Khamis, 29 Disember 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Meh Dengar Apa Jawi Nak Lebong Pasal Isu Salah Guna Wang Zakat

Posted: 29 Dec 2011 05:02 AM PST

Dakwaan guna wang zakat berbaur politik - Jawi


PUTRAJAYA 29 Dis. - Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali menyifatkan dakwaan penggunaan wang zakat bagi pembayaran kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua yang lain, sebagai berbaur politik.

Che Mat, yang juga setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, kes seperti itu sepatutnya tidak timbul kerana pembayaran tersebut dibuat dengan menggunakan peruntukan geran kerajaan.

"Oleh demikian, ada sesetengah individu yang nak sebut kita menyeleweng duit dan sebagainya, adalah tidak betul sama sekali demi mempertahankan kesucian umat Islam dan kredibiliti MAIWP sebagai satu-satunya badan berkuasa agama di Wilayah Persekutuan," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di sini hari ini. - BERNAMA

Jingga 13 tinjau kondo mewah milik Shahrizat

Posted: 29 Dec 2011 02:16 AM PST

(Oleh Nabiha Hamid)

PETALING JAYA 29 Dis: Ekoran laporan KEADILAN terhadap Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pembelian kondominium mewah berjumlah RM9.9 juta, badan bebas Jingga 13, mengadakan misi
lawatan ke Singapura bagi melakukan siasatan.

Sebelum ini, KEADILAN mendakwa keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil yang dianugerahi projek lembu telah menyeleweng dana duit rakyat sebanyak RM250 juta yang dimiliki syarikat National Feedlot Corporation (NFC).

"Kami (Jingga 13) telah ambil keputusan turun ke Singapura pada 23 Disember lalu untuk mengenal pasti aset, benar ataupun tidak. Akhirnya kami bertemu dengan kondo yang tersergam indah," kata Pengerusinya, Fariz Musa pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun mengalami kesukaran kerana berulang kali dihalau oleh pegawai keselamatan, namun akhirnya berjaya menyelinap masuk ke dalam kondo tersebut.

"Kondo Orchard Scotts – kondominium mewah yang sangat selesa serta dikawal rapi. Nak ambil gambar pun kena ada kebenaran. Jingga 13 berjaya membuat rakaman video untuk menunjukkan kondo mewah keluarga
Shahrizat tersebut," katanya.

Jingga 13 turut menjumpai restoran mewah Meatwoks di ION Orchard Mall iaitu sebuah gedung terbuka yang merupakan perniagaan peribadi keluarga Shahrizat.
Bagaimanapun restoran tersebut lengang malah tidak ramai pelanggan.

"Restoran lengang tiada orang, kedai di kiri kanan ramai orang, Meatworks kami tunggu sampai tengahari tidak ada orang lain yang masuk. Syarikat ini bukan saja mampu menyewa satu shop lot tapi dalam masa sama disewa ruang legar. Sudah pasti kos adalah lebih tinggi," katanya.
SPRM bercakap dengan 'lembu'?

Sementara itu, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamarudin pada sidang media yang sama turut mengecam tindakan kerajaan yang masih lagi tidak menyoal siasat suami Shahrizat, Datuk Salleh Ismail.
"Setakat ini laporan polis telah dibuat di seluruh negara. Sekurang-kurangnya Datuk Salleh sudah dipanggil untuk disoal siasat. SPRM kata dah 75 orang telah ditemubual tapi takkan tiada apa yang dapat dikesan? Melainkan kalau dia bercakap dengan lembu," tegas Zuraida.
Ahli Parlimen Ampang itu turut berkata, tinjauan Jingga 13 membuktikan Shahrizat hidup dalam keadaan mewah.

"Rakyat tak cukup makan dan tiada rumah, tapi dia (Shahrizat) bersenang-lenang hidup mewah. Sekiranya tidak apa yang berlaku lepas ini mengenai skandal ini, saya rasa Shahrizat perlu isytiharkan hartanya dalam lima tahun ke belakang," cabar Zuraida.

Hasan Ali: Harakahdaily seleweng fakta

Posted: 28 Dec 2011 10:32 PM PST

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 29 Dis — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Dr Hasan Mohamed Ali hari ini menafikan laporan media rasmi PAS, Harakahdaily berkenaan laporan dia pergi berjumpa Mursyidul Am untuk meminta maaf di Kelantan kelmarin.

Sebaliknya, menurut bekas Pesuruhjaya PAS berkenaan, tujuan dia ke Kelantan adalah untuk menghadiri majlis mahabbah melibatkan dirinya dan Nasharudin Mat Isa, bersama-sama pemimpin tertinggi PAS.

"Sebenarnya saya dijemput untuk menghadiri satu majlis mahabbah melibatkan saya dan Nasharudin Mat Isa bersama-sama dengan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din di kediaman rasmi Tuan Guru Mursyidul Am di JKR 10 Kota Bharu.

"Soal saya turun ke Kota Bharu untuk memohon maaf kepada pucuk pimpinan seperti yang dilaporkan oleh Harakahdaily dan dipetik oleh kebanyakan saluran media adalah tidak benar sama sekali.

"Saya terkilan dengan laporan Harakahdaily itu walaupun lidah rasmi parti tersebut kerapkali diingatkan supaya tidak memutarbelit fakta yang boleh menimbulkan keraguan dan perpecahan," jelasnya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Laporan Harakahdaily semalam menyebut Hasan Ali dan Nasharuddin berjumpa Nik Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar tersebut untuk meminta maaf terhadap beberapa isu sebelum ini dan menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti.

Kenyataan itu turut disahkan oleh Nik Aziz sendiri, malah beliau turut bercadang untuk membuat kenduri kecil-kecilan bagi meraikan perkara tersebut.

Tambah Nik Aziz, pertemuan tersebut dianjurkan oleh PAS Pusat dan menurutnya, "sekiranya PAS Pusat tidak mengatur pertemuan itu sekalipun, saya akan panggil dia."

"Saya berharap PAS Pusat dapat menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan rancangan berkenaan," katanya.

Malah, beliau yakin, perkara itu tidak lagi akan dijadikan isu oleh Umno ekoran ruang mereka untuk tujuan itu sudah tertutup rapat.

Sementara itu, menurut Hasan, majlis mahabbah tersebut berlangsung dengan penuh kemesraan, keakraban dan keikhlasan dan antara perkara yang disentuh termasuklah halatuju parti, persediaan PRU 13, dan perjalanan Harakah sebagai lidah rasmi parti.

"Kami telah memberikan penjelasan, pandangan dan input untuk diberikan perhatian oleh pucuk pimpinan parti demi mengukuhkan perjalanan parti dan sokongan rakyat terhadapnya," kata Hasan lagi.

Sehubungan itu, Hasan turut menzahirkan rasa terharu terhadap penghargaan yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan terhadapnya dalam meneruskan perjuangan untuk memartabatkan Islam di negara ini.

Tiada jawatan Penasihat Undang-undang Istana Kelantan

Posted: 28 Dec 2011 10:28 PM PST

KOTA BHARU 29 Dis. — Istana Kelantan hari ini menjelaskan bahawa jawatan Penasihat Undang-undang Istana Kelantan tidak wujud.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Ahmad Mahmood berkata, laporan sebuah akhbar hari ini mengenai jawatan itu yang disandang oleh Datuk Sukri Mohamed adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai.

Beliau mengulas laporan akhbar itu bahawa Penasihat Undang-undang Istana Kelantan, Datuk Sukri Mohamed, telah membuat laporan polis terhadap blog yang didakwa telah memfitnahnya terbabit dalam penipuan membabitkan jumlah jutaan ringgit.

Ahmad berkata, berdasarkan kepada Perkara 13(2)(b), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Pertama), Penasihat Undang-undang kepada Sultan Kelantan dan kerajaan Kelantan adalah individu yang sama iaitu Penasihat Undang-undang Negeri.

"Sukacita dimaklumkan bahawa tidak terdapat jawatan Penasihat Undang-undang Istana Kelantan dalam Waran Perjawatan Pejabat Sultan Kelantan," katanya. — BERNAMA

Kenyataan Media: Respons kepada Jawapan MAIWP tentang salahguna zakat Jamil Khir

Posted: 28 Dec 2011 09:43 PM PST

Berikutan kenyataan saya semalam, Muhamad Yamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa pembiayaan kos guaman Datuk Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dua lagi pegawai kanan MAIWP dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada geran kerajaan.

Dalam kenyataannya, beliau juga menyalahkan Anwar dan pihak-pihak tertentu yang 'menyalahgunakan' proses mahkamah terhadap penjawat awam yang menyebabkan dana dan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan proses mahkamah.

Pada Jun 2011 juga Jamil Khir menafikan penggunaan wang zakat untuk membayar kos guaman ini.

Malangnya Yamin tidak menyebut tentang 'pendahuluan' RM63,650 daripada wang zakat yang telah disahkan oleh Ketua Audit Negara pada November 2011.

Yamin juga harus sedar bahawa apabila seorang itu dizalimi, beliau mempunyai hak yang diiktiraf di dalam syarak dan sistem Perlembagaan kita untuk mempertahankan diri mereka.

Saya berharap Jamil Khir sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam Malaysia dapat segera tampil ke hadapan dan bukan menyorok di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu ini.

Pada Jun lalu juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya telah menegaskan sebarang salahguna wang zakat yang disalurkan selain daripada asnaf yang lapan adalah kesalahan dan dosa besar.

Sekurang-kurangnya apabila isu ini mula-mula timbul peguam Zainul Rijal Talha dan Amir terbuka dalam bertanya tentang pandangan Mufti Wilayah Persekutuan.

Persoalannya, adakah pandangan tersebut diberikan dan sekiranya ya, apakah pandangan beliau? Yang nyatanya Ketua Audit mengesahkan wang zakat dibayar kepada peguam sebelum dipulangkan hampir enam bulan kemudian pada Disember 2010.

Juga mengapa wujud dwi-standard dengan kes amil zakat di Johor Redzuan Mohd Said yang menyalahgunakan RM19,510 dan memulangkannya tetapi dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan tahun ini?

Umat Islam yang menyumbang berbilion ringgit wang zakat setiap tahun di seluruh negara tidak mahu timbul sebarang keraguan terhadap pengurusan wang zakat.

Nik Nazmi

MPSJ Digesa Segera Baiki Infrustruktur Di Subang Jaya

Posted: 28 Dec 2011 07:15 PM PST

Oleh Afeeqa Afeera

SUBANG JAYA, 29 DISEMBER : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) digesa supaya segera mengambil tindakan terhadap penambahbaikan infrastruktur di sekitar kawasan USJ yang disifatkan penduduk sebagai kurang memuaskan sejak kebelakangan ini.

Gesaan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh kepada pemberita ketika membuat lawatan dan tinjauan di sekitar Subang Jaya berhubung masalah infrastruktur yang terpaksa dihadapi penduduk.

Menurut Hannah, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk baharu-baharu ini berhubung masalah jalan berlubang terutama di USJ 1, USJ 12, USJ 15, SS14, Persiaran Tujuan, Persiaran Kewajipan serta beberapa kawasan lain.

Katanya, masalah tersebut telah dirujuk kepada pihak MPSJ dan kerja-kerja penampalan telah mula dijalankan, namun menurutnya masih terdapat banyak jalan berlubang yang tidak diselenggara lagi.

"Saya berharap MPSJ segera mengambil tindakan berhubung perkara ini kerana lubang tersebut boleh menyebabkan berlakuknya kemalangan jalan raya. Saya amat berharap MPSJ tidak mengabaikan perkara ini dan boleh memberi perhatian untuk tindakan selanjutnya," tegasnya.

Selain itu, beliau turut menggesa pihak MPSJ untuk memasang lampu jalan di antara kawasan USJ 11 sehingga USJ 13 dan sepanjang laluan utama di Persiaran Tujuan bagi tujuan keselamatan.

Di samping itu, Hannah juga menyuarakan rungutan penduduk terhadap kegagalan kontraktor yang dilantik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melakukan kerja-kerja pengutipan sampah terutama di kawasan USJ 6.

Tegasnya, beliau mencadangkan kepada pihak MPSJ untuk segera mengambil tindakan terhadap kontraktor swasta yang gagal menyelenggara kutipan sampah dengan baik dengan menyenarai hitamkan mereka daripada mendapat tender.

"Saya dimaklumkan oleh penduduk di kawasan USJ 6 di mana hampir seminggu sampah tidak dikutip sehingga berulat. Bagaimanapun, MPSJ sudah mula mengambil tindakan dan saya menggesa penduduk supaya bekerjasama dengan memberi laporan sekiranya berlaku sebarang masalah.

Kontraktor juga perlu mengutip sampah mengikut jadual yang ditetapkan.Saya menggesa MPSJ supaya menyenarai hitamkan kontraktor yang gagal menyelenggara sampah dengan baik," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk boleh memberi kerjasama dengan membuat aduan secara terus kepada MPSJ supaya mereka boleh mengambil tindakan segera.

Dalam sidang media sama, Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi memaklumkan, beberapa cadangan telah dibuat bagi menyelesaikan masalah trafik di sekitar Jalan SS 16/1 dan SS 16/2 yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Kesesakan Lalulintas pada 24 November lalu.

Katanya, antara cadangan yang dikemukakan adalah melibatkan Jalan Jengka antara Wisma Tractor dan Subang Parade dengan mengubah laluan sehala kepada dua hala dengan mengekalkan tiga fasa lampu isyarat iaitu membuat laluan "free flow" bagi membolehkan kenderaan membelok ke kiri sahaja.

"MPSJ juga akan mengubah jalan SS 16/1 dari jalan dua hala kepada jalan sehala daripada Carrefour sehingga sepanjang jalan.

Selain itu, ia turut melibatkan jalan antara SS 16/2 di antara Subang Parade dan Carrefour di mana kita akan kekalkan jalan itu sebagai dua hala tetapi akan kita akan memasang satu "island" bagi mengelakkan kenderaan membuat pusingan-U," katanya.

Tambahnya, pihak MPSJ juga turut mensyaratkan kepada pemaju Sime Darby Brunsfield Holding Sdn Bhd untuk membuat jalan raya di sekitar Jalan Sambung Antara Casa Tiara dengan Mesiniaga terlebih dahulu sebelum Jalan SS 16/1 boleh ditukar menjadi jalan sehala.

"Keseluruhan jalan sehala ini akan dibuka mulai 15 Januari 2012 dan kita akan memaklumkan kepada pemilik bangunan dan syarikat kenderaan seperti bas dan teksi untuk melaksanakan perkara berkenaan pada tarikh yang ditetapkan," katanya.

Nombor Plat SAB4H Milik Yang Di-Pertua Negeri Sabah

Posted: 28 Dec 2011 05:36 PM PST

SAB4H – Nombor keramat ini sudah dimiliki. Menurut laporan akhbar Daily Express yang bertarikh 2 Disember 2011, nombor pendaftaran kenderaan untuk Kota Kinabalu ini pernah mendapat 4 tender dengan nilai tender tertinggi mencecah RM50,000. SAB1H hingga SAB10H dikelaskan sebagai 'Golden Number', dengan SAB4H yang paling berharga.

"Kami telah menerima surat dari Istana Negeri, jadi nombor pendaftaran akan diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri," kata Pengarah JPJ Negeri, Mohd Shuhaili Mohd Taufek.

Nombor plat yang paling dikehendaki di Sabah sebelum ini telah berdaftar Labuan LD1, yang telah dilelong dengan harga RM90, 888.

Tawaran tertinggi untuk nombor plat kereta di negara ini setakat ini adalah MCA1, yang dibeli dengan harga RM300, 100 tahun lalu, mengatasi rekod sebelum ini sebanyak RM242, 000 untuk dikeluarkan Terengganu TAY1.

Sumber: http://www.dailyexpress.com.my/news.cfm?NewsID=79906

Di Selangor Pun Umno Guna Modal 'Maju'?

Posted: 28 Dec 2011 04:03 PM PST

BN akan pastikan Selangor terus maju jika kembali memerintah

SHAH ALAM 29 Dis. - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, BN akan memastikan Selangor terus maju dengan pembangunan jika kembali menawan negeri itu pada pilihan raya umum ke-13.

"Selangor dulu maju tetapi sekarang kotor," katanya semasa berucap selepas melawat ruang-ruang pameran di Karnival Sayangi Selangor di i-City, Seksyen 7, di sini yang bermula semalam hingga malam tahun baru pada Sabtu ini.

Beliau berkata, Selangor menjadi kotor selepas keputusan kerajaan negeri menamatkan kontrak pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada Alam Flora Sdn Bhd dan melantik kontraktor-kontraktornya sendiri.

Katanya, BN menyedari mengenai kelemahan itu dan akan memperbaikinya jika diberi peluang menerajui kembali Selangor.

Mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa peruntukan RM2.7 bilion untuk Selangor tahun ini daripada kerajaan Persekutuan adalah wang rakyat dan bukannya wang BN, beliau berkata, keadaan itu juga sama dengan kerajaan negeri di mana ia adalah wang rakyat dan bukannya wang Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, program "Jom Shopping" kerajaan negeri yang memberikan kupon RM100 kepada warga emas di negeri ini untuk membeli-belah belum lagi mencapai sasaran 100,000 orang sebaliknya kira-kira 20,000 orang sahaja.

Ini berbeza dengan BN yang telah menyelesaikan bantuan awal persekolahan bernilai RM100 seorang dan dijangka memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 bagi setiap isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan pada bulan hadapan, katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: