Debat NFC antara Rafizi-Khairy tetap jadi Posted: 06 Dec 2011 06:55 AM PST (Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR 6 Dis : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli akan bertemu dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bagi membincangkan tarikh yang sesuai untuk meneruskan acara debat Skandal National Feedlot Corporation (NFC).
Rafizi ketika waktu dihubungi berkata beliau telah menerima surat melalui email daripada wakil Khairy yang bersetuju untuk berdebat dan ingin bertemu bagi menetapkan tarikh dan masa yang dipersetujui bersama. "Khairy mengatakan tarikh tersebut (12 Disember) tidak sesuai kerana dia dah ada program lain dan saya akan bincang di peringkat KEADILAN serta berikan maklumbalas rasmi esok."
"Dia dah bagi respon secara rasmi, dan walau apapun kita akan pastikan debat ini akan jadi," katanya pada KeadilanDaily.
18 November lalu, Rafizi telah menghantar surat undangan rasmi kepada Khairy untuk berdebat berhubung dakwaan skandal projek lembu NFC.
Beliau turut mencadangkan agar debat tersebut diadakan pada 12 Disember namun perkara lain seperti tempat dan format debat dipersetujui bersama setelah tarikh debat dimuktamad.
Meskipun isu itu membabitkan Datuk Seri Shahrizat Jalil, sebaliknya Khairy kelihatan ghairah membela Ketua Wanita Umno yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.
Khairy ada memaklumkan kesediaan bertemu Rafizi tetapi memberi alasan tidak mempunyai masa berikutan terikat dengan acara Perhimpunan Agung Umno akhir bulan ini.
TV Selangor (TVS) turut menawarkan kesediaan untuk menyiarkan siaran secara langsung menerusi sesawangnya sekiranya program debat. Ketua Pengarangnya, Sheridan Mahavera berkata, TVS tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyiarkan siaran secara langsung memandangkan kebanyakan saluran tv milik kerajaan tidak berminat untuk mengadakannya.
Skandal NFC mencetuskan konterversi kepada negara apabila KEADILAN mendedahkan banyak penyalahgunaan wang dana RM250 terhadap projek lembu tersebut.
NFC merupakan syarikat menternak lembu kebangsaan yang dimiliki Shahrizat yang didakwa mengalami kerugian dalam operasinya namun pada masa sama NFC didedahkan membeli dua buah kondominum mewah di Bangsar, membiayai percutian keluarga Shahrizat ke luar negara, dan pakej umrah.
Terbaru, NFC didedahkan membeli kereta Mercedes berharga RM534,622 serta dua bidang tanah berharga RM3,363,507 di Putrajaya. |
Shahrizat kini beban buat Umno – Saifuddin Nasution Posted: 05 Dec 2011 11:40 PM PST (Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR 6 Disember: Pimpinan-pimpinan Umno semakin hari semakin merasakan beban kes National Feedlot Corporation (NFC) yang membabitkan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai beban kepada parti itu.
Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata ini kerana skandal projek lembu yang mendapat dana RM250 juta ini tidak dapat disembunyikan lagi ekoran pendedahan KEADILAN yang terus menerus.
"Gesaan untuk Shahrizat letak jawatan semakin kuat kerana isu ini tidak boleh diselamatkan lagi. Oleh itu Shahrizat perlu letak jawatan kerana tidak syak lagi shahrizat kini adalah beban Umno."
"Integriti Shahrizat sebagai menteri juga turut terpalit dan beliau perlu segera meletakkan jawatan"
Hari ini Akhbar Berita Harian melaporkan Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad membuat kenyataan bahawa pemimpin parti terutamanya Umno perlu melepaskan jawatan jika tindakan itu mendatangkan faedah kepada parti.
Mahathir berkata demikian ketika mengulas desakan pemimpin Umno dan Pakatan Rakyat yang meminta agar Ketua Wanita Umno itu melepaskan jawatannya sebagai menteri ekoran isu Skandal NFC tersebut.
"Terpulanglah kepada dia(Shahrizat), kalau dia patut undur dia undur. Kita minta mereka yang berpendapat dengan pengunduran itu mendatangkan faedah pada parti,mereka harus undur," kata Mahathir dipetik dari Sinar Harian.
Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin pula berkata sudah tiba masanya Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat itu berundur ekoran pelbagai desakan bukan saja dari Pakatan Rakyat malah dari Umno sendiri.
"Sebenarnya ramai pemimpin tertinggi Umno melihat Shahrizat sebagai liabiliti kerana skandal NFC.Apa tunggu lagi? Kalau betul-betul Shahrizat sebagai menteri yang bermaruah, dia perlu segera letak jawatan dan akan menjadi model kepada pimpinan umno lain yang sebenarnya terlibat dalam korupsi yang lebih besar."
Sebelum ini Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin pernah mendesak Shahrizat supaya berundur dari jawatannya. Akhbar Sinar Harian juga pernah memetik Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabsee yang membuat kenyataan bahawa Shahrizat tidak perlu menunggu lampu hijau untuk berundur ataupun didesak Perdana Menteri untuk berbuat demikian.
Skandal NFC mencetuskan konterversi kepada negara apabila KEADILAN mendedahkan banyak penyalahgunaan wang dana RM250 terhadap projek lembu tersebut.
NFC merupakan syarikat menternak lembu kebangsaan yang dimiliki Shahrizat yang didakwa mengalami kerugian dalam operasinya namun pada masa sama NFC didedahkan membeli dua buah kondominum mewah di Bangsar, membiayai percutian keluarga Shahrizat ke luar negara, dan pakej umrah.
Terbaru, NFC didedahkan membeli kereta Mercedes berharga RM534,622 serta dua bidang tanah berharga RM3,363,507 di Putrajaya.
|
Mengapa saya berarak tempoh hari Posted: 05 Dec 2011 06:48 PM PST Sinar Harian (Digunakan dengan kebenaran)
oleh SYAHREDZAN JOHAN
Selasa, 29 November 2011 tempoh hari, saya bersama-sama dengan lebih kurang 1,000 peguam dan orang awam berarak ke Parlimen. Perarakan tersebut dikenali sebagai Walk For Freedom untuk membantah Rang Undang-undang Perhimpunan Awam 2011 yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat (PA2011).
Perarakan itu bermula dari pintu masuk Kelab Taman Perdana Diraja dan berakhir di Parlimen. Perarakan itu dipelopori Majlis Peguam dan diketuai Presiden Badan Peguam, saudara Lim Chee Wee. Ketika di Parlimen, Majlis Peguam menyerahkan memorandum dan rang undang-undang alternatif yang dirangka oleh Majlis Peguam kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk V K Liew.
Kausa kami adalah PA2011. Pada kami, PA2011 penuh dengan cacat dan cela. Ia tidak dirangka dengan teliti dan ada begitu banyak percanggahan dan kekhilafan. Ia juga mempunyai peruntukan yang lebih regresif berbanding undang-undang sedia ada.
Antara kelemahan PA2011 adalah berkenaan dengan 'protes jalanan' yang tidak dibenarkan sama sekali. Definisi 'protes jalanan' begitu luas sehinggakan apa-apa jenis perhimpunan bergerak atau perarakan boleh diklasifikasikan sebagai 'protes jalanan'.
Di samping itu, terdapat juga larangan yang tidak masuk akal. Contohnya, PA2011 memperuntukkan beberapa tempat larangan berhimpun, antaranya, sekolah dan tempat ibadat. Seseorang itu melakukan kesalahan sekiranya dia menganjurkan atau menyertai perhimpunan di tempat larangan.
Oleh itu, mengikut PA2011, adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang itu berhimpun di sekolah. Bagaimana pula dengan acara seperti hari kantin? Di bawah PA2011 kenduri di pekarangan masjid juga dilarang.
PA2011 juga memberikan polis kuasa yang luas untuk mengenakan sekatan dan syarat ke atas mana-mana perhimpunan yang dikenakan. Dikhuatiri, sekiranya sekatan dan syarat ini tidak diperincikan, ia boleh disalahgunakan oleh pihak berkuasa.
Atas sebab-sebab ini, dan sebab-sebab lain, Majlis Peguam menentang PA2011. Ini bukan tentang politik, bukan tentang barisan atau pakatan apa-apa. Ini tentang sebuah rang-rang undang yang begitu cacat dan dipantaskan kelulusannya.
Harapan kami mudah sebenarnya. Jika tidak mahu menarik balik PA2011, sekurang-kurangnya rujuk kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen. Biar jawatankuasa ini perhalusi dan periksa peruntukan-peruntukan rang undang-undang ini satu persatu dan berunding dengan masyarakat awam. Mengapa perlu bergegas? Kita semua inginkan undang-undang yang dapat menjamin hak berhimpun, dan memberi makna kepada ucapan Perdana Menteri di ambang Hari Malaysia.
Ramai yang bertanya, mengapa peguam perlu berarak? Bukankah ia menyusahkan orang ramai? Tidak ada cara lain untuk menunjukkan bantahan? Mengapa Majlis Peguam perlu 'berpolitik'?
Majlis Peguam telah cuba berunding. Tetapi menemui jalan buntu. Perarakan itu adalah jalan terakhir yang simbolik supaya kami dapat dipertimbangkan. Lebih-lebih lagi apabila dilaporkan bahawa PA2011 akan diluluskan oleh Parlimen pada hari yang sama.
Badan peguam dan Majlis Peguam tidak berminat dengan politik. Kami bukan anti-kerajaan mahupun pro-pembangkang seperti sering dituduh. Kami pro-keadilan (justice) dan mendukung Perlembagaan. PA2011 adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip ini. Atas dasar inilah saya berarak pada hari itu.
Malangnya, walaupun dengan perarakan tersebut Dewan Rakyat telah meluluskan PA2011 tanpa undi bantahan. Ahli Parlimen pembangkang telah bermain politik dengan keluar Dewan.
Maka pada hari itu, kesemua ahli Dewan Rakyat pada saya telah mengecewakan rakyat. Selepas peguam dan rakyat berarak, rang undang-undang tersebut tetap diluluskan oleh ahli Dewan Rakyat.
*Penulis, peguam muda yang mengamal undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. |
Pakatan Rakyat Selangor Harus Menambah Kerusi Dalam Pilihanraya ke-13 Posted: 05 Dec 2011 06:00 PM PST Oleh Afix Redzuan
SHAH ALAM, 6 DISEMBER : Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Pakatan Rakyat Selangor (Pakatan) supaya menambah kerusi Dun dan Parlimen selain mengukuhkan kedudukan di Selangor.
Laungan ini dilontarkan di hadapan hampir 5,000 hadirin dalam Majlis Rapat Rakyat semalam sebagai isyarat jelas bahawa Pakatan mahu terus membawa perubahan dan kesejahteraan untuk rakyat Selangor selain menawan Putrajaya.
Katanya, Pakatan mempunyai hala tuju yang jelas untuk membawa negara ke arah yang lebih mantap bersandarkan kepada Buku Jingga yang sudah terbukti keberkesanannya sejak dilancarkan.
"Sekarang tanggungjawab di Selangor bukan setakat mempertahankan, Selangor bertanggungjawab menambah kerusi negeri dan Parlimen," katanya.
Jelas beliau, perjuangan Pakatan bukan hanya bersandarkan kepada slogan tetapi memperjelaskan kepada rakyat apa program yang ingin dilakukan apabila ke Putrajaya.
Pakatan turut komited untuk mengangkat semula martabat Bahasa Malaysia yang penguasaannya dilihat semakin hambar. Beliau mahu jadikan Bahasa Malaysia bahasa yang bukan untuk orang Melayu sahaja bahkan untuk seluruh rakyat Malaysia.
"Saya nak ulang dihadapan pemimpin Pas, PKR dan DAP kita ambil alih Putrajaya, kedudukan Bahasa Melayu akan diangkat dan dimartabatkan yang tidak pernah kita saksikan sejak kita Merdeka," laung Anwar.
Selain itu katanya, tatakelola yang baik oleh pimpinan negeri dan gerak kerja tersusun tanpa korupsi adalah kunci kejayaan pentadbiran Selangor.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar bekerja keras sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan pada Pilihanraya akan datang.
"(Perdana Menteri) Datuk Najib (Razak) kata kita akan rampas Selangor, (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kata kita akan tawan Selangor. Saya nak jawab kamu (Umno) boleh impikan untuk menawan Selangor, kami Insya-Allah akan sampai ke Putrajaya," katanya.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan