Anak Sungai Derhaka |
- PPSMI : Muhyiddin buat 'U' Turn...
- Akhbar Australia buat pembetulan
- PAS sokong tuntutan Bersih bukan Ambiga
- Isteri saya tidak beli apapun barang kemas, Najib kata..
PPSMI : Muhyiddin buat 'U' Turn... Posted: 04 Nov 2011 04:12 AM PDT Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah muktamad dan tiada sebarang perbincangan lagi yang perlu diadakan walaupun didesak Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) kerana kerajaan telahpun memutuskan untuk memansuhkannya pada 2009. "Ia sudah pun diputuskan oleh Kabinet pada 2009 selepas dibincangkan di banyak peringkat, telah diluluskan di Parlimen, malah disokong oleh pembangkang. Tiada reaksi negatif ketika itu. Saya tidak tahu mengapa ia dibawa kembali. Kemungkinan mereka sudah ketinggalan zaman," katanya. Ini pula berita hari ini.. Pelajar PPSMI diberi pilihan teruskan dalam BI Kerajaan bersetuju membenarkan murid kohort Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan. "Jadi pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah hanya akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Malaysia pada 2016 manakala di sekolah menengah adalah pada 2021. "Dengan keputusan itu, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak," katanya dalam sidang media di sini hari ini. Beliau berkata kerajaan berharap dengan keputusan membenarkan kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5 dapat melegakan ibu bapa. Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini. Muhyiddin berkata kerajaan yakin dengan keputusan itu, pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan terjejas. Dengan pemansuhan PPSMI kelak, beliau berkata murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Cina dan bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Sementara itu, Muhyiddin berkata kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia. Beliau berkata kajian menunjukkan kurang lima peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. "Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang sembilan peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. "Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan," katanya. Menurutnya, hasil kajian lapangan yang dijalankan kementerian menunjukkan pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual dengan murid-murid mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. "Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris," katanya. Untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid, Muhyiddin berkata pelbagai inisiatif baru dan lebih efektif sedang dilaksanakan di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Antara inisiatif itu, katanya ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum Bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan daripada segi penyediaan guru. Inisiatif lain termasuk pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, katanya. - Bernama |
Akhbar Australia buat pembetulan Posted: 04 Nov 2011 12:56 AM PDT Macam pernah aku dengar cerita macam ni.. siarkan kemudian tarik balik.. menariknya pembetulan dibuat setelah Najib menafikan semalam. Surat khabar dari Indonesia yang buat laporan pasal cincin hari itu pun macam ni jugak... lapor kemudian tarik balik. Website Bangladesh yang menyiarkan kenyataan PM Bangladesh menggalakkan rakyatnya menjadi warga negara Malaysia pun sama.. Hairan jugak aku pasal apa media-media ini melaporkan yang buruk tentang Najib.. Akhbar Australia buat pembetulan Akhbar Australia The West Australian mengakui laporannya sebelum ini yang mendakwa anak perempuan Datuk Seri Najib Razak berbelanja besar di negara itu sebagai tidak benar. "The West Australian sedar perkara ini tidak benar dan anak perempuan Najib tidak berada di Perth pada waktu itu," ralat yang diterbitkan hari ini dipetik. Perdana menteri semalam menjelaskan perkara yang sama di Twitter dan berkata orang ramai sepatutnya tidak terpedaya atau terbabit menyebarkan pembohongan itu. Awal minggu ini, laporan berita di The West Australian, mendakwa anak gadis Najib membelanjakan A$60,000 (RM195,000) semasa membeli-belah di David Jones, antara gedung terbesar di Australia. Laporan bertajuk "Delegates go shopping and sightseeing" (perwakilan membeli-belah dan bersiar-siar) dipetik meluas di blog dan Facebook, termasuk dalam akhbar web rasmi PKR Keadilandaily. Akhbar itu melaporkan, peniaga membuat keuntungan besar apabila "seorang wanita pertama" membelanjakan A$150,000 (RM487,000) membeli mutiara Australia Barat, manakala 'anak gadis Najib' dilapor membelanjakan A$60,000. Ia memetik pengarah negeri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) Richard Muirhead sebagai berkata, aktiviti masa lapang dan ekspedisi membeli-belah itu diatur untuk perwakilan asing di luar jadual mesyuarat yang ketat. Malaysiakini |
PAS sokong tuntutan Bersih bukan Ambiga Posted: 03 Nov 2011 08:30 PM PDT Inilah yang membezakan antara sokongan didalam Pakatan Rakyat dan juga sokongan di dalam Barisan Nasional dan UMNO. Di dalam Pakatan Rakyat kebanyakkan ahlinya akan menyokong ideologi atau fahaman parti bukannya menyokong batang tubuh tuan punya ideologi itu.. Dalam UMNO/BN pula kebanyakkannya menyokong batang tubuh pemimpin bukannya menyokong ideologi yang dibawa, oleh itu tidak menghairankan jika kita melihat biarpun pemimpin tersebut terpalit dengan berbagai isu dari rasuah hingga ke salahgunakuasa. Pemimpin tersebut tetap dipertahankan bermati-matian.. Silap tu sedara.. kalau pemimpin disokong dan diagung-agungkan.. pemimpin akan mati.. PAS sokong tuntutan Bersih bukan Ambiga KUALA LUMPUR, 3 Nov: PAS menegaskan sokongan parti itu terhadap Datuk S Ambiga hanyalah terhadap isu yang dibawanya terutama mengenai tuntutan Bersih baru-baru ini, tetapi bukanlah sokongan ke atas batang tubuhnya. Oleh itu, PAS tetap tidak bersetuju malah menentang keras pendirian Ambiga terhadap hak asasi manusia yang diperjuangkannya mengenai seksualiti termasuk sokongannya terhadap program Seksualiti Merdeka yang dianjurkan oleh pihak-pihak terbabit baru-baru ini. Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, perkara itu perlu difahami oleh kesemua pihak dan tidak sepatutnya disalah anggap sejajar dengan dasar perjuangan PAS sejak ditubuhkan untuk menegakkan Islam di tanah air. "Dalam hubungan ini, saya sememangnya bersetuju dengan kenyataan dan pendirian Dewan Ulamak PAS yang menentang penganjuran Pesta Seksualiti Merdeka dan sebarang aktiviti seks luar tabie melibatkan lesbian dan gay," katanya. Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab pertanyaan kontroversi Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu (Bebas), Zulkifli Noordin mengenai sokongan PAS ke atas Ambiga, sedangkan Ambiga jelas menyokong Pesta Seksualiti Merdeka atas alasan hak asasi manusia. Menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Zulkifli ketika mencelah ucapannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, sejak dulu sokongan PAS terhadap seseorang bergantung kepada isu, bukan ke atas batang tubuh seseorang dan ia tidak terkecuali dengan Ambiga. Menurutnya, sokongan PAS dalam isu Bersih yang dibawa oleh Ambiga sesuai dengan tuntutannya yang selaras dengan perjuangan PAS, tetapi dalam isu seksualiti yang membawa sokongan Ambiga terhadap Pesta Seksualiti Merdeka berbeza sama sekali. "Dalam isu Pesta Seksualiti Merdeka, PAS tidak menyokong Ambiga kerana isu tersebut ternyata bertentangan dengan perjuangan PAS," tegasnya yang juga AJK PAS Pusat. Sebelum itu, beliau menjelaskan, dalam perkara perjuangan hak asasi manusia oleh pihak-pihak terbabit, ada perkara yang diterima oleh PAS dan ada pula yang ditolak oleh parti itu. Katanya, penolakan PAS terhadap sesuatu perkara melibatkan hak asasi manusia itu berdasarkan sebab-sebab tertentu selaras dengan dasar perjuangannya dan parti itu tetap mempunyai hujah mengenai perkara itu. Begitu juga, tegasnya, dengan penolakan PAS terhadap aktiviti seks luar tabie dan perzinaan tetap mempunyai hujahnya kerana ia diharamkan dalam Islam dan amalan itu bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan serta mengundang kemusnahan individu terbabit, keluarga dan masyarakat Sungguhpun begitu, beliau menyarankan agar pihak-pihak terbabit mengambil langkah lunak terhadap mereka yang terlibat dengan aktiviti haram itu untuk menyedarkan mereka supaya kembali menjalani hidup dengan cara normal. "Tapi kalau kita guna undang-undang sahaja ke atas mereka, takut nanti mereka akan menjalani aktiviti bawah tanah. Ini pasti lebih merumitkan untuk diatasi," katanya. Dalam masa yang sama, beliau menyarankan kerajaan agar turut menggubal undang-undang khusus bagi membolehkan zina dikategorikan sebagai jenayah, setelah liwat diletakkan sebagai jenayah di bawah Seksyen 377. Beliau juga mendesak kerajaan agar mengambil pendirian tegas mengutuk kezaliman yang dilakukan oleh pihak pemerintah Syria terhadap rakyatnya sehingga menyebabkan kematian ratusan ribu orang awam di negara itu. Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (kiri) menegaskan bahawa dewan itu sama sekali tidak akan menyokong apa sahaja langkah yang bertentangan dengan nilai fitrah manusia. Penganjuran program itu dilaporkan oleh akhbar perdana kelmarin dipromosikan melalui laman sesawang www.seksualitimerdeka.org yang kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini. "Kebebasan ada peraturannya, memang manusia diberikan kebebasan menyuarakan pandangan tetapi hendaklah di dalam kerangka yang dibenar dan tidak bertentangan dengan fitrah kejadian manusia" kata beliau yang juga Adun Manir, Terengganu. "Namun Dewan Ulamak PAS menyeru supaya golongan seperti ini diubati sehingga dapat hidup bersama masyarakat secara fitrah dan bukannya memberikan pengiktirafan yang tidak akan menyelesaikan masalah, Dewan Ulamak melihat dari sudut penyelesaian masalah iaitu golongan ini mesti diubati dan bukannya meneruskan masalah," ujar beliau lagi. Harakahdaily |
Isteri saya tidak beli apapun barang kemas, Najib kata.. Posted: 03 Nov 2011 06:49 PM PDT Percayakah anda? Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan bahawa anak perempuannya bukan berada di Australia semasa beliau menghadiri mesyuarat ketua-ketua kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, baru-baru ini. Justeru, katanya orang ramai sepatutnya tidak terpedaya atau terbabit menyebarkan pembohongan. "Jangan percaya atau sebar pembohongan. Malah, anak perempuan saya tidak berada di Australia dan isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) tidak membeli apapun barang kemas," kata Najib dalam Twitter terbarunya yang dipetik Bernama. Awal minggu ini, laporan berita di The West Australian, mendakwa anak gadis perdana menteri membelanjakan A$60,000 (RM195,000) semasa membeli-belah di David Jones, antara gedung terbesar di Australia. Berita itu kemudiannya dipetik oleh para penulis blog pembangkang dan akhbar web rasmi PKR, Keadilandaily. Selain itu, laporan bertajuk 'Delegates go shopping and sightseeing' atau 'Perwakilan membeli-belah dan bersiar-siar' juga dimuatkan di banyak laman Facebook. Akhbar Australia itu melaporkan bahawa peniaga membuat keuntungan yang besar apabila seorang wanita pertama yang tidak dinamakan membelanjakan A$150,000 (RM487,000) membeli mutiara Australia Barat, manakala 'anak gadis Najib' membelanjakan A$60,000. Ia memetik pengarah negeri bagi CHOGM Richard Muirhead sebagai berkata bahawa aktiviti masa lapang dan ekspedisi membeli-belah berkenaan diatur untuk perwakilan asing di luar jadual mesyuarat CHOGM yang ketat itu. Najib dan Rosmah kini sedang mengerjakan ibadat haji di tanah suci. Malaysiakini |
You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan