Rabu, 16 November 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Gaji Pengurus Besar PKNS Munasabah

Posted: 15 Nov 2011 10:00 PM PST

Oleh Afix Redzuan

SHAH ALAM, 16 NOVEMBER : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdu Khalid Ibrahim menegaskan gaji dan bonus yang dibayar kepada Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, PKNS, Othman Omar adalah munasabah dengan tugasan kerja dimana beliau perlu mengurus aset yang berjumlah RM30 bilion.

Katanya, walaupun gaji Pengurus Besar PKNS dilihat besar, apa yang penting adalah integriti bekerja tanpa rasuah perlu diberikan keutamaan memandangkan tugas yang pikul sangat berat untuk menjaga amanah rakyat.

Bagaimanapun, pemberian bonus akan dinilai semula selepas ini bagi mengelakkan warga kerja PKNS mendapat ganjaran di tempat lain secara 'luar biasa'.

"Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, pendapatan yang diterima oleh Pengurus Besar PKNS akan dinilai berdasarkan prestasi beliau dan PKNS itu sendiri. Sejak 2009 hingga 2011, pencapaian beliau dan PKNS boleh dikategorikan sebagai baik.

"Di bawah kepimpinan semasa, keuntungan operasi ditingkatkan, berbanding dengan penjualan syer dan aset oleh kepimpinan terdahulu. Satu perjanjian kerjasama telah dibuat dengan Transparency International pada tahun lalu yang membolehkan beberapa jawatankuasa berkaitan Peningkatan Urustadbir Korporat dan Ketelusan dibentuk pada tahun ini," katanya semasa sessi pengulungan perbahasan bajet 2012.

Sebelum ini, pembangkang mempersoalkan gaji Othman yang mencecah RM39,933 sebulan. Mereka mendakwa Othman mendapat gaji dan bonus yang mencecah RM1.4 juta semasa tempoh perkhidmatannya dari Februari 2009 ke 2010.

Jelas Abdul Khalid, semakan gaji yang diterima oleh pengurus tertinggi GLC Kerajaan Persekutuan menunjukkan mereka menerima pendapatan melebihi RM1 juta setahun.

Pada tahun 2009, simpanan yang dicapai PKNS melalui tender terbuka dan pengurusan yang cekap adalah pada kadar RM15.24 juta. Dengan menggunakan Pek Integriti, jumlah ini telah meningkat kepada RM115.15 juta pada tahun 2010.

Dijangkakan jumlah ini akan meningkat kepada RM150 juta pada tahun ini.

Benarkah Najib pemimpin sederhana?

Posted: 15 Nov 2011 09:00 PM PST

Mampukah UMNO membuang sifat ekstremis untuk menjadi sederhana menjelang Perhimpunan Agung UMNO agar selari dengan laungan Datuk Seri Najib Razak di luar negara yang mahu semua agama menentang puak pelampau?

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ini merupakan persoalan yang membingungkan rakyat Malaysia kerana tuntutan kaum dan agama melampau yang wujud hari ini datangnya dari didikan UMNO, termasuk melalui lidah rasminya Utusan Malaysia.

"Bolehkah Najib menjadi Perdana Menteri yang sederhana sedangkan beliau membenarkan Utusan Malaysia memfitnah, menimbulkan kebencian kaum dan agama serta membuat tuduhan tidak berasas bahawa DAP mempunyai konspirasi menubuhkan negara Kristian?

"Bila Najib di luar negara, beliau akan meletakkan dirinya sebagai penentang puak pelampau, tetapi di dalam negara beliau langsung tidak melakukan apa-apa langsung sejak 31 bulan untuk menyederhanakan pelampau kaum dan agama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata demikian sebagai respon kepada Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 17 Januari depan, sebulan selepas Perhimpunan Agung UMNO 2011.

Najib memperkenalkan GMM pada Persidangan PBB ke-65 tahun lepas dengan agenda menentang fahaman pelampau dan menggesa golongan sederhana dari semua agama mengamalkan semangat keamanan dan pragmatisme.

"Bolehkah Najib melepasi ujian ini sebagai Perdana Menteri yang sederhana pada perhimpunan agung UMNO nanti, sebelum Persidangan Antarabangsa GMM pada bula seterusnya?" kata Kit Siang. – Roketkini.com

MB Bongkar Penyelewengan Umno-BN Dan Satim

Posted: 15 Nov 2011 08:30 PM PST

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM, 16 NOVEMBER : Sesi penggulungan Belanjawan Selangor 2012 gempar berikutan pendedahan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pelbagai salah guna kuasa Barisan Nasional Selangor membabitkan kehilangan jutaan ringgit yang turut melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Satim Diman.

Selain Satim, Abdul Khalid juga mendedahkan usaha pengambilan tanah oleh bekas menteri Besar Selangor, isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemimpin politik setempat bagi mendapat beberapa lot tanah.

Dalam sesi penggulungan itu, Abdul Khalid mendedahkan Ketua Pembangkang, Satim Diman telah membuat beberapa transaksi berhubung penjualan tanah di Science Park 2 semasa pentadbiran BN dulu.

Tanah tersebut merupakan tanah milik kerajaan negeri yang telah diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk tujuan pembangunan pendidikan sains.

Menurut Khalid, pemberian tanah tersebut bagaimanapun dijual oleh Satim dengan harga murah kepada Nikmat Inai Sdn Bhd, di mana Satim adalah salah seorang pemegang saham dan Ahli Lembaga Pengarah.

"Belum selesai syarikat Satim membayar belian kepada PKPS, atas kuasa politik yang beliau pegang, tanah itu dijual kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan harga berlipat kali ganda.

"Inilah berjayanya Satim Diman menjadi orang tengah untuk mengaut untung atas angin atas dasar Bumiputera,"jelas Khalid.

Sidang DUN yang masuk hari kelima hari ini turut digemparkan dengan pendedahan Khalid berhubung tanah Revolusi Hijau di Alam Perdana yang melibatkan bekas Menteri Besar dan isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemimpin politik setempat membolot beberapa lot tanah.

"Tanah ini telah menjual kepada Barisan Elite Sdn Bhd untuk taman penindustrian walaupun tanah itu masih berstatus pertanian.

"Meskipun Barisan Elit tidak boleh memulakan projek perindustrian, namun yang berkuasa adalah orang berkepentingan maka projek tersebut dijalankan sedangkan rakyat Selangor kerugian puluhan juta hasil bayaran premium," katanya.

Selain itu, ladang seluas 12,000 ekar di Sabah yang dikatakan dijual oleh PKPS pada 2006. Ladang ini djual RM8,000 seekar kepada syarikat Bumiputera.

Namun seperti juga kes Science Park 2, Khalid berkata, ladang ini dijual pula kepada Rimbunan Hijau, syarikat yang ada kaitan dengan parti komponen BN.

Mengulas lanjut salahlaku pembangkang ini, Khalid menjelaskan Kerajaan Negeri pada akhirnya berjaya memaksa Barisan Elit Sdn Bhd membayar RM29 juta untuk menukar syarat dari pertanian kepada perindustrian.

"Tiga contoh ini menunjukkan Umno-BN sentiasa menggunakan isu Bumiputera dan memperjuangkan hak Melayu namun mereka adalah dalang yang menghakis hak kepentingan rakyat Selangor,"kata Khalid lagi.

Beliau yang juga Adun Ijok berkata sejak Mac 2008, kerajaan Pakatan Rakyat telah mengamalkan reformasi dalam pentadbirannya yang amat mementingkan ketelusan, kecekapan dan pertanggungjawaban serta bersih dari amalan rasuah dan kronisma.

Kesan dari reformasi ini, kata Khalid telah memberi keuntungan yang berlipat kali ganda berbanding pentadbiran terdahulu, malah mampu mengembalikan hasil negeri untuk rakyat Selangor.

Hanya UMNO penaung Melayu? – Oleh T.K. Tan

Posted: 15 Nov 2011 08:00 PM PST

16 NOVEMBER – Kepercayaan bahawa 'UMNO itu Melayu, Melayu itu UMNO' telah sebati dalam pemikiran kebanyakan orang Melayu sejak Merdeka. Bila waktu pilihan raya mengunjung, payah dicabar kedudukan UMNO-BN sebagai pilihan tunggal pengundi Melayu.

Apakah tanggapan tersebut masih sahih? Sesuatu mitos, bila berakar tunjang dalam pemikiran seseorang, sukar diubah ketetapannya.

Walau pun Malaysia kini mempunyai liputan dan kadar penggunaan internet yang cukup tinggi berbanding negara jiran serantau, kebergantungan dan tahap kepercayaan orang Melayu terhadap propaganda dan berita media kawalan pemerintah UMNO-BN masih kuat.

Apa puncanya yang menyebabkan anggapan bahawa UMNO itu penaung Melayu bertapak kukuh sehinggakan menjadi satu mitos yang sukar dikikis?

Payung berlubang DEB

Antara kepercayaan masyarakat Melayu yang paling menguntungkan dan memberi sumbangan terbesar kepada UMNO ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kerap kali pemimpin UMNO mengingatkan kaum Melayu yang mereka ini lemah daya saing dan perlu perlindungan kerajaan untuk berdikari sebelum dapat menyaingi kaum lain dalam sektor ekonomi.

Antara matlamat utama DEB yang sepatutnya berakhir pada tahun 1990 sejak diperknealkan pada 1970 ialah memastikan pengagihan kekayaan yang saksama antara kaum. Matlamat 30 peratus diusulkan untuk pemilikan saham syarikat yang disenaraikan oleh kaum Bumiputera.

Namun sejak 1990, kerajaan UMNO-BN sering menyebut yang matlamat 30 peratus itu belum tercapai; penduduk Bumiputera hanya menguasai sekitar 19 peratus daripada saham syarikat yang disenaraikan di dalam Bursa Malaysia.

Tetapi satu kajian oleh pusat penyelidikan Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI) yang bertajuk "Corporate Equity Distribution: Past Trends and Future Policy" dalam tahun 2006 telah membuktikan sebanyak 45 peratus daripada saham syarikat tersenarai Malaysia kini dikuasai kaum Bumiputera.

Satu kajian berasingan oleh Dr. M. Fazilah Abdul Samad, ketua bahagian kewangan dan perbankan dalam Fakulti Bisnes dan Perakaunan Universiti Malaya, yang diterbit pada tahun 2002 telah membuktikan yang matlamat 30 peratus DEB ini sudah tercapai semenjak 1997.

Fakta ini mungkin tidak membawa apa-apa makna kepada orang Melayu yang kebanyakannya berpendapatan rendah. Hakikatnya ialah kebanyakan penduduk Melayu tidak hidup mewah. Hanya segelintir yang menjadi jutawan.

DEB memang penting untuk penyusunan semula masyarakat dan agihan kekayaan yang lebih saksama. Tetapi UMNO telah menjadikannya alat untuk menguasai minda Melayu. Pelaksanaannya sudah lama tersasar. Yang kaya semakin kaya, yang miskin masih menanti buah yang tidak gugur.

Kemiskinan Melayu di bawah payung UMNO

Mengikut kajian seorang penyelidik sosial, Jayanath Appudurai, dianggarkan 43.2 peratus isi keluarga kaum Bumiputera kini hidup di bawah paras pendapatan garis kemiskinan (PGK). PGK kiraan beliau berpandukan pendapatan bulanan RM2,000 kebawah dan sesebuah isi rumah mempunyai 4.2 anggota.

Hakikat ini juga diperkuatkan apabila unit pekali GiNi Malaysia kini adalah antara yang tertinggi di Asia, mencatatkan angka 0.46 dan lebih tinggi untuk kaum Bumiputera.1 (Nota: Pekali GiNi ini menilai ralat pertaburan pendapatan atau perbelanjaan antara individu atau isi keluarga dalam sesebuah negara dari skala pertaburan yang sama dan sempurna. Angka 0 menunjukkan kesamarataan mutlak, sementara angka 1.0 ketidaksamarataan mutlak).

Ironinya, mengikut pengiraan indeks pembangunan insan Persatuan Bangsa Bersatu (PBB) yang menyukat tiga dimensi pembangunan insan, yakni usia yang panjang dan sihat, tahap berpelajaran dan taraf hidup yang memuaskan, Malaysia mencatatkan tahap bacaan yang tinggi.

Dalam erti kata lain, walau pun rakyat Malaysia dan khasnya kaum Melayu pada zahirnya kelihatan kaya dan makmur, hakikatnya kekayaan kaum Melayu kini dikuasai segelintir orang yang mempunyai "connection" sahaja.

Mungkin ini yang dimaksudkan oleh kebangkitan rakyat di Barat sekarang dengan slogan "we are the 99%" untuk merujuk kepada penguasaan kekayaan oleh segelintir kumpulan maha kaya yang menentukan corak kehidupan semua orang.

Masyarakat Melayu rela dengan salah guna kuasa UMNO?

Sikap takut dan tunduk di kalangan kebanyakan orang Melayu dengan pihak berkuasa telah membuahkan satu keadaan di mana UMNO mampu berkuasa tanpa perlu membuka banyak ruang kebebasan dan demokrasi selama lebih 50 tahun.

Kerelaan masyarakat Melayu untuk mempercayai pemerintah yang berkuasa daripada menuntut hak sebagai rakyat tanpa mengira kuam, walau pun hak-hak itu halal seperti mengundi dan berhimpun secara aman, mungkin disebabkan mitos dan persepsi bahawa Melayu tiada pilihan lain yang lebih selamat.

Hakikat, sikap kebanyakan orang Melayu ini telah membuka jalan untuk UMNO dan rakan-rakan komponen BN memberi peluang kepada kroni yang berhubung rapat dengan pemerintah untuk mengaut harta dengan cara yang tidak sah dan keji.

Masalah rasuah, kronisme dan nepotisme UMNO yang serius memang disedari umum. Namun kerana termakan propaganda bahawa hanya UMNO penyelamat Melayu, kebanyakan pengundi Melayu mengambil sikap tidak acuh terhadap masalah rasuah dan penyelewengan, walau pun rakyat sendiri sengsara akibat kesan korupsi.

Kesannya setelah lebih 50 tahun pemerintahan UMNO, budaya rasuah dan salah guna kuasa terus berleluasa di Malaysia. Mengikut perkiraan penulis Barry Wain, dalam zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, dianggarkan RM100 bilion lesap dari dana kerajaan melalui susutan nilai kewangan akibat dasar kewangan yang tidak telus dan spekulasi pasaran berlebihan.2

Juga mengikut laporan sebuah badan pemantau rasuah antarabangsa, Tranparency International (TI), dianggarkan Malaysia ketirisan sekitar RM10 bilion atau di antara 1 dan 2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) akibat amalan rasuah.3

Pada tahun 1995 TI telah menyenaraikan Malaysia sebagai negara keenam di Asia paling kurang amalan rasuahnya. Tetapi sejak itu kedudukan Malaysia terus jatuh; pada 2009 ia menduduki tahap ke-11, iaitu gejala rasuah semakin menjadi-jadi di negara ini.

Petanda-petanda kepincangan UMNO-BN

Petanda-petanda kepincangan pentadbiran UMNO-BN sudah mula kelihatan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala pada tahun lalu telah menyatakan Malaysia mungkin akan muflis pada tahun 2019 sekiranya tidak atau lambat melaksanakan pembaharuan ekonomi.

Hutang kerajaan persekutuan kini telah mencecah RM437.2 bilion atau 52.7 peratus daripada KDNK. Lebih daripada 40 peratus hasil kerajaan pusat sekarang diperolehi dari cukai petroleum dan gas serta bayaran dividen Petronas, berbanding dengan 21 peratus pada tahun tahun 2003.4

Sumber hasil petroleum dan gas merupakan sumber yang tidak boleh diperbaharui. Satu hari ini telaga minyak dan sumber gas akan kering juga.

Kebergantungan kerajaan persekutuan yang keterlaluan kepada sumber hasilpetroleum ditambah pula dengan perbelanjaan pengurusannya yang tinggi, yang hampir sama dengan jumlah hasilnya, adalah merbahaya untuk masa depan negara.

Apabila rizab sumber petroleum Malaysia yang dijangka akan menyusut secara mendadak pada akhir dekad ini berkurangan, sumber hasil kerajaan yang berkurangan tidak akan cukup menampung perbelanjaan boros kerajaan UMNO-BN ini.

Pada masa itu kelak susahlah untuk kerajaan menampung dan membantu penduduk miskin Malaysia, yang kebanyakannya masih orang Melayu.

Sebagai tunjang dan penentu masa depan politik Malaysia, apakah respon orang Melayu kepada segala berita buruk ini? Apakah orang Melayu masih percaya dengan mitos ciptaan UMNO bahawa agama, bangsa dan negara akan hancur tanpa UMNO? – Roketkini.com

Catatan

1. World Bank Report, Malaysia Economic Monitor: Brain Drain

2. Barry Wain, Malaysian Maverick – Mahathir Mohamad in Turbulent Times

3. Transparency International, Global Corruption Report 2009.

4. Teh Chi Chang, The Budget: How The Government Is Spending Our Money

Tiada ulasan: