Isnin, 26 Disember 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Banjir Di Rompin & Johor Semakin Buruk

Posted: 26 Dec 2011 12:30 AM PST

Banjir Di Rompin Semakin Buruk, Lebih 300 Lagi Dipindahkan

KUANTAN: Keadaan banjir di daerah Rompin semakin buruk dengan lebih 300 mangsa lagi dipindahkan malam tadi, menjadikan mereka yang berada di pusat pemindahan meningkat kepada 946 orang setakat 9 pagi ini, demikian lapor Bernama.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata sebuah lagi pusat pemindahan dibuka malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada lima buah.

Kesemua mangsa adalah daripada 214 keluarga dari 13 buah kampung, katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Kampung Mentelong dan Kampung Denai yang terputus hubungan darat selepas jalannya dinaiki air tengah hari semalam, kini boleh dilalui semua kenderaan, katanya.

Di Johor pula, mangsa banjir di negeri itu semakin meningkat apabila hampir 300 orang lagi dipindahkan ke pusat pemindahan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,437 orang pagi ini berbanding 1,143 orang malam tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), setakat 10 pagi ini, kesemua mangsa ditempatkan di 25 pusat pemindahan dengan 12 di Segamat, tujuh di Mersing dan enam di Batu Pahat.

Jalan tanah merah menuju ke Kampung Orang Asli Peta di Taman Negara Endau Rompin dilaporkan masih terputus hubungan dan hanya boleh dihubungi melalui bot dan pengangkutan udara.

Menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua batang sungai masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Bukit Kepong mencatatkan aras 3.34 meter dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, 9.47 meter.

Beberapa batang sungai lagi melebihi paras amaran iaitu Sungai Bekok di Empangan Bekok, Batu Pahat (17.04 meter), Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat (19.92 meter), Sungai Simpang Kiri di Seri Medan, Batu Pahat (2.19 meter), Sungai Senggarang, Batu Pahat (3.28 meter) dan Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat (5.60 meter).


Bakal Pengantin Dicekup Berdua-duaan Di Hotel

Posted: 25 Dec 2011 11:42 PM PST

LEDANG – "Saya tak nak perkara ini heboh dan kami akan kahwin bulan depan."

Itu permintaan seorang lelaki apabila dicekup berkhalwat bersama tunangnya oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) dalam sebuah hotel di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 27 tahun dan pasangannya berusia 24 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, ketika sedang berdua-duaan dalam bilik di sebuah hotel.

Lelaki itu mendakwa, dia berada di bilik hotel tersebut sekadar untuk menemani tunangnya dan akan pulang ke rumah ibunya di Sagil sebaik sahaja hujan berhenti.

"Tunang saya tiba dari Masai kira-kira jam 5.30 petang dan dia datang ke sini kerana mahu menghadiri majlis pertunangan adik perempuan saya hari ini (semalam).

"Saya bawa dia ke hotel ini kerana dia tidak mahu tidur di rumah ibu saya disebabkan malu dengan ahli keluarga yang lain," katanya ketika disoal siasat penguat kuasa yang turut disertai Sinar Harian.

Mereka sudah bertunang sejak setahun lalu dan bakal mendirikan rumah tangga pada Januari tahun depan.

"Sementara menunggu hujan teduh, saya tertidur dan tidak sangka penguat kuasa akan memeriksa bilik ini," katanya.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguat Kuasa, Mohd Zainal Kadiran memeriksa hotel berkenaan.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki berbaju T dan berseluar pendek membuka pintu.

"PPADL terpaksa menunggu hampir 15 minit sebelum lelaki berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

"Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita memakai baju-T dan berseluar sedang bersembunyi di sebalik langsir bilik hotel berkenaan" katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

"Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing," katanya.

Katanya, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. -SH

Najib Dikencing Lagi Oleh Bernama & Pensyarah Kangkung

Posted: 25 Dec 2011 09:20 PM PST

Kajian pensyarah UiTM: Belia kini lebih dekat dengan k'jaan

Dapatan awal satu kajian oleh seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) menunjukkan 70 peratus responden daripada golongan belia kini berasa lebih dekat dengan kerajaan berikutan langkah yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendekati golongan itu.

Tinjauan terhadap belia melalui kajian yang dijalankan sejak 2010, berpendapat mereka menyambut baik penggunaan media sosial interaktif oleh Najib yang membolehkan golongan ini menghubungi Perdana Menteri secara langsung untuk memberi pendapat, idea dan juga kritikan mengenai pelbagai isu.

"Hasil kajian saya mendapati 70 peratus belia menyokong kerajaan kerana mereka seronok dan suka dengan pendekatan yang dilakukan kerajaan menerusi program-program yang dirangka.

"Itu adalah kuncinya untuk kerajaan mendekatkan diri dengan belia," kata pensyarah Sains politik di UiTM (Universiti Teknologi Mara) Dungun (Terengganu), Che Hamdan Mohamed Razali kepada Bernama baru-baru ini.


Selain pendekatan melalui media sosial, katanya responden yang terdiri daripada golongan berusia antara 18 dan 40 tahun serta daripada pelbagai bidang pekerjaan termasuk pelajar, profesional hingga nelayan dan petani, berpendapat kerajaan pimpinan Najib juga kini lebih terbuka.

Rata-rata responden mengakui sedar akan inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) yang semakin banyak melibatkan belia dan kepentingan mereka dalam merangka sesuatu program seperti rumah mampu milik untuk belia baru bekerja, bantuan kepada usahawan muda dan kemudahan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Mereka menghargai sekecil-kecil usaha seperti Perdana Menteri duduk bersila bersama belia di jalan raya untuk menonton siaran langsung perlawanan bola sepak, menganjurkan banyak kegiatan seperti futsal dan rancangan membina satu gelanggan futsal bagi setiap mukim.

Jadi adalah tidak benar jika dikatakan golongan belia suka menentang kerajaan dan 'anti-kerajaan' seperti yang cuba ditonjolkan pembangkang yang membawa belia ke jalan raya untuk berdemonstrasi dan bertindak tidak hormat terhadap pemimpin?

"Adalah menjadi sifat segelintir belia suka memberontak. Dapatan awal saya ialah belia ini bukanlah 'anti-kerajaan' seperti didakwa banyak pihak. Mereka cuma berjauh hati jika berasa dipinggirkan. Jika kerajaan memberi perhatian, mereka ini akan menyokong kerajaan," katanya.

Beliau berpendapat kerajaan perlu agresif memberikan penjelasan mengenai sesuatu perkara sekiranya tidak mahu golongan belia terus diracuni dengan maklumat dan fakta yang salah oleh pihak tertentu yang berkepentingan politik yang cuba menonjolkan golongan belia menyokong mereka.

Che Hamdan bagaimanapun belum bersedia memberikan perincian lanjut dapatan kajian itu atas alasan bahawa ia masih terus dijalankan dan akan hanya diumumkan sepenuhnya setelah selesai.

Rumusan awal beliau ialah belia tidak akan menggadai masa depan mereka semata-mata kerana janji-janji manis, sebaliknya mereka lebih bersedia bersama-sama bergelumang dan berusaha dengan kerajaan yang sudah terbukti mempunyai perancangan yang baik untuk masa depan mereka, malah mempunyai rekod yang terbukti.

Sementara itu, naib pesiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Datuk Irmohizam Ibrahim berkata kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan belia dalam apa jua aspek termasuk Belanjawan 2012, malah menghargai dan terbuka menerima sebarang pandangan serta kritikan belia kepada kerajaan.

"Kerajaan telah melakukan yang terbaik dengan merancang pelbagai usaha untuk mendekatkan golongan belia dengan kerajaan. Jadi dakwaan mengatakan golongan belia anti kerajaan adalah tidak benar, cuma segelintir sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain mengiktiraf golongan belia dalam Belanjawan 2012, kerajaan juga sedia melakukan pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Mengenai penglibatan mahasiswa dalam politik negara, dan terbaru Perdana Menteri mengibaratkan golongan muda sebagai wira unggul yang mempunyai kuasa menjadikan program transformasi negara sebagai satu realiti.

Mengakui bahawa suara golongan muda mantap, Najib pada 12 Dis lepas berkata kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan dan idea golongan belia dan juga kritikan mereka supaya setiap program transformasi yang dirancang akan berjaya dengan penglibatan mereka.

Irmohizam yang juga pensyarah di Fakulti Undang-Undang UiTM Shah Alam berkata hasil pemerhatiannya juga, ramai belia atas pagar kini menyukai kerajaan BN dan berterima kasih atas usaha-usaha kerajaan untuk melibatkan mereka dalam banyak isu dan projek.

Dalam pada itu, beliau mengakui memang terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang cuba menghasut golongan belia di universiti supaya membenci kerajaan hanya untuk kepentingan politik dan keghairahan merebut kuasa pemerintahan.

"Namun, belia yang terdedah kepada pelbagai maklumat tidak mudah menerima semuanya bulat-bulat tanpa memeriksa kebenarannya.

Begitu juga dengan janji-janji pembangkang, yang kami sedari sepenuhnya hanya gimik untuk meraih undi tanpa sebarang langkah konkrit diatur untuk belia seperti yang sudah dilaksanakan kerajaan BN sekarang," katanya. - Bernama

Ulasan GB

Demikian laporan BERNAMA yang melaporkan seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuat kajian menunjukkan 70 peratus responden daripada golongan belia kini berasa lebih dekat dengan kerajaan.

Tetapi itu "dapatan awal" - bererti kajian itu belum sempurna dan belum siap, sudah pun dilaporkan oleh Bernama - bertujuan untuk menjulang dan mengampu Najib.

Najib telah banyak kali dikencingkan dengan laporan-laporan palsu sehingga di satu ketika Najib sendiri menyedarinya. Kata beliau:

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegur sikap pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) berhubung pemberian 'laporan tipu' kepadanya semata-mata mahu menjaga hati tanpa bersandarkan kepada realiti sebenar.

Malah tegas beliau, penganjuran program 'syok sendiri' juga turut menyumbang kepada kekalahan BN di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

"Jangan buat program syok sendiri sahaja. Bila buat program Juara Rakyat, tulis dalam laporan bahawa ia telah berjaya apabila dihadiri oleh 300 dalam sesuatu kawasan.

"Tapi siapa 300 orang itu? Saya sudah 35 tahun dalam politik, saya dah tahu (taktik). Saya tahu apa yang anda semua buat dan anda pun tahu apa yang saya tahu (tipu laporan).

"Saya tak pakai laporan macam ini. Himpunkan 300 orang lepas itu kata kita dah berjaya. Tak mungkin...itu menipu diri sendiri," katanya ketika merasmikan Konvensyen BN Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Sabtu.


Kini Bernama dan pensyarah-pensyarah pula cuba untuk kencingkan Najib dalam rangka mengampu dan membodeknya yang didalam istilah najib sendiri: "menjaga hati tanpa bersandarkan kepada realiti sebenar".

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





"Datuk" Yang Ditahan Tiada Kaitan Dengan NFC - Sandiwara Siapa?

Posted: 25 Dec 2011 05:40 PM PST

Lelaki Yang Ditahan Reman Tiada Kaitan Dengan NFC

PETALING JAYA: Pengerusi Pusat Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, berkata ahli perniagaan berpangkat Datuk yang diberkas pihak polis baru-baru ini tidak mempunyai kaitan dengan beliau atau mana-mana anggota keluarganya.

Katanya, individu tersebut juga tidak pernah berkhidmat dengan NFC.

Semalam, reman terhadap lelaki tersebut berhubung kes dana NFC dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara disambung selama tiga hari lagi bagi membantu siasatan kes itu di bawah Akta SPRM 2009.

Isu mengenai NFC itu berbangkit ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 Oktober lepas yang menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya manakala pembangkang pula mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dananya. -mstar

Kehadiran Pegawai SPRM Di NFC Bukanlah Satu Serbuan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC)pada malam Jumaat telah mengeluarkan kenyataan bahawa kehadiran pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) ke pejabat mereka bukanlah merupakan satu serbuan sebagaimana yang dilaporkan oleh hampir kesemua media massa.

Sebaliknya kata kenyataan itu lagi, kehadiran pegawai-pegawai SPRM adalah sebahagian daripada proses siasatan yang sedang berlangsung.

"Sebenarnya, pihak pengurusan dan staf NFC mengalu-alukan kehadiran pegawai-pegawai SPRM ke pejabat kami dan segala kerjasama penuh telah diberikan kepada SPRM.

"Oleh yang demikian, pada pandangan NFC, lawatan dan kedatangan kakitangan SPRM ke pejabat NFC bukanlah merupakan satu serbuan sebagaimana yang dilaporkan.

"Bagaimanapun, pihak syarikat berasa adalah tidak wajar sebarang kenyataan dikeluarkan pada masa ini kerana siasatan masih lagi diteruskan oleh pihak berkuasa," jelas kenyataan tersebut.

Sebelum itu media massa dan pelbagai portal berita melaporkan, pegawai-pegawai SPRM telah menyerbu pejabat NFC yang terletak di Jalan Solaris, Mont Kiara, di sini pada tengah hari Jumaat.

Enam pegawai penguat kuasa yang berkunjung ke pejabat NFC itu adalah dari SPRM Putrajaya.

Isu-isu dan kontroversi dalam NFC timbul berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada bulan Oktober, yang menyatakan bahawa NFC telah gagal untuk memenuhi sasaran penubuhannya, manakala pembangkang mendakwa terdapat penyelewengan dalam pengurusan dana NFC.

Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail adalah suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

SPRM juga sedang menyiasat sama ada Shahrizat turut terlibat dalam mana-mana bahagian yang melibatkan pinjaman RM250 juta oleh kerajaan kepada NFC.


Ulasan GB

Jika NFC sendiri sudah menafikan bahawa kedatangan SPRM ke ejabatnya bukanlah satu serbuan dan "Datuk" yang ditahan itu tiada kaitan dengan keluarga Shahrizat dan NFC, ia mengundang persepsi bahawa siasatan dan penahanan berkenaan hanyalah satu sandiwara.

Malah identiti "Datuk" berkenaan masih misteri. Polis belum berani mendedahkannya. Persoalannya kini, sandiwara siapa?

Yang nyata juga ialah isu pokok tidak disiasat.

PKR sebelum ini mendedahkan:

Pertama, katanya, pemalsuan dokumen yang diguna NFC sebagai taktik untuk mengeluarkan dana sebanyak RM250 juta.

Kedua, pengeluaran sebanyak RM80,000 setiap bulan dari dana itu untuk pakej pelancongan yang ditawarkan syarikat Impian Global Network Services (IGNS), sejak Januari hingga Julai 2010.

"Dua pendedahan ini sudah cukup untuk SPRM siasat tetapi mereka tidak berbuat demikian,"


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[Video] NGO Wanita Kecam Tentera Mesir Seret Wanita Hingga Separuh Bogel

Posted: 25 Dec 2011 03:26 PM PST

Gabungan pertubuhan wanita, Solidariti Wanita Prihatin hari ini menyerahkan satu memorandum ke pejabat Kedutaan Mesir bagi membantah perlakuan kejam tentera negara itu terhadap kaum wanita.

Ianya berhubung rakaman satu klip video yang disebar di internet yang memaparkan seorang wanita Mesir yang menyertai demonstrasi rakyat negara itu diserang dan dibelasah tentera dengan kayu pemukul sehingga separuh mati.

Lebih menyedihkan, apabila pakaian dan tudung wanita itu juga telah ditarik hingga terselak sekaligus mengaibkannya.

Malah dua lelaki yang cuba membantu wanita itu juga turut dipukul dengan kejam oleh tentera tersebut.

Penyerahan memorandum itu disertai Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud, AJK International Muslim Women Union (IMWU), Malaysia Azlin Hezri, wakil Empower Maria Chin Abdullah, Koordinator Solidariti Wanita Muda Malaysia (SWiMM), wakil Persatuan Mawaddah Malaysia (PMM) dan wakil Ameerah.

Memorandum mengandungi empat tuntutan itu diterima wakil kedutaan, Yasser Hashem di bangunan kedutaan itu di Jalan Rhu persiaran Ampang Hilir di sini.

Antara lain kandungan isi memorandum menyatakan desakan agar Ketua Tentera Mesir, Field Marshal Tantawi segera memohon maaf kepada wanita dan dua lelaki yang dipukul tersebut.

Mereka juga mahu Field Marshal meletakkan jawatan tertinggi tentera itu secepat mungkin.

Mereka berpendapat, wanita sepatutnya dilindungi dan dihormati kaum lelaki apatah lagi tentera yang sepatutnya menjaga keselamatan dan bukan bertindak zalim kepada orang awam.

"Ada banyak cara bagi menangani rakyat secara baik.

"Jika demonstrasi itu ganas ke apa ke, mereka perlu ditangani dengan baik, bukan ganas dilawan dengan ganas," katanya Dr Siti Mariah kepada pemberita selepas penyerahan itu.

Bercakap pada sidang media sama Maria Chin dan Azlin juga sependapat, tindakan kejam tentera tersebut tidak sepatutnya berlaku sekalipun provokasi dimulakan oleh rakyat.

"Perhimpunan aman ke tak aman ke, tindakan pencabulan dan kekejaman khususnya kepada wanita seperti ini tidak patut berlaku," kata Maria.

Aiman Athirah pula berkata, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan tersebut cubaan memberi gambaran buruk terhadap kepimpinan baru negara itu selepas kejatuhan regim akibat kebangkitan rakyat enam bulan lalu.

Katanya, banyak pihak tidak senang dengan kemenangan parti yang memperjuangkan Islam di negara itu dan cuba memburukkan imej mereka.

Dalam pada itu, bantahan sama turut dibuat di Mesir apabila kaum wanita turun beramai-ramai di Kaherah sebagai tanda protes. -HD

Ribuan Perempuan Mesir Protes Keganasan Tentera

Ribuan demonstran yang terdiri dari para perempuan di Mesir turun ke jalanraya, memprotes pihak tentera yang melakukan tindakan kekerasan dan kekejaman. keganasan tentera tersebut terrakam jelas dalam video yang beredar di internet.

Dalam video tersebut, pasukan keamanan anti-rusuhan Mesir dilihat mengejar seorang perempuan dan memukulnya berkali-kali dengan batang logam sehingga terjatuh ke tanah. Tidak cukup hanya itu, tentera tersebut menyeret pakaiannya sehingga perempuan tersebut menjadi separuh bogel. Setelah jatuh, perempuan itu ditendang berulang kali hingga tergeletak tak berdaya di tanah, bajunya terbuka, dan colinya jelas terlihat.

"Mereka menyatakan bahawa mereka melindungi kami, tetapi mereka melucutkan pakaian sehingga kami telanjang," demikian salah satu nada protes yang disuarakan massa.

Salah seorang aktivis, Um Hossam (54), yang mengenakan pakaian panjang hitam khas Timur Tengah, mengatakan bahawa perempuan tersebut bak anak perempuan sendiri sehingga menyerangnya adalah seperti melukai anak sendiri.

Jumlah demonstran yang terdiri dari kaum hawa ini tergolong jarang hingga dianggarkan seramai 10,000 orang. Para perempuan yang terdiri dari berbagai kelas sosial dan agama berkumpul di Lapangan Tahrir yang bergerak ke jalan-jalan utama Kaherah. Ramaiyang membawa foto perempuan setengah telanjang yang sedang diseret tentera.

Desakan ini semakin menekan pihaktentera Mesir yang selama lima hari terakhir didesak untuk dibubarkan oleh para penunjuk perasaan sehingga menyebabkan kerusuhan.

Pihak tentera Mesir sendiri sudah meminta maaf atas tindakan anggotanya yang menyerang perempuan dengan kejam. Mereka meminta maaf kepada perempuan Mesir dan berjanji mengambil tindakan ke atas pihak yang melakukannya. Namun, permintaan maaf tersebut sepertinya sudah tidak berguna.

Potret tindakan anggota tentera Mesir yang tidak terpuji itu turut mendapat sorotan PBB dan Menteri Luar Negeri AS Hillary Clinton. Menurut Hillary, tindakan tersebut mencemarkan revolusi yang berlangsung di Mesir, mempermalukan negara dan askar, serta tidak layak untuk orang-orang yang terhormat. -kompas




Sekalipun Mustafa Ali Kunci Mulut, Tapi Isu UG Mesti Diselesaikan Segera

Posted: 25 Dec 2011 07:40 AM PST

Mustafa 'kunci mulut' anggap isu Hasan selesai

KUALA LUMPUR, 25 Dis: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau tidak akan lagi membuat sebarang ulasan berhubung exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Katanya, beliau akan mengambil pendekatan 'kunci mulut', sesuai dengan janjinya sebelum ini bahawa jika Hasan tidak lagi menyerang PAS, maka dia juga akan berhenti mengulas tentang bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

"Seperti saya janji sebelum ini bila dia (Hasan Ali) berhenti serang PAS maka saya akan tutup mulut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaru Hasan pada sidang media di kediamannya semalam.

Pada sidang media tersebut, Hasan menyatakan permohonan maafnya kepada pimpinan dan ahli PAS kerana mengkritik konsep Negara Berkebajikan yang telahpun dipersetujui dalam muktamar parti itu Jun lalu.

Hasan juga sebelum ini menyifatkan PAS tergelincir dari perjuangan Negara Islammya apabila memperkenalkan konseb Negara Berkebajikan.

Menyesali pandangannya itu sebagai 'keterlanjuran kata', Hasan juga semalam bertindak menarik balik kritikan tersebut.

"Bagi saya dia dah mintak maaf sungguh-sungguh tu. Pasal dia serang peribadi saya takpe lah saya dah maafkan dia," tegas Mustafa.

Pendekatan Mustafa itu diyakini mampu menutup episod yang dilihat 'pertembungan dalam parti' yang menjadi topik perbincangan hangat sejak dua minggu lalu.

Ditanya jika Hasan tidak mahu berhenti dan masih mahu mengulas isu parti, Mustafa berkata, itu terserah kepada Hasan.

"Kalau dia nak bercakap lagi, biar la dia bercakap sorang, saya tak mahu layan," katanya.

Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat sebelum ini memutuskan akan memanggil Hasan memberi penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.

Selain Hasan, dua lagi yang akan dipanggil adalah bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungip. -HD

Ulasan GB

Tindakan Mustafa Ali tidak melayan karenah Hassan Ali itu bagus, tetapi masalah yang menjadikan parti bergolak selama ini hendaklah diselesaikan once and for all.

Ia telah berlaku berulangkali, bahawa kumpulan UG ini sering saja menimbulkan masalah dalam parti.

Apabila isu itu timbul, pihak yang terlibat meminta maaf, kemudian mengulanginya lagi kerana tiada tindakan tegas diambil ke atas mereka.

Kumpulan ini menjerit terpekik terlolong kata UG dah tutup tetapi saki-bakinya tetap bergerak.

Kita tidak mahu PAS menyapu sampah ke bawah karpet lagi, hingga busuknya terkepam dan melantung yang hanya menunggu masa meletup. Yang buruknya ia meletup setiap kali pilihanraya muncul.

Jemaah perlu dibersihkan, dan walaupun anggota UG dan penyokongnya pun tak seramai mana mereka sering menimbulkan masalah dalam parti dan PR. Jika tidak diselesaikan, percayalah ia akan muncul lagi.

Mereka perlu diberikan amaran keras, without fear or favour. Bak kata Presiden sendiri, berlagak saja lebih.

Jangan Berlagak Pandai: Hadi

SHAH ALAM – Seluruh anggota Pas diingatkan supaya mengikut haluan dan hala tuju parti serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan fahaman sahaja.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sesiapa yang berlagak pandai dan menganggap dirinya paling bijak dalam Pas pasti tersungkur serta menjadi mangsa serigala politik musuh.

Menurutnya, setiap ahli seharusnya menyedari bahawa tindakan bersendirian dengan membelakangkan parti pasti akan gagal namun Pas tetap selamat dan menjadi parti Islam yang makin gagah perkasa.

"Seluruh ahli Pas wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera parti dengan setiap pengalamannya walaupun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam.

"Pas telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam atau kalangan bukan Islam," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menegaskan bahawa pendekatan politik bersama Pakatan Rakyat (PR) adalah kesinambungan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh.

"Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan," katanya.

Selain itu Abdul Hadi turut mempersoalkan kenapa Umno yang menjadi teras kerajaan Barisan Nasional (BN) masih gagal menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah SAW yang sebenarnya.

"Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun masih tidak mampu melakukan muhasabah?" katanya. -SH



Khir Toyo Dakwa Dia Jadi Kambinghitam Untuk UMNO Rampas Selangor

Posted: 25 Dec 2011 05:32 AM PST

Khir mangsa sembelihan 'drama politik' Umno

KUALA LUMPUR, 25 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hanya 'drama politik' Umno BN.

Katanya, dengan pelbagai isu rasuah yang terpalit kepada ramai pemimpin parti itu, maka Umno BN terpaksa 'menempisnya' dengan bertindak ke atas Khir, itu pun selepas Khir tidak mempunyai kuasa lagi.

Lagi, tindakan 'memangsakan' Khir itu kononnya bagi memberi gambaran kepada Masyarakat bahawa kerajaan Umno BN secara keseluruhanya tidak berkompromi dengan rasuah.

"Selepas Umno tak mampu nak bersih najis rasuah yang (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) kata 'sudah busuk sampai ke usus', maka Khir jadi mangsa sembelihan untuk bersihkan semua kes rasuah dalam Umno," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin yang memutuskan Khir bersalah atas tuduhan rasuah dan dihukum penjara setahun.

Bagi Mahfuz, apa yang cuba ditonjolkan oleh Umno BN dengan bertindak ke atas Khir itu hanya mengulangi skrip lama yang pernah dibuat ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dalam isu PKFZ.

Bagaimanapun tindakan mendakwa Ling itu selepas beliau bersara dari kerajaan
.

"Saya harap Khir sabar banyak-banyak sebab dia seorang sahaja yang kena untuk dijadikan mangsa korban partinya.

"Saya yakin kalau dia masih ada kuasa, dia tak akan diambil tindakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena. -HD

Khir says made a scapegoat

SHAH ALAM, Dec 23 — Dr Mohamed Khir Toyo said today he was being made a political fall guy, following his conviction for abusing his influence to buy a luxury home and land at a discount of up to RM3 million.

The former Selangor mentri besar has maintained his innocence, insisting that the RM3.5 million deal was at market value and on a "willing buyer, willing seller" basis.

"Right from the start," he said when asked by reporters after the guilty verdict if he was being made a political scapegoat.

After judge Datuk Mohtarudin Baki ordered the seizure of the property and sentenced the Sungai Panjang assemblyman to 12 months jail, Dr Khir told reporters that "this is not the final judgment and I will continue to fight to clear my name."

"On the question of politics, I will answer after January 9," he added in an apparent reference to the date of Opposition Leader Datuk Seri Anwar Ibrahim's sodomy verdict.

Dr Khir appeared to be referring to speculation that he would be given a hefty sentence to avoid allegations of injustice should PKR de facto leader Anwar be found guilty.

Earlier, Mohtarudin had ruled that the conviction under Section 165 of the Penal Code also invoked Section 36 of the Prevention of Corruption Act, which mandates that the court seize property that is the subject of a graft offence.

However, he granted Dr Khir a stay of execution pending an appeal that defence lawyer M. Athimulan said would be filed this afternoon.

Although Dr Khir remains Sungai Panjang assemblyman, the 12-month sentence means he will be unable to contest in elections unless the Court of Appeal reduces it to under six months.

Athimulan also told reporters that the defence was "baffled" by the heavy punishment.

"Market value is not important anymore and it will just be based on the seller's price," he said, before his smiling client left the court complex here.

Dr Khir was charged with illegally obtaining for himself and his wife two lots of land and a house at No. 8 and 10, Jalan Suasa 7/1L here from Ditamas Sdn Bhd through its director Datuk Shamsuddin Hayroni.

The property was purchased at RM3.5 million although Ditamas had bought it for RM6.5 million on December 23, 2004.

Dr Khir was alleged to have committed the offence at the official residence of the Selangor mentri besar at Jalan Permata 7/1, Section 7 here on May 29, 2007. -TMI



12. Dalam bulan yang mulia ini juga saya ingin mengingatkan tiga orang sahabat yang menjadi Menteri dalam kabinet sekarang agar jangan keterlaluan untuk mengenakan saya.

Saya tidak mendedahkan nama menteri-menteri ini kerana tidak mendapat bukti yang sahih sungguhpun beberapa sumber saya sangat boleh dipercayai.

13. Seorang Menteri dilaporkan berkata kepada dua orang Menteri lain bahawa jika mahu mendapat kembali Selangor maka Khir Toyo perlu didakwa. Sekarang Menteri yang sama berkata jika mahu menang Selangor Khir Toyo perlu dipenjarakan.

14. Apakah mereka ini begitu besar boleh menguasai hakim perbicaraan? Saya tidak mahu percaya mereka berupaya mengarahkan hakim atau hakim akan mendengar arahan kumpulan ini. Namun jika pun ada usaha-usaha untuk mempengaruhi kehakiman, saya masih percaya dengan kebebasan dan integeriti institusi kehakiman. Selebihnya, saya percaya saudara/saudari terutamanya para peguam boleh membuat penelitian terhadap fakta-fakta kes saya di mahkamah dan membuat penilaian sendiri.

15. Cuma saya hendak mengingatkan ketiga-tiga Menteri ini agar menumpukan kerja mereka membantu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan terutama membabitkan potfolio mereka sendiri. Turunlah ke padang dengar pandangan rakyat di bawah terhadap kerajaan bukannya sekadar membaca blog dan media yang telah memilih untuk berpihak di mana.

16. Kenyataan bahawa jika Khir Toyo dipenjarakan maka BN akan dapat kembali Selangor hanya menunjukkan kecetekan pemikiran pemimpin tersebut yang tidak memahami keseluruhan isu rakyat di Selangor. Lebih daripada itu, ia menunjukkan kebodohan pemimpin ini seolah-olah majoriti rakyat Selangor tidak cerdik dan tidak boleh menilai fakta-fakta kes di mahkamah.

17. Apakah pada hemat beliau rakyat Selangor secara majoritinya dungu, bebal dan bengap yang akan mengikut skrip sandiwara beliau? Apakah beliau fikir rakyat mahukan pemimpin UMNO dihukum atau mereka mahu melihat keadilan ditegakkan?

18. Pada hemat saya majoriti rakyat terutamanya di Selangor mahu melihat keadilan undang-undang ditegakkan tidak kira ia di pihak UMNO mahu pun di pihak parti-parti lain. -petikan dari blog khirtoyo


MB Selangor Bidas Noh Omar: Wang RM2.71 Bilion Milik Rakyat, Bukan Milik BN

Posted: 25 Dec 2011 02:29 AM PST

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak perlu mendabik dada kononnya menyalurkan peruntukan yang besar untuk projek pembangunan di Selangor kerana wang tersebut adalah milik wang rakyat yang membayar cukai.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM2.71 bilion bagi melaksanakan projek-projek pembangunan di Selangor.

Justeru, menyebabkan pemimpin Pakatan Rakyat Selangor memberikan reaksi dengan menggesa wang berkenaan disalurkan terus kepada kerajaan Selangor untuk membela kebajikan rakyat dan bukan untuk digunakan demi kepentingan politik Umno dan Barisan Nasional.

"Ini adalah duit pembayar cukai dan bukan duit parti Barisan Nasional, wang RM2.71 bilion itu adalah untuk prasarana dan pembangunan infrastruktur dan saya rasa masalah terbesar dalam pentadbiran Barisan Nasional dia tidak boleh menjalankan projek dengan harga yang terbaik," kata Abdul Khalid yang ditemui TVSelangor selepas program Jom Shopping anjuran Dun Ijok di Pasaraya Econsave Alam Perdana di sini.

Menurut Menteri Besar, sewajarnya Kerajaan Persekutuan mengambil contoh pengurusan kewangan dan pelaksanaan projek kerajaan negeri yang menekankan konsep nilai wang atau 'value for money' untuk mengelakkan pembaziran wang rakyat.

"Seumpamanya sebagai contoh kerajaan negeri menjalankan program Jom Shopping, kita mengeluarkan kos untuk seorang peserta ialah RM100 yang mana terus diberikan kepada peserta tersebut, tetapi apabila Barisan Nasional membuat program, dia melalui perantara.

"Kalau projek itu sepatutnya sampai kepada pengguna ialah RM100, tetapi kos untuk pengoperasian, ia semakin bertambah antara RM50 sehingga RM100 lagi, jadi maknanya kos keseluruhannya ialah RM200. Maka pembayar cukai terpaksa membayar kos tambahan sebanyak RM100 lagi untuk kos pengurusan yang tidak diperlukan," tegas Abdul Khalid.

Abdul Khalid juga mempersoalkan pelaksanaan projek-projek penswastaan Kerajaan Persekutuan dengan kos yang terlalu tinggi sedangkan kesannya terhadap membela kebajikan rakyat dipersoalkan.

"Contohnya lagi, seperti projek untuk pemeliharaan lembu ataupun National Fidlot Corporation (NFC), untuk mendapatkan lembu pun kosnya adalah RM250 juta, ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional tidak sensitif tentang penggunaan wang rakyat," katanya.

Beliau juga mempersoalkan pengendalian peruntukan wang rakyat untuk skim insentif peningkatan hasil padi dan subsidi padi kepada petani yang mana dipersoalkan golongan petani dan pesawah berhubung pengendaliannya yang didakwa tidak telus.

"Jadi Noh Omar kena tengok juga kos untuk mengendalikan subsidi padi, adakah kesemua peruntukan itu kembali kepada rakyat, itu pun kerajaan negeri akan menjalankan penyelidikan berhubung perkara tersebut," katanya. -tvsnews


Tiada ulasan: