Rabu, 16 November 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Nafsu Iblis: Lelaki Dua Isteri Dituduh Rogol Anak Kandung

Posted: 16 Nov 2011 01:16 AM PST

Seorang pengawal keselamatan beristeri dua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tiga tuduhan merogol anak kandungnya yang masih di bawah umur ketika berada di rumah mereka di Taman Tas dekat sini antara Oktober hingga 3 November lalu.

Tertuduh yang berusia 50 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas ketiga-tiga tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Gin Han di hadapan Hakim Fathiyah Idris itu.

Dalam kertas tuduhan itu, tertuduh didakwa merogol anak gadis hasil perkahwinannya dengan isteri kedua yang ketika itu baru berusia 15 tahun 9 bulan dalam sebuah bilik di rumah mereka kira-kira jam 10 pagi, 15 Oktober dan mengulanginya kira-kira jam 10 pagi, 26 Oktober lalu.

Manakala kira-kira jam 8.30 malam, 3 November lalu, tertuduh didapati mengulangi perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa di lokasi sama.

Gara-gara perbuatannya itu, tertuduh ditahan polis 7 November lalu sebelum dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan bagi setiap tuduhan.

Perbuatan tertuduh itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan untuk mereka berkahwin.

Mengambil kira faktor keselamatan mangsa yang mungkin berdepan gangguan dan ancaman tertuduh sepanjang perbicaraan kelak, pihak pendakwaan menolak sebarang ikat jamin terhadap lelaki tersebut.

Bagaimanapun, peguamnya, Mohd Saifuldin Abdul Rahman merayu supaya tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan alasan, anak guamnya tidak akan mengganggu, atau mengancam mangsa sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, jika tertuduh mengingkari perintah itu, mangsa boleh membuat laporan polis.

Fathiyah bagaimanapun meragui jaminan tersebut malah berpendapat mangsa perlu dipisahkan daripada bapanya dan diletakkan di bawah penjagaan selamat atau diserahkan bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurutnya, beliau akan mempertimbangkan jaminan ke atas lelaki itu selepas berpuas hati dengan status keselamatan mangsa yang berada di bawah jagaan selamat.

Bagi tujuan itu, mahkamah menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh sebutan bagi mendengar status penjagaan mangsa sebelum membenarkan atau menolak jaminan ke atas tertuduh.

Sementara itu, dalam mahkamah berasingan, tertuduh didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas kesalahan lampau menjaga premis mesin perjudian tanpa lesen di belakang pasar besar di sini kira-kira 11 tahun lalu.

Tertuduh yang ditahan polis ketika itu pernah didakwa mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Hiburan 1993 bagaimanapun kesnya dihentikan pada 11 Jun 2011 kerana kegagalannya hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun kes tersebut disebutkan semula semalam selepas tertuduh berjaya ditahan polis atas kesalahan merogol anaknya. -SH

Rakyat Miskin Diancam Produk Berkualiti Rendah, Sos Cili 1Malaysia Merbahaya!

Posted: 15 Nov 2011 10:36 PM PST

Standard users: Hentikan jualan sos cili 1Malaysia

Ujian makmal ke atas sos cili yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) mendapati tahap raksa dan plumbum melebihi paras yang dibenarkan dalam Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Dalam laporan draf penyelidikan perbandingan produk yang diperolehi oleh Malaysiakini, Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users) mendapati 3.64ppm plumbum dan 0.08ppm raksa atau merkuri dalam sos cili 1Malaysia.

Sedangkan, tahap yang dibenarkan untuk sos cili adalah 2ppm bagi plumbun manakala 0.05ppm untuk raksa.


Laporan itu membandingkan sos cili jenama 1Malaysia dengan tiga jenama lain, iaitu Tesco Value, Life dan Lingham. Semua jenama berkenaan didapati mematuhi had yang ditetapkan, malah kadar mereka juga jauh lebih rendah daripada yang dibenarkan oleh undang-undang.

Ujian bagi produk berkenaan dijalankan oleh Unipeq Sdn Bhd, sebuah syarikat yang ditauliahkan di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) oleh Jabatan Standard Malaysia.

Ketika dihubungi, ketua pegawai eksekutif, Standard Users, DN Ratna berkata, organisasinya telah menjalankan penyelidikan seumpama itu selama lebih tiga tahun dan memutuskan untuk memasukkan produk 1Malaysia dalam kajian kerana pengguna sedang digalakkan membeli produk itu.

Katanya, sampel sos cili berkenaan diperolehi dari kedai-kedai runcit dan pasar raya besar di sekitar Lembah Klang antara bulan Ogos dan September lalu.

Mengulas keputusan kajian itu, Ratna menggesa Kementerian Kesihatan untuk segera menghentikan jualan sos cili 1Malaysia.

"Kesan logam berat itu boleh menyebabkan keracunan. Jika seseorang menggunakan jenama itu bagi jangkamasa yang lama, logam itu akan terkumpul di rambut, tisu dan bahagian-bahagian badan yang lain ... Jika mereka orang yang terdedah itu tidak sihat, maka kesannya lebih cepat dan nyata.

"Ini berkaitan logam berat, mereka (Kementerian Kesihatan) sepatutnya tidak membenarkan jualan produk itu sehingga mereka sahkannya dengan ujian sendiri dan mengambil tindakan lanjut," katanya.

Menurut laporan itu, raksa yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem saraf pusat tunjang serta sistem endokrin, yang berpotensi membawa kepada kerosakan buah pinggang. -mk

Ulasan GB

Rata-rata yang membeli produk 1Malaysia ini adalah rakyat marhen, rakyat Malaysia yang miskin yang terpedaya dengan daayah Kerajaan kononnya produk itu bermutu dan rendah harganya.

Dan sebelum ini GB telah menyatakan menteri-menteri sendiri hatta, drebar, tukang kebun dan amah mereka juga tak membeli produk 1Malaysia kerana mereka tahu produk itu TIDAK BERMUTU. Ini bukan FITNAH. Anak syarikat UKM, Unipeq Sdn Bhd yang ditauliahkan di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) oleh Jabatan Standard Malaysia membuktikan kedapatan produk 1Malaysia yang merbahaya.

Sepatutnya produk-produk yang berjenama 1Malaysia perlu menjalani ujian kualiti terlebih dahulu kemudian baru dipasarkan. Ini sudah terbalik. Ia dipasarkan kemudian diuji, itupun masih ada pihak penjual seperti Mydin yang mengampu menteri dan produk 1Malaysia tak tentu pasal kononnya ingin mendedahkan KEBENARAN!!!, sedangkan hakikatnya ialah KEPALSUAN!!!

Sebelum ini menteri yang bertanggungjawab degan hal-ehwal pengguna, Ismail Sabri namanya, dengan sindrom penafian, menafikan produk 1Malaysia berkualiti rendah. Kita hendak menteri itu buktikan para menteri Malaysia terlebih dahulu menggunakan produk-produk tersebut sebelum rakyat miskin terus diperdaya dengan produk 1Malaysia yang merbahaya berkenaan. Jika menteri enggan menggunakan produk 1Malaysia, tutup cerita, tutup kedai KR1M dan campakkan produk-produk merbahaya itu bersama-sama menteri-menteri 1Malaysia ke laut sebelum ada rakyat Malaysia yang menderita kerana menggunakan produk yang merbahaya tersebut.

Laporan sebelum ini
Klik untuk baca




SMS Di Telefon Adiknya 15 Tahun Dedahkan Gadis Itu Sudah Terlanjur 20 Kali

Posted: 15 Nov 2011 08:55 PM PST

Petaling Jaya: Tindakan seorang kakak merampas telefon bimbit adik perempuannya membongkar rahsia perbuatan keji gadis terbabit yang terlanjur lebih 20 kali bersama teman lelakinya sejak beberapa bulan lalu.

Kejadian itu terbongkar jam 11.30 malam Sabtu lalu, selepas kakak berkenaan menemui SMS berbaur lucah dihantar teman lelaki adiknya berusia 19 tahun menyebabkan kakak berusia 20-an itu mendesak adiknya menceritakan perkara sebenar.

Menurut sumber, remaja perempuan berusia 15 tahun yang ketakutan selepas hubungan cinta terlarang itu terbongkar hanya berdiam diri dan menangis teresak-esak.

"Ibu bapa mereka yang mengetahui anak gadisnya itu yang menunggu keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terlanjur hanya terdiam.

"Bagaimanapun, abang iparnya mendesak gadis terbabit menghubungi teman lelakinya sebelum mereka menangkap lelaki itu dan membawanya ke Balai Polis Kota Damansara," katanya.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, perbuatan keji adiknya terbongkar apabila kakaknya yang menegur sikap gadis itu yang sering tidur lewat kerana bermain komputer terlihat SMS lucah dalam telefon bimbitnya.

Sumber berkata, kakaknya mendesak adiknya menceritakan perkara sebenar sebelum dimaklumkan mereka berkenalan melalui laman sembang sosial.

"Perkenalan itu bertukar percintaan sebelum kedua-dua mereka berjumpa secara sembunyi bagi bermadu kasih.

"Sebaik mendengar pengakuan itu, abang iparnya meminta gadis terbabit menghubungi teman lelakinya untuk berjumpa di padang sekolah berhampiran rumah mereka," katanya.

Menurutnya, sebaik mereka bertemu teman lelaki adiknya, abang iparnya meminta penjelasan sebelum lelaki terbabit mengaku terlanjur lebih 20 kali bersama gadis itu.

Katanya, geram dengan pengakuan itu, lelaki terbabit dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. -HM

[Video] KOAM Wajar Dikecam, Hantar Pulang Atlet Sebelum Ambil Pingat Emas

Posted: 15 Nov 2011 07:20 PM PST

Palembang - Kuartet 4x400m yang melakukan kejutan meraih emas kelmarin dilayan seperti orang pelarian apabila segera dihantar pulang semalam tanpa sempat menerima pingat yang dimenangi mereka.

KECERIAAN kuartet 4x400m negara (dari kiri) Mohd. Yunus, Kannathasan, Schezuan dan Yuvaraaj yang memenangi pingat emas kelmarin direntap selepas dihantar pulang sebelum dapat mencium pingat emas yang mereka menangi.

Gandingan S. Kannathasan, P. Yuvaraaj, Schezuan Ahmad Rosely dan Mohd. Yunus Lasaleh sepatutnya perlu menghadiri majlis penyampaian hadiah semalam selepas ditangguhkan kelmarin.

Malangnya, perancangan kelam-kabut yang dibuat Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) menyaksikan detik manis yang sepatutnya di- nikmati mereka selepas penyertaan mereka dianiaya, tidak kesampaian.

Penerbangan mereka telah ditentukan lebih awal gara-gara KOAM menjangkakan gandingan ini tiada harapan pingat untuk dimenangi
.

Antara yang lantang membidas tindak tanduk dan kelemahan KOAM itu ialah atlet olahraga negara, Noraseela Khalid yang menegaskan, rombakan segera perlu dibuat supaya lebih ramai lagi atlet tidak menjadi mangsa.

"Mereka datang lewat tetapi pulang awal kerana KOAM tidak percaya mereka boleh menang pingat. Inikah persatuan yang memperjuangkan nasib atlet?

"Sepatutnya mereka diberi peluang menerima hadiah dulu, barulah pulang. Ini tidak, dah jadi macam orang pelarian pulak. Di Malaysia ramai lagi telah menjadi mangsa seperti kuartet 4x400m ini.

"Jadi, bantulah kami melakukan perubahan dalam KOAM sekiranya kita tidak mahu melihat atlet terus menjadi mangsa. Harap presiden KOAM juga dapat membantu,"
katanya.

Kuartet 4x400m lelaki negara pulang pada pukul 2.50 petang semalam selepas 17 jam memenangi pingat emas dengan menewaskan Thailand di tempat kedua dan Indonesia ketiga. -kosmo






Jodoh Tok Imam 64 Tahun Dengan Gadis 26 Tahun

Posted: 15 Nov 2011 04:50 PM PST

Tanah Merah: "Jika boleh, saya mahukan anak ramai yang boleh mewarisi segala harta saya. Pada perkahwinan lalu, saya tidak memperoleh zuriat sebab itu saya membuat keputusan berkahwin lagi," kata warga emas, Mat Ibrahim, 64, yang bertemu jodoh dengan gadis berusia 26 tahun.

Perkahwinan Mat boleh diibaratkan seperti perkahwinan selebriti apabila dia bernikah dengan wanita pilihan hatinya, Noor Mahayu Samsudin pada tarikh istimewa iaitu 11 November lalu atau bersamaan 11.11.11.

Mat yang juga Imam Masjid Mukim Bechah Laut, di sini, dinikahkan jam 11 malam pada tarikh berkenaan di Batu 11, di sini, dan memberi hantaran berjumlah RM5,011 kepada isterinya.

Majlis resepsi perkahwinan pasangan mempelai itu diadakan semalam dengan diiringi 11 das tembakan senapang patah oleh penduduk kampung, diarak dengan 60 kereta dan 40 motosikal, malah meriah dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu.

Mat berkata, dia menjadi duda apabila isterinya meninggal dunia empat hari selepas Aidilfitri, Ogos lalu. -hm


SEPADAN... Mat dan Noor Mahayu mengenakan persalinan merah jambu
pada majlis resepsi mereka di Tanah Merah, semalam.



[Video] Perkembangan Pesat Islam Di Korea

Posted: 15 Nov 2011 03:09 PM PST

Selepas tragedi 9/11, masyarakat Korea Selatan berduyun-duyun ingin tahu mengenai Islam. Tak menghairankan jika Masjid Sentral Seoul penuh sesak dikunjungi masyarakat Korea.

Ketua Persekutuan Muslim Korea, Abdul Rahman, mengatakan pengunjung Masjid Sentral Seoul terus meningkat setiap tahun. Oktober lalu, misalnya, seramai 1,200 warga Korea mengunjungi masjid ini. "Tragedi 9/11 merupakan momentumnya," katanya seperti dikutip presstv.com, Selasa (15/11).

Bukan hanya itu, lanjut Rahman, masyarakat Korea yang memeluk Islam juga meningkat. Pekerja migran turut berperanan dalam menyebarkan syiar Islam di Semenanjung Korea. "Ketika ini jumlahnya sekitar 200,000 orang," ungkap Rahman.

Selama dekad terakhir, tambahnya, sebuah komuniti Muslim telah muncul di daerah Itaewon, kawasan yang tak jauh dari Masjid Sentral Seoul. Ketika ini komuniti Muslim Itaewon memiliki sebuah sekolah yang menampung 75 pelajar.

Perkembangan Islam di Korea

Sebelum tragedi 9/11, Islam telah berkembang di Korea, tepatnya saat berlangsungnya Perang Korea pada September 1955. Pasukan Turki yang turut ambil bahagian dalam perang saudara itu memainkan peranan penting.

Rahman mengungkap, ketika itu pasukan Turki yang berada di Korea mulai menyebarkan syiar Islam. Mereka memulainya dengan membangun sebuah tenda untuk digunakan sebagai masjid sementara di kemah pengungsi. "Tak lama, mulailah warga Korea memeluk Islam. Omar Kim, warga Korea yang memeluk Islam, lalu menyebarkan Islam kepada sahabat dan keluarganya," ungkap Rahman.

Pada Oktober 1955, Muslim Korea mendirikan Masyarakat Muslim Korea. Beberapa Muslim Korea muda dikirim untuk pengajian Islam lebih lanjut di Malaysia. Pada Mac 1967, komuniti Muslim Korea mendirikan Persekutuan Muslim Korea (KMF) yang secara rasmi diakui oleh pemerintah.

Organisasi ini bertugas menerbitkan Al-Quran terjemahan dalam bahasa Korea dan mengajar budaya Islam dan bahasa Arab. Tak hanya itu, organisasi ini pula yang memberikan biasiswa kepada mahasiswa Muslim untuk mendalami ajaran Islam ke universiti Islam di negara-negara Muslim. Selesai belajar, mereka menyebarkan dakwah Islam melalui layanan sosial.

Pada Mei 1976, Seoul Central Mosque dan Pusat Kebudayaan Islam dibuka. Setelah itu banyak masjid yang kemudian dibangunkan. Saat ini ada lima masjid yang tetap. Selanjutnya, pada tahun 1978, sekitar 130 Muslim Korea berkesempatan untuk melaksanakan haji. -republika





Pemimpin UMNO Tempelak Shahrizat, Kalau Nak Bela Lembu Jangan Jadi Menteri!

Posted: 15 Nov 2011 07:58 AM PST

Lagi pemimpin Umno desak Shahrizat letak jawatan

Keluarga Ketua Wanita Umno itu kini berdepan tuduhan menyalahguna dana RM250 juta dari NFC termasuk membeli kondominum berharga RM9.8 juta.

PETALING JAYA: Selepas Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, beberapa pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) lain juga mahu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Keluarga Ketua Wanita Umno itu kini berdepan tuduhan menyalahguna dana RM250 juta dari National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) termasuk membeli seunit kondominium One Menerung Bangsar dekat Kuala Lumpur berharga RM9.8 juta.

Semalam Bung Mokhtar meminta Shahrizat meletakkan jawatan sebagai menteri kerana telah menyusahkan Umno.

Ketika dihubungi, Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin menegaskan jika Shahrizat mahu berniaga lembu beliau tidak perlu menjadi menteri.

"Macam mana ni? Menteri mahu, Senator mahu, Ketua Wanita Umno mahu dan jadi peniaga lembu pun mahu. Shahrizat patut pilih satu sahaja. Kalau nak bela lembu jangan jadi menteri," katanya.

TPM pertahan Shahrizat

Pandangan sama diberikan Setiausaha BN Wilayah Persekutuan Datuk Syed Ali Alhabshee yang juga ketua Umno Bahagian Cheras dengan kenyataan ringkas beliau, "Shahrizat perlu letak jawatan."

Bagaimanapun laporan terbaru hari ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Shahrizat tidak perlu meletakkan jawatan menteri.

Pandangan sama diberikan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berkata isu itu patut diajukan kepada suami Shahrizat.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar tampil mempertahankan Shahrizat. -FMT

Hanya 2 Orang Keluar PKR, Tapi Dihebohkan 180 Orang

Posted: 15 Nov 2011 06:00 AM PST

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian menegaskan bahawa tidak wujud 180 ahli (PKR) keluar parti seperti yang diumumkan bekas Naibnya Suhaimi Saari.

Menurut beliau setakat ini melalui semakan yang dibuat hanya dua orang sahaja termasuk Suhaimi yang keluar dari PKR.

"Kita sudah siasat rata-rata mereka yang hadir pada program itu tidak menahu tentang agenda program itu yang mahu perserta yang hadir untuk keluar parti," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya setakat ini pihaknya mengetahui sebanyak tiga buah bas bergerak dari Taman Medan ke Cameron Highlands yang rata-ratanya peserta terdiri daripada golongan belia.

"Program itu pada mulanya diberitahu hanya program riadah namun bila tiba di sana segala berubah selepas ianya dikatakan menjadi medan untuk individu keluar daripada PKR,"katanya.

Mengulas lanjut mengenai status jawatan Suhaimi di dalam cabang pjs,beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada pucuk pimpinan parti.

"Parti tidak pecat dia tetapi dia (Suhaimi) sudah secara rasminya keluar daripada parti dan selepas ini dia juga tidak mempunyai apa-apa lagi urusan dengan PKR,"katanya

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan turut menegaskan naibnya itu kini sudah dibayar oleh Barisan Nasional untuk mengerakkan program belia di Selangor.

"Dia dapat RM 4000. sebulan dari BN dan peruntukkan RM 200,000 untuk buat program belia di Selangor kita sudah tahu perkara ini sejak dua minggu yang lalu namun kita tidak gentar kerana sebelum ini dia bukanlah seorang ahli yang aktif dan tidak mempunyai pengaruh,"katanya.

Jelasnya lagi, apa yang berlaku tidak menjejaskan Cabang PKR Petaling Jaya Selatan sebaliknya ianya dilihat salah satu percubaan BN untuk mencipta propaganda politiknya.

Akhbar ini semalam menyiarkan mengenai pengumuman bekas naib cabang PKR Pjs Suhaimi Saari bahawa 180 orang ahlinya keluar parti dan menyertai Umno selepas menyerahkan borang keahlian kepada Pemangku Ketua Umno Bahagian Pjs Datuk Raja Hanipuddin Raja Nong Chik dalam satu program yang diadakan di Bentong semalam. -SH

180 ahli PKR masuk Umno

BENTONG – Seramai 180 ahli PKR Cabang Petaling Jaya Selatan, mengisytiharkan keluar daripada parti itu dan menjadi ahli Umno.

Bekas Naib Ketua Cabang PKR Petaling Jaya Selatan, Suhaimi Saari berkata, keputusan diambil kerana mereka percaya kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) lebih baik daripada PKR.

Menurutnya, beliau sendiri sudah hampir 11 tahun berjuang dalam parti PKR sejak awal penubuhan dan mengetahui banyak rahsia parti.

"Namun, kini saya sudah tidak tahan dengan masalah membelenggu dan mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Naib Ketua Cabang, seterusnya membubarkan PKR Cabang Petaling Jaya Selatan.

"Kemasukan seramai 180 ahli ke dalam Umno melibatkan sebahagian dari 17 Ranting di bawah Cabang PKR Petaling Jaya Selatan," katanya selepas menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Raja Hanipuddin Raja Nong Chik.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Donald Lim Siang Chai.

Sementara itu, Raja Hanipuddin berkata, pihaknya menerima dengan hati terbuka keputusan bekas ahli PKR itu itu dan menganggap ia sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, penyertaan mereka ke dalam Umno membuktikan rakyat sudah tidak mempercayai PKR yang hanya pandai menabur janji tetapi tidak mampu untuk melaksanakannya. -SH


Bayi Lelaki Ditemui Dalam Beg Yang Bergerak-gerak

Posted: 15 Nov 2011 05:00 AM PST

Bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh beberapa jam ditemui berbalut dengan tuala dalam beg di belakang bangunan Klinik Kesihatan Daerah Kota Setar di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu, berkata, bayi yang berusia empat jam itu dijumpai oleh seorang jururawat sekitar jam 12.05 tengah hari semalam sebelum dihantar ke unit kecemasan klinik berkenaan.

Menurutnya, bayi berkenaan ditinggalkan di bawah pokok yang terletak antara kawasan tempat letak kereta dan longkang belakang wad sakit jiwa lelaki.

"Ketika dijumpai bayi yang dipercayai berbangsa Melayu berada dalam keadaan sihat dan masih mempunyai tali pusat serta terdapat sedikit kotoran pada bahagian mukanya.

"Bayi itu kini dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan susulan," katanya kepada Sinar Harian.

Baharom berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

"Kita akan terus menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan pemilik sebenar bayi berkenaan," katanya. -SH


'Beg bergerak-gerak'

ALOR SETAR: Seorang jururawat tidak menyangka beg kain berbelang merah putih di bawah pokok yang ditemuinya berhampiran kawasan letak kereta di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, di sini, semalam, mengandungi bayi lelaki baru dilahirkan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, bayi dalam keadaan berbungkus dengan tuala mandi berwarna putih itu dipercayai baru empat jam dilahirkan.

Bayi seberat 2.6 kilogram (kg) yang masih bertali pusat itu ditemui jururawat berkenaan yang baru saja meletakkan kenderaan di kawasan itu untuk memulakan tugasannya di klinik.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata jururawat itu membuka bungkusan itu dan terkejut apabila mendapati ada bayi lelaki di dalamnya.

"Bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai baru empat jam dilahirkan dan mukanya masih kemerahan selain tangannya dihurungi semut. Bayi itu ditemui di bawah pokok berhampiran kawasan letak kereta di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, di sini.

"Jururawat itu ternampak beg kain berbelang merah putih di bawah pokok berhampiran yang kelihatan bergerak-gerak sebelum menghampirinya. "Dia mendapati seorang bayi lelaki yang hanya berbungkus dengan tuala mandi berwarna putih di dalam beg berkenaan dan terus membawanya ke klinik sebelum menghubungi pihak polis," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. -hm


Permohonan Hisham Padam Pembelaan Anwar Ditolak & Diperintah Bayar RM25,000

Posted: 15 Nov 2011 03:10 AM PST

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk memadamkan bahagian tertentu dalam kenyataan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman berhubung video seks yang memaparkan individu mirip ketua pembangkang itu.

Hakim Datuk VT Singham memutuskan kenyataan pembelaan Anwar berkaitan perlindungan bersyarat, ulasan adil dan justifikasi patut diputuskan pada akhir perbicaraan.

Beliau berkata mahkamah patut menggunakan budi bicaranya apabila menimbangkan permohonan untuk memadamkan kenyataan pembelaan dan beliau perlu mendengar keterangan saksi-saksi menerusi perbicaraan, untuk mencapai keputusan yang adil.

Katanya defendan (Anwar) berhak memfailkan kenyataan pembelaan untuk mematahkan kes itu.

Bagaimanapun, hakim memadamkan tiga perenggan kenyataan pembelaan Anwar kerana ia tiada kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan plaintif (Hishammuddin).

Hakim juga memerintahkan Hishammuddin membayar RM25,000 sebagai kos kepada Anwar. Beliau menetapkan tiga hari bermula 5 Dis untuk mendengar saman itu.

Peguam Sunil Abraham yang mewakili Hishammuddin memaklumkan mahkamah, plaintif akan memanggil kira-kira 15 saksi manakala peguam yang mewakili Anwar, Sulaiman Abdullah berkata pihaknya juga akan memanggil jumlah saksi yang sama.

Pada 26 April, Hishammuddin memfailkan saman fitnah terhadap Anwar berhubung temuramah ketua pembangkang itu dengan wakil media pada 22 Mac di ibu pejabat polis Dang Wangi selepas membuat laporan menafikan dirinya adalah lelaki dalam video itu.

Menteri itu berkata kata-kata berkenaan difahamkan membawa maksud yang beliau bertanggungjawab menayangkan video itu kepada sekumpulan editor dan wartawan di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac.

Katanya kata-kata berkenaan juga difahamkan bermaksud yang beliau telah mengaturkan penayangan video itu dan berkomplot dengan perdana menteri dan pegawai tinggi polis berhubung penayangan video itu.

Dalam kenyataan pembelaannya, Anwar berkata kata-kata beliau telah diterbitkan atas kapasiti perlindungan bersyarat dan kedudukannya sebagai ketua pembangkang.

Anwar juga memfailkan kenyataan balas menyatakan kata-kata Hishammuddin dalam sidang akhbarnya pada 21 Mac, seolah-olah mengesahkan kenyataan oleh tiga individu yang mendedahkan video itu bahawa pelaku dalam video itu adalah dirinya (Anwar).

- Bernama

Tiada ulasan: