Isnin, 12 Disember 2011

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Najib dalangi konspirasi kes liwat Anwar, hujah peguam

Posted: 12 Dec 2011 08:21 AM PST


KUALA LUMPUR, 12 Dis – Barisan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab atas tuduhan liwat semasa dikenakan ke atas Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana "cap jari" perdana menteri ada di banyak peringkat kes.

Anwar telah berulang kali menuduh Najib terlibat dalam kes liwat kedua dihadapi beliau, malah telah menyifatkannya sebagai satu konspirasi bagi memusnahkan kerjaya politik.

Peguam Sankara Nair menegaskan semula dakwaan Anwar dengan menekankan bahawa pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan pernah mengaku ada mengadakan pertemuan dengan Najib (gambar), yang pada 2008 merupakan timbalan perdana menteri, beberapa hari sebelum kejadian liwat didakwa berlaku.

Sankara juga berhujah bahawa wujud banyak elemen tidak konsisten dalam kes pihak pendakwaan dan bukan sahaja mempersoalkan kredibiliti Saiful, tetapi juga beberapa saksi pendakwa yang lain.

"Adalah jelas cap jari Datuk Seri Najib Razak ada di semua tempat usaha terdesak pelbagai pihak untuk menyomotkan mereka," kata Sankara ketika hujah penggulungan kes pihak pembela hari ini.

Peguam itu berkata, pertemuan antara Saiful dan Najib di kediaman rasminya pada Jun 2008 juga menimbulkan keraguan mengenai usaha jahat dalam kes semasa ini.

Justeru menurut Sankara, perdana menteri memberi jawapan-jawapan yang bercanggah kepada media apabila ditanya mengenai perkara berkenaan - pertama mengatakan Saiful bertemu dengan beliau mengenai biasiswa dan kemudian datang untuk mengadu mengenai salah laku Anwar.

"Mengapa tidak Najib datang dengan bersih apabila kali pertama ditanya mengenai perkara ini?

"Apa yang perlu disembunyikan? Mengapa beliau perlu berbohong?" kata Sankara.

Selain itu, Sankara berkata, konspirasi juga melibatkan pembabitan SAC Datuk Rodhwan Ismail dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.

Peguam itu mempersoalkan sebab Rodhwan mengadakan pertemuan dengan Saiful sebelum dia membuat laporan polis sedangkan beliau bukan pegawai penyiasat ketika itu.

Selain itu, Sankara juga menimbulkan persoalan bagaimana Saiful memperoleh nombor telefon Musa.

"Nampaknya dia terdengar perbualan antara Datuk Khairil Anas atau seorang pembantu dan Najib di mana nombor telefon Musa disebutkan dan dia menyimpan dalam telefon bimbitnya," katanya lagi.

Sankara juga menekankan hakikat berkenan Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor memohon untuk mengetepiakn sepina meminta mereka hadir di mahkamah sebagai saksi pembela.

Katanya, kedua-dua mereka tidak sewajarnya mengelak jika tiada sebarang perkara untuk disembunyikan.

"Jika perdana menteri dan Rosmah tidak relevan, maka mengapa pegawai penyiasat DSP Jude Pereira perlu merekodkan kenyataan mereka?

"Ini bukan hanya rumusan kami. Ia juga rumusan rakyat umum," katanya. Terdahulu, pihak pembela juga mempersoalkan kredibiliti saksi utama dan mahukan mahkamah menilai semula kredibiliti saksi itu kerana ia menjadi perhatian utama dalam kes ini.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh berkata ia jelas daripada keterangan Saiful yang berbohong walaupun mahkamah mendapati beliau adalah saksi yang boleh dipercayai pada penutup kes pendakwaan.

Anwar menghadapi pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap bekas pembantunya Saiful, 26, di Desa Damansara Condominium di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Karpal juga berkata kredibiliti Saiful terus terhakis kerana dia lambat membuat laporan yang hanya dilakukan dua hari selepas dakwaan insiden itu berlaku dan tidak ada penjelasan yang boleh diterima atas kelewatan itu.

Karpal juga mahu mahkamah itu menangguhkan keputusannya mengenai kes liwat Anwar bagi membolehkan Saiful dipanggil semula dan memanggil Timbalan Pendakwa raya Farah Azlina Latif, anggota pasukan pendakwaan, yang didakwa ada hubungan sulit dengan Saiful, sebagai saksi, untuk menafikan dakwaan itu dengan bersumpah.

Penghujahan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah disambung esok.

Hasan Ali hanya setia kepada Allah

Posted: 12 Dec 2011 01:03 AM PST

Oleh Shannon Teoh - Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 12 Dis ― Datuk Dr Hasan Ali enggan mengatakan sama ada kesetiaan beliau terletak pada PAS dan Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya menegaskan beliau hanya setia kepada Allah.

Pada masa yang sama bekas pesuruhjaya PAS Selangor ini berkata, beliau akan bekerjasama dengan sesiapa saja yang berjuang untuk Islam.

Laporan media terbaru mengatakan bahawa beliau akan digugurkan daripada mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Gombak Setia.

Tetapi ia dinafikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.

Exco Kerajaan Negeri Selangor ini berkata beliau komited untuk mempertahankan Islam, orang Melayu dan institusi diraja.

"Saya setia kepada Allah. Kepada umat, dalam konteks ini, saya tidak suka menggunakan istilah setia, tetap bekerjasama.

"Bekerjasama dengan rapat untuk membantu mereka dan mereka membantu saya," kata beliau (gambar kiri) pada sidang media di rumahnya hari ini.

Hasan berkata laporan kononnya beliau akan digugurkan daripada bertanding semua pilihan raya akan datang bukanlah penentu akan meninggalkan PAS.

Menurut beliau, tindakan meninggalkan parti adalah satu tugas sukar.

Kata beliau, persoalan sama ada beliau kekal atau digugurkan sebagai calon pilihan raya tidak akan menghalang perjuangannya memartabatkan bangsa Melayu, mengagungkan agama Islam dan mendaulatkan institusi raja.

"Sama ada saya dicalonkan atau tidak, itu bukan menjadi halangan, pendirian saya tidak pernah berubah terhadap tiga perkara berkenaan.

"Bahkan isu ini menjadikan saya lebih kental untuk terus berjuang dan saya yakin, ramai yang memahami dan menjiwai semangat saya," tegasnya.

Menurutnya lagi, pihaknya sendiri tidak mendapat maklumat daripada peringkat PAS pusat berkaitan isu tersebut, sebaliknya hanya mendapat maklumat daripada media.

"Saya tidak menyalahkan saudara Shaari Sungip berkenaan kenyataan tersebut tetapi saya ingin membuat penegasan bagi mengelakkan kekeliruan bahawa hal-hal pencalonan mesti diputuskan oleh PAS Pusat setelah melalui penilaian oleh Majlis Syura.

"Adalah tidak sesuai sekiranya mana-mana individu bertindak untuk mendahului kepimpinan tertinggi dalam parti berkaitan hal ini dan saya harap kepimpinan dapat memantau ahli di setiap peringkat agar tidak membuat kenyataan mendahului kepimpinan parti," katanya lagi.

Jelas Hasan, pihaknya juga khuatir sekiranya perkara demikian adalah konspirasi dalaman yang cuba menjatuhkan dirinya.

"Saya rasa macam ada sedikit gangguan di peringkat negeri, tetapi saya harap konspirasi itu tidak berlaku," katanya lagi.

"Perjuangan kita ikhlas, saya redha dengan apa jua tindakan PAS Pusat, tetapi sekiranya mereka tidak redha dengan saya, itu hak mereka, keutamaan saya adalah mendapat keredhaan Allah," tegasnya.

Semalam, PAS menafikan laporan Mingguan Malaysia bahawa Hasan dan Nasharudin Mat Isa telah digugurkan daripada bertanding semula dalam pilihan raya umum ke-13.

Hadi berkata, partinya belum memuktamadkan senarai calon yang bakal bertanding kali ini.

Hasan turut menjelaskan, jumlah pencalonan daripada setiap cawangan bukanlah penentu seseorang calon itu layak bertanding atau tidak, tetapi turut diputuskan mengikut budi bicara pimpinan pusat.

"Setakat ini memang saya mengetahui pencalonan dari peringkat cawangan diambil kira, tetapi ini bukanlah faktor penentu kerana wujudnya pertimbangan lain.

"Saya sendiri ditunjuk untuk bertanding di DUN Gombak Setia pada 2008 bukan atas dasar pencalonan cawangan, begitu juga Ketua Penerangan PAS Negeri sekarang, yang bertanding di DUN Hulu Klang, juga tidak mengikuti proses penerimaan calon peringkat cawangan," katanya lagi.

Tiada ulasan: