Khamis, 8 Disember 2011

pemuda cheh

pemuda cheh


Kepada yang tidak mengikuti skandal Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC).

Posted: 07 Dec 2011 08:11 PM PST



Di bawah Rancangan Malaysia ke 9 (9MP) pada 2006, NFC disasarkan sebagai 'Projek berimpak tinggi' dengan objektif mencapai 40% keperluan daging lembu negara pada 2010. Kerajaan Tun Abdullah Badawi telah menyediakan dana sebanyak RM4.4 bilion untuk memodenkan sektor pertanian dan penternakan di bawah 9MP.


Pada bulan Mac 2007, Kementerian Pertanian di bawah timbalan perdana menteri kini, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memilih dua syarikat untuk menguruskan NFC. Mereka adalah Agro Science Industries Sdn Bhd dan Lambert Malaysia Sdn Bhd dengan Agro diberi tanah seluas 2,000 hektar dan Lambert diberi 200 hektar tanah untuk memulakan projek. NFC juga mendapat dana sebanyak RM73.64 juga daripada kerajaan Malaysia (GOM) untuk membangunkan projek tersebut.

Pada Disember 2007, kerajaan telah meluluskan satu pinjaman mudah (soft loan) dengan hanya 2% faedah untuk tempoh 10 tahun berjumlah RM250 juta kepada National Feedlot Corp Sdn Bhd, satu syarikat usahasama (JV) antara Agro Science Industries Sdn Bhd and GOM untuk memulakan projek tersebut di Gemas, Negeri Sembilan, sebagai langkah pertama dalam pelan membawa Malaysia untuk mengurangkan penggantungan terhadap import daging lembu dengan sasaran permulaan 60,000 anak lembu setiap tahun. Pada masa tersebut, Malaysia sedang mengimport sebanyak 80% keperluan daging lembu negara.

Pada Februari 2008, NFC menerima 1,000 anak lembu pertama dari Australia.

Pada Julai 2008, setelah lima bulan beroperasi, NFC telah mengumumkan bahawa syarikat tersebut akan sasar 28% tampungan keperluan daging lembu negara pada 2010, kurang daripada 40% yang ditetapkan oleh GOM di bawah 9MP.

Pada Mac 2010, NFC pula menyatakan bahawa mereka boleh mencapai 40% tampungan keperluan negara pada 2015, lima tahun lebih lewat daripada yang jangkaan.

Pada October 2011, Jabatan Audit Negara telah mengemukakan laporan Ketua Audit Negara 2010 (yang terlewat) yang membongkar pembaziran belanja jabatan-jabatan kerajaan serta kelemahan-kelemahan pentadbiran kerajaan yang menyebabkan jumlah hutang dan defisit kerajaan persekutuan meningkat.

Salah satu perkara yang ditegur ialah projek NFC di mana audit antara Januari dan Mac 2011 telah mendedahkan bahawa objektif NFC gagal dipenuhi kerana pembangunan untuk 130 usahawan perintis di bawah Program Pembangunan Usahawan tidak dilaksanakan dan kontrator utama telah menarik diri daripada projek tersebut pada tahun 2008.
Selain itu, NFC turut didedahkan hanya mampu menghasilkan 3,289 anak lembu pada 2010 daripada jangkaan 8,000 dan audit menegur keseluruhan operasi NFC dalam keadaan 'kelam-kabut'.

Pada November 2011, barisan pembangkang mula mendedahkan penyelewengan kewangan di dalam NFC, di mana NFC didakwa telah memberikan pinjaman sebanyak RM84 juta kepada syarikat kepunyaan suami Ketua Wanita Umno dan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil, dan pengerusi NFC Dr Mohamad Salleh Ismail. Pembangkang turut mendakwa NFC telah menggunakan dana untuk:

1.     membeli kondo mewah di Bangsar yang berharga RM9,758,140 (selepas itu, ia didedahkan bahawa NFC telah membeli dua kondo mewah di One Menerung Bangsar pada harga RM6.9 juta setiap satu)

2.     dua tanah di Presint 10 Putrajaya berharga RM3,363,507

3.     Mercedes Benz CLS 350 CGI berharga RM534,622 (melalui National Meat and Livestock Corporation)

4.     Memindahkan dana sebanyak RM588,585 kepada Meatworks (Singapore) Pty Ltd.

(National Meat and Livestock Corporation dan Meatworks adalah kepunyaan keluarga Shahrizat Jalil).

5.     NFC turut telah mengeluarkan 15 cek daripada akaunnya di CIMB Islamic Bank Berhad di Taman Tun Dr Ismail kepada agensi pelancongan Impian Global Network Services untuk tempoh tujuh bulan (tiap-tiap bulan) sebanyak RM455,423.

Ketika ditanya, Shahrizat memberitahu bahawa beliau tiada apa-apa kaitan dengan skandal NFC.

"Saya tidak akan menjelaskan (isu NFC), tapi saya mempunyai dua mesej utama yang ingin disampaikan ketika perhimpunan Agong Wanita Umno. Sila tunggu. Sebagai pemimpin, kita mesti bersabar dan tenang dan jangan menjadi histeria dengan senang. Jika ada sesiapa yang ingin bertanya pasal NFC, mereka harus bertanya pada orang NFC. Saya hanya akan fokus pada Wanita Umno."

Pengerusi NFC ialah Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail (suami beliau), Pengarah Eksekutif NFC pula ialah Wan Shahinur Izmir (anak beliau, umur 31), Ketua Eksekutif NFC ialah Wan Shahinur Izran (anak beliau juga, 27) dan Pengarah NFC ialah Wan Izzana Fatimah (anak beliau, 25).

Semasa NFC membeli kondo mewah pada 2 Disember 2009 untuk RM9.8 million, dilaporkan NFC dalam kerugian RM11 juta dalam akaun tahunannya. Turut dilaporkan pengerusinya menerima gaji sebanyak RM100,00 sebulan, pengarah eksekutif RM45,000 sebulan, ketua eksekutif RM35,000 sebulan dan pengarah satu lagi pun RM35,000 sebulan.

Semasa orang yang dilahirkan di Kuwait dan belajar di Oxford, ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin datang cuba menyelamatkan Shahrizat, beliau menyatakan bahawa ia adalah satu 'keputusan perniagaan yang bijak' untuk National Livestock and Meat Corporation untuk 'melabur' dalam banglo mewah daripada membiarkan duit rakyat dibiarkan duduk diam dalam akaun bank dan tiada masalah dalam pembelian tersebut.

Semasa Menteri Pertanian kini, Datuk Seri Noh Omar (kalau sesiapa  yang ingat kenyataan "jika orang asing rasa polis Malaysia kejam, tolong balik ke negara mereka dan jangan tinggal di sini") ditanya mengenai ketidakupayaan NFC untuk mencapai sasaran 8,000 lembu, beliau menjawab NFC sememangnya sudah mencapai lebih daripada 8,000 lembu di antara 2008 hingga 2010, sambil berkata projek tersebut adalah berjaya.

Beberapa hari selepas itu, Menteri Pertanian itu menukar kenyataan beliau dan berkata NFC hanya perlu menyembelih sebanyak 5,742 ekor lembu sebelum hari terakhir tahun ini (sebenarnya 8,000 tolak 3,289 ialah 4,711) dan projek tersebut akan dikategorikan sebagai amat berjaya kerana mencapai sasaran.

Apabila laporan dibuat oleh Pemuda PKR Penang ke SPRM, agensi tersebut menolak kes tersebut kepada PDRM sambil menyatakan bahawa, "Kes ini telah dirujuk kepada polis kerana kesalahan tersebut tidak terletak di bawah bidang kuasa SPRM di bawah Akta SPRM 2009."

Semasa Datuk Mohamad Salleh disoal PDRM berkenaan dengan dua kondo mewah, beliau menyatakan dua kondo tersebut sedang disewa kepada dua syarikat minyak dan gas yang berlainan sebagai tempat penginapan kepada pakar asing dan NFC menerima RM75,000 sebulan sebagai sewa – di mana satu mendapat RM18,000 sebulan dan satu lagi mendapat RM57,000 sebulan (walalupun satu banglo seluas 27,000 kaki persegi yang dilengkapi dengan kolam air dan spa di Kenny Hills tidak mampu mendapat sewa RM57,000 sebulan). Angka tersebut kemudian diubah kepada RM18,000 sebulan untuk dua unit, akan tetapi PDRM tetap tidak nampak apa-apa kesalahan terhadap dua jawapan berbeza tersebut.

Pada 2 Disember yang lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Bakar telah mengeluarkan satu kenyataan polis bahawa siasatan polis setakat ini tidak menunjukkan sebarang unsur pecah amanah dalam pentadbiran Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC). Tindakan ini agak mengelirukan kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilarang untuk mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap apa-apa siasatan sebelum ia diselesaikan. PDRM juga mengakui bahawa mereka belum memanggil Shahrizat untuk soalsiasat walaupun beliau merupakan watak utama dalam kontroversi ini.

Kepada yang tidak mengikuti kes NFC, projek ini pertama kali dicadangkan pada 2003 oleh Dr Rosli Mai Lam daripada Lazuli Sdn Bhd, yang kini masih menjadi rakan dalam projek ini. Dr Rosli daripada Lazuli, seorang yang terkenal dalam industri ini, ialah pembekal anak lembu dan ternakan hidup yang lain kepada sesiapa yang memasuki industri ini di Malaysia.
------------------------------

Malaysia Telah Wujud Pada September 1937

Posted: 07 Dec 2011 02:11 PM PST


Benarkah 'kenyataan' ini?


Projek penjajahan bentuk baru iaitu melalui empayar baru matawang dolar dan tentera Amerika Syarikat (A.S). Projek yang kononnya bertitik tolak dari hasrat murni A.S untuk membebaskan tanah jajahan Inggeris, tetapi dengan niat jahat melalui penjajahan dalam bentuk baru.

Semuanya telah dirancang rapi bagi memperlihatkan bahawa semua kejadian berlaku dengan sendirinya. Malaysia juga tidak terlepas dari percaturan yang sudah sekian lama terancang. Sungguh memalukan jika kita membaca kembali buku-buku sejarah Malaysia yang 100% berpaksikan kepentingan segelintir manusia. Malaysia adalah projek kolonial yang sekian lama dirancang. Ini semua benar, seperti buku yang diterbitkan pada September 1937 (gambar di bawah).

Projek kolonial A.S ini sangat rapi. Ramai yang menggelar projek kolonial ini sebagai teori domino, iaitu setelah Vietnam menjadi negara komunis, maka satu demi satu negara-negara di Asia Tenggara ini akan menjadi negara komunis. Teori ini ditulis Pak Said Zahari, yang dipenjara di bawah akta ISA oleh Lee Kuan Yew selama 17 tahun tanpa bicara, dalam buku memoirnya "Meniti Lautan Gelora."

Pak Said Zahari


Antara sasaran projek kolonial A.S ini adalah menubuhkan negara Malaysia dengan melucutkan gagasan Nusantara Melayu Raya, menggulingkan presiden Sukarno dan menghapuskan kekuatan rakyat Indonesia yang anti penjajahan. Hari ini kita dapat melihat fakta-fakta ini secara terperinci dalam terbitan dokumen-dokumen rahsia CIA seperti ini (sila klik Foreign Relations, 1964-1968, Indonesia; Malaysia-Singapore; Philippines. Editor: Edward C. Keefer General Editor: David S. Patterson, United States Government Printing Office, Washington, 2001.)

Bermula dengan cadangan penubuhan Malaysia, kemudian konfrontasi Malaysia-Indonesia, perjuangan rakyat Kalimantan Utara, serangan Indonesia ke Malaysia yang dipercayai disabotaj oleh Jeneral Suharto, apabila tempat mendarat payung terjun tentera Indonesia telah dikenal pasti telah bocor rahsianya atau mungkin disebabkan kecekapan risikan tentera Malaysia. Seiring dengan kegagalan operasi ketenteraan Sukarno ke atas Malaysia, rentetan satu demi satu peristiwa yang akhirnya membawa kepada peristiwa rampasan kuasa oleh Jeneral Suharto, yang didukung CIA, diikuti dengan pembunuhan hampir satu juta rakyat Indonesia pada tahun 1965-1966 atas alasan memerangi komunisme. Sebaliknya rejim Suharto terbukti tidak lebih sebagai rejim boneka A.S.

Nama Malaysia telah wujud dalam gagasan kuasa penjajahan Barat sejak dicatatkan di dalam peta Sepanyol kurun ke 16. Lebih kukuh lagi, Malaysia sebagai gagasan asing kuasa imperialis A.S, dicatat pada judul buku Malaysia: a study in Direct and Indirect Rules, tulisan profesor Universiti Havard merangkap penasihat luar A.S, Rupert Emerson yang jelas mengkritik pentadbiran kolonial Inggeris dalam suatu gagasan geografi yang bernama Malaysia, peta dan sempadan kekuasaan negara. 


Malaysia: a study in Direct and Indirect Rules


Buku itu diterbitkan Macmillan New York pada tahun 1937, iaitu tahun orang-orang di sini sedang marak semangatnya dengan cita-cita dan hasrat Melayu Raya Nusantara, juga tahun orang-orang di sini belum lagi memahami atau ambil peduli apakah makna dan perkataan 'Malaysia'. Tahun tersebut juga merupakan tahun kesetiaan rakyat Tanah Melayu pada negeri dan raja-rajanya, tahun inggeris masih lagi menjajah ke atas wilayah dengan nama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Negeri-Negeri Selat, Borneo Sabah, Sarawak dan Brunei.

Gagasan A.S tentang Malaysia sepertimana yang dihasratkan Rupert Emerson menjadi kenyataan pada tahun 16 September 1963 bilamana Singapura, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bersama-sama menubuhkan Malaysia. Brunei pada saat akhir menarik diri daripada menyertai Malaysia dan kekal dibawah naungan jajahan Inggeris sehingga ke tahun 1984. Manakala Singapura pula menyertai Malaysia sehingga tahun 1965 dan berpecah selepas itu.

Batu peringatan penubuhan Malaysia


Pendokong gagasan Nusantara Melayu Raya seperti Lim Chin Siong dan Said Zahari yang menentang penubuhan Malaysia sebagai projek kolonial A.S, juga beranggapan Singapura sememangnya sudah menjadi sebahagian dari Tanah Melayu, tidak timbul persoalan tentang Singapura akan bersatu dengan Tanah Melayu untuk menubuhkan Malaysia. Kita tidak akan semudahnya melupakan derita suatu pengorbanan cita-cita masa lalu yang gagal. Perlembagaan rakyat dan gabungan Putera AMCJA, perang anti British, darurat, kemerdekaan, Barisan Sosialis dan penangkapan ISA terhadap hampir kesemua wakil rakyat Parti Rakyat dan Parti Buruh, Adun, Ahli Parlimen, Ahli Pihak Berkuasa Tempatan, juga pemimpin bahagian dan cawangan, pengharaman pilihanraya majlis tempatan atas kemenangan hampir seluruh kerusi kepada Barisan Sosialis. Presiden Pas, Dr Burhanudin Al-Helmy juga turut merengkok di dalam ISA atas tuduhan kononnya menentang penubuhan Malaysia.

Jadi bukan Tunku Abdul Rahman lah yang mencipta nama Malaysia. Jika begitu tertipulah kita. Dan sudah tentunya juga mereka inilah yang telah mencatur dan mengatur siapa yang patut memerintah dan generasi yang bagaimana patut dilahirkan oleh negara Malaysia itu kelak. Apa pula cerita Bangsa Malaysia?

Tunku Abdul Rahman Mengumumkan pada media tentang keberangkatannya ke London untuk memeterai penubuhan Malaysia.


Realitinya, Dato' Onn sudah dapat mengesan perancangan 'mereka' itu sedari awal lagi, malangnya orang UMNO telah dibutakan oleh dakyah barua British dan agen-agennya sehingga ke hari ini. Akhirnya Dato Onn pula yang dihina dan dituduh talibarut British.

Oleh itu mari kita sama-sama fikir kembali maksud daripada petikan ucapan terakhir beliau sebagai Yang DiPertua UMNO pada 26 Ogos 1951:

"Oleh kerana saya mempunyai beberapa peluang dapat melihat sesuatu gerak langkah, sesuatu perbuatan atau cadangan yang hendak dijalankan di Tanah Melayu ini, langkah-langkah dan perbuatan yang mendatangkan kebimbangan kepada diri saya sendiri. Saya dapat peluang itu oleh kerana dapat melihat tempat-tempat yang tidak dapat dimasuki kebanyakkan orang. Melihat gerak langkah dan cadangan-cadangan yang hendak didatangkannya ke atas Tanah Melayu ini. Malang mulut saya tertutup, malang saya berkata mulut saya ini tertutup tidak dapat menzahirkan kepada umat Melayu Semenanjung ini apa yang diketahui oleh saya dalam masa menyempurnakan pekerjaan dan tanggungan saya itu…"(Mohamed Abid, 2003, p191-192)

Apa Maksudnya?

Ini Realitinya:

Sedikit mengenai 'agenda' mereka untuk semua orang Malaysia yang membaca artikel ini:

1. 'De-Islaming the Islamic belief' melalui perkara-perkara mistik (menerapkan kepercayaan mistik seperti Hikayat HangTuah, Hikayat Melayu yang dikawal oleh Orientalist)

2. Merosakkan 'Kitab Suci' tanpa membakar tetapi melalui penyebaran teori evolusi (idea Darwin. Penyakit ini melahirkan golongan Atheist)

3. Mereka (tidak kira apa bangsa keturunan sekalipun) yang menyerahkan  segala jiwa dan raganya malah kepercayaan agamanya kepada 'MASTER' untuk melakukan perkara di atas akan diberikan kekuasaan dan kekayaan.

Pecah, kuasai dan musnahkan kepercayaan tauhid dan agama merupakan agenda mereka sejak bermulanya tamadun. Mereka tersorok di dalam pertubuhan rahsia dengan ahlinya yang tidak ramai tetapi pengaruhnya cukup kuat dan cukup berpengaruh. Mereka datang dengan menguasai politik yang dulunya berkhidmat untuk British empire. Sekarang pula mungkin dibawah naungan Amirika sekutu kuat England.

Walaupun pada dasarnya mereka nampak bercakaran tapi secara sulitnya mereka ada agenda yang sama. Mengkucar-kacirkan masyarakat sehingga keadaan menjadi keliru tidak keruan. Apabila masyarakat mula bosan dan beralih kepada hidangan ringan seperti hiburan maka disitulah jarum dan racun dakyah mereka dijalankan. Masyarakat yang hidup tanpa arah tujuan sebenarnya telah menjadi korban satu sistem yang di rekacipta untuk melaksanakan agenda jahat mereka.

Jika tidak percaya, apakah dua berita yang paling menyemak dan mendapat tempat paling utama di Malaya hari ini? Politik dan hiburan adalah jawapannya. Adakah mereka betul-betul pedulikan kamu? Tidak sama sekali. Apakah elemen utama dalam perancangan mereka? Lalai dan melalaikan. Dan akibatnya:

End result Spiritual Blindness.

Tiada ulasan: