Isnin, 19 Disember 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Kesian Dengan Mahathir. Tolong Ingatkan Beliau Wahai Juak Umno

Posted: 19 Dec 2011 07:08 AM PST

'Saya nak pergi tanya Bank Dunia', Mahathir jawab PKR

PUTRAJAYA, 19 Dis – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi menafikan bahawa beliau pernah meminta bantuan kewangan daripada Bank Dunia, sama ada semasa krisis kewangan tahun 1997 atau selepas itu.

Mengulas mengenai pendedahan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli hari ini yang mengemukakan tiga dokumen yang didakwa sebagai bukti beliau pernah membuat pinjaman itu, Dr Mahathir berkata beliau perlu membuat pengesahan dengan Bank Dunia untuk melihat sama ada dokumen itu asli atau tidak.

"Saya nak tengok... Saya nak pi (pergi) tanya World Bank betul ka ini... pasal sekarang ni taulah gambar manusia dengan badan lain pun boleh buat.

"Sepanjang yang saya ingat dan saya tidak lupa, saya tidak pernah menghantar sebarang permintaan bagi sebarang wang, tidak semasa krisis kewangan atau malah selepas itu. Saya (ketika itu) baru saja kecam World Bank, lepas tu nak minta duit kat dia buat apa? Bodohlah saya," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan 26 peserta program realiti Adik-Adikku di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.
Dipetik Bernama Online, Dr Mahathir turut mempertikaikan mengapa dokumen seperti itu tiba-tiba muncul, sedangkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan beliau tidak mempunyai dokumen itu sebelum ini.

"Kenapa baru hari ni, dah berapa tahun dah, baru keluar? Pasal politiklah, pasal pilihan raya, nak burukkan orang lain," katanya.

Anwar ketika berucap pada majlis makan malam membincangkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang turut dihadiri wakil kedutaan asing baru-baru ini dilaporkan mendakwa Dr Mahathir ada menulis kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan.

Dr Mahathir kemudiannya mencabar Anwar bersumpah dengan memegang al-Quran bagi membuktikan perkara itu.

Tun Mahathir Berbohong, Dokumen Bank Dunia Buktikan Beliau Bertanggungjawab Ambil Pinjaman Bank Dunia Tahun 1999

Posted: 19 Dec 2011 01:49 AM PST

Tun Mahathir Berbohong, Dokumen Bank Dunia Buktikan Beliau Bertanggungjawab Ambil Pinjaman Bank Dunia Tahun 1999

KEADILAN merujuk kepada 3 dokumen rasmi Bank Dunia yang diedarkan kepada pihak media pada hari ini. Ketiga-tiga dokumen rasmi ini adalah bersabit dengan salah satu dari empat pinjaman dari Bank Dunia berjumlah US$704 juta yang diambil oleh Kerajaan Malaysia dalam tahun 1999.

KEADILAN mengemukakan ketiga-tiga dokumen ini sebagai bukti bahawa Tun Mahathir telah berbohong apabila beliau mengaku "menolak tawaran bantuan dari Bank Dunia (ketika itu) kerana jika Malaysia berbuat demikian, ia akan menjadi hamba kepada Bank Dunia[1]".

Ketiga-tiga dokumen rasmi Bank Dunia ini berhubung pinjaman US$60 juta ini secara jelas membuktikan perkara-perkara berikut:

PERTAMA: RUNDINGAN PINJAMAN BERLAKU SELEPAS DATO' SERI ANWAR IBRAHIM DIPENJARAKAN

Rujuk Kertas Maklumat Projek (Project Information Document) bernombor PID6999 yang bertarikh 23 Oktober 1998. Laporan ini disediakan sebagai laporan awal oleh Bank Dunia untuk menilai permohonan pinjaman sesebuah negara. Ia adalah dokumen pertama yang disediakan sebelum pun rundingan bermula.

Tarikh 23 Oktober 1998 membuktikan bahawa proses rundingan pinjaman tersebut bermula selepas Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjarakan. Ia mustahil melibatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim seperti yang selalu didakwa Tun Mahathir Mohamad dan UMNO.

KEDUA: TUN MAHATHIR MOHAMAD MENGARAHKAN KERAJAAN MEMOHON PINJAMAN BANK DUNIA

Rujuk Laporan Penilaian Permohonan Pinjaman (Project Appraisal Document) bernombor 18855-MA yang bertarikh 3 Mac 1999. Laporan ini disediakan untuk makluman pimpinan Bank Dunia dalam membuat keputusan sama ada mahu meluluskan permohonan pinjaman yang dibuat Kerajaan Malaysia.

Rujuk muka surat 29 (Lampiran 6) yang menunjukkan jadual kerja dan rundingan yang melibatkan Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia. Ia secara jelas menunjukkan bahawa agensi bertanggungjawab yang berunding dengan Bank Dunia untuk mendapatkan pinjaman ini adalah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Permohonan pertama dibuat pada 26 Julai 1998. Laporan dan rundingan berikutnya (yang hanya bermula selepas Dato' Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan) ditangani sepenuhnya oleh Unit Perancang Ekonomi, yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad.

Dokumen ini membuktikan bahawa permohonan untuk mendapatkan pinjaman dibuat oleh Tun Mahathir Mohamad melalui Unit Perancang Ekonomi.

KETIGA: PERJANJIAN DITANDANGANI PADA 31 MAC 1999 DIBAWAH PERSETUJUAN TUN MAHATHIR MOHAMAD

Rujuk Perjanjian Pinjaman antara Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia (Loan Agreement) bernombor 4452-MA yang bertarikh 31 Mac 1999.

Perjanjian ini ditandatangani dibawah arahan dan persetujuan Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

Jelas sekali bahawa Tun Mahathir Mohamad telah berbohong apabila beliau mengaku tidak mahu menerima bantuan kewangan dari institusi antarabangsa seperti Bank Dunia. Malah, pentadbiran beliau dibawah arahan dan seliaan beliau bertanggungjawab membuat permohonan mendapatkan bantuan kewangan Bank Dunia.

Oleh yang demikian, KEADILAN ingin menegaskan bahawa fitnah beliau terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam hal ini tidak lebih dari usaha beliau memadamkan rekod pentadbiran kewangan yang baik dibawah Dato' Seri Anwar Ibrahim. Malaysia berjaya mencapai lebihan belanjawan ketika beliau memegang portfolio Menteri Kewangan sehingga berjaya melangsaikan hutang dengan lebih awal dalam tahun-tahun 1993 hingga 1996, berbanding dengan defisit belanjawan yang berpanjangan sejak Tun Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan itu dalam tahun 1998.

Beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Negara dan Kumpulan Wang Amanah Pencen, bertujuan menjaga kepentingan rakyat melalui dana amanah yang dikawal ketat dan bebas dari salahguna kerajaan. Malangnya, dana ini turut disalahgunakan dan menyimpang dari niat asal penubuhannya.

Tun Mahathir sewajarnya membersihkan imej beliau di mata rakyat dengan menjawab dua isu melibatkan keluarga beliau. Adalah lebih baik beliau menerangkan mengenai penglibatan beliau dalam urusan menyelamatkan perniagaan anak beliau, Mirzan Mahathir yang melibatkan wang rakyat berjumlah RM2 billion dalam tahun 1998 daripada cuba menegakkan benang basah bahawa beliau menolak bantuan kewangan Bank Dunia.

Apatah lagi apabila Mirzan Mahathir mempunyai dana yang cukup besar kebelakangan ini untuk membeli konglomerat arak terbesar di Filipina iaitu San Miguel yang dilaporkan berharga sekitar RM2.9 bilion.

MOHD RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI

YB NIK NAZMI NIK AHMAD, PENGARAH KOMUNIKASI

WONG CHEN, PENGERUSI BIRO PERDAGANGAN KEADILAN

19 DISEMBER 2011

Mahasiswa: Turun gambar, simbolik penolakan kepimpinan Najib

Posted: 19 Dec 2011 01:37 AM PST

(Oleh: Masdar Wahid)

KUALA LUMPUR 19 Dis: Tindakan menurunkan gambar Perdana Menteri kelmarin, adalah simbolik penolakan mahasiswa kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, kata Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Ab. Razak.

Antara lain katanya, Najib menipu mahasiswa dengan slogan transformasi untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

"Malangnya, pengumuman (pinda Auku) dibuat hanya selepas mahkamah rayuan putuskan seksyen 15 (akta) itu bercanggah dengan perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,"

"Tindakan menurunkan gambar Perdana Menteri merupakan simbolik kepada hilang kepercayaan anak muda kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Razak selaku ketua kerajaan," katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur

Semalam, kira-kira 300 mahasiswa berarak ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, sebelum menuju ke bangunan Umno – Putra World Trace Centre (PWTC) bagi menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Seorang mahasiswa, Adam Adli, 22, dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dilihat menurunkan bendera yang tertera wajah Najib sebagai protes.

Mengulas lanjut, Ahmad Syukri memberi tempoh kepada Najib untuk melaksana dua transformasi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 atau bersedia mendapat tentangan hebat dari mahasiswa.

"Dua tuntutan itu ialah mansuh AUKU serta-merta dan beri autonomi penuh kepada universiti," katanya.
Sementara itu, bekas Pengerusi SMM, Shazni Munir berkata, Universiti di Malaysia akan lebih baik jika autonomi bebas diberi sepenuhnya.

"Universiti Malaya (UM) contohnya mendapat dana antara RM700 hingga RM800 juta setahun dan dengan dana itu universiti mampu menguruskan pentadbiran dengan lebih baik tanpa campur tangan politik.

"Malah kami yakin inovasi, pembangunan dan penyelidikan universiti akan berkembang lebih baik sekaligus menaikan rangking kita," kata bekas mahasiswa UM itu.
Sidang media itu turut dihadiri Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) dan sekumpulan aktivis mahasiswa.

PKR gesa kerajaan tangguh SBPA, dengar suara Cuepacs

Posted: 18 Dec 2011 06:58 PM PST

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi mengelakkan kekalutan dan rasa tidak puas hati yang berterusan di kalangan kakitangan awam.

Timbalan Ketua Penerangan AMK Najwan Halimi berkata, pihaknya berharap agar pihak kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan SBPA dan berunding dengan Cuepacs serta menyelesaikan isu-isu yang menjadi pertikaian serta mencetuskan kekeliruan di kalangan penjawat awam.

"Kajian semula terhadap skim ini adalah perlu sekiranya ia bersifat tidak adil dan menindas. AMK juga menuntut supaya pihak JPA tampil bersikap telus dalam hal ini demi kepentingan hampir 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, AMK terkesan dengan perkembangan melibatkan sektor perkhidmatan awam negara sebagaimana yang dilaporkan oleh media semalam berkaitan bantahan oleh Cuepacs terhadap pelaksanaan skim SBPA.

Najwan berkata, menurut kenyataan Timbalan Presiden II Cuepacs Zainal Ismail, pelaksanaan SBPA yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari ini dilihat mencetuskan rasa tidak senang di semua peringkat sektor perkhidmatan awam terutamanya di kalangan Kumpulan Pelaksana.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman mahu kerajaan menangguhkan SBPA dan mengadakan perundingan kajian semula skim tersebut.

"AMK berpandangan bahawa isu ketidakseimbangan pelarasan gaji sebagaimana yang didedahkan oleh Cuepacs sememangnya sesuatu yang memeranjatkan.

"Ini jelas bercanggah dengan pengumuman oleh YAB Perdana Menteri sewaktu pembentangan Belanjawan 2012 yang menyatakan bahawa kenaikan gaji bagi penjawat awam adalah antara tujuh hingga 13 peratus namun apa yang berlaku adalah wujud dakwaan bahawa kenaikan gaji bagi kebanyakan penjawat awam khususnya Kumpulan Pelaksana adalah kurang daripada tujuh peratus," katanya lagi,

Justeru kata beliau, AMK juga mengesan wujudnya kekalutan dalam aspek tempoh pemberian opsyen kepada penjawat awam dalam memilih samada untuk menerima SBPA atau kekal di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

"Mengapakah kerajaan perlu tergesa-gesa dalam menguatkuasakan pelaksanaan skim SBPA ini seolah-olah ada 'gula-gula pilihan raya' di sebaliknya?" katanya.

Dalam konteks ini, kata beliau, sektor perkhidmatan awam sebagai nadi utama pembangunan negara sewajarnya dilayan dengan adil tanpa mengira perbezaan pangkat dan kumpulan sama ada dari Kumpulan Pelaksana, Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau dari Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

"Justeru, AMK berharap agar pihak kerajaan menerusi JPA menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan SBPA serta berunding dengan pihak Cuepacs dan menyelesaikan isu-isu berbangkit yang menjadi pertikaian serta mencetuskan kekeliruan di kalangan penjawat awam," katanya.

Tiada ulasan: