Isnin, 26 Disember 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


NFC paku terakhir keranda Umno

Posted: 25 Dec 2011 08:31 PM PST

Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, penulis minum bersama beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di kafe. Sedang kami berbual-bual, datang seorang Timbalan Menteri, sambil membawa secawan kopi, duduk bersama-sama dengan kami semeja.

Tiada lain yang menjadi topik perbualan selain isu Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan skandal syarikat NFC milik anggota keluarganya.

Dengan nada merungut Timbalan Menteri itu berkata, sepatutnya Shahrizat sudah meletakkan jawatan sebagai Menteri dan Ketua Pergerakan Wanita Umno. Dalam erti kata lain, beliau mengatakan Shahrizat merupakan liabiliti yang akan membebankan Umno dalam jangka panjang.


Memang pun, soal Shahrizat sudah beberapa kali dibangkitkan wakil rakyat Umno-BN. Dengan nada lantang, mereka mendesak Shahrizat melepaskan jawatan. Gesaan itu dibuat berulang kali tetapi kerajaan dan parti pimpinan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, diam membisu.

Ketua Umno Cheras, Dato' Syed Ali al-Habshee sudah tidak tahan sehingga terpacul perkataan 'biawak hidup' dari mulutnya. Lantas penyokong Shahrizat yang berang, terus menyerang Syed Ali dan mempersoalkan kepada siapa ungkapan biawak hidup itu dilontarkan.

Berbalik kepada sembang-sembang kami dengan Timbalan Menteri tadi, penulis bertanya kepada beliau, apakah sewaktu ahli politik menjawat jawatan awam seperti PM, TPM, Menteri dan Timbalan Menteri yang mempunyai kuasa serta kedudukan, tidak diberi panduan oleh SPRM.

Panduan ini penting agar penjawat jawatan utama dalam kerajaan ini, boleh menghindarkan diri mereka daripada salahguna kuasa dan rasuah.

Timbalan Menteri itu tidak terus menjawab soalan penulis. Beliau mengambil pen yang tersemat dibajunya, lalu melukiskan garis empat berbentuk palang t. Beliau kelihatan serius sambil menulis. Kami semua terpaku dan memerhatikan sahaja tingkah lakunya.

Di sebelah kanan atas garisan t tersebut, ditulis 'ibu bapa'. Di sebelah kiri atas, ditulis 'suami isteri'. Pada ruang kanan di bawah ditulis 'adik-beradik', manakala di ruang kiri bawah ditulis 'anak beranak'.

Kami masih tidak memahami apa maksud beliau. Lalu Timbalan Menteri itu menghela nafasnya dengan agak panjang, lalu berbicara:

"Saya tanyakan kepada pegawai SPRM, jika seseorang penjawat awam mahu mengelakkan tuduhan rasuah dalam pemberian tender atau projek, siapakah golongan yang harus dielakkan?"

"Pegawai SPRM itu melukiskan kepada saya, lukisan yang saya buatkan kepada you all. Elak empat golongan ini, sudah pasti akan selamat," katanya ringkas.

"Maksud YB, dalam kes NFC Shahrizat, kalau begini aturan SPRM, beliau sudah pasti terbabit dalam rasuah?" soalan pantas penulis kepada Timbalan Menteri tersebut.

"Well...saya tidak boleh cakap lebih-lebih, ini terpulang kepada SPRM," kata beliau sambil menghirup tegukan terakhir kopinya dan terus berlalu pergi.

Kata-kata beliau tadi walaupun ringkas, tetapi cukup jelas. Kebetulan ada cakap sosek-sosek di kalangan wakil rakyat Umno, supaya mereka jangan membela Shahrizat tatkala isu NFC dibangkit Pakatan Rakyat di dalam sidang Dewan.

"Tadi aku berucap nak lawan pembangkang, tapi Menteri tu tegur aku, dia kata buat apa engkau bela Sharizat. Dia dapat duit, engkau dapat tahi," kata seorang MP kepada beberapa orang rakannya sambil menyedut rokok di meja luar kafe.

Memang benar, Umno pun pening hendak membela Shahrizat dan keluarganya. Gelagat Shahrizat sewaktu Perhimpunan Agung Umno yang lepas menyebabkan ramai perwakilan Umno yang melugai.

Tetapi mereka terpaksa menyokong kerana seluruh persidangan sudah diorkestrakan untuk memaki hamun Pakatan Rakyat.

Umno sebenarnya tidak ada pilihan lain. Jika mereka mencantas Shahrizat kerana terpalit dengan rasuah, orang yang memberikan tender RM250 juta itu adalah orang Umno sendiri.

Jika mereka tidak mencantas Shahrizat, seluruh parti Umno akan dituduh parti perasuah yang melindungi perasuah dan mengamalkan dasar korupsi, kronisme dan nepostime.

Sekarang pun Umno sudah tidak tahan. Tahi-tahi lembu NFC sudah terpalit banyak ke muka Umno, sehingga hari ini rakyat sudah mula beranggapan, seluruh pemimpin dan perwakilan Umno 'bagaikan lembu yang dicucuk hidung' sementara menunggu untuk disembelih sahaja.

Paling mereka tidak tahan, ada kalangan pemimpin Umno yang merungut kerana mereka digelar 'bodoh macam lembu' kerana membela kemewahan keluarga Shahrizat tanpa usul periksa.

Bagi kita Pakatan Rakyat, kita menjalankan tugas mendedahkan penyelewengan pemimpin Umno, yang asasnya amat kuat, terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara.

Jika Najib tidak mahu mengambil tindakan terhadap Shahrizat pun tidak mengapa. Jika pun selepas ini, mungkin ada yang membuat perisytiharan bahawa mereka menolak laporan audit dan membebaskan Shahrizat, pun tidak mengapa.

Ingatlah bahawa rakyat kita semakin celik dan bijak. Umno boleh simpan Shahrizat, Umno boleh tutup kes NFC, tetapi Umno tidak boleh menghalang Shahrizat dan NFC menjadi antara paku-paku besar yang akan dipala dengan tukul besi bagi melengkapkan pembinaan keranda Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Adios Umno-BN!

rashidi@harakah.net.my

Lagi Gay Melayu Kahwin Di Greece

Posted: 25 Dec 2011 07:00 PM PST

Seorang lagi gay Melayu didakwa berkahwin dengan gay Mat Saleh, lebih dahulu sebelum seorang lelaki Melayu yang dilaporkan berkahwin sesama jantina di Dublin, baru-baru ini.

Kali ini, lelaki berkenaan dipercayai melangsungkan perkahwinan songsang dan terlarang itu di Greece.

Lebih 'menarik', lelaki terbabit juga mengenakan pakaian Melayu lengkap bersongkok dan bersamping (gambar) seperti gay Melayu yang berkahwin di Dublin – bertanjak dan bersamping.

Antara blog awal yang menyiarkan artikel dan gambar yang didakwa membabitkan pelajar Malaysia di Greece ialah sozcyili.blogspot.com dan ar-rifke.com.Beberapa jam lalu, beberapa blog tempatan dikesan menyiarkan artikel dan gambar gay Melayu itu, juga dikatakan pelajar, berkahwin di Greece.


Bagaimanapun tiada maklumat lengkap yang dapat mengesahkan perkara itu. Kedua-dua blog berkenaan menyatakan gambar terbabit diperolehi dari sebuah blog lain.

Menurut sozcyili.blogspot.com, ia memperolehi maklumat mengenai perkahwinan gay Melayu di Greece itu dari sebuah blog yang diberikan sahabatnya ketika melayari Facebook.

Bagaimanapun blog itu tidak menyebut dan memberikan link kepada blog yang dimaksudkannya itu.

"Dan ketika melayari satu blog yang diberikan sahabat fb (Facebook) tadi, rupanya baru tahu bahawa arif alfian bukanlah lelaki Melayu Islam yang pertama kahwin dengan lelaki Mat Saleh di luar negara. Lihat bawah neh (ini)," catat sozcyili.blogspot.com merujuk kepada gambar seorang lelaki berpakaian lengkap bersongkok dan bersamping berpimpingan tangan dengan seorang lelaki Inggeris.

Gambar berkenaan, menurutnya, diperolehi hasil carian di Google oleh pengendali blog yang menjadi sumber maklumat itu.

Sementara itu, seperti ditulis sozcyili.blogspot.com, Ar-rifke.com mencatatkan:

"Jika yang neh (ini) terbukti benar maka ternyata arif (gay pertama yang baru-baru ini dilaporkan berkahwin dengan lelaki Inggeris) adalah yang kedua, bukan yang pertama," catat ar-rifke.com.

Ar-rifke.com memetik sumber berita berkenaan dari sozcyili.blogspot.com.

Siapa pula selepas Khir Toyo

Posted: 25 Dec 2011 04:27 PM PST

KUALA LUMPUR, 26 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) melihat keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas Dr Khir Toyo atas tuduhan rasuah membuktikan telahan rakyat selama ini bahawa benarlah beliau terlibat dengan rasuah semasa menjadi Menteri Besar Selangor.

Naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, tiada yang memeranjatkan dalam kes Dr Khir Toyo kerana ramai telah menjangkakan lebih awal apakah nasib yang akan diterima beliau.

"Kes beliau juga adalah berat dan sukar dinafikan sehingga mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahannya," ujarnya kepada Harakahdaily.


Bagi DPP Malaysia, katanya isu rasuah melibatkan pemimpin besar negara bukanlah suatu isu yang mengejutkan kerana telah acapkali kes rasuah dibicarakan di mahkamah terhadap pemimpin negara sehingga timbul persepsi rakyat, bahawa pemimpin negara hari ini adalah sinonim dengan kes-kes rasuah dan penyelewengan kuasa.

Menurutnya, apa yang membimbangkan adalah akan berlakunya krisis kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan negara, lama-kelamaan ia akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi dan pilihanraya di negara ini.

Katanya, rakyat akan merasa muak untuk memilih dan mengangkat pemimpin negara yang akhirnya ditangkap kerana pelbagai kesalahan rasuah.

Beliau menambah, pemimpin negara dilihat seperti berjuang untuk kepentingan diri mereka sendiri, bukan untuk rakyat yang dipimpinnya.

"Dalam hal ini, DPP Malaysia menegaskan supaya pemimpin negara hari ini menjadikan kes Datuk Seri Dr Khir Toyo sebagai teladan bahawa amanah kepemimpinan perlu dijaga dan ditunaikan dengan baik," ujarnya.

Katanya, kepemimpinan negara bukan suatu kesempatan untuk meraih sebanyak mungkin harta rakyat dan negara demi kepentingan diri sendiri.

Beliau berkata, DPP Malaysia suka mengingatkan kepada pemimpin-pemimpin negara agar menjaga diri mereka dari terpalit dengan apa juga skandal rasuah yang memalukan negara.

Mutakhir ini, tambahnya telah ada desas-desus beberapa skandal besar yang melibatkan projek besar negara yang sedang dibicarakan rakyat yang mana pelbagai pembongkaran telah dibuat dan satu persatu skandal didedahkan.

Untuk itu, ujarnya DPP Malaysia meminta mana-mana pemimpin yang dikaitkan dengan skandal rasuah agar segera berundur sebelum mereka didakwa oleh mahkamah rakyat dalam pilihanraya umum ke 13 dan mahkamah sebenar yang akan menghukum mereka nanti.

Katanya, kini rakyat sudah mula mencongak-congak kes siapa pula yang akan tersangkut selepas ini untuk dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman.

"Mungkinkah ada lagi pemimpin negara akan menyusul Datuk Seri Dr Khir Toyo selepas ini?" tanya beliau.

Umno Sendiri Tak Percaya Umno

Posted: 25 Dec 2011 06:59 AM PST

SEHARI sebelum menulis kolum ini, saya telah menemui beberapa orang rakan penulis. Dua daripadanya adalah penulis senior dan secara konsisten menyokong Umno sejak awal 1980-an lagi. Seorang lagi adalah kolumnis sebuah akhbar harian yang sering memuji dan memuja pemimpin Umno dan mengkritik parti pembangkang.

Walaupun kami dari kem politik berbeza, persahabatan tetap persahabatan. Kita boleh bertegang urat mengatakan itu benar dan ini salah. Namun semua itu tidaklah sampai ke peringkat menjadi emosional hanya semata-mata untuk memenangi debat.

Pada pertemuan itu, melainkan seorang penulis yang pengkhususannya lebih kepada persoalan sosial dan bersifat non-partisan, hanya saya seorang sahaja yang berada di pihak pembangkang.


Walaupun mereka yang lainnya masih jitu memperjuangkan Umno namun semuanya bersetuju betapa kuasa pemerintahan yang selama ini dinikmati oleh parti tersebut kini sedang menempuhi hari-hari terakhirnya.

"Tapi Dr Mahathir confident kalau pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat, katakan lepas sambutan perayaan Tahun Baru Cina, BN ada peluang untuk setidaktidaknya mengekalkan jumlah wakil rakyatnya baik di Parlimen ataupun di Dun tapi banyak juga pemimpin Umno mengatakan kalau pilihan raya diadakan dalam masa terdekat BN dan Umno akan bungkus," kata saya sekadar memancing pendapat mereka yang cukup rapat dengan pucuk pimpinan Umno serta sering mendapat laporanlaporan tentang sokongan pengundi pra-pilihan raya dari pihak-pihak perisikan tertentu.

"Alah ... biasalah," jawab penulis paling senior dan paling prolifik dalam menghasilkan buku yang sentiasa mengangkat Umno dan pemimpinnya di persada kayangan. "Itu mainan psikologi. Tapi aku sendiri ingat, kalau pilihan raya sekarang atau tahun depan pun, berat. Jangan kata nak menang dua pertiga majoriti (di Parlimen), kalau boleh maintain status quo pun sudah baik."

"What makes you say that?" penulis sosial yang berijazah PhD itu mencelah.

"Kau tengoklah sendiri. Kau ni bukannya orang Umno, orang PAS lagilah tidak. Kau rasa kau masih nak percaya pemimpin Umno boleh memimpin orang Melayu dan rakyat Malaysia. Pemimpin paling besar pun tak boleh nak memimpin bini, macam mana nak memimpin parti dan negara," jawab penulis tersebut.

"Aku pun rasa macam tu jugak," kata kolumnis sebuah akhbar harian. "Memanglah bila tulis aku kena tulis baik-baik pasal Umno. Tapi realitinya, semua orang tahu. Orang Melayu semakin hilang kepercayaan pada Umno. Betul tak Doc?"

Dia menghadapkan arah penglihatannya ke wajah penulis sosial.

Dr Hafiz (bukan nama sebenar) menyudahkan hirupan kopinya dan meletakkan kembali cawan yang masih tiga-suku penuh kembali ke dalam piring. Sambil kembali menyandarkan dirinya dia menawarkan pendapat dalam susuan kata-kata seolah dia sedang menulis, "Ya. Sepatutnya setelah menerima keputusan Pilihan Raya Umum 2008 dulu, pemimpin Umno di semua peringkat masing-masing sudah muhasabah, demi parti, demi negara dan demi orang Melayu.

"Tapi apa yang saya lihat, pemimpin kanan Umno lebih menjuruskan kepada soal bagaimana menyelamatkan kedudukan masing-masing.

Saya tak mahulah mengatakan benar atau tidak, tetapi perihal pemimpin Umno, mereka yang rapat dengan Umno serta kerajaan yang diperintah oleh Umno dikaitkan dengan pelbagai rasuah, penyalahgunaan kuasa, tidak berkesan dalam membuat dasar, gagal mentadbir-urus dengan sewajarnya, dan segala kenyataan bebal yang dibuat oleh pemimpin Umno termasuk menteri dan sebagainya, tidak pernah diberikan perhatian serius. Apa yang rakyat dapat lihat ialah, all talks but no actions (cakap-cakap sahaja tanpa tindakan)."

"Patutnya, akhbar Utusan Malaysia mainkan peranan untuk membantu Umno menukarkan persepsi rakyat terhadap parti," kata penulis yang menjadi kolumnis akhbar harian.

"Utusan cuma nak cari kuatkan sokongan rakyat pada Umno," jelas penulis veteran.

Di penghujung perbualan masing-masing bersetuju betapa akhbar seperti Utusan Malaysia bukan sahaja tidak membantu Umno untuk memperbetulkan persepsi rakyat, tetapi tidak juga membantu untuk cuba memperkuatkan Umno.

Pembaca Utusan Malaysia adalah mereka yang memang penyokong Umno.

"Macam mana nak cari penyokong baru kalau yang baca bukan sahaja orang yang sama tapi sudah ada orang yang sama berpindah sokongan kepada PAS dan lain-lain parti," jelas saya pula. "Makin lama pembaca Utusan makin merosot. Bila pembaca Utusan makin kurang, maka penyokong Umno juga berkurangan."

"Betul tu. Kalau macam ini, jangan mimpilah BN boleh menang Pilihan Raya Umum ke-13."

Begitulah inti pati perbualan pada pertemuan beberapa orang penulis pada petang itu. Rumusannya, seperti juga yang dirumuskan oleh pelbagai pihak, BN akan kecundang.

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT

Mustafa Tak Mahu Jadi Bodoh Sombong Macam Hasan Ali

Posted: 25 Dec 2011 03:45 AM PST

Mustafa 'kunci mulut' anggap isu Hasan selesai

KUALA LUMPUR, 25 Dis: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau tidak akan lagi membuat sebarang ulasan berhubung exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Katanya, beliau akan mengambil pendekatan 'kunci mulut', sesuai dengan janjinya sebelum ini bahawa jika Hasan tidak lagi menyerang PAS, maka dia juga akan berhenti mengulas tentang bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu.

"Seperti saya janji sebelum ini bila dia (Hasan Ali) berhenti serang PAS maka saya akan tutup mulut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaru Hasan pada sidang media di kediamannya semalam.

Pada sidang media tersebut, Hasan menyatakan permohonan maafnya kepada pimpinan dan ahli PAS kerana mengkritik konsep Negara Berkebajikan yang telahpun dipersetujui dalam Muktamar parti itu Jun lalu.

Hasan juga sebelum ini menyifatkan PAS tergelincir dari perjuangan Negara Islammya apabila memperkenalkan konseb Negara Berkebajikan.

Menyesali pandangannya itu sebagai 'keterlanjuran kata', Hasan juga semalam bertindak menarik balik kritikan tersebut.

"Bagi saya dia dah mintak maaf sungguh-sungguh tu. Pasal dia serang peribadi saya takpe lah saya dah maafkan dia," tegas Mustafa.

Pendekatan Mustafa itu diyakini mampu menutup episod yang dilihat 'pertembungan dalam parti' yang menjadi topik perbincangan hangat sejak dua minggu lalu.

Ditanya jika Hasan tidak mahu berhenti dan masih mahu mengulas isu parti, Mustafa berkata, itu terserah kepada Hasan.

"Kalau dia nak bercakap lagi, biar la dia bercakap sorang, saya tak mahu layan," katanya.

Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat sebelum ini memutuskan akan memanggil Hasan memberi penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.

Selain Hasan, dua lagi yang akan dipanggil adalah bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungip.

Tiada ulasan: