritikan terhadap pengkritik dengan emosi dan bermain sentimen tanpa menjawab persoalan sebenar, dalam kes Shahrizat. Yang kedua, kecaman dan tuduhan tidak mengenang budi kepada selebriti yang menyokong pembangkang. Seperti diperhatikan dalam wacana dominan blog-blog Umno, selebriti yang menyokong pembangkang dikait dengan isu seperti "tidak mengenang budi" dan sebagainya, yang berdiri di atas pegangan sokongan kepada pembangkang ialah pengkhianatan. Kedua-dua kes ini menunjukkan kelemahan besar Umno yang gagal menjawab secara rasional, tersusun dan bertanggungjawab, dan andaian bahawa segala diperolehi rakyat selama ini (termasuk selebriti terbabit) ialah jasa Umno (yang menimbulkan dakwaan tidak mengenang budi itu). Bahasa yang diucapkan ini ialah bahasa lama, berdasarkan pemikiran lama yang tidak mesra dengan kritikan dan pertanggungjawaban. Bahasa ini tidak mempersoalkan pemisahan kuasa antara Umno, kerajaan yang memerintah dan negara. Perubahan dalam wacana politik ini masih kurang disedari Umno yang selama ini bersaing dalam medan permainan yang berat sebelah, dengan Umno memiliki segalanya termasuk monopoli terhadap "kebenaran." Permainan hari ini sudah berubah dan perang pemikiran semakin menyebelahi pembangkang dan segala kuasa liberal yang bersedia memerangi Umno dan segala pegangannya. Perubahan ini mungkin satu game changer yang paling sukar ditangani Umno, dan semakin menjadi faktor yang menjadikan masa depan Umno dibayangi persoalan. |
Posted: 01 Dec 2011 08:33 PM PST Parti Keadilan Rakyat, hasil gabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia ialah satu hasil yang jelas daripada gerakan kebangkitan rakyat bermula 1998 ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan Umno. Anwar dapat dijelaskan sebagai pemimpin utama gerakan ini, sehingga berupaya menyatukan pembangkang dalam satu pakatan walaupun selepas kegagalan eksperimen penyatuan PAS, Semangat 46 dan DAP sebelum itu. Pemecatan Anwar daripada Umno terus menghasilkan personaliti baharu bekas timbalan perdana menteri itu, menjadikannya pemimpin utama misi membersihkan negara daripada elemen-elemen korup pemerintah, malah parti Umno itu sendiri, yang dikemukakan sebagai memonopoli segala keburukan dalam lapangan politik, ekonomi dan sosial negara. Kini, selepas gerakan yang bermula pada 1998 dilihat semakin hampir merampas tampuk pemerintahan negara, wacana parti yang membawa obor reformasi cetusan Anwar terus kelihatan sebagai sebuah kumpulan yang sangat berpusatkan personaliti bekas pemimpin nombor dua dalam kerajaan itu. Kongres terbaharu PKR di Johor minggu lalu tidak menunjukkan perbezaan wacana dan retorik parti itu, yang terus mengangkat dan mengagungkan Anwar, mengutuk musuh-musuh politik dan memberi lagi harapan merampas pemerintahan kerajaan pusat. Paling utama, dan yang paling dapat diperhatikan - walaupun tanpa secara serius memantau laporan kongres itu - ialah tumpuan yang terus diberikan kepada Anwar, sehingga muncul kenyataan seperti "memecahkan tembok penjara." Seperti juga kongres dan pertemuan parti sebelum ini, tema yang hampir serupa diulang lagi, dan setiap kali menerima sorakan ahli-ahli parti. Tempoh panjang sejak 1998 masih tidak mengubah posisi Anwar dalam partinya - yang dipimpin sebagai ketua umum yang tidak dipilih secara demokratik - malah menjadikan beliau lebih mengukuhkan cengkaman. Realiti PKR berhubung kedudukan Anwar (dan keluarga) tidak menjadi persoalan kepada ahli-ahli parti, sekurang-kurangnya tidak secara terbuka, walaupun isu penguasaan seorang pemimpin dan ahli keluarga menjadi isu utama serangan terhadap Umno ketika tercetus kebangkitan 1998 dahulu. PKR sendiri tidak dapat menjawab kritikan terhadap kedudukan istimewa ketua umumnya, kedudukan yang mungkin tidak akan wujud lagi atau tidak berkuasa seperti halnya Anwar pada masa kini, menjelaskan kuasa kultus personaliti Anwar ke atas PKR. Walaupun merupakan parti Pakatan Rakyat paling bermasalah dalaman sejak 2008, PKR terus mengangkat diri sebagai parti utama dan pemimpin gabungan pembangkang. Tahun-tahun selepas kejayaan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-12 menyaksikan ramai wakil-wakil rakyat PKR dan rakan-rakan rapat Anwar meninggalkan parti, sehingga mengubah imbangan kuasa dalam PR menjadikan DAP parti PR memiliki paling banyak kerusi di Parlimen. Tetapi sehingga kini, selepas kongres yang mungkin terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, masih belum nampak upaya bersungguh-sungguh PKR untuk berubah, dan bukan hanya mengubah kerajaan memerintah. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan