Jumaat, 4 November 2011

Senyum Tangis Sendu

Senyum Tangis Sendu


Melayu Kelantan Sokong Hudud, UMNO Tumbang Lagi

Posted: 04 Nov 2011 01:22 AM PDT


KOTA BARU, 4 Nov — Kejayaan atau kegagalan PAS dalam melaksanakan undang-undang hudud, yang sekali lagi menjadi isu kontroversi di Kelantan, akan menjadi indikator bagi sokongan pengundi Melayu menjelang pilihan raya umum ke-13 yang akan dipanggil dalam waktu terdekat, kata ahli-ahli politik tempatan.

Parti Islam itu terus menuding jari ke arah kerajaan pusat atas kegagalan menguatkuasakan undang-undang itu yang digubal pada 1993. Usaha itu terpaksa ditangguhkan ekoran satu surat daripada perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Awal minggu lalu kerajaan negeri mengumumkan penubuhan jawatankuasa teknikal hudud dengan menekankan semula komitmennya mahu melihat ruang pelaksanaan di Kelantan.

"Masa untuk bercakap sudah berakhir. Kini masa untuk bertindak," kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Lubok Setol dekat Rantau Panjang.

Nik Aziz berkata undang-undang hudud seharusnya boleh mengatasi siri isu yang memberi kesan ke atas Muslim termasuk soal pemurtadan.

Bagaimanapun kepimpinan Umno Kelantan menyerang usaha menggubal undang-undang hudud yang didakwa dibuat dengan tergesa-gesa sambil mendakwa ia strategi mahu mendapatkan sokongan daripada kalangan pengundi Melayu, yang merupakan 95 peratus rakyat Kelantan.

"Mereka sedang meletakkan harapan pada jawatankuasa hudud sebab mereka tahu orang Melayu di Kelantan marah mengenai hudud. PAS mahu melaksanakan hudud sebelum pilihan raya untuk memujuk orang Melayu, untuk menunaikan janji mereka yang dibuat beberapa tahun lalu," kata Datuk Che Alwi Ahmad (kanan).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri itu berkata PAS telah memberi gambaran yang salah mengenai undang-undang hudud di kalangan orang bukan Melayu dengan mengatakan mengenai hukuman dan bukannya mengenai keadilan sistem.

"Hudud adalah mengenai keadilan kepada mangsa, ia bukan mengenai hukuman. Ia sudah pun dilaksanakan di Malaysia khususnya sejak beberapa tahun lalu dengan hukuman seperti sebatan dan hukuman mati. Hanya hukuman lebih ekstrem seperti potong organ tidak ada.

"Saya sokong hudud. Umno sokong hudud. Kita gila jika tidak sokong hudud, sebagai seorang Muslim. Ia hanya boleh dilaksanakan apabila setiap orang memahami mengenainya," kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin PAS menolak dakwaan bahawa isu hukum hudud bertujuan mahu mendapatkan sokongan orang Melayu dan menekankan bahawa menjadi ia selalu konsisten dalam usaha mahu melaksanakan undang-undang Islam.

"Perjuangan PAS adalah mahu mengadakan urus tadir menerusi pendekatan islam melaui polisi, undang-undang. Hudud adalah sebahagian daripadanya. Ia bukan helah pilihan raya, itu sebabnya tiada rangka masa.

"Jawatankuasa teknikal dibentuk sebab pakar undang-undang baru-baru ini mendapati kemungkinan bahawa kita boleh membawa undang-undang ini tanpa meminda Perlembagaan," kata Exco Kerajaan Negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kepada The Malaysian Insider.

"Sudah tiba masa bagi melaksanakan undang-undang hudud. Jenayah berada di paras yang membimbangkan, banyak masalah dalam masyarakat yang perlu ditangani. Jadi kami percaya bahawa Muslim di Kelantan tiada masalah untuk menyokongnya, ia seruan untuk memperkukuhkan semula kepercayaan," katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri PAS Abdul Fatah Haron berkata kerajaan negeri telah mengadakan pelbagai program untuk menjana pemahaman mengenai undang-undang Islam.

"Tahun ini kami telah mengadakan Hari Hudud beberapa bulan lalu, kami telah menjemput ahli-ahli panel dan membincangkan isu berkaitan dengan undang-undang (hudud)," katanya.

"Umno mengatakan kami menggunakan yang ini kerana undi sebab mereka tiada apa-apa untuk menyerang kami. Kelantan kemungkinan bukan negeri yang kaya, tetapi (kami negeri) spiritual, kami ada kepercayaan kami," kata wakil rakyat kerusi Bukit Tunku kepada The Malaysian Insider.

Masih Ingat Dengan Nama Natrah? Inilah Cucunya

Posted: 03 Nov 2011 04:50 PM PDT

CHUKAI: "Kami teruja dan gembira dapat bertemu keluarga yang pernah bersama nenek dulu. Kami banyak mengetahui kisahnya daripada ibu bapa dan internet," kata Sasha Van Gastel, 18, cucu Natrah Maarof atau Maria Bertha Hertogh.

Isu Natrah, wanita berketurunan Belanda menjadi anak angkat kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu, pernah menjadi kontroversi apabila mahkamah memutuskan gadis itu dipulangkan kepada bapanya, sehingga mencetuskan rusuhan di Singapura pada 1950.

SASHA (kanan) melihat Romy mencuba permainan tradisi Melayu, 'ting-ting' yang dipercayai menjadi kegemaran nenek mereka ketika kunjungan mereka ke Terengganu.

Sasha, cucu sulung Natrah, bersama sepupunya, Romy Elizabeth Marian Smol, 17, dibawa dari Belanda untuk bertemu Rokayah Yusof, 65, anak saudara angkat Che Aminah, di Kampung Mak Chili Paya di sini, semalam, atas inisiatif Tourism Malaysia Terengganu dan Tourism Malaysia The Hague, sempena program 'Building Bridges, iaitu program menggalakkan pelajar luar melancong ke negara ini.

Sasha adalah anak kepada pasangan Jan Van Gastel dan Carolien Van Gastel, manakala Romy adalah anak kepada Frans Wolkenfelt dan Carla Wolkenfelt. 

Carolien anak perempuan Natrah, manakala Wolken-felt anak sulung Natrah.

Kali pertama bersua, dua gadis itu pada mulanya agak kekok, namun keramahan keluarga Rokayah melayani mereka membuatkan suasana bertukar lebih selesa hinggakan suasana hiba terbit apabila Sasha dan Romy mahu pulang selepas kira-kira empat jam bersama. 

Sasha dan Romy turut bertukar cenderamata dengan keluarga pesara guru itu dan dibawa melawat rumah lama Che Aminah di Kampung Gong Pauh, di sini.

ROKAYAH sambil diperhatikan Romy, memakaikan Sasha tudung ketika kunjungan ke rumahnya di Kampung Mak Chili Paya, Chukai.

Sasha yang saling tidak tumpah iras Natrah agak sukar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, tetapi dibantu Romy yang boleh bertutur sedikit dalam bahasa Inggeris dan mereka tidak putus-putus berbual mengenai kisah silam dengan Rokayah, yang melayan mereka sambil menunjukkan gambar dan laporan meluas media mengenai Natrah di negara ini.

"Di sana (Belanda) orang tidak ambil kisah kami cucu Natrah, tetapi apabila di sini, kami agak terkejut apabila menjadi tumpuan dan ditemubual seperti ini. Kami diberitahu mengenai perancangan membawa kami ke sini seminggu lalu dan kami sangat teruja.

"Kami sudah mengambil banyak gambar dengan keluarga angkat nenek dan keindahan Malaysia. Kami tidak sabar untuk berkongsi dengan keluarga di Belanda," katanya sambil mengucap terima kasih kepada Tourism Malaysia. 

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Mohd Nasir Kushairi, berkata pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha menggalakkan pelajar serta lepasan kolej luar negara melawat Malaysia, khususnya Terengganu.

Natrah adalah anak kepada pasangan Adeline Hunter dan Andrianus Petrus Hertogh, berketurunan Belanda. Beliau diserahkan bapanya kepada seorang wanita bernama Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia selepas menjadi tawanan tentera Jepun pada 1942.

Sejak itu, Natrah yang ketika itu dikatakan berusia lima tahun dibesarkan oleh Che Aminah dan menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan mengikut adat Melayu dan Islam.

Namun, selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah sehingga berjaya menemuinya, namun berlaku perebutan antara Hertogh dan Che Aminah terhadap penjagaan Natrah sehingga terpaksa membuat rayuan di mahkamah dan Che Aminah berjaya mendapat Natrah.

Natrah kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun dan pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan Natrah dikembalikan semula kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Selepas itu berlakulah rusuhan Natrah di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus lagi cedera. 

Tiada ulasan: